ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Tuesday, November 3, 2009

KERETA LAMA DAN MASA DEPAN

Industri automotif memang sedang berkembang pesat di negara kita sekarang ini, ditambah lagi dengan kereta-kereta import dari Jepun dan Barat. Bandar-bandar yang dulunya lenggang kini sudah mengalami kesesakan, adakalanya membosankan khasnya di musim-musim perayaan dan cuti sekolah.

2. Sebelum membentangkan belanjawan pada bulan Oktober baru-baru ini, kereta lama yang berusia lebih 20 tahun sudah pun di "blacklist" di mana amat sukar bagi pemiliknya memperbaharui cukai jalan, terpaksa mengambil insuran lain untuk pemandu dan penumpang (PA) mengakibatkan seseorang yang memilikinya terpaksa membelanjakan RM 400.00 untuk memperbaharui cukai jalan bagi tempuh setahun.

3. Selepas belanjawan 2010, kereta lama berusia 15 tahun pula bakal menjadi sasaran. Walaupun buat masa ini kerajaan menangguhkan pelaksanaannya akibat bantahan dari pelbagai pihak, namun cadangan itu akhirnya akan terlaksana juga seperti kereta yang berusia lebih 20 tahun.

4. Kereta lama yang berusia 15 tahun ke atas akan diwajibkan menjalani pemeriksaan di Puspakom dengan bayaran RM 50.00 setiap tahun bagi memperbaharui cukai jalan. Kebanyakan kereta lama, kecuali kereta antik, dipunyai oleh masyarakat luar bandar untuk memudahkan mereka bergerak, seperti menghantar anak ke sekolah, hospital, memasarkan barang-barang pertanian/ perusahaan mereka dan lain-lain. Cadangan kerajaan melaksanakan pemeriksaan kereta lama di Puspakom itu akan meningkatkan perbelanjaan pemiliknya, yang mana belanja baik-pulih juga agak tinggi setiap bulan. Akhirnya masyarakat marhaen seperti inilah yang menjadi mangsa di atas dasar baru automotif itu. Orang-orang politik dan orang-orang kaya tidak menyimpan kereta lama, sebaliknya mereka menyimpan kereta antik bagi yang berminat. Dan bagi mereka wang bukan masalah utama.

5. Soalnya di manakah slogan rakyat didahulukan dalam dasar automotif negara yang baru diuumkan itu? Apakah benar rakyat didahulukan dalam 1 Malaysia, atau hanya sekadar gimik politik sahaja? Di manakah rakyat marhaen yang tidak punya slip gaji itu meminjam wang untuk menukarnya dengan kereta baru dan mendapatkan rebet RM5000 yang ditawarkan oleh proton dan perodua itu? Apakah mereka mampu untuk membayar ansuran bulanan jika ada pihak yang setuju memberikan pinjaman kenderaan kepada mereka?

6. Satu hal lagi, mewajibkan pemeriksaan Puspakom itu dijangka akan meningkatkan amalan rasuah di agensi kerajaan itu. Selama ini pun, kalu pemilik kemderaan itu sendiri yang berurusan akan terpaksa berulang alik beberapa kali untuk mendapatkan kelulusan Puspakom. Namun jika mereka mengupah seorang 'runner'umpamanya, hanya dengan satu kali pemeriksaan, semuanya selesai. Namun untuk mendapatkan rebet RM5000 seorang pemilik kereta lama harus membayar RM500 kepada seorang 'runner'. Ke manakah wang itu pergi, kerana jika pemilik sendiri yang berurusan perbelanjaannya hanya RM50sahaja? Namun oleh kerana terlalu rumit dan sukar, pemilik kereta lama yang ingin menukar dengan kereta baru lebih rela mengupah runner dari berurusan dengan Puspakom sendiri. Di manakah silapnya dasar ini? Siapakah sebenarnya yang mengaut untung dalam pelaksanaan sistem ini, pada masa ini dan di waktu-waktu mendatang? Apakah golongan marhaen yang sering ditipu dengan berbagai dasar baru kerajaan, akan tertipu lagi, atau inikah masanya untuk beralih arah? Fikir-fikirkanlah rakyat marhaen yang lemah ekonomi, dan lemah pula mental kalian. Masihkan tuan-puan ingin menyokong BN atau PR yang menjanjikan dasar yang lebih adil dan saksama?


AlKundangi,
3.11.2009.