ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Thursday, January 8, 2009

IJN: Keputusan Sime Ringankan Beban Kerajaan

IJN; Keputusan Sime Ringankan Beban Kerajaan

Oleh: A Kadir Jasin

SETIDAK-TIDAKNYA sebatang duri telah dikeluarkan daripada daging Kerajaan Pusat apabila konglomerat perladangan Sime Darby Berhad membatalkan rancangannya menswastakan Institut Jantung Negara (IJN).Pada 6 Januari ia mengumumkan pembatalan cadangan memohon kelulusan kerajaan untuk menswastakan IJN setalah mengambil kira sentimen umum dan maklum balas mengenainya.Ketua Eksekutif dan Presiden Kumpulan Sime Darby, Ahmad Zubir Murshid berkata syarikatnya terpaksa menghormati kehendak rakyat yang mahukan IJN kekal dalam bentuknya sekarang.

Baguslah kalau begitu. Tetapi alangkah baiknya jikalau Sime Darby dan pihak-pihak yang bersekongkol dengannya dalam cadangan itu menyelidik pendapat umum dan berfikir terlebih dahulu sebelum membuat cadangan itu.Walaupun Sime Darby sudah membatalkan hasratnya, imej dan nama baik kerajaan telah pun tercemar. Banyak pihak amat marah dengan kerajaan kerana memberi persetujuan dasar kepada cadangan itu.Malah kerajaan tidak pun membatalkan cadangan itu walaupun ditentang hebat oleh pelbagai pihak. Kabinet sekadar menangguhkan keputusan mengenai cadangan Sime Darby itu.Nasib baiklah bagi kabinet kerana kini Sime Darby sendiri mengambil keputusan tidak meneruskan cadangan itu. Sekarang kabinet tidaklah perlu pening kepala lagi.

Keputusan Sime Darby itu tentulah melegakan Umno dan Barisan Nasional yang sedang bertungkus-lumus mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam pilihan raya kecil yang sedang berjalan sekarang.Sama ada Sime Darby benar-benar membuat keputusan itu atas kehendak dan kesedarannya sendiri atau atas desakan politik, ia akan mengurangkan tekanan ke atas Kerajaan BN.Lagipun, Sime Darby mempunyai kepentingan yang lebih besar untuk dilindungi agar tidak meletup menjadi satu lagi kontroversi iaitu kebenaran yang diberikan kepadanya untuk memajukan Terminal Tambang Murah baru di Labu, Negeri Sembilan, yang akan disewakan kepada AirAsia.

Ia kini bercadangan memajukan sebuah projek bernilai RM6 bilion bernama "KLIA East@Labu".Sime Darby terpaksa melancarkan projek-projek baru bukan perladangan bagi mengatasi masalah pergantungan yang keterlaluan terhadap sektor perladangan hasil penggabungan dengan Kumpulan Guthrie dan Golden Hope pada tahun 2007.Tanpa pendapatan yang lebih besar daripada sektor bukan perladangan, Sime Darby mungkin mengalami masalah keuntungan akibat harga minyak kelapa sawit yang semakin murah sekarang.


(Maaf Dato' kerana tak minta izin siarkan rencana ini dalam blog ini)

8.1.2009