ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Monday, September 13, 2010

Pembunuhan Sosilawati ke-2 dahsyat selepas kes Altantuya-PAS

Oleh:Dzulfikar Mashoor

JOHOR BAHRU, 12 Sept: PAS menganggap kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga rakannya sebagai kedua paling dasyat di Malaysia selepas kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Sharibuu.

Menurut Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar, kes pembunuhan mendiang Altantuyaa Sharibuu sebelum ini menggemparkan negara apabila dibom dengan C4 di Bukit Raja, Shah Alam pada 19 Oktober empat tahun lalu.

"Kematian al-Marhumah Sosilawati dan tiga yang lain adalah kes kedua paling dahsyat selepas kematian mendiang Altantuya," ujarnya petang tadi ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengesahan pihak polis bahawa Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, telah dibunuh.

Mayat mereka juga dibakar, manakala abunya dibuang ke dalam sebuah sungai dekat Ladang Gadong, di Tanjung Sepat, Banting.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, sepatutnya Polis sudah boleh mengesan suspek pembunuh lebih awal memandangkan saspek yang juga seorang peguam bergelar 'Datuk' turut dikaitkan dengan kehilangan empat individu setahun yang lalu.

"Selepas empat individu yang menjadi perhatian rakyat dilaporkan mati menjadi abu, baru Polis boleh mengaitkan saspek dengan kes empat orang yang hilang tahun lepas," ujarnya sambil menasihatkan bakal Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar supaya memperbaiki sistem siasatan kepolisan tanah air.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahawa kes tersebut turut membabitkan pemimpin negara yang berprofil tinggi sebagaimana kes pembunuhan Altantuya.

"Kalau Polis masih enggan mendedahkan siapakah peguam bergelar 'Datuk' yang dimaksudkan, mungkin rakyat selepas ini akan anggap pembunuh Sosilawati ini mungkin ahli politik yang berprofil tinggi, seperti kes Altantuya," ujarnya sambil mendesak Polis menjelaskan motif di sebalik kenyataan media tanpa laporan forensik yang dibuat Mohd Bakri petang tadi.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang dihubungi kemudian mengecam pihak yang terbabit yang sanggup membunuh lalu membangkar keempat-empat mangsa sebelum dihanyutkan dalam sungai berdekatan Ladang Gadong di Tanjong Sepat, Banting.

"Sekiranya benar apa yang diumumkan oleh Datuk Mohd Bakri dalam sidang media tadi, PAS mengecam pembunuhan dahsyat itu," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau turut menasihatkan pasukan Mohd Bakri membuat pengesahan lanjut beserta laporan rasmi dari Jabatan Forensik.

Ini kerana, katanya laporan itu boleh mengurangkan rasa gelisah rakyat terhadap tahap keselamatan mereka masing-masing.

Beliau, mewakili PAS turut merakamkan takziah kepada keluarga mangsa sambil mengajar rakyat membantu Polis supaya kes dasyat seperti itu tidak berulang lagi di tanah air kelak.

"Mewakili PAS, takziah...saya harap keluarga mangsa bersabar."

"Saya seru seluruh rakyat Malaysia sama-sama membantu Polis agar kes sebegini tidak berulang," ujarnya.

harakahdaily,
12.9.2010

PAS ucap takziah, gesa pendakwaan segera

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Sept: PAS mengucapkan takziah kepada keluarga jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang lagi yang telah dibunuh secara kejam.

"Bagi pihak PAS, kita merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan harap mereka tabah menerima ketentuan ini.

"Kes pembunuhan ini menggemparkan negara," kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengesahan pihak polis bahawa Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, telah dibunuh.

Mayat mereka juga dibakar, manakala abunya dibuang ke dalam sebuah sungai dekat Ladang Gadong, di Tanjung Sepat, Banting.

"Kita mahu pendakwaan segera dibuat terhadap mereka yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan ini," katanya lagi.

Menurutnyan kes tersebut juga menggemparkan negara dan menunjukkan peningkatan kadar jenayah dalam negara.

"Kita harap pihak polis berusaha mengekang jenayah, jangan hanya kepong ceramah pembangkang sahaja," katanya.

Kes ini juga jelasnya merupakan cabaran buat Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Ismail Omar untuk menyelesaikan kes tersebut.

Kesemua mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Seminggu selepas itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya.

