Faridah Idah bersama Djazlam Zainal
15 Oktober 2018
· Nota:
Ulasan Penuh "JAWAPAN KEPADA TUHAN" oleh Om
Djazlam Zainal
yang juga penulis "AKAR" yang Dr. FJ kongsikan semula untuk tatapan anda.MENCARI JAWAPAN KEPADA TUHAN FARIDAH IDAH oleh Djazlam Zainal.
Dunia sastera Malaysia semakin dihiasi dengan banyak profesion di luar bidang sastera, menulis karya sastera. Kehadiran terbaru adalah Faridah Jaafar atau Faridah Idah. Faridah merupakan Pensyarah Kanan, Bahagian Sains Politik di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Memasuki dunia sastera adalah seperti turun daripada kawasan pergunungan, lalu menaiki kapal untuk belayar menempuh samudera (hal. xv). Sastera bagi Faridah memberi satu keterujaan baru kerana profesionnya tidak memungkinkan beliau berfikir secara kreatif. Tetapi sebagai seorang manusia, sensitiviti itu adalah kepekaan rohaniah yang tak mungkin dibendung selamanya. Barangkali begitulah permulaannya bagi Faridah tercebur dalam dunia kreatif terutamanya penulisan puisi ini secara total.
Faridah dilahirkan pada 2 Mei 1972, di Taiping, Perak, Mendapat pendidikan awal di SMK Tengku Menteri dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Tingkatan enam di Sek. Men. Dr. Burhanuddin, Taiping. Mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Politik daripada Universitas Hasanuddin, Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia. Bagi mendapatkan Sarjana dan kedoktorannya (Ph.D) Faridah melanjutkannya di Universiti Malaya dalam bidang Sejarah Malaysia dan Sains Politik. Fokusnya ialah tentang hubungan antarabangsa, dasar luar negara, komparatif dasar luar dan personaliti dan pemikiran politik. Beliau telah menghasilkan beberapa buah buku antaranya Perdana Menteri dan Dasar Luar 1957-2008 (Penerbitan UM) Menteri-Menteri Kabinet Malaysia 1955-2008 dan banyak lagi.
Dalam bidang puisi, Faridah mendapat rangsangan terus dari Prof. Muhammad Haji Salleh untuk tidak mengabaikan bakat seninya yang ada. Banyak puisinya tersiar dalam akhbar dan majalah dan menjadikan kumpulan puisi perseorangannya, 'Jawapan Kepada Tuhan' (ITBM, 2018) sebagai sandarannya untuk terus ke hadapan dalam bidang kesusasteraan tanah air.
Kumpulan puisi 'Jawapan Kepada Tuhan' mengandungi 100 buah puisi pilihan yang ditulis sekitar 2016 dan 2017. Waktu ini merupakan waktu paling kritikal baginya untuk melonjakkannya berkarya. Keseluruhan puisi menjurus kepada keredhaannya menerima takdir bahawa orang yang disayanginya mengalami diagnosis kanser limfoma iaitu sejenis kanser darah pada tahab kritikal. Menemani, merawat dan memberi rangsangan untuk kelangsungan hidup kepada insan tersayang di hari-hari terakhirnya, intuisi begitu mendesak dan rancak membiakkan informasi harapan dan kemungkinan. Semua ini tercatat dalam bait-bait puisi yang dilahirkan demi kelangsungan tersebut.
Luahan itu dapat kita rasakan dalam puisi 'Rasamu Resahku' melalui frasa ini;
dia menjalaninya di dalam
dan aku menantinya di luar
Dua kontradiksi waktu dan peristiwa. Sang suami menjalani seluruh kesukarannya di dalam wad sedangkan si isteri menanti kesabaran dan perkabaran di luar wad. Dalam dan luar memberi signifikennya sendiri. Dalam mungkin memperlihatkan persekitaran tempat. Dalam dan luar juga barangkali memberi signifiken kepada tingkahlaku luar dan dalaman seseorang menghadapi permasalah kegentingan dan kegawatan.
