ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Thursday, February 5, 2009

KESAN DARI PRK KUALA TERENGGANU

KESAN DARI PRK KUALA TERENGGANU


Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu telah lama berakhir pada 17 Januari lalu dan seperti yang sudah diketahui umum, calon PAS menang dengan kelebihan undi 2,631 mengalahkan calon BN-UMNO. Jelas, kemenangan tersebut hanya beberapa bulan selepas Pakatan Rakyat menang di Permatang Pauh melalui DS Anwar Ibrahim yang kini menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen. Ahli-Ahli UMNO terutama DS Najib seolah-olah tergamam dengan kemenangan itu. Pada mereka,hal itu tidak terduga,malah mereka terlalu yakin mampu menguasai Kuala Terengganu.

Namun, rakyat K.Terengganu sudah membuat pilihan. Mereka menolak UMNO-BN. Mereka memilih PAS-Pakatan Rakyat. Kini Abdul Wahid Endut adalah wakil Parlimen K.Terengganu,sesuatu yang tidak disangka sebelumnya khususnya oleh UMNO-BN. Tetapi bagi PAS dan PR kesemuanya itu sudah diduga berdasarkan perkembangan politik semasa tanahair dan kemorosotan sokongan rakyat terhadap UMNO yang kian berkurangan dari waktu ke waktu. Akan jadi PM-kah Najib? Hanya masa yang akan menentukannya, dan jawabannya hanya ada dua :ya atau tidak.Inilah mimpi buruk DS Najib kebelakangan ini.

Kekalahan UMNO-BN di tangan PAS-Pakatan Rakyat mungkin disebabkan oleh beberapa faktor berikut:

1.Parti UMNO sudah bersifat elit sejak kebelakangan ini, atau sekurang-kurangnya sejak Mantan PM Mahathir mengambil alih kuasa dari Tun Hussein Onn. Apabila ia bersifat elit, ia tidak lagi merakyat, atau ia sudah jauh menyimpang dari tujuan asal dan tidak lagi mesra rakyat. Hal ini menyebabkan rakyat sedikit demi sedikit mulai membenci UMNO-BN. Akhirnya mereka menolak UMNO-BN.

2.Politik Wang yang sudah terbukti memamah UMNO dari dalam sudah dapat dihidu oleh rakyat marhaen. Rakyat mulai yakin selama ini UMNO menang dengan membeli undi atau menang dengan kuasa wang. Satu kemenangan yang palsu dan nihil. Dengan begitu orang ramai meluat terhadap gejala seperti ini, lalu menolak UMNO-BN.

3.Putar belit royalti minyak Terengganu yang menjadi Wang Ehsan ketika PAS memerintah Terengganu kini sudah terserlah bila Wang Royalti itu dikembalikan atas usaha MB Terengganu yang baru. Namun ke manakah wang royalti itu? Masjid Kristal yang di bina oleh Idris Jusoh? Monsoon Cup? Kini rakyat Terengganu mengetahui ke manakah hasil minyak itu.Pemimpin merekalah yang membaham kekayaan bumi Terengganu itu, sedang rakyat terbanyak kekal miskin, sesetengahnya hidup kais pagi makan pagi.


4.Keterlibatan Najib dalam kes Altantuya adalah salah satu faktor yang dikira agak penting dalam penolakan terhadap UMNO-BN ini. Rakyat tidak dapat menerima seorang pemimpin seperti itu. Tiada siapa dapat menafikan penggunaan C4, penglibatan Abdul Razak Baginda yang menjadi penasihat politik Najib, dan lain-lain penglibatan dari pihak berkuasa tentera menjadikan rakyat yakin bahawa TPM itu terlibat dalam kes Altantuya. Rata-rata rakyat marhaen tidak dapat menerima kepimpinan seperti ini. Lalu mereka menolak UMNO-BN dari Permatang Pauh hingga ke K.Terengganu.

5.Kes PPSMI. Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris telah menimbulkan kontroversi yang tidak kunjung selesai sehingga saat ini. Rata-rata rakyat Malaysia menolak dasar ini yang diasaskan mantan PM Mahathir Mohamad. Rakyat dari semua kaum melalui badan-badan NGO, Persatuan-Persatuan Bahasa telah menyatakan kekesalan mereka dengan dasar yang telah berjalan lebih 5 tahun ini. Yang menjadi mangsa ialah murid-murid sekolah, khasnya orang Melayu. Persatuan GMP (Gerakan Menentang PPSMI) bercadang mengadakan perhimpunan 100,000 rakyat untuk menentang dasar ini yang dijangka diadakan pada 7 Mac depan. Gerakan ini yang diketuai oleh Datuk Hassan Ahmad akan mengadakan perhimpunan 100,000 rakyat bagi mendesak kerajaan BN-UMNO mengubah dasar ini. Namun sehingga ini kerajaan masih tetap dengan pendiriannya meneruskan dasar PPSMI yang akhirnya memberikan kekalahan dalam pilihanraya K.Terengganu.

Banyak lagi faktor lain yang menyebabkan kekalahan itu,namun cukuplah sekadar ini. Pembaca budiman boleh mencatit dan menambahpanjangkan senarai ini kalau mahu.
Begitulah setelah kalah di dua pilihanraya kecil, BN-UMNO masih merasakan mereka mendapat sokongan padu dari rakyat.Mereka masih menunjukkan kuasa,masih mempermainkan rakyat, dan tidak peka kepada kehendak perubahan rakyat marhaen.

