ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Tuesday, April 19, 2011

Dari PRN Sarawak ke PRU ke-13

Oleh:Lim Hong Siang



Sesungguhnya, pilihan raya menjadi "pungutan suara" yang berkuasa untuk menentukan masa depan rakyat. Maka ia boleh dikatakan "referendum" untuk menguji dasar-dasar kerajaan, mahupun pandangan rakyat terhadap isu-isu tertentu. Dari perspektif Sarawak, tema besar pilihan raya negeri ini adalah "kekal-undur Taib Mahmud"; sementara dari perspektif Malaysia secara keseluruhannya pula, ia mungkin penilaian kepada gagasan "1Malaysia" oleh Perdana Menteri Najib Razak.

Apapun keputusan malam ini, dari "BN kehilangan lebih kerusi berbanding tahun 2006", kepada "penafian majoriti dua pertiga BN", hinggalah "tumbangnya kerajaan Barisan Nasional"; mahupun "mengekalkan status quo" - suasana sepanjang kempen pada hakikatnya telah menunjukkan petanda-petanda yang harus diberi perhatian.

Apabila puluhan ribu manusia membanjiri ceramah di kawasan bandar, semalam, jawapannya sudah jelas - kemenangan moral untuk Pakatan Rakyat. Najib dan Taib Mahmud tidak perlu melihat kepada peti undi untuk "mendengar suara rakyat" - hanya dengan gambar lautan manusia sudah cukup lantang untuk menjelaskan segala-galanya.

Senjata BN

Bukan dakwaan yang baru untuk mengatakan bahawa "pemimpin BN sudah lama terpisah dari akar umbi masyarakat sehingga gagal memahami masalah dan kehendak sebenar rakyat", namun kesilapan ini nampaknya tidak diperbetulkan, atau diperbaiki - sehingga Najib tersilap tafsir untuk mencatur strateginya kali ini.

Sememangnya peranan Anwar Ibrahim diiktiraf ketika "tsunami politik" melanda Semenanjung Malaysia pada 8 Mac 2008, namun terdapat sedikit perbezaan dengan keadaan PRN Sarawak 2011. Menjadikan Anwar sebagai sasaran untuk menangkis sentimen "Undur-Taib" dan ketidakpuasan lantaran pencerobohan tanah adat - jelas gagal menyelesaikan masalah.

Misalnya, Najib dilaporkan bertanya kepada penduduk tempatan sama ada mereka tahu cerita "jam tangan Omega", jelas bertujuan untuk memalit Ketua Pembangkang Parlimen dengan "klip video seks" yang tersebar. Polis dikatakan sudah mengenalpasti identiti lelaki dalam klip video seks. Malah, apabila keadaan kian terdesak, tiba-tiba wawancara eksklusif TV3 bersama Raja Petra Kamaruddin disiarkan untuk membersihkan nama Najib dan Rosmah, sebelum melontarkan kritikan terhadap Anwar.

Apakah isu "jam tangan Omega" dan "kritikan Raja Petra" relevan di Sarawak, ataupun meredakan ketidakpuasan orang asal yang marah kerana hak tanah adat dicabuli? Jawapannya bakal diketahui malam ini.

Senjata PRU ke-13 terdedah

Apa yang menariknya, pada saat-saat BN terdesak untuk menyerang dengan apa yang ada dalam tangan, ia mendedahkan wajah "1Malaysia" sebenarnya kepada seluruh warga Malaysia, yang sedang menunggu PRU ke-13. Sudah tentu senjata "RPK" akan hilang mujarabnya jikalau ingin digunakan semula dalam PRU ke-13. Agak jelas, RPK lebih berpengaruh di kalangan warga bandar, berbanding penduduk rumah panjang. Ia mungkin mencerminkan betapa terdesaknya BN untuk menggunakan senjata ini terlebih awal, dan ia mungkin lebih mengecewakan BN apabila kesannya tidak sampai sebagaimana yang diduga.

Malah, pertarungan BN kali ini mendedahkan wajah "transformasi" sebenar BN. Media internet alternatif, Sarawak Report, Free Sarawak Radio, Malaysiakini dan Harakah Daily diserang sehingga tergendala pada saat-saat genting BN - mencetuskan kemarahan warga internet. Biarpun tiada bukti di mana datangnya serangan siber sedemikian, namun "persepsi" ramai semestinya menuding jari kepada BN.

Penaburan "gula-gula" melalui peruntukan sepanjang PRN bukan strategi baru, malah "penyogokan" yang diadu selama ini. Integriti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi tergadai, untuk memberi laluan kepada BN yang bertekad mempertahankan kuasa.

Lebih-lebih lagi, halangan kemasukan ke Sarawak yang dikenakan ke atas aktivis seperti Steven Ng, Wong Chin Huat, Haris Ibrahim, Ambiga Sreenevasan dan Syed Ibrahim turut menonjolkan "keangkuhan" kerajaan untuk menyalahgunakan kuasa sewenang-wenangnya.

Kesemua adegan ini berlangsung di depan warga seluruh Malaysia, yang menunggu-nunggu untuk mengundi dalam PRU ke-13.

Siapa bertanggungjawab?

Apa yang pasti, PRN Sarawak cukup sengit untuk BN dan Najib. Keadaan ini diakui Najib sendiri, bahawa PRN Sarawak adalah cabaran paling sengit untuk BN dalam sejarah.

Persoalannya, siapa yang perlu dipertanggungjawabkan? Seandainya BN kehilangan banyak kerusi (sama ada majoriti dua pertiga dinafikan atau tidak), malah tumbang kerajaan negerinya - semestinya Najib akan mempersalahkan Taib Mahmud, sementara Taib (gambar kanan) pula akan menuding jari kepada BN persekutuan, misalnya isu Al-Kitab. Adegan tampar-menampar antara Najib dengan Taib akan berlanjutan.

Ia belum lagi termasuk pertimbangan sama ada "Sabah turut teruja dengan keadaan di Sarawak", "kesan pertelingkahan antara Taib Mahmud dengan persekutuan terhadap BN dalam PRU ke-13", "kemenangan PR yang menyuntik semangat baru", dan sebagainya.

Apapun kesudahannya, kemampuan Najib bakal dipertikaikan dalam BN. Curahan gula-gula nampaknya bukan jalan keluar untuk BN, kalaupun ya, itu hanya untuk sementara waktu sahaja. Politik untuk memalitkan musuh dengan "skandal seks" kelihatan seolah-olah meludah ke langit. Apakah ia harus diteruskan, atau dihentikan?

Pertarungan ini semestinya memberi petanda berwarna merah kepada Najib dan BN. PRU ke-13 kini lebih mungkin diadakan selewat-lewat yang boleh.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

http://www.merdekareview.com/bm