ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Saturday, July 25, 2009

978 KES H1N1 SELURUH NEGARA

978 kes H1N1 seluruh negara

BANDARAYA MELAKA – Negara mencatat 39 kes baru selesema babi membabitkan kes tempatan dan daripada jumlah terbabit, 36 kes melibatkan institusi pendidikan. Berdasarkan pertambahan kes berkenaan, negara sehingga semalam mencatat jumlah keseluruhan sebanyak 978 kes di seluruh negara. Daripada jumlah itu, seramai 20 mangsa masih ditahan di wad hospital, 14 dirawat sebagai pesakit luar dan selebihnya sudah disahkan sihat dan bebas daripada wabak berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tujuh institusi di seluruh negara merekodkan kes positif wabak Influenza A (H1N1). Antaranya Maahad Tahfiz, Kuantan; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Bestari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Seri Iskandar dan Lendu. Sementara itu, tujuh institusi pengajian tinggi di negeri ini ditutup selama seminggu dan dua daripadanya sudah beroperasi hari ini. “Semalam (kelmarin) Institut Kemahiran Mara, Jasin dan Kolej Yayasan Melaka mula ditutup. Selain itu, Sekolah Jururawat Nilam, Institut Perguruan Durian Daun, Kolej Profesional Mara ditutup sehingga 29 Julai ini. ”Melaka mencatatkan 70 kes selesema babi dan ini merupakan satu statistik yang besar.

Bagaimanapun wabak berkenaan terkawal dan orang ramai dinasihatkan terus menitikberatkan kesihatan diri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Klinik Kesihatan Merlimau, di sini, semalam. Klinik kesihatan itu mula beroperasi pada 1 Jun lalu dan memberi perkhidma�tan penduduk di kawasan sekitar. Seramai 52 kakitangan terlatih memberi perkhidmatan kesihatan dan antara kemudahan disediakan ialah perkhidmatan pesakit luar, klinik ibu dan anak, kecemasan, pasukan sekolah dan farmasi.

www.sinarharian.com.my
25.7.2009

POLIS MARAH KENYATAAN OBAMA

Polis AS marah kenyataan Obama

BOSTON - Presiden Amerika Syarikat (AS) mencetuskan kemarahan pihak polis AS berikutan kenyataan beliau yang mendakwa pasukan keselamatan negara itu bertindak bodoh menahan seorang ahli akademik kulit hitam. Obama dalam kenyataannya itu menyifatkan polis di Cambridge, Massachusetts bersikap bodoh ketika menahan pengarah Institut W.E.B. Du Bois untuk Kajian Afrika dan Afrika Amerika, Henry Louis Gates dari Universiti Harvard. "Komen Presiden itu nyata menyebabkan anggota keselamatan seluruh AS berkecil hati," kata Presiden Ikatan Pegawai Polis Antarabangsa (IPOB), David Hilway.

Dalam satu surat kepada Obama, Hilway menggesa Presiden AS itu meminta maaf kerana kenyataannya itu dianggap tidak memikirkan perasaan semua anggota polis. Sementara itu Pesuruhjaya Jabatan Polis Cambridge, Robert Haas menganggap kenyataan Obama itu menyebabkan maruah pasukan polis tercalar.

www.sinarharian.com.my
25.7.2009

H1N1 SERANG IPT

HIN1 serang IPT

Sana sini orang heboh memperkatakan mengenai misteri kematian Teoh Beng Hock yang ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam Shah Alam, minggu lalu. Nama Beng Hock terus jadi popular dan sebutan. Kematiannya yang tragis selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan Selangor kepada SPRM terus menjadi tanda tanya. Kenapa, mengapa dan siapa? Semua orang sibuk cadang itu ini bagi menyelesaikan masalah Beng Hock.

Terbaru adalah penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi mencari punca kejadian. Tidak kisahlah nak tubuhkan apa lagi selepas ini kerana yang penting misteri terungkai. Bagaimanapun, dalam sibuk-sibuk orang bercerita mengenai Beng Hock, jangan pula kita terlepas pandang mengenai penularan wabak Influenza A (H1N1) yang semakin menjadi-jadi pula sejak akhir-akhir ini. Semacam satu trend pula kerana H1N1 ini mencari sasaran dalam kalangan budak sekolah, pelajar dan penuntut institut pengajian tinggi (IPT).

Setakat semalam, 36 kes membabitkan institusi pendidikan negara. Banyak juga IPT ditutup, antaranya adalah UiTM Dungun di Terengganu apabila 100 penuntutnya menghidap selesema disyaki H1N1. Akibatnya 6,000 penuntut terpaksa balik kampung. Bukan jumlah yang sedikit diarah pulang untuk ‘bercuti tanpa kerelaan’. Tidak tahulah jika ada penuntut suka pula bercuti panjang kerana tidak payah pening kepala hadir kuliah, buat ‘assigment’ dan macam-macam lagi. Wabak H1N1 turut dikesan di UiTM Seri Iskandar di Perak.

Sementara di Melaka pula, institut pengajian diarah tutup adalah Institut Perguruan Perempuan Durian Daun, Kolej Yayasan Melaka, Kolej Profesional Mara, Nilam Nursing School Bachang, Institut Kemahiran Mara, Jasin, dan Kolej Profesional Mara. Sebelum itu, UiTM cawangan Melaka di Lendu juga pernah diarah tutup. Di Sabah turut tidak terkecuali apabila Sekolah Menengah Sains Lahad Datu yang juga sekolah berasrama penuh diarah tutup seminggu selepas ada pelajar disyaki dijangkiti H1N1. Sebelum ini (sekadar menyebut beberapa nama) turut terkena ‘serangan’ H1N1 adalah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi, Kuala Lumpur dan UiTM Pulau Pinang. Terkini, UiTM Shah Alam turut terkena tempias. Lihatlah betapa cepatnya wabak ini merebak.

Dari luar negara masuk dalam negara, dari Selatan menuju Utara, dari Timur pergi ke Barat, melangkau pula ke Sabah dan Sarawak. Seronoknya H1N1 ini ‘jalan-jalan’ satu Malaysia. Justeru langkah berjaga-jaga harus diambil. Jika kena kuarantin, patuhilah arahan itu. Duduk sahaja dalam rumah diam-diam. Jangan pula keluar bersiar-siar, pergi ‘shoping’, pergi jumpa ‘ahli mesyuarat tingkap’ atau apa-apa sajalah.

Kuarantin bukan bermaksud mahu menyusahkan cuma mengelakkan daripada penularan wabak menjadi semakin serius dan tidak terkawal pula. Jangan pula yang dah terkena wabak ini dengan sengaja bermurah hati ‘mendermakan’ H1N1 kepada orang lain, kononnya mahu ‘susah senang ditanggung bersama’. Memang susah jika seorang terkena, semua orang dikuarantinkan. Semua kerja tertangguh. Kuliah ataupun pembelajaran terhenti seketika. Perancangan tergendala. Namun semua ini untuk kebaikan bersama kerana jika silap perhitungan H1N1 boleh membawa maut.

Kita semua sudah tentu mahu sihat walafiat tanpa sebarang penyakit. Jika demam, sakit kepala berdenyut-denyut, migrain, batuk dan sebagainya, sudah pasti kehidupan seharian terganggu. Selera makan hilang. Ketika itu suakan apa sahaja sama ada piza, ayam goreng, burger ataupun kari kepala ikan, pasti tekak tidak lalu. Justeru, jagalah kesihatan kerana jika kita sihat, hidup gembira, hati pun senang. Bersyukurlah dengan nikmat dikurniakan Tuhan.

www.sinarharian.com.my
25.7.2009

APABILA SAYA BERDEBAT DENGAN UMNO-DR.MUJAHID

Apabila saya berdebat dengan Umno

Oleh Dr Mujahid Yusof Rawa


Beberapa bulan selepas kemenangan PR, kedengaran Umno begitu berminat untuk berbincang dengan PAS. Orang-orang Umno lebih lunak dalam serangan politiknya kepada PAS berbanding dengan rakan-rakan PR yang lain dari DAP dan PKR. PKR Umno "belasah" dengan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tak habis-habis manakala DAP mereka serang dengan serangan berbau "perkauman" supaya orang Melayu terus kekal benci kepada parti "chauvinist" Cina itu.Saya perasan Umno tidak sangat "hentam" PAS, kalau adapun kepada peribadi Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Bila isu Kerajaan Perpaduan dimainkan, tiba-tiba beberapa nama pemimpin PAS jadi "harum" manakala nama Nik Aziz terus menjadi sasaran kecaman demi kecaman. Itu senario hubungan PAS-Umno yang pelik. Kini Umno bercakap tentang perpaduan Islam-Melayu dan peliknya ialah perpaduan itu hanya dengan PAS.Bila Datuk Seri Presiden PAS menegaskan bahawa perpaduan mesti dibawa bersama rakan-rakan dari Pakatan, Umno kata "no" … hanya dengan PAS. Itulah yang saya katakan pelik dan saya mengandaikan ia bukan usaha perpaduan tetapi usaha memecahkan perpaduan dalam PR.Saya kaitkan cerita di atas dengan Umno di Pulau Pinang yang lebih "tebal" Melayunya, mungkin kerana Melayu adalah minoriti di Pulau Pinang. Umno di Pulau Pinang tak ketinggalan nak ambil kesempatan ini untuk "mengurat" PAS di Pulau Pinang untuk bincang masalah Melayu Pulau Pinang secara khusus dan isu perpaduan secara umum.

Satu hari semasa saya bertemu Abang Non, Ketua Penerangan PAS Kawasan Bayan Baru di mana saya adalah YDPnya terpacul soalan dengan penuh semangat tentang cerita Umno Bayan Baru nak jumpa dengan PAS, Abang Non kata dengan pelek bahasa Tanjong yang pekat "… depa habaq mai kata nak bincang dengan kita, saya kata nanti sat kami bincang, YB Mujahid tak dak masalah mesti dia bersedia nak jumpa dengan hangpa… bolehka ustaz?"Abang Non yang saya kenal memang semangat orangnya, kalau cakap jangan duduk dekat kerana tangan dan kepalanya bergerak merata. Saya mengangguk setuju seraya berkata: "Tak dak masalah eehh, kalau nak bincang PAS memang bersedia tapi bukan pi nak serahh tengkok!"

Usaha PAS dan Umno Bayan Baru habis di situ aja kerana tidak ada perkembangan selanjutnya.Lain pula apabila saya berjumpa dengan Raja Munir Shah, seorang tokoh muda Umno Tanjung yang memegang jawatan Timbalan Ketua Bahagian Umno Tanjung, dia begitu bersemangat bercakap tentang perlunya PAS Pulalu Pinang dengan Umno Pulau Pinang berbincang dalam senario politik baru. Saya bertemu dengannya di program menyambut Pulau Pinang sebagai Bandaraya Warisan anjuran USM, khusus tentang kebudayaan Islam dan Melayu di Pulau Pinang. Saya dijemput sebagai salah seorang ahli panel bersama dengan Umno dan tokoh akademik Prof Muhammad Salleh seorang Sasterawan Negara. Majlis dirasmikan oleh YB Danny Law sebagai exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pulau Pinang.

Dalam majlis itu saya sempat mengutarakan persoalan budaya Melayu dan Islam yang dilihat tidak diberi tumpuan khususnsya bangunan bersejarah dan masjid Acheh yang terpinggir dalam pamplet-pamplet mempromosikan Pulau Pinang serta akses jalan yang tidak dipermudahkan untuk sampai ke sana seolah-olah terperosot.Lepas majlis saya bersembang dengan Raja Munir dan dia terus mencadangkan sesuatu perlu dibuat dalam konteks Pulau Pinang antara PAS dengan Umno.

Saya bersetuju secara asas, isu ini dibincang dalam suasana ketamadunan dan rasional bukan sentimen dan dasar perkauman.Hasil dari pertemuan itu, dua bulan sudah saya menerima jemputan dari Umno Tanjung untuk diadakan Wacana Ilmiyah dengan tajuk besarnya ialah Perpaduan Ummah. Dalam surat yang saya terima saya difahamkan Umno akan diwakili oleh Ketua Pemudanya Khairy Jamaludin dan Shahbudin Yahya, ADUN Permatang Berangan dari Umno Pulau Pinang, manakala moderatornya adalah Dr Suhaimi dari USM.

Saya menerima jemputan itu dengan sikap terbuka, lagipun bukankah satu aspek ketamudunan itu ialah berwacana, berdebat dan berdiskusi walaupun dengan pandangan yang berbeza? Selagimana kita jelas dasar dan halatuju serta sedar masalah yang berlaku, saya tidak perlu takut untuk berdepan dengan pihak yang selama ini mempertikaikan saya. Atas dasar itu saya bersetuju untuk hadir "wacana ilmiyah" pada 11 Julai, pukul 2.30 petang di Kompleks Penyayang, Pulau Pinang.Tiba hari itu saya disambut dengan mesra oleh penganjur iaitu Umno Tanjung, malah hampir kesemua yang saya temui adalah rakan atau kenalan dan sebahagian besarnya mengenali saya kerana Pak Yusof Rawa. Itulah uniknya orang Melayu Pulau Pinang mungkin kerana mereka minoriti mereka tidak sangat dipisahkan dengan "political divide" mereka lebih berminat untuk memikirkan survival Melayu Pulau Pinang di mana semua PAS dan Umno bersetuju secara dasarnya masalah ini perlu ditangani bersama.

Dengan sebab itu juga Pak Yusof Rawa walaupun tokoh PAS, tetapi disanjungi sebagai orang Melayu Pulau Pinang yang berjaya dan prihatin kepada nasib orang Melayu Pulau Pinang. Saya menumpang keadaan itu, sebab itu pada awal lagi saya sudah tahu parameter saya dalam berwacana nanti.Saya juga tahu masalah Melayu Pulau Pinang yang saya kuasai sejak dulu lagi kerana saya anak jati Pulau Mutiara cuma saya bukan anak mami saja, anak keturunan Rao atau Rawa yang merantau sejak Tok Wan saya, saya generasi ke 3, perantau dari Rawa, Sumatra.

Orang PAS pun ramai yang datang, tetapi masing-masing seperti saya kenal mengenali antara satu sama lain, walaupun janggal untuk berada dalam dewan yang penuh dengan bendera Umno, tapi orang PAS tak kisah, mereka nak dengar apa pemmpin mereka akan kata dalam wacana ini. Lalu saya diperkenalkan dengan ustaz Affendi Mohd Yusof, Exco Pemuda Umno, Pengerusi Biro Agama, anak muda yang berpendidikan agama dari Jordan dengan pakaian tipical Pemuda Umno, songkok dan baju putih tangan pendek. Saya berpakaian batik merah dan kopiah putih kain keras (kupiah ustaz Fadhil), tipikal PAS dan suasana dewan berdebar kerana ini kali pertama PAS dengan Umno bersemuka, walaupun bukan pada tahap tinggi, tetapi cukup untuk "meletup" dengan isu-isu yang terpendam lama selama ini antara PAS dengan Umno.

Oh ya, YB Khairy Jamaludin dan YB Shahabudin tidak hadir kerana berkempen di Manek Urai, itu menurut penganjur.Tajuk "Kesatuan Ummah, retorik atau survival", Raja Munir jadi moderator (takkan Dr Suhaimi yang sepatutnya moderator, pergi Manek Urai jugak…). Saya diberi pembicara yang pertama, lalu saya mulakan dengan ayat-ayat Al Quran yang menganjurkan perpaduan dan kesatuan, saya turut membawa buku-buku rujukan atas alasan tidak mahu tersasar tajuk dan bercakap atas hawa nafsu. Buku yang saya bawa, Unsur Kekuatan dalam Islam, Syed Sabiq, Mengapa Umat Islam DiLanda Perpecahan? Oleh Drs Munawwar Khalis, Min Fiqh Daulah oleh Qaradhawi dan dua buku Jameelah Abu Bakar tentang Melayu Pulau Pinang.

Alhamdulillah suasana pembentangan saya terkawal kerana disandarkan kepada ayat-ayat Al Quran dan petikan buku. Saya terlalu cermat dengan masa kerana menghormati majlis, maklumlah PAS dijemput, jadi saya terpaksa beradab dan berhati-hati. Lagipun saya mesti menunjukkan keterampilan kepimpinan PAS di hadapan orang Umno dan orang PAS sendiri.Tiba giliran Ustaz Affendi yang pada 5 minit pertama sahaja menyetujui point-point saya, kemudian daripada itu semuanya menyerang peribadi dan kata-kata Tuan Guru Nik Aziz seolah-olah dia berada di Manek Urai berkempen.

Saya melihat orang Umno pun tercengang kerana ucapan berdalilkan Al Quran dan petikan buku dijawab dengan serangan-serangan kepada pemimpin tertinggi saya, Mursyidul Am PAS. Pengalaman di Kelantan dibawa dengan kata-kata sinis yang pedih ditujukan kepada PAS. Dalam hati saya, ini bukan ilmiyah, ini kempen politik yang layak untuk berhibur sahaja, kita sedang mencari jalan atau sekuang-kurangnya melihat masa depan, bukan membebel politik.Ustaz Affendi juga turut menuduh PAS sudah ada unsur rasuah dalam pemilihannya!

Semasa pembentangan Umno suasana jadi panas, kedengaran suara orang-orang PAS berbisik sesama mereka sambil menjeling marah kepada wakil Umno, tidak kurang wajah moderator dan Pengerusi Umno Tanjung, Datuk Ahmad Ibni Hajar menunjukkan ketidakselesaan sambil mencuri pandangan kepada saya untuk melihat reaksi saya. Saya senyum dan sesekali serius mencatit apa yang "dihemburkan" oleh ustaz kita.Selesai ucapan saya diberi peluang untuk menjawab dan membuat penjelasan atas soalan apakah peranan kita sebagai orang bawahan menentukan masa depan kesatuan ummah selain orang pemimpin.

Saya memulakan dengan melahirkan sikap kesal saya kepada apa yang diutarakan oleh wakil Umno dan meminta supaya kita fokus kepada tajuk dan saya secara sinis menyindir: "Kalau nak kempen simpan nanti di Manek Urai, bukan di sini, kami tak ada masalah permusuhan seperti yang disebut di Kelantan!’ sindiran saya mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin termasuk orang Umno.Kedua saya tegaskan bahawa saya di sini bukan untuk membantai pemimpin Umno, tidak seperti wakil Umno yang membantai Tok Guru Nik Aziz yang menjadi pemimpin No. 1 PAS.

Saya turut menyindir kepada ustaz kita, adalah tidak cerdik menuduh seseorang sedangkan dia tidak ada di hadapan melainkan ia dianggap fitnah untuk memburukkan keadaan! Sekali lagi tepukan dari para hadirin… tentang rasuah dalam PAS, saya menegaskan bahawa sebagai AJK PAS Pusat saya tidak tahu adanya aduan rasmi, yang ada ialah Ketua Dewan Ulamak PAS memberi peringatan kepada calon-calon bukan menuduh rasuah, tetapi yang pasti Ketua Pemuda Umno dan Ketua Menteri Melaka memang disabitkan kesalahannya kerana rasuah dalam pertandingan Umno baru-baru ini, seluruh dunia mengetahuinya! Kali ini tepukan lebih gemuruh.Saya turut menyebut tentang apa yang Umno buat untuk orang Melayu di Pulau Pinang?

Saya juga menegaskan saya Melayu, saya Islam tetapi saya mengidamkan Melayu yang bermoral dan Islam yang beramal dan saya mengidamkan parti saya adalah parti yang disegani kerana moralnya bukan parti yang terpalit dengan rasuah! Saya sekadar menjawab "serangan" yang dimulakan tetapi dalam nada yang penuh kawalan dan suara yang slumber, itu memberi kelebihan kepada saya untuk menguasai keadaan.Saya turut menghulurkan tawaran untuk menjadikan isu Melayu Pulau Pinang dijadikan agenda penting Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dan semua pihak harus menyokong usaha murni ini tanpa terikat dengan kepentingan parti masing-masing. Saya mencadangkan isu-isu segera ditangani bersama seperti isu kubur di Jelutung, Isu kampong Melayu di Tanjong Tokong di bawah UDA.

Begitu juga isu sejarah orang Melayu di Pulau Pinang yang tidak disebut sebagai orang pertama yang sudah membuka dan meneroka tanah di Pulau, mereka hanya menyebut Francis Light sebagai orang yang membuka Pulau Pinang. Saya menegaskan ini perlu ditangani bersama oleh semua pihak dan saya menjaminkan bahawa PAS akan menegaskan kecelaruan sejarah ini. Sebenarnya isu ini memang sudah lama diperjuangkan di Pulau Pinang dan seperti suis lampu, apabila saya menyentuhnya tenggelamlah karut marut serangan ke atas PAS dalam ucapan wakil Umno tadi.Semasa sesi soal jawab beratur peserta untuk ambil bahagian dari kedua belah pihak, anehnya dalam soal jawab itu orang Umno turut mempertikaikan peranan Umno selama ini di Pulau Pinang, malah untuk kepentingan Melayu dan Islam di Pinang Pinang mereka menyarankan supaya hari ini sebagai kerajaan biarlah orang Melayu di Pulau Pinang, Umno atau PAS berada di bawah pimpinan Dr Mujahid.

Datuk Ahmad Ibnu Hajar dan Raja Munir tersenyum termasuklah saya memandangkan wakil Umno yang berucap itu terlalu bersemangat mahukan kesatuan. Sesi soal jawab berakhir dengan ucapan sinikal, geli hati dan ada dari wakil Umno yang marah kepada penganjur kerana tidak meletakkan bendera PAS dalam dewan dan backdrop pentas sambil bertanya "macamana nak bersatu?" Panas dan menarik majlis sehingga saya membatalkan jamuan teh petang di rumah Gabenor pada pukul 5 petang sempena Hari Kelahiran Tun Dr Abbas Abdul Rahman.

Majlis berakhir pukul 7 malam dan saya sempat jadi "selebriti" kejap apabila buku saya yang saya bawa bersama minta di tulis otograf saya, ramai yang membelinya dari Umno, tak kurang mencuri peluang bergambar dengan ahli panel dan saya sebagai orang PAS yang datang ke majlis Umno Tanjung.Hari itu saya terlalu letih kerana setelah selesai wacana, saya bergegas untuk kuliah Maghrib di Masjid Hashim Yahya, Kampong Dodol dan kerana hujan lebat sejak petang Kampong Dodol, P. Ramlee dan Kampong Makam banjir. Setelah selesai kuliah saya turun melihat banjir dan dibawa oleh Pertahanan Awam untuk naik bot melihat dan meninjau banjir di Jalan P. Ramlee.Hujan terus lebat sehingga basah kuyup dibuatnya.

Isteri saya turut mengharungi banjir di Kampong Makam untuk melihat mangsa dan kedengaran bunyi suara: "kalau isteri pemimpin Umno, tak sudilah nak harung banjir jumpa orang kampong!" saya senyum, isteri saya lagilah senyum lebar. Malam itu saya berehat di rumah saya di Telok Kumbar. Saya betul-betul letih, hanfon saya tak henti SMS tetapi saya abaikan sahaja. Esoknya bangun untuk kuliah subuh di mesjid Gelugor, saya sempat melihat kebanyakan SMS mengucap tahniah tentang debat dengan Umno ada yang berbunyi: "Pemimpin PAS lebih jauh berpandangan dan mampu berhujah dengan nas dan bukti yang kuat, Umno dan PAS bagai langit dengan bumi".

Itulah kisah pada 11 Julai. Pada 12 Julai selesai kuliah subuh di masjid Gelugor saya bersiap sedia pula untuk kuliah bulanan saya di Tabung Haji Bayan Lepas di mana beratus anak murid saya sedang menunggu untuk kuliah Sirah yang saya sudah mulakan sejak 3 tahun yang lalu. Sesungguhnya tugasan lebih besar daripada peruntukan masa yang ada.

http://www.politikbanjar.blogspot.com/

Wednesday, July 22, 2009

PERJALANAN "KILAT" RASULALLAH SAW

Perjalanan 'kilat' Rasulullah saw.

Oleh : Ustaz Shauqi [link]

Secara ringkasnya, Israk dan Mikraj merupakan satu perjalanan kilat Rasulullah s.a.w. pada sebahagian malam atas kekuasaan dan kehendak Allah dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa, kemudian naik ke langit sampai ke Sidratulmuntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan menembusi tujuh lapisan langit, lalu kembali semula ke Mekah pada malam yang sama.

Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku mengikut beberapa riwayat pada malam 27 Rejab tahun kesebelas kerasulan Baginda dan berlaku setahun sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w. ke kota Madinah.
Peristiwa ini bersabit dengan firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Isra’ ayat yang pertama maksudnya: Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Pada paginya, Rasulullah s.a.w. termenung, memikirkan bagaimanakah baginda dapat memberitahu umat manusia tentang peristiwa tersebut, kerana ia adalah sesuatu yang di luar kemampuan manusia.

Sedangkan perjalanan ke Baitulmaqdis sahaja mengambil masa hampir sebulan, inikan pula dalam satu malam.
Begitu pun Rasulullah s.a.w. menyahut cabaran Abu Jahal agar dikumpulkan manusia untuk memberitahu mereka tentang peristiwa perjalanan Rasulullah s.a.w. ke Masjidil Aqsa. Apabila manusia telah berkumpul, dan Rasulullah s.a.w. menceritakan mereka tentang perjalanan baginda ke Masjidil Aqsa dalam satu malam, ramai daripada mereka yang tidak percaya. Malah, mereka yang lemah imannya juga mendustakan Rasulullah s.a.w. Namun, dalam masa yang sama, mereka yang sudah kuat imannya, bertambah kukuh lagi keimanan, seperti Sayidina Abu Bakar As-Siddiq r.a.

Keberanian Rasulullah s.a.w. memaklumkan kepada umat manusia tentang perjalanan Baginda tersebut, memberikan iktibar kepada umat Islam masa kini supaya perlu bersabar dan terus menunjukkan akhlak yang baik, walaupun ditentang oleh mereka yang tidak beriman dan tidak memahami Islam.

Sudah menjadi lumrah, mereka yang tidak memahami Islam akan mempunyai pandangan serong dan silap faham terhadap Islam. Tetapi, contohi Rasulullah s.a.w. Walaupun baginda diperli, dikeji dan didustai kerana menyampaikan berita Israk, Rasulullah s.a.w. tetap bersabar dan menunjukkan akhlak yang baik.
Maka, sebagai orang Islam yang tinggal di negara majmuk seperti Malaysia ini, ada kalanya kita menghadapi silap faham daripada mereka yang bukan Islam. Kita perlu tunjukkan akhlak yang baik serta bersabar dan terangkan kepada mereka tentang ajaran Islam yang sebenar, yang menggalakkan keharmonian dan juga kemakmuran.
Kita juga perlu tunjukkan bahawa kewujudan kita di negara ini, di tempat kerja, di sekolah dan di rumah, membawa kesejahteraan bagi orang di sekeliling kita. Sesungguhnya, orang Islam yang baik adalah juga rakyat, pekerja, majikan, pelajar dan ahli keluarga yang baik.

Di dalam perjalanan yang begitu istimewa ini, terlalu banyak yang dilihat oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dan begitu banyak pelajaran yang dapat kita peroleh. Antara pelajaran yang harus kita renungkan bersama adalah manusia harus sentiasa memerhatikan hubungannya dengan Allah, dan sentiasa menilai kembali dan berusaha memperelokkan hubungan tersebut.

Hubungan dengan Allah s.w.t. ini mestilah wujud tatkala ditimpa kesusahan dan ujian mahupun di kala mendapat kesenangan dan kemudahan. Ini kerana hanya Allah sahajalah yang berkuasa dan mampu memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan kepada diri kita.
Menyingkap kembali peristiwa Israk dan Mikraj ini, Nabi telah ditimpa beberapa kesulitan sebelum terjadi Israk dan Mikraj. Dalam keadaan demikian, datang perintah untuk Israk dan Mikraj, iaitu untuk berhadapan dengan Allah s.w.t. Ini memberi pengajaran kepada kita agar mendekatkan diri kepada Allah sewaktu didatangi musibah dan pelbagai permasalahan dalam kehidupan.

Caranya ialah kita sentiasa beristiqamah, terus-menerus melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya dan bukan menjadi orang taat hanya pada waktu susah dan melupakan Allah pada waktu senang.
Kehidupan kita yang ingin berjuang untuk kebaikan pasti akan dipenuhi dengan cabaran dan dugaan. Ia tidak akan sentiasa mudah tetapi kita akan berhadapan dengan kesusahan terlebih dahulu.

Namun, semua yang berlaku itu demi untuk mengukur dan menilai keimanan kita di dalam hati. Adakah kita sanggup menghadapinya dengan penuh ketabahan dan kesabaran atau kita tergolong dalam golongan yang mudah berputus harapan? Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6., Ertinya: Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu bahawa) Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan.

Seperti yang ditunjukkan Allah s.w.t. kepada Nabi-Nya yang tercinta, bahawa Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya yang ikhlas dan benar berjuang keseorangan. Ia akan dibantu Allah s.w.t. Ia akan diberikan kegembiraan oleh Allah s.w.t. Bahkan Allah s.w.t. akan mengangkat darjat dan kedudukannya.
Pengajaran yang besar juga daripada Isra’ dan Mikraj ini ialah kewajipan untuk menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa peristiwa Israk dan Mikraj, Baginda Rasulullah s.a.w. telah ditunjukkan keadaan neraka dan ahlinya.

Baginda melihat pelbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan. Misalnya Nabi diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali seperti sedia kala.
Nabi, juga melihat seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka memfitnah dan lain-lain lagi. Ini semua memberi iktibar kepada kita yang hidup di dunia ini, agar tidak melakukan segala perbuatan yang mungkar dan tercela, tidak kira apa bentuknya sekalipun kerana seksaan yang disediakan Allah s.w.t. amatlah dahsyat.

Selain itu, Perintah solat merupakan suatu bentuk ibadah yang begitu penting di dalam kehidupan seseorang hamba Allah s.w.t. Kewajipan solat begitu istimewa dibandingkan dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Ini kerana kewajipan solat diterima langsung oleh Nabi s.a.w. daripada Allah sewaktu bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibrail.Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak.

albanjari,

http://www.politikbanjar.blogspot.com/

Sunday, July 19, 2009

PPSMI SATU KESILAPAN-UNGKU AZIZ

PPSMI – SATU KESILAPAN –WAWANCARA PROF DIRAJA UNGKU AZIZ DENGAN MINGGUAN MALAYSIA BERTARIKH 19.07.2009

Bagi saya yang perlu ditekankan adalah pengajaran bahasa dan bukan mengajar bahasa dalam matapelajaran seperti Matematik dan Sains – Ungku Aziz

Setelah enam tahun menjalani “tempoh percubaan” akhirnya dasar Pengajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan baru-baru ini. Selepas Kementerian Pelajaran mengambil tindakan berani itu, masih ada lagi pihak yang mahu mengembalikan PPSMI dalam sistem pendidikan di negara ini.

Selepas kajian secara ilmiah telah dilakukan oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (pembina) menunjukkan lebih banyak kesan buruk daripada baiknya PPSMI, kerajaan diminta supaya jangan berpatah balik sekalipun ada desakan daripada pihak tertentu.
Tokoh akademik, Profesor Diraja Ungku Aziz berkata, keputusan memansuhkan PPSMI adalah suatu yang sangat tepat dan memuaskan hati semua pihak. Malah langkah ini juga ke arah mewujudkan perpaduan menerusi penggunaan satu bahasa iaitu bahasa Melayu sebagai hubungan antara kaum.

“PPSMI sebenarnya adalah satu kesilapan kerana kita mampu mengajar matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Universiti Malaya telah melahirkan banyak pensyarah dalam pelbagai bidang dengan menggunakan bahasa Melayu,” tegas Ungku Aziz ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL ABDUL HAMID di kediamannya di Petaling Jaya Jumaat lalu.

Bekas Naib Canselor Universiti Malaya ini juga membayangkan sekiranya PPSMI diteruskan pelajar-pelajar Melayu di desa akan terpinggir dan berhenti sekolah.
“Kalau PPSMI tidak dimansuhkan, pelajar-pelajar Melayu terutama di desa akhirnya menjadi pekerja kelas bawahan, itu pun mungkin susah,” kata Ungku Aziz lagi.

MINGGUAN: Apa pandangan Pak Ungku mengenai keputusan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan kembali menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar?

UNGKU AZIZ: Bagi saya ini adalah satu keputusan yang amat tepat dan mampu memuaskan hati semua pihak di negara ini. Sepatutnya tidak ada lagi mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan apa yang telah kerajaan lakukan kerana ia mengambil kira kepentingan negara dan kemahuan majoriti rakyat. Sebelum ini saya telah memberikan beberapa ceramah tentang perkara ini dan paling terbaru di Bankers Club. Apa kesan dan implikasinya terhadap sosial politik negara ini. Pada pandangan saya bagi mengukuhkan perpaduan kita perlu kembali pada satu bahasa yang boleh digunakan semua warganegara.

Selepas ceramah saya di Bankers Club di Bukit Bintang, saya keluar dari bangunan itu kita boleh dengar pelbagai bahasa yang diucapkan termasuklah bahasa Hokkien, Mandarin dan sebagainya termasuklah bahasa Melayu. Tapi kalau kita perhatikan di kawasan Bukit Bintang, mereka yang bercakap dalam bahasa Melayu ini tidak ramai, belum lagi di Jalan Petaling.
Mereka ini menggunakan bahasa Mandarin tetapi dalam banyak dialek dan kalau cakap Melayu pun dalam bentuk rojak dan bercampur-campur. Jadi bagi saya perkara utama yang saya ingin tekankan ialah perpaduan negara ini masih belum wujud dengan memuaskan. Maka definisi perpaduan negara ini cukup susah. Saya sendiri rasa kurang jelas. Apa yang dimaksudkan dengan perpaduan negara?


Kalau semua orang boleh bercakap bahasa Melayu, itu akan membantu usaha mewujudkan perpaduan negara. Tapi setakat ini ia belum menuju ke arah itu. Secara asasnya perpaduan negara ini hanya sekitar kita, misalnya tidak melihat pergaduhan antara kaum dan hidup dalam aman damai. Setakat ini toleransi yang ditunjukkan oleh orang Melayu tinggi berbanding kaum-kaum lain. Namun sama ada ia baik untuk orang Melayu menunjukkan toleransi sebegini ia masih menjadi persoalan. Jika tahap toleransi itu naik terlalu tinggi ia akan meletup. Kita kena ingat perkara ini sebagai orang Melayu dan ini yang berlaku ketika peristiwa 13 Mei.

Namun Alhamdulillah, toleransi orang Melayu sangat tinggi jika tidak ada banyak masalah. Kalau ada masalah terutama membabitkan politik orang akan menuding kepada pihak tertentu seperti MCA dan PKR. Orang kata kita tidak boleh cakap tentang kaum-kaum tetapi jika kita lihat senario sebenar kita akan nampak. Saya berpandangan Malaysia merupakan satu contoh baik negara yang wujud toleransi tetapi toleransi ini perlu wujud dalam bentuk yang kuat dan tidak hanya membabitkan satu kaum sahaja.

Kita ambil contoh di sekolah-sekolah matapelajaran diajar dalam bahasa Mandarin seperti yang diterima oleh Menteri Pelajaran. Namun mereka juga perlu bertutur dan bertukar-tukar fikiran dalam bahasa Melayu tanpa ada pilihan lain untuk asas perpaduan. Namun untuk memperoleh pengetahuan dan ilmu banyak yang kita boleh pelajari dengan menggunakan bahasa Melayu.
Universiti Malaya pernah melakukannya pada tahun 1974-1975 para pelajar boleh belajar dalam bahasa Melayu termasuklah pelajar jurusan kejuruteraan dan kedoktoran. Semua ini dilakukan dalam bahasa Melayu dan contoh lain kita boleh ambil Pusat Asasi Sains dan ia terbukti berjaya. Namun datang pula kelompok lain 10 tahun kemudian menukar sistem pembelajaran kepada bahasa Inggeris.

Setelah kita memberi masa enam tahun PPSMI berjalan, kepada Pak Ungku apa kelemahan ketara dasar ini?

UNGKU AZIZ: Sebenarnya semua ini bermula apabila arahan dikeluarkan supaya matapelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris oleh kepimpinan sebelum ini. Bagi saya ini seolah-olah ada satu magic untuk membolehkan pelajar-pelajar berbahasa Inggeris dengan lebih lancar dan mudah. Ketika itu semua orang akur dengan arahan dan tidak ada sesiapapun yang berani menolaknya termasuklah para menteri. Ramai yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan ini tetapi tidak ada yang berani melawan.

Saya telah diberikan satu kajian yang dijalankan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) mengenai PPSMI. Tujuh universiti terlibat dalam kajian ini dan kajian ini telah diberikan kepada Menteri Pelajaran sendiri. Segala butiran yang dikeluarkan adalah berdasarkan fakta. Kajian ini mendedahkan semua kelemahan yang berlaku akibat dari pelaksanaan PPSMI selama enam tahun termasuklah kekurangan guru, serta kelemahan pelajar di desa.

Kita ambil contoh matapelajaran Matematik, ia merupakan satu bahasa simbolik. Ia hanya membabitkan simbol sahaja dan tidak banyak menggunakan perkataan. Kita tidak gunakan perkataan tambah tapi simbol seperti juga simbol bahagi, Algebra dan sebagainya. Orang boleh membuat penilaian hanya berdasarkan simbol namun bagi mereka yang tidak tahu tentang simbol ini mereka tidak boleh membuat perkiraan Matematik. Oleh itu pelajar kena belajar tentang simbol dan bukan belajar bahasa dalam matapelajaran Matematik.

Bagaimana pelajar yang menggunakan bahasa simbol dalam Matematik boleh pandai bahasa Inggeris? Kita lihat orang Cina mahir dalam Matematik, ini kerana dalam penggunaan bahasa dan tulisan mereka banyak simbol daripada huruf. Maka jika para pelajar Melayu dipaksa belajar dalam bahasa Inggeris mereka ini akan lebih terbeban. Mereka perlu belajar Matematik misalnya tetapi pada masa yang sama mereka perlu belajar bahasa Inggeris.

Semasa saya menjadi Naib Canselor Universiti Malaya dahulu saya pilih budak kampung untuk ambil kursus Asasi Sains kerana tidak ramai yang hendak mengambil kursus ini. Mereka diajar selama dua tahun dalam bahasa Melayu dan selepas itu masuk ke fakulti. Dan terbukti mereka ini boleh belajar kursus seperti kejuruteraan dan sebagainya. Tidak ada masalah malah ramai kalangan mereka kini menjadi profesor dan mengajar anak-anak Melayu kita.
Apa pula masalah yang perlu ditangani segera selepas pengajaran dua mata pelajaran itu dalam bahasa Melayu?

UNGKU AZIZ: Dari segi kelengkapan tidak banyak masalah. Ini kerana banyak buku telah diterbit dan diterjemah ke bahasa Melayu. Ini termasuklah kamus-kamus seperti kamus biologi, kejuruteraan dan sebagainya. Bagi saya yang perlu ditekankan adalah pengajaran bahasa dan bukan mengajar bahasa dalam matapelajaran seperti Matematik dan Sains.

Kita ambil contoh kanak-kanak yang memasuki sekolah rendah, penguasaan kosa kata mereka tidak banyak. Tetapi mereka akan belajar lebih banyak dan mampu menulis ayat setelah bersekolah untuk beberapa tahun. Selepas itu mereka ini sudah berkeupayaan untuk bercakap dan selepas masuk sekolah menengah mereka sudah boleh bercakap tentang perkara- perkara yang abstrak. Ini kerana mereka telah belajar perkara-perkara ini secara beransur-ansur dan keupayaan mereka semakin berkembang setelah belajar. Pelajar ini perlu didedahkan dari awal penggunaan bahasa Melayu tidak kira mereka ini orang Cina, Melayu atau kaum lain.

Kita perlu faham bahawa bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah dua bahasa yang sangat berlainan. Tatabahasa Inggeris banyak diceduk dari bahasa Perancis, Jerman dan bahasa Scandinavia. Dan kemudiannya ia banyak diperbetulkan oleh pujangga agung mereka William Shakespeare kemudiannya barulah ada bahasa Inggeris yang sebenar. Shakespeare merupakan bapa kepada bahasa Inggeris moden dan ia berlaku sekitar kurun ke-17. Tetapi bahasa Melayu sudah ada pada masa itu. Bahasa Melayu sudah digunakan oleh orang Melayu di rantau ini serta di Fiji dan Madagascar. Saya sudah melawat tempat-tempat ini serta melihat buku mengenai nahu mereka dan banyak perkataan Melayu digunakan. Mengikut kajian saya bahasa Melayu sudah wujud lebih dari 1,000 tahun.

Jika kita lihat Angkor Wat di Kemboja, penduduk mereka telah menggunakan bahasa Melayu yang kebanyakannya diambil dari bahasa Sanskrit. Jadi, saya tidak nampak kenapa dengan menggunakan bahasa Melayu kita tidak boleh maju. Saya hairan kenapa kita perlu menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium utama pendidikan.

Apa akan jadi jika PPSMI ini diteruskan? Adakah sekadar pelajar kita bijak berbahasa Inggeris dan bahasa Melayu mereka teruk atau pelajar Melayu sendiri yang akan hancur?

UNGKU AZIZ: Jika diteruskan orang Melayu akan hancur. Dalam kajian yang dilakukan oleh Pembina, kumpulan anak Melayu di kawasan desa (luar bandar) akan terus terpinggir dan ramai mereka akan berhenti sekolah dan mungkin berakhir hanya sebagai pemandu dan pekerja kelas bawahan. Itu pun mungkin susah. Ini kerana mereka tidak mampu untuk mengikut rentak perubahan yang ingin dilakukan melalui PPSMI. Mereka ini tidak berupaya untuk belajar matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dengan cepat seperti pelajar di kota apatah lagi dengan masalah-masalah lain seperti kekurangan guru dan peralatan. Maka bagi saya keputusan yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah satu keputusan yang berani dan tepat. Para pelajar akan tetap menggunakan kedua-dua bahasa cumanya ia akan diperbaharui.

Keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kajian yang mendalam tapi ini tidak bermakna kita berundur ke belakang. Keputusan itu menunjukkan ada keseimbangan iaitu memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pada masa yang sama kita memperkukuhkan bahasa Inggeris. Bagi saya PPSMI banyak merugikan anak-anak Melayu terutama yang tinggal di desa.

Kalau begitu, benarlah PPSMI adalah satu kesilapan besar yang pernah kita lakukan?

UNGKU AZIZ: PPSMI adalah satu kesilapan. Kita sebenarnya mampu dan boleh mengajar matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Universiti Malaya telah melahirkan banyak pensyarah dalam pelbagai bidang yang kemudiannya mengajar di universiti lain dalam bahasa Melayu. Tidak ada masalah pun. Pengajaran PPSMI sebelum ini dilakukan dalam pelbagai masalah seperti kurang guru, peralatan dan sebagainya. Masalah juga berlaku akibat dari penambahan pelajar yang ketara berbanding guru yang berkemampuan mengajar dalam bahasa Inggeris. Maka dengan itu kualiti pelajaran dan pengajaran pastinya menurun.

Pelaksanaan bahasa Melayu ini tidak menyeluruh kerana di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Cina, pengajaran Sains dan Matematik digunakan dalam bahasa ibunda. Apa pandangan Pak Ungku?

UNGKU AZIZ: Kita kena faham tentang dialek dari orang Cina dan India tentang perkara ini. Pelajar Cina yang belajar di sekolah rendah mengikut sistem yang sedia ada sekarang belajar mengikut bahasa ibunda. Tapi saya ingin bertanya apakah yang dimaksudkan dengan “bahasa ibunda”? Bagi orang Cina bahasa mereka ialah Mandarin. Apakah bahasa Mandarin itu bahasa Cina? Sebenarnya tidak. Ia (istilah ‘Mandarin’) berasal dari bahasa Melayu.
Saya telah membuat kajian tentang perkara ini. Asalnya bila orang Portugis mahu ke China mereka mahu berjumpa dengan pegawai tinggi dan bertanya apakah status mereka. Jadi orang Portugis di Melaka menyatakan “menteri”. Tapi orang Portugis ketika itu tidak boleh bercakap bahasa Melayu dengan baik.

Jadi perkataan menteri itu disebut kepada “menterin” dan apabila mereka pergi ke negeri China untuk berjumpa dengan pegawai tinggi akhirnya perkataan “menterin” tadi bertukar kepada “Mandarin”. Saya telah menulis tentang perkara ini di dalam majalah Economist di London jadi tidak ada sebarang masalah tentang perkara ini.

Tetapi carilah dalam kamus Cina atau kamus apa sekalipun tentang maksud perkataan Mandarin. Maksud yang tertulis adalah limau mandarin, tidak ada makna lain. Oleh itu tidak ada bahasa Mandarin yang ada hanya bahasa Cina. Para pelajar Cina ini hanya belajar bahasa Mandarin di sekolah tetapi apabila balik ke rumah mereka akan bercakap dalam dialek lain dengan keluarga mereka seperti dialek Kantonis, Hokkien, Teochew.

Cuba kita tanya orang Cina apa bahasa ibunda mereka? Mungkin ada yang kata Kantonis dan sebagainya. Sekarang ini tidak ramai orang muda Cina yang boleh berbahasa Cina dialek Beijing. Begitu juga orang India ada pelbagai dialek seperti Tamil, Urdu, Punjab dan sebagainya. Jadi di mana bahasa ibundanya?

Yang bercakap bahasa ibunda yang betul ialah orang Melayu kerana mereka bercakap Melayu. Ini kerana ibu bapa, nenek dan ahli keluarga mereka semua bercakap bahasa Melayu.
Kalau begitu apa perlunya sekolah jenis kebangsaan kalau mereka juga bukan diajar dalam bahasa ibunda?

UNGKU AZIZ: Jawapannya mudah, ini kerana politik. Tetapi bagi saya untuk mengukuhkan perpaduan, yang perlu ada ialah satu bahasa. Ini kerana hanya dengan cara inilah akan menggalakkan lagi persefahaman dan memudahkan pergaulan antara semua kaum. Kerana itu untuk mengajar dan mencampuri bahasa kebangsaan dengan bahasa Inggeris bagi saya ia sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Bagaimana pula sikap sesetengah pihak yang terus mendesak supaya PPSMI dikembalikan? Adakah kemungkinan PPSMI dikembalikan?

UNGKU AZIZ: Saya sangat berharap tidak akan berlaku dolak dalih bagi memungkinkan pelaksanaan PPSMI dikembalikan. Maksudnya setelah keputusan ini diambil kerajaan tidak akan berundur ke belakang. Saya faham kerajaan mungkin menerima banyak tekanan dari pelbagai pihak supaya PPSMI ini dilaksanakan semula termasuklah dari orang Melayu sendiri. Saya tidak kata kita menolak penggunaan bahasa Inggeris sebab bahasa itu perlu untuk menjadikan negara ini maju. Tetapi saya mahu bahasa Melayu terus unggul di negara sendiri. Kita tidak perlu pinggirkan bahasa Melayu sebaliknya kedua-dua bahasa ini sama-sama naik.

Namun cabaran ini pastinya sangat hebat kerana ada di kalangan kaum lain dan juga sesetengah orang Melayu sendiri yang hanya mahukan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama. Kalau kita lihat contoh seperti mereka di Jamaica dan negara-negara di kepulauan Caribbean, mereka tidak ada bahasa kebangsaan. Adakah kita mahu jadi seperti itu? Orang Melayu mesti menghidupkan bahasa Melayu dan berbangga bertutur dalam bahasa Melayu. Namun pada masa yang sama demi kemajuan negara kita mesti mampu berbahasa Inggeris.

Teoh Beng Hock- Satu Lagi Konspirasi?

Kematian Teoh Beng Hock, pembantu khas YB Ean Yong, Ahli Exco Kerajaan Selangor yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia mengundang satu lagi spekulasi terhadap kerajaan UMNO-BN yang sedang berkuasa.Siri-siri pembunuhan yang terjadi dari dahulu sampai kini memperlihatkan ia bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi UMNO-BN. Tentu kita masih ingat tentang kematian Datuk Taha Talib, Tampin, Ustaz Assyahid Ibrahim Libya, Jalil Ibrahim (isu BMF), Datuk Norjan (Sarawak) dan ramai lagi yang tidak dapat disebutkan di sini, di mana kesemuanya itu adalah gara-gara tamakkan kuasa dan wang yang ada di negara ini.


2. Kita tidak ingin mengundang sepkulasi, tetapi ia tetap berlaku dan tersebar. Bak kata orang Melayu, bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru. Demikianlah kematian pembantu khas yang penuh tragis itu.

3. Ada yang mengatakan seluarnya koyak, di mana ini membuktikan bukan sebab jatuh, tetapi adanya perbuatan khianat sehingga berlaku sedemikian. SPRM harus bertanggungjawab, kerana Teoh waktu itu dalam siasatannya dan dibiarkan tidur di beranda,yang memungkinkannya terjatuh (kalau pun iya). Namun sebab sebenar hanya diketahui oleh SPRM dan orang-orang yang terbabit dengan kes berkenaan.

4. Apa yang pasti, ia adalah serangan ke atas Selangor, selepas Perak berjaya dijatuhkan oleh UMNO-BN dari pakatan rakyat. Kerajaan Selangor haruslah hati-hati, dan PR tidak cepat melatah dalam hal ini. Siasatan terperinci diperlukan di atas kematian Teoh, apakah ia terjatuh, mati dibunuh atau ada konspirasi politik untuk menumbangkan kerajaan PR di Selangor. SPRM dan pihak polis juga perlulah berlaku adil dan saksama, dan kepentingan rakyat harus didahulukan sesuai dengan konsep 1Malaysia.


AlKundangi,
18.7.2009
http://alkundangi.blogspot.com