ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Friday, January 14, 2011


PAKATAN YAKIN KOMITMEN PAS


KUALA LUMPUR, 13 Jan: DAP dan PKR melahirkan rasa puas hati mereka dengan penjelasan yang diberikan oleh Presiden PAS ekoran pertemuan dua pemimpin tertinggi PAS dengan Yang di-Pertuan Agong dan pemimpin tertinggi Umno.

"Saya penuh yakin, PAS terus komited bersama Pakatan Rakyat walaupun telah bertemu dengan para pemimpin Umno itu," kata Lim Kit Siang dalam sidang media yang diadakan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hari ini.

Mesyuarat itu diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut dekat sini.

Sebelum mesyuarat itu, Lim Kit Siang bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Sebelum ini, Abdul Hadi juga telah memberikan penjelasan mengenai pertemuan itu kepada pimpinan PKR termasuk Datuk Seri Anwar.

Abdul Hadi juga telah memberikan penjelasan kepada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat hari ini mengenai pertemuan itu.

Bagi Anwar, Umno terlalu terdesak sehingga membuat perancangan untuk bertemu pemimpin PAS sedemikian rupa.

Sebelum ini, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dalam kenyataannya berkata, pertemuan yang diadakan di Istana Terenganu di Kuala Lumpur itu diadakan atas jemputan Yang Dipertuan Agung.

Ia dibuat menggunakan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi sebagai 'posmen' semasa kunjungannya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Ekoran pertemuan itu timbul pelbagai spekulasi di dalam blog sehinggalah dijelaskan oleh Nik Aziz sebelum ini dan penjelasan Abdul Hadi dalam mesyuarat Pakatan hari ini.

harakahdaily.net
Pertemuan blogger Pakatan Pulau Pinang 16 Jan

Mohd Sabri Said



PULAU PINANG, : Semua blogger yang pernah bersama-sama menjatuhkan Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang dijemput hadir bersama Lajnah Penerangan PAS negeri bagi tujuan 'pam' kembali semangat mereka yang kian luntur setelah Pakatan Rakyat menang pada 8 Mac 2008.

Program yang diadakan pada 16 Januari di Puncak Mutiara Kristal yang terkenal dengan masakan kambing di Kampung Pelet, Penanti akan bermula pukul 8.00 malam.

Ketua Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang, Zulkifly Ishak berkata, pertemuan tersebut amat penting kerana BN terlalu bebas menaburkan fitnah kepada Pakatan Rakyat termasuk PAS yang dianggap melukut di tepi gantang.

Katanya, sedangkan Pakatan Rakyat masih dibelenggu dengan media yang boleh dijadikan alternatif bagi menjawab semua dakyah jahat Umno dan BN.

"Semua blogger diharap dapat bersama kami kerana pertemuan itu pastinya mencatat satu lagi perkembangan positif memandangkan tarikh pilihanraya semakin hampir," tegasnya.

Lagipun, katanya sudah lama tiada pertemuan untuk membincangkan beberapa perkara penting sebagai bekalan blogger memantapkan lagi isu yang melanda negeri ini.

Umno kini bertukar strategi dengan masuk ke kampung-kampung menerangkan isu wang judi, kerajaan negeri meroboh gerai Melayu, penghakisan orang Melayu dari Pulau Pinang serta semakin banyak tanah orang Melayu dijual pada bukan Melayu dan sebagainya.

“Isu-isu begini masih berlegar tenang di pemikiran orang Melayu sehinggakan mereka menganggap Kerajaan Pakatan Rakyat jahat dan tidak menguntungkan orang Melayu di Pulau Pinang.

"Umno gunakan media mereka dan turun ke kampung-kampung untuk sebarkan dakyah jahat untuk tujuan memburukan Kerajaan Negeri. Kita tak patut duduk diam tanpa menjawab sesuatu. Peranan bloggerlah yang kita harapkan," jelas beliau.

Sebelum hadir, ujarnya mereka harus mendaftarkan diri dengan memberikan nama, alamat dan nama blog yang dikendalikan supaya memudahkan tugas urusetia.

Semua maklumat itu boleh diserahkan kepada Setiausaha Lajnah Penerangan PAS negeri, Rashid Mohd Ali di talian 013-4145663.

harakahdaily.net

Rakyat Selangor mahu kembalikan kuasa Raja- Umno setuju tak?


Aspan Alias

KALAU benar Umno itu mendaulatkan Raja-Raja Melayu parti itu patut membetulkan apa yang telah dirosakannya sejak krisis perlembagaan yang dilakukan pada tahun 1993 dahulu. Itulah cabararan yang diberikan oleh TS Khalid Ibrahim kepada Umno semasa berucap di Subang Jaya semalam.

Khalid meminta Umno menunjukkan bukti dengan menyokong pindaan perlembagaan secara retrospektif yang akan diusulkan dalam persidangan tergempar Dewan Undangan Negeri Selangor hujung bulan ini. Kerajaan PR Selangor akan mengusulkan pindaan itu untuk mencari penyelesaian ‘once and for all’ dalam isu kuasa melantik pegawai tertinggi Selangor yang menjadi Ex- Officio di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri itu.

Cabaran Khalid kepada Umno itu jika disokong oleh Umno maka akan terbuktilah parti ini benar-benar jujur kepada institusi Raja Berpelembagaan yang telah kita terima sebagai sistem pemerintahan negara kita sejak kita merdeka dahulu. Jika kita memberikan sokongan kepada pindaan itu Umno akan dapat memadamkan kesalahan yang dilakukan oleh pemimpinnya pada tahun 1993 dahulu.

Walaupun setengah pemimpin Umno kita dan penyokong-penyokongnya memberikan alasan yang pindaan pada tahun 1993 dahulu ialah untuk memperbetulkan sikap setengah Raja-Raja Melayu dan keluarganya, tetapi rakyat yang mempunyai siasah dan sahsiah yang murni tidak akan mempercayai alasan itu. Sebenarnya ianya dilakukan kerana hendak mempertahankan kuasa seorang pemimpin politik yang inginkan kuasa sepanjang hayat beliau. Berkuasa dalam jangka masa yang panjang itu merupakan ‘ultimate’ kepada perjuangan beliau.

Jika benarlah alasan itu baik, kenapa pindaan itu telah mengakibatkan kacau bilau didalam sistem pemilihan SS Selangor baru-baru ini? Telah terbukti jika kuasa yang telah ditarik balik dari Raja-Raja Melayu itu telah disalah gunakan oleh kerajaan Persekutuan dengan menghantar seorang pegawai untuk mentadbir negeri tanpa kerelaan Menteri Besarnya.

Kita semua tahu yang kita adalah negara Persekutuan dan saya ulangi yang kedaulatan Malaysia itu datangnya dari kedaulatan kerajaan-kerajaan negeri yang dipilih rakyat. Tidak menhormati kedaulatan kerajaan-kerajaan negeri bermakna kita tidak menghormatai kedaulatan kita sendiri.

Tindakkan tidak mengormati kerajaan yang memerintah salah sebuah negeri didalam Persekutuan itu merupakan tindakan yang tidak bersahsiah dan ianya melambangkan yang kerajaan persekutuan itu seolah-olah mempunyai ‘attribute’ seperti kerajaan Malayan Union (MU) anjuran British pada tahun 1946 yang lalu.

Kita mengaku yang kita mendaulatkan Raja-Raja Melayu. Oleh itu pulangkanlah balik kuasa itu kepada Istana. Jangan bermuka-muka dan jangan berbohong kepada rakyat dan Raja. Kalau sikap bermain ‘kong kalikong’ ini diteruskan kita takut suatu hari nanti rakyat akan meminta kita membuka mulut pemimpin kita luas-luas kerana nak pastikan jenis lidah yang ada dalam mulut mereka itu.

Kita mesti elakkan dari rakyat menganggap pemimpin kita mempunyai lidah biawak yang bercabang-cabang. Apabila persepsi ‘lidah bercabang’ ini sudah terbenam dalam benak rakyat maka kita akan dihumbankan oleh mereka. Berbohong kepada rakyat merupakan kesalahan yang sangat besar disebuah negara demokrasi yang kononnya hendak menjadi negara maju menjelang tahun 2020 nanti. Malahan ramai pemimpin-pemimpin besar negara maju telah kecundang kerana membohongi rakyat.

Jika berangan hendak menjadi pemimpin negara maju sikap dan nilai kepimpinan kita mesti selari dengan pemikiran dan mentaliti pemimpin negara maju. Pemimpin kita jangan begegar-gegar bercakap tentang negara maju tetapi mentalitinya seperti pemimpin-pemimpin dikebanyakkan negara Afrika. Sekarang ini pun ada pihak yang menganggap Malaysia sebagai ‘Zimbabwe in different name’.

Oleh itu jangan kita membuat spekulasi dahulu. Kita terus tunggu dan lihat samada Umno benar-benar menunjukkan kepada rakyat yang mereka tidak berdolak dalik dalam isu mempertahankan kedaulatan Raja_Raja seperti yang dilaungkan mereka dimana-mana.

Jika Umno handak membuktikan yang parti ini memperjuangkan kedaulatan Raja-Raja Melayu menyokong pindaan yang akan diusulak oleh DUN Selangor nanti merupakan kesempatan keemasan bagi mereka untuk melakukannya….betul ke tidak?

Barulah rakyat percaya yang kita tidak berbohong dan kita pun akan merasa bangga untuk mengaku sebagai ahli Umno dan rakyat tidak akan menunjuk kearah kita dengan mencemekkan bibir mereka kepada kita.

harakahdaily.net/v2
Gaji pengawal keselamatan naik

KUALA LUMPUR - Lebih 100,000 pengawal keselamatan di negara ini dijangka menerima gaji minimum RM700 pada hujung bulan ini.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohammed berkata, kerajaan tidak berganjak daripada keputusan bahawa pelaksanaan gaji minimum itu adalah pada 1 Januari lalu.

"Jika ada pengawal keselamatan tidak menerima gaji baru pada 31 Januari ini, mereka harus bertanya kepada majikan dan membuat laporan kepada Pejabat Tenaga Kerja berhampiran sekiranya masih tidak ada perubahan selepas itu," katanya kepada pemberita, semalam.

Sheikh Yahya berkata, jabatan itu telah berjumpa dengan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia bagi menjelaskan keputusan kerajaan tersebut.

Sementara itu, Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) A Balasubramaniam menyambut baik keputusan kerajaan tersebut yang seiring dengan salah satu resolusi yang dibuat mereka pada persidangan bulan lalu.

Di bawah skim gaji baru ini, pengawal keselamatan akan menerima gaji bulanan sebanyak RM1,200 termasuk upah kerja lebih masa. - Bernama

sinarharian.com.my
DUN Tenang: Wanita lawan wanita?



SHAH ALAM - Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, dijangka menyaksikan pertembungan antara wanita apabila Barisan Nasional (BN) dan Pas dikatakan akan mengemukakan calon yang sama.

Namun, Ketua Penerangan Pemuda Pas Mazlan Aliman berkata, pihak media perlu menunggu pengumuman rasmi pada 16 Januari 2011 di Tenang nanti.

“Mesyuarat telah diadakan tetapi tunggulah ia diumumkan 16 Januari ini di Tenang, bagi kami di Johor siapa pun yang menjadi calon, tidak menjadi masalah.

“Apa yang penting hanyalah untuk melaksanakan misi merampas kembali kerusi ini dari UMNO dan BN,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Difahamkan, mesyuarat tersebut telah memilih seorang daripada dua calon yang disenarai pendek oleh Pas Johor iaitu seorang dari Exco Pemuda, Fidaus Masod dan seorang lagi mewakili Dewan Muslimat Pas, Normala Sudirman.

Kelmarin, Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali tidak menafikan ramalan ini dan memberitahu bahawa calon telah dikenal pasti.

Manakala, Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Zulkifli Ahmad turut membayangkan hanya tinggal dua calon yang akan menggalas tanggungjawab itu.

Sementara itu, BN pula dipercayai akan meletakkan calon wanita yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Labis, Haslinda Salleh sebagai calon.

Haslinda yang juga seorang usahawan pernah mengetuai Puteri UMNO Bahagian Labis, mengambil alih jawatan Ketua Wanita UMNO bahagian pada 2008.

sinarharian.com.my
13.1.2011

Tuesday, January 11, 2011

BLOG SEBAGAI PENYAMPAI BERITA ALTERNATIF

Pada tahun 1998, selepas DS Anwar ditangkap di bawah ISA, laman web-laman web pro reformasi berkembang dengan pesatnya.Antara yang terkenal adalah laman Mahazalimtwo dan AlIslah. Maka bermunculanlah penulis-penulis laman web berkenaan seperti cucumatkilau, marhaentua,marhaen muda, jabat dan sebagainya.Sebahagian dari penulis-penulis yang tidak berbayar ini kemudiannya membuat laman atau blog sendiri yang berkembang pada alaf 21 ini.Mereka bebas menulis,mengulas keadaan politik semasa dan sebagainya.Mereka berkorban tenaga,masa dan wang ringgit untuk menyedarkan rakyat tentang penyelewengan pemerintah, kezaliman mereka dan sebagainya.Berkat usaha mereka itu, rakyat kini sudah semakin sedar tentang yang mana salah yang mana betul. Hasilnya kini Pakatan Rakyat menguasai 5 negeri, di mana satu darinya,Perak dirampas secara tidak sah oleh pemerintah,Barisan Nasional.

2. Sejak PRU ke 12, sudah enam kali pilihanraya kecil diadakan, disebabkan oleh kematian wakil rakyat atau mereka meletakkan jawatan. Dari 6 pilihanraya kecil itu, 5 dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Ini membuktikan betapa berkesannya laman-laman web pro Pakatan Rakyat dan blog-blog yang turut sama menyingkap kelemahan dan kebobrokan yang dilakukan oleh pemerintah yang hanya mementingkan kroni dan suku sakat mereka sahaja dalam agihan ekonomi negara. Rakyat yang tidak menyokong mereka dibiarkan hidup melarat. Hasilnya kerajaan semakin kehilangan sokongan dari masa ke masa, dan kemungkinan akan tewas pada pilihanraya akan datang. Pertukaran kerajaan adalah satu perkara biasa dalam sejarah. Jika UMNO-BN kalah pada pilihanraya akan datang dan kehilangan kuasa tampuk pemerintahan, mereka harus menerimanya sebagai satu putaran sejarah yang tidak dapat dielakkan. Sejarah adalah sesuatu yang sering berulang. Ia juga adalah pengajaran bagi mereka yang tahu menilainya.

3.Demikianlah kekuatan blog yang mampu membina fikiran dan mengubah pandangan masyarakat sehingga beralih arah kepada pembangkang yang kemungkinan akan menjadi kerajaan pada mada akan datang. Blog lebih bebas sifatnya, dan tidak begitu terikat dengan undang-undang yang sedia ada, kecuali undang-undang multimedia yang dikuasai oleh kementerian yang dipertanggungjawabkan. Namun ada juga para blogger diambil tindakan undang-undang, seperti apa yang dialami oleh Kickdefella dan Raja Petra Kamaruddin. Namun keseluruhannya laman blog lebih bebas dari media cetak dan media elektronik.

4. Oleh yang demikian, laman-laman blog lebih bebas menyuarakan pendapat dan pandangan, dan lebih dipercayai terutama oleh golongan muda dan berpendidikan. Sementara golongan tua dan konservatif lebih mempercayai media cetak dan media elektronik yang dikuasai oleh pihak kerajaan. Dengan begitu, peranan laman-laman blog dalam merubah pemikiran masyarakat adalah sesuatu yang tidak dapat diketepikan begitu sahaja, dan ada kemungkinan pengaruhnya lebih besar dari media cetak dan media elektronik. Oleh itu, para agen perubahan termasuk para pemikir masyarakat dan kaum intelektual haruslah memanfaatkan ruang siber ini untuk melakukan islah terhadap masyarakat umum, dan berusaha merubah kezaliman kepada keadilan.Kehidupan akan lebih bermakna jika negara kita lebih adail dan lebih telus dalam pembahagian kekayaan negara ini. Apa yang dilakukan oleh Kerajaan Selangor dengan memberikan kemudahan kepada rakyatnya termasuk 20 meter padu air percuma pada peringkat pertama, adalah satu usaha pengislahan yang dibuat melalui kuasa politik. Sebab itu kuasa politik penting untuk melaksanakan perubahan.

5. Blog adalah satu alat komunikasi. Dalam Ilmu Komunikasi, komunikasi itu sendiri terdiri dari lima unsur. Di antara unsur itu ialah saluran (channel), mesej, pengirim, penerima dan kesan yang terhasil dari komunikasi itu sendiri. Jika dikaitkan dengan laman blog ini, salurannya ialah blog itu sendiri yang dapat diakses melalui komputer yang ada talian dengan internet. Mesej ialah apa yang ingin disampaikan oleh penulis blog itu, samada soal politik, ekonomi, sosial, ugama dan sebagainya. Pengirim ialah penulis blog itu sendiri. Manakala penerima ialah pembaca dan pengunjung blog berkenaan. Kesan pula ialah apa yang terhasil selepas pembaca/pengunjung membaca dan meneliti blog berkaitan. Apakah ada perubahan minda atau tindakan dalam perlakuannya. Dengan segala ciri ini, dapatlah dikatakan laman blog adalah satu alat komunikasi yang lengkap yang dapat menyampaikan apa saja maklumat kepada audiennya. Dengan itu para pemikir,penganilisis politik, agen-agen perubah masyarakat,kaum intelektual dan budayawan seharusnya memanfaatkan laman blog sebagai satu saluran komunikasi yang amat berkesan pada dekad ini. Dengan ini laman-laman blog dijangka berupaya mengambil alih peranan media rasami seperti akhbar dan media elektronik, dan dapat memberikan berita-berita yang lebih benar dan memenuhi citarasa masyarakat kini, khasnya golongan muda.

6. Sebagai kesimpulannya, dapatlah dikatakan laman blog mempunyai ciri yang lengkap sebagai alat komunikasi dan berupaya menyaingi media rasmi yang sering diperalatkan oleh pihak berkuasa dengan agenda tertentu. Dengan begitu,blog berupaya merubah pandangan masyarakat terhadap sesuatu isu yang diketengahkan oleh pemerintah dan dapat menilai kesahihannya atau sebaliknya. Oleh itu blog sebagai alat penyampai berita alternatif adalah amat berkesan, dan para blogger hendaklah menggunakannya untuk mencapai kebaikan dan keadilan untuk semua golongan masyarakat.


AlKundangi,
http://alkundangi.blogspot.com