ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Tuesday, March 8, 2011

Libya, dari revolusi ke perang saudara

Suhaimi Mokhtar

Pemimpin Libya, Muammar Ghadafi memang menunggu saat kejatuhannya. Tetapi kejatuhan Ghadafi tidak secepat kejatuhan Ben Ali Tunisia dan Hosni Mubarak, Mesir.

Bukan setakat Ghadafi yang menunggu saat digulingkan. Ramai lagi pemimpin-pemimpin dunia Arab yang akan jatuh dan bakal digulingkan oleh rakyat masing-masing, satu demi satu dalam revolusi kebangkitan rakyat yang kini sedang melanda seluruh Timur Tengah.

Tiada sesuatupun yang kekal kecuali Allah yang maha pencipta dan begitu jugalah dengan pemerintahan-pemerintahan dimuka bumi ini, akan berakhir apabila tamat tempuhnya. Pemerintahan-pemerintahan di negara-negara yang sedang mengalami kebangkitan rakyat ini akan berubah dan akan mengalami tempuh lupusnya apabila rakyat sudah bosan dengan regim-regim diktator yang zalim dan menindas ini.

Pada mulanya dijangkakan nasib Ghadafi sama saja dengan nasib Ben Ali dan Hosni Mubarak, kerana setial pemerintahan mereka sama sahaja antara satu dengan lain. Zalim, menindas, rasuah, kukubesi dengan menyekat kebebasan bersuara; memenjara penentang politik; memperkosa hak asasi manusia sehingga rakyat sentiasa hidup dalam ketakutan.

Ben Ali dan Mubarak tunduk kepada kehendak rakyat walaupun cuba mempertahankan tempuk kuasa mereka, tetapi apabila kelihatan ia tidak mampu bertahan lagi, pemerintah diktator ini membuat exit mereka, tanpa menunggu lebih lama lagi. Mereka meninggalkan takhta kuasa mereka dalam susana penuh penghinaan. Ben Ali dan Mubarak berpaut kepada kuasa melebahi dari had dan batas waktu yang sepatutnya menyebabkan akhirnya mereka hilang segala-galanya.

Ghadafi memilih jalan berkonfrantasi berhadapan dengan rakyat menyebabkan Libya kini berada diambang perang saudara. Situasi tidak menentu dan huruhara yang melanda Libya akan memakan masa lebih lama dan memakan korban yang lebih besar.

Setakat ini revolusi rakyat Libya yang bangkit menentang Muammar Ghadafi telah dapat menguasai timur Libya termasuk bandar kedua terbesar Benghazi dan beberapa bandar lain dan Ghadafi masih dapat mempertahankan Tripoli, ibunegara Libya.

Terdapat juga pihak-pihak yang menyokong Ghadafi dan mereka telah mencuba mengambil semula bandar-bandar dan kedudukan-kedudukan yang kini berada ditangan rakyat. Lebih ramai rakyat Libya yang akan terkorban apabila berlaku pertempuran antara yang bertekagah.

Ghadafi melalui ucapan-ucapan yang di siarkan oleh saluran TV pemerintah keras tidak akan tunduk kepada desakan rakyat yang mahukan dia berundur. Ghadafi dan anaknya Saiful Islam sama-sama berdegil tidak akan tunduk kepada desakan rakyat.

Wajah Libya bertukar, dari satu kebangkitan rakyat menjadi pertentangan antara rakyat yang menentang dan menyokong Ghadafi,termasuk pasukan-pasukan tentera, ada yang bersama dengan kebangkitan rakyat dan ada pula yang masih setia dengan Ghadafi.

Keadaan ini telah mencetuskan implikasi lebih buruk apabila Ghadafi menggunakan jet-jet pejuang tentera udaranya untuk melakukan serangan terhadap kedudukan–kedudukan pro kebangkitan rakyat yang kini menguasai sebahagian besar wilayah Libya.

Akibat dari keengganan Ghadafi menyerah kepada desakan revolusi kebangkitan rakyat, dimensi dari satu kebangkitan berubah menjadi peperangan terbuka yang akan memakan masa yang lebih lama bergantung sejauh mana keupayaan Ghadafi mempertahankan dirinya.

Masyarakat antarabangsa melalui Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan beberpa resolusi bagi menekan Ghadafi untuk tunduk kepada tekanan dan akur dengan kehendak kebangkitan rakyat yang mahu menukar regim diktatornya kepada yang lebih demokratik dipilih rakyat.

Ghadafi, anaknya, Saiful Islam dan pembantu-pembantu rapatnya kini terdedah kepada pendakwaan di Mahkamah Dunia kerana jenayah kemanusiaannya terhadap rakyat Libya dalam mempertahankan regimnya.

Majlis Keselamatan juga sebulat suara menggenakan sekatan terhadap harta Ghadafi, keluarganya dan konco-konconya bagi meneruskan tekanan untuk memaksa Ghadafi berundur dari tampuk kuasanya. Ghadafi kini dalam keadaan makin lemah, bagaimana pun Ghadafi berlainan dari Ben Ali dan Mubarak, dia tidak akan tunduk dan mahu mati dalam perjuangan.

Demikianlah Ghadafi yang menganggap dirinya sebagai saorang revolusiner yang merampas kuasa mengulingkan Libya yang beraja dan menukar menjadi repablik pada 1969.

Kini akibat pertempuran antara penyokong dan penentang Ghadafi dibeberapa buah bandar dan kawasan menyebabkan kapasiti pengeluaran minyak Libya yang di exsport ke Eropah telah berkurangan menyebabkan Arab Saudi menambah pengeluarannya bagi menampung kekurangan pengeluaran minyak Libya.

Para pekerja asing terdiri dari rakyat pelbagai negara yang berkerja dalam pelbagai sektor dan kategari pengeluaran minyak telah meninggalkan Libya kerana menyelamatkan diri dan keadaan ini memungkinkan Libya menghadapi kekurangan tenaga kerja yang nanti menyebabkan pengeluaran minyak Libya terus berkurangan.

Dalam keadaan ini akan berlaku campurtangan kuasa Amerika Syarikat(AS) dan sekutu baratnya di Libya bagi menjamin pengeluaran minyak Libya.Inilah yang sedang direncana oleh AS dan sekutunya apabila resolusi zon larangan penerbangan dikuatkuasakan terhadap regim Ghadafi.

Apakah Ghadafi akan tunduk dengan segala sekatan yang dikuatkuasakan terhadap regimnya. Tentu sekali tidak, kerana Ghadafi telah mengambil pendekatan berbeza setelah melihat nasib yang menimpa Ben Ali dan Mubarak.

Ghadafi yang menyalahkan Al-Qaeda atas kebangkitan rakyat yang menentangnya akan mempunyai alasan baru iaitu apa yang berlaku di Libya adalah atas perancangan AS dan sekutu baratnya untuk merampas minyak Libya selepas AS dan barat menyerang Iraq untuk mendapat jaminan minyak Iraq.

Campurtangan AS dan barat tidak member I kekuatan kepada revolusi rakyat Libya bahkan ia akan member I kekuatan kepada Ghadafi untuk mengubah keadaan untuk memihak kepadanya kerana sentimen anti AS dan barat sangat kuat di rantau Timur Tengah. Jika camputangan ini mengambil tempat, maka Libya akan menjadi seperti Iraq yang kini dalam keadaan berperang memasuki lapan tahun.

Selagi konflik perang saudara di Libya tidak selesai,maka revolusi kebangkitan rakyat dijazarah Arab yang lain seperti di Yaman, Bahrian, Oman, Jordan, Algeria dan lain-lain negara akan berterusan kerana negara-negara ini juga terus mahu mempertahankan regim masing-masing.

Beberapa pembaharuan telah cuba di perkenalkan bagi menanggani dan membendung kebangkitan rakyat,tetapi rakyat mahukan pertukaran regim dinegara-negara ini. Regim-regim ini bagi mempertahankan status quo kuasa mereka telah mengerakkan rakyat yang menyokong regim berdemonstrasi menentang demonstrasi kebangkitan rakyat.

Keadaan ini akan membahayakan dan mencetuskan huruhara dan pertembungan yang boleh membawa kepada anarki seperti yang berlangsung diLibya sekarang, sedangkan yang berdemonstrasi menyokong regim hanya segelintir kecil sahaja, tetapi yang mencetuskan revolusi kebangkitan rakyat terdiri dari majoriti rakyat.

harakahdaily.net

Perang persepsi menjelang PRU13

Majdan Dagang

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Merlimau dan Kerdau yang memihak kepada Umno-BN jelas menunjukkan bahawa mood pengundi sejak Pilihan Raya Umum ke-12 2008 (PRU12) dulu tidak banyak berubah.

Hal ini kerana sejak PRK pertama pada 16 Ogos 2008 di Permatang pauh yang dimenangi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga ke PRK Kerdau yang dimenangi oleh Syed Ibrahim Syed Ahmad – menunjukkan kedua-dua pihak PR dan BN mempertahankan kawasan masing-masing.

Jika ada perubahan pun lebih kepada kehendak semasa, faktor calon dan kawasan itu pernah bersilih ganti pemenangnya seperti di Sibu, Galas, dan Kuala Terengganu. Yang lain-lain terus kekal dengan status quo asal. Keadaan ini boleh disifatkan sebagai PAS-PR tidak kalah sementara Umno-BN pula tidak menang.

Namun, jika dianalisis pola pengundian sejak merdeka sehingga PRU12 yang lalu banyak perkembangan dan perubahan yang dapat dilihat. Pola pengundian PRU12 telah banyak berubah bentuk sokongan tradsional kepada yang lebih terbuka. Jika dahulu, setiap kumpulan mempunyai penyokong tegar yang begitu setia dengan parti masing-masing, Kini keadaan itu mula berubah sedikit demi sedikit, terutama apabila generasi kedua dan ketiga memainkan peranan. Walaupun kumpulan penyokong tegar ini masih kekal tetapi generasi kedua dan ketiga tidak lagi terikat dengan apa-apa budi dan sentimen.

Sedikit demi sedikit generasi baru mengubah pola pengundian ini membentuk pola yang baru. Kini pengundi daripada generasi kedua dan ketiga mula membentuk pola pengundi bandar dan pinggir bandar. Kebanyakan mereka mempunyai pendidikan dan berhijrah keluar dan terdedah kepada kepada sumber maklumat.

Kelompok ini mula memberikan undi mereka kepada parti pembangkang kerana cara berfikir dan bertindak tidak lagi terikat kepada mana-mana pihak. mereka lebih bebas memilih dan menentukan hak. Kumpulan ini sukar untuk dijinakkan dengan rasuah wang, kebendaan dan pangkat. Mereka juga lebih celik maklumat dan tidak mudah menerima bulat-bulat apa-apa yang disampaikan oleh pihak kerajaan.

Sementara kelompok kedua ialah kumpulan pengundi luar bandar, pedalaman dan tanah rancangan. sebahagian besar yang berada di kawasan ini berada di bawah paras kemiskinan, banyak bergantung kepada media asas televisyen dan akhbar; mereka kurang terdedah dengan maklumat maya yang lebih terbuka.

Dalam hal ini, Umno menyedari bahawa talian hayat mereka yang sebenar ialah kelompok kedua iaitu pengundi luar bandar, pedalaman dan tanah rancangan. Serta jangan lupa satu lagi talian hayat tambahan bagi Umno-BN ialah undi pos.

Bagi mengekalkan dan mengembalikan kuasa mereka yang hampir kecundang dalam PRU12 yang lalu Umno-BN dijangka merangka dan telah melaksanakan beberapa polisi. Perancangan ini berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada terang-terangan atau secara tertutup.

Antara perancangan yang paling besar dan penting ialah membentuk persepsi. Untuk membentuk persepsi yang positif kepada Umno-BN, kuasa media digunakan sepenuhnya. Media elektronik, media cetak dan media maya disusun atur agar membentuk persepsi bahawa Umno baik dan pembangkang tidak baik. Usaha ini dilakukan secara berterusan dan terancang. Media juga berjaya digunakan sebagai “pembunuhan watak”.

Pada masa yang sama pihak pembangkang agak lemah dalam mengendalikan perang media ini, tambahan pula mereka kekurangan sumber kewangan dan menghadapai sekatan daripada kerajaan melalui KDN.

Ada yang memandang sinis propaganda milik Umno-BN ini, namun PR perlu menyedari bahawa sasaran mereka adalah pengundi kumpulan kedua ini. Pengundi kategori ini perlu dipastikan terus mengundi mereka dan pada masa yang sama kaedah lain perlu dia dicari untuk mendapatkan kembali kawasan bandar dan pinggir bandar.

Ternyata, taktik ini berjaya digunakan dan pengundi kumpulan kedua terus kekal bersama Umno-BN walau apa isu pun. Sementara pengundi atas pagar ada yang berjaya dipengaruhi untuk kembali kepada Umno-BN

Dalam suasana begini adalah dijangkakan PRU13 nanti tidak banyak perubahan yang berlaku kecuali ada isu besar yang membentuk gelombang rakyat atau Umno-BN merancang taktik lain melalui pelbagai agensi kerajaan yang ada di bawahnya.

Umno-BN sedar mereka perlu melakukan lebih daripada itu untuk memperoleh majoriti 2/3 diparlimen dan merampas kembali beberapa negeri yang jatuh ke tangan PR. Media massa sahaja tidak cukup, maka kedengaranlah tentang kewujudan pengundi hantu walaupun sehingga kini tidak ada suatu bukti yang sahih dikemukakan. Peningkatan pemberian MyKad sejak kebelakangan ini menimbulkan spekulasi bahawa mereka bakal digunakan untuk mengundi Umno-BN.

Dalam usaha mengimbangi serangan dan perangkap Umno-BN, PR wajar bertindak pantas membetulkan persepsi dan salah faham yang dimainkan oleh media pemerintah. PR tidak boleh membiarkan rakyat sendiri mencari jawapan dan kebenaran. Hal ini kerana perkara yang betul tetapi jika diulang setiap hari dan mengatakannya salah, fikiran rakyat terutamanya golongan atas pagar akan berubah.

Perang persepsi adalah tentera barisan hadapan dalam proses untuk memperoleh kuasa pada hari ini. jika sesuatu pihak berjaya dalam peringkat ini bermakna mereka telah menang sebahagian dalam perang tersebut. Dalam konteks demokrasi pada hari ini, pembentukan persepsi penting untuk menentukan hala tuju strategi seterusnya.

Oleh sebab media PR agak terhad daripada pelbagai segi, maka tanggungjawab perlu dimainkan juga oleh peringkat jawatankuasa yang lebih rendah. Jawatankuasa PR peringkat daerah/kawasan perlu memainkan peranan dengan mengedarkan risalah-risalah ringkas untuk menangkis setiap tohmahan. Setiap mereka wajar mendekati seramai mungkin golongan atas pagar.

Strategi “M2M” atau mulut ke mulut yang sering digunakan oleh syarikat pemasaran boleh digunakan dalam perang persepsi sebagai penerangan yang berkesan. Sebagai contoh seorang pengguna barangan A memberitahu kawannya bahawa barang A ini bagus dan berkualiti. setelah kawannya menggunakan barangan A dan terbukti berkualiti, dia akan mengesyorkan pula barangan tersebut kepada pengguna lain. konsep yang sama boleh digunakan dalam perang persepsi ini, cuma mungkin perlu memerlukan kebijaksanaan untuk menyesuaikan dengan suasana politik.

Sebagai contoh cuti dua hari seminggu merupakan salah satu produk yang dimulakan oleh kerajaan Kelantan yang dikuasai PAS. Perkara ini boleh menjadi sesuatu yang besar jika PR bijak menggunakannya. Begitu juga produk air percuma oleh kerajaan Selangor. Produk yang sedemikian baik jika tidak dipasarkan dan dipromosikan akhirnya kan tenggelam begitu sahaja.

Pada masa yang sama produk pesaing, walaupun tidak berkualiti tetapi berjaya dipromosikan, dipasarkan dan dicanangkan dengan baik mampu mengalahkan produk lain yang lebih berkualiti.

Hakikatnya perang persepsi ini akan terus berlanjutan selagi ada pesaingan.

harakahdaily.net