Faridah selanjutnya menulis;
namun
kita berkongsi rasa yang sama
selagi jasadmu dan aku bernyawa
Peristiwa-peristiwa sedemikian juga dapat kita hayati dalam puisi 'Bingung' (hal. 9)
mata berkaca
tidak mengenal warna
lidah tidak berkata
walau sepatah cuma
Lantaran perasaan itu, hanya 'Kupohon' (hal.10) sebagai konklusinya;
aku tetap bermohon lagi
bermohon dipermudahkan
bermohon ketenangan
bermohon dia kembali kepadaku
bermohon kaupinjamkan dia
kepadaku
(II)
Keresahan tidak selalu bersambung dengan kedukaan. Penyair seakan dapat menyelami keresahan alam sekitar. Seperti manusia, alam juga berkisah. Dalam sajak 'Hijau Yang Diam' (hal.86) Faridah menulis;
setibanya musim semi
aku asmarakan
ungu kesukaanmu
seperti nota
awal pertemuan
Alam juga seperti manusia. Musim selalu berganti;
kini kau
mencumbui hijau
sedang aku
haus mencari
hujan
Muhammad Haji Salleh mengatakan, saya kira puisi kita hari ini tidak lebih "susah" daripada pantun masyarakat tradisional ( 1988:80) Terbayang kepada kita semacam prasangka terhadap seni puisi dan yang amat menyedihkan ialah kita lebih mengarah kepada bahasa yang klise dan tidak menggunakan kekayaan imaginasi penyairnya. Penyair yang terlalu sentimental juga sering tidak jujur kepada perasaan dan pengalamannya kerana membesar-besarkan kesedihan, kegembiraan atau keindahan hingga bahagian lainnya tidak jelas dan seimbang. Ini juga kadangkala tersasar oleh penyair yang mabuk dalam membombastikkan bahasa. Dalam hal ini, pengalaman penyair sendiri lebih mendorong terhadap kerasionalan apabila meluahkannya menjadi bahasa puisi.
Dalam 'Awan Merekah' (hal. 138) ditulis;
berpaut pada puing-puing pasrah
hanya mampu berserah
namun tidak pernah menyerah
akan terus tabah
Judul dan isi puisi telah bercantum antara unsur alam dan diri. Awan Merekah tentu berpaksikan alam manakala tidak akan menyerah merupakan keupayaan diri.
Besar kemungkinan pengalaman pemikiran rasional sebagai pemikir dan pengkaji politik mendewasakan Faridah dalam memilih dan memilah frasa-frasa kata bagi menggambarkan kejatidirian dan kemandiriannya sebagai penulis. Beliau dapat melepaskan kebiasaan penyair yang melankolik kepada kekuatan kerohanian yang sering dituntut oleh agama dan kehidupan normal....
(III)
Puisi sebagai sentuhan pengalaman kerap dilakukan oleh kebanyakan penyair. Marzuki Ali dan Rosli K. Matari menjadikan lawatan dan petualangannya ke negeri orang sebagai tema penulisan puisinya. Mantan Menteri Luar, Syed Hamid Albar menulis pengalamannya sebagai diplomatik negara untuk menulis puisinya. Bagi Faridah, pengalaman menemani dan menguruskan suaminya ketika terlantar di hospital bukan saja menekan emosi tetapi juga menggerakkan fikiran dan kreativitinya. Sudah tentu emosi dan kreativiti bergerak seiring dengan bahasa. Kegembiraan ketika mengembara tentu berbeda dengan suasana pilu dan getir menunggu kabar berita insan tersayang di bilik ICU.
Mengenai bahasa, T.S. Eliot mengatakan, seorang penyair itu ialah penjaga bahasa yang selalu diperbaharui. Kerja penyair ialah untuk memperkembangkannya, menggantikan bahagian-bahagian yang telah lusuh dan mengemaskinikan peribadinya untuk setiap usia dan zaman.
Dalam penggunaan bahasa, Faridah yang pernah mendapat pendidikan di Indonesia dan seorang pensyarah politik dan hal ehwal luar negara, tentu menerapkan beberapa pengetahuannya dalam bidang yang dikuasainya. Kelihatan jelas apabila kita membaca sajak 'Jawapan Kepada Tuhan' (hal. 151) tentang benturan kelainan tersebut.
apakah kamu siap menghadapi kemungkinan terburuk?
jawapan kepadamu adalah tidak. aku sama sekali belum siap.
biar siapapun yang bertanya begitu, jawapanku sama iaitu
tidak. sebab itulah juga jawapanku kepada Tuhan.
Dialog ini adalah dialog penyair di dalam hatinya sendiri. Dia belum pasrah untuk menghadapi setiap kemungkinan.
mungkin kaukira aku berakal-akalan dengan Tuhan/ biar pun aku tahu Tuhan mengetahui apa yang terlintas di benak fikiranku ini//
Membawa fikiran dan perasaan ke tengah laman pengalaman pembacanya ialah perkongsian bijak yang selalu dilakukan oleh penyair kepada audionnya. Saya rasa sebagai pembaca kita harus menelaah dan menyelongkar kisah-kisah besar yang jarang kita lalui. Membaca adalah jalan pintas untuk menjadi pandai, pesan A. Samad Said ketika ketika berpapasan dengannya di sebuah toko buku di ibu kota. Puisi juga adalah jalan pintas untuk kita tahu segalanya mengenai kerencaman dan kesulitan hidup.
Begitulah Faridah Idah menuliskannya dalam kumpulan puisi 'Jawapan Kepada Tuhan' untuk ditatap dan ditafsirkan.
Yang benar,
Djazlam Zainal
(Dr. FJ, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 15 Oktober 2018)
Nota: Terima kasih Om Djazlam Zainal atas resensi ilmiah "Jawapan Kepada Tuhan".
33
No comments:
Post a Comment