ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Friday, December 23, 2011

MUNGKINKAH?

Mungkinkah Hassan Ali akan menyertai UMNO? Tuan-tuan jawablah sendiri.
Hassan dan Nashar sudah mulai memburuk-burukkan Parti Islam, parti yang mereka sertai sejak bertahun yang lalu.

Alkundangi.

Saturday, November 19, 2011



Hasan Ali Yang Saya Kenal

Apakah prinsip 5 cinta yang bilangkali dijeritkan oleh Hassan Ali dihadapan penuntut yang membayar ratusan ringgit setiap orang untuk menghadiri "Summer Camp"nya seiring dengan semangat dan perjuangan beliau sendiri? Jawapan saya. Saya kurang yakin!!!



Terus kepada kepada fakta. Tiada bunga bahasa kerana itu lebih sesuai dititipkan buat manusia yang hadirnya tidak menambah, hilangnya tiada yang susut.

Pernah saya titipkan dalam lelaman saya - kerajaanrakyat.com yang telah digodam, Dr Hassan Ali, yang sekarang ini adalah seorang EXCO Kerajaan Negeri Selangor pernah dibayar lebih RM12,000 hanya untuk berceramah kurang daripada 2 jam di Mersing, Johor. Ini berlaku sekitar tahun 1994!!!. Nah, tu dia bayar lebih RM12,000 untuk berceramah tidak sampai 2 jam. Perbelanjaan ini tidak termasuk kos pengangkutan, penginapan dan makan minum yang semuanya dibiayai oleh pihak penganjur. Ceramah apa? Ceramah agama..!!!!

Saya bersama ayahanda saya (Allahyarham) dan beberapa rakan termasuk Abdul Latiff Ahmad (Datuk, Timbalan Menteri) terlibat secara langsung dalam program ini dan melihat bagaimana ilmu agama diperdagangkan!!!! Oleh siapa?. Oleh orang yang mendakwa dirinya seorang tokoh perjuang anak bangsa. Oleh seorang yang mendakwa dirinya telah mendisplinkan ribuan manusia melalui "Summer Camp"nya.

Tidak dinafikan kesinoniman manusia bernama Hassan Ali dengan "Summer Camp"nya di Hulu Langat. Ceramahnya gah dengan selinggan bahasa 'mat saleh'. Malahan bahasa 'mat saleh' lebih kerap tersembur daripada mulutnya jika dibandingkan dengan Nas Al Quran atau hadith Nabi.

Saya sempat berjumpa Dr. Hassan di Hulu Langat sebulan selepas kemenangannya dalam pru-12 lalu. Ceritanya (jika off politik}, tiada kisah lain selain WANG. WANG. WANG..!!! Itulah manusia Hassan Ali yang saya kenal.

Hati kecil ini selalu bermonolog, "Apakah sebenarnya tujuan Hassan Ali sertai PAS? Apakah ini landasan mudah untuk berniaga dakwah? Dakwah pun diperniagakan?"


kerajaanrakyat.blogspot.com

Sekarang ini musuh saya bukan lagi Azmin. Musuh saya ialah Anwar



Mantan Timbalan Presiden KEADILAN Syed Husin Ali menceritakan pengalaman politiknya menerusi bukunya “Memoir Perjuangan Politik” menceritakan babak-babak yang menyaksikan bekas ketua pemuda parti itu, Ezam Mohd Noor berpaling tadah.
Dalam bab yang dinamakannya, ‘Alasan Ezam keluar parti’ – ahli politik veteran itu berkata, Ezam pernah memberitahunya sebulan sebelum meletakkan jawatan bahawa beliau kesempitan wang dan malu kerana terpaksa bergantung kepada pendapatan isterinya.
“Doktor, sekarang ini saya tiada pekerjaan dan tidak ada sumber pendapatan. Pendapatan saya sebanyak US$3,000 sebulan di Indonesia sebagai pengarah sudah terhenti sejak syarikat itu tutup.”

“Sekarang saya terpaksa bergantung hanya kepada pendapatan isteri saja. Malulah, walaupun gajinya besar juga, kira-kira RM8,000. Saya kena cari peluang untuk mendapatkan satu dua jawatan pengarah. Ini boleh hanya jika ada bukti saya sudah meninggalkan parti,” tulisnya dalam buku itu.

Menurut Syed Husin pendedahan itu dibuat oleh Ezam selepas beliau meminta penjelasan berhubung khabar angin bahawa Ketua Angkatan Muda KEADILAN itu telah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada setiausaha KEADILAN Selangor.
“Doktor. Saya berhenti. Sekarang ini musuh saya bukan lagi Azmin. Musuh saya ialah Anwar. Percayalah saya akan melakukan apa saja untuk memusnahkannya,” Ezam didakwa berkata.

Menceritakan reaksinya, Syed Husin berkata beliau tertanya-tanya jika Ezam yang sekarang ini telah dilantik sebagai senator oleh BN sudah berjaya “dibeli oleh pemimpin Umno”.

“Aku teringatkan surat daripada Hishammuddin Rais semasa beliau dalam tahanan dulu.
“Aku terperanjat besar. Aku masih tidak faham mengapa Ezam begitu berterus terang sekali,” tulis Syed Husin lagi.

Bagi pemimpin veteran itu, tindakan Ezam cukup mengecewakannya.
“Aku beranggapan beliau mempunyai potensi untuk memainkan peranan penting dalam parti. Bahkan terlintas juga dalam dalam fikiranku bahawa mungkin beliau boleh dipromosikan untuk menjadi salah seorang calon timbalan presiden pada masa akan datang,” katanya.

kerajaanrakyat.blogspot.com
Kontradiksi Najib dan Muhyiddin

(Oleh: Isham Rais)

LAPAN tuntuan Bersih masih menunggu jawapan. Satu demi satu bahan bukti tentang penyelewengan dipaparkan kepada umum. Satu demi satu penipuan dibuktikan kepada khalayak umum. Semua ini adalah hasil politik jalan raya. Inilah buktinya bahawa politik jalan raya berjaya membawa perubahan. Tunjuk perasaan 9 Julai 2011 dahulu adalah satu dialektika yang telah mengubah lanskap politik negara kita.

Dialektika ialah hukum semula jadi alam ini. Hukum alam ini lahir dari kontradiksi. Kontradiksi ini wujud di sekeliling kita. Semua wujudiah di hadapan mata kita ini wujud dengan kontradiksi. Hanya kita kurang sedar akan kewujudan kontradiksi ini. Ini kerana kontradiksi tidak dapat dipegang atau dilihat tetapi boleh dianalisa untuk difahami. Tidak memahami kontradiksi bermakna tidak memahami bagaimana dunia dan alam ini bergerak.

Apabila dua perkara berkontradiksi/bertentangan maka akan muncul satu pekara yang baru. Pertentangan dua pekara ini pasti akan melahirkan satu yang baru. Apabila air dimasak – api berkontradiksi dengan air – maka wap akan lahir. Wap adalah pekara yang baru yang dimaksudkan itu. Apabila orang ramai turun ke jalan raya maka berlaku pertentangan antara para demonstran di jalan raya dengan elit politik yang berkuasa. Tidak dapat tidak akan lahir sesuatu yang baru.

Hukum ini lahir semenjak alam bermula. Kita sebagai makhluk yang berfikir boleh menggunakan akal dan fikrah untuk memahami hukum-hukum dan kontradiksi ini. Mengenal dialektik dan kontradiksi amat penting untuk memahami politik negara. Tanpa pemahaman kosep dan falsafah kontradiksi ini maka semua pemahaman politik akan salah. Ini sama juga seperti menganalisa politik tanpa memahami kelas.

Apa sangkut paut dialektik dan kontradiski dengan 8 tuntutan Bersih? Jawabnya – tunjuk perasaan Bersih 2.0 telah menajamkan pelbagai kontradisksi-kontradiksi kecil yang sedia wujud .

Sebelum berpanjangan biar saya terangkan di sini tentang peranan tunjuk perasaan. Adalah salah jika kita berpendapat bahawa tunjukan perasaan telah menjatuhkan Sukarno, Raja Iran, atau Mubarak di Mesir. Ini tidak betul. Tidak ada kerajaan jatuh kerana tunjukan perasaan. Ahmad Reza Pahlevi di Tehran jatuh bukan kerana tunjuk perasaan. Mubarak di Kaherah jatuh bukan kerana tunjuk perasaan. First Lady Leila Trebelsi bersama Ben Ali lari dengan 1 tan jongkong emas ke Saudi Arabia bukan kerana tunjuk perasaan.

Kalau bukan kerana tunjuk perasaan kerana apa rejim-rejim ini runtuh? Tunjuk perasaan itu hanyalah alat politik yang paling ampuh untuk melahir satu kontradiksi di kalangan elit pemerintah. Untuk memahami ini mari kita lihat apa yang terjadi sebelum, ketika dan sesudah 9 Julai yang lalu. Dengan melihat dan memahami 9 Julai, diharapkan para pembaca akan dapat memahami apa itu kontradiksi dan apa itu dailektika.

Apabila orang ramai mula turun ke jalan raya, apa yang berlalu ialah kontradiksi bertambah tajam. Ertinya berlaku pertentangan antara dua pihak – rakyat dengan United Malay National Organisation – semakin tajam. Suasana ini adalah dialektika yang baik dalam perjuangan politik.

Pada 9 Julai lalu, Najib Razak yang mewakili United Malay National Organisation kini berhadapan dengan ujian dan dugaan dari rakyat. Umum mengetahui bahawa Najib menjadi Presiden United Malay National Organisation bukan melalui pertandingan. Najib tidak pernah bertempur dalam politik. Najib menyelit-nyelit dan menyeludup ke kerusi Presiden parti. Ini di ketahui umum. Malah Najib juga dianggap seorang yang penakut. Najib takut bertempur dalam politik. Ini ditambah pula dengan riwayat Najib takut kepada bini. Dalam Malaysia ini, hanya orang mati dan bayi yang belum lahir saja yang tidak pernah mendengar Tok Perawi Politik bersurah-surah tentang Najib yang takut dengan bininya.

Justeru, tunjuk perasaan Bersih 9 Julai dahulu telah menterbaraikan kain lampin Najib. Dia bukan saja dilihat penakut malah dilihat tidak memiliki ketrampilan sebagai pemimpin. Najib telah berdolak dalik. Kalau Dolah Badawi dahulu selalu berdolak dalik dalam tidur. Ini boleh juga diampunkan kerana Dolah dianggap mengigau. Najib tidak tidur – matanya buntang berjaga. Tetapi Najib ini lebih manai dari Dolah. Orang Terengganu kata Najib ini klik klok. Orang Putih kata Najib ini flip-flop. Dalam dunia siber Najib ini dikatakan menjadi mangsa Kang Kang.

Najib yang lembik ini telah melahirkan dialektika politik yang baru di dalam United Malay National Organsiation. Kontradiksi-kontradiksi kecil di dalam parti ini menjadi besar dan bertambah tajam. Umum mengetahui tentang Muhyiddin Yassin yang memiliki cita-cita untuk duduk di kerusi Presiden parti. Ini bukan dongeng. Ini politik nyata. Politik jalan raya 9 Julai dahulu telah menajamkan lagi kontradiksi antara Najib dengan Muhyiddin.

Najib yang berdolak dalik telah menjadi bahan ketawa bukan hanya di kalangan warga Pakatan Rakyat malah penyokong Barisan Nasional juga turut sakit kepala kerana ketawa melihat Najib yang berdolak dalik. Kerana itu, sesudah 9 Julai selain dari manusia yang bernama Ambiga dan Mat Sabu – sosok yang paling gembira sekali ialah Muhyiddin Yassin. Ini kerana 9 Julai telah memperlekehkan kepimpinan Najib. Dalam congak politik Muhyiddin semuanya amat enteng. Apabila Najib lekeh maka yang unggul dan memiliki ketrampilan pastilah dirinya.

Kontradiksi di dalam United Malay National Organisation semakin meruncing. Perbalahan antara mereka sesama sendiri semakin dilihat jelas oleh umum. Najib sesudah 9 Julai kelihatan lebih terpinggir. Kontradiksi ini telah menjemput sosok-sosok yang telah diketepikan atau dinafikan projek oleh Najib menjadi berani untuk bersuara. Mereka mula berkumpul di bawah payung Muhyiddin. Semua ini tidak akan berlaku jika tidak ada politik jalan raya 9 Julai dahulu.

Malah Lebai Desas bin Haji Desus telah mula berkata bahawa ketika Najib Razak terbaring di hospital kerana sakit lutut satu delegasi dari kumpulan Yang Berhormat telah datang menemui Najib dan meminta Najib berundur. Ini hanya desas desus. Berita ini tidak ada kesahehan sehingga satu kenyataan dari Aziz Shamsuddin keluar. Sosok ini ialah bekas orang kuat dan kaki pukul Mahathir Muhamad. Aziz telah menafikan berita dari Lebai Desas bin Haji Desus. Di Malaysia ini – penafian ini telah membuktikan kesahehan berita.

Apa yang saya gambarkan di sini ialah politik jalan raya dan tunjuk perasaan telah melahirkan kontradiksi di kalangan elit politik. Lebih lama demonstrasi berlaku lebih tajam kontradiksi yang akan muncul di kalangan elit politik, elit ekonomi dan elit tentera. Apabila orang ramai semakin berani bersuara dan anak anak muda terus keluar ke jalan raya maka semua ini akan menjadi tekanan kepada elit politik. Tekanan ini menjadi kontradiski. Kontradiksi ini akan pecah apabila elit politik akan mula tuduh menuduh sesama sendiri.

Sesudah 9 Julai, kita lihat bagaimana Tengku Razaleigh, Khairy Jamaluddin dan Saifuddin Abdullah memiliki pandangan yang berbeza dari Najib. Kita juga lihat bagaimana Muhyiddin sendiri tidak berkata, apa-apa tentang Bersih. Tuduh menuduh ini semakin kalut apabila Hishamudin Hussein mengeluarkan kenyataan bahawa kuasa telah diberikan kepada pihak polis untuk menangani dengan cara polis. Hishamudin kemudian diikuti pula oleh sepupunya. Satu minggu sebelum 9 Julai kelihatan Malaysia telah menjadi negara anak bini dan sepupu.

Kontradiksi yang dibawa oleh tunjuk perasaan 9 Julai semakin tajam. Anak-anak muda dari semua bangsa telah tidak ambil pot dengan kenyataan Ketua Polis Negara. Anak-anak muda juga tidak ambil pusing dengan kenyataan sepupu Najib, Menteri Dalam Negeri. Kenyataan dari Najib sendiri memang tak ada sesipa yang ambil peduli. Hanya Rosmah Mansor sahaja yang tidak bersuara. Mungkin sang Rosmah sedang sibuk menjual nasi lemak untuk menyimpan duit agar dapat membeli sebentuk lagi cicin berlian.

Kontradiksi/pertentangan antara Najib dengan Muhyiddin ini akan terus menajam. Untuk memperkuatkan diri Najib telah cuba memperbaiki imejnya. Najib telah mencadangkan penubuhan satu Jawatan Kuasa Parlimen untuk memperbaiki sistem pilihan raya. Pada awalnya langkah Najib ini dilihat cukup positif. Tetapi seperti biasa Najib telah klik klok – berdolak dalik. Najib berkata, jawatankuasa ini tidak ada sangkut paut dengan pilihan raya yang boleh diadakan bila-bila masa sahaja. Kelihatan apa sahaja yang dilakukan oleh Najib telah membawa ‘sial’ kepada dirinya sendiri.

Najib mahu mengadakan pilihan raya secepat mungkin. Lebih lama pilihan raya ditangguhkan lebih bogel dirinya untuk dilihat lembik dan tidak berkualiti sebagai pemimpin. Lebih lama pilihan raya ditangguh akan lebih berani dan lebih tersusun pasukan anti-Najib begerak dalam United Malay National Organisation sendiri. Dengan mengadakan pilihan raya yang cepat Najib bercongak dia dapat memilih calon yang akan setia pada dirinya. Dalam masa yang sama, Najib berpeluang mengenepikan calon-calon yang berkemungkinan menyokong Muhyiddin Yassin. Ertinya ‘orang-orang Muhyiddin’ akan dibungkus timbang kati pada pilihan raya ini. Ini politik nyata.

Dalam politik seperti dalam kehidupan harian – kita boleh merancang tetapi Mahkamah di Perancis telah merancang lebih lama lagi. Kes pembelian kapal selam Scorpene akan dibuka di Paris pada bulan September ini. Ini bukan kontradiksi. Inilah Tok Tok Kai yang amat amat ditakuti Najib. Ketakutan Najib ini ialah kegembiraan untuk Muhyiddin. Kontradiksi antara Najib dan Muyiddin ini akan meletup bila-bila masa sahaja. Bila ini terjadi pasti akan lahir sesuatu yang baru.

Apakah benda baru yang akan lahir dari kontradiksi Najib/Muhyiddin ini? Apakah Najib akan diundurkan? Apakah Muhyiddin akan menjadi Presiden baru? Ketika ini saya tidak memiliki jawapan. Apa yang saya pasti ialah 8 tuntutan Bersih 2.0 tidak akan dipedulikan. Tetapi jika Najib tergelincir, saya ada satu kepastian. Yang pasti ialah Rosmah akan menjadi kurus dan slim – merana makan hati berulamkan jantung kerana bukan lagi First Lady.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=19970

Najib Mamat ‘poyo’ ingin dilihat ‘cool’


(Oleh: Isham Rais)

RAMAI politikus tidak tahu apa itu cool. Mak Cik Felda pun tak tahu apa itu cool. Malah ramai juga anak muda yang tidak tahu apa itu cool. Mereka yang tidak tahu apa itu cool tidak juga tahu apa itu skema dan apa itu poyo. Inilah masalah apabila telah menjadi poyo mereka tidak lagi cool.

Cool dan poyo adalah pengistilahan hari ini yang terkini. Cool dan poyo muncul dari lingo terkini – dari lingo anak muda. Tidak ada anak muda yang waras fikrah ingin dilihat poyo dan skema. Sayangnya bukan satu kerja enteng untuk dilihat cool. Kadang kala dalam percubaan untuk dilihat cool, ramai yang dilihat bangang. Mustahil seorang Siti Nurhaliza tahu siapa dia Holden Caulfeild atau apa itu Winnie the Pooh.

Berita terkini telah tersebar bahawa Najib sedang melanggan satu lagi syarikat iklan antarabangsa untuk memperlihatkan dirinya cool. Lawan cool ialah poyo. Ertinya Najib tidak mahu lagi dilihat sebagai Mamat Poyo. Sebenarnya tidak ada sesiapa ingin dilihat poyo. Mereka yang poyo biasanya hidup dengan tekanan jiwa yang amat sangat. Sayangnya ramai yang tidak sedar bahawa mereka itu adalah sosok poyo.

Untuk memahami pengisytilahan ini, saya akan cuba paparkan ciri-ciri cool dan apa itu poyo. Ini dengan harapan para pembaca sekalian akan memahami intipati cool dan poyo. Mungkin ada yang bertanya apakah cool dan poyo ini penting untuk difahami? Ini bukti utama: Sesiapa yang mengeluarkan soalan ini adalah seorang yang poyo.

Intipati cool dan poyo

Cool ini adalah gaya hidup. Cool juga adalah lenggok bahasa badan. Cool juga adalah fesyen pakaian. Cool juga ialah sikap terhadap kehidupan. Cool juga adalah cafe yang dilawati, rokok yang dihisap, muzik yang didengar. Cool juga adalah buku yang dibaca. Cool wajib berupaya mengikuti mazhab falsafah al- Farabi dan Michel Foucault. Cool juga ialah tenang dengan gesekan biola Hamzah Dol Mat dan alunan suara Saloma.

Kenapa agaknya Najib seorang Mamat Poyo bersedia mengeluarkan berjuta-juta ringgit untuk dilihat cool? Adalah difahamkan syarikat yang dilanggani oleh Najib Poyo ini juga bertanggungjawab menjenamakan Tony Blair yang poyo untuk dilihat cool.

Jawabnya: Najib Poyo ingin memenangi hati dan sanubari anak-anak muda. Najib Poyo ini sedar bahawa suara dan tindakan anak-anak muda ini akan mengubah lanskap dan rupa bentuk politik Malaysia baru. Berjuta-juta ringgit ini hanyalah secawan kopi jika dibandingkan dengan harta negara yang boleh dirembat.

Hari terakhir Najib Poyo

Mari kita lihat latar belakang langkah yang diambil oleh Mat Poyo ini. Umum mengetahui bahawa Najib Poyo ini sedang menghadapi hari-hari akhir. Kumpulan-kumpulan yang menentang Najib dalam United Malay National Organisation bukan sahaja telah berkumpul dalam gelap malah mereka telah mula bersuara secara terbuka.

Kumpulan ini merasa tidak senang dengan pimpinan Najib Poyo ini. Mereka ini terdiri dari Pencari Kontrek, Penjual Kontrek, Orang Tengah Yang Makan Komisen, Kontrek Jungkies – mereka merasakan Najib ini banyak berdolak dalik – kluk klek, kata orang Teranganu. Najib bercakap berbilion bilion tapi tak ada satu sen pun yang masuk ke saku mereka. Ada juga yang merasa diri mereka telah dipinggir. Ada pula yang merasa Najib bukan sahaja menutup karier politik mereka – lebih dari ini – Najib ingin membunuh mereka. Contoh terbaik ialah Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin.

Di belakang semua ini ialah Ibrahim Ali..opss maaf. Di belakang gerakan anti Najib ini ialah Mahathir Muhamad. Pasti pembaca akan bertanya – saheh ke maklumat ini? Orang yang bertanya ini adalah contoh terbaik orang yang poyo politik. Si Poyo Politik ini tidak memahami jalur dan pemikiran politik terkini. Mereka selalu meraban tak tentu hala dalam pemahaman politik.

Biar saya terangkan di sini: Mahathir melihat bahawa Najib ini tidak memiliki keterampilan pimpinan. Mengikut pandangan Mahathir ini amat bahaya. Bahaya ini akan membawa keruntuhan United Malay National Organisation – gerombolan politik yang ditubuhkan oleh Mahathir sendiri pada tahun 1988 dahulu. Keruntuhan United Malay National Organsiation ini akan membawa malapetaka yang besar terhadap para kroni dan kaum pemodal yang telah ditelurkan oleh Mahathir.

Buktinya: telah lebih dari tiga kali Mahathir secara terbuka menerangkan kepada umum bahawa ada kekeliruan terhadap dasar 1Malaysia yang dianjurkan oleh Najib Poyo. Kenyataan Mahathir ini kalau kita halusi, jelas satu kenyatan kurang ajar. Ini samalah seperti Najib menolak konsep Wawasan 2020 atau memperlekeh secara terbuka Islam Hadhari.

Yang kita dengar kenyataan Mahathir secara terbuka. Dari Haji Desas bin Lebai Desus kita juga ada mendengar bagaimana dalam perjumpaan tertutup Mahathir telah ‘menibai’ Najib seolah-olah Najib ini panddy kutty.

Jadi, Najib pada ketika ini bukan sahaja nyawa-nyawa ikan, malah sedang dikepung oleh ahli-ahli parti United Malay National Organisation sendiri. Perangkap-perangkap sedang dipasang untuk menjerut leher Najib. Bila-bila masa perangkap ini akan bingkas menjerut Najib.

Raih sokongan pengundi muda

Tok Kipas dan Tok Bodek yang mengelilingi Najib menyedari kebencian orang ramai terhadap si Poyo ini. Najib Poyo melihat anak-anak muda akan dapat menyelamatkan dirinya. Najib Poyo telah diberitahu bahawa ramai pengundi baru – anak-anak muda – kelihatan berkiblat kepada Pakatan Rakyat. Anak-anak muda melihat Pakatan Rakyat sebagai pentabiran yang boleh diyakini. Justeru Najib Poyo memerlukan jenama yang baru. Najib yang poyo mahu dilihat cool oleh pengundi muda.

Maka Najib Poyo atas nasihat Zionis Apco secara berahsia dari Kabinetnya telah merancang untuk mengeluarkan kenyataan bahawa Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) akan dimansuhkan. Sila baca sekali lagi. Akan dimansuhkan. Kunci perkataan di sini ialah AKAN. ISA hanya AKAN dimansuhkan jika Najib dapat terus berkuasa.

Kenapa ISA tidak undang-undang lain? Ini kerana menentang ISA adalah trend anak-anak muda yang cool hari ini. Anak-anak muda yang mula mendampingi aktiviti NGO atau politik tidak dapat tidak akan menentang ISA. Menentang ISA adalah langkah yang paling cool.

Muka cool atau penipu?

Najib Poyo mahu anak-anak muda melihat dirinya demokratik. Najib ke pesta futsal. Najib ke konsert rock. Najib ke stesen radio. Niat untuk dilihat cool ini bukan satu kesalahan jenayah tetapi untuk Najib diterima sebagai warga cool adalah mustahil.

Lihat sahaja muka Najib. Apakah muka ini cool atau muka penipu? Dalam budaya cool, gerak dan bahasa badan cukup penting. Najib tidak memiliki gerak badan yang cool. Ini kerana Najib seperti ramai politikus – berperut gendut. Perut gendut ini dihodohkan lagi dengan kepala yang botak.

Najib yang botak adalah imej yang paling tidak cool. Botak bukan anti-cool kerana ahli falsafah yang terunggul di Paris, Michel Foucault juga botak. Micheal Foucault dilihat cool dengan botaknya. Ini kerana Foucault seorang pemikir, maka rambutnya gugur walhal Najib kaki kelentong dan tidak pernah mengeluarkan idea dan pandangan. Jauh sekali menulis sebuah buku. Cool bukan anti yang botak. Yul Brynner juga botak tapi dilihat cool sebagai pemimpin kaum Gipsi. Najib botak kerana dia poyo.

Najib Poyo bekerja keras untuk dilihat cool. Mamat Poyo ini ada facebook, ada tweeter, ada laman – sayangnya Mamat Poyo ini masih lagi dilihat poyo dan skema. Di sini Zionis Apco dan syarikat iklan yang dilanggan Najib kantoi. Meraka boleh berusaha tetapi mereka akan gagal. Kenapa gagal?

Di Malaysia seperti di Paris, London dan Carlifornia pada tahun 60’an dahulu – untuk dilihat cool wajib berambut panjang. Tidak cukup hanya dengan berambut panjang dan menghisap ganja tetapi wajib ke jalan raya menentang Perang Vietnam. Lihat kota Paris tahun 1968 – ini adalah era yang diangap cool hingga ke hari ini - bukan sahaja di Paris malah di seluruh Eropah. Anak muda dilihat cool jika mereka menentang kerajaan. Anak muda akan dilihat cool jika mereka berdemo di jalan raya.

Najib Poyo sepanjang hidupnya tidak pernah turun ke jalan raya berdemo. Najib Poyo sepanjang hidupnya tidak pernah bertempur dengan FRU. Fakta ini pasti tidak disedari oleh Zionis Apco dan syarikat iklan antarabangsa ini. Mereka berjaya melahirkan imej cool pada Tony Blair kerana Blair memiliki asas untuk dilihat cool - ketika di universiti, Tony Blair berambut panjang, menghisap ganja dan turun berdemo.

Lihat pula Presiden Sarkozy di Peranchis. Sarkozy ini sebenarnya seorang yang poyo tetapi Nicolas Sarkozy ini bijak. Dia merancang masa depan politiknya. Nicolas Sarkozy menceraikan isteri pertamanya untuk memerangkap Carla Bruni – seorang pelakon, penyanyi, model yang berhaluan kiri.

Najib yang poyo juga merancang masa depan politiknya. Najib menceraikan isteri pertamanya dari keluarga bangsawan yang cun, langsing, untuk berkahwin dengan Mak Janda yang gemuk, pendek dan gedebab. Kalau ini bukan Mamat Poyo, maka matahari tidak akan terbit dari sebelah Timur.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=20791
Tamadun Melayu dan PPSMI

(Oleh: Dr Anwar Ridhwan)

TERAS-teras jati diri kebangsaan Malaysia berpaksi kepada bahasa Melayu dan agama Islam (tanpa menafikan hak serta kepentingan bahasa dan kepercayaan lain).

Di dalam Perlembagaan Persekutuan, antara perkara yang disebut ialah Perkara 32(1) yang memaktubkan kedudukan Raja-raja Melayu; Perkara 152(1) tentang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi; dan Perkara 3(10) mengenai Islam sebagai agama Persekutuan.

Berhubung perkara yang menyentuh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, mereka yang berjiwa Melayu dan rakyat Malaysia yang terbuka minda untuk bergerak ke hadapan bersama-sama jati diri kebangsaannya, pastilah ingin melihat bahasa kebangsaan itu diperkasakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, termasuk sebagai bahasa ilmu pengetahuan.

Golongan yang tidak yakin bahawa bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu tinggi, lebih disebabkan kelemahan mereka menguasai bahasa Melayu, bukan kerana kelemahan bahasa Melayu. Dan semua pejuang bahasa kebangsaan bukanlah golongan fanatik, berpandangan jumud atau berusaha mengundurkan bangsanya ke belakang.

Pejuang-pejuang bahasa selalu memetik kebijakan Hang Tuah yang menguasai 12 bahasa, sebagai suatu unjuran profetik ‘pujangga penulis’ karya agung itu bahawa setiap bangsa akan menjadi lebih maju jika dapat menguasai lebih daripada satu bahasa. Akan tetapi walaupun menguasai pelbagai bahasa, setiap bangsa harus meletakkan bahasa kebangsaannya dimercunya yang tinggi, atau seperti sepotong puisi Sasterawan Negara Usman Awang, “manakan sama bahasa bunda.”

Jika menurut tiga kriteria yang dikenalpasti oleh Charles Ferguson, sesungguhnya bahasa Melayu sudah dianggap sebagai ‘bahasa maju.’

Tiga kriteria Charles Ferguson itu ialah (a) bahasa itu sudah mempunyai sistem tulisan. Dalam hubungan ini bahasa Melayu telah mempunyai sistem tulisannya sendiri – sama ada dalam jawi atau pun rumi; (b) Bahasa itu sudah mempunyai suatu ragam atau bentuk yang mengatasi segala dialek bahasa itu. Bahasa Melayu jelas mengatasi segala dialek, kerana di Malaysia dialek tidak mempunyai penerbitan bakunya; dan (c) Bahasa itu sudah mampu digunakan sebagai alat untuk mengungkapkan ilmu dan pemikiran moden.

Ini jelas terbukti dengan penerbitan pelbagai buku dalam bidang dan subbidang ilmu pengetahuan dalam bahasa Melayu, sejak kurun ke-12 Masihi lagi, dan memasuki era ‘moden’nya sejak sebelum merdeka lagi hingga memuncak mutakhir ini.

Tradisi ilmu dalam bahasa Melayu telah berkembang, termasuk di IPTA, umpamanya di UKM sejak awal tahun 1970-an. Tokoh ilmuwan Selangor 2011, Dr Shahril Mohamad Zain (mantan profesor fizik dan matematik di UKM) pernah membentangkan fakta bahawa UKM telah menghasilkan lebih 450 tesis PhD dan lebih 2,000 tesis Sarjana (MA & M.Sc.) dalam bidang sains dan pelbagai bidang lain, yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Ini membuktikan bahawa bahasa Melayu boleh menjadi bahasa pengantar untuk pelbagai bidang ilmu pengetahuan moden di IPT, dan memanfaatkan penguasaan bahasa asing sebagai pelengkap sebagaimana saranan profetik Hang Tuah.

Tamadun Melayu boleh diperkasakan jika terdapat ilmu-ilmu pengetahuan moden (termasuk Sains & Matematik) disampaikan dan ditulis dalam bahasa ini (Melayu).

Sehubungan itu, pelbagai pihak berasa terperanjat apabila baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran membayangkan pendirian kerajaan untuk membenarkan sekolah membuat pilihan sama ada meneruskan dasar PPSMI atau sebaliknya.

Pendirian tersebut amat berbeza semangatnya daripada pengumuman yang beliau lakukan tahun lepas, untuk memansuhkan PPSMI mulai 2012.

Sesuatu dasar kerajaan (termasuk untuk memansuhkan PPSMI mulai 2012, empat bulan dari sekarang) mestilah bersifat merata dan menyeluruh. Tidak boleh mana-mana kumpulan kecil dan serpihan untuk menebuk dasar itu di mana-mana, lalu menghidupkan dasar PPSMI semula.

Jika kumpulan kecil dan serpihan itu mewakili elit di bandar dan kota, yang kaya raya, maka mereka boleh menghantar putera puteri mereka ke sekolah swasta atau sekolah antarabangsa, dan jangan dibiarkan menebuk dasar pemansuhan PPSMI mulai 2012 menurut selera mereka.

Kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran pastilah telah menerima “Kajian Tahap Kompetensi Guru dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Menggunakan Bahasa Inggeris Serta Implikasinya Terhadap Pembangunan Modal Insan Murid” (2008, setebal 186 halaman tidak termasuk tiga lampiran) oleh Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA).

Kajian ini dengan jelas menunjukkan kompetensi guru yang boleh dipersoalkan, yang mengakibatkan kelemahan pembangunan modal insan murid khususnya di luar bandar, Felda dan sebagainya.

Prinsip ketamadunan kerajaan harus berpegang kepada kajian yang berwibawa, menyeluruh dan mendalam seperti dilakukan PEMBINA.

Sebarang polisi yang tidak didasari kajian akan goyah dalam tempoh yang pendek. Bagi pejuang bahasa Melayu dan mereka yang yakin akan kemampuan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu moden, dapatan PEMBINA adalah pendorong utama kepada ‘cadangan’ pemansuhan dasar PPSMI mulai 2012, dan dengan itu mereka tidak perlu lagi turun ke jalan raya untuk mendesak pemansuhan PPSMI.

Akan tetapi jika dasar PPSMI hidup semula selepas ditalqinkan, ia adalah zombie baru. Mamat Khalid pun tahu bagaimana cara untuk menewaskan zombie!

* Datuk Dr Anwar Ridhwan merupakan Sasterawan Negara ke-10. Anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen. Antara karyanya yang terkenal Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Naratif Ogonshoto. Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan dipetik dari laman Malaysiakini.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=20701

Thursday, October 27, 2011




ANAK TERBAIK DARI BUMI AFRIKA

-Hishamudin Rais.

JAWAPAN SAYA KEPADA TUAN



Tuan yang saya muliakan:

Tuan menulis kepada saya dan bertanya kenapa saya memberi penghormatan kepada Gadaffi. Kenapa saya tidak menulis dan mengutuk Kolonel Gadaffi. Tuan terus bertanya dan menghambat dengan soalan kenapa saya bersimpati dengan seorang ditaktor yang telah merampas kuasa semenjak tahun 1969. Tuan bertanya apakah saya tidak tahu bahawa selama 42 tahun ini Libya tidak pernah melihat kepimpinan selain dari Kolonel Gadaffi. Kenapa saya tidak menulis tentang kezaliman yang berlaku di Libya.

Tuan yang saya muliakan,

Saya juga disedarkan bahawa Kolonel Gadaffi ini telah memberi pembelajaran percuma dari sekolah rendah hingga ke universiti di Libya. Saya juga sedar bahawa Gadaffi memberi warga Libya perubatan percuma. Saya juga sedar yang Gadaffi telah menggunakan duit minyak petrol untuk membuat rumah dan memberikan secara percuma kepada warga Libya.

Saya juga sedar Gadaffi memberi sokongan kepada banyak perjuangan pembebasan antarabangsa pada tahun-tahun 70’an dahulu. Sokongan dana dan diplomatik untuk PLO, Japanese Red Army, IRA dari Ireland Utara, ETA dari Sepanyol – termasuk juga menyokong dan memberi dana dan senjata kepada Moro National Liberation Front dari Mindano.

Dalam masa yang sama - saya amat sedar bahawa ruang demokrasi amat sempit di Libya. Saya sedar Gadaffi memerintah Libya tanpa ada pemilihan. Gadaffi naik tahtha kerana rampasan kuasa. Dalam hal ruang demokrasi saya tidak bersama menyokong Gaddafi.

Malah ketika Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), ABIM, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Melaya (PBMUM) - mengangkat dan menjulang Kolonel Gadaffi pada tahun tujuh puluhan dahulu – saya secara sinis telah mentertawakan kumpulan kumpulan ini. Ketika ini Gaddafi sedang menjual agama dengan Buku Hijaunya. Gadaffi membuat Buku Hijau kerana Pengerusi Mao pada ketika itu ada Buku Merah. Saya tersenyum sinis apabila melihat kumpulan-kumpulan Islam amat senang ditipu. Saya perhatikan mereka memiliki kecetekkan fikrah dan gagal untuk memahami konsep ruang demokrasi yang lebih luas.

Ini berlaku lebih dari 30 tahun dahulu. Ini ketika saya telah bangun menyokong perjuangan adil rakyat Vietnam. Kita saya menyokong pejungan rakyat Kamboja. Kita kami anak muda keluar ke jalan raya untuk bersetiakawan dengan rakyat Palestine dan warga Afrika Selatan. Ketika ini anak muda seluruh dunia sedang bangun melawan kuasa imperialis Anglo-Amerika.

Biar saya jelaskan disini. Saya tidak pernah menghalalkan apa sahaja bentuk kezaliman. Sama ada kezaliman yang dilakukan kerana idealoji kiri seperti di Russia dan di China, atau kerana dogma agama di Iran dan Pakistan atau atas nama keselamatan seperti di Malaysia dan di Israel. Kezaliman adalah kezaliman tidak kira dari mana datangnya. Yang dizalimi tetap terseksa.

Tuan yang saya hormati,

Disini biar saya luaskan pandangan siasah agar kita bukan hanya memahami Gaddafi dengan Buku Hijaunya atau dengan Libya wujud tanpa pilihanraya. Saya ingin membuka wacana yang lebih luas. Dalam bahasa German, saya ingin membuka wacana realpolitik – politik yang dieja dengan huruf k. Saya harapkan apa yang saya huraikan ini akan membuka fikrah kita bersama untuk melihat tanda dan makna politik yang sedang berlaku dihadapan mata kepala kita.

Tuan yang saya hormati,

Libya ialah anggota OPEC – negara pengeluar minyak. Ertinya Libya negara kaya. Ertinya jika duit minyak tidak digunakan secara membazir. Atau digunakan hanya untuk isteri Gadaffi membeli intan berlian dari kedai Jacob di New York atau membeli beg tangan Jane Birkin – sudah pasti warga Libya tidak hidup lumayan. Ini tidak berlaku di Libya justeru pendapatan warga Libya adalah yang tertinggi di Afrika.

Sebagai anggota OPEC kelihatan Libya dibawah pimpinan Kolonel Gadaffi selalu membantah keputusan dan cadangan OPEC yang diajukan oleh Saudi Arabia. Arab Saudi sering mengajukan dasar pengeluaran minyak yang tidak akan menggangu gugat sistem ekonomi kapitalis yang dikepali oleh Amerika Syarikat. Saudi mahu harga minyak petrol terus rendah. Amat jelas - Raja Saudi adalah budak suruhan Amerika yang paling setia. Raja Saudi akan menjaga kepentingan ekonomi kapitalis Amerika lebih baik dari menjaga Makam Nabi. Dasar Saudi yang pro Amerika inilah yang sering ditibai oleh Gadaffi.

Apa yang ingin saya nyatakan disini ialah dalam politik antarabangsa Gadaffi ini ialah sosok anti imperialis. Justeru sokongan Libya terhadap gerakan pembebasan antarabangsa pada tahun tahun 70an dahulu wajib dilihat dalam konteks ini. Kerana anti imperialis ini Gadaffi ialah ‘ budak jahat’ dalam kitab rujukan Rumah Puteh. Kolonel ini tidak disukai oleh kuasa Anglo-Amerika. Kolonel Gadaffi tidak disukai oleh Shell, Esso, BP atau Cheveron Oil – kerana semua syarikat ini dikekang dari masuk menjarah minyak di Libya.

Dalam pandangan geopolitik kaum imperialis dan kaum pemodal antarabangsa Gaddafi telah membuat beberapa kesalahan. Biar saya terangkan kesalahan Gadaffi ini. Kesalahan-kesalahn inilah yang membuatkan bala tentera NATO datang menyerang Libya dan membunuh Gadaffi.

Tuan yang saya muliakan biarkan saya senaraikan satu demi satu kesalahan Kolonel Gadaffi ini. Di harapkan tuan akan terbuka mata dan hati untuk memahami siasah dunia dengan lebih lengkap. Jika tuan memahami ini maka saya berharap tuan memahami kenapa saya menyokong Gadaffi.

Pertama:
Gaddafi telah mengeluarkan dana lebih dari 300 juta dolar Amerika untuk membuat sistem Satelit Afrika. Sistem satelit ini membolehkan 42 negara-negara Afrika berkomunikasi bebas dari kongkongan sistem komunikasi syarikat-syarikat Eropah. Saban tahun sebelum adanya sistem Satelit Afrika ini – negara negara Afrika terpaksa membayar 500 juta dolar satu tahun harga sewaan. Gaddafi membebaskan negara Afrika. Kaum pemodal antarabangsa lesap mata pendapatan sebanyak 500 juta dolar setahun.

Kedua:
Gadaffi telah merancang untuk menubuhkan AMF – African Monetary Fund. Lembaga AFM ini berperanan seperti International Monetary Fund (IMF)– meminjamkan dana untuk negara Afrika yang memerlukan. Bezanya AMF ini bukan untuk mencari keuntungan. AMF ini bukan untuk memberi hutang atau menjadi Along untuk negara Afrika. AMF bertujuan membebaskan negara-negara Afrika dari sistem penjajahan ekonomi yang sedang memiskin benua ini.

Lembaga AFM ini juga akan mewujudkan Central Bank of Africa yang beribu pejabat di Abuja Nigeria. Ini bererti nilai duit Afrika bukan lagi ditetapkan oleh dolar, bukan lagi ditetapkan oleh pound sterling atau ero. Dengan wujudnya Central Bank of Afrika ini maka putuslah penjajahan ekonomi kaum pemodal antarabangsa dengan benua Afrika.

Gadaffi juga akan mewujudkan Africa Bank of Investman a yang beribu pejabat di Libya. Tujuan bank ini ialah untuk mencari modal dan melabor di negara-negara Afrika. Semua lembaga keewangan ini akan diwujudkan pada tahun 2011. Semua perancagan telah berjalan dengan lancar. Semua perjanjian telah ditanda tangani. Kini semuanya tinggal impian. Kini semuanya dimusnahkan oleh serangan Nato.

Ketiga:
Kuasa imperial Anglo-Amerika tidak mahu Afriak bebas. Kuasa imperialis mahu rakyat Afrika terus bodoh dan dibodohkan. Ramai warga Afrika datang belajar di Libya. Sistem pembelajaran pecuma di Libya menjadi ancamaan kepada kaum pemodal. Bertambahnya warga Afrika yang bijak bermakna berkurang pula pengaruh kuasa pemodal antarabangsa di Afrika. Justeru, kaum pemodal antarabangsa mahu Afrika terus diperintah oleh para ditaktor seperti Mobutu Sese Seko, Idi Amin Dada atau Emperor seperti Bokasa.

Melalui Lolonel Gadaffi kesatuan African Union menjadi satu organisasi yang bukan sahaja beretorik tetapi berupaya melakukan sesuatu. Melalui duit minyak Gadaffi telah menyalurkan dana yang banyak ke negara-negara Afrika. Ini dilihat oleh kaum pemodal sebagai satu yang bahaya. Sebagai satu ancaman. Bahaya kerana jika Afrika bangun membina negara mereka sendiri maka kaum pemodal antrabangsa dan kehilangan tempat untuk merompak dan menjarah kekayaan.

Tuan yang saya hormati,

Tiga pekara yang telah dilakukan oleh Gadaffi ini telah dengan terang-terang menentang kepentingan kaum kapitalis antrabangsa. Semua ini adalah jenayah Gadaffi terhadap kaum pemodal antrabangsa. Semua ini adalah kesalahan Gadaffi terhadap imperialis Anglo-Amerika. Jelas, apa yang saya tuliskan bukan jenayah Gadaffi terhadap warga Libya. Ini bukan bermakna Gadafy ini seorang sosialis – tidak. Apa yang Gadaffi lakukan ialah secara jujur dia ingin membebaskan Afrika dari cengkaman kaum pemodal antarabangsa.

Tuan yang saya hormati,

Pekara yang saya tulis ini tidak akan dilaporkn oleh CNN, BBC, New York Times , Washington Post atau pun Utusan Melayu. Tidak ada media arus perdana yang berani menyentuh pekara ini. Laporan yang kita baca, dengar dan tonton hanya menyatakan bahawa warga Libya telah bangun menentang Kolonel Gadaffi. Apakah ini betul?

Saya hanya ada satu pemintaan kepada tuan yang saya hormati. Sila cari gambar, sila cari klip di YouTube, sila selidiki semua media dunia – adakah pernah tuan ternampak beribu-ribu anak anak muda berkumpul menentang Gadaffi seperti di Dataran Tahrir? Adakah tuan pernah terlihat gambar puluhan ribu rakyat Libya berdemo menentang Gadaffi seperti demo Bersih 7 Julai dahulu? Atau ternampak gambar beribu-ribu anak anak muda berdemo dan terus bermalam berminggu-minggu di Benghazi?

Tidak. Tuan jangan membuang masa. Imej ribuan anak muda Libya berdemo ini tidak wujud. Kerana bukan warga Libya yang bangun menyerang kerajaan Gadaffi. Yang datang menyerang ialah soldadu upahan Amerika dan jet pengebom Nato yang bertungkus lumus siang dan malam menyerang Libya. Sejarah Libya ini tidak tamat disini. Saya akan sambung lagi minggu hadapan.(TT)

Suara Keadilan.

Friday, September 30, 2011

Pas Kelantan tetap laksanakan hudud

KOTA BHARU – Pas Kelantan tetap dengan pendirian untuk melaksanakan hukum hudud walaupun tidak mendapat kerjasama komponen Pakatan Rakyat (PR).

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, hasrat itu selaras dengan matlamat Pas sejak 21 tahun lalu.

Katanya, Pas Kelantan bersedia bila-bila masa untuk melaksanakannya, malah Mahkamah Syariah negeri melalui Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Mohamad turut menyatakan persediaan untuk melaksanakan undang-undang tersebut.

Beliau berkata, peluang perlu diberikan kepada Pas Kelantan untuk mempraktikkan undang-undang Islam berkenaan dan dengan cara itu boleh dilihat sama ada berjaya atau sebaliknya.
“Hasrat Pas (Kelantan) melaksanakan hukum hudud tidak berubah, tetapi kami tidak memaksa masyarakat menerimanya. Sebab itu kami mengadakan ceramah dan kempen kepada masyarakat untuk memahami hudud.

“Kita tidak boleh lari… kita perjelaskan isu ini dan kenapa Pas Kelantan hendak sangat laksanakan hudud. Pertama kerana ia isu agama dan keduanya kebaikan pelaksanaan hukum itu sendiri yang kita mahukan,” katanya kepada media, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Majlis Pimpinan PR tidak akan melaksanakan hukum hudud seperti yang dicadangkan Pas kerana tidak menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Kelantan berkata, undang-undang moden gagal mengatasi kes-kes jenayah yang berlaku selama ini.

“Kita bukan nak bergaduh, cuma laksana hudud adalah pendirian kita dan matlamat kewujudan Pas di Kelantan untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh dan salah satunya hudud ini.

“Undang-undang hudud sudah diluluskan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan tidak perlu ma suk dewan lagi, cuma ia akan dibentuk oleh mahkamah dan pihak berkuasa agama,” katanya.
Mohd Amar berkata, terdapat beberapa pandangan yang menyatakan Kelantan tidak memerlukan kebenaran Kerajaan Pusat kerana hal berkaitan agama adalah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, terdapat juga pandangan hukum hudud perlu dibawa ke Parlimen mengikut Perkara 9 bidang kuasa negeri.

Katanya, apa yang penting Kerajaan Negeri sudah melepasi tahap pertama iaitu mendapat kelulusan Dun dan seterusnya pemahaman berterusan akan diberikan kepada masyarakat contohnya melalui sambutan Hari Hududullah Kelantan.

sinarharian
30.9.2011
Bukti sefahaman PR: Nik Aziz


KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) bersyukur dengan keputusan kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang menghormati Pas dalam isu hukum hudud.

Mursyidul Am Pas itu berkata, keputusan yang dibuat cukup positif dan menggambarkan persefahaman antara parti dalam PR.

“Saya dimaklumkan keputusan pimpinan PR semalam (kelmarin) yang menghormati hasrat Kelantan untuk memasukkan hukum hudud dalam undang-undang syariah.

“Alhamdulillah, saya menerima baik dan bersyukur sangat-sangat kerana rakan-rakan dalam PR memahami hasrat Kelantan,” katanya dipetik dalam laman Facebooknya.

Kelmarin, selepas Mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pakatan pembangkang menghormati pendirian Pas dalam hal itu, tetapi pada masa sama menerima perbezaan pendirian DAP yang menentang pelaksanaannya.

Mesyuarat itu juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 sebelum wujudnya muafakat PR.

Isnin lalu, komponen PR mencapai kata sepakat untuk mengarahkan kesemua pimpinan parti masing-masing agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hudud sehingga satu mesyuarat yang diadakan kelmarin.

Nik Aziz berkata, dalam keadaan kini, hanya Kerajaan Pusat yang disokong Umno masih menghalang hasrat Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum tersebut.

“Mereka memahami bahawa hudud ini tidak menyentuh bukan Islam, tinggal lagi sekarang, Kerajaan Pusat yang disokong Umno masih menghalang hasrat kami,” katanya.

sinarharian
30.9.2011
Akta perlu fleksibel


PUTRAJAYA - Undang-undang baru yang akan mengantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu lebih spesifik dan fleksibel di samping menekankan soal keselamatan negara dan hak asasi manusia.

Ketua Kluster Governas, Perundangan, dan Pengurusan Awam (GPPa), Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood (gambar) berkata, keputusan memansuhkan ISA adalah satu yang amat positif serta dianggap sebagai pendekatan baru dalam memastikan prinsip-prinsip kedaulatan undang-undang (rules of law) dan kebebasan asasi sentiasa menjadi landasan bagi setiap keputusan dan tindakan semua pihak, termasuk kerajaan.

“Kami menganggap ia sebagai satu langkah transformasi kerajaan untuk menghapuskan undang-undang yang tidak popular dan tidak selaras dengan prinsip kebebasan sejagat sebagai sebuah negara yang mendukung setiap konvensyen hak asasi digubal Bangsa-Bangsa Bersatu (UN).

“Pada masa sama, kita perlu menerima hakikat kerajaan semasa bertanggungjawab terhadap keselamatan dan ketenteraman negara serta harus memastikan ia tidak berkompromi dengan elemen yang boleh mengganggu gugat kedaulatan negara,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengajian Tinggi semalam.

Menurutnya, undang-undang baru itu nanti perlu lebih fleksibel daripada Akta Patriot Amerika Syarikat dan Akta Anti-Keganasan di United Kingdom.

“Kami ingin lihat undang-undang berkaitan dengan keselamatan dalam negara dan ketenteraman awam yang tidak mengikuti undang-undang Amerika Syarikat atau United Kingdom yang sangat tegas berhubung penahanan seseorang individu.

“Undang-undang (baru itu) juga tidak sepatutnya mencontohi ISA, perlu lebih jelas dan fokus terhadap kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Nik Ahmad Kamal berkata, pihaknya mengambil kira bahawa ISA digubal di bawah kuasa khas Parlimen, Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa untuk membuat undang-undang untuk mengawal serta mencegah segala bentuk ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Walaupun ISA dimansuhkan, Parlimen masih lagi berkuasa menggubal apa jua undang-undang untuk tujuan seperti yang termaktub di bawah Perkara 149.

“Sementara, pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 serta undang-undang yang dibuat bertujuan tersebut tidak harus dikelirukan dengan kuasa parlimen di bawah Perkara 149.

“Dalam kata lain undang-undang seperti ISA boleh digubal walaupun negara tidak berada dalam keadaan darurat keran Perkara 149 tidak terikat dengan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

sinarharian
30.9.2011b

Friday, September 23, 2011

Simpanan tunai Selangor RM1.1b, rekod 28 tahun
Harakahdaily

SHAH ALAM, 23 Sept: Dalam tempoh enam bulan tahun ini, Kerajaan Negeri Selangor berupaya menambah simpanan tunai sebanyak RM200 juta, menjadikannya RM1,100 juta.

“Jumlah ini merupakan rekod kewangan paling baik negeri bertuah ini dalam tempoh 28 tahun,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Santapan Malam anjuran Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam tadi.

Selain Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurutnya, pada akhir tahun lepas, simpanan tunai Kerajaan Negeri Selangor berjumlah sebanyak RM918 juta.

Secara keseluruhan, katanya, kejayaan Selangor memperkasa pembangunan dan melestarikan kemajuannya adalah dengan restu, nasihat dan sokongan penuh Tuanku Sultan terhadap kerajaan negeri sekarang yang mengamalkan tadbir urus yang telus, bertanggungjawab, berhemah dan berhemat.

Katanya, Negeri Selangor juga telah menunjukkan peningkatan yang begitu ketara di dalam jumlah pelaburan dalam negeri.

Jelasnya, semenjak 2008 hingga Jun 2011, Selangor telah berjaya menarik pelaburan berjumlah lebih RM35,000 juta.

Ini bermakna, ujarnya Kerajaan Negeri Selangor sekarang bukan sahaja berjaya meningkatkan hasil negeri tetapi juga berjaya melaksanakan pengurusan kewangan dengan cekap dan berkesan.

“Walhal pada awalnya adalah menjadi kekhuatiran yang teramat sangat dalam diri patik selaku peneraju Kerajaan Negeri yang baharu untuk memikul amanah majoriti rakyat majmuk di negeri Selangor yang inginkan pembaharuan dalam erti kata hasil mahsul negeri dinikmati secara adil dan saksama dalam kalangan rakyat majmuk di negeri ini,” ujarnya.

Beliau menambah, demi kemaslahatan negeri dan rakyat negeri ini seluruhnya pula, Kerajaan Selangor sekarang melaksanakan dasar “Merakyatkan Ekonomi Selangor” yang mengandungi pelbagai program kebajikan bagi membantu rakyat majmuk pelbagai peringkat agar dapat sama-sama menikmati hasil pembangunan dan kemajuan negeri ini.

Menurutnya, melalui dasar itu, beliauk dan barisan kepemimpinan di peringkat negeri, daerah, mukim dan kampung bersependapat bahawa hasil bumi negeri Selangor ini adalah milik rakyat Sultan Selangor.

Oleh itu, katanya limpahan daripada hasil pembangunan dan kemajuan negeri ini sewajarnya dikembalikan kepada seluruh rakyat negeri Selangor supaya sama-sama menikmatinya.

Katanya, dengan penduduk negeri berjumlah 5.3 juta orang yang terdiri daripada Melayu sekitar 49 peratus; Cina sekitar 29 peratus, India sekitar 16 peratus, dan keturunan lain sekitar 6 peratus, mereka tanpa mengira kelainan bahasa, agama, latar belakang pendidikan dan kecondongan politik, adalah layak menerima bantuan menurut program dan skim yang ditawarkan oleh kerajaan negeri sejak Jun 2008, sejajar dengan misi menjadikan Selangor sebuah negeri idaman, maju dan berkebajikan.

Beliau berkata, sejak dasar itu diperkenalkan 100 hari selepas menerajui pentadbiran Negeri Selangor hinggalah Jun 2011; sejumlah RM500 juta telah disalurkan terus kepada rakyat Selangor.

Selain itu, katanya Skim Air Percuma 20 meter padu berjumlah melebihi RM387 juta, Skim Tabung Warisan (RM1.8 juta), Hadiah Anak Masuk Universiti (RM19 juta), Skim Usia Emas dan OKU (RM49 juta) dan Skim Mikro Kredit Luar Bandar dan Kemiskinan Bandar yang kini melebihi RM2 juta dan berbagai-bagai bantuan kemasyarakatan yang akan diberikan secara berterusan.

Dalam bidang pelaburan pula, beliau bersyukur kerana negeri Selangor terus didatangi oleh para pelabur dari dalam dan dari luar negara.

Katanya, sejak Januari hingga 30 Jun tahun 2011 ini sahaja jumlah pelaburan negeri Selangor bernilai sebanyak RM5,200 juta iaitu 18 peratus dari keseluruhan pelaburan di dalam negara.

Beliau menambah, pelaburan tersebut terdiri dari pelaburan domestik sejumlah RM2,100 juta dan pelaburan asing berjumlah RM3,100 juta.

“Ini bermakna Selangor berada di tempat teratas dalam keseluruhan pelaburan di dalam negara,” katanya.

Menurutnya, dari jumlah RM5,200 juta pelaburan tersebut terdapat sebanyak 135 projek yang terdiri dari 89 projek baharu dan selebihnya 46 projek sedia ada.

“Hal ini menjadikan Selangor jauh meninggalkan negeri-negeri lain yang kebanyakannya mempunyai tidak lebih dari 50 projek,” katanya lagi.

Jelasnya, melalui pelaburan RM5,200 juta di atas Selangor telah berjaya membuka ruang pekerjaan sebanyak 10,000 pekerjaan yang kebanyakannya di dalam bidang elektronik dan elektrikal produk.

“Selangor berbangga menjadi penyumbang terbesar cukai dalam negara iaitu sebanyak 21 peratus pada 2010 dan kita menjangkakan jumlah yang sama dapat kita unjurkan pada tahun ini jika tidak jumlah yang lebih besar,” katanya.

Rakyat Selangor juga, kata beliau menikmati hasil dari pengurusan hasil pasir yang kini dijalankan secara tersusun kerajaan negeri melalui anak syarikat kerajaan negeri; Kumpulan Semesta Sdn Bhd di mana peningkatan hasil pasir amat ketara sekali.

Katanya, pada tahun 2007, kutipan royalti hasil pasir hanya RM4 juta, 2009 sejumlah RM 5 juta dan pada 2010 melonjak kepada RM11 juta.

Menurutnya lagi, manakala pada tahun ini setakat bulan Jun telah mencapai kepada RM12 juta.

“Sejak ditubuhkan hingga setakat Jun 2011, Kumpulan Semesta telah berjaya mengumpul keuntungan berjumlah hampir RM50 juta,” katanya.

harakahdaily,
23.9.2011




Jangan halang Pas: Nik Aziz

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan parti itu tetap berhasrat menubuhkan negara Islam, termasuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan walaupun ditentang DAP.

Menurutnya, sejak penubuhannya, Pas nekad menegakkan syiar Islam, malah di Kelantan parti itu sentiasa berusaha menjadikan Islam sebagai asas kehidupan.

“Kalau tidak mahu buat negara Islam, kita buat bumi sendiri, jangan menumpang bumi ALLAH (SWT), buat udara sendiri jangan menumpang udara ALLAH, buat matahari sendiri jangan menumpang matahari ALLAH, selagi kita menumpang di bumi ALLAH, maka agama yang ALLAH rasmikan ialah Islam,” katanya kepada media selepas Himpunan Kursus Peserta Kenegaraan 2011 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan, semalam.

Sebuah akhbar semalam mela­por­kan kenyataan Pengerusi DAP, Kar­pal Singh yang sekali lagi mempersoal kewajaran Nik Aziz mahu melak­sa­nakan hudud yang menurutnya melang­gar perlembagaan.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong perlaksanaan hudud dihasratkan kerajaan Kelantan.

Bagaimanapun, katanya Pakatan Rakyat tidak pernah membincangkan perkara tersebut dan ia adalah pandangan peribadi beliau.

“Secara dasar, saya percaya ini boleh dilaksanakan,” katanya.

Anwar berkata, rancangan Kelantan mahu memperkenalkan undang-undang hudud adalah spesifik dan ia meliputi dua aspek penting iaitu pentadbiran yang adil kepada undang-undang Islam dan memastikan hak bukan Islam dilindungi.

Kelmarin Nik Aziz menegaskan Kerajaan Kelantan bersedia melaksanakan hukum hudud walaupun bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin menyatakan keadaan masih belum kondusif selain kuasa Kerajaan Negeri yang terhad.

Pada masa sama, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Nik Aziz memperkenalkan hukum hudud di negeri itu sekarang memandangkan beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Nik Aziz berkata, walaupun DAP menolak hasrat penubuhan negara Islam, beliau tetap menggunakan pendekatan berhemah agar pemimpinnya dapat memahami apa yang diperjuangkan Pas selama ini.

“Saya tidak akan gunakan perkataan berkeras, saya guna berdialog, apa tidak kena dengan Islam?," katanya.

Sebelum ini, DAP dah keluar sekali masa APU (Angkatan Perpaduan Ummah), dia dah keluar sekali, tidak apa saya kata, ‘bye bye’ tidak ada apa, sekarang ni dia masuk balik,” katanya.

Ditanya adakah Pas sedia sekiranya DAP akan bertindak keluar dari Pakatan Rakyat, Nik Aziz berkata: “Itu dia punya pasal”.

sinarharian,
23.9.2011
Mat Indera tidak bunuh orang Melayu’

KUALA ROMPIN - Meskipun Muhammad Indera atau lebih dikenali sebagai Mat Indera dikatakan berfahaman komunis, namun lelaki berpendidikan agama itu, tidak mahu membunuh masyarakat Melayu.

Demikian pengakuan bekas Konstabel Polis Khas (SC), Atan Awang, 84, menyifatkan Mat Indera sebagai warak dan berpendidikan agama.

Menurut Atan, dia pernah berkawan dengan rakan Mat Indera ketika bertugas di Segamat, Johor.

“Rakannya memberitahu Mat Indera tidak pernah membunuh orang Melayu, meskipun dia berfahaman komunis,” katanya kepada Sinar Harian.

Atan berkata, Mat Indera adalah orang kanan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

“Saya percaya Mat Indera bukanlah pembunuh orang Melayu dan dia bukan untuk dijulang dan diangkat sebagai hero atau dijadikan kempen politik oleh pihak tertentu berkepentingan,” katanya.

Menurutnya, semasa dia bertugas di Segamat, Mat Indera ketika itu di Muar, Johor sememangnya mempunyai kelebihan luar biasa.

“Sejarah tetap sejarah dan ia tidak boleh diubah dan kita tak perlu mengiktiraf Mat Indera sebagai pahlawan mahupun pemberontak negara kerana dia sudah tiada lagi di dunia ini,” katanya.

Atan meminta semua pihak tidak membangkitkan isu Mat Indera kerana ia menyebabkan ahli keluarga Allahyarham tertekan dengan pelbagai isu yang cuba dikaitkan dengannya.

“Saya percaya Mat Indera tidak sanggup melihat nyawa bangsanya rebah di tangannya sendiri,” katanya.

sinarharian,
23.9.2011

Sunday, August 21, 2011


Politik BN mengatasi undang-undang


Oleh V. Sivakumar

Adakah cabang legislatif masih dihormati oleh pemain-pemain politik negara kita? Apa yang berlaku di Perak telah membuktikan sebaliknya.

Kita mahu semua pihak menghormati dan mengamalkan tertib yang telah digariskan dalam Perlembagaan dan undang-undang. Tetapi, jika pihak-pihak tertentu cuba mengatasi batasan undang-undang ini, maka tata cara pentadbiran negara kita akan tergugat.

Apabila ada pihak yang melihat diri mereka lebih tinggi daripada undang-undang dan tidak mengikuti prinsip-prinsip yang telah ditetapkan sekian lama, ini akan menzahirkan permainan kotor yang tidak adil dalam gelanggang politik negara kita.

Parti politik menyekat badan perundangan


Kita melihat bagaimana organisasi seperti parti politik cuba membataskan aktiviti dan peranan organisasi rasmi seperti badan legislatif. Kacau ganggu seperti ini akan melumpuhkan pentadbiran negara, malah kepercayaan rakyat terhadap kerajaan juga akan turut luntur.

Walau pun organisasi tidak rasmi seperti parti politik tidak disebut dalam Perlembagaan, peranannya sebagai pengerak utama kepada jentera rasmi negara kita tidak dapat dinafikan. Namun, permainan politik yang melampau atau keterlaluan boleh menggugat kedudukan organisasi-organisasi rasmi seperti badan perundangan.

Dalam kes negeri Perak, memang permainan politik telah melampaui kuasa badan perundangan . Dewan Undangan Negeri tidak lagi dihormati oleh ahli-ahli politik Barisan Nasional apabila mereka merampas kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah.

Mereka membuat pelbagai helah dan tipu muslihat untuk melanggar semua undang-undang dan perintah-perintah tetap Dewan Undangan Negeri semata-mata untuk kembali berkuasa di negeri Perak.

Kuasa Speaker Dewan Undangan Negeri dicabar, malah tidak dihormati langsung. Polis berani melangkah masuk ke dalam Dewan yang mulia untuk mengusung keluar Speaker dengan menggunakan kekerasan.
Dewan Undangan Negeri tidak diberi ruang untuk berfungi menjalankan tanggunjawab Perlembagaan. Ini dapat dilihat dalam sekatan yang dibuat oleh ahli-ahli politik supaya tidak membenarkan Dewan Negeri bersidang pada 3 Mac 2009.

Polis dan jentera kerajaan menghalang wakil rakyat memasuki Dewan Undangan Negeri dan akhirnya terpaksa bersidang di bawah pokok.

Tambahan pula mekanisme untuk membuat undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Datuk Seri Nizar Jamaluddin juga tidak dilakukan sehingga hari ini.


Kes Datuk Harun di Selangor


Sebagai contoh, Allahyarham Datuk Harun Idris adalah seorang Menteri Besar yang disukai ramai pada suatu masa dahulu telah dipaksa meletakkan jawatannya melalui undi tidak percaya yang diluluskan dengan suara terbanyak Dewan Undangan Negeri Selangor pada 25 Mac 1976.

Beliau dijatuhkan oleh ahli-ahli partinya sendiri, iaitu UMNO. Kejatuhan beliau berpunca daripada tindakan pemimpin kebangsaan parti yang mempengaruhi undi ahli-ahli Dewan Negeri Selangor. Ini adalah kerana Datuk Harun enggan meletakkan jawatan selepas beliau dipecat daripada parti.

Apa yang cuba dijelaskan di sini ialah pemimpin UMNO pada masa itu tidak memilih jalan pintas untuk melantik Menteri Besar baru.

Proses pengundian dibuat secara demokratik untuk menolak kepimpinan Datuk Harun di dalam Dewan Undangan Negeri itu sendiri. Tindakan ini adalah satu amalan demokrasi yang diguna pakai oleh semua negara-negara Komanwel.

Amalan demokrasi ini tidak dilaksanakan di negeri Perak apabila BN merampas kerajaan daripada Pakatan Rakyat.

Undi tidak percaya tidak pernah dibuat untuk menolak kepimpinan Datuk Seri Nizar. Malah seorang Menteri Besar telah dilantik di Istana secara tergesa-gesa.

Permainan politik kotor BN ini telah mengganggu perjalanan Dewan Undangan Negeri di Perak. Akhirnya rakyat Negeri Perak terjerumus ke dalam kemelut politik yang masih tidak selesai sehingga ke hari ini.

Kesan politik kotor BN di Perak


Ekoran daripada itu, Dewan Undangan Negeri tidak dapat berfungsi dengan cekap dan berkesan. Pelbagai halangan dan batasan diatur oleh BN untuk menyelamatkan kerajaan mereka yang ditubuhkan secara haram.

Belanjawan 2009 diluluskan dalam masa 20 minit. Persidangan Dewan Negeri pada Isnin lalu hanya berlangsung selama lebih kurang 2 jam.

Inilah akibat apabila negeri mendapat kerajaan yang diranpas secara haram. Mandat rakyat kepada Pakatan Rakyat pada 2008 telah dirampas dengan menggunakan kekerasan polis dan campur tangan mahkamah.

Ketakutan kerana tidak mendapat sokongan rakyat kini menghantui pemimpin-pemimin UMNO dan BN di Perak. Yang berlaku sekarang ialah politik yang melampau ini mencemarkan dan bakal menghancurkan sistem pentadbiran negara kita yang sedia ada.

Yang menanggung derita dan rugi ialah rakyat sendiri.

Penulis adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh merangkap Timbalan Pengerusi DAP Perak

kerajaanrakyat.blogspot.com
Novelis Azizi Abdullah meninggal
Mohd Sabri Said


GEORGETOWN, 21 Ogos: Novelis terkenal tanahair, Haji Azizi Abdullah meninggal dunia di Hospital Besar Pulau Pinang pukul 7.30 pagi tadi.

Rakan sekerjanya di Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Zulkifli Mohd Yusuf ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Jenazah Allahyarham Haji Azizi akan dibawa pula ke kediamanya di Taman Bersatu berdekatan Petronas Kulim tengahari ini.

Allahyarham meninggal disebabkan sakit jantung setelah lebih enam bulan di rawat di hospital berkenaan.

harakahdaily.net

Saturday, July 16, 2011

DI PAGI-PAGI BEGINI

Di pagi-pagi begini
Kadangkala kita terfikir
Hidup yang singkat;inflasi yang menggila
Menjadikan kemampuan kita terbatas
Kepada yang perlu sahaja
Hidup tidak perlu meminta-minta
Tangan di atas adalah lebih baik
Dari tangan yang menerima
Adakalanya memberi mendatangkan kepuasan
Terhadap hidup dan kemanusiaan
Yang semakin hari kian menipis
Dihakis oleh keperluan hidup
Dari jiwa yang kasar
Dan terlebih kasar dalam suasasana perang
Perebutan ke atas sumber alam
Dan mempamirkan kuasa
“akulah yang paling hebat
Dan berkuasa di atas dunia.”

Di pagi-pagi begini
Sebelum menjamah nasi lemak
Atau roti canai; yang menjadi kegemaran
Rakyat marhaen yang kekurangan wang
Kita terpaksa meneruskan
Perjuangan untuk mencari makan
Lebih dari lain-lain perjuangan
Kerana hidup ini; meminta pengorbanan
Yang tidak sedikit; walaupun sebahagian umat
Dilanda kekejaman.

Di pagi-pagi begini
Kadangkala kita terfikir
Kenapa kita tidak meletakkan
Akidah dan keimanan
Di atas segala keperluan
Agar semuanya teratur
Dan tiada lagi yang kebuluran
Lantaran semua keperluan
Sudah dibahagi-bahagikan
Menurut susunan.

Di pagi-pagi begini
Adakalanya lebih baik
Kita bertanya kepada diri kita
Mengapakah begitu sukar
Kita menurut perintah dan peraturan Tuhan
Supaya semua orang; cukup makanan dan pakaian
Dan segala keperluan; keadilan sosial ditegakkan
Menurut AlQuran.

17.5.2011
Bersih: Amerika pandang berat, HRW gesa siasat keganasan polis


Amerika Syarikat memandang berat pendekatan ganas yang dilakukan pihak berkuasa ketika perhimpunan aman anjuran Bersih Sabtu lalu dan berkata, ia akan memantau perkembangannya.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Mark Toner berkata, rakyat Malaysia sepatutnya dibenarkan berhimpun dan menyatakan pendapat dalam negara yang mengamalkan demokrasi.

“Kami berpendirian adalah hak rakyat untuk secara bebas menyatakan aspirasi demokratik mereka dan menyatakan pendapat mereka secara bebas,”

“Saya menegaskan bahawa ia adalah perhimpunan aman. Jadi kami prihatin; kami akan terus meninjau keadaan secara dekat,” katanya seperti dilapor BBC.

Sementara itu, badan Pemantau Antarabangsa Human Rights Watch (HRW) pula menggesa siasatan terbuka dengan segera diambil, berhubung pendekatan keras pihak polis.

Ia termasuk siasatan terhadap kematian seorang peserta akibat serangan gas pemedih mata dan kelewatan bantuan oleh pasukan perubatan.

Timbalan pengarah rantau Asia Human Rights Watch, Phil Robertson, berkata, pentadbiran Najib juga perlu menghentikan segala bentuk ugutan dan tindakan
menakutkan penganjur, dan pada masa yang sama membebaskan kesemua mereka yang ditahan.

Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) menyelar Malaysia kerana menggunakan pendekatan keras dalam himpunan Bersih, termasuk menangkap lebih 1,600 rakyat yang berhimpun.

Pelapor khas PBB mengenai hak kebebasan bersuara berkata, tindakan pihak berkuasa Malaysia mengisytihar perhimpunan itu sebagai haram, menutup bandaraya dan bertindak ganas, menunjukkan Malaysia memperlekehkan demokrasi.

Sementara itu, terdapat desas desus mengatakan Perdana Menteri Britain, David Cameron membatalkan majlis makan tengah hari bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini- berikutan tekanan antarabangsa.

Laman-laman blog turut mendakwa tidak ada hamparan karpet merah ketika Najib tiba ke negara itu, malah kedatangannya juga tidak disambut Cameron di lapangan terbang Farnborough, London.

Sebaliknya Najib disambut Wakil Khas Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar dan Komanwel John Mcdonald, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Simon Featherstone, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Duta Besar Malaysia ke UK Datuk Zakaria Sulong.

Najib dijadual melakukan lawatan rasmi ke United Kingdom, atas jemputan Cameron, bermula 12 hingga 15 Julai.

keadilandaily.com
Rosmah, Najib ke Amerika untuk beli cincin RM24.4 juta

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berlepas ke Amerika Syarikat bermula 10 hingga 16 April- tarikh yang sama berlian berharga RM24.4 juta dibeli.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, mereka terbang ke negara itu untuk lawatan kerja ke Washington dan New York.

Mengikut laporan media 9 April lalu, Najib bersama Rosmah, berlepas dengan pesawat rasmi kerajaan kira-kira pukul 9.20 malam di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

Mereka turut diiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri ketika di lapangan terbang.

Semalam, SAMM membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang mengenai bukti yang mengaitkan Rosmah dengan
pembelian berlian berkenaan.

Malaysiakini hari ini melaporkan berlian berkenaan berharga RM73 juta.

Namun Badrul, yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata, harga berlian itu bernilai RM24 juta berdasarkan data dan maklumat yang diperoleh beliau.

Maklumat itu diperolehi pada 16 April lalu melalui satu unit belian “Natural Fancy Gray Cushion Cut Diamond” yang dibawa masuk melalui KLIA.

Berlian itu dieksport dengan sebuah syarikat Jacob & co yang berpengkalan di New York

Nilai yang diistiharkan bagi berlian itu ialah RM 24,458,400.00, dengan catatan cukai RM0.

“Dalam beberapa bukti yang disertakan jelas tertera perbagai data seperti nama syarikat agen yang membawa masuk serta kakitangan yang terbabit membuat pengistiharan, No. borang kastam, no. pernerbangan dan seumpamanya yang hampir mustahil untuk dipalsukan,” kata Chegu Bard dalam kenyataan medianya semalam.

Menurut Chegu Bard, belian tanpa cukai itu mengingatkan kembali kepada usaha kerajaan memansuhkan cukai pakaian dan perhiasan yang dibentangkan di parlimen.

“Keadaan ini sudah tentu mengimbau kenangan kita dengan tetangga yang pernah punya wanita pertama yang bernama Imelda Marcos yang bermewah ketika rakyat sedang merintih kesempitan hidup,” katanya.

keadilandaily.com
Kuningkan ibu negara esok


KUALA LUMPUR, 15 Julai: Besok 16 Julai adalah Sabtu pertama selepas perhimpunan Bersih 2.0 – yang juga genap seminggu perhimpunan aman 50,000 rakyat Malaysia yang bermandi air asid dan berair mata gas pemedih tanpa sebarang maaf daripada pihak polis mahupun kerajaan Barisan Nasional.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya hari ini berkata besok juga adalah ujian pertama kepada ribuan rakyat Malaysia dalam desakan mereka ke arah satu pilihan raya yang bersih dan adil dilaksanakan.

“Pemakaian warna kuning esok akan menyemarakkan lagi hasrat rakyat itu. Walaupun masih ada tangkapan ke atas pemakaian baju logo Bersih atas alasan tidak berdaftar; namun mereka tidak boleh menghalang pemakaian baju, seluar, kopiah, topi atau rambut warna kuning.

"Bahkan sehingga kini, trafik light kuning masih berfungsi dengan baik,” seru Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Kepada seluruh warga yang cintakan sebuah sistem politik yang adil dan bersih, PAS katanya berharap mereka dapat mengenakan pemakaian kuning sepanjang hari besok sebagai tanda sokongan.

harakahdaily.net

Saturday, July 9, 2011

GARIS PANDUAN UNTUK SAHABAT BERSIH 2.0 !!!


Perkara yang perlu anda bawa/sediakan

1. Kad pengenalan, lesen memandu, satu kad ATM sahaja.

2. Duit-maksimum RM 100 sahaja.

3. Memakai pakaian yang sopan-Baju berwarna Kuning berlogo Bersih-sebaiknya 8 tuntutan nyata.

4. Setiap peserta diwajibkan memakai kasut.

5. Aksesori kempen-Button, riben, topi, kopiah arm band, bendera kecil, banner dan placard yang ada Logo atau Slogan Mansuhkan ISA boleh digunakan.

6. Bendera Malaysia atau negeri masing-masing.

7. Air mineral, sedikit makanan ringan atau gula-gula

.8. Sedikit garam-ia penting dan boleh dimakan sedikit (bukan sapu dimuka) bagi mengembalikan tenaga terutamanya jika Pihak Polis sembur air dari Water Canon atau Gas pemedih mata.

9. Kain tuala kecil basah untuk tutup mata dan hidung untuk elak terkena gas pemedih mata.

10. Digalakkan memakai penutup mulut dan hidung jenis N100 Respirator, N95 Respirator dan Surgical facemask untuk mengelak penularan wabak Influenza H1N1 dan juga menghindarkan sedutan gas pemedih mata yang melampau.

11. Jika anda mempunyai asma atau alahan sila bawa inhaler atau ubat sendiri.

12. Sila bawa beg plastik sampah kecil bagi mengelakkan anda membuang sampah merata-rata.

13. Sila bawa pen dan kertas (mini note pad) bagi mencatat nama dan no. pengenalan Polis atau perkara-perkara yang mencurigakan.

14. Jangan lupa bawa kamera, video cam atau handphone berkamera bagi merakamkan suasana himpunan – gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada NGO Bersih selepas himpunan untuk rekod dan disiarkan.

Perkara yang tidak dibenarkan

1. Jangan bawa kad matrik pelajar bagi student atau pass kakitangan bagi pekerja Kerajaan dan Swasta.

2. Jangan bawa terlalu banyak wang atau kad kreadit untuk elakkan penyeluk saku, tercicir atau hilang semasa perhimpunan atau ditahan.

3. Jangan memakai pakaian yang menjolok mata dan tidak sopan.

4. Jangan memakai selipar, kasut tumit tinggi atau sandal untuk memudahkan pergerakkan.

5. Jangan memakai kain atau skirt, digalakkan memakai seluar.

6. Jangan memakai barang kemas atau aksesori yang tiada kaitan dengan Bersih.

7. Jangan bawa sebarang banner, placard, bendera yang melambangkan logo dan organisasi parti.

8. Sebarang slogan yang tiada kaitan dengan BERSIH tidak dibenarkan.

9. Jangan bawa sebarang benda tajam atau senjata kecuali pen.

10. Jangan bawa bahan-bahan yang boleh meletup atau mudah terbakar seperti, mancis, molotov *****tail dan mercun.

11. Tidak dibenarkan merokok semasa perhimpunan kerana akan menganggu orang lain.

12. Jangan bawa sebarang senjata seperti kayu, besi, rantai besi, pistol dan yang merbahaya.

13. Bagi yang membawa anak-anak, anda tidak dibenarkan membawa permainan yang berupa seperti senjata seperti pistol, senapang atau pisau mainan.

14. Jangan bawa anak-anak yang berumur 10 tahun ke bawah bagi mengelakkan sebarang masalah.

Perkara yang perlu anda lakukan sebelum perhimpunan

1. Servis kenderaan dan periksa peralatan yang perlu dibawa.

2. Jangan makan atau minum terlalu banyak sebelum perhimpunan.

3. Pastikan anda telah menunaikan 'hajat' sebelum memasuki perhimpunan.

4. Bagi yang Islam, Lakukanlah solat taubat dan hajat, semoga Allah berkati perhimpunan ini dan yang bukan Islam boleh berdoa mengikut ritual masing-masing.

5. Pastikan anda telah mengunci rumah atau meninggalkan pesanan-pesanan penting kepada keluarga atau jiran anda yang tidak pergi perhimpunan.

6. Maklumkan mereka tujuan anda keluar.

7. Maklumkan mereka nombor telefon sahabat lain yang bersama anda jika handphone anda tidak dapat dihubungi nanti.

8. Jangan lupa charge bateri handphone dan kamera.

9. Pastikan anda berniat kerana Allah (bagi yang muslim) sebelum keluar rumah.

10. Pastikan anda tahu arah tuju anda iaitu tempat berkumpul yang ditetapkan.

11. Pastikan anda datang awal untuk elakkan kesesakan jalan raya atau terpaksa berbaris panjang untuk beli tiket tren LRT atau Komuter.

12. Datang secara berkumpulan, jangan bersendirian.

13. Sekiranya perjalanan anda dihalang dari memasuki pusat bandar anda boleh meletakkan kenderaan dan berjalan kaki ke tempat perhimpunan. (Jangan terus ke Istana Negara bersendirian).

14. Jangan memakai baju BERSIH sebelum perhimpunan bermula.


Semasa perhimpunan dan perarakan

1. Berkumpul di tempat pertemuan yang ditetapkan (cth:Sogo, Masjid Jamek, atau Masjid Negara) dan tunggu arahan dari Field Commander yang dilantik.

2. Ikutilah arahan dari Unit Amal atau Field Commander sepanjang program. Jangan pedulikan arahan lain tanpa merujuk kepada Field Commander.

3. Jangan berganjak dari tempat perhimpunan melainkan dengan arahan Field Commander.

4. Laporkan pada Unit Amal bertugas jika terlihat sesuatu yang mencurigakan.

5. Jangan tolak menolak sepanjang perhimpunan dan perarakan.

6. Elakkan mencerca, memaki hamun atau menunjukkan isyarat lucah semasa perhimpunan berlaku.

7. Raikan perhimpunan ini dengan aman dan harmoni.

8. Pastikan anda memberikan keutamaan laluan kepada kenderaan yang lalu lalang dan tidak melintas sesuka hati di jalanraya.

9. Pastikan anda memberikan keutamaan, membantu dan melindungi warga emas, orang kurang upaya atau kanak-kanak yang hadir bersama.

10. Maklumkan sahabat anda jika anda ingin keluar dari perhimpunan disebabkan hal kecemasan atau kerana ingin ke tandas bagi mengelakan masalah lain.

11. Pastikan anda dapat duduk semasa pimpinan berucap.

12. Pastikan anda tidak bersembang semasa pimpinan berucap kerana kemungkinan bunyi sound system akan tenggelam dengan suara ratusan ribu peserta.

13. Ikutilah laungan pimpinan jika perlu.

14. Pegang bendera Malaysia atau negeri anda sepanjang perarakan.

15. Jangan buang sampah merata-rata sepanjang perhimpunan. Masukan dalam beg plastik yang anda bawa.

16. Rakamkan suasana himpunan – gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada NGO BERSIH untuk rekod dan disiarkan.

kedahlanie.

17. Kalau boleh rakamkan sekali wajah-wajah polis yang bertugas atau tragedi-tragedi penting seperti keganasan atau provokasi Polis jika ada.


Selepas perhimpunan

1. Pastikan anda bersurai secara perlahan-lahan dan dengan aman selepas diberikan arahan bersurai.

2. Pastikan sahabat atau saudara dan anak-anak anda ada bersama selepas perhimpunan. Jika tiada, sila datang ke Pejabat Agung PAS untuk membuat laporan dengan Unit Amal bertugas.

3. Jika ada sahabat atau saudara anda ditahan, jangan terus balik. Dapatkan maklumat di Pejabat Agung PAS atau ke Balai Polis berkaitan untuk bebaskan mereka.

4. Jangan tinggalkan apa-apa sampah ditempat perhimpunan. Pastikan semuanya dibuang ke tong sampah atau dibawa balik dan dibuang dirumah.

5. Berikan ucapan terima kasih kepada pasukan Keselamatan bertugas jika perhimpunan berjalan lancar.

6. Jangan lupa sebarkan gambar dan berita perhimpunan kepada semua sahabat-sahabat terutamanya yang tidak hadir.


Apa anda perlu buat jika kumpulan Pro-Demokrasi buat Provokasi

1. Jangan pedulikan mereka, diam dan teruskan mengikut arahan Field Commander Unit Amal.

2. Jangan menyahut provokasi mereka, jangan baling apa-apa, jangan tunjukkan isyarat apa-apa pada mereka. Anggap mereka tidak wujud pada hari berkenaan.

3. Jangan hampiri mereka.

4. Jika mereka bertindak agreasif secara tiba-tiba, tahan, jangan pukul tetapi serahkan mereka pada pihak Polis.

5. Jangan lupa buat laporan Polis terhadap mereka jika anda dicederakan atau diganggu.

6. Buat rakaman wajah-wajah mereka jika perlu.

Apa anda perlu buat jika polis buat provokasi dan serbuan

1. Jangan lari atau keluar dari perhimpunan melainkan dengan arahan pimpinan, anda akan mudah ditangkap jika keluar dahulu.

2. Jangan bersendirian, pastikan anda bergandingan tangan dan berdiri rapat-rapat bila polis acah nak buat serbuan atau tembakan water canon.

3. Duduk jika pimpinan arahkan.

4. Basahkan tuala anda dengan sedikit air, dan tekup dimuka bila gas pemedih mata dilepaskan. Basuh muka anda dengan air dan makan sedikit garam jika terkena air water canon berwarna kuning.

5. Jangan melawan atau cuba bertikam lidah dengan polis bila mereka provoke…hanya diamkan diri.

6. Ambil gambar mereka jika sempat.

7. Buat laporan Polis jika anda dikasari.

Apa yang anda perlu buat jika ditahan
RUJUK JUGA:http://www.facebook.com/photo. ​php?fbid=2227318961997&set=a.1​178127812874.27407.1218504435&​ type=1&ref=notif¬if_t=photo​_comment&theater

1. Jangan banyak cakap dengan polis. Diamkan dan tenangkan diri.

2. Minta nama dan nombor polis yang menahan anda dan tanya dia sebab anda ditahan, seksyen berapa yang digunakan.

3. Berikan maklumat asas sahaja jika diminta seperti nama, no kad pengenalan, alamat rumah (berikan ikut alamat dalam IC sahaja).

4. Jika mereka tanya soal pekerjaan, jawap yang ringkas sahaja. Jangan bagi maklumat yang lengkap.

5. Bagi pelajar, jika mereka tanya anda masih belajar atau tidak, anda hanya perlu jawab "Masih tengah cari kerja" atau berikan jawapan lain yang sesuai. Elakkan mengaku sebagai student. Biar mereka siasat sendiri jika mereka perlukan maklumat lanjut. Jangan jawab soalan yang tidak perlu.

6. Bagi kakitangan Kerajaan jika mereka tanya tempat kerja anda, jawab "Saya kerja swasta atau kerja sendiri". Biar mereka siasat sendiri jika mereka perlukan maklumat lanjut. Jangan jawab soalan yang tidak perlu.

7. Minta berjumpa dengan peguam sebelum beri apa-apa keterangan. Peguam akan menunggu diluar balai jika anda ditahan.

8. Kalau boleh jangan beri terlalu banyak keterangan, anda hanya perlu jawab "saya akan bagi keterangan di Mahkamah sahaja". Ingat! Apa yang anda cakap di Balai Polis boleh dijadikan bahan bukti di Mahkamah. Anda berhak untuk tidak memberikan sebarang keterangan kepada Polis melainkan di Mahkamah.

9. Semasa ditahan, jangan pedulikan provokasi polis atau jangan mudah cair bila mereka berlembut.

10. Pastikan anda ingat semua yang berlaku, termasuklah pegawai polis yang tahan dan soal siasat anda.

11. Jangan terlalu risau kerana, diluar balai telah disediakan orang-orang yang akan jamin dan bela anda.

Apa yang anda buat selepas dibebaskan

1. Pastikan semua barang-barang anda dikembalikan oleh Polis.

2. Buat pemeriksaan kesihatan jika ada kecederaan.

3. Buat laporan Polis jika anda dikasari semasa perhimpunan atau semasa ditahan.

4. Ceritakan dan rakamkan pada peguam dan media jika anda dianiaya polis.

5. Jangan lupa catatkan semua yang anda ingat bila balik ke rumah untuk memudahkan anda mengingatinya bila dibawa ke Mahkamah kelak.

6. Pastikan anda ingat dan ambil nombor perhubungan orang yang jamin anda dan juga peguam yang terlibat.

7. Serahkan pada peguam segala maklumat dan gambar yang anda ada tentang himpunan bagi memudahkan pembelaan.

8. Jangan lupa solat sunnat syukur selepas dibebaskan dan kembalilah bertemu dengan sahabat-sahabat seperjuangan.

9. Jangan menyepi dari perjuangan selepas melalui pengalaman ditangkap kerana itu secara semulajadi akan menyebabkan motivasi anda akan menjadi lemah dan anda akan rasa keseorangan.

10. Teruskan perjuangan bersama sahabat-sahabat lain.

11. Sesungguhnya anda akan rasa lebih hebat dan berani lagi selepas ditangkap kerana tidak semua orang berpeluang merasai apa yang anda lalui ketika ditahan.


Perhatian!

1. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kesalahan atau pelanggaran undang-undang yang tidak ada kena mengena dengan perhimpunan ini.

2. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang provokasi atau tindakan ganas yang dilakukan oleh mana-mana pihak secara berkumpulan atau individu.

3. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kecederaan yang disebabkan oleh kecuaian atau tindakan diluarkan arahan penganjur.

4. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang penangkapan yang dibuat kerana pergaduhan atau aktiviti agreasif yang tiada kaitan dengan arahan himpunan ini

Secara keseluruhannya, kita berdoa semoga Perhimpunan ini dapat berjalan lancar tanpa adanya sebarang masalah atau tangkapan.Kita berharap agar dengan sedikit usaha dan kehadiran kita ini akan dapat memberikan kesedaran kepada pihak Kerajaan dan memberikan laluan untuk Agong mempergunakan kuasa yang ada untuk memperbaiki kelemahan sistem negara kita.

Ingat, Himpunan Bersih, PPSMI dan Mansuhkan ISA yang lalu berjaya menyedarkan Kerajaan kerana kesungguhan rakyat. Maka, kini adalah masa untuk kita berjuang bersama untuk berhadapan dengan PRU-13 dilaksanakan dengan BERSih dan ADil.

Pastikan anda mengikuti arahan-arahan yang diberikan. Sebarang masalah anda boleh rujuk kepada Field Commander atau Unit Amal yang bertugas pada perhimpunan ini.Ingatlah, peristiwa ini adalah peluang untuk anda sekali seumur hidup dan ianya akan kekal menjadi sejarah yang akan menjadi sebutan kepada anak cucu kita. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian dari sejarah ini
Konvoi belum start lagi, 2 penjara sudah disiapkan?

http://ustsaifulbahri.blogspot.com/

Presiden mengarahkan 300K peserta Bersih pada 9 Julai ini. Nampaknya Umno-BN dah kecut perut. Setiap media memainkan peranan untuk provokasi agar rakyat tidak menghadirkan diri. Ibrahim Ali nampaknya awal-awal hunus keris kontotnya mengajak bertempur. Pihak polis pun dah mengayat pelbagai akta untuk menjampi agar walk 4 justice gagal.

Tetapi adakah ianya memberi kesan? Bahkan provokasi itu sendiri merupakan iklan besar-besaran kepada semua lapisan rakyat. Pengumuman usul dalam muktamar yang dibawa oleh Timbalan Presiden Mat Sabu hanya dihadiri oleh pimpinan Pas sahaja. Ramai rakyat tak tahu pun… tetapi apabila media memberi ulasan dan larangan, menteri dalam negeri pun tumpang semangkok, nak dibawa usul dalam parlimen, digambar-gemburkan demikian rupa… itu adalah promosi percuma. Timakasih Umno-BN.

Kekadang mereka lupa, majoriti yang hadir demo itu onak-anak muda. Kalau dengar kata Ibrahim Ali nak bertempur, Hah!!! Lagilah mereka nak pergi. Kalau demo takde gas FRU.. bagi mereka tak seronok, mereka dah lama mengidam nak hidu gas ni… bayangkanlah kalau keluar 300k rakyat ke medan K.Lumpur tu.. sapa berani tahan???

