ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Saturday, December 11, 2010





ADIL
oleh:
Kembara Bahasa

Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas menghuraikan konsep 'adil' sebagai sesuatu yang bertitik tolak pada diri sendiri - kenal akan siapa dirinya, tahu tentang kedudukan dan kemampuannya, tanggungjawabnya kepada Pencipta, dirinya dan makhluk lain. Tanpa semua itu, seseorang kehilangan adab, kerana tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya yang wajar. Akibat tiadanya keadilan dan adab, berlakulah kezaliman.

facebook,
Kembara Bahasa

Thursday, December 9, 2010

Talian hayat terakhir UMNO/BN sedang diperkemaskan...!!

Umno BN perkemas talian hayat ‘undi pos’
Muhammad Yusri Amin [Harakah]

KOTA BHARU, 8 Dis: Pengerusi Perkaderan Lajnah PAS Kelantan, Abdul Fattah Mahmood berkata Umno BN kini berusaha menyambung 'talian hayat'nya dalam usaha mendominasikan pemerintahan dengan memperkemaskan 'undi pos'.

Ini dilakukan setelah mereka gagal dalam usaha mengekalkan talian hayat dengan mengharapkan undi dari kaum Cina dan India di mana 'tongkat dan talian hayat' itu telah pun dipatahkan oleh Pakatan Rakyat (PR).

"Dan sekarang mereka menggunakan tongkat dan 'talian hayat' yang masih ada kepada mereka iaitu 'undi pos'. Sesungguhnya kita Pakatan Rakyat telah mengingatkan berulang kali bahawa Malaysia sebuah negara yang merdeka, sepatutnya tidak ada lagi undi pos, bahkan dihapuskan.

“Tetapi malangnya sekarang ini undi pos ini ditambahkan lagi," katanya.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri mendakwa apa yang berlaku kini isteri kepada tentera, polis dan yang terbaru anak-anak kepada polis pun diminta mendaftar untuk dijadikan undi pos.

"Ini sesuatu yang sangat malang kepada sistem demokrasi di Malaysia ini," dakwa Fattah kepada media selepas meraikan rombongan daripada Sabah dan Sarawak di Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 10 di sini pagi ini.

Beliau amat mengharapkan kerajaan menimbang kembali supaya undi pos ini dihapuskan.

"Tak perlu ada lagi undi pos. Ini kerana mereka (pengundi berkenaan) boleh mengundi awal, atau apa alasan sebenarnya masih diwujudkan undi pos itu?

"Apa alasannya sebenarnya undi pos ini?

"Pada masa dahulu, undi pos ini diwujudkan adalah atas dasar (alasan) 'dharurat' tetapi kini dalam keadaan negara kita yang aman damai ini, undi pos masih berterusan.

“ Sepatutnya undi pos ini dihapuskan, ini kerana ada kaedah lain yang lebih telus dan lebih demokratik," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menambah adalah menjadi rahsia umum bahawa pihak tertentu akan mengambil kesempatan menerusi peruntukan 'undi pos' itu khususnya dalam pilihan raya bagi mengekalkan kemenangan parti mereka.

"Kita mengatakan bahawasanya Umno BN sekarang ini mereka terpaksa mengguna 'talian hayat' dan yang terakhirnya melalui 'undi pos'.
sebagai talian hayat mereka yang terakhir,” katanya.

kedahlanie.
UNDI POS SEBAGAI LANGKAG TERAKHIR UMNO?

Semua rakyat jadi pengundi pos
Fadhil Osman [Harakah]

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) membantah sekeras-kerasnya cadangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang mahu menjadikan golongan doktor, jururawat, juruterbang dan wartawan sebagai pengundi pos.

DPPWP berpendapat, menggunakan sistem undi pos terhadap golongan profesional ini menutup lagi ruang demokrasi negara yang kian dipertikaikan rakyat.

DPPWP menegaskan undi pos adalah talian hayat kerajaan UMNO-BN. Cadangan SPR seakan mahu menambah lagi jangka hayat pemimpin UMNO-BN terutama di kawasan yang mereka tidak selamat. Apakah SPR mahu menjadi sebuah lagi parti komponen Barisan Nasional dengan menjalankan usaha yang licik buat membantu memenangkan UMNO-BN dalam PRU ke 13?

Sistem undi pos telah lama dipertikaikan rakyat. Apakah jaminan SPR ketelusan undi pos dapat dijalankan dengan baik memandangkan ada pengalaman anggota tentera yang tidak dapat mengundi pos semasa mereka bertugas kerana telah diundi oleh pihak atasan mereka?

Dalam Pilihanraya kecil di Bagan Pinang, daftar pemilih SPR tidak sama dengan daftar pemilih tentera, serta kertas undi boleh diserahkan di mana-mana termasuk di kompleks beli belah. Bagaimana kertas undi yang dipos dua hari sebelum mengundi mampu dipulangkan balik tepat pada masanya tanpa berlau kesilapan.

Hampir setiap pilihanraya kecil atau umum, kemenangan besar calon BN diraih melalui undi pos dan terlalu sedikit yang mengundi calon pembangkang. Mungkinkah semua anggota tentera adalah ahli BN atau pengundi tegar BN di mana-mana kawasan?

Dalam kes anggota tentera, DPPWP mempersoalkan keperluan SPR menjadikan golongan ini sebagai pengundi pos memandangkan suasana negara yang tidak mendesak sedemikian. Dalam keadaan aman dan tenteram sebeginilah, ruang demokrasi perlu dibuka seluas-luasnya dengan memberi peluang anggota tentera mengundi sebagaimana pengundi yang lain.

Alasan SPR mahu menjadikan kumpulan profesional ini sebagai pengundi pos hanya semata-mata mahu memberi peluang kepada mereka untuk mengundi kerana terlalu sibuk bekerja adalah alasan yang tidak boleh diterima. Golongan ini bekerja mengikut jadual dan syif.

