ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Friday, October 1, 2010

Nik Aziz ajak ahli UMNO sertai Pas kukuhkan Melayu

KOTA BHARU – Ahli UMNO diajak sertai Pas dalam usaha mengukuhkan perpaduan dalam kalangan bangsa Melayu.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, orang Melayu sepatutnya berada di dalam Pas memandangkan parti itu mewakili semua yang beragama Islam dan sebagai orang Melayu yang beragama Islam tidak ada sebab parti itu ditolak.

“Tak perlu bertanding... saya sokong sangat la. Kalau boleh untuk berterusan. Melayu hanya satu, kenapa parti ada dua. Jadi kalau boleh bukan setakat pilihan raya kecil ini sahaja UMNO tak payah bertanding.

“Semua Melayu duduk dalam Pas. Islam ini bukan untuk Melayu sahaja untuk umat manusia semua. Maka Melayu tak Melayu pun semua duduk di dalam Pas. Senang tak ada apa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan yang mencadangkan supaya UMNO tidak bertanding pada kerusi Dewan Undangan Negeri Galas pada pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi.

sinarharian,
30.b9.2010
Ku Li dilantik Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional di GalasKUALA

LUMPUR 29 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Menurut Timbalan Presiden UMNO itu, perkara tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO yang bersidang hari ini bagi membincangkan persiapan parti menghadapi pilihan raya tersebut.

‘‘Dengan persetujuan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, saya telah menghubungi Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu untuk memberitahu beliau mengenai keputusan parti tersebut.

‘‘Beliau bersetuju dengan keputusan berkenaan,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO turut memutuskan bahawa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed dilantik sebagai Timbalan Pengarah pilihan raya berkenaan dengan dibantu jentera parti di peringkat negeri dan pusat.

‘‘Saya yakin dengan kepimpinan Ku Li yang amat berpengalaman, berpengaruh lagi dihormati oleh pengundi-pengundi di Galas.

‘‘BN yakin peluang kita untuk meraih kemenangan adalah lebih cerah,’’ jelas beliau.

Sementara itu, Tengku Razaleigh berjanji akan membalas kepercayaan pucuk pimpinan parti dengan membantu calon BN merampas semula kerusi DUN Galas.

Menurut beliau, UMNO bahagian itu tidak mempunyai sebarang masalah dan bersedia mengatur persiapan menghadapi pilihan raya di kerusi yang pernah menjadi kubu BN.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, pihaknya yakin untuk merampas semula kerusi tersebut kerana ia sememangnya milik BN yang hanya tewas sekali kepada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

“Pelantikan ini merupakan satu penghormatan kepada saya dan kita akan menyusun strategi terbaik untuk mengambil semula kerusi ini.

‘‘Pas hanya sekali menang di DUN Galas iaitu pada pilihan raya umum lepas disebabkan gelombang yang melanda seluruh negara,” katanya yang kini berada di London ketika dihubungi Utusan Malaysia .

Ini merupakan kali pertama Ketua UMNO Bahagian diberikan tugas sebagai pengarah jentera bagi sepanjang siri pilihan raya kecil yang berlangsung selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.

Galas terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang yang mempunyai tiga kawasan DUN. Dua lagi kawasan ialah Paloh dan Nenggiri yang dikuasai oleh BN.

utusanonline.com.my
30.9.2010

Thursday, September 30, 2010

Sebentar Di majlis Jamuan Akhbar Siasah


Mohd Sayuti-pemilik Siasah.


Kuala Lumpur-30 September

Kebetulan saya ada urusan di Pejabat Cawangan Celcom di Jalan Pahang Barat berdepan dengan Hospital Tawakal yang baru tengah hari tadi (jam 1.00pm) dan sebaik selesai saya. Pada mulanya saya ingin bertemu Sdr.Lutfi Othman, para kakitangannya berkata dia di Pejabat Siasah, ada jamuan Hari Raya. Saya pun singgahlah sebentar di jamuan tersebut,sedangkan saya masih puasa lagi.

2. Kebetulan pula ada seorang hamba Allah memberi laluan untuk saya duduk di sebelah YB Datuk Mustapha Ali. Di sebelah kiri pula ialah Subki Latiff. Saya yakin mmereka tidak mengenali saya. Saya lihat juga Sayuti Omar sedang borak-borak tidak jauh dari Datuk Mustapha Ali. Saya bertanyakah kepada Datuk, sudah adakah calon di Galas, jawab YB itu belum.

3.Kemudian saya bercakap-cakap sedikit dengan Subki Latiff,sambil berseloroh mengatakan saya sudah lama tidak mendengar tuan berceramah. Katanya tak ada orang panggil. Kalau ada orang panggil saya pergi juga, walaupun sudah agak tua. Ya, beliau kelihatan sudah agak tua, mungkin lama saya tidak melihat beliau.

4. Akhirnya saya minta diri kerana saya masih ada kerja dan terikat dengan waktu 8.30-5.00 petang, dan sampai di pejabat pada jam 2.30pm. Kemudian saya menulis laporan ini. Kalau ada Lutfi mungkin dia kenal saya, kerana kami pernah berurusan suatu waktu dulu. Itu pun mungkin,mungkin juga tidak. Sejak dia sakit dan menjalani pembedahan jantung, saya belum lagi menemui beiau.

5. Kebelakangan ini saya kurang menulis di blog sendiri, saya cuma sempat copy and paste dari kawan-kawan lain. Insyaallah bila ada waktu saya akan menulis sendiri artikel,rencana atau berita yang disiarkan. Walaupun saya "salin dan tampal" dari kawan-kawan, namun saya akan sebutkan sumbernya. Saya tidak mahu dituduh plagiat. Lagi saya sudah menulis di laman-laman web sejak 1998 lagi, sejak DS Anwar di tangkap. Akhir sekali sewaktu turun saya terserempak dengan YB Salahuddin Ayub, dan saya sempat bersalaman dengannya sebelum meninggalkan Jalan Pahang Barat.

AlKundangi,
30.9.2010.
Timbalan KPN: Polis terima laporan penipuan bukan kehilangan Allal
September 29, 2010


KUALA LUMPUR, 29 Sept — Polis tidak menerima laporan berhubung kehilangan usahawan India, Allal Kanthan Muthuraja sebaliknya hanya menerima laporan berkaitan penipuan yang kononnya dilakukan oleh anggota polis dari Bukit Aman bagi “membebaskan” usahawan dari Chennai itu 29 Mac lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Hussin Ismail menolak dakwaan keluarga mangsa kononnya polis tidak bertindak sewajarnya untuk menyiasat kehilangan usahawan berusia 34 tahun itu sejak awal tahun ini.

“Kita sahkan ada terima laporan pada 29 Mac lepas di Balai Polis Klang oleh abang mangsa, Dr Kasi Viswanathan, berhubung penipuan yang didakwa dilakukan oleh “Polis Bukit Aman” yang meminta sejumlah bayaran bagi membebaskan usahawan India itu. Jadi pada masa itu kita siasat kes tersebut di bawah penipuan.

“Polis kemudian bertindak dan menyiasat kes tersebut sebagai orang hilang apabila satu laporan dibuat oleh isterinya, Usharani pada 8 Sept lepas,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun pada awalnya kes itu disiasat bagi kes penipuan, namun pada masa yang sama polis telah berusaha untuk menjejaki usahawan itu.

“Pegawai penyiasat telahpun cuba mengesan Muthuraja, namun tidak berhasil, sehinggalah pada 8 Sept lepas, apabila satu laporan dibuat tentang kehilangan Muthuraja, barulah kita siasat lebih mendalam lagi dengan kaitannya dengan siasatan kes jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain,” katanya.

Beliau meminta ahli keluarga Muthuraja agar memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan kes itu secara terperinci dan meminta mereka mendapatkan sumber yang sahih untuk mengetahui sebarang perkembangan terkini terhadap siasatan itu.

“Untuk mengelakkan daripada mendapat maklumat daripada individu-individu atau mana-mana pihak yang tiada kaitan dengan kes ini, kita telah melantik pegawai penghubung untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada keluarga mangsa,” katanya.

Hussin berkata ekoran laporan kehilangan usahawan itu, polis telah menahan dua lelaki tempatan secara berasingan iaitu di Taman Wilayah, Selayang dan Kampung Laksamana, Batu Caves sejak 10 hari lepas.

Ketika diminta mengulas tempoh tahanan reman lima suspek kes pembunuhan Sosilawati yang tamat Jumaat ini, Hussin berkata polis belum membuat sebarang keputusan sama ada menyambung reman atau tidak kelima-lima suspek terbabit. — Bernama
Nik Aziz Ajak Anggota Umno Sertai PAS Demi Perpaduan Melayu
September 29, 2010

KOTA BARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mengajak anggota Umno agar menyertai PAS sebagai cara menangani isu perpaduan orang Melayu.

Mursyidul Am PAS itu berkata ini kerana parti berkenaan mewakili semua yang beragama Islam, dan sewajarnya orang Melayu yang juga orang Islam berada di dalam parti tersebut.

"Umno tak payah bertanding selama-lama dan duduk dalam sebuah parti, iaitu PAS. Kalau boleh, tak perlu ada parti orang Melayu lain selain dari PAS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian komputer riba kepada 200 pelajar Kolej Masterskil Kampus Metro Kota Baharu, di sini, Rabu.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan agar Umno tidak menandingi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi.

Takiyuddin sebaliknya mencadangkan kerusi itu diserahkan kepada PAS demi perpaduan orang Melayu selain mengelakkan pergeseran berpanjangan antara dua parti utama orang Melayu tersebut.

Nik Abdul Aziz juga menegaskan perkara tersebut sudah sekian lama menjadi hasratnya.

Ditanya mengenai calon untuk pilihan raya kecil tersebut, Nik Aziz berkata PAS tidak mempunyai masalah untuk memilih calonnya.

"Sebagai sebuah parti yang sentiasa berada dalam persiapan sama ada musim pilihan raya atau tidak, soal calon sudah lama dikenal pasti, cuma ia akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

"Apatah lagi apabila PAS sudah ada kelab penyokong bukan Islam iaitu Cina yang boleh diletakkan sebagai calon jika perlu, cuma ia akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti," katanya.

Kerusi Galas kosong selepas penyandangnya Che Hashim Sulaima dari parti Pas meninggal akibat barah usus pada Isnin lepas. BERNAMA
Peneroka menang lagi kes saman Felda
September 29, 2010

Harakahdaily

KUANTAN, 29 Sept: Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini memutuskan peneroka Felda berhak mendapatkan bayaran tanam semula sebanyak RM1,700 seekar dari Felda walaupun mereka tidak menanam semula ladang mereka melalui badan berkanun itu.

Kaputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mariana Yahya ekoran saman yang dikemukakan oleh 10 peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3 terhadap Felda kerana enggan membuat bayaran itu kepada mereka.

Namun, Hakim itu memutuskan, bayaran itu hendaklah dibuat oleh Felda dengan syarat peneroka memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Felda.

Hakim menolak hujjah pembelaan Felda yang menyatakan peneroka tidak berhak mendapatkan jumlah itu kerana jumlah caruman mereka tidak sampai.

Namun, hakim memutuskan Felda perlu membayar jumlah itu kerana ia telah ditetapkan oleh Felda sendiri.

10 peneroka Felda itu diwakili oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin manakala Felda diwakili oleh Tetuan Abdullah Zainudian yang diwakili oleh Puan Doshi.

29.9.2010
Kerjasama padu kerajaan dan sultan untuk rakyat

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 30 Sept: Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, berkata Kerajaan Kelantan akan sentiasa memberi kerjasama yang padu pada Sultan Muhammad Ke-V, dalam apa juga urusan untuk perpaduan dan kepentingan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan cadangan merafak sembah perlantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Muhammad Ke-V dalam persidangan Dun Khas yang berlangsung sebentar tadi.

Menurutnya, kerajaan Kelantan turut merafak sembah terhadap perlantikan itu dan akan sentiasa memberi kerjasama kepada baginda.

Pada masa yang sama, Ahmad yakin program kebajikan rakyat yang dilaksanakan oleh ayahanda baginda sebelum ini dapat diteruskan oleh Sultan Muhammad Ke-V .

“Kerajaan negeri sentiasa akan memberi kerjasama kepada baginda bersesuaian sebagai ketua pentadbir negeri,” ujarnya.

Katanya, rakyat mengharapkan kebaikan dan keberkatan yang berlebihan dari Allah berikutan sikap baginda yang lebih mementingkan agama.

“Sultan yang memerintah dan bertaqwa kepada Allah bersesuaian dengan dasar kerajaan negeri Membangun Bersama Islam, dapat digarap bersama demi untuk keberkatan yang berlebihan,” ujarnya.

Beliau menambah,rakyat merasa bertuah apabila mempunyai sultan yang memayungi rakyat, apabila setiap tindak tanduk berasakan ketaqwaan kepada Allah.

Posted by admin at 9/30/2010 11:15:00 AM 0 comments

Labels: SEMASA

KEADILAN, PAS Tidak Ada Masa Layan Pelawaan Perkasa

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM 30 Sept - Pakatan Rakyat khususnya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menganggap cadangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia(Perkasa) untuk mengadakan rundingan meja bulat antara orang Melayu di dalam KEADILAN, PAS dan Umno sebagai satu pelawaan biasa dan tidak perlu diperbesar-besarkan

Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail berkata pada ketika ini, KEADILAN dan PAS mempunyai agenda yang lebih penting dan lebih utama daripada itu.

"Saya berpendapat adalah lebih baik KEADILAN dan PAS memberikan tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih penting daripada menerima pelawaan Perkasa untuk mengadakan perbincangan meja bulat berhubung isu orang Melayu.

"Kita menganjurkan supaya Perkasa meneruskan sahaja kerja buat mereka dalam lapangan yang mereka percaya.

"KEADILAN pula dalam konteks tersebut akan memfokuskan isu-isu utama seperti persiapan parti menjelang Pilihan Raya Umum akan datang serta memperkukuhkan organisasi," ujar beliau.

Pada masa yang sama, KEADILAN kata Ahli Parlimen Machang itu akan memperhebatkan lagi siri penerangan kepada rakyat terbanyak.

"Dalam kata lain, saya berpendapat pelawaan Perkasa itu sebagai pelawaan biasa dan tidak perlu diberikan tumpuan dan perhatian," ujar beliau.

Ahad lalu, Wira Perkasa Kedah mencadangkan supaya diadakan Rundingan Meja Bulat melibatkan Pemuda Umno, Pemuda PAS dan Angkatan Muda KEADILAN bagi membincangkan beberapa isu yang disifatkan menjadi penyebab perpecahan Melayu.

Ketuanya Shaharol Niza Omar berkata tujuan rundingan itu diadakan bagi merungkai permasalahan dan pertelingkahan yang berlaku sejak akhir-akhir ini antara Perkasa dan parti-parti politik itu.

kerabubersuara.blogspot.com
30.9.2010
Mimpi Umno-BN Hilang Kuasa Pada PRU-13 Bertambah Ngeri

Oleh Amir Hamzah

Melihat kepada suhu ketegangan kaum yang semakin dahsyat kini dan Umno pula kelihatan semakin fobia dan ekstrim dengan agenda Perkasa dan ultra-Melayunya, akhirnya Barisan Nasional akan dipulaukan secara total oleh yang bukan Melayu dan menyebabkan kejatuhan kerajaan BN yang terbina atas sifat kow-tow kepada orang Inggeris dahulukala.

Sekaligus membenarkan teori RAHMAN daripada kumpulan mistik penyokong Umno. Teori yang mereka gunakan untuk menafikan Anwar kini menjadi senjata terhadap mereka sendiri, kerana N untuk Najib adalah huruf terakhir; maka dacing itupun tumbang.

Kembalinya Umno kepada perjuangan ultra-Melayu adalah kesan langsung daripada kekalahan teruknya dalam pilihan raya umum 2008. Keadaan yang sama memperlihatkan PAS kembali kepada perjuangan negara Islam pada 2004 apabila Barisan Alternatif mengalami kekalahan teruk ketika itu.

Namun sentralisasi ini ada kelemahannya. Di dalam usaha memperkuatkan kembali parti maka segala persefahaman diantara sahabat politik akhirnya terbantut. Dan sokongan hasil daripada penggabungan dalam BA terhakis.

Situasi sama kini berlaku kepada Umno. Di dalam mencari penyelasaian kekalahan BN pada 2008, mereka kembali kepada perjuangan Melayu mereka tanpa mempedulikan persefahaman MCA dan MIC.

Maka timbullah isu 'Hak Melayu' dan 'Kedaulatan Islam Melayu' yang menghancurkan setiakawan antara tiga sekawan yang dahulunya dilihat sebagai 'Sekukuh Gunung Tahan'.

Kini MCA dan MIC hanya berpura-pura sesama-sendiri bersahabat dengan Umno dan Umno pula dilihat terus menerus menyerang kaum-kaum selain Melayu didalam usahanya menawan kembali 'base-support' mereka iaitu orang Melayu.

Kini MCA dan MIC hampir lumpuh diserang ahli mereka sendiri. Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyatakan bahawa BN sendiri yang akan menghancurkan BN, dan hakikat ini dilihat dalam percaturan terakhir BN dalam menghadapi PEMILU yang akan datang.

PR atau Pakatan Rakyat tidak lagi dilihat sebagai 'gabungan lemah' malah persepsi rakyat kini melihat mereka sebagai 'Government-in-Waiting'.

Pelbagai taktik digunakan Umno seperti rasuah sehingga tumbangnya kerajaan Perak, membuka semula kes Anwar dan menahan pimpinan mereka.

Namun ini adalah gerak longlai terakhir rejim zalim yang tersalah arah, dan PR akan mengorak langkah ke Putrajaya dengan penuh bergaya.

Umno mengatakan bahawa tujuan Anwar adalah untuk menjadi Perdana Menteri. Saya dan jutaan rakyat yang akan mengundi Pakatan Rakyat turut bersetuju dan berikrar akan melakukan apa jua untuk memastikan beliau ke sana.

Kenapa pula Umno tidak tertanya-tanya mengapa boleh pula Rosmah 'tergila-gila'kan gelaran First Lady? sehinggakan membuat 'First Ladies Summit' di Kuala Lumpur yang dihadiri oleh mereka yang turut 'tergila-gila'kan gelaran yang sama? Perlu kita ingat beratus negara menolak pelawaan Rosmah itu kerana mereka tahu penyertaan mereka memberikan legitimasi kepada Rosmah dan mereka tidak mahu dipergunakan untuk tujuan politik.

Ayuh kita berlaku adil dan letakkan sesuatu pada tempatnya yang sesuai.

kerabu bersuara.blogspot.com
30.9.2010

Tuesday, September 28, 2010

Kaedah politik Zaid Ibrahim

- RAHMAN SHAARI

Bagi peninjau politik yang tiada kecenderungan untuk menyokong seseorang secara tidak menentu, kaedah berpolitik Datuk Zaid Ibrahim adalah menarik. Zaid mungkin sebaik Datuk Ibrahim Ali dalam hal tertentu, dan sebaik Dr Syed Husin Ali dalam hal lain. Zaid dan Ibrahim menjadi popular kerana tingkah politik yang terang-terang tidak menuntut rasa senang sesetengah pihak, namun diterima baik oleh pengikut. Syed Husin tidak begitu popular, terutama kerana beliau bertindak terlalu cermat, warisan daripada cara parti sosialis.

Rahsia kejayaan mereka, antara lain ialah keberanian. Bagi mereka berdua, pendapat orang lain elok didengar sahaja, bukan diikuti, apatah lagi dipatuhi. Bagi mereka juga, pendapat sendiri adalah terbaik, kerana mereka betul-betul boleh berfikir. Memanglah besar jumlah orang tidak menyetujui cara dan isi kandungan politik Ibrahim, tetapi adalah silap untuk mengatakan jumlah orang bersetuju adalah kecil.

Saya ingin menyentuh hal-hal di sekitar politik Zaid. Tokoh ini pernah menjadi menteri, tanda beliau dipercayai oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri Islam Hadhari. Kepercayaan Abdullah itu dipergunakannya sebaik-baiknya bagi menyatakan sikap dan kaedah politiknya yang asing dan aneh dalam perkiraan UMNO. Akhirnya, atas beberapa alasan telah dinyatakannya, dengan terang tetapi tidak semestinya dipercayai, beliau berhenti dan keluar dari UMNO. Tidak lama kemudian, menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sepertimana Ezam anggap UMNO tidak bobrok, begitulah Zaid ketika itu memikirkan bahawa PKR tidak bobrok. Politik adalah begitu sahaja, tiada yang lain, sedikit pun tiada yang lain.

Dalam percakapan pada Hari Raya Aidilfitri di Perlis, saya ada nyatakan alasan utama Hukum Anjakan Makna ditubuhkan. Hukum tersebut akan membunuh segala konflik, kerana tujuan politik seseorang adalah sama, cuma kaedah mereka berbeza. Masih saya ingati, wanita aktif yang bernama Roselawati mengatakan Hukum Anjakan Makna tidak menarik, kerana dengan mengamalkan hukum ini, tiada lagi perkelahian.

Saya setuju dengan kata-kata Roselawati, kerana sekurang-kurangnya beliau dapat melihat bahawa Hukum Anjakan Makna memang berfungsi. Apabila kita bercakap tentang kebaikan sesuatu pihak tanpa mengatakan pihak lawannya buruk, maka hukum ini berlaku. Kita hendaklah bermula dengan melihat, Najib, Anwar, Muhyiddin, Azizah, Khairy, Azmin, dan lain-lain dalam deretan ini, mempunyai jalan fikiran yang berbeza, tetapi hasrat mereka sama: berpolitik.

Adalah sukar mendapatkan parti yang tidak bobrok, namun Zaid ketika itu memejam sebelah mata agar beliau dapat menerima dan diterima oleh PKR. Seperti terlihat jelas, beliau dipilih calon pilihan raya kecil. Zaid tentu amat senang dalam keadaan demikian, kerana pemilihan oleh PKR untuk beliau menjadi calon adalah tanda nyata bahawa beliau adalah wira.

Timbul isu karut dalam masa berkempen ketika itu – minum dan taubat – Zaid tahu cara hadapinya. Kekalahannya bukan kerana isu itu, tetapi hakikat politik Malaysia secara keseluruhannya.

Kecenderungan menjadi wira melekat pada diri seseorang sejak kecil. Filem-filem aksi, terutama filem-filem Hindustan, hampir seratus peratus melukiskan wira yang berani, dan sentiasa berjaya menentang musuh. Wira tidak akan dikatakan wira jika tidak muncul pengacau. Jika pengacau itu gagah dan penuh perancangan jahat, maka watak wira akan kian menyerlah. Wira selalunya hampir mati dibelasah penjahat, namun masih tetap cekal dan hebat.

Ketika makalah ini saya tulis Zaid sedang dihalang merebut jawatan Timbalan Presiden PKR. Zaid tetap dengan pendiriannya, dan beliau kini berhadapan penentangan yang wajar malah wajib ada pada peribadi wira. Beliau merasakan bahawa PKR tidak begitu demokratik kerana perjalanannya banyak ditentukan Ketua Umum, bukan oleh Presiden. Itulah musuh utama Zaid dalam konteks pertentangan ini.

Fikiran Zaid Ibrahim amat jelas, iaitu jika Datin Seri Dr Wan Azizah menjadi Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya menjadi ketua umum (yang tidak dipilih melalui undi ramai), maka PKR ialah parti yang ‘terkeluar’ dari landasan demokrasi. Apabila saya katakan watak-watak melanggar prinsip demokrasi ini dimusuhi Zaid, tidaklah saya bermaksud Zaid anti mereka, sebaliknya Zaid hanya mahu membaiki perjalanan demokrasi dalam PKR.

Saya mendapati pemikiran Zaid cukup jelas, sehingga beliau tidak sesuai berada dalam parti-parti politik Malaysia. Ahli-ahli parti politik di Malaysia, biarpun apa partinya, secara keseluruhannya berfikiran pro-feudal. Mereka menerima seseorang sebagai ketua, berasaskan mitos kelebihan, bukan kelebihan yang nyata, iaitu bukan berasaskan bakti sebenar, dan sikap tegas dalam membela rakyat. Di sisi lain, ahli-ahli parti politik Malaysia amat kagum dengan pidato. Jika ketua umum yang karismatik berpidato di atas busut, maka busut itu akan dikelilingi pengikut.

Adakah itu tidak baik? Saya kira tidak demikian. Biarlah politik berjalan dengan segala sifatnya, asalkan janganlah kita berkonflik berlebih-lebihan. Pada masa lepas, kita telah melihat Tun Mahathir disenangi ahli-ahli UMNO, hingga mereka tidak bosan mendengar pidatonya yang berjam-jam. Dalam andaian di atas, saya sebenarnya mahu mengatakan, bahawa pada satu ketika dulu, jika Mahahir berada di atas busut, itu jugalah yang terjadi. Demikian juga dengan Abu Bakar Hamzah, dan kemudiannya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Zaid berusaha mendidik ahli-ahli parti agar memahami demokrasi dengan jelas. Beliau sentiasa baik dari ukuran tertentu, dan tidak disenangi jika segi lain diambil sebagai tali ukur. Politik ialah lapangan banyak segi.

Zaid kini teringatkan UMNO zaman Tun Abdul Ghafar Baba yang ditentang Anwar. Katanya, beliau bukanlah penyokong Ghafar, tetapi beliau berasa kasihan kepada Ghafar yang dibuat begitu rupa, padahal Ghafar ialah Timbalan Perdana Menteri ketika itu. (Mingguan Malaysia, 26 September 2010). Dapat dikatakan, dalam hal sebegini, Zaid betul-betul bersikap demokratik. Beliau tidak takut menghadapi kekalahan, asalkan dalam pertandingan yang diadakan, demokrasi berjalan dengan baik.

Namun, kita masih terfikir akan sesuatu: Jika demikian sikap Zaid, belum ada parti politik di Malaysia yang sesuai baginya.

28.9.2010
Sinar Harian.



Bil elektrik TNB tinggi, siapa tertipu ?

RAKYAT MALAYSIA PERLU SEDAR KENAPA BIL TNB TINGGI !


Caj elektrik telah berlipat ganda dalam sesetengah kes bagi bil bulan April, 2010.

Dari laporan akhbar, perkara ini bukan hanya berlaku di negeri Kedah. Terdapat banyak rungutan sedemikian di negeri-negeri lain.

Antara alasan yang diberikan oleh TNB adalah bil-bil elektrik di kawasan tersebut hanya dapat dihantar sekali dalam masa dua bulan akibat kekurangan tenaga pekerja.

Malangnya, kaedah pengeluaran bil elektrik tersebut sekali dalam dua bulan membebankan dan mengakibatkan kerugian besar kepada para pengguna elektrik.

Contohnya, bagi pengguna elektrik rumah, setiap 500 unit elektrik yang diguna akan dicaj pada kadar RM0.286 seunit (KWH). Bagi 100 unit seterusnya, kadar yang dikenakan ialah RM0.378 seunit. Penggunaan seterusnya akan mengikut kadar yang meningkat

Sesiapa yang menggunakan lebih daripada 250 unit elektrik sebulan (iaitu lebih daripada 500 unit dalam dua bulan) akan mendapati kadar elektrik bagi 100 unit yang seterusnya akan meningkat kepada RM0.378 (iaitu peningkatan lebih daripada 32%).

Kaedah mengeluarkan bil elektrik dua bulan sekali tersebut adalah bercanggahan dengan kadar elektrik yang diluluskan oleh kerajaan bagi rakyat Malaysia.

Sumber : http://pascawanganbukitsentosa2.blogspot.com/2010/05/rakyat-malaysia-perlu-sedar-kenapa-bil.html

TNB LANGGAR UNDANG-UNDANG?

Tindakan TNB memeriksa meter dan mengeluarkan bil elektrik 2 bulan sekali di sesetengah tempat di dakwa melanggarkan undang-undang.

TNB perlu kembali menjalankan sistem bacaan kadar pengunaan elektrik secara bulanan seperti yang termaktub dalam seksyen 4(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Menurutnya tindakan TNB mengeluarkan bil 2 bulan sekali menyebabkan pengguna terpaksa membawa bil elektrik dengan kadar yang tinggi.

Sumber : http://mutaligat.blogspot.com/2010/05/tnb-langgar-undang-undang.html

BIL DUA BULAN SEKALI: TNB KURAS DUIT RAKYAT?

Pengerusi Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr Jacob George menyelar tindakan tidak profesional Tenaga Nasional Berhad, TNB yang memberi alasan tidak munasabah berhubung isu sistem bacaan bil elektrik.

Alasan kekurangan tenaga kerja dan kononnya mencontohi negara maju bukan jawapan yang ditunggu rakyat yang terbeban dengan taktik TNB membuat pengiraan bil secara dua bulan sekali.

Beliau mengesyaki tindakan TNB itu adalah usaha terancang bagi memperoleh lebih keuntungan.

Berhubung masalah ini, Jacob berkata, pihaknya banyak menerima rungutan orang ramai di sekitar Subang dan Shah Alam sejak Julai tahun lalu.

Malah, beliau berkata, analisis yang dijalankan persatuan mendapati sistem bacaan kadar penggunaan elektrik dua bulan sekali ini merupakan satu strategi terancang TNB.

" Dalam analisis persatuan pengguna Subang dan Shah Alam kita merasa dukacita apabila kita mendapati ini adalah taktik yang digunakan oleh TNB untuk meningkatkan kos penggunaan elektrik" tambahnya lagi.

Sumber : http://suwaritimur.blogspot.com/2010/05/bil-dua-bulan-sekalitnb-kuras-duit.html

ADUN GALAS MENINGGAL

Satu lagi PRK bakal diadakan di Kelantan berikutan meninggalnya ADUN Galas, Che' Hashim Sulaiman,48. CHe' Hashim yang menghidap kanser paru-paru meninggal di Hospital Pakar Islam,Kampung Bharu, K.Lumpur di hadapan dua isterinya Che' Bongsu Jusoh dan Aida Zakaria serta 12 orang anaknya di antara 19 tahun hingga 6 bulan kira-kira jam 4.35 petang semalam.

Jenazah Allahyarham dimandikan dan dikafankan di Masjid Jamek Kampung Baru, sebelum disembahyangkan yang diimamkan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa.Jenazahnya kemudian dibawa menaiki van ke Masjid Tengku Faiz,Gua Musang kira-kira jam 6.45 petang untuk disembahyangkan sekali lagi dan dikebumikan di Tanah perkuburan Islam Kampung Kerinting lewat malam tadi.

Berita Harian,
28.9.2010.
UMNO: KRISIS DEMI KRISIS

Mon Sep 27, 2010 10:21pm
60.53.110.132

Akhir akhir orang umno asyik dok bagi amaran menakut nakutkan orang Melayu tentang kemungkinan Melayu hilang kuasa. Dah terasa macam nak kalah gamaknya.

Mahathir kata kalau umno kalah, Melayu akan hilang kuasa. Aku bersetuju dengan beliau 100 peratus. Memanglah Melayu akan hilang kuasa tapi yang hilang kuasa itu adalah di kalangan Melayu umno saja.

Tapi kuasa Melayu akan beralih ke tangan Melayu PAS dan PKR. Contoh mudah, lihat saja di Kelantan, bila Melayu umno kalah Melayu PAS yang kuasai kerajaan, begitu juga di Kedah. Malah di Perak lebih hebat lagi, Melayu PAS yang hanya menang enam kerusi berjaya mendapat mandat jadi MB.

Semoga dalam PRU yang akan datang, rakyat akan benamkan lebih banyak kerusi Melayu umno di negeri itu untuk memenangkan Melayu PAS dan PKR supaya orang Melayu yang bakal memerintah itu akan mendominasi kerajaan Perak. PRU 12 PAS bertanding 25 kerusi DUN, pastikan kali ini orang Melayu Perak jadi lebih cerdik dari dulu.

Di Pulau Pinang biarlah Melayu Mat Koh Su Kun yang dulunya menjadikan umno sebagai kuda tunggangan terus bungkus.

Forum Gerak Reformasi,
27.9.2010

Monday, September 27, 2010

Kesan Perjanjian Tanah KTM Di Singapura

Oleh:A Kadir Jasin


[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

PADA 20 September lalu, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian pertukaran tanah membabitkan tanah Keretapi Tanah Melayu Bhd’s di republik itu.

Ia dimeterai oleh Perdana Menteri Malaysia, Mohd Najib Abdul Razak dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, di kota singa.

Kedua-dua pemuka menguar-uarkan (bukan war-war) perjanjian itu sebagai kejayaan besar dan pembaikan ke atas “Point of Agreement (POA)” yang menjadi asas rundingan antara dua negara.

Saya tidak mahu berselisih faham, menyangkal atau menyangkal laporan dan ulasan media massa yang menghebahkan perjanjian itu sebagai “win-win” (menang-menang).

Saya sekadar ingin berkongsi maklumat dan interpretasi peribadi saya untuk kita dalami, fahami dan bahaskan. Berikut adalah antara inti pati, ciri dan implikasi perjanjian berkenaan:-

1. Dulu tanah KTM di Singapura adalah milik penuh dan mutlak Malaysia, walaupun kegunaannya terhad kepada operasi kereta api dan kekal hak Malaysia selagi operasi kereta api berjalan;

2. Sekarang tiga keping tanah KTM telah ditukarkan dengan sembilan keping tanah lain dan operasi kereta api akhirnya akan ditamatkan;

3. Menurut kenyataan bersama Mohd Najib-Lee Hsien Loong yang saya baca dari laman web kerajaan Singapura, bidang-bidang tanah gantian serta deskripsinya adalah seperti berikut:-

(A) Empat bidang tanah di Marina South dikenali sebagai TS30-361T, TS30-362A, TS30-363K dan TS30-364N serta dua bidang di Ophir-Rochor dicamkan sebagai TS13-1115N dan TS13- 1116X sebagai ganti kepada tiga keping tanah KTM di bawah Point of Agreement (POA) di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga keping tanah di Bukit Timah yang dikenali sebagai Lot 76-2 Mk 16, Lot 249pt Mk 4 dan Lot 32-10 Mk 16);

(B) Empat keping tanah di Marina South itu terletak di tengah-tengah gugusan (cluster) kewangan dan perniagaan bagi Marina Bay manakala dua di Ophir-Rochor terletak di kawasan bersejarah Kampong Glam (Kampong Glam Historic District) yang berupa koridor baru pembangunan yang sedang dimajukan sebagai sambungan kepada Daerah Perdagangan Pusat (Central Business District); dan

(C) (Sembilan) Keping tanah di Marina South dan Ophir-Rochor (itu) akan diamanahkan kepada M-S Pte Ltd untuk dibangunkan secara usaha sama apabila Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengosongkan Stesen Tanjong Pagar. Stesen KTMB akan dipindahkan dari Tanjong Pagar ke tempat pemeriksaan kereta api Woodlands (“WTCP”) menjelang 1 Julai 2011 bilamana Malaysia akan memindahkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantinnya (“CIQ”) di WTCP.

4. Tanah gantian itu akan dimajukan oleh syarikat usaha sama Malaysia-Singapura M-S Private Limited yang dimiliki 60 peratus oleh syarikat pelaburan milik kerajaan Malaysia, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan firma pelaburan kerajaan Singapura, Temasek Holdings.

5. Kalau dulu tanah KTMB dimiliki penuh dan mutlak Malaysia, kini tanah gantian kepada tanah KTMB itu dikongsi dengan Singapura melalui M-L Pte Ltd di mana Temasek memegang 40 peratus saham. Dalam bahasa yang mudah, Singapura dapat “percuma” 40 peratus daripada aset gantian itu.

6. Walaupun isu tanah KTMB ini dikatakan selesai, tetapi isu-isu tertangguh yang lain seperti pembekuan simpanan rakyat Malaysia dalam CPF, Perjanjian Bekalan Air serta penentangan Singapura terhadap projek Jabatan Bengkok masih berterusan.

7. Malaysia dan Singapura gagal bersetuju mengenai cukai pembangunan (development charges) yang dikenakan oleh kerajaan Singapura ke atas tanah gantian itu sehingga memaksa perbalahan itu dirujukkan kepada Mahkamah Timbang Tara Tetap (Permanent Court of Arbitration – PCA) di The Hague, Balanda.

8. Kenyataan bersama Mohd Najib-Hsien Loong mengenai hal itu berbunyi: “Both countries have different views relating to the development charges payable on the three parcels of POA land in Tanjong Pagar, Kranji and Woodlands. Both Leaders have agreed to settle this issue amicably through arbitration under the auspices of the Permanent Court of Arbitration. They have further agreed to accept the arbitration award as final and binding.”

[Kedua-dua negara mempunyai pandangan yang berbeza mengenai cukai pembangunan ke atas tiga keping tanah POA di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands. Kedua-dua pemimpin bersetuju menyelesaikan isu ini secara aman melalui timbang tara di bawah naungan Mahkamah Timbang Tara Tetap. Mereka seterusnya bersetuju menerima keputusan timbang tara itu sebagai muktamad dan terikat.]

9. Sengaja diingatkan yang kali terakhir Malaysia dan Singapura membawa perbezaan mereka ke muka pengadilan antarabangsa, ia berakhir dengan Malaysia kehilangan pemilikan ke atas Pulau Batu Putih (Pedra Branca) kepada Singapura.

10. Melalui kolum “Other Thots” dalam majalah Malaysian Business keluaran 16-31 Julai lalu, saya telah memberi amaran kepada perunding Malaysia agar berhati-hati mengenai kemungkinan pemerintah Singapure mengenakan cukai pembangunan atau premium tanah yang melangit.

Saya memetik sumber-sumber yang arif mengenai POA sebagai berkata kerajaan Singapura mungkin mengenakan cukai pembangunan sekitar S$1.5 bilion (kira-kira RM3.05 bilion) selain premium tanah. Saya tidak tahu sama ada premium dikenakan atau tidak.

Tetapi sumber-sumber yang sama kini mengatakan cukai pembangunan mungkin mencecah S$2 bilion (RM4.6 bilion).

11. Andainya anggaran ini tepat dan keputusan PCA memihak kepada Singapura, maka Khazanah terpaksa menyeluk poket untuk mengeluarkan S$1.2 bilion (RM2.76 bilion) dan jumlah ini akan mengalir dari Malaysia ke Singapura.

12. Temasek perlu membayar S$800 juta tetapi tidak ada pengaliran keluar modal. Ia sekadar pemindahan dana dari poket Temasek ka poket perbendaharaan Singapura.

13. Seperkara lagi yang perlu penjelasan ialah taraf pemilikan tanah gantian itu -- adakah ia pegangan kekal atau pajakan 99 tahun? Tanah KTMB di Singapura adalah pegangan tetap selagi operasi kereta api berjalan.

