ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Friday, October 15, 2010


KU LI DAN GALAS


Menurut maklumat terbaru dari Kickdefella, Ku Li yang baru pulang dari luar negara mengesahkan menerima pelantikan Pengarah Pilihan Raya bagi PRK Galas. Keputusan ini dibuatnya di KLIA setibanya di Ibu Negara. Walau bagaimanapun, mengenai calon pilihanraya Galas, Ku Li tiadk pula memberikan sebarang komen.

2. Mengulas tentang penglibatannya dalam tuntutan Royalti minyak Kelantan, Ku Li berkata itu adalah isu nasional, dan biarlah mahkamah yang memutuskannya. Sewaktu ditanya tentang nama dicalonkan di Galas dan PAS memandang hina dengan pencalonan itu memandangkan Ku Li adalah orang lama UMNO, beliau menjawab, jika ikut kata PAS, matilah kita. Ini bermakna Ku Li mungkin menerima pencalonan nama beliau di Galas. Beliau akan menemui Perdana Menteri esok, dan beberapa keputusan mungkin dibuat dalam pertemuan itu.

AlKundangi,
15.10.2010

Thursday, October 14, 2010

MENAMBAH KEKAYAAN ANDA

Meskipun rezeki dari langit boleh turun secara tiba-tiba,misalnya beratus-ratus ekor ikan jenis spangled perch pecah gugur dari langit ke Lajamanu antara Darwin dengan Alice Springs di hujung gurun Tanami, ia bukanlah selalu terjadi. Seorang ahli meteorologi berpendapat insiden itu mungkin dissebabkan oleh puting beliung. Bukan sesuatu yang aneh bagi puting beliung menyedut air dan ikan dari sungai sebelum menjatuhkannya pada jarak ratusan kilometer jauhnya dari situ (Agensi, 3 Mac, 2010).

2. Mengapa tidak usahakan sesuatu yang boleh menjana pendapatan? Bukanlah budaya aneh, di Amerika sesetengah keluarga mengusahakan sesuatu hasil makanan kemudian kemudian memasarkannya di kalangan jiran-jiran dan penduduk setempat. Makanan ringan yang paling popular dipasarkan secara ini ialah coklat buatan sendiri.

3. Seorang wanita (Zaharah), memulakan langkah yang baik, mempromosikan coklat buatan tangannya sendiri di blog, perniagaanya secara sampingan itu mampu bergerak lebih maju dan mempunyai tempahan berganda. Zaharan memulakan perniagaannya secara konvensional, iaitu dengan membawa hasil coklatnya ke pejabat, atau menjadikannya sebagai buah tangan ketika bertandang ke rumah teman-teman.

4. " Daru situ mereka mula mengetahui mengenai perniagaan ini dan tempahan pun mula diterima. Selain itu suami juga turut membantu dengan membawa coklat ini ke pejabat. Dari situ juga, saya mula membuat hasil coklat yang pelbagai bagi memenuhi citarasa dan supaya nampak lebih menyelerakan," katanya.

5. Pilih sahaja samada lollichoc,praline,Choc Oreo atau Choc Box, Zaharah akan menyediakan kesemuanya mengikut pilihan warna, perisa tambahan dan inti daripada pilihan kekacang. “Kanak-kanak amat suka Lollichoc sebab bentuknya comel dan harganya juga tidak mahal. Bagi pilihan corak praline yang pelbagai, antaranya berbentuk buah-buahan dan bunga, saya jual mengikut tempahan dan jenis coklat yang digunakan samada coklat putih, coklat gelap, coklat susu atau chocklat conventure yang lebih mahal,’ katanya.

6. Sekarang Zahrah juga menerima tempahan untuk majlis perkahwinan dan pelanggan selalunya menempah Choc Box iaitu kotak coklat yang berisi pilihan coklat Paraline yang pelbagai mengikut kehendak pelanggan. Dari pada Miqdam ra,daripada Rasulallah SAW berkata maksudnya “Tidak ada makanan yang dimakan oleh seseorang sekali-kali tidak, yang lebih baik dari memakan makanan dari usaha tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Allah Dayd as makan dari hasil usaha baginda sendiri. (Bukhari).

7.Mengisi usia berbaki dengan kegiatan berfaedah apalagi yang berbentuk perniagaan memang menarik. Ia menjana pendapatan, siapa tahu disitulah bermulanya kekayaan. Misalnya perniagaan buah-buahan yang dimulakan oleh Lee Foo yang berasal dari Petaling dan Jalan Bukit Bintang ,Kuala Lumpur sekitar tahun 60an.

8.Tradisi perniagaannya itu kemudian diambil alih oleh anaknya Lee Ying Cheong. Lee berniaga buah-buahan di sekitar Pasar Pudu dan Jalan Imbi sekitar tahun 70an dan 80an dengan basikal roda tiga . Kemudian anaknya pula Lee Ying Cheong atau nama Islamnya Adnan Lee mewarisi perniagaan berkenaan. Kata Adnan, “Berkat kesungguhan saya akhirnya syarikat buah-buahan ini mampu berdiori teguh dan kini mempunyai 16 cawangan di sekitar Lembah Kelang termasuk satu di Melaka. Antara cawangan ada adalah di The Gardens, Mid Valley, Sunway Piramid, Subang Parade dan The Curve. Sekarang khidmat pesanan melalui talian juga digunakan.

9.Berpandukan kejayaan-kejayaan seperti ini, anda juga boleh mencuba tuah. Kadang-kadang tuah perlu dimulakan untuk menjadi. Tanpa sebarang usaha, kita hanya mengumpul penyakit pada usia emas. Realitinya orang yang aktif dan ligat berfikir akan kekal sihat sehinggalah usianya berakhir. Dari Anas bin Malik ra katanya, dia mendengar Rasulallah SAW bersabda yang bermaksud ‘’Sesiapa yang ingin dimudahkan Allah rezekinya atau dipanjangkan Allah umurnya, maka hendaklah dia memperhubungkan silatuurrahim (kasih sayang) (Bukhari).

10.Moga-moga usia bertambah berkat serta dipanjangkan Allah akan perniagaan yang dijalankan. Seperti yang ditunjukkan oleh Zaharah dan Adnan, perniagaan telah menjadikan mereka orang yang berjasa dan berjaya. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata sebelum menguruskan seduatu perniagaan yang besar mereka hendaklah mampu memulakan di peringkat kecil-kecilan (UM 1 Mac,2010).

11. Adakah anda ada sesuatu untuk difikirkan, seterusnya dimulakan?

Dr.HM Tuah Iskandar Alhaj,
MIDI, 15Mei,2010.

Wednesday, October 13, 2010

Zaid Ibrahim

Kemelut Politik Parti Sukarkan Pilihan Pengundi

Oleh: A Kadir Jasin


PERTIKAMAN lidah di kalangan beberapa orang pemuka baru Parti Keadilan Rakyat berkaitan kedudukan Anwar Ibrahim bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan atau luar biasa jika kita memahami “psyche” atau cara mereka berfikir. Begitu juga pergeseran perwatakan yang sedang berlaku dalam DAP.

Kedua-dua parti ini menampilkan ciri-ciri kepelbagaian watak, gaya dan agenda yang luar biasa. Persaingan dalaman ini ada kaitan dengan tanggapan bahawa patrti-parti ini kuat dan semakin relevan kerana parti-parti Barisan Nasional lemah sejak pilihan raya umum 2008.

Dengan Umno, MCA, Gerakan dan MIC masih mencari formula penyatuan dan penyemarakan semula, tanggapan umum adalah parti-parti Pakatan Rakyat kuat dan berkeyakinan.

Tetapi di sebalik penampilan yang positif itu, parti-parti PR pun sedang mengalami perentapan dalaman yang hebat akibat perebutan kuasa di peringkat parti dan kerajaan.

Misalnya, di Selangor percubaan mengganggu-gugat dan menjatuhkan Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar bukanlah olok-olok atau wayang kulit, tetapi sesuatu yang nyata.

Hatta di Kedah, di mana Pas menjadi peneraju kerajaan PR dan Menteri Besar Azizan Abdul Razak cukup popular di kalangan rakyat kerana kesederhanaan dan gaya santainya, namun di belakang tabir wujud kedinginan hubungan antara Pas dan PKR.

Bisik-bisik di kalangan kepemimpinan Pas adalah mereka kurang selesa dengan apa yang sedang berlaku dengan PKR, khasnya perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim dan kemasukan bekas-bekas anasir BN ke dalam kepemimpinan parti itu.

Sementara perhubungan antara Pas dan DAP terus runcing mengenai isu pokok perjuangan kedua-dua parti iaitu Negara Islam bagi Pas dan negara sekular bagi DAP. Tanpa PKR sebagai broker, kelangsungan kerjasama Pas-DAP adalah dipertikaikan.

Sebaliknya jika kerjasama Pas-DAP berakhir, Pas akan menjadi ancaman lebih besar kepada Umno kerana lebih ramai orang Melayu dan orang Islam akan menyokong Pas atas dasar perjuangan Islamnya.

Justeru itu, apa yang sedang berlaku dalam pemilihan kepemimpinan PKR sekarang akan memberi kesan besar bukan sahaja kepada parti itu, tetapi juga kepada PR dan BN.

Media massa memetik salah seorang naik presiden Umno, Hashammuddin Hussein, sebagai berkata masalah dalam PKR adalah baik bagi Umno.

Keputusan pemilihan PKR akan menentukan watak mana yang akan muncul mendominasi kepemimpinan parti itu yang sekali gus memberi kesan kepada PR.

Kemenangan atau kekalahan watak-watak yang kini menonjolkan diri dalam pemilihan parti itu seperti Mohd Azmin Ali, Mohd Zaid Ibrahim dan Abdul Khalid akan menentukan corak kepemimpinan, agenda dan ideologi PKR.

Anwar Lawan Wan Azizah

Azmin pasti cuba mengekalkan status quo dan memperkukuhkan pengaruh dan peranan Anwar manakala Zaid pula nampak mirip kepada merombak kepemimpinan PKR, termasuk mendefinisikan semula kedudukan dan peranan Anwar.

Zaid dilaporkan mempertikai kekaburan kedudukan Anwar yang disifatkannya sebagai tidak boleh mengatasi kuasa presiden (Dr Wan Azizah Wan Ismail) yang dipilih perwakilan.

Ini menarik respons bekas rakan seperjuangannya dari BN, Chua Jui Meng yang berkata kedudukan Anwar sebagai ketua de facto adalah lebih tinggi.

Bahas ini pastinya sensitif kerana Dr Wan Azizah adalah isteri Anwar dan peranan beliau tidak begitu menonjol dalam PKR, apatah lagilah dalam PR yang didominasi oleh Anwar, Lim Kit Siang, Abdul Hadi Awang, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Karpal Singh.

Di kalangan parti anggota PR pula, DAP nampaknya lebih selesa dengan Mohd Zaid kerana latar belakangnya sebagai peguam dan bekas menteri BN. Atas alasan itulah DAP memberi sepenuh sokongan kepadanya sebagai pengerusi penaja Pakatan Rakyat.

Dalam PKR, Azmin nampaknya lebih diterima luas oleh kepemimpinan bahagian. Ini terbukti kerana setakat ini dia mendahului Zaid dan calon-calon lain untuk jawatan Timbalan Presiden.

Azmin dilihat sebagai “loyalist” Anwar yang boleh bekerjasama dengan Wan Azizah dan tidak akan menggoyangkan bahtera, apatah lagi menderhaka kepada bosnya.

PKR Sedang Disusupi

Selepas beberapa orang pemuka kanan PKR keluar parti dan sebilangannya menyertai parti-parti BN, pasti wujud kebimbangan di kalangan kepemimpinan asal era reformasi bahawa PKR sedang disusupi oleh anasir-anasir luar yang tidak berjiwa reformasi dan tidak setia kepada Anwar.

Orang luar ini masuk PKR bukan sahaja kerana mereka terpelanting daripada parti-parti BN, tetapi kerana mereka berpendapat PKR adalah buah ranum yang menunggu untuk dipetik.

Oleh kerana itu, keputusan pemilihan yang sedang berjalan sekarang akan menentukan sama ada PKR kekal sebagai parti yang berpaksikan perjuangan reformasi dan ketaatan kepada Anwar atau sebuah parti liberal yang dasar serta komitmennya berubah-ubah mengikut siapa yang menerajuinya dan siapa yang lebih berkuasa.

Perentapan juga sedang berlaku dalam DAP yang menyaksikan perang terbuka antara pengerusi Perak Ngeh Koo Ham dan sepupunya, Nga Kor Ming dengan timbalan pengerusi negeri, M. Kulasegaran.

Portal berita Malaysian Insider melaporkan yang Ngeh terpaksa menanggung malu dengan memohon maaf kepada orang ramai di atas cara beliau mentadbir DAP Perak dan meminta agar dia dan sepupunya tidak diadili.

Serentak itu, parti-parti BN juga sedang melalui masalah dalaman masing-masing. Proses pemulihan Umno terus dihantui oleh masalah kewibawaan kepemimpinan, dasar, program dan cogan kata yang dicurigai dan dipertikai oleh orang Melayu.

Di sesetengah negeri, khasnya di mana BN tewas dalam PRU lalu, Umno ketandusan kepemimpinan dan kemunculan bakat baru terus disabotaj oleh penyandang yang mabuk kuasa.

MCA sudah mula menampakkan kesepaduan suara manakala MIC akan memasuki fasa baru Januari ini apabila S Samy Vellu mengundurkan diri selepas 32 tahun menerajui parti itu.

Tetapi Gerakan nampaknya terus terumbang ambing dan mungkin wujud hanya pada nama setelah dinyahkan dari Pulau Pinang. Kepemimpinannya yang lemah menjadi lebih terancam apabila bekas presiden dan penasihatnya, Lim Keng Yaik meletakkan jawatan kerana kecewa dengan presiden sekarang, Dr Koh Tsu Koon.

Kekalutan dalam parti-parti politik nasional ini, sama ada di pihak BN atau PR, akan memberi kesan kepada pemerintahan dan seterusnya mempengaruhi cara pengundi membuat pilihan pada pilihan raya umum akan datang.

Jika antara sekarang dengan PRU akan datang, parti-parti politik utama tidak memantapkan dasar dan kepemimpinan mereka, pengundi akan mengalami dilema untuk memilih siapa yang akan memerintah di Putrajaya dan di negeri-negeri.

kadirjasin.blogspot.com

(penulis adalah bekas Ketua Pengarang NSTP, dan kebanyakan tulisannya adalah pro BN- alkundangi)
Perpaduan Melayu: Realiti atau mitos?

Oleh: Zaini Hassan

ISNIN minggu ini saya dijemput sebagai ahli panel forum bersama-sama pemimpin Perkasa, Ibrahim Ali dan kolumnis Mingguan Malaysia yang juga pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah. Forum bertajuk "Perpaduan Melayu Dalam Menjamin Masa Depan Bangsa" dianjurkan oleh Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu di bawah naungan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Forum itu diadakan sebagai pembuka tirai bagi program Perpaduan Melayu yang dianjurkan oleh UiTM bagi memberi kesedaran kepada lebih 170,000 pelajarnya dan 8,000 pensyarahnya yang berada di merata pelosok negara mengenai betapa pentingnya perpaduan demi kelangsungan bangsa.

Berikut ialah sedutan kertas kerja saya:

DARI segi sosio-politik moden Malaysia, kisah mengenai perpaduan Melayu telah mula dibincangkan sejak pembentukan negara ini lagi. Ia memuncak selepas tragedi 13 Mei 1969 yang memperlihatkan rasa tidak puas hati terhadap kedudukan mereka dalam bidang sosial dan ekonomi. Orang Melayu dilihat bersatu atas nama perpaduan bangsa demi mempertahankan hak.

Atas dasar itu, Pas menyertai BN sebaik saja barisan kebangsaan itu ditubuhkan pada 1 Januari 1973. Ia memperlihatkan kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu mula bercakap mengenai perpaduan bangsa. Perkembangan itu menjurus kepada pilihan raya 1974 yang menyaksikan kemenangan besar BN. Presiden Pas, Asri Muda dilantik menyertai Kabinet BN sebagai menteri penuh. Namun, dipendekkan cerita berlaku pergolakan antara kedua-dua pihak menyebabkan Pas disingkirkan dari BN pada 1976.

Sejak itu, Pas dikatakan berdendam dengan UMNO. Orang yang paling menyimpan dendam dengan UMNO sehingga ke saat ini ialah tokoh Pas yang cukup kebal, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau melihat UMNO dengan penuh curiga - sama ada kecurigaan beliau itu berasaskan fakta, dibuat-buat, atau satu permainan perang psikologi, kita tidak pasti.

Persoalannya apakah Nik Aziz tidak boleh menerima apa yang berlaku dahulu itu lebih bersifat politik semata-mata? Apakah Nik Aziz tidak tahu yang semasa Pas dalam BN dulu, partinya menggunakan peluang yang oportunistik itu untuk memperkukuhkan kuasanya serta membelakangkan falsafah setiakawan BN, yang antara punca ia disingkirkan?

Selepas penyingkiran itu, BN terus unggul sebagai parti yang memerintah negara ini.

Itu senario pertama. Kita mengimbau 10 tahun selepas itu.

Berlaku pula pepecahan dalam parti terbesar orang Melayu, UMNO yang memperlihatkan perbalahan politik antara Dr. Mahathir dan Tengku Razaliegh Hamzah (Ku Li) pada 1987. Ku Li berpatah arang dengan UMNO dan menubuhkan Parti Semangat 46 (S46). Pada pilihan raya 1990, Pas berjaya menawan semula Kelantan selepas 18 tahun di bawah BN. Kemenangan 49-0 itu dicapai hasil gabungan Pas-Berjasa dan Parti Semangat 46 dalam apa yang dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah(APU) - satu perpaduan yang membabitkan parti-parti Melayu di Kelantan.

Namun dipendekkan cerita lagi, diharapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Pas yang memimpin APU tidaklah begitu baik sebagai rakan kongsi. Ku Li benar-benarnya marah dengan Pas sehingga sanggup bersumpah dengan al-Quran menyatakan beliau tidak akan bekerjasama semula dengan Pas. S46 merasakan mereka ditipu oleh Pas yang dipimpin oleh Nik Aziz. Petikan kenyataan Ku Li (25 Julai 1999): ''Ambo (saya) sendiri akan bersumpah. Insya-Allah, ini bukan kerana politik tetapi demi menegak kebenaran. Ambo akan bersumpah bersaksikan al-Quran, bersaksikan rakyat ramai dan nescaya bersaksikan malaikat nak tunjuk palsu dan pembohongan Pas."

Jika dulu sehingga ke saat ini Nik Aziz merasakan beliau tidak boleh bekerjasama dengan UMNO atas insiden 1976 itu, maka Nik Aziz pun dua kali lima juga. Ku Li menuduh Nik Aziz menipunya dalam soal pemberian jawatan kepada pemimpin S46 dalam kerajaan Kelantan, Ku Li menuduh Nik Aziz menipu kerana tidak menubuhkan kerajaan Islam dan Ku Li menuduh Nik Aziz menipu mengatakan Sultan Kelantan tidak meluluskan deraf Hudud.

Sehinggakan Ku Li berkata: ''Ambo benar-benar percaya (kepada Pas) tapi rupanya kena tipu tetapi bukan saja ambo kena tipu, rakyat Kelantan turut ditipu kononnya nak tubuh kerajaan Islam di Kelantan termasuk Tuhan kena tipu."

Kini kira-kira sedekad kemudian berlaku satu lagi pergolakan membabitkan orang Melayu. Kuasa BN yang dipimpin oleh Abdullah Ahmad Badawi merudum selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008.

Selain Kelantan yang masih kekal, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor jatuh ke tangan pembangkang. Kuasa dan pengaruh UMNO mulai goyah. Mereka merasakan orang Melayu telah lari daripada memberi sokongan kepada UMNO dan BN. Undi Cina juga semakin menghakis - yang memperlihatkan mereka memberi sokongan kepada pihak pembangkang, terutamanya DAP dan pakatan pembangkang lain.

Selepas pilihan raya 2008, hala tuju MIC dan MCA tidak tentu arah. Pemimpin sezaman dengan Tun Mahathir semuanya mulai hilang sedikit demi sedikit. BN kini hanya berdiri atas kekuatan Najib Tun Razak, sebagai Perdana Menteri dan Presiden serta Pengerusi UMNO dan BN.

Seperti juga semasa krisis Mahathir-Anwar pada sekitar 1997/98, NGO-NGO secara sedar atau tidak tiba-tiba tumbuh bagai cendawan. Kini pelbagai NGO Melayu tumbuh - termasuklah Perkasa, yang paling lantang memperjuangkan atas nama agama, bangsa dan tanah air.

Orang Melayu kini mula bercakap mengenai perpaduan antara mereka. Mereka perlu bersatu kembali. Sesetengah pihak memperjuangkan agar UMNO dan Pas bersatu kembali. Ini termasukkan orang dari dalam UMNO sendiri. Mereka percaya bahawa hanya dengan bersatu semula dengan Pas, kuasa dan undi orang Melayu akan pulih semula.

Orang Melayu ternyata amat keliru. Mereka merasakan kuasa mereka semakin hilang. Mereka bimbang dan takut.

Tapi dalam masa yang sama orang Cina, termasuk yang berada di atas pagar serta yang berada dalam establishment BN melihat dengan curiga gagasan ini. Mereka melihat dengan penuh curiga. Apa akhirnya akan jadi dengan gagasan ini? Apakah mereka akan lebih disisihkan selepas ini?

Maka yang parah lebih parah lagi. Kita bimbang jika ini berlaku orang Cina yang dimaksudkan tadi akan lebih meninggalkan BN. Apa akan jadi jika MIC dan MCA beralih angin dan meninggalkan BN?

Jika itu terjadi, kuasa Melayu akan hilang selama-lamanya. Persoalan besarnya ialah apakah Pas dan segelintir Melayu dalam PKR boleh diharapkan?

Kita lihat senario sekarang dalam kerajaan Pulau Pinang dan Selangor.

Kita terpaksa lupakan kerajaan Pulau Pinang yang bertunjangkan kepada satu kuasa besar luar sebagai penasihatnya. Kita lihat Selangor - di negeri yang kita berdiri sekarang ini. Di ibu negerinya Shah Alam yang dulunya kita bangga sebagai ibu kota Melayu terulung di negara ini. Dan di sinilah terletakkan institusi pendidikan Melayu ulung iaitu UiTM Induk.

Persoalannya apakah kerajaan Selangor ini benar-benar diperintah oleh menteri besarnya seorang Melayu? Atau ia hanyalah simbol seorang menteri besar dan tidak lebih daripada itu?

Ini bukan saya yang bangkitkan, tapi ia datang dari dalam kerajaan itu sendiri. Seorang pemimpin negeri itu pernah memberitahu saya mengenai fenomena ini. Beliau bimbang kerana melihat menteri besar gagal mengawal exco-exconya terutamanya terdiri daripada DAP yang semakin rakus. Satu demi satu isu-isu yang berbau cauvinis dan perkauman dibangkitkan. Menteri besar hanya mengiakannya sahaja.

Saya bertanya kepada pemimpin itu, jika ditakdirkan pakatan anda menang memerintah Putrajaya kelak pada pilihan raya umum ke-13 dan corak pemerintahannya sama sebagaimana yang berlaku di Selangor sekarang, apa akan jadi?

Dia berkata: ''Mungkin pada masa itu kita akan berfikir untuk bergabung dengan UMNO..."

Tidakkah beliau sedar pada masa itu nasi sudah menjadi bubur.

Yang nyata, Pas tidak akan meninggalkan pakatan mereka itu. Walaupun semua orang tahu DAP sebuah parti yang cukup cauvinis, tapi Pas tetap menerima mereka. Pas hanya mahu berkuasa dan itu sudah cukup bagi mereka. Nik Aziz sanggup mempersendakan Melayu semata-mata kerana mahu menjaga hati sahabat-sahabatnya.

Kekeliruan yang berlaku sekarang ialah satu perang saraf yang cukup berkesan dilakukan oleh DAP. Menurut blogger BigDog Zakhir Mohamed 'DAP adalah punca racism menular di Malaysia'. Saya bersetuju 100 peratus dengan beliau. Lim Kit Siang menggelar Negarawan Ulung Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai "Rasis no-1 Malaysia."

DAP sesungguhnya telah memainkan reverse-psycology yang cukup hebat dan berjaya. Jika dulu orang Melayu macam Mahathir, dikenali sebagasi ultra-Melayu, kini mereka dipanggil sebagai rasis-Melayu.

Malangnya ada juga orang Melayu kini sudah terbawa-bawa dengan slogan rasis ke sana ke mari yang ditujukan kepada orang Melayu.

Jika dulu DAP dikenali sebagai parti cauvinis yang bersifat perkauman melampau kini orang Melayu yang dituduh sebagai rasis.

Apakah kita ini rasis?? Apakah Utusan Melayu itu rasis? Sejarah Utusan Melayu cukup panjang bermula dari tahun 1939 di Singapura yang merupakan pusat gerakan revolusi Indonesia dan kumpulan-kumpulan kiri Melayu. Editor-editor Utusan pada masa itu telah pun berjuang, atas dasar multirasialisme. Samad Ismail ketika itu menerima kewujudan multirasialisme.

Walaupun ia berjuang atas dasar itu, tapi akhbar itu tetap meneruskan perjuangan untuk menyampaikan utusan kepada orang Melayu sehinggalah ke saat ini.

Hari ini Utusan Melayu telah dicap sebagai akhbar rasis. Apakah itu perjuangannya? Selama lebih 70 tahun ia berjuang bukan sahaja untuk orang Melayu tapi untuk rakyat keseluruhan negara ini. Utusan Melayu cukup faham dengan dasar dan perjuangan negara ini yang berlandaskan parti yang memerintah selama lebih 50 tahun ini. Utusan faham dengan dasar multirasialisme bersama-sama parti-parti bukan Melayu yang lain.

Akhbar itu hanya bersuara apabila orang Melayu dipersoalkan hak mereka. Apakah itu salah? Apakah salah akhbar itu menjawab balik tohmahan-tohmahan yang dimainkan oleh pihak-pihak yang cukup cauvinis seperti DAP?

Yang nyata sekarang, Pas, DAP dan PKR hanya mahukan Putrajaya. Mereka sedang pulun ke arah itu. Mereka sedang bermain dengan perang psikologi dan psikologi songsang yang cukup hebat. Kita tidak pasti siapa di belakang perancangan yang sedang diatur oleh DAP sekarang. Benarkah wujud elemen ketiga dalam perancangan dan usaha itu?

Apakah perpaduan yang dicanangkan oleh orang Melayu muaasir ini untuk bersama Pas sesuatu yang relevan? Pas sebenarnya sedang seronok dengan angan-angannya untuk ke Putrajaya.

Sebaliknya UMNO harus memantapkan barisannya bersama-sama MCA, MIC dan parti komponen lain bagi mengembalikan suara mereka. Kita harus bertanya diri kita sekarang - apakah mereka gagal dalam pemerintahan selama 50 tahun yang telah kita lalui ini? Atau apakah kita mahu mencuba sebuah kerajaan baru yang amat dibimbangi oleh seorang pemimpin Selangor itu tadi?

Mana satu kita mahu? Perpaduan Melayu harus dilakukan bersama dengan bangsa-bangsa lain. Kita tiada pilihan.

Melayu hanya kira-kira 67 peratus di negara ini. UMNO harus menguatkan kembali pengaruhnya bersama-sama parti-parti komponen lain. Pas bukan jawapannya.

Jangan nanti Yang Dikejar Tak Dapat, Yang Dikendong Berciciran.

Utusan,
13.10.2010.

(pandangan ini hanyalah dari sisi utusan.com.my/kerajaan BN, bukan pendapat pemilik
blog)

Sunday, October 10, 2010

GALAS: PAS ATAU UMNO?

GALAS: PAS ATAU UMNO?

Suhu Politik Malaysia hangat kembali bila ADUN Galas, Che Hashim Sulaima 46, Kawasan Parlimen Gua Musang meninggal kerana sakit barah usus pada 27 September lalu di Pusat Rawatan Al Islam,Kg. Baru, Kuala Lumpur. Kematian itu menyebabkan DUN Galas kosong seterusnya memaksa SPR mengadakan pilihanraya kecil (PRK) sejak ia diisytiharkan kosong oleh DUN Kelantan.

Pada PRU Ke 12, Che Hashim Sulaima memperolehi 4399 undi mengalahkan calon BN, Mohammad Saufi bin Deraman, yang mendapat 3753 undi.Majoriti yang diperolehi oleh Che Hashim ialah 646. Undi Rosak pula ialah sebanyak 171 dan peratus keluar mengundi adalah sebanyak 80.89%.

Samada PAS atau BN, kedua-duanya belum menamakan calon-calon masing-masing pada pilihan raya kecil itu yang akan diadakan selewat-lewatnya 60 hari selepas ia diisytiharkan kosong. Namun BN telah pun melantik Tengku Razaleigh menjadi Pengarah Pilihanraya DUN Galas, sementara PAS diketuai oleh Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man. Persaingan sengit diduga berlaku kerana BN melantik Ku Li sebagai Pengarahnya, memandangkan beliau adalah tokoh veteran yang memegang jawatan Menteri Kewangan suatu masa dulu dan Gua Musang berada dalam tangannya dijangka hingga ke akhir hayat.

Namun kekalahan calon BN pada PRU ke 12 menampakkan penguasaan Ku Li ke atas Gua Musang bukanlah mutlak. Tewasnya DUN Galas kepada PAS membuktikan hal ini, dan menampakkan ketidakkebalan Ku Li di Gua Musang. Sementara itu, baru-baru ini Ku Li dikatakan terlbat dalam usaha Kerajaan Kelantan menuntut royalti minyak dan gas yang kini hanya diberi sebagai wang ehsan. Dalam hal ini, Ku Li kelihatan menyebelahi kerajaan Kelantan.

