ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Thursday, September 17, 2009

80% GOLONGAN MUDA TIDAK SOKONG BN-DAIM

80% Golongan Muda Tidak Sokong BN - Daim
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 16 Sept: 80 peratus dari golongan muda tidak menyokong Barisan Nasional (BN), kata bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.
Para siswazah menganggur, kebanyakannya Melayu, akhirnya terlibat dengan politik dan mereka menyertai PAS akibat rasa marah kepada kerajaan kerana tidak mempunyai pekerjaan, kata bekas Bendahari Umno itu di dalam temubual dengan China Press Ahad lalu.

Menurut beliau, keadaan sedemikian berlaku kerana kerajaan tidak memupuk bakat yang sepatutnya untuk kehendak pasaran.

Dalam temubual tersebut yang disiarkan oleh The Sun Online Ahad lalu, Daim berkata, universiti-universiti tidak menawarkan kursus-kursus yang menepati dengan kehendak industri mengakibatkan banyak siswazah tidak mempunyai pekerjaan disebabkan apa yang mereka pelajari tidak memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.

Beliau berkata, bukan sahaja golongan muda yang menentang kerajaan, malah kira-kira sejuta dari tiga juta ahli Umno juga tidak mengundi parti itu.

Menurut beliau, ramai ahli Umno yang hilang keyakinan kepada parti itu dan para pemimpinnya.

"Politik wang rasuah adalah masalah terbesar yang dihadapi oleh parti itu," katanya.

Di luar Umno pula, Daim percaya, perpecahan di dalam MCA akan menjejaskan kerjasama dan reformasi di dalam BN.

Rakyat, katanya, tidak menghormati mana-mana parti yang berpecah.

Manakala perubahan di dalam BN pula, katanya, terlalu perlahan untuk memenuhi kehendak rakyat.

"Rakyat mahu melihat perubahan, sama ada di dalam BN atau Pakatan Rakyat (PR), siapa yang lebih dahulu berjaya melaksanakan reformasi akan memenangi sokongan mereka," katanya.

Mengenai kemelut Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ), Daim berkata: "Kerajaan mesti menghukum kesemua yang melanggar undang-undang, hanya dengan cara itu ia boleh mengembalikan keyakinan umum".

Pada masa lalu, katanya, rakyat tidak melihat mereka yang menyalahgunakan kuasa dihukum.

Mengulas mengenai PR, beliau menyifatkan pakatan itu mengecewakan rakyat.

Rakyat, katanya, menaruh harapan yang tinggi kepada PR tetapi kerajaan negeri-negeri yang dikuasai PR terus memainkan peranan sebagai pembangkang.

"Jangan buang masa melemparkan tuduhan kepada BN, kamu adalah pakatan yang memerintah (di negeri-negeri yang dikuasai PR), kamu sepatutnya memfokuskan kepada usaha untuk menunaikan janji-janji pilihan raya kamu"

Beliau berkata, rakyat mula melihat bahawa PR tidak boleh melakukan dengan lebih baik berbanding BN, walaupun diberi peluang.

Itulah kekecewaan terbesar rakyat, katanya.

Forum Gerak Reformasi,
16.9.2009.

Wednesday, September 16, 2009

PAKATAN RAKYAT MAHU AMBIL ALIH KERAJAAN

Pakatan mahu ambil alih kerajaan

SHAH ALAM - Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) pada 12 Disember ini, adalah untuk mengukuhkan gabungan itu bagi mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden PKR, R Sivarasa berkata, konvensyen itu adalah pertama kali diadakan setelah PR yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

“Konvensyen ini bertujuan memperkukuhkan PR memandangkan di sinilah peluang untuk parti gabungan PR mencapai satu persetujuan dan prinsip perjuangan yang sama.

“Antara isu lain yang akan dibahaskan dalam konvensyen itu meliputi isu pengurusan ekonomi, dasar demokrasi, pentadbiran dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Kelmarin, Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan persetujuan mengadakan satu konvensyen besar-besaran bagi meletakkan hala tuju PR bagi tahun berikutnya.

Dijangkakan setiap parti akan menghantar wakil seramai 500 perwakilan.

Sivarasah turut menyangkal dakwaan bahawa konvensyen itu hanya untuk memperbetulkan kembali hala tuju parti gabungan PR yang dilihat semakin bertentangan di antara satu sama lain.

“Parti dalam PR masih mempunyai hala tuju dan perjuangan yang sama. Kita faham mana-mana parti politik ada perbezaan perjuangan politik. Jika semua fahaman sama, lebih baik berada dalam satu parti saja.

“Cadangan untuk mengadakan konvensyen ini dilakukan dengan lebih awal lagi bertujuan mengukuhkan PR dan menghalusi persefahaman politik antara satu sama lain bukan disebabkan hala tuju yang menyimpang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Strategik PKR, Tian Chua berkata, konvensyen ini adalah satu manifestasi untuk menunjukkan rakyat bahawa PR sentiasa bersatu padu dan mempunyai satu prinsip perjuangan yang sama dan mampu mentadbir kerajaan Malaysia.

“Dalam konvensyen ini, segala isu akan dibincangkan dalam satu pasukan,” katanya.

sinarharian.com.my
16.9.2009

DAP TIDAK PERALAT ORANG MELAYU

DAP tidak peralat orang Melayu

SHAH ALAM – DAP kesal dengan kenyataan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mendakwa parti itu memperalatkan orang Melayu apabila membuka keahlian kepada kaum itu.

Naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, dakwaan Shahrizat itu tidak berasas selain menunjukkan ketakutan UMNO bahawa sokongan orang Melayu sekarang sudah beralih kepada pembangkang khususnya DAP.

Menurutnya, cawangan DAP yang majoriti orang Melayu itu ditubuhkan di Kampung Lembah Kinrara, Puchong Kuala Lumpur dan dipengerusikan Haron Abdul Wahab.

“Kenyataan Shahrizat bahawa DAP tidak pernah memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu adalah tidak benar sebaliknya parti itu turut mengutamakan kepentingan kaum lain.

“DAP juga tidak anti – Islam dan tidak anti – Melayu malah mempertahankan dan melindungi semua kaum dan agama,” katanya.

“DAP juga menjamin hak-hak orang Melayu dan Islam malah turut menggalakkan lagi syiar Islam. Contohnya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah menyampaikan sumbangan ikhlas daripada prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

“Antaranya ialah pengiktirafan tinggi kepada pelajar-pelajar Melayu cemerlang, termasuk untuk penghafal Quran atau Huffaz dan peruntukan RM1.5 juta setiap tahun kepada sekolah-sekolah agama rakyat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ahad lalu, Sinar Harian melaporkan kenyataan Shahrizat yang berpandangan penubuhan cawangan DAP di kawasan majoriti Melayu di Puchong sebagai strategi parti itu untuk meraih sokongan daripada kaum Melayu

Tunku Abdul berkata, Shahrizat harus menghormati hak asasi rakyat Malaysia untuk memilih mana-mana pertubuhan politik dan berhenti daripada bermain dengan isu perkauman yang boleh mencetuskan syak wasangka antara rakyat.

Katanya, DAP bersedia menghulurkan salam persahabatan untuk membantu Shahrizat dalam menangani mana-mana isu yang melibatkan kezaliman dan ketidakadilan terhadap wanita, keluarga dan masyarakat.

www.sinarharian.com.my
16.9.2009

RAKYAT AKAN TOLAK PARTI BODOH SOMBONG- DR.M

Rakyat Akan Tolak Parti Bodoh Sombong - Dr.M

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Janji pembangunan dan perbuatan menabur wang tidak akan berkesan lagi apabila rakyat membenci parti yang bodoh sombong dan mengamalkan rasuah, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam apa yang dilihat sebagai respon segeranya terhadap sanggahan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu terhadap peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun semalam menulis mengenai "orang politik yang berpendapat jika dapat jadi Presiden parti maka kemenangan mereka dalam pilihan raya terjamin".

Walaupun tidak menyebut nama Samy Vellu, tulisan terbaru Dr Mahathir dalam blognya dilihat sebagai ditujukan kepada bekas Menteri Kerja Raya itu.

Sebelum itu, Samy Vellu membidas peringatan Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-63 Sabtu lalu.

"Perdana Menteri cakap, bila popular di dalam parti sahaja tak mencukupi. Perlu popular di kalangan rakyat juga.

"Biar saya cakap ini. Kalau popular di dalam parti baru anda bercakap di luar, dengan rakyat. Kalau tak, mereka akan tanya, siapa kamu?" kata beliau.

ImageDalam responnya itu, Dr Mahathir mendedahkan, orang politik yang percaya kedudukan sebagai presiden parti akan menjamin kemenangan pilihan raya itu "berusaha untuk menentukan kemenangan mereka melalui penyingkiran ahli yang tidak menyokong mereka, mengguna wang untuk membeli sokongan atau mengguna apa-apa kuasa yang ada pada mereka untuk menyogok, menjanji sesuatu kepada yang akan menyokong atau mengugut".

Hasilnya, kata bekas Presiden Umno itu, mereka menang dalam parti.

"Tetapi rakyat memerhati segala tindak-tanduk pemimpin dan ahli seperti ini.

"Apabila rakyat lihat perjuangan parti bukan lagi untuk rakyat; apabila mereka lihat rasuah dan ugutan yang menentukan kepimpinan, maka kepercayaan kepada parti dan pemimpinnya akan terhakis dan mungkin hilang lenyap," katanya.

Beliau mengingatkan, apabila pilihan raya umum diadakan maka rakyat dan ahli-ahli parti sebagai pengundi akan menyatakan kekecewaan mereka walaupun mereka tidak dapat membuat apa-apa terutama apabila mulut mereka tertutup.

Perkara itulah yang telah berlaku pada Pilihanraya Umum ke 12 pada 8 Mac tahun lalu, katanya.

"Apakah kekecewaan rakyat disedari oleh pemimpin dan parti-parti politik. Hingga kini tidak ternampak yang parti dan pemimpin sudah betul-betul sedar.

"Yang merebut jawatan masih merebut dengan penggunaan cara-cara lama. Pembersihan parti tidak juga dilakukan. Pengamal politik wang masih diterima dan diberi tempat.

"Ahli-ahli biasa parti tidak memprotes sikap lama diteruskan. Bahkan ramai juga ahli yang berpendapat apa salahnya menabur wang. Mereka juga akan dapat sedikit habuan," kata Dr Mahathir.

Bekas Pengerusi BN itu mengingatkan bahawa kelebihan undi sedikit sahaja kepada parti lawan akan menyebabkan kekalahan.

Dr Mahathir bagaimanapun tidak mengulas luahan kemarahan seorang perwakilan perhimpunan MIC itu yang mahu mengalungkan selipar pada gambarnya.

Seolah-olah membela tindakan itu, anak lelaki Samy Vellu, Vell Paari berkata, tindakan itu adalah semata-mata luahan kekecewaan terhadap Dr Mahathir dan pihak-pihak lain yang cuba campur tangan dalam urusan dalaman MIC.

Apa yang disifatkan sebagai luahan kekecewaan oleh Vell Paari itu berpunca dari pandangan Dr Mahathir sebelum itu.

Ketika diwawancara akhbar Tamil, Makkal Osai, Dr Mahathir berkata, masyarakat India mengundi pembangkang dalam pilihan raya umum lalu kerana marahkan Samy Vellu.

"Jika masyarakat India mahu kemajuan dan melangkah ke hadapan, mereka mesti singkirkan Samy Vellu," katanya.

Vell Paari juga mengulas kenyataan Najib yang dibidas ayahnya.

"Para perwakilan juga kecewa dengan ucapan (perasmian) Najib yang tersirat kritikan terhadap Presiden MIC dan menggesa dilakukan perubahan di dalam parti, seolah-olah beliau mahu pasukan presiden dikalahkan," katanya.

Kecaman perwakilan MIC terhadap Dr Mahathir itu bukanlah kecaman pertama kali dari dalam BN terhadapnya.

Tiga tahun lalu, Dr Mahathir pernah merungut terhadap penghinaan dan sekatan Umno terhadapnya.

"Ada yang panggil saya beruk, ada panggil iblis, ini budaya Umno yang baru".