Polis sekurang-kurangnya telah menahan empat lelaki membantu siasatan.

Terdapat sumber menyatakan mereka termasuk dua orang peguam.

Mengulas dakwaan wujud campurtangan pihak ketiga dalam PDRM, beliau menggesa satu suruhanjaya diraja perlu ditubuhkan.

"Kita tidak mahu dalam kes pembunuhan ini juga ada campurtangan pihak ketiga.

"Kita juga bimbang beberapa laporan polis yang dibuat terhadap pemimpin Umno BN sampai ke hari ini tidak diambil tindakan. Adakah ini juga wujud campurtangan pihak ketiga," soalnya.

12.9.200




Sosilawati dibunuh, tujuh ditahan

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 11 Sept. – Misteri kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lagi lelaki sejak 30 Ogos lalu, hampir terungkai dengan tertangkapnya tujuh suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Difahamkan, seorang daripada suspek yang ditahan merupakan peguam bergelar Datuk berusia 40-an yang dinamakan polis sebagai suspek paling dikehendaki dalam kes kehilangan usahawan wanita terbabit bersama tiga yang lain.

Hasil soal siasat ke atas suspek, polis mendapat maklumat bahawa kesemua mangsa sudah dibunuh dan dibakar manakala abu mayat mereka dibuang ke dalam laut di Pantai Morib, Selangor.

12.9.2010

UMNO perlukan Perkasa untuk raih sokongan Melayu

KUALA LUMPUR 12 Sept. - Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini berkata, UMNO tidak mampu berbalah dan memisahkan diri daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) jika tidak mahu menanggung risiko kehilangan lebih banyak sokongan.

Bekas perdana menteri itu berkata, sebaliknya UMNO memerlukan seberapa banyak sokongan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) jika parti induk Barisan Nasional (BN) itu tidak mahu kehilangan sokongan akar umbi.

"Saya berpendapat bahawa UMNO khususnya tidak begitu kuat, kita tidak boleh tolak sebarang orang kerana kalau kita hilang 100, 200 orang pun, mungkin kita akan kalah.

"Jadi kita nak sokongan seberapa banyak, tak payahlah kita bermusuh dengan orang. Saya fikir, kita perlu dekatkan diri dengan seberapa kumpulan yang boleh,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Seri Kembangan, dekat sini, hari ini.

Pada Khamis lepas, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, UMNO menjauhi daripada Perkasa yang lantang membuat kenyataan ekstrem mengenai isu-isu perkauman.

Dr. Mahathir berkata, ahli UMNO ketika ini berpecah antara menyokong atau menjauhkan diri daripada Perkasa, sambil menjelaskan keadaan seperti itu boleh menyebabkan jurang yang lebih parah di kalangan mereka.

"Ia telah menyebabkan rasa serba salah di kalangan ahli UMNO sendiri. Ada yang akan kekal dan ada yang menjauhkan diri...ini akan lebih memisahkan mereka.

"Selain itu, pada pilihan raya umum lepas, margin adalah amat tipis sekali.

Katakan jika kita kalah sedikit...kita mungkin kalah pada pilihan raya,” katanya.

Ditanya sama ada UMNO akan kerugian jika menjauhkan diri dari Perkasa, Dr Mahathir berkata: “Kita tidak mampu berbalah dengan ramai orang. Jika anda mahu bertengkar, bertengkarlah dengan seorang, bukan semua.” - Bernama

Penyelam polis cari bahan bukti pembunuhan Sosilawati


BANTING 12 Sept. – Pasukan penyelam Polis Marin hari ini menjalankan kerja menyelam di Sungai Panchau, Kampung Kanchong Laut, di sini, untuk mencari bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga orang lain.

Tinjauan berhampiran sungai itu yang terletak di jalan utama menuju Banting-Tanjung Sepat mendapati pasukan polis memeriksa bahan yang kelihatan seperti tulang berwarna kelabu kehitam-hitaman.

Daripada pemerhatian, terdapat beberapa penandaan (marking) diletakkan pada bahan-bahan itu.

Memandangkan para wartawan tidak dibenarkan menghampiri kawasan operasi itu, mereka terpaksa berpusing di sekitar kawasan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas.

Polis hari ini mengesahkan bahawa Sosilawati dan tiga orang lain mati dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat.

