ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Sunday, June 13, 2021

 Analisa Puisi- Puisi FB, Mei,2021-Bhgn.1

Kemeriahan Aidilfitri yang memang pun kurang meriah bagi bagi tahun ini sudah terasa berkurangan dari hari ke hari akibat kita masih dalam suasana PKP, sama seperti Aidilfitri 1441. Namun dunia puisi tetap meriah kerana pemuisi- pemuisi terus mencurahkan rasa dan fikiran mereka ke dalam Puisi-Puisi yang lahir saban hari di media sosial ini. Ini ditambah pula dengan kekejaman Zionis ke atas Palestin sehingga negara itu menikmati Aidilfitri berdarah yang negara kita tidak pernah mengalaminya. Pemuisi pimpinan Datuk Wan Razuhar mengadakan satu program khas dalam tragedi berdarah ini.
Selain puisi-puisi Palestin terdapat juga tema-tema lain yang disorot oleh para penyair kita.
Di antara puisi-puisi itu saya menemui dua buah puisi Dr.Faridah Jaafar atau lebih dikenali sebagai Dr.Fj yang berpotensi sebagai salah seorang penyair penting dalam dekad-dekad mendatang.
Kita lihat sebuah puisinya di bawah ini dahulu:
KUNCI PENDUA
Ketika kamu meminta aku membuka pintu hati aku buat kamu, aku justeru bingung. Aku bingung kerana kuncinya telah lama hilang dan terus terang tidak ada kunci pendua untuk membuka pintu hati aku buat kamu. Kamu bilang sekiranya begitu kamu panggil tukang kunci aja. Aku bilang kalau begitu mendingan aku bersama tukang kunci aja ya, kerana dia yang berusaha membuka pintu hati aku dan bukannya kamu.
(Dr. FJ, USM, PP, 17 Mei 2020)
Sajak di atas dipanggil puisi prosa oleh
Datuk Jasni Mat Lani (Dewan Sastera Bulan ?) iaitu puisi yang menyerupai prosa. Dalam puisi ini Dr. Fj merasa bingung bila ada seseorang meminta beliau membuka kunci pintu hatinya kerana kuncinya telah lama hilang dan tidak ada kunci pendua buat membuka pintu hatinya. Pada hemat saya kunci hati Dr. Fj telah dibawa oleh Babah ke negeri abadi beberapa tahun silam.
Selanjutnya Dr.Fj menyatakan kepada seseorang itu tidak ada kunci pendua untuk membuka hatinya. Kalau pun orang itu memanggil tukang kunci untuk membuat kunci pendua, lebih baiklah dia bergandingan dengan tukang kunci itu.
Apa yang dapat saya simpulkan di sini tidak mungkin, sekurang-kurangnya beberapa tahun mendatang , akan ada orang yang boleh membuka pintu hatinya. Dalam tulisan-tulisannya yang lain, hatinya dikatakan telah dibawa pergi oleh Babah (suaminya) yang telah kembali ke hadirat illahi buat selama-lamanya.
Kartu Terakhir
Berbaur antara manisnya madu
dengan masinnya airmata
dan akhirnya memilih untuk pergi
kerana yang dikecap adalah pahitnya alkali
Perit mengeluarkan kartu terakhir
nota perpisahan namun itu
jawapan istikharah dari Tuhan
di malam malam terakhir penyerahan
(Dr.FJ,PPPJJ,USM, PP, 19 Mei,2021).
Di atas adalah sebuah lagi puisinya yang juga membawa gaya puisi prosa berjudul kartu terakhir. Puisi ini agak melankolik dan bernada sayu dalam menghadapi saat-saat- terakhir bersama Babah. Dia terpaksa memilih antara masinnya airmata dan manisnya madu sewaktu melepaskan Babah pergi kerana masanya telah sampai. Dalam reda penyair menerima takdir itu, namun itu adalah sesuatu yang terpaksa diterimanya walaupun sepahit alkali. Memang diakuinya perit untuk menerima perpisahan/kartu penyerahan tetapi itulah jawapan istikharah yang diterimanya dari Tuhan, kemudian menjadi judul kumpulan puisinya ,Jawaban Kepada Tuhan yang diterbitkan oleh ITBNM dua tahun lalu.
Dalam kedua-dua puisi di atas Dr.Fj menggunakan beberapa analogi seperti tukang kunci, kunci pendua dan kartu terakhir untuk menyampaikan mesej kepada pembaca atau audiennya.
Saya memilih sebuah puisi lagi untuk diperkatakan, iaitu puisi Lia Kesuma berjudul Biarpun Berlalu yang diperturunkan di bawah ini:
Biarpun Berlalu
Jejak- jejak kakimu yang kau tinggalkan
di pantai hatiku
akan sirna di sapu puin waktu
namun tidak pada kenangan
yang kau tanam
di dasar lautan hatiku
Ia kekal di situ
tiada luput ditelan waktu
walau dekad berlalu
Lia Kesuma
19/5/2021
Pada pandangan saya puisi ini membawa tema cinta menjadi kegemaran sesetengah penyair, khususnya wanita. "Jejak-jejak kakimu yang kau tinggalkan, di pantai hatiku" adalah imej atau bandingan kesan emosi yang ditinggalkan oleh kekasihnya. Namun kesan itu akan hilang bersama berlalunya waktu. Namun ada yang tidak bakal hilang, iaitu kenangan yang terbenam di dasar hatinya. Ianya sangat dalam bila Lia Kesuma memetaforakannya dengan "dasar laut hatiku".
Kenangan itu menurutnya akan kekal di situ. Ia tidak akan luput ditelan waktu. Walaupun dekad berlalu. Satu dekad adalah sepuluh tahun. Lia Kesuma sepatutnya menyebut beberapa dekad berlalu, agar puisinya lebih
mantap
dan meninggalkan kesan kepada audien.
Namun begitu , kesemua puisi yang dibicarakan adalah baik dan memberikan mesej yang jelas kepada khalayak.
zainal lasim@
Ibnu Lazim
21.5. 2021
01.08am.

No comments: