ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Friday, September 30, 2011

Pas Kelantan tetap laksanakan hudud

KOTA BHARU – Pas Kelantan tetap dengan pendirian untuk melaksanakan hukum hudud walaupun tidak mendapat kerjasama komponen Pakatan Rakyat (PR).

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, hasrat itu selaras dengan matlamat Pas sejak 21 tahun lalu.

Katanya, Pas Kelantan bersedia bila-bila masa untuk melaksanakannya, malah Mahkamah Syariah negeri melalui Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Mohamad turut menyatakan persediaan untuk melaksanakan undang-undang tersebut.

Beliau berkata, peluang perlu diberikan kepada Pas Kelantan untuk mempraktikkan undang-undang Islam berkenaan dan dengan cara itu boleh dilihat sama ada berjaya atau sebaliknya.
“Hasrat Pas (Kelantan) melaksanakan hukum hudud tidak berubah, tetapi kami tidak memaksa masyarakat menerimanya. Sebab itu kami mengadakan ceramah dan kempen kepada masyarakat untuk memahami hudud.

“Kita tidak boleh lari… kita perjelaskan isu ini dan kenapa Pas Kelantan hendak sangat laksanakan hudud. Pertama kerana ia isu agama dan keduanya kebaikan pelaksanaan hukum itu sendiri yang kita mahukan,” katanya kepada media, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Majlis Pimpinan PR tidak akan melaksanakan hukum hudud seperti yang dicadangkan Pas kerana tidak menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Kelantan berkata, undang-undang moden gagal mengatasi kes-kes jenayah yang berlaku selama ini.

“Kita bukan nak bergaduh, cuma laksana hudud adalah pendirian kita dan matlamat kewujudan Pas di Kelantan untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh dan salah satunya hudud ini.

“Undang-undang hudud sudah diluluskan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan tidak perlu ma suk dewan lagi, cuma ia akan dibentuk oleh mahkamah dan pihak berkuasa agama,” katanya.
Mohd Amar berkata, terdapat beberapa pandangan yang menyatakan Kelantan tidak memerlukan kebenaran Kerajaan Pusat kerana hal berkaitan agama adalah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, terdapat juga pandangan hukum hudud perlu dibawa ke Parlimen mengikut Perkara 9 bidang kuasa negeri.

Katanya, apa yang penting Kerajaan Negeri sudah melepasi tahap pertama iaitu mendapat kelulusan Dun dan seterusnya pemahaman berterusan akan diberikan kepada masyarakat contohnya melalui sambutan Hari Hududullah Kelantan.

sinarharian
30.9.2011
Bukti sefahaman PR: Nik Aziz


KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) bersyukur dengan keputusan kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang menghormati Pas dalam isu hukum hudud.

Mursyidul Am Pas itu berkata, keputusan yang dibuat cukup positif dan menggambarkan persefahaman antara parti dalam PR.

“Saya dimaklumkan keputusan pimpinan PR semalam (kelmarin) yang menghormati hasrat Kelantan untuk memasukkan hukum hudud dalam undang-undang syariah.

“Alhamdulillah, saya menerima baik dan bersyukur sangat-sangat kerana rakan-rakan dalam PR memahami hasrat Kelantan,” katanya dipetik dalam laman Facebooknya.

Kelmarin, selepas Mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pakatan pembangkang menghormati pendirian Pas dalam hal itu, tetapi pada masa sama menerima perbezaan pendirian DAP yang menentang pelaksanaannya.

Mesyuarat itu juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 sebelum wujudnya muafakat PR.

Isnin lalu, komponen PR mencapai kata sepakat untuk mengarahkan kesemua pimpinan parti masing-masing agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hudud sehingga satu mesyuarat yang diadakan kelmarin.

Nik Aziz berkata, dalam keadaan kini, hanya Kerajaan Pusat yang disokong Umno masih menghalang hasrat Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum tersebut.

“Mereka memahami bahawa hudud ini tidak menyentuh bukan Islam, tinggal lagi sekarang, Kerajaan Pusat yang disokong Umno masih menghalang hasrat kami,” katanya.

sinarharian
30.9.2011
Akta perlu fleksibel


PUTRAJAYA - Undang-undang baru yang akan mengantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu lebih spesifik dan fleksibel di samping menekankan soal keselamatan negara dan hak asasi manusia.

Ketua Kluster Governas, Perundangan, dan Pengurusan Awam (GPPa), Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood (gambar) berkata, keputusan memansuhkan ISA adalah satu yang amat positif serta dianggap sebagai pendekatan baru dalam memastikan prinsip-prinsip kedaulatan undang-undang (rules of law) dan kebebasan asasi sentiasa menjadi landasan bagi setiap keputusan dan tindakan semua pihak, termasuk kerajaan.

“Kami menganggap ia sebagai satu langkah transformasi kerajaan untuk menghapuskan undang-undang yang tidak popular dan tidak selaras dengan prinsip kebebasan sejagat sebagai sebuah negara yang mendukung setiap konvensyen hak asasi digubal Bangsa-Bangsa Bersatu (UN).

“Pada masa sama, kita perlu menerima hakikat kerajaan semasa bertanggungjawab terhadap keselamatan dan ketenteraman negara serta harus memastikan ia tidak berkompromi dengan elemen yang boleh mengganggu gugat kedaulatan negara,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengajian Tinggi semalam.

Menurutnya, undang-undang baru itu nanti perlu lebih fleksibel daripada Akta Patriot Amerika Syarikat dan Akta Anti-Keganasan di United Kingdom.

“Kami ingin lihat undang-undang berkaitan dengan keselamatan dalam negara dan ketenteraman awam yang tidak mengikuti undang-undang Amerika Syarikat atau United Kingdom yang sangat tegas berhubung penahanan seseorang individu.

“Undang-undang (baru itu) juga tidak sepatutnya mencontohi ISA, perlu lebih jelas dan fokus terhadap kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Nik Ahmad Kamal berkata, pihaknya mengambil kira bahawa ISA digubal di bawah kuasa khas Parlimen, Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa untuk membuat undang-undang untuk mengawal serta mencegah segala bentuk ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Walaupun ISA dimansuhkan, Parlimen masih lagi berkuasa menggubal apa jua undang-undang untuk tujuan seperti yang termaktub di bawah Perkara 149.

“Sementara, pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 serta undang-undang yang dibuat bertujuan tersebut tidak harus dikelirukan dengan kuasa parlimen di bawah Perkara 149.

“Dalam kata lain undang-undang seperti ISA boleh digubal walaupun negara tidak berada dalam keadaan darurat keran Perkara 149 tidak terikat dengan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

sinarharian
30.9.2011b