Operasi polis itu menarik perhatian orang ramai yang cuba memperlahankan kenderaan masing-masing untuk melihat apa yang sedang berlaku. – Bernama

utusanonline,com.my
12.9.2010

Peguam bergelar Datuk, adik dan enam pekerja ditahan ekoran kematian Sosilawati

BANTING - Polis menahan seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya serta enam pekerja kebun kelapa sawit milik mereka di mana jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dipercayai dibunuh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, kesemua suspek dipercayai terlibat membunuh mangsa sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebuah anak sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Kuala Langat di sini, Mohd Bakri berkata, polis membuat tangkapan pertama pada 10 Sept melibatkan lima orang.

Semalam, Datuk itu dan adiknya yang juga seorang peguam dan berpusat di sini, ditahan manakala seorang lagi suspek ditahan hari ini.

Beliau berkata, hasil penyiasatan polis, mereka mengaku bertanggungjawab dalam membawa kesemua mangsa ke kebun kelapa sawit itu seluas 1.6 hektar, sebelum memukul sehingga mati dan membakar mayat kesemua mangsa.

Selain Sosilawati, turut dibunuh pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Bagaimanapun, Mohd Bakri berkata, beliau tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar kesemua mereka dibunuh, tetapi ia mungkin di antara tarikh mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos sehinggalah semalam.

Mengenai motif kejadian, beliau berkata, ia lebih ke arah saingan perniagaan dan urusniaga kewangan di antara suspek utama (kedua-dua peguam) dan Sosilawati.-Bernama

12.9.2010

Zaid bukan Tun Ghafar kedua

SHAH ALAM - Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim dinasihatkan tidak cepat melatah dan risau berhubung ancaman diterima daripada pihak tertentu yang mendakwa beliau bakal menerima nasib serupa Tun Ghafar Baba jika bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.

Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye berkata, Zaid masih berupaya untuk menyumbang kepada parti dan keputusan sama ada kalah atau menang terletak di dalam genggaman anggota parti.

“Menang atau kalah itu soal kedua. Yang kalah, belum tentu kalah dan yang menang belum tentu menang. Beliau tidak perlu risau kerana beliau tidak akan jadi Tun Ghafar ‘kedua’.

“Kita tidak tahu latar belakang ancaman yang diterimanya. Apa yang jelas di sini, nasib diterima Tun Ghafar seperti dikuburkan dari politik kerana ketika itu beliau berada dalam UMNO, sebaliknya, Zaid sekarang berada dalam PKR,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menyokong pendapat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, ancaman diterima Zaid sinonim dengan senario dunia politik.

“Konsep PKR adalah menyuburkan demokrasi. Jadi, sesiapa merasakan dia berkeyakinan untuk memimpin, kita sentiasa terbuka untuk menerimanya. Realitinya, dalam dunia politik ini, kita tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

“Bagi Zaid sendiri, beliau perlu memiliki ketahanan luar biasa untuk berhadapan dengan ancaman sebegini kerana saya percaya serangan kali ini bukan berpunca daripada anggota dalaman, tetapi individu yang ‘tumpang sekaki’ dan bergabung membuat kacau,” katanya.

Sementara itu, ADUN Kota Anggerik, Yaakob Sapari memberitahu dalam pemilihan PKR ini, sesiapapun berhak mencadangkan atau menerima cadangan dilantik sebagai calon untuk bertanding.

“Ini adalah kali pertama PKR membuka pemilihan terus daripada rakyat dan mereka memiliki kuasa untuk memilih mana-mana ahli akar umbi untuk dijadikan sebagai anggota pimpinan parti.

“Setiap jawatan yang disandang adalah natijah daripada sokongan ahli. Yang penting sekarang ialah, setiap calon perlu meyakinkan ahli bahawa mereka berupaya untuk memimpin,” katanya.

Ditanya mengenai ancaman diterima Zaid dan sokongan daripada ADUN Selangor terhadap Naib Presiden Parti, Mohamed Azmin Ali, beliau memberitahu, ADUN Selangor melihat Azmin berpotensi untuk menyandang jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR.

“Sebahagian besar ADUN menganggap dialah calon yang layak untuk memimpin. Jadi, kita mencadangkan nama beliau sebagai calon bagi jawatan itu,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Zaid mengeluarkan kenyataan memberitahu beliau menerima ancaman mengalami nasib sama seperti bekas Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba selepas mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan kali ini.

sinarhrian,
12.9.2010

No comments: