ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Saturday, September 27, 2008

Sesudah Selesai Ramadhan

Sesudah Selesai Ramadhan


Bulan yang kita tunggu-tunggu kedatangannya, iaitu bulan Ramadhan telah pun meninggalkan kita, dan kita pun tidak pasti adakah bertemu semula pada Ramadhan yang akan datang. Adakah kita merasa sayu ditinggalkan oleh bulan yang mulia itu? Atau adakah kita gembira menyambut ‘Aidulfitri di samping berbagai program hiburan yang disediakan oleh pelbagai saluran hiiburan khususnya televisyen? Semuanya itu sebenarnya bergantung kepada diri kita sebagai insan muslim yang menghayati agama kita pada dekad-dekad terakhir ini. Dekad yang penuh cabaran dan dugaan. Seorang insan muslim yang sejati akan merasakan sayu hatinya di saat-saat penghujung Ramadhan, dan ternanti-nanti kedatangannya pada tahun-tahun mendatang.


Sebaiknya seusai bulan yang mulia ini, kita harus menyorot ke dalam diri kita sendiri, apakah kesan-kesan yang ditingalkan oleh bulan yang mulia itu kepada diri kita,keluarga kita seterusnya masyarakat kita di mana kita hidup dan menghirup udara di dunia ini. Kalau pada bulan itu, kita sering ke masjid, bersembahyang jemaah, menjaga diri dan akhlak dari perbuatan keji dan mungkar dan pelbagai perkara yang baik-baik yang kita lakukan, apakah perkara-perkara seperti itu kita kekalkan selepas berlalunya bulan Ramadhan? Di inilah kekuatan bulan yang mulia itu,juga kekuatan diri kita yang menjalani latihan sebulan lamanya, apakah latihan penyucian diri itu kita bawa ke bulan-bulan yang lain? Hal-hal seperti itulah yang harus kita renung sewajarnya, agar segala latihan dan amalan itu meninggalkan kesan kepada diri dan kehidupan kita.


Bukanlah kita sebenarnya berhasrat untuk menguruskan badan di waktu bulan mulia itu, juga bukan satu cara untuk diet kerana kita tidak dapat menahan diri dari makanan yang lazat-lazat pada bulan-bulan yang lain, kita berpuasa menahan diri dari lapar dan dahaga dan dari perkara-perkara yang kurang bermanfaat adalah semata-mata kerana menunaikan perintahNya.Kita diperintahkan supaya berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kita, dengan matlamat mudah-mudahan kita bertakwa kepadaNya. Itulah matlamat asal puasa difardukan pada bulan yang mulia itu, “mudah-mudahan supaya kamu bertaqwa.”(AlBaqarah). Mmudah-mudahan kita akan bertemu semula pada Ramadhan yang akan datang, Amien.


AlKundangi,
27.9.2008

Wednesday, September 24, 2008

BANGSA MALAYSIA DAN INTEGRASI NASIONAL: KENYATAAN ATAU KHAYALAN?

BANGSA MALAYSIA DAN INTEGRASI NASIONAL: KENYATAAN ATAU KHAYALAN?


Persoalan mengenai Bangsa Malaysia bukanlah satu perkara baru.Isu ini sebenarnya sudah lama diperkatakan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke empat,Tun Dr.Mahathir Mohamed khususnya dalam satu kertaskerjanya yang terkenal, Malaysia Melangkah Ke Hadapan tatakala membincangkan satu dasar penting negara,iaitu Wawasan 2020.Menurut Abu Hassan Adam (1991),hasrat sebegini mungkin asing bagi rakyat Malaysia yang hidup 20 tahun lampau,namun bagi masyarakat Malaysia kini, ia mungkin merupakan satu hasrat yang mungkin dapat dicapai kewujudannya.Kalau kita melihat satu bahasa boleh menyatukan kaum di negara ini dan telah terbukti Malaysia mampu berbuat demikian, apakah cita-cita untuk membentuk satu Bangsa Malaysia itu hanyalah satu khayalan?

Dalam kertas kerja Tun Dr.Mahathir itu, terdapat satu gagasan tentang konsep Bangsa Malaysia yang sedang diperkatakan ini.Pembentukan bangsa Malaysia adalah merupakan satu cabaran yang besar,namun ia merupakan satu hasrat ke arah keperibadian bangsa yang mantap dari kepelbagaian kaum dan keturunan yang kita warisi dari sejarah kolonial Inggeris yang telah memberikan kesan yang mendalam terhadap polarisasi kaum di negara ini.

Tentunya agak sukar untuk memberikan takrif atau definisi tentang Bangsa Malaysia yang diidamkan oleh bekas Perdana Menteri itu. Namun begitu, berdasarkan realiti sejarah sosial negara ini,kita mungkin dapat membayangkan bahawa ia tentulah terdiri dari tiga bangsa utama yang menjadi warganegara bagi negara ini,tetapi ia mestilah bangsa yang moden dan baru,yang dibentuk dari kepelbagaian unsur sosial dan kebudayaan rakyat negara ini.Dilihat dari sudut nasionalisme Melayu, gagasan yang paling realistik adalah ia merupakan pembentukan satu bangsa yang baru yang berasaskan unsur-unsur kemelayuan yang bakal menjadi terasnya atau penakrifnya (Rustam A.Sani,1993).