DPPWP tidak fikir sekiranya mereka turun mengundi mengikut jadual sepertimana golongan profesional yang lain, menyebabkan operasi kerja mereka terjejas. Kalaulah mereka tidak berpeluang mengundi kerana sedang bekerja, mereka tidaklah mewakili golongan majoriti yang perlu dijadikan sebagai pengundi pos.

Dalam hal ini, SPR perlu mengelak hari bekerja sebagai hari mengundi sepertimana yang dibuat ketika beberapa pilihanraya kecil baru-baru ini. Ini lebih menyukarkan semua golongan bekerja untuk turun mengundi.

Sekiranya SPR berkeras juga mahu menjadikan golongan doktor, jururawat, juruterbang dan wartawan sebagai pengundi pos, DPPWP mengesyorkan agar menjadikan semua golongan profesional sebagai pengundi pos.

Bukan setakat itu, mahasiswa yang layak mengundi, penoreh getah, pekebun, pemandu teksi dan bas, nelayan, peniaga dan lain-lain juga boleh dijadikan sebagai pengundi pos memandangkan semua golongan ini sibuk bekerja dan tidak mampu meninggalkan tempat kerja mereka untuk turun mengundi. Dengan demikian, mudahlah BN meraih kemenangan besar dalam PRU ke 13 akan datang!

Penulis adalah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Wednesday, December 8, 2010

TPM BUKAN MELAYU?

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyifatkan dakwaan Umno yang memanipulasi kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu pelantikan Timbalan Perdana Menteri (TPM) ibarat sampah busuk berbau hanyir.

Beliau berkata, propaganda yang dimainkan media milik Umno itu menunjukkan mereka berhadapan situasi tenat dan tidak ada harapan untuk dipulihkan lagi.

“Permainan media telah digunakan dengan amat dahsyat di dalam memanipulasi kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Apa yang peliknya dengan budaya media milik Umno? ‘Islam plastik’ yang pernah saya tuturkan satu ketika dahulupun pernah dilaporkan sebagai ‘Islam Palestin”. Salah dengar dan salah lapor ialah satu budaya biasa dalam amalan media milik Umno,” katanya dalam kenyataan media kepada Keadilan Daily hari ini.

Sin Chew Daily pada 27 November lalu memutarbelit kenyataan Anwar dengan menyiarkan tajuk laporan wawancara bersama Anwar “Kit Siang jadi Timbalan kalau saya jadi PM” manakala Utusan Malaysia keesokannya turut menyiarkan laporan yang sama.

Menurut Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS, Pakatan Rakyat tidak pernah membuat apa-apa keputusan dan mengadakan sebarang perbincangan mengenai perkara ini.

“Hari ini, isu perlantikan Timbalan Perdana Menteri ini diolah sekali lagi oleh media milik Umno dengan begitu hebat. Lalu dijemputlah segala pemimpin-pemimpin Umno segenap lapisan untuk memberikan ulasan.

“Seolah-olah Umno satu-satunya parti yang mempertahankan Melayu, seolah-olah bangsa Melayu ini hanya akan berdaulat melalui keris tumpul Umno dan seolah-olah rebah Umno bererti rebahlah Melayu. Hanyir dan busuk sekali dakwaan-dakwaan sampah yang disebar luas ke dalam minda masyarakat pada hari ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Nik Aziz turut mengingatkan rakyat di negara ini khususnya orang Melayu supaya tidak melupakan sejarah tanah air dan mengenali siapa pengkhianat bangsa dan agama sebenarnya.

“Lupakah kita bahawa Umno pernah menyerahkan kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang kepada Gerakan sekalipun Umno yang mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri? Di waktu itu, ke mana perginya ketuanan Melayu? Tersorok di dalam songkok tinggi Umno? Ketika itu, ke mana perginya professor-profesor bertaraf cendikiawan yang sibuk mengulas isu ketuanan Melayu pada hari ini?

“Peliknya apabila Tun Dr Mahathir (Mohammed) sendiri menggesa supaya dilupakan asal usul keturunan demi menjayakan 1Malaysia, tidak pula didesak untuk diusir keluar negara? Bukankah melupakan asal usul keturunan ertinya melupakan Ketuanan Melayu?” soalnya.

Apa yang penting menurut Nik Aziz adalah dasar dan jika dasar Islam, sesiapapun boleh menjadi pemimpin.

“Di Kelantan saya pernah mengeluarkan kenyataan berkali-kali bahawa Menteri Besar Kelantan boleh terdiri daripada seorang yang berbangsa Cina dengan syarat merupakan seorang muslim yang soleh.

“YB Lim Kit Siang atau sesiapapun boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri sekalipun tidak mempunyai apa-apa halangan, syaratnya merupakan seorang Muslim yang soleh. Seorang Muslim yang soleh sekalipun bukan Melayu jauh lebih bermanfaat untuk negara ini dari seorang Melayu yang korup!” kata Nik Aziz.

Tegas Menteri Besar itu lagi, pendiriannya dari dahulu hingga sekarang tidak pernah berubah bahawa bangsa tidak mempunyai sebarang nilai di dalam Islam.

“Melayu, Cina atau India tidak pernah mempunyai sebarang nilai tambah di sisi Allah SWT melainkan dengan taqwa. Seorang yang berbangsa Cina tetapi bertaqwa kepada Allah SWT jauh lebih mulia dari seorang yang berbangsa Melayu tetapi hidup dengan rasuah, menindas, mengkhianat dan sebagainya.

“Sekalipun songkok setinggi tiga jengkal di kepala, tanpa taqwa kepada Allah SWT, ia tidak mempunyai sebarang nilai,” katanya.

zulmamakpng.blogspot.com

Monday, December 6, 2010

Islam selamat, TPM Cina bukan isu
Dr.Abd.Aziz Bari

Saya sudah banyak kali menjelaskan peruntukan undang-undang tentang jawatan Perdana Menteri dan isu kaum. Sebab itu ia tak perlu diperkatakan lagi. Ia sudah jelas.

Ketika ditanya media, saya menyatakan oleh kerana undang-undang sebagaimana dipaparkan perlembagaan sudah jelas, apa yang perlu ditekankan sekarang ialah mengapa ia begitu. Saya menyebut soal masa depan Islam dan Melayu tidak berbangkit kerana soal-soal itu adalah bidang kuasa raja-raja, bukan politik. Malangnya oleh kerana soal-soal itu telah dirampas orang politik, maka bidang kuasa itu tidak kelihatan lagi. Raja-raja hanya muncul sekali-sekala membuat kenyataan. Malangnya ada kenyataan yang menyasar dan hanya menguntungkan pihak tertentu sahaja. Oleh sebab itu rakyat biasa tidak nampak kepentingan raja-raja.

Lebih malang lagi ada yang memasukkan sisi Islam ke situ: mereka melihat betapa kedudukan Melayu sebagai Perdana Menteri penting di sisi Islam. Ini sebenarnya boleh dipersoalkan kerana yang meneruskan peranan khalifah ialah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja, bukan Perdana Menteri atau Menteri Besar atau Ketua Menteri. Sebab itu orang Pas, apabila Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan yang Lim Kit Siang boleh jadi Timbalan Perdana Menteri, ada yang gelisah.

Kita kena lihat prinsip dan peruntukan. Ini kerana apabila saya sebut bahawa yang meneruskan peranan khalifah itu ialah raja-raja ada yang sinikal. Ini saya faham kerana mereka melihat kebanyakan raja tidak mempunyai ciri khalifah itu. Tetapi kita harus sedar bahawa bukan semua sultan di bawah kerajaan Uthmaniah yang dianggap khilafah terakhir itu berperibadi seperti khalifah yang empat. Kita bicara soal kedudukan dan peranan, bukan soal peribadi. Masalah peribadi boleh diselesaikan dan diperbaiki. Orang Pas perlu ingat, kenyataan Nik Aziz itu bagus; khususnya apabila mereka kata Pas untuk semua.

Dalam senario itulah saya mengatakan, adalah lebih baik mempunyai Perdana Menteri bukan Melayu dan bukan Islam yang menghormati perlembagaan daripada mempunyai Perdana Menteri Melayu yang meletakkan dirinya atas per-lembagaan. Kita sudah saksikan fenomena ini: apa yang berlaku di bawah pentadbiran Mahathir selama 22 tahun yang berakhir pada 2003 cukup jelas.

Apa yang ditunjukkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Pulau Pinang sejak Mac 2008 boleh dijadikan alasan. Apa yang penting dalam soal Islam dan Melayu ialah Raja-raja memainkan peranan sebagaimana dikehendaki Perlembagaan. Saya sudah menjelaskan bahawa Islam, termasuk hudud dan qisas tidak dilarang perlembagaan. Sebab itu saya menegaskan, tidak ada salahnya mencuba menerima Perdana Menteri – dan bukan setakat Timbalan Perdana Menteri yang tidak disebut pun oleh Perlembagaan – bukan Islam.

UMNO membuat bising kerana hendak mengipas sentimen dan ketakutan orang Melayu yang miskin dan melarat. UMNO amat tertekan kerana isu-isu seperti membasmi rasuah, memperkasa ketelusan, pertanggungjawaban dan politik baru bukan isu mereka.

Selama 53 tahun ini apa yang UMNO buat untuk mempertahankan Islam dan Melayu? Saya tidak mengatakan mereka gagal terus. Secara adil saya fikir UMNO hanya dapat mencapai sekitar 40-50 peratus sahaja dan ini bukanlah pencapaian membanggakan. Sepatutnya Islam dan Melayu bukan lagi isu kerana ini semua telah pun diberikan kedudukan yang istimewa dalam perlembagaan. Siapa yang membatalkan peruntukan sekolah agama rakyat?

Siapa yang menentang pelaksanaan hudud dan bagaimana dengan soalan Lim Guan Eng tentang peruntukan saham untuk Bumiputera sebanyak RM53 bilion yang lesap itu?

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu mengikut budaya politik UMNO yang menjadikan isu TPM isu penting. Kalau ditakdirkan Pakatan Rakyat menang, Anwar boleh membentuk Kabinet tanpa TPM. Ini kerana Kabinet bergerak secara kolektif. Sekiranya Perdana Menteri terpaksa meletakkan jawatan dan yang baru terpaksa dilantik ia bukan masalah besar. Kata orang, satu pergi 10 datang. Siapa yang tidak mahu jadi Perdana Menteri?

Dalam keadaan seperti itu, satu mekanisme boleh dibuat untuk memilih pemimpin kerajaan yang baru. Saya fikir Ahli-ahli Parlimen Pakatan cukup bijak dan matang. Mereka tidak akan bergaduh merebut jawatan sehingga kapal karam. Kalau itu berlaku pun kita tidak akan ketandusan Perdana Menteri kerana parti lawan pasti akan mengemukakan calon alternatif. Jadi apa masalahnya?

Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang selama lebih 21 tahun

sinarharian.com.my
SPRM tahan Khir Toyo di pejabatnya di Shah Alam

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Khir Toyo hari ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di pejabatnya di Shah Alam kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Pengarah Siasatan SPRM Mustafar Ali berkata, Khir Toyo akan dibawa ke Mahkamah Seksyen Shah Alam untuk dituduh di bawah Sekyen 165 Kanun Keseksaan atas kesalahan rasuah.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung penangkapan tersebut.

Di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, seseorang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Difahamkan, penahanan Khir Toyo berkaitan dengan dakwaan bahawa beliau menerima rasuah berhubung pembelian tanah untuk 'Istana Khir' iaitu rumahnya yang ala Bali di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Khir Toyo, 45, menjadi Menteri Besar Selangor yang ke-13 pada Ogos 2000 ketika berumur 35 tahun dan merupakan penjawat jawatan Menteri Besar yang termuda.-Bernama


sinarharian.com.my
Umno-BN gagal pecahkan PAS dengan DAP

Isnin, 06 Disember 2010 07:55 BlogMaster
Hubungan kerjasama yang bertambah erat antara PAS dan DAP hari ini berjaya memecahkan tembok yang sekian lama dibina Umno-BN untuk memisahkan kelompok utama bangsa Melayu dan Cina di negara ini. Ini kerana, sejak 50 tahun yang lalu Umno-BN lah yang telah membina tembok itu untuk memisahkan kedua-dua kaum tersebut.

Menurut Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar, apa yang berlaku sekarang, hubungan intim PAS-DAP sangat dicemburui bahkan ditakuti oleh Umno BN sehingga mereka cuba menanam sentimen dan menakut-nakutkan kaum Melayu.


"Inilah yang menjadi ketakutan Umno-BN terhadap hubungan PAS dan DAP yang berjaya memenangi orang bukan Islam. Orang Melayu dan Cina bergabung memecahkan tembok yang dibina oleh Umno sekian lama," katanya ketika dihubungi Harakah.

Jelas Mahfuz, apabila Umno-BN berdepan dengan orang Melayu mereka akan mencanangkan DAP akan mengetui Pakatan Rakyat jika parti itu berjaya memerintah dan begitulah sebaliknya.

"Umno-BN jadikan DAP seperti 'lembaga hitam' untuk menimbulkan ketakutan orang Melayu, sekali gus menjejaskan masa depan kaum itu.

"Apabila Umno pergi kepada orang Cina, mereka akan kata yang akan 'lead' kerajaan adalah PAS yang dikatakan radikal dan ekstrem Islam 'potong sana potong sini'," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi.

Tegasnya, politik Umno-BN inilah yang harus disedari rakyat pelbagai kaum khususnya masyarakat Melayu, agar mereka tidak terjebak dengan dakyah kononnya negara akan 'terjual' jika DAP berkuasa.

"Saya anggap bahawa lagu ini adalah lagu lama dan senikata yang cuba diperbaharui tidak berjaya untuk memancing undi orang Melayu yang sudah meluat kepada Umno," ujarnya.

Justeru kata Mahfuz, inilah hakikat yang menunjukkan bagaimana orang Melayu perlu ada kesedaran dengan tipu muslihat Umno-BN kerana selama-lamanya parti kebangsaan Melayu itu cukup cemas jika DAP boleh bekerjasama erat dengan PAS.

Dicatat oleh Tarmizi Mohd Jam

Sumber:
blog.marhaen/info
Rakyat Tidak Terbeban Dengan Kenaikan Petrol Dan Barang?

Oleh MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan kenaikan harga Petrol RON95, diesel dan petroleum gas cecair sebanyak 5 sen menjadikan RON95 kini RM 1.90 sen seliter, diesel kepada RM1.80 sen seliter dan LPG menjadi RM 1.90 sekilogram manakala gula menjadi RM 2.10 sekilogram dengan kenaikan sebanyak RM0.20.
Dengan kenaikan ini maka lengkaplah pesta kenaikan harga barang yang diusahakan kerajaan BN. Dua hari sudah, kerajaan menaikkan harga Petrol RON97 sebanyak 15 sen tidak sampai dua bulan kenaikan sebanyak 5 sen.



Seperti biasa, kerajaan menggunakan ayat penyelarasan semula serta mengurangkan perbelanjaan negara. Dikatakan, kenaikan ini mampu mengurangkan perbelanjaannya sebanyak RM 1.18 bilion serta mengimbangi defisit kewangan negara. Kerajaan menyatakan tidak mampu menampung subsidi kepada rakyat dengan harga lama, maka dengan sebab itu harga petrol dan barang keperluan terpaksa dinaikkan. Lebih menyakitkan hati, sesetengah pemimpin negara menyatakan bahawa kenaikan ini tidak akan membebankan rakyat dan harga petrol Malaysia masih rendah berbanding dengan negara jiran yang lain.
Faktanya, kenaikan petrol sudah pastinya menjejaskan kehidupan rakyat. Apabila gula dinaikkan, petrol dinaikkan, maka apakah tidak ada sebab bagi peniaga menaikkan harga barang perniagaan mereka. Hampir semua kenderaan menggunakan minyak petrol dan diesel, dan hampir semua makanan perlukan gula. Apakah ada alasan bodoh pemimpin negara yang bercakap kerana mahukan rakyat sihat dari penyakit diabetes maka kerajaan perlu menaikkan harga gula. Mungkin juga ada kenyataan pemimpin negara yang mahukan keselamatan rakyat di jalan raya, maka harga petrol dan diesel terpaksa dinaikkan. Adakah pemimpin mahukan rakyat berbasikal ke tempat kerja, atau menggunakan perkhidmatan awam bagi mengurangkan kos mereka, sedangkan mereka selesa menaiki kenderaan rasmi kerajaan ke mana-mana.