Beliau juga berkata: "Yang itu (sekatan) lebih pelik, lebih menghina saya bahkan jadikan saya pariah dalam Umno. Saya bekas Presiden jadi pariah dalam Umno".

http://kedahlanie.blogspot.com
16.9.2009

Monday, September 14, 2009

PANDANGAN TUN DR. MAHATHIR DIJANGKA TEPAT

Pandangan Dr M tepat: Pas

KUALA TERENGGANU – Pas menganggap kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) berkemungkinan akan mengalami nasib seperti parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun sebagai suatu pandangan tepat.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, tidak mustahil UMNO dan BN akan tumbang sebagaimana parti LDP, selepas lebih 50 tahun parti berkenaan memerintah di negara matahari terbit itu.

Menurutnya, lebih jelas apabila beliau melihat sokongan rakyat dalam lapan pilihan raya kecil di negara ini semakin berpihak kepada pembangkang dan sokongan rakyat terhadap pembangkang tidak berganjak walaupun pelbagai isu berlaku di negeri ditadbir Pakatan Rakyat (PR).

“Kita menyedari UMNO dan BN menghadapi masalah krisis keyakinan paling teruk ketika ini ditambah dengan masalah dalaman MCA, MIC dan Gerakan sehingga terpaksa menggunakan isu perkauman bagi menarik perhatian rakyat.

“Perkara ini sebenarnya tidak pernah berlaku dalam politik negara dan apa yang Dr Mahathir katakan adalah tepat,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Dr Mahathir kelmarin berpendapat UMNO dan BN mungkin akan mengalami nasib sama seperti LDP di Jepun yang ditolak rakyat negara itu setelah memerintah negara tersebut lebih 50 tahun.

Dr Mahathir berkata, situasi politik yang berlaku dalam UMNO dan BN dilihat seakan-akan mengikut jejak langkah Jepun dan tidak mustahil pilihan raya akan datang, fenomena yang sama turut berlaku dan berpendapat BN hanya boleh diselamatkan jika prestasi pembangkang lemah.

Dr Syed Azman yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan Terengganu berkata, kenyataan Dr Mahathir berhubung perkara itu disifatkan sebagai amat berani.

“Kita mengucapkan terima kasih atas pandangan berani itu walaupun beliau tidak lagi memimpin kerajaan,” katanya.

Menurutnya, PR kini sedang memperkukuh kedudukan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Katanya, komponen parti PR bukan sahaja akan mengekalkan empat negeri yang diterajui pembangkang, malah dengan kekuatan dan kepercayaan yang ada, beliau yakin PR mampu menawan Malaysia.

http://sinarharian.com.my
14.9.2009

KEGANASAN ANTI ISLAM DI BRITAIN CETUS KEBIMBANGAN

Keganasan anti-Islam cetus kebimbangan

LONDON - Pertempuran antara penunjuk perasaan anti-Islam dengan kumpulan belia Islam di beberapa bandar utama di England kini mencetuskan kebimbangan kerajaan Britain.

Keganasan kelmarin berlaku selepas penunjuk perasaan anti-Islam membantah pembinaan sebuah masjid lima tingkat dekat masjid utama Harrow, pinggir London.

Menteri Komuniti, John Denham menggambarkan kekacauan itu seperti pergolakan yang berlaku ketika era fasis pada 1930-an.

"Keganasan yang tercetus akibat demonstrasi anti-Islam di pinggir London kelmarin membahayakan Britain," katanya.

Keganasan yang berlaku di Luton, Birmingham dan London sejak beberapa minggu lalu membabitkan kumpulan berfahaman keras seperti Liga Pertahanan Inggeris (EDL) dengan pertubuhan anti-fasis dan golongan muda Islam.

Dalam wawancara disiarkan kelmarin, Denham menuduh penunjuk perasaan anti-Islam sebagai sengaja mencetuskan kekacauan.

"Taktik mengapi-apikan dengan niat mencetuskan keganasan dan kekacauan sudah lama dilakukan kumpulan berfahaman keras dan ekstrem. Ia mampu mengulangi tragedi Cable Street pada 1930-an," katanya.

Denham merujuk kepada rusuhan kaum yang berlaku pada 1936 yang dicetuskan oleh ketua fasis Britain, Oswald Mosley yang disertai penunjuk perasaan Yahudi, komunis dan anarki.

EDL menolak gelaran fasis yang dilabelkan kepada kumpulan itu dan menegaskan ia hanya menentang militan Islam.

Jurucakap Majlis Islam Britain (BMC), Inayat Bunglawala berkata, alasan yang digunakan EDL bertujuan untuk menyembunyikan sikap anti-Islam oleh kumpulan itu.

Menurutnya, BMC menyaksikan peningkatan insiden anti-Islam termasuk serangan ke atas masjid-masjid sejak beberapa bulan lalu.

"Ini adalah perkembangan yang sangat membimbangkan," katanya.


http://sinarharian.com.my
14.9.2009

PRK BAGAN PINANG 11 OKTOBER

PRK Bagan Pinang 11 Okt

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 11 Oktober depan sebagai tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tarikh penamaan calon pula ditetapkan 3 Oktober manakala tarikh keluar writ dan notis masing-masing pada hari ini dan esok.

Katanya, pilihan raya kecil tersebut akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2008 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2009 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Kedua 2009 yang telah dikemas kini sehingga 4 September lalu.

"Daftar pemilih ini mengandungi 13,664 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat SPR di sini hari ini.


DUN Bagan Pinang mengalami kekosongan selepas penyandangnya, Azman Mohammad Noor yang mewakili Barisan Nasional (BN) meninggal dunia pada 4 September lalu. - Bernama

SURAT-SURAT MARYAM JAMEELAH- S.A.ALMAUDUDI (III)

SURAT-SURAT MARYAM JAMEELAH- S.A.ALMAUDUDI (III)


Lahore,
21 Januari 1961.


Yang Mulia Puan Margaret Marcus,
Assalamu 'alaikum.


Surat puan bertarikh 5 Disember, 1960 telah tiba di sini ketika saya bertolah ke Saudi Arabia kerana memenuhi undangan Raja Ibnu Sa'ud. Baginda berhasrat untuk menubuhkan sebuah universiti di Madinah dan baginda telah menjemput saya supaya menyediakan kertas kerja untuk maksud itu. Kerana itu saya berjauhan dari rumah kira-kira sebulan lamanya. Sekembalinya saya dari Madinah barulah saya menerima surat anda bersama-sama tiga potongan rencana-rencana anda. Saya tidak keterlaluan menyatakan betapa gembiranya saya membaca surat dan rencana-rencana anda.

Saya sengaja menyebut ucapan assalamu'alaikum kepada anda di permulaan surat ini, satu ucapan yang biasanya diucapkan kepada orang Islam sahaja. Sebabnya walau pun anda masih dalam peringkat berfikir untuk memeluk agama Islam, namun saya yakin bahawa anda telah pun menjadi seorang Muslimah. Seorang yang beriman dengan keesaan Allah, dengan kerasulan Muhammad SAW sebagai Nabi yang penghabisan dengan kitan suci AlQuran selaku kalamnyadan dengan hari akhirat, maka ia adalah seorang Muslim yang benar samada ia dilahirkan dalam keluarga Yahudi, atau dalam keluarga Kristian atau dalam keluarga penyembah berhala. Fikiran-fikiran anda menunjukkan bahawa anda benar-benar percaya kepada rukun iman tersebut. Kerana itu saya menganggap anda seorang Muslimah dan saudara seiman dengan saya. Untuk memeluk Islam seseorang tidak perlu melalui upacara mandi Baptis dan upacara menukar agama di hadapan seorang paderi. Seandainya anda yakin kepada kebenaran Islam, maka yang perlu kepada anda ialah mengucap dua kalimah syahadah, "Tiada Tuhan yang benar melainkan Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah."

Setelah itu anda sebaiknya memilih nama-nama Islam (seperti Aisyah atau Fatimah) kemudian mengumumkan nama dan agama anda itu kepada umum agar dunia Islam seluruhnya mengetahui bahawa anda adalah seorang anggota dalam persaudaraan besar Islam. Setelah itu anda harus mendirikan sembahyang lima waktu sehari semalam serta mengikut perintah-perintah Islam yang lain dengan patuh. Saya melihat bahawa anda telah benar-benar berada di ambang pintu Islam, hanya dengan satu langkah sahaja anda akan berada dalam pangkuan mukmin. Saya fikir langkah penghabisan ini merupakan satu langkah yang natural dan satu langkah penamat yang logik kepada kepercayaan-kepercayaan anda.

Penolong pribadi saya telah pun mengirimkan kepada anda beberapa risalah karangan saya termasuk risalah yang disebut oleh anda. Selain itu sekarang saya kirimi pula beberapa buah buku karangan saya yang lain. Ketika membaca rencana-rencana anda saya seakan merasa membaca fikiran-fikiran saya sendiri. Saya harap anda juga mengalami perasaan yang sama apabila membaca buku-buku karangan saya, walaupun di antara anda dan saya tidak pernah ada perkenalan sebelumnya. Perasaan saling simpati dan persamaan fikiran yang wujud sekarang ini secara langsung adalah hasil dari hakikat bahawa kita berdua sama-sama mendapat ilham dari sumber yang satu dan sama.

Tokoh-tokoh Islam yang berjiwa Barat yang disesali oleh anda sebagai mereka yang tidak mempunyai semangat Islam itu sebenarnya adalah hasil yang paling buruk dari penjajahan Barat ke atas negeri-negeri Islam. Pukulan penjajahan yang paling teruk ke atas diri kita bukanlah di bidang politik dan ekonomi, tetapi di bidang akal dan semangat. Penjajahan telah melahirkan ramai manusia-manusia abdi di kalangan umat Islam dan walaupun selepas kita mencapai kemerdekaan politik, namun jiwa mereka tetap terkongkong kepada Barat, dan mereka tetap setia menurut jejak langkah tuan-tuan emas mereka. Bertolak dari hakikat ini, saya beranggapan perjuangan pembebasan kita belum lagi tamat, malah kita terpaksa menghadapi satu perjuangan yang panjang untuk menentang bumiputera yang berjiwa asing itu.

Kini saya terpaksa menyatakan rasa terperanjat saya yang mengembirakan terhadap satu persoalan; saya ingin mengetahui bagaimana dan bila seorang wanita Muda Amerika seperti anda dapat mencapai makna pengertian Islam yang sedemikian jelas dan tulin? Bolehkah anda melapangkan waktu untuk menulis sedikit ringkasan cerita tentang perkembangan fikiran keislaman anda dan hantarkan kepada saya? Saya cukup menyedari tentang perasaan kesaorangan yang sekarang dialami anda akibat tidak wujudnya masyarakat Islam di tempat anda. Tidak syak lagi bahawa itulah satu pengalaman yang paling pahit oleh seorang Islam yang hidup dalam negeri yang bukan Islam. Tetapi anda mungkin terhibur bila anda mengetahui bahawa di dalam dunia sekarang setiap Muslim sejati adalah sama-sama mengalami perasaan kesaorangan seperti yang dialami anda, sekalipun perasaan itu terkurang atau berbeza daripada apa yang anda alami.

Seandainya anda kebetulan berkunjung ke Pakistan, saya amat gembira sekali untuk menemui dan menyambut anda sebagai tamu saya. Alangkah gembiranya bagi saya dan keluarga saya, jika anda dapat berkunjung ke sini dan tinggal bersama kami menunaikan fardu puasa yang akan jatuh pada tahun ini mulai 17 Februari dan 18 Mac nanti. Saya akan berada di Lahore sehingga penghujung bulan Mac, selepas itu saya berazam untuk melawat Afrika di mana saya akan mengatur kerja-kerja dakwah Islamiyyah, Insyaallah. Saya akan pulang semula ke Lahore di akhir bulan Mei nanti dan selepas itu bercadang untuk tinggal di Lahore di sepanjang tahun yang masih berbaki itu. Oleh itu jika kebetulan anda berkunjung ke sini, anda akan menemui saya di rumah kediaman saya.

Saudara seIslam,
Abul "Ala Almaududi.

Disunting oleh AlKundangi,
dari Surat-Surat Maududi-Maryam Jameelah,
terjemahan Dr.Yusoff Zaki Yaacob.

http://alkundangi.blogspot.com
13.9.2009