ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Saturday, June 4, 2011

Politik orang kaya atau kaum tertindas*
(Politik dan garis-garisnya)

(Oleh: Hishamuddin Rais)

SAYA selalu membaca dan mengamati tulisan, komentar dan analisa politik terkini tentang negara kita ini. Saya membaca dalam Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris. Ada yang menarik: sayangnya banyak pula yang membosankan. Membosankan kerana sang penulis hanya bergelut dengan personaliti individu – si politikus. Tidak lebih dari itu.

Politik bukan hanya tentang individu. Politik ialah tentang kuasa. Perjuangan politik ialah perjuangan untuk merebut kuasa. Merebut kuasa bertujuan untuk merebut punca-punca ekonomi. Di belakang punca ekonomi ialah kelas. Perjuangan politik ialah perjuangan kelas.

Kelas dan ekonomi tidak dapat dipisah macam santan dengan kelapa. Setiap sosok manusia tergolong ke dalam satu kelas. Secara kasar – ada dua kelas: yang memerintah dan yang diperintah i.e yang berkuasa dan yang tidak berkuasa. Yang berkuasa ialah mereka yang memiliki harta dan kekayaan. Yang tidak berkuasa ialah mereka yang tidak memiliki harta kekayaan dan golongan miskin.

Dalam sistem ekonomi kapitalis seperti dalam negara kita ini – golongan miskin adalah kaum tani, kaum nelayan dan kaum buruh. Mereka ini adalah kumpulan terbanyak. Kumpulan terkaya tidak ramai. Kumpulan kaya amat sedikit – mereka adalah kumpulan minoriti. Tetapi mereka menjadi pemilik harta kekayaan yang terbanyak. Justeru melalui harta kekayan, mereka dapat membeli kuasa.

Ini bukan tulisan propaganda. Ini hakikat – fakta saheh – yang boleh dirujuk kepada Jabatan Statistik Negara. Fakta-fakta – ekonomi dan kelas ini – menjadi kabur atau sengaja dikaburkan dengan agenda agama, dengan agenda bahasa, dengan agenda kaum dan bangsa. Politik ialah agenda merebut kuasa. Period. Khalas. Agenda-agenda yang lain hanya alat dan taktik untuk mengolah persetujuan orang ramai untuk bangun merebut kuasa.

Justeru untuk saya, perjuangan politik ialah untuk melupuskan kuasa kumpulan kaya yang sedikit dan mengambil alih punca-punca ekonomi yang ada dalam tangan mereka. Harta kekayaan wajib diambil kembali untuk di agih-agihkan kepada rakyat terbanyak. Ini seperti yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan Selangor. Kerajaan Pakatan Rakyat telah mengambil kembali hak air dari syarikat Syabas dan memberikan secara percuma pada orang ramai.

Justeru berlaku perlawanan yang maha hebat antara Pakatan Rakyat dengan gerombolan United Malays National Organisation di Selangor. Perlawanan ini ialah perlawanan untuk merebut punca ekonomi. Ini adalah perlawanan dua kelas – kelas kaya yang menindas sedang berlawan dengan rakyat. Suara orang teramai diwakili oleh Pakatan Rakyat.

Hingga ke tahap ini, jika masih ada penulis dan pemberi komentar politik tidak memahami hakikat kelas dan ekonomi, maka si Mamat atau si Minah itu wajib rajin membaca dan mentelaah. Panjangkan akal dan panjangkan ilmu. Sehingga ke hari ini, memiliki akal fikrah yang kritikal masih belum dicukai lagi.

Kalau saya membawa para pembaca ke luar Malaysia – hakikat yang sama juga dapat kita lihat. Di Amerika Syarikat, Barack Obama dipilih untuk mempertahankan dan menjaga kepentingan saudagar senjata dan para taikon di Wall Street. Raja Abdulah dipilih untuk mempertahankan kepentingan golongan feudal di Saudi Arabia. Sarkozy di Peranchis dipilih untuk mempertahankan kepentingan saudagar Peranchis dan kaum Zionis di Peranchis.

Apabila tuan pembaca telah memahami asas-asas politik dan ekonomi di atas, maka saya akan membawa pembaca untuk memahami apa makna dan tanda perebutan puncuk pimpinan PAS yang sedang berjalan hebat sekarang. Perlawanan hebat yang saya maksudkan ialah perebutan kerusi Timbalan Presiden PAS di antara Mat Sabu dengan Nasharudin Mat Isa dan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Untuk saya, perlawanan ini adalah perebutan kuasa. Perebutan kuasa ini ialah perjuangan kelas. Kalau kita kaji dari segi politikal ekonomi, dalam istilah politik moden Parti Pas ini ialah parti yang mewakili kepentingan borjuis kecil Melayu. Parti yang mewakili kepentingan borjuis besar dan borjuis nasional ialah United Malay National Organisation. Justeru, saya berani berkata di sini bahawa tidak mungkin Daim, Ananda, Vincent Tan atau Syed Mokhtar menjadi ahli PAS. Parti PAS tidak akan memperluaskan kepentingan ekonomi mereka.

PAS mewakili Guru-guru Melayu, Tok Peraih, Penjaja, Tuan Empunya Warong, Kontrektor Kelas Bawah, Peneroka, Nelayan termasuk juga Askar dan Polis Pencen. Golongan ini merasa kepentingan ekonomi dan gaya hidup mereka dapat dipertahankan oleh parti PAS.

Kalau PAS ini parti bojuis kecil Melayu bagaimana pula dengan ulama dalam PAS? Biar saya terangkan di sini bahawa dari segi ekonomi, para alim ulama juga memiliki kelas. Dari segi pensejarahan penubuhan parti politik di Malaysia kita akan dapat memahami bahawa alim ulama dalam PAS ini tergolongan kepada borjuis kecil Melayu. Mereka merasa diri mereka akan dipinggirkan oleh United Malays Natioanal Organisation yang amat mesra bersekongkol dengan Towkay dari MCA atau bekas penjajah British. Hujah agama ketika keluar dari payung United Malays National Organisation pada ketika itu adalah hujah terbaik untuk mempertahankan kepentingan ekonomi kelas borjuis kecil Melayu.

Justeru, apakah Mat Sabu dan Nasaruddin ini memiliki pandangan politik dan kelas yang sama kerana mereka berdua berpayung dalam Parti PAS? Jawabnya tidak. Parti MCA adalah parti towkay tetapi ramai juga buruh yang menjadi ahli ini. Parti MIC ialah parti Chetiar dan Mandur tetapi kuli estate yang menjadi ahli.

Awas dan waspada. Di dalam kumpulan borjuis kecil ini juga akan terdapat sosok-sosok yang berminat untuk menjadi borjuis besar dan borjuis nasional. Di dalam KEADILAN juga pasti ada yang bermimpi untuk menjadi borjuis nasional. Bermimpi untuk menjadi tuan pemilik kuasa jana leterik atau pemilik kilang gula dan beras. Ini bukan sesuatu yang mustahil.

Di tahap ini dalam politik negara kita apa yang wajib kita kenali ialah kepentingan kelas apa yang di wakili oleh Mat Sabu. Kepentingan kelas siapa pula yang diteraju oleh Nasharudin. Seperti saya tulis di atas tadi – perjuangan politik ialah perjuangan kelas. Untuk saya, mustahil kedua-dua mereka ini mewakili kelas yang sama. Jika mereka dari kepentingan kelas yang sama mustahil mereka akan bertempur.

Nasharudin dikatakan dari jalur ulama. Tetapi dalam analisa politikal ekonomi, ulama ini tidak memiliki apa apa makna. Ini hanyalah ‘tagline’ untuk menjual produk. Ulama hanya jenama yang dikenali umum. Majoriti ahli Pas adalah orang warak yang ritual agama Islamnya terjaga rapi. Untuk para ritualis ini jenama ulama ini cukup meyakinkan. Justeru dengan bijak Nasharuddin telah melabelkan dirinya ulama. Jenama ini amat baik untuk meraih sokongan dalam Parti PAS.

Dalam pemahamam politik cetek dan dalam pemahaman borjuis kecil Melayu, memang Mat Sabu ini dianggap bukan ulama. Tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan Mat Sabu ini seorang ulama.

Dalam analisa ini bukan jenama ulama yang kita bincangkan tetapi si ulama atau yang bukan ulama itu mewakili kelas yang mana? Ini soalan yang wajib kita terus bertanya apabila kita membaca politik. Jika kita dapat memecah persoalan kelas maka kita akan dapat memahami pertembungan politik yang sedang berlaku dihadapan mata kita.

Akhbar Utusan Malaysia yang dianggap suara musuh oleh Pas dan Pakatan Rakyat. Kebelakangan ini – sebelum muktamar Pas berlangsung – akhbar ini tetiba menyatakan rasa gumbira dan senang jika kumpulan ulama dalam Pas ini mencapai kemenangan. Malah sekali imbas kita lihat Mubarak – kumpulan Umno Pencen – tetiba berkempen untuk Nasarudin. Jelas suara United Malay National Organisation ini mahu tim’ulama’ terus berkuasa.

Beberapa tulisan dalam akhbar Utusan semuanya memperlihatkan bahawa United Malays National Organisation merasa takut jika sekiranya Mat Sabu berjaya mengalahkan Nasaruddin dan Tuan Ibrahim. Utusan kelihatan berhempas pulas menabur racun bekempen agar ahli Pas akan mengenepikan Mat Sabu

Lalu timbul persoalan? Kenapa Utusan sibuk mahu Mat Sabu kalah? Jawapan untuk soalan ini ialah kelas. Dalam pemahaman politik moden Mat Sabu ini mewakili kelas Mustadhafin atau kelas tertindas. Dalam bahasa politik moden Mat Sabu ini mewakili kelas kaum proletar – kaum buruh dan kaum tani – kaum majoriti yang tertindas.

Nasharudin Mat Isa walau pun dalam Parti PAS tetapi memiliki niat dan mimpi untuk menjadi borjuis besar – borjuis nasional. Cita-cita untuk menjadi borjuis nasional ini hanya akan termakbul jika sekiranya Pas dan United Malay National Organisation dapat bersatu dan bekerjasamadan satu perserikatan yang baru. Penyatuan ini dibawah lambang Perpaduan Melayu.

Justeru pertembungan Mat Sabu, Nasa dan Tuan Ibrahim ini memiliki implaksi yang amat jauh merentas markas tarbiah Pas di Gombak. Kemenagan Mat Sabu akan membuka satu garis baru didalam Pas. Garis ini ialah garis memperjuangan gulungan tertindas. Jangan lupa Mat Sabu ini pernah menimbulkan isu Padi Kunca di Kedah dimana tuan tuan pemilik tanah sawah yang luas merasa tergugat.

Tuan-tuan tanah ini ada yang menyokong PAS. Lalu mereka merasa marah kerana kain sarong topeng agama mereka telah diselak terbuka oleh Mat Sabu. Manakala Nasarudin tidak memiliki apa-apa budaya politik melawan. Begitu juga Tuan Ibrahim yang mencelah bertanding untuk memastikan garis musthadafin yang dibawa oleh Mat Sabu dikuburkan.

Dari sini amat jelas menunjukkan bahawa kepentingan kelas melintasi kepentingan parti politik. United Malay National Organisation yang melaungkan ketuanan Melayu pun akan sedia berkerjasama dengan para cukong dari MCA atau MIC untuk kepentingan kelas mereka.

Begitu juga adanya sosok-sosok dalam PAS yang bersedia berkerjasama dengan United Malays National Organisation untuk memastikan – InsyaAllah – mimpi mereka untuk menjadi borjuis nasional termakbul. Juga memastikan kepentingan ekonomi mereka dipertahankan dan dikembangkan. Jangan pula hairan jika saya katakan hari ini sosok-sosok jemis Nasa ini juga ada dalam KEADILAN dan DAP. Cuma ketika ini suasana politik tanah air kita belum memberanikan mereka menunjukkan muka.

Jelas di sini United Malay National Organisation mahu garis Mat Sabu dikalahkan. Tetapi semuanya terpulang kepada ahli PAS sendiri. Mereka yang membuat keputusan untuk memilih di antara dua garis politik ini. Politik kuasa orang kaya disatu pihak dan politik kaum buruh dan kaum tertindas di satu pihak lagi.

suarakeadilan bil 18,31 Mei,2011.

Nota Blogger:

Tulisan yang agak kontroversi ini disiarkan sebelum pemilihan oleh suara Keadilan. Adakah ia mempengaruhi pemilihan PAS? Apakah ulasan Hishamuddin tentang wujudnya sosok tubuh yang ingin menjadi borjuis nasional dalam PAS itu satu kebenaran? Penulis belum dapat memberikan pandangan terhadap tulisan di atas.Marilah sama-sama kita fikirkan dan mencari kebenaran dari tulisan Hishamudian yang agak kontroversial ini-alkundangi.

Mohamad Sabu menang Timbalan Presiden PAS


KUALA LUMPUR: Mohamad Sabu menang untuk jawatan Timbalan Presiden PAS menewaskan penyandang asalnya Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mohamad mendapat 420 undi berbanding Tuan Ibrahim 399 dan Nasha 224 daripada jumlah keseluruhan 1045 undi.

Mengikut HarakahDaily, jawatan Naib Presiden pula dimenangi Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Ketiga-tiga mereka mendapat undi paling tinggi menewaskan tiga lagi calon iaitu Ust Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin.

Salahudin mendapat 753 undi, Husam (660), Mahfuz (616), Idris (491), Nik Amar (321) dan Nizar (217).

Kesemua mereka akan menerajui kepimpinan PAS bersama Presiden, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menang tanpa bertanding.

Keputusan rasmi itu dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS 2011-2013, Datuk Abdul Halim Abd Rahman kira-kira jam 10.15 pagi tadi.

Berikut adalah senarai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2011-2013:

1. Mazlan Aliman (804)
2. Dr Mohd Hatta Md Ramli (765)
3. Datuk Kamarudin Jaafar (739)
4. Hanipa Maidin (735)
5. Datuk Seri Azizan Abdul Razak (721)
6. Dr Zulkefly Ahmad (702)
7. Dr Mujahid Yusof Rawa (651)
8. Khalid Samad (643)
9. Abdul Ghani shamsuddin (579)
10. Amiruddin Hamzah (576)
11. Abdul Wahid Endut (556)
12. Abu Bakar Chik (527)
13. Datuk Mohd Amar Abdullah (470)
14. Dr Siti Mariah Mahmud (445)
15. Datuk Mahfodz Mohamed (449)
16. Datuk Hassan Ali (437)
17. Abdul Ghani Abd Rahman (430)
18. Nuridah Salleh (416)

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=14742
Tuan Ibrahim: Tidak timbul soal ulama, bukan ulama

Oleh:Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 4 Jun: Tidak timbul soal ulama bukan ulama yang sedang dimainkan media pro Umno terhadap saf kepimpinan baru PAS, kata bekas calon Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bercakap kepada Harakahdaily beliau berkata, keputusan pemilihan PAS yang diumum hari ini membuktikan perwakilan faham struktur dalam PAS yang sememangnya diterajui Majlis Syura Ulama.

"Kita ada panduan dari Majlis Syura, ini akan memandu parti kita.

"Saya fikir ia tidak mencerminkan penolakan terhadap ulamak, tetapi mereka faham ulama tetap tertinggi dalam PAS melalui Majlis Syura dan Dewan Ulama PAS Pusat," katanya yang juga dilihat dari kelompok ulama, dalam pertandingan tiga penjuru jawatan Timbalan Presiden PAS.

Dalam keputusan hari ini, beliau dan penyandang sebelum ini Nasharudin Mat Isa, bagaimanapun tewas kepada Mohamad Sabu yang dilihat bukan dari kelompok ulama.

Mohamad mendapat 420 undi berbanding Tuan Ibrahim 399 dan Nasha 224.

Bagi tiga jawatan Naib Presiden pula, perwakilan telah memilih Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Ketiga-tiga mereka mendapat undi paling tinggi menewaskan tiga lagi calon iaitu Ust Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin.

Salahudin mendapat 753 undi, Husam (660), Mahfuz (616), Idris (491), Nik Amar (321) dan Nizar (217).

Media Umno bagaimanapun menganggap 'line up' baru kepimpinan parti itu sebagai wujud penolakan kepada kelompok ulama di kalangan perwakilan.

Mengulas perkara sama, Timbalan Presiden PAS yang baru, Mohamad Sabu turut merasa hairan dengan sikap Utusan.

"Hanya media Umno main isu ulama-profesional ini. Kenapa tiba-tiba Utusan menjadi sayang kepada ulama menjelang muktamar.

"Sedangkan kita yang menang ini semuanya mendokong kepimpinan ulama,"katanya.

Naib Presiden PAS yang baru, Datuk Husam Musa pula berkata, ia hanya propaganda media Umno untuk memecahbelahkan parpaduan dalam PAS.

"Struktur ulama sememangnya kukuh dalam PAS. Paling tinggi Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am dan Majlis Syura.

"Saya, Mahfuz, Mat Sabu dan Salahudin daripada kecil dalam PAS, membesar dan dididik oleh Ulama PAS, jadi tidak ada apa-apa perubahan pun" tegasnya.

Mengulas peranan yang mahu dimainkannya sebagai salah seorang naib presiden PAS yang baru, beliau berkata mahu menumpukan kepada kemenangan PAS pada PRU-13 akan datang.

"Kemenangan ini untuk kita merangka pelan kejayaan PAS dalam PRU-13 dan meletakkan PAS pada posisi yang betul agar diterima rakyat pelbagai kaum," katanya.

Tuan Ibrahim ketika diminta mengulas kekalahannya pula, redha dengan keputusan pengundian oleh perwakilan tersebut.

"Alhamdulillah, Allah mengurangkan beban saya di akhirat. Saya tak rasa kecewa kerana kita tahu ruang berjuang dalam parti sangat luas," katanya.

harakahdaily.net
Tiada masalah bukan ulamak jadi pimpinan PAS - Presiden

Oleh:Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 4 Jun: Tiada masalah timbalan dan naib-naib presiden bukan dari golongan ulamak, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau sebaliknya gembira dengan keputusan yang dibuat perwakilan dalam pemilihan kali ini bagi sesi 2011-2013.

"Saya bersyukur dengan perpaduan yang wujud. Walaupun berbeza pandangan dari segi menentukan calon, tapi kita mendapat keputusan yang penuh kemesraan.

"Semua pihak menghormati keputusan perwakilan dan menerima siapa sahaja yang dipilih menjadi pemimpin khususnya untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13," kata beliau pada sidang media di muktamar PAS kali ke-57 di Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad hari ini.

Beliau menambah, PAS memang pernah memilih bekas Yang Dipertua parti yang kedua bukan dari golongan ulamak.

"Ini bukan perkara baru. PAS pernah pilih Haji Abas Alias yang bukan daripada ulamak sebagai yang dipertua PAS yang kedua.

"Tengok kepada AJK PAS Pusat, lapan di kalangan ulamak, dua doktor, dan selebihnya jurutera dan pemimpin masyarakat," katanya yang ditemani timbalan presiden yang baru, Mohammad Sabu dan tiga Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub.

Sementara itu, Mohammad Sabu menyatakan komitmennya untuk membantu Ustaz Hadi melebarkan pengaruh PAS di kalangan NGO dan parti-parti lain.

Tegasnya juga, beliau tetap mementingkan kepimpinan ulamak dalam PAS.

"Saya akan cuba bantu Presiden untuk bidang melebar luaskan pengaruh PAS kepada bukan Melayu, bukan PAS dan NGO.

"Kepimpinan ulamak tetap dipertegaskan, bukan macam Umno yang letak Ulamak dalam bentuk biro.Dalam PAS ulamak adalah satu majlis syura dan ada dewan yang akan mengawal dasar parti," katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Hadi turut menyifatkan kepimpinan yang baru ini sebagai kabinet pilihan raya.

Mengulas lanjut, beliau yakin kepimpinan baru ini mampu membawa PAS lebih diterima masyarakat sekaligus relevan menggantikan Umno.

"Ahli-ahli memilih saf hadapan untuk pilihan raya. Sebab itu kabinet saya kali ini kabinet pilihan raya," katanya.

harakahdaily.net

Thursday, June 2, 2011

Pemilihan PAS: Ribut dalam cawan, tapi jangan air tertumpah!