Namun mereka juga sedar, dari kedua-dua pilihan raya kecil itu, senario politik Malaysia kian meuntut perubahan. Kemenangan Obama di Amerika sebagi Presiden Pertama kulit hitam bagi orang-orang berkulit putih adalah manifestasi bahawa manusia hari ini mahukan perubahan. Manusia tidak rigid macam robot.Begitulah juga di Malaysia. UMNO-BN telah pun memerintah selama lebih setengah abad. Itulah satu dari sekian banyak perubahan yang diinginkan oleh rakyat negara ini,namun gagal dibaca, atau sengaja tidak difahami oleh UMNO-BN. Perubahan dalam lanskap politik negara dapatlah dirumuskan kepada perkara-perkara berikut, di antaranya:-

1.Rakyat marhaen sudah jemu dan bosan dengan cara UMNO-BN memerintah. Pulau memulau,ugut mengugut, membeli undi dan paling terbaru membeli wakil rakyat yang sah dengan nilai jutaan ringgit menambah-bosankan lagi rakyat terhadap kerajaan yang ada.Malah ramai rakyat marhaen berpendapat sudah sampai masanya kerajaan harus ditukar.


2. Tindak-tanduk segelintir pemimpin UMNO-BN menaikkan rasa benci orang ramai terhadap kerajaan.Umpamanya tindakan Khir Toyo menghadiahkan penyapu kepada seorang pemimpin pihak berkuasa tempatan. Ini menunjukkan kesombongan dan keangkuhan para pemimpin kerajaan yang menyebabkan rakyat meluat melihat keadaan ini.Begitu juga dengan tindakan Zahid Hamidi misalnya yang amat tidak demokratik dengan menghalang pegawai-pegawai persekutuan menghadiri menyuarat kerajaan Negeri Perak. Ini menampakkan tindakan yang mengikut perasaan dan ketinggalan zaman. Ugutan adalah politik zaman kuno yang tidak dapat diterima oleh orang yang berilmu pada hari ini.

3. Rakyat Malaysia kini tidak lagi percaya cakap-cakap dan janji-janji para pemimpin kerajaan. Kesemua janji dan cakap-cakap seperti itu adalah seperti menanam tebu dibibir, apalagi di zaman siber ini, berbagai maklumat alternatif dapat disalurkan melalui laman-laman web, akhbar internet dan blog-blog yang lebih bebas sifatnya. Kini blog,laman web dan akhbar-akhbar internet lebih dipercayai dari media arus perdana. Segala berita yang disiarkan di media arus perdana akan dibandingkan dengan apa yang disiarkan oleh media alternatif, dan mereka menguji sejauh mana kebenaran sesuatu berita itu.

4.Corak dan pemerintahan kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat menjadi perhatian. Sesetengah rakyat memujinya kerana kerajaan pakatan lebih mesra rakyat,lebih telus dan lebih prihatin. Pemberian air percuma oleh Kerajaan Selangor untuk 20 meterpadu yang pertama, derma RM1000 bagi mereka yang melanjutkan pelajaran ke universiti dan berbagai keprihatinan kerajaan telah memukau sebahagian besar rakyat yang berada di bawah UMNO-BN. Mengapakah UMNO-BN yang sudah setengah abad memerintah, namun tidak melakukan perkara ini. Ini menunjukkan para pemimpinnya mementingkan diri, puak dan kroni sahaja. Rakyat marhaen dibiarkan mencari kehidupannya sendiri dengan bantuan ala kadar. Begitu juga apa yang dilakukan oleh kerajaan Perak , Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang. Semua ini membuatkan orang ramai teruja untuk duduk di bawah naungan Pakatan Rakyat.

5. Malaysia menuju ke arah sistem dua parti.Hal ini sama seperti Amerika dan Britain. Ada masanya kerajaan diperintah oleh Republikan, dan ada masanya diperintah oleh Demokrat. Pendapat ini sama dengan apa yang disuarakan oleh TG Hj Abdul Hadi, Presiden PAS dalam satu wawacancara dengan akhbar Harakah bil.1390 nertarikh 14-16 November,2008. Rakyat Malaysia sudah meluat dengan parti yang sama sahaja memerintah. Sistem ini jauh lebih baik, dan kedua-dua parti perlu menjaga kebaikan dan keutuhan serta kepercayaan rakyat kepada mereka jika hendak terus kekal memerintah.
Ini berbeza dengan corak satu parti seperti sekarang yang lebih bercorak feudal dan aristokratik.


Apa yang dapat ditulis adalah sebahagian sahaja kesan langsung dan tidak langsung dari pilihanraya kecil Kuala Terengganu. Nampaknya kita bakal menyaksikan lagi beberapa pilihanraya kecil dengan senario apa yang berlaku di Perak. Walau pun ramai orang tahu kuasa wang digunakan dalam kes di Perak, namun apakah tindakan SPRM yang baru ditubuhkan itu. Apakah ia berkuasa menyoal siasat DS Najib, sama seperti mereka menyoal-siasat Tan Sri Khalid Ibrahim, yang tujuannya hanya untuk majlis amal dan sedekah? Yang pasti, DS Najib cuba mengkucar-kacirkan negeri-negeri yang dikuasai oleh PR agar ia berasa selesa apabila menjadi Perdana Menteri kelak.

Sehubungan dengan itu, negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat harus dapat mengekalkan prestasinya,walaupun banyak ugutan dan rintangan yang terpaksa dilalui.PRU ke 13 sudah tidak berapa jauh. Mungkin ia milik Pakatan Rakyat, Insya’allah. Sama-samalah kita mempertahankannya dan berdoa untuknya agar dapat hidup lebih aman dan adil di bawah pimpinan yang juga lebih adil dan bijaksana.


AlKundangi,
3.2.2009.