ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Thursday, September 16, 2010



Pemuda PAS anggap jenayah turun hanya retorik
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyifatkan dakwaan Pengarah Komunikasi GTP di Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) di Jabatan Perdana Menteri, Alex Iskandar Liew bahawa indeks jenayah keseluruhan pada Januari hingga Ogos telah menurun 16.24 peratus sebagai hipokrit dan retorik politik semata-mata.

Hal ini kerana kata ketuanya, Nasrudin Hasan, jenayah yang semakin kerap berlaku akhir-akhir ini tidak menggambarkan penurunan seperti yang didakwa.

"Melihat kepada perkembangan mutaakhir betapa sadisnya jenayah yang berlaku membuatkan semua pihak kembali ragu terhadap dakwaan kononnya indeks jenayah telah menurun.

"Sebaliknya rata-rata melihat Malaysia merupakan sebuah negara yang berdepan dengan ancaman nilai keamanan dan keselamatan," kata Nasrudin dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diperkenalkan April tahun lepas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan kononnya telah mencapai hasil signifikan menerusi pelbagai inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) juga menggambarkan sebaliknya.

"Pencapaian NKRA dilihat sangat tidak meyakinkan. Malah negara masih subur dengan elemen-elemen yang mempunyai potensi besar untuk mendorong berlakunya satu-satu jenayah.

"Sementelah pula langkah pencegahan masih bersifat melepaskan batuk ditangga. ianya tidak dilakukan secara serius," katanya lagi.

Kenyataan itu katanya dapat dibuktikan dengan contoh-contoh kejadian yang telah berlaku, termasuk kes terbaru iaitu pembunuhan kejam ke atas usahawan kosmetik, Datuk Sosilawati dan 3 lagi mangsa yang merupakan pembantu beliau.

Kes jenayah yang lain termasuklah:

a. Ustazah Norliza Ishak 35, (yang dibunuh kejam bersama anaknya Amirul Ayman 10, pada 3 Sept 2010 - Port Dickson)

b. Datuk Sosilawati Lawiya 47, dan 3 mangsa yang lain (juga dibunuh kejam setelah hilang sejak 30 Ogos 2010 - Kuala Lumpur)

c. Mohamad Adam Muzaffar telah disembelih oleh bapanya (Muhaimi Sautar 33, pada 24 Ogos 2010 - Kota Bharu)

d. Noraini Ahmad, 20, dirogol dan dibunuh dengan kejam, ditemui dalam keadaan kepalanya cedera parah dan tangannya diikat dengan dawai pada 12 Ogos 2010 - Sungai Petani) .

e. Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 8, dan Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, cedera parah di bahagian muka dan mata apabila disimbah cuka getah dalam satu kejadian amuk di Kampung Sekayu pada 15 Ogos 2010 - Hulu Terengganu)

f. Ilya Nabilah Rosnata, 19, ditemui mati dirogol dan dibunuh dengan kejam dengan kesan tikaman pada bahagian dadanya , dipercayai telah dibunuh seminggu sebelum dijumpai terapung di Sungai Bagan dan tangannya diikat pada sebatang pokok 21 Julai 2010 - Pulai Chondong, Machang.

g. Pengawal Keselamatan dibunuh dengan kejam dalam satu kejadian di Pekan Batu 9. Mangsa dipercayai telah dilanggar terlebih dahulu dan kemudiannya tangan kirinya dipotong dengan sebilah parang pada 4 Julai 2010 di Kajang.

h. Amir Khan Abdullah @ Balwant Singh, 53, ditemui mati berlumuran darah dengan tujuh tikaman di kepala sehingga terkeluar otaknya dan tiga tikaman di dada kiri di atas tilam dalam sebuah bilik di rumahnya pada 1 Julai 2010 di Selayang.

i. Siya Pandian, Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak mati ditembak di bahagian kepala dan dadanya di hadapan kedai mencuci kereta miliknya pada 15 Mac 2010 di Langkap Teluk Intan, Perak.

j. K. Haresarren 18 bulan mati selepas mengalami keretakan tulang rusuk , hatinya pecah dan lebam di seluruh tubuh kerana didera teruk pada 3 Mac 2010 di Petaling Jaya.

k. Pada 25 Februari 2010 , Syafiah Humairah 3, mati dipukul, disepak dan dipijak di Shah Alam

l. Atan Daud, 90, Sutiah Katas, 80, Ismail Awang, 76, dan Siti Khatijah Ismail, 22, ditemui terbunuh dengan begitu kejam pada 5 Januari 2010 di Gemencheh.

Tambah Nasrudin, DPPP percaya semua pihak bertanggungjawab terhadap usaha membanteras jenayah, namun kerajaan adalah pemegang amanah untuk meletakkan rakyat dan negara dalam keadaan selamat, aman dan sejahtera.

Rakyat, katanya tidak boleh dikaburi dengan kenyataan-kenyataan hipokrit dan bersifat retorika politik semata-mata.

Sehubungan itu tegas Nasrudin, syariat Islam merupakan jalan penyelesaian yang paling tepat untuk menyelamatkan rakyat daripada terus hidup dalam kebimbangan akibat jenayah yang kian meruncing.

"Sekadar mengutuk sekeras-kerasnya segala jenayah yang berlaku tidak boleh merubah apa-apa kecuali satu tindakan berkesan dan bersepadu dengan gandingan semua pihak iaitu kerajaan dan rakyat dilakukan secara bijak demi masa depan negara.

"DPPP sekali lagi melihat Islam dan syariatnya adalah satu solusi tepat untuk menghindarkan negara dari badi jenayah yang semakin menular," tegas beliau.

Dalam pada itu, DPPP turut mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Ismail Omar yang telah dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru menggantikan Tan Sri Musa Hassan.

DPPP, katanya berharap agar beliau dapat berkhidmat dengan adil, telus, benar dan saksama serta cekap dan tegas membasmi rasuah dan jenayah dalam negara ini.

harakahdaily
15.9.2010

No comments: