ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Friday, May 21, 2010

ANTARA UMNO DAN PERKAUMAN

ANTARA UMNO DAN PERKAUMAN

Nama United Malay Natinonal Organisation itu sendiri sudah cukup untuk melambangkan apakah dasar yang digunapakai untuk dijadikan garis panduan bagi pertubuhan yang bernama UMNO itu. Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu adalah satu organisasi yang perjuangannya berasaskan kebangsaan dan kemelayuan. Dengan sendirinya UMNO adalah sebuah parti perkauman berdasarkan perlembagaan dan perjuangannya. UMNO tidak akan bersifat internasional dan tidak boleh disertai oleh bangsa yang bukan Melayu, kerana dasar perjuangannya adalah perjuangan bangsa Melayu itu sendiri.

2. Falsafah dan Perjuangan Umno ini ada ditulis oleh seorang penulis kuat UMNO, Aziz Zariza Ahmad, dan kita boleh menyemaknya jika ingin mendalami intipatinya. Selain berdasarkan Melayu, UMNO juga ialah sebuah parti kebangsaan, atau dalam bahasa Arabnya disebut 'Assobiyyah. Dalam soal kebangsaan ini, sebuah hadith Nabi, ada menjelaskan bahawa perjuangan yang berasakan kebangsaan bukan dari ajaran Islam. Ertinya ianya bertentangan dengan ajaran Islam yang meliputi semua bangsa dan puak, suku dan kaum untuk sama-sama menegakkan keadilan Islam.

3.Dalam konteks politik Malaysia, perjuangan atas nama kemelayuan ini penting bagi UMNO untuk mengekalkan survival politiknya, kerana kebanyakan orang Melayu, terutama orang lama yang tidak terdidik secara global, akan cepat tersentak jika perkataan Melayu dibangkitkan. Orang Melayu Lama ini cepat sensitif dengan isu-isu yang melibatkan bangsa Melayu, tetapi mereka tidak sensitif dengan isu yang melibatkan agama mereka, iaitu Islam. Sebab itu bila kerajaan BN menghalalkan judi bola, UMNO dan jaringannya termasuk pemuda,wanita, puteri dan putera tidak bersuara, kerana pada mereka agama tidak penting. Mereka lebih pentingkan kemelayuan dan kebangsaan mereka.

4. Sebab itu apabila isu Melayu dibangkitkan, orang-orang UMNO dan yang sealiran dengannya akan cepat melatah dan melenting tak tentu pasal sehingga boleh menyebabkan perpecahan kaum yang pelbagai atau majmuk seperti negara kita ini. Tentu kita semua tidak lupa peristiwa 13 Mei, yang menjadi titik hitam hubungan kaum di antara Melayu dan Cina di negara kita, walaupun isu sebenarnya isu perkauman itu dibangkitkan oleh UMNO sendiri, apabila mereka gagal mendapatkan majoriti di Dewan Undangan Negeri Selangor. Oleh kerana isu ini begitu sensitif dalam hubungan kaum di sini, UMNO menjadikannya senjata untuk menyelamatkan dirinya, terutama apabila mereka merasa akan kalah dalam pilihanraya yang diadakan, samada PRK atau PRU.

5. Sebab itulah ada ura-ura untuk mengadakan perhimpunan 100,000 orang di Terengganu pada 13 Mei baru-baru ini, kerana UMNO merasakan mereka sudah kehilangan sokongan dari orang Melayu sendiri, juga dari kaum-kaum lain yang menjadi rakyat Malaysia. Namun badan-badan NGO sedar akan hal ini, dan meminta perhimpunan itu dibatalkan. UMNO akhirnya membatalkan perhimpunan itu. Namun, strategi perkauman ini akan sentiasa dibangkitkan oleh UMNO apabila mereka terdesak dan terasa tampuk kuasa akan terlepas ke tangan PR. Oleh itu, orang-orang Pakatan Rakyat harus sedar terhadap seruan terhadap kemelayuan dan kebangsaan ini, yang sentiasa akan digunakan oleh UMNO untuk menyelamatkan dirinya. Namun setakat ini, UMNO gagal dalam membangkitkan perasaan perkauman di kalangan rakyat Malaysia, kerana rakyat sendiri sudah sedar akan bahaya perkauman itu. Media baru seperti blog dan laman-laman reformasi telah mematangkan orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia , yang sudah memahami bahawa isu perkauman sudah tidak lagi relevan di zaman yang serba global ini. Namun UMNO, seperti namanya akan tetap bergantung kepada kemelayuan dan kebangsaan dalam usaha menyelamatkan diri dari kepupusan dari arena politik tanah air. Orang-orang PR harus peka terhadap hal ini, dan sebarang bentuk seruan ke arah perkauman pastinya akan di dalangi oleh UMNO. Ia sudah sebati dengannya, seperti sebatinya UMNO itu dengan namanya.


AlKundangi,
21.5.2010
http://alkundangi.blogspot.com
http://alrembauwi.blogspot.com

Thursday, May 20, 2010

KESIHATAN

APAKAH TOKSIN?

Toksin dalam tubuh manusia terjadi akibat pencemaran. Antaranya pencemaran makanan akibat penggunaan bahan kimia secara berleluasa seperti racun perosak, racun serangga, dan baja kimia untuk aktiviti pertanian. Kesihatan menjadi lebih parah apabila manusia mengambil makanan yang mengandungi bahan pengawet, perasa tiruan, bahan tambahan dan sebagainya merupakan punca utama terjadi toksin dalam badan. Inilah sebabnya terjadi pelbagai penyakit seperti tumor, kanser, migrain dan sebagainya.

2. Fakta daripada pelbagai kes penyakit mendapati bahawa hampir 90 peratus punca penyakit disebabkan oleh toksin. Dalam sistem fisiologi tubuh, apabila seseorang itu sakit, badan sedang berusaha untuk menyingkirkan sisa-sisa buangan, mukus dan toksin yang menghalang fungsi tubuh. Toksin yang berada di dalam saluran darah akan dibawa ke pelbagai bahagian organ dan merosakkannya.


Sumber:
Midi, bilangan 89,
15 Mei,2010.

Wednesday, May 19, 2010

MELAYU TIDAK MUDAH LUPA

Melayu bukanlah bangsa yang mudah lupa
apa lagi bangsa yang pelupa.

Melayu tidaklah mudah lupa,tapi,
Melayu mudah melupakan sengketa,
mudah menerima segala-galanya takdir yang ditimpakan ke atas mereka
lalu mereka buat-buat lupa.

Mana mungkin Melayu lupa akan adanya pemimpin mereka yang beraja di mata
bersultan di hati,
Melayu tidak lupa akan membuta tulinya kesetiaan Tuah,
membabibutanya keberanian Hang Jebat,
durjananya fitnah Karma Wijaya,
natijahnya dendam Sang Rajuna Tapa,
padahnya hasad dengki Si Kitul.

Melayu tidak mudah lupa
betapa sadisnya Pertugis,
betapa kejinya Belanda
betapa liciknya Inggeris hingga Melayu diaibkan di bumi sendiri
hingga Melayu harus berkongsi negeri
kendati baiknya hati Melayu tidak dihargai.

Melayu tidak mudah lupa
betapa sejarah silamnya melakarkan derita nestapa
mereka yang sekian lama hidup rukun damai,
meski berlainan bangsa
tapi diporakperandakan oleh Barat,
dan kini,
dipimpin oleh Melayu yang gersang keluhuran Melayunya.

Melayu tidak mudah lupa
gara-gara pembesar mereka yang serakah
gemar berbalah sesama sendiri lantaran berbeza idealogi
dan takbur dengan keberadaan sendiri
rakyat yang selama ini aman sentosa pun menjadi pecah-belah
lantas berprasangka, berprejudis antara mereka.

Melayu tidak mudah lupa
perihal para pemimpinnya yang pandai berkata-kata
tapi, liat hendak mengkotakannya
gampang menabur janji, tapi payah melunaskannya.

Melayu tidak mudah lupa akan Melayu yang menindas Melayu,
Melayu yang mengakali Melayu
Melayu yang mencemburui Melayu,
Melayu yang melecehkan Melayu,dan
Melayu yang hipokrit dan oportunis.

AlKisah,
Melayu yang mudah menjadi pelupa, dan
lupa diri adalah Melayu yang berkuasa,
tapi selalu lupa akan kuasa Tuhan
dan ingat-ingat lupa akan kuasa rakyat
yang memilih mereka.

Melayu yang mudah lupa itu,
adalah Melayu yang sudah kaya raya
tapi, lupa untuk berzakat kepada Melayu yang fakir dan miskin
Melayu yang miskin lagi piatu,dan
Melayu yang serba serbinya dhaif.

Melayu yang mudah lupa,
adalah Melayu yang lupa bahawa Melayu bukan pelupa.

Oleh:
Abang Patdeli Abang Muhi,
Dewan Sastera,
Mei,2010.

Monday, May 17, 2010

PRK SIBU DAN MASA DEPAN PR

Pilihanraya Kecil Sibu telah pun selesai.Akhirnya DAP memenangi kerusi Sibu. Jumlah yang keluar mengundi adalah 70%. Wong Ho Leong dari DAP mendapat 18,845 undi. Manakala Robert Lau dari BN mendapat 18,447 undi. Narawi Haron, seorang calon bebas mendapat 232 undi sahaja.Undi Rosak ialah sebanyak 395 undi.Dengan demikian calon DAP dari Pakatan Rakyat memenangi PRK Sibu dengan kelebihan 398 undi.

2.Melihat kepada realiti yang ada dan senario sebelum pilihanraya Sibu serta selepas PRK Hulu Selangor yang memastikan kekalahan PR di tangan BN, kita juga percaya Sibu bakal dimenangi BN.Hampir RM 20 juta telah dijanjikan oleh PM bagi memajukan Sibu dalam kempen pilihanraya BN khasnya untuk sekolah-sekolah Cina dan Tamil. Namun akhirnya BN tetap menerima kekalahan,satu episod sedih buat BN.

3.Sebelum itu, melalui media massa milik BN, mereka telah mencanangkan bahawa Keadilan akan kalah serta ramai di antara pemimpinnya akan meninggalkan parti itu dalam waktu terdekat. Dengan adanya PAS bersama, mereka telah memburukkan pula konsep negara Islam, di mana habis semua akan dipotong jika DAP menang, kerana DAP dan PAS berada dalam satu barisan, tanpa mengira ucapan-ucapan sedemikian akan memurtadkan seseorang Islam , dan melayakkan mereka dihukum mati menurut kanun Jenayah Syariah. Di manakah suara-suara mufti, orang-orang kuat agama dalam BN seperti Jamil Khir Baharom, Dr.Mashitah, Dato'Harussani, Ustaz Nakha'ei dan sebagainya apabila mendengar suara-suara kempen yang mencalarkan imej Islam di mata umat Islam dan bukan Islam? Barangkali apa yang dapat dikatakan ialah BN mengamalkan politik Machiavelli, di mana tujuan menghalalkan cara. Ini jelas terlihat dalam soal meluluskan lesen Judi Bola bagi piala dunia yang akan berlangsung tidak lama lagi.

4. Apa yang jelas dari PRK ini, Pakatan Rakyat sebenarnya tidaklah ditolak oleh rakyat marhaen, walaupun Zaid Ibrahim kalah pada PRK Hulu Selangor baru-baru ini. Bahkan Keadilan Ipoh dikatakan bubar dan menyertai BN, sementara di Kedah empat orang Adun Keadilan dikatakan akan meninggalkan parti dalam waktu terdekat yang akan memaksa MB Kedah,Ustaz Azizan, membubarkan dewan undangan negeri, serta mengadakan pilihanraya semula.

5. Namun kemenangan di Sibu menunjukkan Pakatan Rakyat tidaklah ditolak oleh rakyat Sibu, bahkan sebenarnya BN lah yang ditolak. Ini menaikkan imej Pakatan Rakyat yang dipukul teruk oleh media cetak dan elektronik BN, sehingga sebahagian rakyat hampir mempercayainya. Namun kemenangan di Sibu menunjukkan hal sebaliknya. Walaupun dibelasah teruk oleh BN, namun rakyat Sarawak sudah mulai memilih Pakatan Rakyat serta meninggalkan BN yang sombong, korup, janji palsu dan sebagainya di samping membodoh-bodohkan rakyat mereka sendiri. Sinar baru mulai bercahaya di Malaysia Timur dan diharap dengan kerja keras sekelian ia akan berterusan sehingga PRU ke 13.Untuk itu tahniah diucapkan untuk rakyat Sibu dan seluruh petugas pilihanraya Sibu yang telah memilih PR, dan mudah-mudahan akan berkekalan sehingga ke PRU akan datang.

AlKundangi,
17.5.2010
http://alrembauwi.blogspot.com


Friday, May 14, 2010

PERBICARAAN LIWAT DS ANWAR-SAIFUL
Kini negara kita diselaputi awan kelabu dengan berjalannya perbicaraan liwat DS Anwar-Saiful Bukhari Azlan, yang meletakkan negara dalam keadaan memalukan. Episod kedua kes liwat yang lebih merupakan konspirasi politik itu yang sedang dibicarakan telah memperbodohkan semua rakyat Malaysia yang tinggal di negara ini.

2.Ia memperbodohkan rakyat Malaysia kerana kes itu memalukan tetapi ia hanyalah satu kes ciptaan dalam usaha membunuh karier politik DS Anwar dan memperlahankan gerakan kebangkitan rakyat dalam menuntut keadilan dan ketelusan dalam sistem demokrasi ala Malaysia ini.

3.Dalam perbicaraan liwat bagi episod pertama Ds Anwar telah meringkuk dalam penjara lebih enam tahun lamanya, namun akhirnya dibebaskan kerana didapati beliau tidak bersalah dan tidak ada kes liwat yang berlaku. Setelah sekian lama dibicarakan di mahkamah dan DS Anwar meringkuk di penjara, akhirnya mantan PM Tun Mahathir mengatakan tidak ada kes liwat. Kita tidak faham bagaiamana satu kes yang telah diputuskan oleh mahkamah, akhirnya dikatakan tidak ada kes. Ini membuktikan kes ini sengaja dicipta untuk "mengusir" DS Anwar dari sistem pemerintahan negara dan menghumbankannya ke dalam penjara.

4. Kini sekali lagi DS Anwar menghadapi skrip yang sama, tuduhan liwat dari UMNO/BN dengan menggunakan hakim-hakim yang dicucuk hidung dan mahkamah yang diputarbelitkan ibarat wayang kulit mengikut rentak Pak Dalangnya. Apakah hakim-hakim ini tidak mempunyai pendirian dalam menghadapi kes ini. Mengapakah mereka bersedia untuk membicarakan satu kes yang sebenarnya dicipta untuk mencapai cita-cita politik UMNO/BN? Apakah mereka terlalu bodoh untuk ditipu sedemikian rupa, sedang mereka mempunyai ijazah undang-undang berjela-jela.

5. Bukan sahaja mereka menipu dan tertipu, tetapi seluruh rakyat Malaysia, termasuk media cetak dan elektronik turut sama menipu dan tertipu, demi mencapai agenda pihak-pihak tertentu dan mengekalkan agar kebatilan terus berkuasa di bumi jantung pisang ini.

6. Sebab itu TG Abd Hadi Awang dalam satu kenyataannya dalam Harakah, menggesa badan kehakiman negara ini menggunakan proses keadilan dan menjauhi dari di pengaruhi oleh elemen politik.Konsep pemisahan kuasa antara pihak eksekutif, legislatif dan kehakiman haruslah dihormati dan ini adalah selaras dengan kehendak Islam. Dalam erti kata lain, beliau melihat badan kehakiman telah dimasukki oleh elemen-elemen politik yang menjejaskan kredibiliti kehakiman itu sendiri. Badan kehakiman harus disusun semula demi untuk menegakkan keadilan di bumi tercinta ini, bukan diperkuda oleh pihak tertentu yang menyebabkan hilangnya kepercayaan orang ramai terhadap proses keadilan di negara kita.


AlKundangi,
14.5.2010
http://alrembauwi.blogspot.com



KDNK TUMBUH 10.1 PERATUS

Oleh ZULKIFLI JALIL dan HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 13 Mei - Negara mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 10.1 peratus bagi suku pertama tahun ini iaitu kadar tertinggi sejak suku pertama 2000 sebanyak 11.7 peratus.

Mengumumkan demikian, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kadar pertumbuhan itu adalah lebih baik berbanding suku tahun keempat 2009 iaitu 4.4 peratus.

Berikutan pertumbuhan memberangsangkan itu, beliau berkata, unjuran KDNK 2010 dikaji semula kepada enam peratus berbanding sasaran 4.5 peratus hingga 5.5 peratus yang dibuat Bank Negara sebelum ini.

''Kadar pertumbuhan memberangsangkan itu disokong oleh pengukuhan permintaan domestik serta sejajar dengan pemulihan ekonomi dunia.

''Dengan pencapaian pertumbuhan menggalakkan itu serta usaha transformasi kerajaan dan ekonomi, sasaran pertumbuhan KDNK sebanyak enam peratus bagi keseluruhan 2010 boleh dicapai," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, pertumbuhan yang positif juga dapat dilihat di kalangan negara serantau dan pesat membangun seperti China (11.9 peratus), Korea Selatan (7.8 peratus) dan Indonesia (5.7 peratus).

Menurut beliau, dari sudut penawaran, kesemua sektor utama ekonomi mencatat prestasi menggalakkan terutamanya sektor pembuatan yang berkembang pesat sebanyak 16.9 peratus.

''Pertumbuhan sektor itu disokong oleh subsektor elektrik dan elektronik (34.4 peratus), kelengkapan pengangkutan (25.3 peratus) serta barangan kayu dan perabot (18.7 peratus)," katanya.

Najib berkata, sektor perkhidmatan turut berkembang kukuh sebanyak 8.5 peratus disokong oleh sub sektor utiliti (16.6 peratus), hartanah dan perkhidmatan perniagaan (14.2 peratus), perdagangan borong dan runcit (9.6 peratus) serta pengangkutan dan penyimpanan (9.2. peratus).

''Sektor pembinaan terus berkembang kukuh pada kadar 8.7 peratus manakala sektor perlombongan kembali pulih pada kadar 2.1 peratus.

''Sektor pertanian pula berkembang 6.8 peratus disokong oleh peningkatan pengeluaran getah, ternakan dan kayu balak," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dari sudut permintaan pula, pertumbuhan yang menggalakkan itu didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang kukuh khususnya melalui perkembangan penggunaan swasta (5.1 peratus) dan awam (6.3 peratus) yang terus mapan.

''Dalam tempoh ini, kegiatan pelaburan domestik juga cergas pada kadar 5.4 peratus, menggambarkan pemulihan keyakinan pelabur," katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, prestasi sektor luaran amat menggalakkan dengan jumlah eksport meningkat ketara sebanyak 19.3 peratus berikutan pemulihan ekonomi dan perdagangan global.

''Jumlah import juga berkembang kukuh pada kadar 27.5 peratus pada kadar 27.5 peratus berikutan peningkatan import barangan perantaraan (37.9 peratus), penggunaan (18.5 peratus) dan modal (9.6 peratus).

''Peningkatan ini mencerminkan aktiviti ekonomi dalam negeri yang semakin rancak," katanya.

Ditanya mengenai pengurangan subsidi, beliau berkata, kerajaan komited dengan langkah itu dan akan melaksanakannya secara berperingkat.

Namun, kata Perdana Menteri, sebarang kajian semula terhadap kadar subsidi akan dipastikan tidak membebankan selain akan menjaga kepentingan golongan yang lemah.

Dalam hal ini, beliau menjelaskan, kerajaan akan memastikan pemulihan ekonomi yang kuat berada pada landasannya.

''Dan sebarang peningkatan simpanan akan digunakan bagi pelaburan yang produktif.

''Biasanya dengan kita mengurangkan kadar subsidi secara berperingkat, ia adalah dengan hasrat bagi menggunakan simpanan tambahan itu untuk pelaburan yang produktif dan ia akan menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih tinggi," katanya.


Sumber:
Utusan Malaysia,
14.5.2010.


Kesihatan

MAKAN LEWAT MALAM GANGGU PENGHADAMAN?


Tabiat makan yang buruk seperti tidak mengunyah dengan betul, makan lewat malam dan makan sambil berlari boleh menggegarkan sistem penghadaman sehingga menyebabkan pengeluaran enzim penghadaman yang tidak betul. Dianggarkan lima juta lelaki Amerika Syarikat menderita akibat masalah penghadaman yang kerap. Bagi lelaki, kesan penuaan dikenal pasti sebagai penyumbang masalah penghadaman yang kerap. Peningkatan usia menyebabkan penghasilan enzim semakin berkurangan dan tidak cukup untuk menghadamkan makanan.

Kajian saintifik menunjukkan aktiviti fizikal membantu mengurangkan banyak masalah penghadaman namun lelaki yang meningkat usia dan kurang bersenam dengan betul boleh menbundang masalah ini. Stress juga meninggalkan kesan negatif terhadap penghadaman dengan mengurangkan pengaliran darah ke perut dan pengeluaran enzim serta melambatkan proses penghadaman.

Sumber:
Harmoni,
15-31 Mei 2010,
Bil.135.



DUNIA KEUSAHAWANAN

Dalam bab dunia keusahawanan ini, saya cuba untuk tidak memilih sesiapa sahaja, kecuali mereka yang berjaya dalam bidang ini. Apa yang ingin saya sampaikan ialah bagaimana mereka berjaya membina satu dunia keusahawanan sehingga mereka dibenali du dunia ini. Bukan Amerika, Arab atau Melayu yang menjadi pilihan, tetapi kisah-kisah kejayaan mereka mudah-mudahan menyuntik semangat usahawan di kalangan masyarakat kita. Ekonomi adalah salah satu kekuatan yang sehingga ini kita agak ketinggalan. Dengan menceburi dunia keusahawanan ini, insyaallah kita dapat memantapkan lagi ekonomi kita di samping membantu kaum yang lemah dan memerlukan. Nabi kita juga adalah seorang usahawan sebelum menjadi Ketua Negara Islam yang pertama.

AlKundangi,
13.5.2010


DUNIA KEUSAHAWANAN
LEVI STRAUSS

Selama lebih satu abad,seluar jean merupakan sejenis pakaian paling popular di dunia. Dari seluar ke seluar ke jaket, ia adalah pakaian yang paling dicari-cari dan dianggap sebagai sesuatu yang bergaya oleh semua lapisan masyarakat. Di pasaran hari ini, terdapat beribu-ribu jenama dan pengeluaran seluar jean merupakan perniagaan tekstil yang paling menguntungkan dalam sejarah manusia. Rahsia di sebalik tarikan sejagat ini, tidak lain dan tidak bukan disebabkan oleh gaya dan ketahanan kain denim.

Orang yang dianggap pereka seluar jean ialah Levi Strauss. Beliau telah berhijrah ke Amerika pada tahun 1953 pada usia 24 tahun dari Jerman dan mempelajari selok belok perniagaan tekstil selama beberapa tahun di New York. Beliau kemudiannya telah berpindah ke San Francisco untuk membuka sebuah cawangan kedai runcit abangnya (sebelum kemunculan pasaraya),yang menjual barang-barang kering. Sebagai seorang pendatang , memajukan satu perniagaan bukanlah mudah. Selama lebih dua puluh tahun, Levi telah bekerja keras mencipta nama untuk menjadi seorang ahli perniagaan yang terkenal dan dihormati.