Rekod Ku Li semasa menjadi Menteri Kewangan Kerajaan Pusat juga bukanlah bersih. Skandal BMF yang melibatkan lebih RM 80 juta pada tahun 80an berlaku semasa beliau menjawat jawatan Menteri Kewangan. Dalam skandal itu, seorang seksekutif kanan BMF dihantar ke Hongkong untuk menyiasat kes ini, namun kemudian eksekutif itu, Jalil Ibrahim mati ditembak di Hong Kong. Tidak dapat dinafikan, kematian Jalil Ibrahim ada kaitannya dengan skandal BMF itu, dan ianya boleh disifatkankan sebagai satu pembunuhan politik. Dr. Mahathir (PM ketika itu) dan Ku Li tentu tahu siapakah pihak yang bertanggungjawab dalam kes ini. Akhirnya Ku Li terpinggir dari arus politik BN dan hanya memegang kerusi Parlimen Gua Musang sehinggalah ke hari ini. Manakala BN pula tidak lagi memeberikan apa-apa jawatan penting kepada Ku Li selepas beliau menubuhkan Semangat 46 dan menentang Mahathir dalam pemilihan Presiden UMNO pada dekad 80an. Dalam pertarungan itu yang hampir dimenangi oleh Ku Li berakhir dengan pembunuhan UMNO di mahkamah, di mana UMNO diisytiharkan tidak sah oleh Peguam Negara ketika itu, Tun Salleh Abbas.


Walaupun Ku Li akhirnya membubarkan Semangat 46 dan membawa semua ahlinya memasuki UMNO, namun dalam kebinet Mahathir Ku Li tidak ada tempat untuk jawatan dalam kebinet.Ia hanyalah ahli MT UMNO. Keadaan ini memungkinkan Ku Li berasa terpinggir dan kecewa dengan kepimpinan BN yang akhirnya membawa beliau membantu PAS Kelantan dalam meuntut wang royalti minyak Kelantan dari Kerajaan Pusat baru-baru ini. Karier politik Ku Li juga sudah sampai ke penghujungnya dengan meningkatnya umur beliau sejak dilahirkan pada 13 April 1937, di mana kini beliau telah pun berusia lebih 73 tahun, satu usia yang di kira agak lanjut untuk aktif semula dalam arena politik tanahair.

Soalnya sekarang kenapakah baru-baru ini UMNO ingin menggunakan Ku Li untuk memenangi Galas, setelah begitu lama beliau terpinggir dari arus perdana politik tanahair? Mampukah UMNO menawan kerusi Galas dengan bantuan Ku Li? Bagaimana pula jika Ku Li enggan membantu kerana keterpinggirannya selama ini dalam arena politik BN?

Dalam PRU ke 12 Galas mempunyai 10,330 pengundi di mana 6,255 adalah pengundi Melayu,1903 Cina,172 India dan 2000 orang asli. Ini bermakna majoriti pemilih adalah Melayu,yang kedua orang asli, ketiga India dan lain-lain kaum. Apakah pengundi Melayu memilih PAS sekali lagi? Kebobrokan yang dialami oleh UMNO kebelakangan ini memungkinkan hal ini berlaku. Tetapi bagaimana dengan politik wang dan janji-janji manis UMNO nanti. Tidakkah pengundi Melayu termakan janji-janji itu? Bagimana pula SPR, media elektronik dan akhbar yang memihak kepada BN? Apakah tidak semua ini mempengaruhi worldview pengundi Melayu?

Bagaimanapun, dalam PRU ke 12, PAS sudah pun menggalas kerusi Galas. Ini bermakna PAS masih mempunyai peluang untuk menang sekiranya pandangan politik pengundi Galas tidak berubah. Pengundi Cina dan Orang Asli dijangka turut membantu memenangkan PAS atau UMNO. Setakat ini peluang PAS dan UMNO untuk memenangi kerusi Galas adalah 50/50 berdasarkan keadaan semasa dan penguasaan BN ke atas semua instrumen kerajaan untuk mereka membelasah PAS dalam pertarungan di Galas nanti. Ya, kedua-duanya mempunyai sama-sama peluang dalam DUN Galas, dan hanya pengundi Galas yang berhak menentukannya.

AlKundangi,
10.10.2010