Seandainya cita-cita untuk membentuk satu Bangsa Malaysia ini menjadi kenyataan, masalah perpaduan dan integrasi nasional akan selesai setakat itu sahaja.Tidak perlu lagi usaha-usaha lain dibuat. Hal ini bermakna, pembentukan Bangsa Malaysia adalah satu-satunya jalan yang paling berkesan untuk menyelesaikan masalah ini dalam konteks negara kita. Sebenarnya ia bukannya sesuatu yang mudah, kerana negara ini wujud dan terbangun dari pelbagai kaum, dengan pelbagai agama dan kepercayaan, ekonomi dan wilayah, tempat tinggal dan sebagainya. Namun kita boleh melontarkan satu soalan, ‘apakah Bangsa Malaysia itu dapat dibentuk?.”

Untuk membentuk satu bangsa menurut Tan Sri Ghazali Shafei (1997),kita tidak seharusnya meniru bulat-bulat dari Indonesia atau China atau negara yang homogenus dan mudah dengan menyatukan warga serta bangsa tanpa asas pertimbangan.Apa yang ada di Indonesia adalah keturunan suku atau etnik, seperti suku Acheh,suku Bugis,suku Sunda dan sebagainya.Semua suku ini berasal dari wilayah yang digelar Indonesia. Sedangkan keadaan di Malaysia jauh berbeza di mana orang-orang Cina dan India adalah berasal dari luar serta mempunyai negaranya sendiri yang amat berbeza dari segi tamadun dan sejarahnya.

Dalam usaha untuk membentuk Bangsa Malaysia ini,kita tidak akan dapat mengelak dari timbulnya persoalan “definitive race” atau bangsa penentuan yang paling sahih.Soal ini mungkin tidak timbul sekiranya dua atau tiga bangsa dengan bilangan yang hampir sama meneroka satu wilayah yang kosong atau bangsa yang mendatang itu kuat dan mampu menguasai penduduk peribumi sepertimana yang berlaku di Amerika, Australia dan New Zealand.Pembentukan suatu bangsa itu,walau bagaimanapun mungkin boleh dicapai melalui Wawasan 2020, dengan berlandaskan semangat rukunegara, di samping mengadakan dasar yang dapat mengawasi kesan-kesan pembangunan atau perindustrian terhadap nilai teras kebudayaan. Dalam ertikata lain seseorang itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Bangsa Malaysia, mempunyai kerakyatan Malaysia,tanpa mengira asal keturunannya dan dia merasakan ianya mempunyai kebudayaan Malaysia yang tersendiri,orang sebegini mungkin boleh diterima sebagai Bangsa Malaysia yang dimaksudkan itu (Tan Sri Ghazali Shafei,1997).

Kalau kita melihat lebih jauh,sebenarnya ada beberapa faktor yang membantu untuk mewujudkan Bangsa Malaysia itu.Terdapat beberapa unsur yang membolehkan tercapainya perpaduan kaum di negara ini, umpamanya melalui sistem pendidikan yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantarnya.Selain itu aktiviti budaya yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum tentunya dapat menyumbang kepada pembinaan bangsa tersebut.Dengan demikian, aktiviti budaya,perkahwinan campur di antara kaum dan wilayah dapat mempercepatkan proses persefahaman dan pembentukan nilai-nilai keluarga dan negara-bangsa yang positif. Ia juga boleh disokong dengan pembangunan ekonomi yang bersepadu dan adil bagi setiap bangsa dan wilayah (Mohd.Johari Hj.Yaakub,et.al(ed),1997).

Namun di sana faktor penghalangnya juga banyak.Umpamanya pemisahan sosial yang disebabkan oleh perbezaan budaya ,agama,pengaruh media massa, pendidikan, penglibatan dalam organisasi sosial yang bersifat perkauman atau pertubuhan-pertubuhan perniagaan. Perbezaan yang lahir akibat dari sini merupakan halangan dalam pembinaan negara-bangsa itu. Faktor pemisahan oleh wilayah juga boleh dipandang sebagai faktor penghalang.Walaupun negara kita sudah maju,tetapi di sesetengah tempat keadaan masih mundur,khususnya di Kelantan,Terengganu,Sabah dan Sarawak.Sementara itu,kawasan-kawasan mundur kebanyakannya didiami oleh kaum bumiputera,manakala kawasan bandar dan wilayah-wilayah yang lebih maju diduduki oleh kaum Cina.Keadaan ini menyebabkan jurang kemiskinan antara wilayah dan kaum masih wujud walaupun berbagai usaha telah dan sedang diambil.