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN


Pemilihan kepemimpinan PAS kali ini, terutama di peringkat timbalan dan naib-naib presiden, mendapat perhatian agak luar biasa apabila ramai tokoh-tokoh besar bertanding. Bukan sahaja ahli parti dan penyokong Pakatan Rakyat memberi tumpuan dengan penuh minat, malah pihak luar juga lebih tertarik untuk mendekati parti Islam itu. Profil kepemimpinan PAS diteropong, manakala pelbagai analisis dan ramalan dilontarkan.

Perkembangan ini sudah dijangka memandangkan peranan dan kedudukan PAS dalam lanskap politik negara semakin penting, tambahan pula pilihan raya paling kritikal dalam sejarah, bakal diadakan bila-bila masa sahaja.

Apa juga "perubahan" dalam mana-mana komponen Pakatan sudah tentu memberi kesan dan impak kepada barisan oposisi keseluruhannya dalam persiapan berdepan PRU13. Lebih-lebih lagi sokongan pengundi Melayu menjadi rebutan sengit Pakatan dan BN, yang mana PAS dilihat paling banyak bertanding di kerusi majoriti Melayu. Trend pengundian orang Melayu akan diperhatikan secara cermat kerana ia bakal menentukan siapa yang menguasai Putrajaya nanti.

Suasana tambah dramatik apabila di saat-saat akhir menjelang muktamar, semakin ramai tokoh yang bersedia menerima pencalonan. Beberapa calon popular yang sebelum ini mengumumkan tidak akan bertanding, namun berdasarkan situasi mutakhir, termasuk faktor jumlah pencalonan dan pergolakan semasa politik tanahair, telah menimbangkan semula pendirian mereka.

Dalam tempoh singkat, iaitu lebih kurang seminggu sebelum hari pengundian, mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana bentuk "kempen" yang dijalankan di kalangan perwakilan. Sebenarnya, tanpa perlu menguatkuasakan "pantang-larang" atau etika "berkempen", proses pertandingan dalam PAS dianggap tidak lebih daripada "ribut dalam cawan". "Kempen" dan "lobi" merupakan satu istilah yang kerap dipandang secara negatif dalam PAS.

"Cuma, jangan sampai air dalam cawan tertumpah keluar," kata seorang rakan.

"Apakah perwakilan dari seluruh negara dapat mengenali sepenuhnya misi dan visi calon-calon yang menawarkan khidmat?" tanya seorang pemerhati kepada saya. "Sepatutnya Harakah perlu memberi ruang seadanya buat semua calon timbalan dan naib-naib presiden, agar dapat membantu perwakilan membuat pilihan," cadang seorang pembaca. "Jangan terlalu takut atau memandang hanya sudut negatif pada kempen," tambahnya.

Mungkin terdapat ulasan yang tersasar atau agak keras nadanya terhadap kepemimpinan parti, khususnya dalam media baru. Pastinya bermacam-macam cerita (yang sebahagiannya sukar dipastikan kebenarannya) akan didendangkan sekarang. Namun bagi saya, ia tidak sepatutnya merunsingkan ahli-ahli dan juga pemimpin PAS.

Dari sudut positif, selain perlu bersikap terbuka dan berlapang dada, segala kritikan itu terselit harapan besar dan ini juga secocok dengan kempen seluruh negara, "PAS Ganti Umno". Sebagai parti yang kian berkembang, dan didokong aspirasi pelbagai lapisan rakyat, maka pandangan dan teguran itu harus diolah dengan bijaksana. PAS dan juga Pakatan Rakyat sudah menjadi pentakrif penting fenomena politik Malaysia.

Saya akui kita ketandusan penganalisis politik yang dapat memberikan komentar secara adil terhadap realiti PAS masa kini, baik daripada para wartawan mahupun pensyarah di universiti. Malah, selepas era kepemimpinan ulamak 1982, saya sendiri sukar untuk menamakan seorang tokoh akademik yang benar-benar berupaya mendalami perkembangan PAS.

Hinggakan rakan-rakan wartawan agak buntu untuk mencari "pakar tentang PAS", bagi mengulas dengan baik dan seimbang "pergolakan" yang berlaku menjelang muktamar awal Jun nanti.

Muktamar ini juga tidak seharusnya memesongkan fokus utama aktivis parti daripada mengangkat agenda besar dalam sidang perbahasan. Dalam keadaan ramai yang beranggapan ia muktamar terakhir sebelum PRU13, peluang harus dimanfaatkan sebaik-baiknya terutama ketika masyarakat memberikan tumpuan istimewa terhadap potensi dan kekuatan PAS.