Jika dibandingkan dengan negara jiran, Malaysia adalah antara negara yang kaya dengan hasil bumi termasuk minyak. Namun malang bagi rakyat Malaysia, kerana tidak berhak menikmati kekayaan hasil bumi yang kaya ini. Mengapa kerajaan tidak membandingkan Malaysia dengan negara pengeluar minyak dunia seperti Arab Saudi, Iran, Venezuela, Qatar dan lain-lain. Perlukah Malaysia mengikut harga pasaran minyak antarabangsa? Mengapa rakyat perlu menjadi korban hanya semata-mata kerajaan tidak mampu menampung subsidi negara. Seolah-olah menaikkan harga minyak petrol dan diesel dan barang keperluan adalah jalan akhir setelah hampir semua langkah telah diambil bagi ‘membela' rakyat. Sedangkan untuk menguntungkan pihak tertentu, kerajaan sanggup dan mampu berbelanja lebih. Menara Wawasan dibina dengan nilai RM 5 bilion, entah belum tentu menguntungkan rakyat jelata. Lebih baik perbelanjaan itu ditampung kepada subsidi minyak. Sebegitu juga dengan projek-projek mega, gergasi dan mewah, itu perlu dikurangkan dahulu buat menampung keperluan rakyat.

Memang betul rakyat tidak terbeban dengan kenaikan ini, kerana rakyat sudah tidak mampu berkata-kata lagi. Sudah kering air mata dan keringat rakyat bekerja siang dan malam mencari sesuap rezeki menampung kehidupan. Soal kenaikan gaji, elaun tambahan, gaji minimum tidak pernah menjadi perhatian utama kerajaan. Rakyat kini bukan sekadar tidak terbeban dengan kenaikan harga barang, tetapi tidak mampu menampung beban menanggung BN.



Disediakan oleh

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

sumber:tranungkite.net/v11
Sunday, December 05, 2010

Perbandingan Harga Minyak Dunia

1.United Arab Emirates - $0.37/liter/ RM1.22 seliter
2.Baharin - $0.27/liter/RM0.89/liter
3.Qatar - $0.22/liter /RM0.72 /liter
4.Kuwait -$0.21/liter /RM0.69/liter
5.Libya - $0.14/liter / RM0.46/liter
6.Arab Saudi - $0.12/liter / RM0.39 /liter
7.Iran - $0.11/liter /RM0.36/liter
8.Nigeria - $0.10/liter / RM0.33/liter
9.Turkmenistan - $0.08/liter / $M0.26/liter
10.Venezuela - $0.05/liter / RM0.16 /liter
Malaysia..?

perisikrakyat.blogspot.com
ISU AIR SELANGOR


YA...PERDANA MENTERI KATA KETEPIKAN POLITIK UNTUK SELESAIKAN ISU AIR DI SELANGOR

YA...memang benar dan baik bunyinya Perdana Menteri mengajak semua pihak mengetepikan politik untuk menyelesaikan isu air di Selangor.

Bagamanapun, apa yag diCAKAP adakah sama dengan cara PANDANG dan TINDAKAN yang akan dibuat? Yang dicakap bunyinya elok, yang dipandang pula dari sudut mana atau sisi mana? Tindakannya pula nanti condong darjahnya ke mana?

Beginilah matematik orang Selangor macam kita yang tidak sekolah tinggi ini. Mudah sangat. Syabas kena terima tawaran kerajaan Selangor untuk ambialih bekalan air untuk rakyat Selangor dengan bayaran lebih RM9 bilion. Dulu Syabas pun ambil ikut sistem pengswastaan dan bukan secara tender terbuka. Ketika Syabas ambil air dulu pun, semua logi, batang paip dan saluran paip ke rumah-rumah rakyat Selangor telah sedia ada - kebanyaannya dibayar sejak dulu-dulu oleh RAKYAT. Syabas tak berbelanja untuk sebuah perniagaan yang telah sedia asasnya.

Bukankah kerajaan Selangor sebuah kerajaan yang berdaulat yang dipilih oleh rakyat untuk rakyat. Biarlah kerajaan yang dipilih rakyat menguruskan air ini. Dulu, perjanjian bekalan air pun bukan dibuat dengan kerajaan yang ada sekarang. Syabas boleh ambil bayaran ditawarkan kerajaan negeri dan lepaskanlah pengurusan air ini.

Rakyat senang, semua senang. Ikut cakap Perdana Menteri, jangan dipolitikkan isu ini. Kalau kita lihat daripada sisi begini, tak jadi masalah sebenarnya. Rakyat terbanyak menyokong biarlah kerajaan negeri yang uruskan airnya. Kalau kerajaan tak mampu, rakyat jatuhkan kerajaan sedia ada dalam pilihanraya nanti dan rakyat pilihlah kerajaan baru. Apalah susah sangat?

Tak payah lagi susah-susah menghantar memorandum. Ini semua memerlukan pengorbanan. Kalau kata rakyat didahulukan, dahulukanlah rakyat. Jangan dulukan orang yang telah kaya raya.

singalautmetro.blogspot.com
Gantung Anwar tambah sokongan- Nasharudin

Hafiz Baqi

KEMAMAN, 4 Dis: Pengantungan ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat akan menambahkan lagi sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat (PR), kata Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.

Beliau menegaskan tindakan itu tidak sekali-kali akan menjadikan PR lemah.

(Gambar: Nasharuddin dan Mazlan melakukan gimik sempena perasmian program Himpunan Kebangkitan Rakyat Tertindas (Bangkit)

Mengulas perkembangan tersebut selepas merasmikan program Himpunan Kebangkitan Rakyat Tertindas (Bangkit) dekat sini, Nasharuddin berkata tindakan mengantung Anwar bakal menambah kemarahan rakyat yang akan melihat ruang demokrasi negara semakin menuju kehancuran.

Kata beliau, rakyat sedang melihat bagaimana tekanan dilakukan kepada media, sekatan ceramah dan larangan berhimpun di premis sendiri dan kali ini (rakyat) sedang menyaksikan sebuah institusi yang dikatakan kebal menyuarakan apa sahaja (Parlimen) oleh ahlinya turut dicabul ruang kebebasannya.