Faktor lain ialah wujudnya parti-parti politik yang berasaskan etnik dan setiap parti dipersepsikan sebagai menjaga kumpulan etnik masing-masing.Walaupun kebanyakan parti-parti terbesar seperti UMNO,MCA dan MIC serta Gerakan bergabung dalam Barisan Nasional,namun ada ketikanya muncul juga konflik di kalangan parti-parti komponen tersebut yang kadangkala menggugat kestabilan politik dan perpaduan kaum di negara ini.Satu lagi masalahnya adalah sikap parokialisma,prejudis dan curiga di kalangan anggota masyarakat.Sikap prejudis terhadap wilayah yang terdiri dari Semenanjung,Sabah dan Sarawak turut menyukarkan persefahaman dan semangat perpaduan di kalangan pelbagai etnik ini.Permasalahan sosial yang timbul di kalangan masyarakat seperti permasalahan setinggan ,masalah penagihan dadah, bohsia,jenayah yang kian meningkat,penderaan dan masalah pendatang asing pula mengurangkan tumpuan kerajaan terhadap pembinaan bangsa tersebut,di samping permasalahan dan gejala sosial itu menuntut sejumlah peruntukan yang banyak untuk menanganinya (Mohd.Yaakub Hj.Johari et.al(eds),1997).

Sesungguhnya pembinaan Bangsa Malaysia ini amat rapat kaitannya dengan perpaduan kaum dan integrasi nasional di negara ini,di mana ia adalah satu konsep yang penting di antara sekian banyak dasar sosial di negara kita ini.Permasalahan masyarakat majmuk yang terhasil akibat kesan-kesan sejarah tidak mampu kita tangani jika perpaduan dan integrasi tidak wujud. Namun begitu, ia adalah satu proses yang memerlukan sikap toleransi,keterbukaan dan keinginan menerima orang lain tanpa rasa prejudis yang akhirnya akan melahirkan satu masyarakat Malaysia yang kita idamkan itu.Masyarakat yang bersatu bukan hanya mempunyai satu angka rujuk, satu identiti,jatidiri dengan nilai yang sama,tetapi ia juga hendaklah merupakan satu masyarakat yang tidak mudah tergugat apabila ada kuasa lain cuba memecahbelahkannya.Namun sehingga kini apakah usaha-usaha yang telah dan sedang dijalankan itu berhasil untuk mewujudkan satu masyarakat yang bersatu padu? Apakah integrasi nasional kini bukan lagi merupakan masalah negara?Inilah beberapa persoalan yang perlu kita teliti selanjutnya.

Prof.Jayum A.Jawan berpendapat bahawa “memang wujud perpaduan nasional apabila Barisan Nasional memerintah negara ini dengan penglibatan semua kaum atau pemimpin setiap kelompok etnik di negara ini.Jelas,perpaduan seperti contoh itu menunjukkan adanya kerjasama.Orang-orang Melayu,Cina,India,Kadazan dan Dayak bekerjasama,bertolak ansur dan berakomodasi antara satu sama lain.Tetapi perpaduan itu tidak lebih dari itu.Integrasi merangkumi perpaduan seperti ini,namun ia lebih dari itu sebenarnya.Integrasi merujuk kepada proses penyatuan biologikal.Kesediaan berkahwin di antara etnik memcerminkan tahap integrasi kerana melalui perkahwinan secara besar-besaran integrasi dan perpaduan sebenar boleh dicapai.Proses ini melibatkan kesediaan berkahwin dan mencari pasangan di luar kelompok sendiri yang dari konsep sosiologi dikenali sebagai exogami (Asnarulkhadi Abu Samah & Jayum A.Jawan(eds),2001,m.s.237).

Jelaslah apabila kita memerhati keadaan masyarakat Malaysia hari ini,memang wujud unsur-unsur perpaduan itu.Usaha kerajaan mewujudkan berbagai dasar sosial sedikit sebanyak telah mendatangkan hasilnya.Polarisasi kaum kian berkurangan.Namun di sana masih ada berbagai masalah perpaduan dan integrasi nasional itu.Pencapaian orang Melayu dalam bidang ekonomi masih belum begitu berjaya sepertimana yang diharapkan.Begitu juga perbezaan di antara wilayah yang maju dan mundur,di antara bandar dan luar bandar,di antara pantai Barat dan pantai Timur dan di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak. Perbezaan ekonomi masih jelas kelihatan.Tidak hairanlah,dalam perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini,suara-suara ke arah mewujudkan semula Dasar Ekonomi Baru atau meneruskan dasar berkenaan yang telah pun tamat tempuhnya itu jelas kedengaran di sana sini.

Keadaan sesetengah anggota masyarakat yang terpinggir atau tertinggal dari arus pembangunan negara menampakkan bahawa dasar-dasar sosial itu tidak sepenuhnya berjaya menyusun semula masyarakat berbilang kaum di negara ini dari berbagai sudut termasuk keadilan ekonomi dan pembangunan wilayah.Di samping itu masalah perpaduan dan integrasi nasional sesekali masih beriak seperti riak-riak kecil di air tenang. Dalam soal-soal terbaru kebelakangan ini seperti Sekolah Wawasan, penentangan terhadap idea sekolah itu memperlihatkan sukarnya menyatukan masyarakat Malaysia dalam ertikata yang sebenarnya seperti yang dikehendakki oleh pihak kerajaan.Begitu juga dengan permasalahan meritokrasi dalam hal pengambilan pelajar ke insititusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang masih hangat dibincangkan oleh anggota masyarakat yang sekali sekala terlihat di dada-dada akhbar.

