Negara hancur jika federalisme tidak dipatuhi
Wartawan Kita
TANAH MERAH, 16 Sept: Konsep federalisme hendaklah terus dipertahankan bagi memastikan kemerdekaan negara benar-benar menuju ke arah kematangan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, biar pun berlaku perbezaan fahaman dan ideologi politik di kalangan masyarakat semangat federalisme hendaklah diperkukuhkan.
“Konsep federalisme hendaklah dipatuhi biar pun ada perbezaan ideologi dalam kehidupan bermasyarakat.
“Kalau konsep itu tidak mampu kita patuhi, maka lambat laun negara akan menuju ke arah kehancuran,” katanya pada sambutan Hari Malaysia dan Jamuan Raya peringkat negeri di padang Majlis Daerah Tanah Merah di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.
Pelbagai program diadakan sempena sambutan Hari Malaysia peringkat negeri termasuk perarakan motosikal berkuasa besar, perarakan Jalur Gemilang dengan diiringi pancaragam tentera.
Selain itu acara menaikkan Jalur Gemilang, tarian singa, deklamasi sajak dan gerai-gerai menyediakan pelbagai jenis juadah.
Ahmad juga berkata, agenda ummah hendaklah diberi perhatian utama dengan memperkukuhkan jati diri.
“Kita hidup dalam masyarakat pelbagai kaum hendaklah sentiasa memelihara keharmonian dan saling hormat menghormati di antara satu sama lain.
“Usaha yang baik hendak diteruskan bagi memastikan kehidupan ummah terus cemerlang,” katanya.
harakahdaily
17.9.2010
No comments:
Post a Comment