"Dalam Dewan Rakyat hanya dua perkara sahaja yang tidak boleh dibincangkan iaitu isu berkaitan Raja-Raja dan kes yang sedang dibicarakan di Mahkamah. Perkara-perkara lain bebas untuk dibangkit atau dipersoal oleh ahli-ahli dewan termasuk perkata yang dibangkitkan oleh Anwar itu," katanya.

Tindakan mengantung Anwar dikatakan berkaitan dengan isu pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membayar sebuah firma perunding yang didakwa mempunyai hubungan dengan Yahudi iaitu Apco Worldwide melebihi RM70 juta.

Isu pembabitan apa yang didakwa sebagai anasir Yuhudi dalam pentadbiran kerajaan pernah menjadi perdebatan hangat dalam negara sebelum ini termasuk mengaitkannya dengan idea konsep 1Malaysia selain dikatakan telah meresap dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Kata Nasharuddin, Anwar mungkin akan digantung dari menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.

Anwar dalam kenyataanya sebelum ini mengakui keputusan tersebut berkaitan dengan isu Apco yang sepatutnya dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang memerlukan beliau dipanggil untuk memberi keterangan dan membela diri.

Bagaimanapun Anwar mendakwa beliau tidak pula dipanggil untuk memberikan keterangan yang lebih jelas. Begitu juga dengan usul yang dikemukakan oleh beliau untuk membincangkan perkara itu secara khusus sering ditolak oleh Dewan Rakyat.

Felda labor RM23 juta setahun dalam Lim Kok Wing

Sementara itu, ketika berucap merasmikan Bangkit, Nasharuddin berkata kerajaan mengakui Felda melabur sebanyak RM23 juta setahun dalam sebuah pusat pengajian tinggi swasta iaitu Lim Kok Wing untuk membawa anak-anak peneroka belajar di situ.

Mengulas lanjut, Timbalan Presiden PAS itu berkata, kenyataan itu merupakan sata fakta jelas pemimpin Umno yang menerajui negara sebenarnya hipokrik tentang ketuanan Melayu yang dilaung-laungkan.

Katanya, bukan sahaja biasiswa kepada bumiputra ditarik balik, bahasa Melayu dikhianati, membantu pusat pengajian tinggi swasta milik orang Melayu pun mereka (pemimpin Umno) tidak berminat.

"Saya bukan bermasalah dengan Lim Kok Wing, tetapi kalau betul Umno memperjuangkan Melayu kenapa sebuah agensi seperti Felda itu tidak dibawa melabur ke IPT swasta milik orang Melayu, sedangkan seperti kita sedia maklum ada IPTS milik orang Melayu yang daif dan memerlukan suntikan modal," kata beliau.

Malah tambahnya, dengan jumlah sebanyak RM23 juta setahun itu Felda sendiri mampu menubuhkan sebuah IPT miliknya kerana ia sangat mencukupi.

"Soalnya kenapa mereka tidak berbuat demikian? kerana inilah caranya golongan ini mengaut keuntungan dan kekayaan untuk diri sendiri dan kroni," ujarnya.

Sambutan hangat

Program Bangkit yang diadakan sepanjang hari mendapat sambutan mengalakkan khususnya dari kalangan peneroka Felda, Felcra dan individu yang tanah dirampas oleh kerajaaan.

Sepanjang program, rata-rata ahli panel dan pemidato menyentuh masalah peserta tanah-tanah rancangan seperti peneroka Felda yang ditindas dan dinafikan haknya.

Sebanyak dua kertas kerja dibentangkan masing-masing oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang , Tengku Hassan Tengku Omar (Perampasan Tanah Rakyat, Suatu Pendedahan dan Tindakan Semasa) dan Peguam Aminuddin (Perjuangan Menuntuk Hak Peneroka Felda).

Slot khas turut diadakan untuk mendedahkan kepincangan pengurusan Felda oleh Pengerusi Alummni Bekas Kakitangan Felda, Khamis Saat yang menceritakan pengalamannya dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Felcra Lubuk Sireh, Perlis, Radzi Musthapa.

Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, manakala sebelah malan ceramah khas oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman.


harakahdaily
Rakyat 'didahulukan' atau 'dahulu kena'
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 5 Dis: Kerajaan sepatutnya mempunyai pilihan lain selain menaikkan harga barangan keperluan rakyat sekalipun beralasan mengurangkan tanggungan subsidi negara.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan berkata, tindakan terbaru kerajaan BN menaikkan harga petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan gula, tidak membuktikan 'rakyat didahulukan', tetapi 'rakyat yang dahulu kena'.

Katanya, rakyat yang tidak bersalah sentiasa menjadi mangsa keadaan, sedangkan kerajaan pula boros dan membazir dalam mengurus perbelanjaan wang negara.

"Negara kita begitu banyak sekali kes-kes pembaziran yang melibatkan jutaan ringgit dan ini boleh dirujuk semula kepada laporan audit negara.

"Jika ini situasinya, maka bukan rakyat didahulukan tetapi rakyat yang kena dulu," katanya kepada Harakahdaily.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan sewajarnya bertindak sebagai payung kepada rakyat, dan mencari jalan untuk mengurangkan bebanan mereka bukan memangsakan mereka.

"Jika kerajaan gagal untuk menampung bagi pihak rakyat dan menampan tekanan atau kekangan kenaikan harga minyak di peringkat antarabangsa, maka rakyat akan dihimpit derita dan sengsara.

"Bukan kerana mereka menjadi mangsa kepada lonjakan harga minyak dipasaran dunia tetapi mereka menjadi mangsa kepada kerajaan yang mereka pilih kerana menghabiskan dana negara sehingga tidak mampu untuk menampung bagi pihak rakyat agar mereka tidak perlu membayar harga minyak yang tinggi sebagai pengguna," katanya lagi.

Turut dipersoal, sama ada kerajaan sebenarnya memang merancang menaikkan harga minyak kerana mahu mengelak dari beban dan tanggungjawab yang sepatutnya.