Begitulah sebenarnya,memang sukar untuk mewujudkan satu perpaduan yang mantap, apalagi perpaduan itu untuk mencapai tahap integrasi nasional,atau tahap pembinaan Bangsa Malaysia sepertimana yang disarankan melalui Wawasan 2020.Memang harapan kita, harapan pemerintah dan harapan para pembuat dasar adalah untuk melihat wujudnya satu bangsa yang diidam-idamkan itu.Walaupun bentuk Bangsa Malaysia itu sudah terbayang-bayang seperti dari beberapa pendapat yang disebutkan terdahulu,namun penyatuan menjadi semakin sukar bila a melibatkan soal agama dan kebudayaan.Inilah realitinya yang terpaksa dihadapi oleh masyarakat Malaysia. Kenyataannya dalam hal ini, kita sebenarnya hanya dapat dan mampu mewujudkan perpaduan dalam soal-soal bahasa,ekonomi, dan mungkin juga wilayah atau penempatan.Tetapi kepelbagaian tetap akan wujud,istimewa dalam bidang agama dan budaya.Itulah corak perpaduan yang mampu kita capai setakat ini.Kita tidak dapat berkhayal lebih dari itu. Atau seperti kata Prof.Jayum A.Jawan,”kepelbagaian ini andainya dikekalkan,maka proses pembinaan negara-bangsa itu tidak lain tidak bukan samalah ertinya dengan konsep dan proses perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity),yang jelas merupakan bentuk perpaduan dan integrasi yang sangat berjaya diwujudkan setakat ini (Asnarulkhadi Abu Samah & Jayum A.Jawan,2001,m.s.251).”

Sebagai kesimpulannya dapatlah kita katakan bahawa proses pembinaan Bangsa Malaysia dan integrasi nasional itu adalah amat penting terutama bagi sesebuah negara seperti Malaysia ini,di mana wujudnya masyarakat berbilang kaum hasil dari peninggalan sejarah dan dasar kolonialisme yang diamalkan oleh penjajah British.Namun ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk diwujudkan terutama apabila ia melibatkan masalah-masalah seperti agama dan kebudayaan.Memang menjadi harapan kita dan harapan kerajaan agar masyarakat berbilang bangsa ini dapat bersatu dalam membangunkan negara dan menjaga serta mengawasi keamanannya.Namun realitinya manusia tidak semudah itu untuk disatukan apalagi jika kita harapkan penyatuan itu mencapai tahap biologikal dan mewujudkan satu Bangsa Malaysia yang mempunyai identiti yang tersendiri.Namun kita masih boleh bersatu, bersatu dalam kepelbagaian sepertimana yang diamalkan sekarang.Sesungguhnya kita masih ada harapan untuk mencapai apa yang kita inginkan itu, namun usaha-usaha yang gigih dan pengorbanan dari setiap kaum sahaja yang dapat menjamin tercapainya integrasi nasional dan seterusnya terhasilnya satu Bangsa Malaysia yang menjadi harapan kita semua.


AlKundangi,

Dipost pada 24.9.2005

RENCANA UMUM:KESAN DAN IMPLIKASI DARI PENERBITAN ELEKTRONIK

KESAN DAN IMPLIKASI DARI PENERBITAN ELEKTRONIK

Perkembangan teknologi komputer,khususnya yang berhubungan dengan internet telah melahirkan gaya hidup baru yang berbeza di dunia hari ini.Teknologi kini telah mempengaruhi kehidupan manusia dengan sebegitu rupa, sehingga kini manusia di katakan tidak dapat hidup tanpa teknologi.Seluruh corak kehidupan berubah.Internet juga telah melahirkan dunia tanpa sempadan dengan konsep globalisasi yang didominasi oleh kuasa-kuasa besar, khususnya Amerika. Perkataan globalisasi sebenarnya mula popular pada dekad 1990-an ,namun begitu ia amat sukar ditafsirkan sebagai satu konsep tunggal kerana persepktifnya yang luas dan merangkumi banyak perkara. Menurut Waters dan Mittelman sebagaimana dikutip oleh Mohd.Azizuddin Mohamad Sani (2003), globalisasi meliputi pelbagai bidang dan merupakan satu fenomena multidimensi yang melibatkan aspek ekonomi,politik,budaya dan ideologi.