"Elok jika ucapan dasar Presiden PAS dapat memandu perwakilan membincangkan, antara lain, isu-isu mengenai keupayaan PAS untuk menggantikan Umno sebagai teras kerajaan alternatif nanti. Orang Melayu sudah muak dan jelak dengan Umno, tetapi dalam masa sama sebahagian mereka masih ragu-ragu dengan kemampuan PAS untuk mempertahankan kepentingan Melayu," kata seorang pensyarah politik.

"Jangan pandang remeh pengaruh alat propaganda Umno, termasuk Utusan Malaysia dan Biro Tata Negara, yang menabur fitnah dan tohmah terhadap PAS. PAS mesti berani dan lantang membicarakan isu-isu Melayu tetapi bukan dengan wajah perkauman. Memang ia nampak sulit untuk diaplikasi tetapi harus diusahakan dengan cermat atas dasar keadilan Islam. Psikologi Melayu yang mudah merasa terancam mesti ditangani dengan bijaksana. Terus-terang saya katakan, sehingga kini, walaupun selepas pemimpinnya lebih kerap bercakap soal keperluan menarik undi orang Melayu, tetapi imej PAS tidak banyak berubah," tambahnya.

"Bagi saya, masyarakat Melayu mungkin lebih sensitif memerhatikan kedudukan dan pengaruh PAS dalam kerajaan Pakatan Selangor dan Pulau Pinang, berbanding penguasaan PAS di Kedah dan Kelantan sendiri," ujar beliau sambil bersetuju dengan pandangan awal saya bahawa PAS merupakan parti paling kritikal tetapi cukup penting untuk diberi perhatian dalam PRU13.

mindalutfi.blogspot.com
IKHWAN MUSLIMIN DAN POLITIK BARU MESIR
OLEH:DR.SYED AZMAN SYED AHMAD


MINGGU ini saya berada di Kaherah bagi memenuhi
jemputan menghadiri perasmian Markas
Al-Am Ikhwan Muslimin atau ibu pejabat Pusat
Ikhwan Muslimin. Bangunan tujuh tingkat yang
indah serta berdiri gah di tengah-tengah kota
Kaherah itu melambangkan kebangkitan semula
gerakan Islam yang tertua ini telah kembali ke
persada politik perdana Mesir selepas kejatuhan
rejim Hosni Mubarak.

Ya, memang sesuatu yang tidak pernah di
impikan walaupun 6 bulan lalu apabila saya
dapat hadir secara bebas serta tanpa sebarang
gangguan dari pihak keselamatan Mesir yang
terkenal ganas dan tidak berperikemanusiaan.
Apatah lagi menjadi tetamu kepada Ikhwan
Muslimin, pertubuhan yang 6 bulan lalu dianggap
sebagai ‘pertubuhan haram’ dan menjadi ancaman
bahaya kepada rejim Mubarak. Begitu juga
dengan ribuan ahli serta penyokong Ikhwan yang
berpusu-pusu hadir dengan membawa bendera
hijau berlambangkan dua pedang berserta slogan
‘bersiap segeralah’ yang menjadi ikrar perjuangan
Ikhwan Muslimin sejak sekian lama.

Selain dari Murshid Ikhwan Dr Mohamed
Al-Badae’, ramai lagi pimpinan Ikhwan yang turut
hadir di majlis tersebut. Ustaz Mehdi Akif, Saiful
Islam al-Banna, Dr Mohd Ezzat serta Dr Kamal
Helbawy turut juga merayakan suasana politik
baru Mesir ini.

Bayangkan! Kalau 6 bulan lalu tidak mungkin
rakyat berani menyebut nama Ikhwan Muslimin
secara terbuka. Apatah lagi hadir di majlis-majlis
yang dianjurkan oleh mereka. Kini selepas kejatuhan
rejim Mubarak suasana politik baru ini amat
terasa di seluruh Mesir.

Sesungguhnya nama Ikhwan Muslimin amat
sinonim dengan pemimpin-pemimpin agung
seperti Hassan Al Banna, Syed Qutb, Abdul Qadir
Audah serta pimpinan yang lain. Ia mempunyai
sejarah serta pengaruh yang amat besar di bumi
Mesir serta rantau Arab secara keseluruhannya.
Sejak ia ditubuhkan oleh Hassan Al Banna
pada tahun 1927 ikhwan telah berkembang di
seluruh pelusuk dunia dengan pemikiran tajdid
atau perubahan terutamanya selepas kejatuhan
kerajaan Islam Othmaniah. Pemikiran serta pengaruh
yang dibawa oleh Hassan Al Banna telah
menggerakkan satu cetusan kebangkitan baru di
kalangan masyarakat Arab di rantau tersebut.
Namun kisah kezaliman, penyeksaan dan
penderitaan yang amat perit bukan hanya ditanggung
Hassan Al-Banna tetapi seluruh generasi
Ikhwan. Ianya penuh dengan air mata, penjara,
darah, tali gantung, pengharaman dan pembunuhan
kejam. Ramai pimpinan mereka yang
dibunuh termasuk pengasasnya Hasan Al Banna
dan Syed Qutb ada yang sebahagian yang dikenakan
hukuman penjara serta dibuang negara
ke serata dunia.

Namun kini dengan suasana politik baru di
seluruh Mesir,ruang kebebasan bersuara semakin
terserlah.Seluruh rakyat kini telah hilang rasa ‘takut’
mereka dan dapat menyuarakan pandangan
mereka secara bebas dan kritis tanpa sebarang
ancaman atau ugutan serta ditangkap oleh pihak
keselamatan Mesir. Media massa perdana serta
para wartawan akhbar utama Mesir juga bertambah
bebas dan tidak lagi hanya bekerja dengan
menjadi alat propaganda rejim Mubarak.

Ikhwan Muslimin juga sedang memanfaatkan
ruang kebebasan ini dengan mengatur persiapan
bagi menghadapi pilihan raya Presiden dan
dijangka akan bertanding sekurang-kurangnya 50
peratus kerusi Parlimen pada September ini. Mereka
telah mendaftarkan sebuah parti baru, iaitu
‘Al-Hurriyat Wal Adalah’ (Parti Kebebasan dan
Keadilan) untuk turut terlibat secara demokratik
dalam pilihan raya Mesir.Perkembangan tersebut
sejajar dengan nafas dan udara kebebasan yang
dapat dirasakan dengan baik di seluruh Mesir
kini, setelah rakyat berjaya menumbangkan
rejim Mubarak dengan revolusi rakyat 25 Februari
lalu.

Kini Ikhwan Muslimin bawah pimpinanDr.
Mohamed Al-Badieítelah mengambil pendekatan
politik yang bersifat ‘engagement’ atau berdailog
dan bergerak aktif secara terbuka di serata Mesir.
Pendekatan ini telah membuahkan hasil yang
amat positif. Mereka terlibat secara langsung
dalam proses pembinaan semula politik Mesir
selepas kejatuhan rejim Mubarak. Mereka turut
sama terlibat dalam melakar semula perlembagaan
Mesir yang menjurus kepada sistem demokrasi
dan pilihan raya yang adil dan bersih. Pendekatan
baru ini telah meletakkan mereka menjadi parti
yang amat disegani di seluruh Mesir.

Saya meninggalkan koto Kaherah dengan
penuh kenangan yang pilu tetapi menggembirakan.
Apa tidaknya. Apabila saya berpeluang
bertemu kembali pimpinan Ikhwan yang dipenjara
selama 20 hingga 30 tahun, ada yang
di buang negeri dan tidak dibenarkan memijak
bumi Mesir lebih 30 tahun. Mereka kini mereka
kembali bertemu dengan penuh kegembiraan
walaupun dengan bertongkat dan berkerusi roda
merayakan sejarah politik baru Mesir selepas
kejatuhan rejim yang zalim dan kejam.Politik
baru yang akan merubah segala-galanya bukan
sahaja di Mesir tetapi seluruh Dunia Islam bagi
meleraikan penguasaan dan hegemoni Kuasa
Besar Barat khususnya Amerika Syarikat, Britain
dan sekutu mereka.

HARAKAH,BIL.1643,27-29 MEI,2011.