"Secara jujurnya saya minta supaya kerajaan Umno dan BN mencontohi bagaimana kerajaan Pakatan Rakyat mengurus kewangan negeri yang mereka kuasai sehingga mendapat pujian Ketua Audit Negara.

Bukan sahaja pandai dan bijak mengurus tetapi berani berjimat dan cekal mengambil langkah cermat biarpun berdepan dengan tekanan politik dan ekonomi dari kerajaan pusat.

"Kalau boleh saya tanya soalan nakal, saya nak tanya, kerajaan menaikan harga minyak ni betul betul kerana harga minyak di pasaran dunia naik atau kerana negara habis duit buat main kapal layar di Terengganu?

“Habis duit buat main jet di Langkawi? Maaf, saja saja jer tanya kerana sedar soalan ini agak nakal," katanya.


sumber:harakahdaily.net
Rakyat Didahulukan ??




Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) kesal dan menyifatkan kenaikan harga minyak RON95 pada 3 Disember dan RON97 dua hari sebelumnya nyata gagal memahami kehendak dan keperluan rakyat.

Saudara Fadhlan bin Sugiman dari Gerakan Mahasiswa Lantang Negara berkata, pihaknya nyata bimbang dengan kenaikan minyak dan barangan keperluan seperti gula dan LPG (Liquid Petroleum Gas) bakal mengakibatkan inflasi negara semakin bertambah.

“Di mana slogan 'rakyat didahulukan' yang dilaungkan sebelum ini sekiranya perkara asas rakyat sebegini tidak dipeduli?"

Kata beliau, persoalan yang lebih besar bakal memuncak apabila harga petrol dan diesel terutamanya naik dan akan menyebabkan harga barangan lain akan naik secara langsungnya.

" Kajian daripada kita juga (selepas beberapa siri kenaikan minyak diesel yang lalu) mendapati, kurang daripada (tempoh) dua bulan, harga-harga makanan dan minuman (akan turut) naik melambung yang sedikit sebanyak akan memberi kesan yang langsung terhadap kehidupan rakyat. Jangan fikir kami mahasiswa tidak ambil cakna (perkara-perkara sebegini).

" Pihak GMLN ingin mengucapkan 'tahniah' di atas tindakan kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Kepenggunaan (KPDNK) dan menterinya (Dato' Ismail Sabri) yang baru-baru ini telah keluarkan (melahirkan) 'bunga-bunga' untuk menaikkan harga diesel (selepas insiden penyelewangan diesel) ; kerana hari ini telah 'menunaikan' kata-kata anda, " tambah saudara Fadhalan sinis.

Dalam pada itu, Wartawan GMUKM turut mendapatkan pandangan daripada ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) berkenaan isu ini.

MPP Alia Suzana ketika ditemui mempertikaikan kewajaran tindakan tersebut ketika mana bonus bagi kakitangan awam baru mula dirasai.

"Apakah kerajaan sengaja bermain tarik-tali; baru diumum bonus, tiba-tiba (harga) minyak naik pula?

" Sesudah minyak dinaikkan, apakah jaminan pula harga barangan lain tidak dinaikkan. Barang seperti susu, tepung, sayur-sayur semuanya diangkut guna lori, (yang) guna minyak. Bukankah ini semua 'side effect' bila kerajaan umumkan harga dinaikkan?

" Jangan fikir mahasiswa hari ini mudah dibodoh-bodohkan dengan alasan penyelewengan subsidi; kerana dari situ mahasiswa sudah dapat tangkap apa sebenar (makna tersirat) sesuatu isu tersebut." tambah beliau lagi.

MPP Yong Koh Beng dalam pada itu turut melahirkan rasa hairan di atas tindakan kerajaan yang kononnya ingin mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta tahun ini dan mengimbangi defisit kewangan negara apabila mengumumkan kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Ini kerana menurut beliau, apa yang dilihatnya kos pembinaan Menara Warisan yang dicadangkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) lebih penting dan perlu dibawa masuk bagi menyerap faktor seretan (drag faktor) yang bakal timbul selepas ini lebih teruk dan mengundang inflasi yang lebih besar. Justeru itu, adalah lebih diutamakan buat masa ini menyerap kos subsidi daripada membina bangunan yang belum pasti keperluannya.

" Masyarakat Malaysia (hari ini) kita lihat lebih memerlukan duit (daripada bangunan). (Saya kira) bangunan-bangunan yang ada di KL hari ini (sudah mencukupi dan ) tiada keperluan membinanya buat masa kini. Mungkin di masa depan, sesudah tiada (masalah) pengangguran, (idea) pembinaan bangunan itu (lebih) relevan (ketika itu)."


Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) juga ingin memetik pandangan daripada GAMIS yang menurut Presidennya, saudara Ahmad Syazwan Muhammad Hasan (UM), kenaikan ini akan menimbulkan reaksi yang kontradik kepada keputusan kerajaan tersebut.

“Alasan yang digunakan ialah perlu pelarasan fiskal dalam perbelanjaan negara khususnya dalam mengurangkan perbelanjaan. Persoalnnya kenapa subsidi syarikat kroni dalam IPP berjumlah RM19billion tidak dipotong?

“Kenapa mahu bina menara 100 tingkat yang kosnya mencacah RM 5billion yang akhirnya rakyat tak dapat keuntungan darinya. Kenapa kos permulaan penubuhan PEMANDU di bawah JPM berjumlah RM66juta yang hanya diperolehi oleh orang-orang tertentu sahaja?” soalnya dalam satu kenyataan.

Kenyataan media GAMIS dipetik berkata, sepatutnya pengurangan fiskal mesti dibuat dalam pentadbiran kerajaan, bukannya dengan menarik hak rakyat marhaen.

Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM)


sumber:kedahlanie.blogspot.com
Memorandum
Isu Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Selangor Darul Ehsan


Kepada:
Duli Yang Maha Mulia
Tuanku Al-Wathiqu Billah Al-Sultan Mizan Zainal Abidin
Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah
Yang Dipertuan Agong, Malaysia

Daripada:
Rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Kerajaan Negeri
Selangor Darul Ehsan



Dengan nama Allah s.w.t., Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., pesuruh Allah s.w.t. yang sangat mencintai dan menggesa umatnya berlaku adil.

Assalamu'alaikum w.b.t.
Ampun Tuanku beribu ampun, sembah rakyat harap diampun.

Dengan keinsafan bahawa kehidupan asasi manusia cukup bergantung dengan akses kepada air yang bersih pada kadar harga munasabah,

Dengan kesedaran perkembangan kos sara hidup rakyat kian meningkat berbanding pendapatan,

Dengan ketegasan menentang penyelewengan, salah guna kuasa dan kepura-puraan,

Dengan iltizam menegakkan sebuah kepimpinan yang prihatin, telus, bertanggungjawab, cekap, dan menghormati semangat dan amalan Persekutuan;

Maka dengan ini kami, Rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor, berkumpul marafak sembah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk menyampaikan suara hati kami terhadap isu Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Selangor Darul Ehsan.

Ampun Tuanku beribu ampun, sembah rakyat harap diampun.

1) Mengembalikan Hak Air kepada Rakyat

Kami, mewakili 150,000 rakyat Selangor yang telah menurunkan tandatangan sebagai tanda sokongan kepada Memorandum ini dan juga keseluruhan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mendapatkan perkhidmatan air yang sama, menuntut keadilan untuk diri kami membetulkan kesalahan dalam penswastaan Industri Perkhidmatan Air yang telah dibuat, sehingga menyebabkan kualiti dan perkhidmatan air yang teruk serta peningkatan tarif air pada kadar yang tidak munasabah. Justeru, kami menuntut kualiti air dan Perkhidmatan Air yang bersih pada kadar yang munasabah, dengan mengambil kira rakyat miskin serta mereka yang berpendapatan rendah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Kami merafak sembah memohon Tuanku menitahkan agar Hak Air ini dikembalikan kepada rakyat melalui pengambil-alihan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

2) Mematuhi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006)

Kami merafak sembah memohon Tuanku mendokong semangat dan matlamat Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang telah menjelaskan keperluan Industri Perkhidmatan Air ini distrukturkan semula secara holistik dan diuruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Sesungguhnya, Akta ini telah dirangka dan diluluskan dengan tujuan membetulkan kesalahan yang dibuat semasa menswastakan Industri Perkhidmatan Air sebelumnya. Kami merafak sembah memohon Tuanku mengingatkan Kerajaan Persekutuan agar tidak berdolak-dalik tentang keputusan ini.

3) Menghak-upayakan Rakyat

Perjanjian konsesi yang ditandatangani pada tahun 2004 antara Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (“SYABAS”), Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor mengandungi sejumlah persoalan yang jelas menunjukkan SYABAS tidak pedulikan kebajikan rakyat seperti kenaikan tarif air pada kadar yang tinggi (37% pada tahun 2009, dan 25%, 20%, 10% serta 5% pada 2012, 2015, 2018 dan 2021). Perjanjian ini seharusnya dirundingi dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana mereka adalah penerima kesan utama daripadanya. Kami merafak sembah memohon Tuanku menghak-upaya rakyat dengan memastikan bahawa sebarang perjanjian baru yang mahu dibuat perlulah dirunding dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebelum dimuktamadkan.

4. Mengembalikan Kuasa Kerajaan Negeri

Perkhidmatan air yang telah dimasukkan dalam Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan 1957 memberikan kuasa bersama Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan dalam hal berkaitan. Kami mendesak Kerajaan Persekutuan untuk menghormati semangat Persekutuan ini dan kuasa yang dimiliki oleh Kerajaan negeri dalam isu berkaitan perkhidmatan air ini, dan jangan berdolak-dalik menentang Kerajaan Negeri Selangor. Kami merafak sembah memohon Tuanku untuk mengembalikan kuasa Kerajaan Negeri Selangor dalam hal ini.

5) Menghapuskan Kronisme

Telah menjadi persepsi umum bahawa Kerajaan Persekutuan mengambil sikap menyebelahi sektor swasta, dalam kes ini syarikat tertentu, yang boleh disabitkan dengan amalan kronisme. Telah terbukti bahawa usaha membolehkan syarikat-syarikat penerima konsesi ini mendapat sejumlah keuntungan tertentu, mereka dibenarkan untuk menaikkan kadar tarif yang tinggi dengan pemberian jaminan pinjaman Kerajaan Persekutuan yang bermaksud rakyatlah menjadi pembayarnya. Rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini perlu membayar kadar harga air yang tinggi, dan pembayar cukai Malaysia perlu menjamin risiko perniagaan SYABAS. Kami merafak sembah memohon Tuanku mengingatkan janji Kerajaan Persekutuan untuk segera menghapuskan kronisme.

Dengan mandat diberikan rakyat, Kerajaan Negeri Selangor bertekad untuk memastikan nasib mereka terbela. Dengan pengambil-alihan Industri Perkhidmatan Air ini, Kerajaan Negeri Selangor berjanji untuk mengusahakannya dengan cara terbaik untuk manfaat semua.

Sekianlah penjelasan daripada Kerajaan Negeri Selangor dan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bersama mendoakan dan menyokong tindakan penting ini.

Menjadi harapan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk melihat ia diambil perhatian serius oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Rakyat menjunjung kasih atas perhatian yang diberikan.

Sekian, terima kasih.
Daulat Tuanku.
5 Disember 2010.

sumber:kedahlanie.blogspot.com