Kesan-kesan dari perubahan itu melibatkan juga dunia penerbitan, yang juga merupakan kegiatan ekonomi dan budaya yang penting dalam kehidupan kini. Teknologi penerbitan konvensional adalah diasaskan kepada teknologi percetakan moveble-type yang dilihamkan oleh Gutenberg,sudah begitu lama menguasai dunia penerbitan dan menjadi perkakasan atau hardware utama bagi media cetak.Ia mencetak karakter dan grafik di atas kertas semenjak 500 tahun dahulu dan telah memberikan sumbangan yang besar dalam proses penyebaran maklumat dan pengetahuan.Kini kehadiran ICT telah menghasilkan penerbitan elektronik yang banyak memberi pilihan kepada pengguna (Shaharom TM Sulaiman dan Salasiah Abd.Wahab,2002).

Sebenarnya,penerbitan elektronik telah bermula sejak wujudnya komputer.Ketika itu bahan-bahan elektronik terdapat dalam bentuk disket dan juga dalam perkakasan.Dan kemudian bila CD-ROM diperkenalkan, banyaklah bahan-bahan terbitan asalnya dalam bentuk konvensional mula diterbitkan dalam bentuk CD-ROM.Dengan terbentuknya internet, bahan-bahan bercetak mula dipindahkan ke lebuhraya maklumat, dan bermulalah era buku elektronik dan jurnal dalam talian.Sehubungan dengan itu,istilah penerbitan elektronik sentiasa berubah pantas sejajar dengan perubahan dan kemajuannya(Shaharom TM Sulaiman dan Salasiah Abd Wahab,Ibid).

Penerbitan elektronik dapatlah ditakrifkan sebagai penerbitan dalam bentuk yang menggunakan komputer dalam penghasilannya.Bahan penerbitan elektronik biasanya dapat diedarkan untuk pengguna secara dalam talian atau dicetak oleh pengguna sendiri.Ia juga diterbitkan dalam bentuk DVD atau VCD atau dalam laman web yang lebih interaktif sifatnya.Ciri-ciri multimedia kini menambahkan keberkesanan penerbitan elektronik. Bahan-bahan seperti disket, CD-ROM,jurnal elektronik,majalah elektronik dan akhbar dalam talian adalah contoh-contoh penerbitan elektronik yang terkini.

Namun dari suatu sudut,kemunculan besar-besaran penerbitan bahan elektronik telah meninggalkan kesan dan implikasi yang tidak sedikit kepada kehidupan manusia kini termasuklah dunia penerbitan itu sendiri.Ia juga meninggalkan implikasi ke atas ekonomi dan budaya yang menjadi sebahagian dari ciri kehidupan manusia.Memang setiap sesuatu yang baru itu meninggalkan kesan,samada positif atau pun negatif. Begitulah juga dengan penerbitan elektronik ini.Ia mengundang kedua-dua implikasi, iaitu positif dan negatif.

Kesan-Kesan Positif

Oleh kerana ia sesuatu yang baru dan masih sedang berjalan, kesan positifnya agak sukar dilihat kecuali apa yang telah berlaku atau sedang berlaku.Umpamanya penerbitan elektronik tidak memerlukan jangkamasa yang lama untuk menerbitkan sesuatu bahan,jika sekiranya ia ingin dicetak secara fizikal.Hanya pengarang asal perlu menaipnya dengan komputer dan setelah menyemaknya,ia terus dikemukakan kepada penerbit jika ia ingin diterbitkan.Sang pengarang boleh juga terus menghubungi mana-mana webmaster,jika ia ingin menerbitkan bahannya ke dalam laman-laman web.Ia juga boleh meminta mana-mana penerbit menerbitkannya dalam bentuk CD-ROM jika ia ingin berbuat demikian.Ia tidak perlukan jangkamasa yang lama,juga tidak perlu ditaip semula oleh mana-mana jurutaip.

Selain itu,penerbitan elektronik memudahkan kerja pencarian maklumat dengan wujudnya jurnal-jurnal yang diterbitkan secara online,khususnya jurnal berbahasa Inggeris.Ada juga laman-laman web berbahasa Melayu yang menerbitkan rencana-rencana ilmiah yang dapat dijadikan rujukan bagi mereka yang memerlukannya umpamanya www.usm.lib.my dan sebagainya.Namun jurnal-jurnal ini agak berkurangan berbanding jurnal berbahasa Inggeris. Menurut Roosfa Hashim(Tanpa Tahun), adalah sukar untuk mencari jurnal ilmiah kita di internet.Gunakanlah enjin pencarian apa sahaja seperti altavista, geogle, hotbot atau exite, kita tidak akan menemuinya selain beberapa jurnal yang boleh dihitung dengan jari sepuluh.Yang akan kita temui adalah Malaysian Journal of Computer Science dan Malaysian Law Journal.

Aspek positif yang lain ialah sejajar dengan perkembangan penerbitan elektronik berimbang dengan usaha kerajaan dalam membangunkan era IT di negara kita, kini hampir semua akhbar arus perdana telah menerbitkan edisi internetnya secara online.Ini termasuklah Berita Harian,New Strait Times ,The Star, Utusan Malaysia dan sebagainya.Tidak ketinggalan juga parti-parti pembangkang turut memanfaatkan perkembangan ini dengan menerbitkan Harakahdaily,Rocket ,Suara Keadilan dan sebagainya secara online.Keadaan ini menyuburkan perkembangan demokrasi dan kebebasan berpendapat di negara ini.


Kesan-Kesan Negatif

Namun apa yang lebih merunsingkan terutama bagi mereka yang terbabit dalam dunia pernerbitan konvensional di negara ini,penerbitan elektronik telah meninggalkan kesan yang tidak sedikit terhadap kegiatan mereka ,termasuk implikasinya terhadap masyarakat serta industri buku itu sendiri.Walaupun dari satu segi ia memudahkan penerbitan buku serta bahan-bahan lainnya,tetapi kos permulaannya agak mahal berbanding peralatan lama yang sedia ada.Selain itu, penerbitan elektronik khususnya secara online akan mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada buku-buku dan jurnal-jurnal,termasuk akhbar-akhbar harian.Walaupun setengah dari kita lebih selesa dengan cara lama, namun di masa-masa mendatang,masa depan penerbit konvensional akan terancam.Masalah royalti,masalah penyalinan dokumen tanpa kebenaran akan menghantui penerbit-penerbit buku dan lainnya walaupun mereka turut terlibat dalam penerbitan elektronik ini.Walaupun wujud kawalan undang-undang, namun ia tidak dapat memastikan jenayah online yang lebih canggih dan sukar ditangani berbanding jika menggunakan kaedah konvensional.

Perkembangan yang canggih dalam dunia buku tidak kurang juga memberikan reaksi yang kurang senang kepada masyarakat.Dalam satu tulisannya Brikets dalam bukunya The Gutenberg Elegies;The Fate of Reading in An Electronic Age (1994), sebagaimana yang dikutip oleh Shaharom TM Sulaiman (2001) memberikan reaksi bahawa kita kini dalam bahaya, kerana terlalu percaya bahawa kecepatan dan keajaiban elektronik telah memerdekakan kita dari kerja-kerja berat, namun baginya ia telah kehilangan nikmat membaca.Baginya,membaca buku adalah tempat berlindung,tempat paling pribadi dan subjektif. Ia adalah sebuah penjelajahan kedalaman dan keintiman seseorang dengan dirinya.Dengan penerbitan elektronik, istilah deep reading sudah pun ternoda dan orang sudah tidak lagi merasakan nikmat dan estetika membaca.Kehidupan yang serba moden yang tergesa-gesa,ekonomi yang mengejar laba dan keuntungan dengan kemajuan teknologi elektronik ternyata merampas waktu hening yang meditatif.

Sebahagian dari ahli masyarakat kita pula mengalami masalah lain dalam menghadapi perkembangan teknologi penerbitan ini. Mereka tidak begitu berani berdepan dengan media baru ini, dan merasakan satu phobia apabila berhadapan dengan komputer yang dihubungkan dengan internet. Mereka juga kurang yakin dengan teknologi ini, dan mungkin akan gugup ketika menggunakannya apabila timbul masalah-masalah teknikal yang berkaitan dengan dunia komputer dan jaringannya. Ada juga di kalangan pengguna berpendapat buku memiliki keistimewaannya tersendiri,seperti ia boleh dipegang,dicatat di mana suka,dan mudah di bawa ke sana ke mari tanpa bergantung kepada elemen elektronik dan teknologi tertentu untuk membacanya.

Teknik hyperteks dalam penerbitan online memungkinkan satu teks terhubung dengan teks lain,hanya dengan menggunakan satu klik tetikus,mengubah cara membaca yang linear dan sekuensial.Dengan hyperteks di internet, pembaca dengan mudah berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.Memang ianya merupakan suatu kemudahan, akan tetapi justeru itu muncul ketergesaan dalam berpindah dari satu teks ke teks lainnya.Ia berlaku tanpa perenungan,kedalaman dan tidak kontemplatif.Akibat lain, ialah terpinggirnya keindahan bahasa.Kompleksiti,kekayaan dan kelembutan bahasa semakin menghilang dan digantikan dengan bahasa robotik, ,teknis, langsung,sederhana dan tergesa-gesa.Tentunya semakin sedikit orang-orang yang mahu membaca karya-karya besar yang memerlukan penumpuan yang lebih dalam suasana konvensional (Shaharom TM Sulaiman,2001).

Ramai juga penerbit yang bimbang dengan pelancaran novel-novel yang menggunakan format e-buku yang mungkin mematikan industri penerbitan.Umpamanya apa yang dilakukan oleh Stephen King yang menerbitkan The Plant tanpa menggunakan penerbit.Seseorang hanya perlu menjalankan proses download untuk mendapatkan bukunya itu.Bayaran boleh dilaksanakan sebelum atau sesudah download. Amalan penulis yang tidak lagi memerlukan penerbit, pengedar dan toko buku dan berhubung terus dengan pembaca dan pembeli tentulah merisaukan para penerbit. Namun hal ini tidak dapat dipastikan kerana Stephen King adalah penulis yang sudah terkenal.Bagaimana kalau ia dilakukan oleh penulis yang belum terkenal? Mungkin ia tidak mendapat sambutan atau tidak seorang pun ingin memuat turun novelnya.Sebenarnya dalam hal ini apapun boleh terjadi.Yang menjadi persoalan,perkara itu boleh berlaku dan ia bakal memberikan sisi negatif yang tidak sedikit kepada dunia penerbitan konvensional (Shaharom TM Sulaiman dan Salasiah Abd Wahab,2002).

Satu lagi sisi negatif khasnya ke atas dunia Islam ialah bahan-bahan yang tidak bertapis yang diterbitkan secara online.Bahan-bahan seperti ini ada yang bersesuaian dan ada juga yang bertentangan dengan konsep dan amalan hidup masyarakat Islam. Ternyata banyak bahan di internet yang tidak selari dengan roh dan akidah Islam, yang berlindung di bawah konsep globalisasi.Umat Islam yang berilmu mungkin dapat menapis bahan-bahan berkenaan dari masuk meresap ke dalam kalbu mereka.Namun bagi masyarakat massa Islam yang kekurangan ilmu ternyata agak sukar melakukannya kerana bahan-bahan yang diedarkan adalah merupakan bahan mentah yang perlu ditapis terlebih dahulu agar ia tidak merosak keharmonian akidah Islam.

Selain itu bagi pihak kerajaan,pengawalan bahan-bahan yang disiarkan secara elektronik agak sukar dilakukan, kerana dunia internet itu sendiri adalah dunia yang bebas tanpa sempadan.Walaupun terdapat akta-akta yang berkaitan dengan multimedia dan undang-undang siber,namun keberkesanannya masih boleh dipertikaikan.Sebagai contoh terdapat laman-laman web yang menerbitkan bahan-bahan yang tidak selari dengan aspirasi kerajaan,bahkan dalam sesetengah hal bertentangan dengan dasar kerajaan dan amalan masyarakat Malaysia yang majmuk sifatnya,namun tindakan yang sewajarnya tidak dapat diambil kerana laman-laman web berkenaan menggunakan tapak web luar negeri.Hal ini menjadikan ia terselamat dari akta-akta berkaitan. Ini menyukarkan kerajaan yang ingin mengawal ketenteraman awam dan perpaduan kaum serta menjadikan negara aman untuk didiami.

Kesimpulan

Penerbitan elektronik,selain dari ianya memudahkan kerja-kerja penerbitan, menyingkatkan waktu,serta mengurangkan tenaga manusia,ia juga membawa kesan-kesan negatif yang tidak sedikit terhadap kehidupan manusia kini.Apalagi bahan-bahan yang diterbitkan secara online itu dimonopoli oleh negara-negara maju seperti Amerika dan sebagainya. Dari satu segi, ia mungkin melanjutkan era kolonialisme dalam bentuknya yang lain,iaitu mendominasi maklumat yang disalurkan ke atas negara-negara dunia ketiga.Mereka yang menguasai maklumat akan menguasai dunia ini.Ini adalah pendapat terkini tentang ledakan maklumat akibat berkembangnya penerbitan elektronik melalui internet atau alam siber.

Namun manfaatnya juga amat banyak jika manusia menghargai kemajuan dan kecanggihan yang telah dicapai setakat ini.Sekiranya manusia lebih bersifat manusiawi, penerbitan elektronik akan memberikan tamadun yang cukup tinggi terhadap kehidupan manusia itu sendiri.Hanya kita perlu menggunakan akal sendiri, dan tahu meletakkan sesuatu itu pada tempatnya.


Dipost pada,
24.9.2008


Bibliografi:

Mohd Azizuddin Mohd.Sani(2003),Globalisasi Hak Asasi Manusia: Debat Aliran Universalisme dan Ralativisme ,dalam Lukman Z.Mohamad dan Azmi Abdul Manaf (2003),Globalisasi Di Malaysia, Kuala Lumpur,Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.,cetakan pertama.

Shaharom TM Sulaiman dan Salasiah Abd Wahab(2002),Keanehan dan Keunggulan Buku ,Kuala Lumpur,Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd,cetakan pertama.

Shaharom TM Sulaiman (2001), Realiti Dan Ilusi Kehidupan Maya Dalam Era Siber,Bt.Caves,Selangor, Mahzum Book Services,cetakan pertama.

Roosfa Hashim (Tanpa Tahun) , Mencari Jurnal Ilmiah Kita Di Internet, available at:
http://www.geocities.com/zek_my/news/ut20.html

Sunday, September 21, 2008

ANTARA PAKLAH, HARGA MINYAK DAN BARANG-BARANG KEPERLUAN

ANTARA PAK LAH, HARGA MINYAK DAN BARANG-BARANG KEPERLUAN


Entah di mana silapnya, walaupun telahan yang dibuat adalah akibat sikap dan kegiatan Amerika dalam usahanya menentang keganasan,sehingga membawa kepada serangan terhadap Afghanistan,di ikuti Iraq dan kemudian muncung meriamnya dihalakan ke Iran walau pun tidak menjadi, harga bahan bakar yang penting dalam menggerakkan aktiviti manusia mencecah lebih US140 Dolar setong. Ini menjadikan sesetengah negara mengalami kegawatan ekonomi, kekurangan bekalan makanan dan sebagainya. Tempiasnya seperti tidak dapat dielakkan, ia turut melanda ekonomi bumi jantung pisang ini.

