ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Friday, September 23, 2011

Simpanan tunai Selangor RM1.1b, rekod 28 tahun
Harakahdaily

SHAH ALAM, 23 Sept: Dalam tempoh enam bulan tahun ini, Kerajaan Negeri Selangor berupaya menambah simpanan tunai sebanyak RM200 juta, menjadikannya RM1,100 juta.

“Jumlah ini merupakan rekod kewangan paling baik negeri bertuah ini dalam tempoh 28 tahun,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Santapan Malam anjuran Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam tadi.

Selain Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurutnya, pada akhir tahun lepas, simpanan tunai Kerajaan Negeri Selangor berjumlah sebanyak RM918 juta.

Secara keseluruhan, katanya, kejayaan Selangor memperkasa pembangunan dan melestarikan kemajuannya adalah dengan restu, nasihat dan sokongan penuh Tuanku Sultan terhadap kerajaan negeri sekarang yang mengamalkan tadbir urus yang telus, bertanggungjawab, berhemah dan berhemat.

Katanya, Negeri Selangor juga telah menunjukkan peningkatan yang begitu ketara di dalam jumlah pelaburan dalam negeri.

Jelasnya, semenjak 2008 hingga Jun 2011, Selangor telah berjaya menarik pelaburan berjumlah lebih RM35,000 juta.

Ini bermakna, ujarnya Kerajaan Negeri Selangor sekarang bukan sahaja berjaya meningkatkan hasil negeri tetapi juga berjaya melaksanakan pengurusan kewangan dengan cekap dan berkesan.

“Walhal pada awalnya adalah menjadi kekhuatiran yang teramat sangat dalam diri patik selaku peneraju Kerajaan Negeri yang baharu untuk memikul amanah majoriti rakyat majmuk di negeri Selangor yang inginkan pembaharuan dalam erti kata hasil mahsul negeri dinikmati secara adil dan saksama dalam kalangan rakyat majmuk di negeri ini,” ujarnya.

Beliau menambah, demi kemaslahatan negeri dan rakyat negeri ini seluruhnya pula, Kerajaan Selangor sekarang melaksanakan dasar “Merakyatkan Ekonomi Selangor” yang mengandungi pelbagai program kebajikan bagi membantu rakyat majmuk pelbagai peringkat agar dapat sama-sama menikmati hasil pembangunan dan kemajuan negeri ini.

Menurutnya, melalui dasar itu, beliauk dan barisan kepemimpinan di peringkat negeri, daerah, mukim dan kampung bersependapat bahawa hasil bumi negeri Selangor ini adalah milik rakyat Sultan Selangor.

Oleh itu, katanya limpahan daripada hasil pembangunan dan kemajuan negeri ini sewajarnya dikembalikan kepada seluruh rakyat negeri Selangor supaya sama-sama menikmatinya.

Katanya, dengan penduduk negeri berjumlah 5.3 juta orang yang terdiri daripada Melayu sekitar 49 peratus; Cina sekitar 29 peratus, India sekitar 16 peratus, dan keturunan lain sekitar 6 peratus, mereka tanpa mengira kelainan bahasa, agama, latar belakang pendidikan dan kecondongan politik, adalah layak menerima bantuan menurut program dan skim yang ditawarkan oleh kerajaan negeri sejak Jun 2008, sejajar dengan misi menjadikan Selangor sebuah negeri idaman, maju dan berkebajikan.

Beliau berkata, sejak dasar itu diperkenalkan 100 hari selepas menerajui pentadbiran Negeri Selangor hinggalah Jun 2011; sejumlah RM500 juta telah disalurkan terus kepada rakyat Selangor.

Selain itu, katanya Skim Air Percuma 20 meter padu berjumlah melebihi RM387 juta, Skim Tabung Warisan (RM1.8 juta), Hadiah Anak Masuk Universiti (RM19 juta), Skim Usia Emas dan OKU (RM49 juta) dan Skim Mikro Kredit Luar Bandar dan Kemiskinan Bandar yang kini melebihi RM2 juta dan berbagai-bagai bantuan kemasyarakatan yang akan diberikan secara berterusan.

Dalam bidang pelaburan pula, beliau bersyukur kerana negeri Selangor terus didatangi oleh para pelabur dari dalam dan dari luar negara.

Katanya, sejak Januari hingga 30 Jun tahun 2011 ini sahaja jumlah pelaburan negeri Selangor bernilai sebanyak RM5,200 juta iaitu 18 peratus dari keseluruhan pelaburan di dalam negara.

Beliau menambah, pelaburan tersebut terdiri dari pelaburan domestik sejumlah RM2,100 juta dan pelaburan asing berjumlah RM3,100 juta.

“Ini bermakna Selangor berada di tempat teratas dalam keseluruhan pelaburan di dalam negara,” katanya.

Menurutnya, dari jumlah RM5,200 juta pelaburan tersebut terdapat sebanyak 135 projek yang terdiri dari 89 projek baharu dan selebihnya 46 projek sedia ada.

“Hal ini menjadikan Selangor jauh meninggalkan negeri-negeri lain yang kebanyakannya mempunyai tidak lebih dari 50 projek,” katanya lagi.

Jelasnya, melalui pelaburan RM5,200 juta di atas Selangor telah berjaya membuka ruang pekerjaan sebanyak 10,000 pekerjaan yang kebanyakannya di dalam bidang elektronik dan elektrikal produk.

“Selangor berbangga menjadi penyumbang terbesar cukai dalam negara iaitu sebanyak 21 peratus pada 2010 dan kita menjangkakan jumlah yang sama dapat kita unjurkan pada tahun ini jika tidak jumlah yang lebih besar,” katanya.

Rakyat Selangor juga, kata beliau menikmati hasil dari pengurusan hasil pasir yang kini dijalankan secara tersusun kerajaan negeri melalui anak syarikat kerajaan negeri; Kumpulan Semesta Sdn Bhd di mana peningkatan hasil pasir amat ketara sekali.

Katanya, pada tahun 2007, kutipan royalti hasil pasir hanya RM4 juta, 2009 sejumlah RM 5 juta dan pada 2010 melonjak kepada RM11 juta.

Menurutnya lagi, manakala pada tahun ini setakat bulan Jun telah mencapai kepada RM12 juta.

“Sejak ditubuhkan hingga setakat Jun 2011, Kumpulan Semesta telah berjaya mengumpul keuntungan berjumlah hampir RM50 juta,” katanya.

harakahdaily,
23.9.2011




Jangan halang Pas: Nik Aziz

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan parti itu tetap berhasrat menubuhkan negara Islam, termasuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan walaupun ditentang DAP.

Menurutnya, sejak penubuhannya, Pas nekad menegakkan syiar Islam, malah di Kelantan parti itu sentiasa berusaha menjadikan Islam sebagai asas kehidupan.

“Kalau tidak mahu buat negara Islam, kita buat bumi sendiri, jangan menumpang bumi ALLAH (SWT), buat udara sendiri jangan menumpang udara ALLAH, buat matahari sendiri jangan menumpang matahari ALLAH, selagi kita menumpang di bumi ALLAH, maka agama yang ALLAH rasmikan ialah Islam,” katanya kepada media selepas Himpunan Kursus Peserta Kenegaraan 2011 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan, semalam.

Sebuah akhbar semalam mela­por­kan kenyataan Pengerusi DAP, Kar­pal Singh yang sekali lagi mempersoal kewajaran Nik Aziz mahu melak­sa­nakan hudud yang menurutnya melang­gar perlembagaan.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong perlaksanaan hudud dihasratkan kerajaan Kelantan.

Bagaimanapun, katanya Pakatan Rakyat tidak pernah membincangkan perkara tersebut dan ia adalah pandangan peribadi beliau.

“Secara dasar, saya percaya ini boleh dilaksanakan,” katanya.

Anwar berkata, rancangan Kelantan mahu memperkenalkan undang-undang hudud adalah spesifik dan ia meliputi dua aspek penting iaitu pentadbiran yang adil kepada undang-undang Islam dan memastikan hak bukan Islam dilindungi.

Kelmarin Nik Aziz menegaskan Kerajaan Kelantan bersedia melaksanakan hukum hudud walaupun bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin menyatakan keadaan masih belum kondusif selain kuasa Kerajaan Negeri yang terhad.

Pada masa sama, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Nik Aziz memperkenalkan hukum hudud di negeri itu sekarang memandangkan beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Nik Aziz berkata, walaupun DAP menolak hasrat penubuhan negara Islam, beliau tetap menggunakan pendekatan berhemah agar pemimpinnya dapat memahami apa yang diperjuangkan Pas selama ini.

“Saya tidak akan gunakan perkataan berkeras, saya guna berdialog, apa tidak kena dengan Islam?," katanya.

Sebelum ini, DAP dah keluar sekali masa APU (Angkatan Perpaduan Ummah), dia dah keluar sekali, tidak apa saya kata, ‘bye bye’ tidak ada apa, sekarang ni dia masuk balik,” katanya.

Ditanya adakah Pas sedia sekiranya DAP akan bertindak keluar dari Pakatan Rakyat, Nik Aziz berkata: “Itu dia punya pasal”.

sinarharian,
23.9.2011
Mat Indera tidak bunuh orang Melayu’

KUALA ROMPIN - Meskipun Muhammad Indera atau lebih dikenali sebagai Mat Indera dikatakan berfahaman komunis, namun lelaki berpendidikan agama itu, tidak mahu membunuh masyarakat Melayu.

Demikian pengakuan bekas Konstabel Polis Khas (SC), Atan Awang, 84, menyifatkan Mat Indera sebagai warak dan berpendidikan agama.

Menurut Atan, dia pernah berkawan dengan rakan Mat Indera ketika bertugas di Segamat, Johor.

“Rakannya memberitahu Mat Indera tidak pernah membunuh orang Melayu, meskipun dia berfahaman komunis,” katanya kepada Sinar Harian.

Atan berkata, Mat Indera adalah orang kanan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

“Saya percaya Mat Indera bukanlah pembunuh orang Melayu dan dia bukan untuk dijulang dan diangkat sebagai hero atau dijadikan kempen politik oleh pihak tertentu berkepentingan,” katanya.

Menurutnya, semasa dia bertugas di Segamat, Mat Indera ketika itu di Muar, Johor sememangnya mempunyai kelebihan luar biasa.

“Sejarah tetap sejarah dan ia tidak boleh diubah dan kita tak perlu mengiktiraf Mat Indera sebagai pahlawan mahupun pemberontak negara kerana dia sudah tiada lagi di dunia ini,” katanya.

Atan meminta semua pihak tidak membangkitkan isu Mat Indera kerana ia menyebabkan ahli keluarga Allahyarham tertekan dengan pelbagai isu yang cuba dikaitkan dengannya.

“Saya percaya Mat Indera tidak sanggup melihat nyawa bangsanya rebah di tangannya sendiri,” katanya.

sinarharian,
23.9.2011