Cukup ke anggota polis? Cukup ke penjara nak muatkan mereka semua?

Belum Berlayar, Israel Sudah Siapkan Dua Penjara Bagi Aktivis Freedom Flotilla 2

Tentera rejim Zionis Israel meningkatkan latihannya untuk mencegah masuknya konvoi Freedom Flotilla 2 ke Jalur Gaza.

Seperti dilaporkan media yang dipetik berita radio Israel menyatakan, berbagai unit tentera telah meningkatkan latihannya dan telah mengadakan gabungan tenaga. Pihak Israel juga telah mengosongkan dua penjara untuk menampung aktivis konvoi Freedom Flotilla 2 jika mereka berhasil ditangkap.

Konvoi Freedom Flotilla 2 terdiri dari 12 kapal dari 50 negara dan membawa lebih dari 1000 aktivis pendokong rakyat Palestine serta bantuan kemanusiaan. Konvoi bantuan kemanusiaan ini akan berangkat menuju Jalur Gaza akhir Jun ini.

Sementara itu, pada Mei 2010 tentera Israel dengan brutal menyerbu konvoi Freedom Flotillah pertama dan menembak mati sembilan warga Turki. Tetapi ia tidak mematahkan semangat juang untuk kebebsan Palestine. Bahkan semangat mereka semakin tinggi.
Selamat Datang peserta BERSIH 2.0 … masa inilah nak hidu gas pun…
Macamlah negara di ambang perang

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Julai: Mula-mula Umno Barisan Nasional (UBN) berkata peniaga akan rugi dan jalan akan jadi jam dan sesak jika perhimpunan jalan diadakan di Kuala Lumpur.

“Kini polis menutup puluhan jalan, apakah ia tidak menyebabkan sesak?

“Apakah dengan tutup semua jalan, larangan masuk KL tidak merugikan peniaga?” soal Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Suasana gila yang diwujudkan sekarang akibat tindakan kerajaan dan juga pihak polis yang tidak konsisten dan membingungkan, kata Tuan Ibrahim menzahirkan betapa UBN jadi serba tak kena.

“Mula-mula dulu serang habis-habisan Bersih 2.0 dengan melemparkan pelbagai tuduhan liar sehingga tahap mereka dituduh pengkhianat, mengganggu, pemusnah negara dan lain-lain.

“Kemudiannya, selepas Agong bertitah, Perdana Menteri sendiri memberikan cadangan agar perhimpunan aman itu diadakan di stadium, pilih mana-mana stadium, bertempiklah sampai pagi pun kita tak halang.

“Sekarang apabila Bersih 2.0 memilih stadium, nada penipu mula zahir – Bersih 2.0 terus dituduh sebagai pertubuhan haram, tak ada permit, melanggar undang-undang lalu dikeluarkan satu perintah mahkamah senarai semua pimpinan yang dilarang memasuki Kuala Lumpur, dan mula menyekat kereta tertentu.

“Inilah tanda Umno Barisan Nasional semakin gila, gila yang tiada lagi ubat,” kata beliau dengan sinis.

Rakyat juga tertawa dengan gelagat UBN terhadap Bersih 2.0, yang disifatkan Tuan Ibrahim sebagai tanda jelas bahawa parti pemerintah tersebut berada dalam kini keadaan betul-betul panik bagaikan bakal dimusnahkan dengan pilihanraya yang bersih dan adil.

“Belum pernah dalam sejarah negara, ada rakyat sendiri tidak dibenar masuk dan bergerak bebas ke ibu kota dengan puluhan jalan ditutup, sekatan jalan raya di seluruh negara, stesen bas dipindah, permit bas dibeku, apa-apa yang kuning dilarang dan lebih kronik lagi semua polis, FRU dan tentera diarahkan untuk standby …’macamlah’ negara berada di ambang perang,” kata beliau.

Bahkan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini turut menggambarkan suasana sedemikian dengan menggunakan 'KL darurat hari ini?' sebagai tajuk utama.

Selain menutup puluhan jalanan, polis semalam turut mendapat perintah mahkamah untuk menghalang hampir semua pemimpin tertinggi PAS termasuk dalam 91 individu untuk berada di ibu negara hari ini untuk perhimpunan aman di Stadium Negara.

Putrajaya juga bertindak untuk menutup Puduraya untuk sementara waktu mulai tengah malam semalam dan dipindahkan ke lokasi lain dipercayai untuk menghalang perhimpunan Bersih 2.0.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar memaklumkan pihaknya tidak akan mengeluarkan lesen sementara kepada bas kilang dan sekolah ke Kuala Lumpur.

Justeru itu, bas-bas ke utara dan timur akan beroperasi di perhentian Jalan Duta manakala bas-bas ke selatan pula akan bergerak dari Terminal Bas Bersepadu di Bandar Tasik Selatan.

Selain Hentian Puduraya, warga Kuala Lumpur boleh menggunakan perkhidmatan bas di Hentian Jalan Duta, Terminal Bas Bersepadu di Bandar Tasik Selatan dan Hentian Pekeliling.

Dengan ketakutan melampau yang ditunjukkan muktahir ini, Tuan Ibrahim berkata UBN kini boleh diibaratkan sebagai orang sakit tenat yang baru sahaja dimaklumkan oleh doktor yang hayatnya hanya ada beberapa bulan saja lagi.

“Bayangkan 'pesakit' hanya menghitung saat dengan penuh ketakutan dan kengerian - itulah realiti kepada reaksi Umno Barisan Nasional terutamanya Umno hari ini,” selar beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, sambil menyeru rakyat untuk ‘membungkus’ UBN yang gila ini pada Pilihan raya Umum ke 13 supaya ia tidak meracau lagi.

Sementara itu, polis menutup puluhan jalan yang menghala ke pusat bandaraya mulai jam 12.01 tengah malam tadi iaitu Lebuh Raya Seremban-Kuala Lumpur/Istana Baru, Jalan Sungai Besi/susur bulatan Sungai Besi dari arah Seremban, Bulatan Sungai Besi, Jalan Sungai Besi/Bulatan Pudu, Bulatan Pudu/Jalan Pudu, Bulatan Pudu/Jalan Pasar, Jalan Kajang/Bulatan Sungai Besi.

Jalan Chan Sow Lin/Jalan Tun Razak, Jalan Cochrane/Jalan Tun Razak (Jalan Pasar), Jalan Tun Razak/Kondo Ezora, Kondo Ezora/susur Jalan Sultan Ismail, Jalan Imbi, Bulatan Kampung Pandan, Jalan Selatan, Susur Jalan Tun Razak/Bukit Bintang, Lampu isyarat Jalan Tun Razak/Jalan Bukit Bintang, Jalan Kampung Pandan/persimpangan bertingkat ke PD 92, Jalan Tun Razak/Jalan Kia Peng, Jalan Tun Razak/Jalan Eaton, Jalan Tun Razak/Persiaran Stonor, Jalan Tun Razak/Lorong Kuda, Jalan Tun Razak/susur Jalan Ampang (Esso).

Jalan Tun Razak/Jalan Ampang, Jalan Tun Razak/Megan Phileo, Jalan Tun Razak/Jalan Yap Kwan Seng, Jalan Tun Razak/terowong KLCC, Jalan Tun Razak/Perkeso, Jalan Tun Razak/Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Jalan Tun Razak/parking IJN, Jalan Tun Razak/Bangunan IJN Baru, Jalan Tun Razak/Padang Bola HKL, susur Tun Razak/Bulatan Pahang, Bulatan Pahang, Jalan Genting Klang/terowong Bulatan Pahang, Jalan Pekeliling/Stesen Bas Pekeliling, susur Pekeliling/Jalan Ipoh, Jalan Ipoh/Jalan Rahmat.

Jalan Tun Razak/Jalan Tun Ismail, Jalan Tun Razak/susur Jalan Kuching, Jalan Tun Razak/susur PWTC (Sekolah Maxwell), Jalan Tun Ismail/susur Jalan Kuching (susur Kiblat), Jalan Tun Ismail/Jalan Putra, Jalan Putra/Jalan Raja Laut, Jalan Pahang/Jalan Raja Muda Abdul Aziz/Jalan Tuan ku Abdul Rahman.

Jalan Mahameru/susur Parlimen, Jalan Duta / susur Jalan Parlimen, Jalan Mahameru / Susur Parlimen (Muzium Negara), Jalan Mahameru/susur Wisma Tani, jejambat Wisma Tani, Jalan Mahameru/susur Carcosa, susur Jalan Damansara/Jalan Travers, Jalan Bangsar/Jalan Travers, Jalan Travers/Jalan Damansara (Balai Travers Lama), Jalan Kl Sentral/Muzium Negara, Jalan Klang Lama/Lebuh Raya Persekutuan, Jalan Klang Lama/Salak Expressway (pusingan U), Lebuh Raya Persekutuan/Jalan Syed Putra, susur Jalan Tun Sambanthan/Jalan Sulaiman, Jalan Sulaiman (KTM).

Tuesday, July 5, 2011

Diterima mengadap Agong bukti Bersih bukan haram

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat menyifatkan penerimaan mengadap pimpinan Bersih 2.0 oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin membuktikan pertubuihan itu bukan pertubuhan haram.

Sebelum ini, Datuk Seri Hishammmuddin Tun Hussien melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengumumkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram.

Yang Dipertuan Agung hari ini menerima mengadap tiga pemimpim Bersih 2.0 iaitu Pengerusinya, S Ambiga, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin

Ekoran pertemuan itu, kata sepakat dicapai perhimpunan Bersih akan diteruskan dan menerima pandangan Perdana Menteri, ia akan diadakan di stadium.

"Perkenan YDP Agong tersebut dijunjung kasih kerana bertujuan mendaulatkan sistem demokrasi yang selama ini tempang tanpa dilihat kukuh secara konkritnya," kata naib ketua Pemuda PAS, Raja Ahmad Al-Hiss.

Rakyat pertegaskan Rukun Negara yang selama ini dipegang akhirnya menatijahkan satu pendekatan yang selama ini tidak timbul dan YDP Agong akhirnya memecahkan tradisi akan kemelut yang telah lama melanda, kata beliau.

"Kami yakin titah yang telah dipertegaskan oleh YDP Agong tidak meletakkan mana-mana pihak betul dan secara lembutnya memberikan nasihat daripada Raja yang memerintah kepada rakyat di bawah naungannya," katanya.

Dalam keadaan itu, Pemuda PAS mendesak agar PDRM terutamanya yang jelas melanggari undang-undang dengan menjadikan Akta 47 sebagai BERSIH adalah pertubuhan haram terjawab di atas perkenan YDP Agong menerima majlis mengadap BERSIH 2.0 hari ini.

"Kami meminta agar seluruh rakyat yang ditahan oleh pihak Polis dibebaskan dengan serta-merta berikutan sambitan dengan Bersih 2.0 ini. Sesungguhnya titah YDP Agong seharusnya dihormati oleh semua pihak terutama Polis yang jelas melanggari hak asasi manusia," tambahnya.

Saturday, July 2, 2011

8 tuntutan Bersih sangat munasabah

Ismail Hashim

SHAH ALAM, 2 Julai: Dewan Pemuda PAS Selangor menyifatkan lapan tuntutan Bersih adalah sangat munasabah kerana telah lama dilaksanakan di negara lain.

Ketuanya, Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, tuntutan itu merupakan kehendak rakyat yang inginkan suasana pilihan raya berada dalam bersih dan bebas.

Kerana ketiadaan lapan perkara itulah maka Bersih terpaksa menganjurkan himpunan 9 Julai ini.

Hasbullah mempersoalkan kenapa susah sangat untuk kerajaan BN laksanakan semua tuntutan kerana ia paling mudah dilakukan.

Kecualilah, ujarnya, pihak terbabit mempunyai agenda tersendiri yang menyebabkan mereka tidak berani dan gagal memahami kehendak rakyat yang ingin suasana bersih di dalam pilihan raya.

Himpunan Bersih yang digerakkan berbagai NGO akan diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai dalam usaha menyerahkan lapan tuntutan kepada Istana Negara.

Lapan tuntutan itu adalah Bersihkan senarai undi, Mereformasikan undi pos, Gunakan dakwat kekal, Masa kempen minima 21 hari, Akses media yang bebas dan adil, Kukuhkan institusi awam, Hentikan rasuah dan Hentikan politik kotor.

Exco Pemuda PAS Malaysia itu menyatakan perkara ini ketika menjawab soalan media dalam Majlis Ramah Mesra Pemuda PAS Selangor bersama Media dekat sini, petang semalam.

Menurutnya, pihak penganjur memberi jaminan tentang keselamatan dan peserta himpunan sama sekali tidak akan membawa sebarang jenis senjata.

Bagi mereka, ia adalah himpunan aman yang dibenarkan oleh Perlembagaan Negara.

Dalam hal ini, Hasbullah menyatakan kekesalannya kerana pihak Kerajaan BN menghalang satu himpunan aman yang jelas dibenarkan oleh perlembagaan.

"Jika kerajaan tidak izinkan Bersih ini, kenapa pula perlembagaan dengan jelas membenarkannya?

"Halangan sebegini juga adalah antara sebab rakyat hendak berhimpun sangat pada 9 Julai ini.

"Apatah lagi bagi umat Islam, himpunan seumpama ini sangat digalakkan selagi mana ia diadakaa dalam keadaan aman seperti ibadat haji di Makkah," tegasnya.

harakahdaily.