Ulasan Puisi-Puisi FB April 2021-. Bahg.3
Ketika ini Ramadan sudah pun menjejak hari ke Hari terakhir, Dan esok tidak Syawal akan menjelma. Umat lslam akan merayakan Aidilfitri, tanda kenangan melawan nafsu sendiri. Apakah sedih atau tidak dengan berakhirnya Ramadan, diri sendiri yang tahu. Apakah kita bertemu lagi pada Ramadan akan datang, hanya takdir yang menentukannya.
Namun para pemuisi kita tetap rancak berpencak menghasilkan puisi-puisi saban hari. Kali ini saya ingin meperkatakan sajak Lompat karya Pena Permai. Lompat melompat ini sudah menjadi tradisi kepada parti-parti politik tanah air sejak dahulu lagi, sehingga ada yang terkenal sebagai alkataki suatu ketika dahulu. Untuk melihat lebih jelas isu ini, Kita lihat dahulu puisinya:
LOMPAT
Sampai bila ingin melompat
dari dahan ke dahan
berpaut di dahan rapuh
jatuh juga mati si katak
tersadung sarang tebuan
jatuh bagai nangka busuk
yang terlena asik dibuai mimpi
di kelilingi puteri-puteri bunian
tersesat mencari jalan pulang
dikatakan siang tapi malam
begitu dia menunggu hari.
Di sebelah sana menyanyi bersiulan
lagu berbagai melodi satu lirik
mengharap musim berbuah ranum
yang gugur busuk haprak
sedang putik disantap tupai
sepandai tupai melompat
ke tanah juga
perhitungan tidak menjadi
kenyataan.
PENA PERMAI
Kajang,Selangor
10hb.April 2021.
Isu melompat yang diperkatakan dalam sajak di atas adalah isu sinikal yang menyentuh perwatakan ahli-ahli politik kita yang suka melompat parti.
Mereka umpama burung yang melompat dari dahan ke dahan membawa maksud tersirat dari parti ke parti melalui sistem demokrasi dan raja berpelembagaan.
Penulis menggunakan istilah katak jika mereka terjatuh dan mungkin tersedung sarang tebuan. 'Sarang Tebuan' mempunyai pelbagai makna seperti disabitkan kesalahan yang kabur, lalu dipenjara sekian tahun lamanya. Unsur ambiguiti ini memberi makna berlapis dalam sajak ini.
'Jatuh bagai nangka busuk' juga boleh ditafsir dengan pelbagai makna. Manakala mereka yang selesa di kelilingi oleh Puteri bunian, sesuatu yang lumrah dalam masyarakat Melayu. Ia menjurus kepada gadis-gadis cantik atau perempuan simpanan yang memang menanti laba dari ahli-ahli politik yang mabuk kuasa.
Pada rangkap berikutnya ahli ahli politik ini hidup dalam kegembiraan dengan digambarkan sebagai menyanyi bersiulan seperti burung-burung sedang gembira. Mereka mengharap musim berbuah ranum yang maksudnya PRU kerana ketika itulah wang akan keluar dengan banyaknya sebagaimana janji-janji pilihanraya itu serta hadiah dan wang untuk membeli undi dan janji projek- jutaan ringgit, Dan tender-tender akan keluar untuk memenuhi janji itu. Musim sebegini oleh Pena Permai dibandingkan dengan buah ranum, satu perbandingan yang baik untuk keadaan sebegini. Namun buah-buah ranum itu disantap oleh tupai dahulu. Mereka menunggu janji-janji kosong dari ahli politik tetapi tupai juga gagal serta jatuh ke tanah sehingga apa yang diharapkan itu tinggal harapan kosong semata. Ianya tidak menjadikan keadaan tidak sebagaimana yang dibayangkan.
Sajak di atas masih agak longgar penyampaian bahasanya, namun penulis banyak menggunakan perbandingan, metafora dan unsur similie. Hal-hal sebegini menjadikan sajak ini agak kuat dengan perbandingan- perbandingan yang menarik.
Penulis atau penyair juga mengambil tamsil ibarat dari perumpamaan Melayu iaitu sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Walau pun perumpamaan ini agak klise, namun ia dihidupkan kembali di mana ramai anak-anak muda kita kini hampir melupakan perumpamaan Melayu ini. Dan mungkin sebahagian anak muda kita tidak mengetahui Bahasa Kita kaya dengan perumpamaan, kecuali apa yang mereka pelajari di sekolah-sekolah.
zainal lasim
@ibnu lazim
12 .5.2021
6.17am
No comments:
Post a Comment