Mengenang Zaihasra
Nama sebenar penyair ini ialah Zaitun Abdullah. Beliau dilahirkan di kampung Sg Buluh, Alor Gajah, Melaka pada 28 Februari 1951.Beliau memperolehi pendidikan asas di Melaka. Kemudiannya berhijrah ke Kuala Lumpur dan bertugas di Radio Malaya, Angkasapuri.
Kehadiran beliau dalam dunia penulisan puisi telah menyerlah bakat serta potensinya, terutama apabila dalam tempoh tiga tahun berturut-turut, beliau telah memenangi Hadiah Karya Sastera dengan puisi-puisinya berjudul “Lautan di Waktu Subuh” pada tahun 1973, “Di Sini Waktu yang Luka”, “Sebuah Cinta Semakin Ungu” dan “Satu Detik yang Teruji”. Ketiga-tiga buah puisinya termuat dalam kumpulan puisi Dalam Pelarian Satu. Selain itu ada lagi antologi beliau iaitu dalam pelarian Tiga serta beberapa antologi lain.
Pada pandangan saya penyair ini mempunyai bakat yang besar sebaris dengan beberapa penyair wanita yang lain seperti Dato' Zurinah Hassan dan Siti Zainon lsmail. Namun umurnya tidak panjang.
Pada 22 November 1989, dalam usia 38 tahun, Zaihasra telah menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Besar Kuala Lumpur akibat sakit buah pinggang yang dihidapinya sejak beberapa lama dulu. Jenazah beliau disemadikan di Taman Greenwood, Gombak. Pemergian Zaihasra adalah suatu kehilangan yang besar dalam dunia kesusasteraan Melayu tanah air.
Sebuah sajak beliau yang menarik;
LAUTAN Dl WAKTU SUBUH
Lautan di waktu subuh
Tidak mengharukan, sepi tidak juga
Lautan di waktu subuh
Tidak bengis, tidak juga dahsyat
Lautan di waktu subuh
Ianya seorang gadis baru merasai
Nikmat keriaan hidup di malam pernikahan
Melimpah keriangan membanjiri jasadnya
Nikmat meliputi mempesonakan.
Mahu disuarakan keseluruh dunia
Tapi, dalam genta keriaan subuh itu
Ianya malu pabila mengenang sekian
Yang mengerikan buat pertama kalinya
Namun itulah kebenaran-lembut dan malu!
Lautan diwaktu subuh
Ianya gadis yang menghirup rindu
Dengan rahsia sebuah malu
Lautan di waktu subuh
Di mana langit dan lautan bertemu di ujungnya
Adalah pandangan yang menakjubkan
Riak mengusik gelombang beralun, ombak berteriak!
Adalah peralihan waktu, fajar sinar dewasa
1972.
Puisi ini menarik kerana bahasanya yang lembut dan romantis, penuh unsur personafikasi, ambiguiti , simili dan berbagai unsur puisi.
Zainal Lasim,
Rawang,
7.6.2020
19.34.
No comments:
Post a Comment