ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Sunday, June 13, 2021

 Analisa Puisi- Puisi FB Mei,2021- Bhgn.2

Puisi-Puisi Bulan ini agak banyak dengan tema yang hampir sama iaitu permasaalahan Palestin dan Covid 19. Namun puisi yangn saya pilih di bawah ini terkeluar dari tema tersebut. Puisi ini agak romantis Dan menyentuh perasaan bagi yang membacanya. Puisi nukilan Sabariah Eda Yaakub ini berjudul Aku Hanya lnsan Biasa, Maafkan Aku. Kita lihat dulu puisinya:
AKU HANYA INSAN BIASA, MAAFKAN AKU
Teman yang dikasihi dan diRahmati Allah,
maaf sekiranya selama perkenalan ini, aku telah banyak membuat hatimu, terluka tanpa ku sedar, asalkan dirimu tahu, tidak pernah terdetik di lubuk hati, cipta kanvas suram di hatimu, waima benam belati tusuk pedih luka, hidup sengsaramu
Sememangnya aku akui, aku banyak khilaf, jauh dari kesempurnaan, dan sejujurnya aku tidak setanding dirimu, wajarkah aku disisihkan atas kekuranganku ini, andai itu keputusan dan kata hati kecilmu, aku akur dan sudah pasti aku tidak menyalahkanmu, rambut kita sama hitamnya, namun untuk memiliki jiwa dan benturan hati yang sama suatu yang mustahil, jika itu telah jadi suratannya
Teman yang aku sayangi, aku tidak pernah diburu sesalan bertemu denganmu, lantas banyak ilmu dan pedoman aku perolehi, terimakasih buatmu teman, telah hadir warnai hidupku, walau aku tidak pernah indah di hatimu, bagiku setiap yang berlaku adalah episod puitis perjalanan hidupku, aku jua ada kehidupan sendiri untuk diteruskan, menuju dermaga bahagia dan gapai redha llahi
Teman yang dikasihi, aku rela berundur diri andai hadir aku cuma membekas lara di hatimu, aku ingin belajar miliki hati waja, tidak mudah luntur, tidak mudah rebah, dan pastinya aku akan rindui saat-saat indah itu, namun dirimu usah dirundung resah, usah dihambat kesalan, aku berlalu bukan untuk membenci, perginya aku demi cipta sinar bahagia buatmu, dan sudah pasti utuh kutitip doa tulus buatmu, demi kelangsungan hidupmu dan hidupku, usah disesali perpisahan ini, demi sebuah kebaikan, demi sekeping hati, kerana aku sekadar insan biasa, yang tak punya apa-apa
SABARIAH EDA YAAKUB
Seberang Takir, Terengganu
22Mei2021
Penyair pertama-tama memohon maaf dari temannya kerana mungkin dalam tempuh perkenalan itu dia banyak menggores perasaan temannya, melukakan hatinya, seolah dia telah mencipta kanvas suram di hati temannya.Mencipta kanvas suram adalah satu perbandingan yang membawa maksud menimbulkan keresahan dan ketidaktenteraman di hati temannya. Penyair juga memataforakan dengan pisau belati yang dibenamkan ke dalam hati temanya yang mungkin kesan luka yang mendalam ditinggalkan.
Pada rangkap berikutnya beliau mengakui kesilapan yang mungkin dilakukan akibat ketidaksempurnaan dirinya. Malah beliau menyatakan ia tidak setanding dengan temannya itu dan merendahkan diri seolah dia tidak sempurna dan tidak layak dalam pertemanan. Ia mengakui rambut sama hitam namun jiwa dan hati tidak sama. Pada perkataan benturan hati saya rasa kurang sesuai. Benturan adalah pertembungan, manakala hati yang tidak sama tidak bertembung. Ia hanyalah satu ketidaksamaan. Penyair seharusnya mencari kata-kata yang lebih sesuai untuk menyatakan kesepaduan hati sukar dicapai akibat beberapa perbezaan.
Pada rangkap berikutnya penyair menyatakan dia tidak menyesali pertemuan ini, namun banyak pengalaman yang diperolehinya.
Bagi penyair itu adalah 'episod puitis dalam perjalanan hidupku'. Satu diksi yang saya kira baik untuk puisi ini.
Selanjutnya penyair merelakan perpisahan yang berlalu dan menasihati temannya 'usah dirundung resah' juga satu diksi yang baik. Demi kebaikan' dia merelakan perpisahan itu, kerana dirinya tak punya apa-apa dalam hidup ini, yang membayangkan sedikit kesal walaupun merelakan perpisahan itu.
Keseluruhannya puisi ini adalah baik, cuma bahasa yang agak polos , yang perlu diekonomikan lagi bagi mengelakkan pembaziran kata-kata.
zainal lasim@
Ibnu Lazim,
30.5.2021.
01.18.

No comments: