ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Thursday, December 30, 2010

CERITA SEBENAR TANAH PKNS, SEKSYEN 52, PETALING JAYA


Sejak berita mengenai penyelewengan tanah PKNS di Seksyen 52, Petaling Jaya, tersebar di internet, tiada pihak yang berkenaan tampil untuk membuat apa-apa penjelasan (sila baca di sini, sini sini dan sini). Seolah-olah ada pekung yang hendak ditutup. Oleh sebab semua pihak yang berkenaan memilih untuk membisu, maka saya sebagai seorang ‘dalam’ yang arif dengan selok-belok PKR, merasa amat terpanggil untuk memberi gambaran yang sebenar.


Tanah yang terbabit ialah Lot 12, Petaling Jaya, di mana terletaknya ibu pejabat PKNS dan berkeluasan 9.85 ekar. Pada tahun 2005, kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Khir Toyo telah menyerahkan 8 ekar dari Lot 12 kepada Puncak Wangi Sdn. Bhd. (sebuah syarikat tajaan UMNO?) Baki 1.85 ekar disimpan (mungkin untuk difaraidkan kepada Khir Toyo?).Walaubagaimanapun soal syarat tanah untuk pembangunan masih belum dibereskan.


Pada Mac 2008, kerajaan BN tumbang digantikan dengan kerajaan PR yang diterajui oleh PKR di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim. Maka tergantunglah apa-apa jenis “business deal” yang telah disusun oleh Puncak Wangi dengan sesiapa yang bertanggungjawab dalam hal pembangunan tanah dalam kerajaan negeri Selangor sebelum ini.


Memandangkan berjuta-juta ringgit telah dibelanjakan oleh Puncak Wangi untuk diterima sebagai anak emas PKNS sehingga menjadi tauke tanah Lot 12 kepunyaan PKNS ini, Puncak Wangi perlu membangunkan tanah tersebut dengan serta-merta untuk pulangan bagi membayar balik wang yang telah didahulukan bagi tujuan itu.


Menteri Besar yang baru, Khalid Ibrahim kemudian sengaja menyepikan apa-apa permohonan syarat pembangunan tanah tersebut kerana pada pendapat beliau masih ada ruang untuknya membela kepentingan rakyat Selangor dalam kes penganugerahan tanah kapada Puncak Wangi.


Menyedari jalan buntu dengan Khalid, usaha penyelesaian memerlukan bos-bos Khalid ditawar dengan apa-apa sahaja untuk mengarahkan Khalid berpihak kepada Puncak Wangi. Khalid enggan berbuat demikian kerana sedar exco-exco DAP mengetahui keadaan sebenarnya. Maka timbullah krisis pimpinan PKR Selangor, dengan Azmin Ali meletakkan jawatan secara protes dari menjadi ahli Lembaga Pengarah PKNS dan sekaligus menggugat kedudukan Khalid sebagai orang pilihan PKR untuk terus menjadi Menteri Besar Selangor.


Dengan titah perintah pemimpin yang dianugerahkan Tuhan, satu penyelesaian yang segera perlu dihitungkan. Walaupun pada pandangan mata kasar PKR tidak patut berkompromi dengan lanun. Lainlah kalau ada udang disebalik batu. Agenda baru, mungkin?


Akhirnya, Azmin Ali dilantik menjadi Ketua PKR negeri Selangor bagi menggantikan Khalid (maka Azmin sekarang menjadi bos kepada Khalid dalam parti), dan Khalid dibenarkan terus menjadi Menteri Besar dan beliau berunding untuk memasukkan kepentingan rakyat Selangor dalam projek Lot 12, untuk menjaga air muka supaya tidak nampak sangat PKR melayan lanun. Syukur Alhamdullilah masih ada lagi hamba Allah yang sedar asal-usul dan agamanya.


Cadangan terbaru dari Khalid ialah PKNS menyerahkan tanah baki 1.85 ekar kepada Puncak Wangi dan Puncak Wangi menyerahkan 30% syer keseluruhan projek yang sekarang menjadi 9.85 ekar kapada PKNS. Sama ada kompromi ini memberi manfaat secara ekonomi dan komersial kapada rakyat negeri Selangor, terpulanglah kepada penganalisa membuat kajian ekonomi-politik terperinci.


Yang nyata untuk dipersoalkan ialah, adakah wajar PKR menjadi kawan baru kepada Puncak Wangi, satu daripada syarikat-syarikat yang tumbuh seperti cendawan dalam era Mahathir dan menyebabkan kronisma ekonomi sehingga menggagalkan penyusunan semula ekonomi seperti diharapkan rakyat melalui Dasar Ekonomi Baru. Malah, berjuang menghapuskan keadaan dan kewujudan perkakas-perkakas sumbang seperti Puncak Wangi telah menjadi bahan kempen PR di PRU12, yang mana disambut baik oleh rakyat.


Sebagai sebuah "parti reformasi", PKR berjanji kepada rakyat bahawa PKR tidak akan meneruskan cara pentadbiran BN. “We don’t promise you to just do things better, we promise to do things different altogether” jerit pemimpin anugerah Tuhan dan disambut oleh tempikan sokongan rakyat. Apa sudah jadi?


Desas-desus yang kedengaran sekarang ialah RM10 juta telah dijanjikan dan RM3 juta telah pun diberi. Kepada siapa? PKR masih tiada wang nampaknya. Wallah-huallam, hanya pemberi, penerima dan Allah Subhanalllahu wa taala sahaja yang tahu. Mungkinkah DAP akan berdiam diri? Atau didiamkan dengan cara yang sama? Rakyat tetap menjadi mangsa. Nampaknya buaya darat dan ular air boleh hidup di dalam atau di luar air bumi Malaysia selagi pimpinan Melayu cakap tak serupa bikin dan lupakan amanah rakyat.


Jangan bandingkan PKR dengan UMNO sebagai “lesser of the two evils”. That was not the reformasi deal. Rakyat tuntut agar janji-janji dikotakan oleh pemimpin walaupun kononnya dari penganugerahan Tuhan. Berhati-hati dengan doa orang yang teraniaya.




Miskam Hj. Suparman
Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur
kerajaan rakyat.blogspot.com

Wednesday, December 29, 2010

Pengetua sekolah bukan budak pejabat Umno

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ahmad Yahya membidas Kerajaan BN Pusat kerana meniupkan sentiment politik kepartian kerana melarang gambar Menteri Besar Kedah dari dipamerkan di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran.

Tindakan itu tidak wajar, katanya, kerana menafikan hak pelajar untuk mengenali pemimpin tertinggi negeri. “Sepatutnya Kementerian Pelajaran mendidik tanpa sekatan dan bukan menghadkan ilmu apabila membabitkan parti pembangkang. Itu didikan tidak betul kerana didik pelajar tidak hormati pemimpin,” tegasnya.

Isu mengharamkan gambar menteri besar dipamerkan di sekolah bukan isu baru. Ia berkuatkuasa sebaik Pakatan Rakyat mengambil-alih Kedah melalui pilihanraya. Arahan yang sama mungkin untuk semua negeri yang tidak ditadbir kerajaan BN.

Dalam tahun 80an seorang menteri Pusat telah mempertikaikan kualiti siswazah Melayu kerana kononnya lemah dalam pengetahuan semasa di samping tidak tahu berbahasa Inggeris. Menteri itu mengambil contoh dalam temuduga kerja, seorang siswazah tidak tahu menjawab soalan “Siapa Menteri Besar Johor?”

Masa itu semua negeri ditadbir oleh BN. Jika sekarang persoalan yang sama dibangkitkan maka isu tidak kenal pemimpin negeri itu dapat dijawab dengan memulang paku buah keras; wajah pemimpin negeri pun diharamkan di sekolah macam mana pelajar nak kenal pemimpin?

Kementerian Pelajaran tidak sekadar mengharamkan wajah menteri besar malah apa-apa aktiviti yang melibatkan pemimpin negeri kerajaan pilihan rakyat yang bukan dari BN juga dilarang di sekolah.

Di sebuah sekolah kerajaan di kawasan Padang Serai, persatuan orang cacat penglihatan diusir oleh pihak sekolah dari mengadakan mesyuarat agung mereka di dalam kawasan sekolah. ‘Kesalahan’ persatuan orang buta itu ialah kerana mengundang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dari PAS, Ustazah Aishah Ghazali untuk merasmikan mesyuarat agung tersebut. Mereka terpaksa bermesyuarat di luar pagar sekolah.

Jika Exco dari PAS tidak dibenarkan masuk kawasan sekolah, apa salahnya mereka dibenarkan adakan mesyuarat dalam kawasan sekolah, biarkan Ustazah Aishah berucap di luar pagar sekolah. Tapi pihak sekolah memilih untuk bertindak macam Zionis Israel mengusir rakyat Palestin terhadap golongan buta. Orang buta cuma buta mata tapi guru besar dan Kementerian Pelajaran buta hati dan perasaan. Semuanya adalah gara-gara tunduk kepada arahan politik yang tidak masuk akal. Guru besar dan pihak atasan kementerian boleh jadi bukan ahli Umno seumur hidup tetapi mereka lebih takutkan pemimpin Umno dari takutkan Tuhan.

Memang terdapat sekolah yang tidak hiraukan arahan kementerian, menggantung gambar Menteri Besar di sekolah tapi mereka cuma segelintir.

Peliknya arahan memboikot gambar Menteri Besar hanya berlaku di bawah Kementerian Pelajaran yang sepatutnya mendidik pelajar menjadi manusia, tidak pula pada kementerian lain. Mereka dibayar gaji dari duit rakyat bukan yuran keahlian Umno, tapi bekerja seolah-olah budak pejabat Umno.

Kementerian Pelajaran nampaknya nak ikut jejak Kementerian Penerangan yang tenggelam dengan sangkaan sendiri bahawa mereka bekerja untuk BN. RTM sebagai jentera penerangan kerajaan sepatutnya hanya melaporkan kegiatan menteri, pegawai atau segalanya yang melibatkan kerajaan. Nak hebahkan dasar kerajaan termasuk konsep 1Malaysia tidak menjadi kesalahan, bahkan itu kerja mereka. Tetapi menghebahkan kegiatan parti politik Umno, MCA dan MIC kemudian menyebarkan propaganda jahat dan fitnah terhadap pihak pembangkang, maka ia jelas sudah melencong dari fungsi asal.

Siaran radio Kedah FM pernah adakan siaran langsung majlis tilawah Al-Quran. Semua acara dilaporkan terus menerus, kecuali sewaktu Menteri Besar berucap. Ia dihentikan seketika hanya untuk diisi dengan bunyi muzik, kemudian disambung apabila menteri besar selesai berucap. Mengapa teruk sangat tahap professionalisme mereka?

Penulis pernah bersama Exco Penerangan mengadakan lawatan rasmi ke Kompleks Penyiaran Sultan Abdul Halim (RTM Kedah) beberapa bulan Pakatan ambil alih kerajaan. Gambar menteri besar yang tergantung di dinding pejabat masih lagi Datuk Seri Mahdzir Khalid. Di dinding bilik berita radio terpampang gambar barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah yang dipotong dari sebuah akhbar harian. Muka Exco diconteng-conteng, macam perbuatan budak-budak tercicir persekolahan. Itu gambaran kerendahan akal budi dan mentaliti mereka yang bersarang di RTM. Tidak hairan jika RTM jadi jentera propaganda BN.

Perkara sebaliknya berlaku di semua pejabat Kerajaan Negeri Kedah. Di mana ada gambar Menteri Besar di situ ada gambar Perdana Menteri. Tidak ada di kalangan rakyat negeri ini yang menjadi ahli mana-mana parti Pakatan Rakyat yang merasa pelik, janggal mahupun membantah. Mereka tahu gambar itu digantung kerana ianya Perdana Menteri bukan kerana Presiden Umno. Pemikiran pemimpin serta ahli-ahli parti Pakatan Rakyat jauh lebih matang dan cerdik berbanding pemimpin Umno yang terkurung dalam longkong tempurung kejumudan.

Bagi golongan guru, sementara menunggu BN tumbang di Pusat mereka kenalah menunjukkan keberanian untuk menyanggah apa-apa arahan politik BN. Tegakkan professional pendidikan sebab mereka bukan budak pejabat Umno.

kedahlanie.blogspot.com