Salah seorang pelanggan Levi Strauss ialah Jacob Davis. Beliau juga merupakan seorang pendatang dab bekerja sebagai seorang tukang jahit di Reno, Nevada, yang sering membeli barang-barang untuk perniagaannya dari kedai borong kepunyaan Levi. Secara kebetulan, Jacob mempunyai seorang pelanggan yang saku seluarnya selalu terkoyak. Untuk mengatasi masalah ini, beliau telah memasang sejenis logam untuk dilekatkan di bahagian yang lemah. Gaya baru itu telah menjadi popular serta-merta di kalangan pelanggan-pelanggannya dan di dalam tempuh masa yang singkat, ramai yang telah meminta seluar mereka juga dibuat dengan cara yang baru itu.

Untuk mengelakkan rekaan baru ini dari dicuri orang, Jacob mengambil keputusan untuk mendaftar hakcipta (paten) rekaan tersebut. Malangnya, beliau tidak mempunyai USD 64.00 yang diperlukan untuk melaksanakan cita-citanya.Berazam untuk mencari rakan kongsi ya g boleh dipercayai, beliau telah menulis kepada Levi mengenai rancangannya. Ahli perniagaan ini yang juga mempunyai beberapa tahun pengalaman di dalam bidang perniagaan tekstil, menyedari potensi ciptaan baru dan bersetuju menjadi rakan kongsi. Dan pada 20 Mei, 1873 seluar jean biru telah mendapat paten bernombor 139,121dari Jabatan Paten Amerika Syarikat dan terus menjadikan Levi dan Jacob satu-satunya pengeluar jean di dunia.

Dengan bantuan kewangan daripada Levi, kedua-dua pendatang ini telah menubuhkan Levi's Strauss & Co. Jacob bertanggungjawab dalam reka bentuk dan pengeluaran, manakala Levi pula di dalam pemasaran. Tidak lama selepas itu, pekerja-pekerja lombong telah menyebarkan maklumat mengenai ketahanan seluar Denim yang baru itu. Dengan meningkatnya reputasi seluar jean tersebut, penjualannya juga meningkat berlipat ganda. Levi dan Jacob terus memegang hak ekslusif ke atas penghasilan seluar jean untuk dua puluh tahun berikutnya sehinggalah tamat tempuhnya.

Meskipun terdapat beribu-ribu syarikat yang telah mengeluarkan seluar jean di seluruh dunia, Levi dan Jacob tetap dianggap sebagai perintis. Selepas seratus tahun, Levi & Strauss & Co masih mengekalkan kualiti asal aelar jeannya dan merupakan jenama yang paling dicari-cari dan dipercayai. Bermula dari sebuah syarikat kecil yang diusahakan dua orang pendatang, ia telah menjadi satu revolusi baru yang telah menukar cara pemakaian orang ramai buat selama-lamanya.

Cerita dua orang sahabat ini membuktikan bahawa peluang akan hanya muncul apabila seseorag itu sanggup bekerja keras, dan mempunyai inovasi. Tidak kira betap buruknya sesuatu idea itu, ia tidak dapat dinilai sehinggalah idea itu direalisasikan. Apa yang penting ialah ketabahan untuk meralisasikan idea itu.

Sumber: Maju Bersama Usahawan Berjaya,
Terbitan: VannakaMMalaysia Dot.Com Sdn Bhd.
13.5.2010

Tuesday, May 18, 2010

Masalah Sign Google Account

Setelah genap dua bulan, saya dapat kebenaran dari Google untuk reset password hari ini. Dengan begitu, blog ini bolehlah diupdate semula. Mungkin saya akan gunakan kedua-dua blog ini: http//alkundangi.blogspot.com
http://alrmebauwi.blogspot.com

nampaknya masalah itu selesai pada hari ini. Terima kasih atas sokongan tuan puan pengunjung blog ini.

Terima kasih.