14. Kalau saya faham kenyataan Mohd Najib dan Pengarah Urusan Khazanah, Azman Mokhtar, projek itu tetap dilaksanakan tidak kira kita kalah atau menanang dalam timbang tara oleh PCA. Malah kata mereka, projek ini akan dimulakan tanpa menunggu keputusan PCA. Jadi timbang tara oleh PCA adalah “akademik” atau sekadar melepas batuk di tangga.

15. Dalam konteks ini kita wajib meletakkan sepenuh tanggungjawab kepada Mohd Najib dan Azman. Azman memberi jaminan bahawa projek ini “masih berdaya maju dan menguntungkan” walaupun cukai pembangunannya tinggi.

16. Kita tidak mahu Mohd Najib mengisytiharkan perjanjian ini sebagai menang-menang dan dia berjaya di mana Perdana Menteri-Perdana Menteri yang lalu gagal, tetapi akhirnya yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

17. Akhir sekali kita tidak mahu pelaburan Khazanah di Singapura menjadi seperti pelaburan Sime Darby di Qatar yang menghasilkan kerugian hampir RM1 bilion.

18. Berhati-hatilah, Singapura bukan sebarang jiran. Fahamilah istilah “kiasu” dan impaknya kepada “psyche” (cara berfikir) negara Singapura.

27.9.2010
kadirjasin.blogspot.com





Warak, Duit Judi Dan Duit Saman Ekor
Oleh:Zolkarnain Zainal Abidin

Menurut Guan Eng, 90 peratus orang miskin tegar di Pulau Pinang adalah Melayu. Mereka diberi bantuan tetapi bukan dengan duit judi Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang seperti yang didakwa oleh Umno.

Guan Eng kata, dia tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh kepada orang Islam. Maksudnya, kalau duit itu pernah diterima sekali pun, ia tidak disalurkan kepada orang Islam.

Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang wujud semenjak entah bila. Pada zaman BN kuasai Pulau Pinang pun kelab itu sudah wujud. Umno pun tahu perkara itu.

Di utara semenanjung, orang Islam tahu mengenai kelab itu semenjak mereka kenal ‘Kalendar Kuda’. Itulah kalendar yang tergantung di rumah, sekolah, pejabat bahkan kadang-kadang di masjid pun ada.

Sampai sekarang pun kalendar itu masih ada. Samada ada kalendar itu dikeluarkan oleh kelab itu atau bukan, yang mustahak kalendar itu tetap ada jadual judi lumba kudanya. Menariknya, aturan kalendar itu adalah tepat termasuk tarikh hariraya orang Islam.

Zaman BN perintah Pulau Pinang dulu pun ada orang miskin tegar juga. Ada Islam dan bukan Islam. BN juga memberi sumbangan kepada mereka. Persoalannya, BN ambi duit mana?

Semasa BN memerintah Pulau Pinang dulu, tidak pernahkah kerajaan BN menerima duit daripada kelab lumba kuda itu?

Mustahil tidak pernah. Kalau duit kelab itu diterima pada zaman ini, tentu juga diterima oleh kerajaan sebelum ini. Kalau sumbangan kelab itu pernah diterima kerajaan BN, kemana duit itu digunakan? Adakah duit itu ada akaun berasingan?

Adakah tidak mustahil, kerajaan terdahulu juga pernah memberi sumbangan duit judi kepada orang miskin tegar zaman itu? Mungkin pada masa itu Reezal belum sedar, atau belum warak lagi atau belum teringat nak kata apa-apa sebab Pulau Pinang diperintah BN.

Ketua Penerangan Pemuda Umno ini macam kucing. Dia warak di depan orang. Di depan Guan Eng dia bukan main warak lagi. Mengapa dia tidak sewarak itu di hadapan Najib atau Muhyiddin?

Pernah atau tidak Reezal mempersoalkan Najib yang ‘sebat’ duit saman ekor? Mengapa Reezal tidak mempersoalkan duit saman ekor yang dikutip oleh kerajaan Najib, halal atau haram? Atau, sekurang-kurangnya sybubhat. Orang warak tak ambil duit syubhat.

Orang yang kena saman ekor tidak pernah dibuktikan bersalah. Mereka adalah tertuduh. Tertuduh tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Beban pembuktian terletak kepada pendakwa bukan tertuduh. Semua orang asalnya adalah bersih dan bebas daripada kesalahan.

Dalam kes saman ekor, tertuduh didenda sebelum dibuktikan bersalah. Adakah Najib sedar bahawa mendenda orang yang belum terbukti bersalah adalah suatu kesalahan?

Kalau orang yang didenda itu tidak bersalah bagaimana? Najib patut tahu bahawa tersilap membebaskan orang bersalah adalah lebih baik daripada tersilap menghukum orang tidak bersalah.

Justeru, adakah duit saman ekor yang terkumpul berjuta ringgit itu adalah halal? Kalau duit itu digunakan untuk memberi gaji polis, adakah polis menerima duit halal? Reezal pernah persoalkan perkara ini?

Tentulah ia tidak akan dipersoalkan kerana perkara itu dibuat oleh Najib. Reezal tidak perlu warak di hadapan Najib kerana dia kenal siapa Najib. Bukan setakat Najib, Rosmah pun naik hairan kalau Reezal tunjuk warak di hadapan mereka.

Dia hanya perlu tunjuk warak di hadapan Guan Eng kerana kalau dia tidak tunjuk warak di hadapan Guan Eng, kepada siapa lagi dia nak tunjuk warak. Nak tunjuk warak depan si dia itu dan itu?
Betapa Runtuhnya Akhlak Anak Muda Kita Sekarang Ini..!!!


Dua beradik ditangkap berkhalwat



KULIM - Dua beradik berusia 21 dan 23 tahun ditangkap di sebuah rumah teres satu tingkat sekitar jam 11.30 malam di Taman Selasih kerana bersekedudukan dengan seorang lelaki berusia 25tahun dipercayai teman lelaki kepada kakaknya.

Jurucakap Pejabat Agama Daerah Kulim Kedah (PADK) berkata, mereka menerima maklumat daripada orang ramai sekitar jam 10.30 malam dan melakukan pemantauan di sekitar kawasan rumah berkenaan sebelum membuat serbuan.

"Ketika sampai di rumah pasangan terlibat, PADK menemui dua motosikal terletak di bahagian luar rumah teres di Taman Selasih. Hasil pemantauan, mendapati kesemua pasangan tidur di ruang tamu.

"Pasangan lelaki yang menyedari kehadiran PADK mengintai dari tingkap dan cuba melarikan diri melalui pintu belakang rumah tetapi gagal berbuat demikian kerana rumah mereka sudah dikepung. Pasangan lelaki terbabit kemudiannya masuk ke bilik hadapan dan berpura-pura tidur.