Pak Lah sebagai PM yang menerajui negara, kusut fikiran bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini. Tanpa memikirkan kesan jangka panjang, PM yang kemudian diikuti oleh jurucakapnya,Dato’Shahril Abdul Samad,Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengambil keputusan untuk menaikkan harga bahan bakar itu. Pada 5 Jun,2008, harga petrol dinaikan 41% membawa perubahan harga dari RM1.92 kepada RM2.70 seliter. Manakala diesel naik RM1.00 seliter, berubah dari RM1.58 kepada RM2.58 seliter. Perubahan mendadak ini menyebabkan harga barang-barang keperluan meningkat dengan agak drastik. Harga beras, yang sebelum itu memang telah naik, turut meingkat. Kini herga beras gred A (di mana peratus kehancurannya 5%) menjadi RM14.00 untuk 5 kilogram atau RM28.00 untuk 10 kilogram. Harga beras yang lebih bermutu naik lebih RM 30.00 untuk 10 kilogram. Kini kita tidak lagi menemui harga beras RM9.90 untuk 5 kilogram seperti dahulu.

Bukan hanya beras memperlihatkan kenaikan harga, bahkan hampir semua barang keperluan mengalami kenaikan harga, termasuk tambang bas dan sebagainya.Inilah kesan yang dirasai oleh rakyat marhaen akibat dari tindakan yang tidak memikirkan jangka panjang itu. Bila kerajaan mengumumkan pula penurunan harga bahan bakar itu 15 sen, harga barang tidak pula turun, bahkan sebaliknya. Harga barang terus meningkat dan ia memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah. Apalagi ketika musim perayaan hampir tiba, harga barang di pasaran semakin terik dan menggusarkan.





Jika kita ke bazar Ramadhan pada hari ini, sekurang-kurangnya kita akan kehabisan RM30.00. Hari ini penulis terperanjat bila membeli santan cair pada harga RM6.00 sekilogram, berbanding suatu masa dulu hanya RM4.00 sekilo.Dimanakah jaminan harga barang tetap akan terkawal jika keadaan sedemikian berterusan. Penulis penuh positif, jika kerajaan menurunkan lagi kadar harga petrol dan diesel di pump (Stesen) kepada harga asal iaitu RM 1.92 bagi petrol dan RM1.58 bagi diesel, harga barang tetap tidak akan turun. Siapakah yang silap dal hal ini. Adakah para pengundi yang mengundi BN/UMNO pada PRU12 baru-baru ini atau adakah ia satu kesilapan politik yang diputuskan oleh PM tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap keputusannya itu. Penulis yakin, harga barangan keperluan yang agak tinggi akibat dari keputusan yang terburu-buru itu tidak akan turun sampai bila-bila. Maknanya keputusan yang dibuat oleh PM dan kuncu-kuncunya itu akan terus di”nikmati” oleh rakyat negara ini sampailah ke hari kiamat.

Walaupun kerajaan memberikan rebet sebanyak RM625.00 (yang sebetulnya RM628.00) bagi pemilik kenderaan 2000 CC ke bawah ketika memperbaharui cukai jalan,dan RM150.00 bagi motosikal, namun rebet itu hanya dapat menampung sebulan keperluan harga minyak yang digunakan setiap hari bagi pemilik kereta bagi 1.3cc dengan jarak ke tempat kerja sejauh 40km.Untuk sebelas bulan selanjutnya terpaksalah ditanggung sendiri.Dan semua orang pun tahu komisen atau baki RM3.00 lagi bagi setiap orang itu, akan terlepas ke tangan pemegang saham terbesar Pos Malaysia, Syarikat Scomi,di mana pemiliknya adalah anak PM sendiri. Apakah yang Pos Malaysia dapat? Kabarnya tidak satu sen pun wang itu jatuh ketangan Pos Malaysia yang mempunyai lebih 15,000 kakitangan itu.Namun mereka terpaksa menanggung segala masalah yang timbul hasil dari pembayaran rebet minyak melalui Pos Malaysia itu.


Demikianlah satu episod keputusan politik, oleh pelaku-pelaku politik yang tidak memikirkan kesan jangka panjang dari tindakan itu.Dan memang pun,kata orang politik itu suatu seni yang serba mungkin. Tidak ada yang mustahil, atau bak kata Tun Dr.Mahathir, hari ini boleh jadi kawan, dan besok boleh jadi lawan atau sebaliknya.Di manakah rasionl Pak Lah ketika membuat keputusan harga minyak itu?



AlKundangi,
22.9.2008.