"PADK terpaksa menunggu kira-kira 10 minit sebelum pintu rumah dibuka untuk membolehkan kami membuat pemeriksaan,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal dijalankan kesemua pasangan terlibat iaitu lelaki berusia 25 tahun dan kekasihnya berusia 23 tahun pernah ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 9 (khalwat) sebelum ini oleh PADK dan sedang menunggu untuk didakwa di mahkamah. Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan.

Pasangan itu pernah ditahan lokap sebelum ini atas kesalahan sama tetapi masih tidak serik melakukan maksiat. Daripada maklumat jiran berdekatan, pasangan lelaki sering datang ke rumah kekasihnya dan mereka berlakon seperti suami isteri untuk memperdaya penduduk di sekitar kawasan itu.

“Hasil siasatan dijalankan PADK, pasangan terbabit tidak mempunyai hubungan mahram. Selain itu, lelaki berkenaan tidak mempunyai pekerjaan tetap, manakala kekasihnya bekerja di kaunter menjual tiket bas di sini.

Mereka yang terlibat akan disiasat di bawah Seksyen 9 (2) (3) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988. Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

"Pendakwaan terhadap mereka akan dibuat satu persatu. Kesemua pasangan terlibat kemudiannya dibebaskan setelah waris diarahkan membayar ikat jamin RM1,000 setiap seorang. Mereka akan diarahkan untuk hadir ke Mahkamah Syariah Rendah Kulim dalam masa terdekat untuk tujuan pendakwaan terhadap kesalahan yang mereka lakukan. Sekiranya gagal berbuat demikian, waran tangkap akan dikeluarkan kepada mereka,” katanya.

26.9.2010b

Sunday, September 26, 2010

Pas tolak dakwaan wujud nepotisme dalam PKR


KUALA TERENGGANU – Pas menolak kenyataan yang mendakwa wujud nepotisme dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang juga anak kepada Penasihat PKR membuat keputusan bertanding jawatan naib presiden parti itu dalam pemilihan November depan.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi ketika mengulas perkara itu berkata, kesediaan Nurul Izzah menunjukkan berlakunya dasar demokrasi sihat dalam PKR.

Menurutnya, Nurul Izzah mempunyai kredibiliti sebagai pemimpin selain mempunyai sokongan dan popular serta mempunyai kekuatan tersendiri.

“Tidak timbul soal nepotisme. Saya tengok dia naik dengan kredibiliti sendiri, dengan populariti dia sendiri dan dengan penyokong-penyokongnya sendiri.

“Saya tidak nampak dia (menggunakan publisiti sebagai) anak Anwar Ibrahim. Dia punya wibawa untuk memimpin negara pada masa akan datang,” katanya kepada :Sinar Harian: ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Terbuka di kediamannya di Kuala Ibai, semalam.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan Nurul Izzah secara tidak langsung membuktikan bahawa parti pembangkang mengamalkan nepotisme.

Dr Syed Azman meramalkan isu itu akan terus dimainkan pemimpin UMNO, lebih-lebih lagisekiranya Nurul Izzah berjaya memenangi jawatan berkenaan selepas pemilihan kelak.

Dalam pada itu, beliau melihat pemilihan secara terbuka dalam PKR amat membanggakan dan bebas daripada aduan berlaku politik wang.

“Apa yang ada hanya satu persaingan dalam pertandingan sihat melibatkan parti itu dan Pas sambut baik penglibatan Nurul Izzah,” katanya.

25.9.2010
Tahan Zunar bukan sebab kartun: Hishammuddin


KLUANG - Menteri Dalam Negeri menafikan penahanan kartunis portal pembangkang Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque, 49, hanya disebabkan kartun yang dihasilkan olehnya.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau menafikan penahanan kartunis berkenaan dengan hanya disebabkan kartun yang dihasilkan menyentuh tentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Walau bagaimanapun, ramai yang cuba menggembar-gemburkan penahanan tersebut ada hubung kaitnya dengan kartun yang menyentuh kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

“Tetapi, berdasarkan maklumat yang saya terima daripada pihak berkuasa mengatakan bahawa kartun-kartun itu juga ada menyentuh kepada isu-isu yang berhubung kait kepada sistem perundangan kita, agama, isu kalimah Allah juga di putar belitkan dalam kartun,” katanya pada sidang media sempena Majlis Rumah Terbuka Parlimen Sembrong di Dewan Kejora, Taman Sri Lambak, semalam.

Hishammuddin berkata, penahanan dibuat mengikut Akta Hasutan dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Kelmarin, Zunar ditahan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana menghasilkan buku Cartoon-O-Phobia yang menyentuh isu-isu sensitif dan boleh mengganggu ketenteraman awam.

Beliau telah ditahan di pejabat penerbitan miliknya, Sepakat Efektif Sdn Bhd yang terletak di ibu negara kira-kira jam 4 petang.

25.9.2010
Perkasa tidak bercadang jadi sebuah parti politik: Ibrahim


PASIR MAS – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menegaskan, Perkasa bukanlah sebuah parti politik seperti mana parti politik yang ada di negara ini.

Beliau berkata, sejak mula Perkasa ditubuhkan tidak ada usaha atau niat untuk menjadikan Perkasa sebuah parti politik.

Menurutnya, Perkasa akan tetap sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan belum ada sebarang keputusan untuk menjadikannya sebuah parti politik.

“Kita akan terus menjadi sebuah pertubuhan bukan kerajaan seperti ini kerana khuatir sekiranya menjadi sebuah parti politik akan menyebabkan perpecahan.

“Perpecahan ini bukan saja membabitkan kaum Melayu tetapi juga bangsa lain,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan Melayu Perkasa di pekarangan Stesen Kereta api Pasir Mas, di sini, semalam.

Beliau turut menegaskan Perkasa tidak pernah bertemu dengan UMNO dan lebih berdikari dalam mengerakkan pertubuhan itu.

Katanya, ahli UMNO juga terdiri dari pelbagai parti politik yang bersama dengan pertubuhan ini memperjuangkan Perlembagaan 153.

Ibrahim berkata, mengenai peranca- ngan akan datang, beliau tidak pasti sekiranya ahli pada lima hingga 10 tahun akan datang memutuskan untuk menjadikan pertubuhan itu sebagai sebuah parti politik.

Menurutnya, ketika itu terpulang kepada ahli dan generasi baru untuk membawa hala tuju Perkasa.

“Perkasa memperjuangkan Perlembagaan 153 dan mahukan kerajaan menterjemahkan Perlembagaan ini dalam bentuk tindakan.

“Ini termasuk dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan dan membolehkan kaum Bumiputera gembira seterusnya akan mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia,” katanya.

25.9.2010