ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Wednesday, July 15, 2009

UMNO-BN DAN MANEK URAI

Pilihanraya kecil Manek Urai telah pun selesai. Calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah menewaskan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat dengan majoriti 65 undi. Jumlah undi PAS merosot 398 undi berbanding PRU12 yang dilaksanakan Mac tahun lalu. Pada tahun itu PAS mendapat majoriti 1,352 undi. Walupun perbezaan jumlah undi hanyalah 65, tetapi dalam sistem demokrasi PAS tetap muncul sebagai pemenang.

2. 11 perkara yang lebih merupakan gula-gula yang diumumkan PM sebelum PRK tersebut tidak memberi bekas yang mendalam dihati pengundi-pengundi Manek Urai. Punca kemorosotan PAS dikatakan dari masalah dalaman dan penumpuan yang kurang terhadap PRK berkenaan. Apa pun alasan, PAS harus membuat post-mortem tentang ketipisan perbezaan undi berkenaan. Janji membina jambatan bernilai 10 juta oleh Tan Sri Muhyidin juga tidak meninggalkan apa-apa makna kepada UMNO-BN. Mereka tetap kalah.

3. Sejak Mac,2008 sudah 7 PRK berlalu. 6 daripadanya dimenangi oleh Pakatan Rakyat. UMNO-BN hanya memenangi satu kerusi sahaja, itupun di Malaysia Timur. Sebagai sebuah parti pemerintah ini adalah satu hal yang amat mengecewakan para pemimpin UMNO-BN. Sokongan rakyat terhadap mereka kian terhakis dari masa ke masa. Dahulu, jika pilihanraya kecil jarang pembangkang memenangi sebarang kerusi, kecuali di beberapa tempat seperti Lunas dan Bukit Tuku. Kini kejadian sebaliknya berlaku.

4. Hipotesis yang dapat dibuat dari hal ini adalah rakyat sudah menolak UMNO-BN sebagai parti utama dan sebagai pemerintah. Sesudah lebih 50 tahun, rakyat marhaen kini ingin berubah rasa,dan mungkin menukar kerajaan atau parti yang memerintah. Di negara-negara seperti Amerika dan Britain, pertukaran parti pemerintah adalah perkara biasa. Namun di negara ini ia amat sukar diterima terutama oleh UMNO-BN sendiri. Tetapi mereka harus akur kepada kehendak rakyat. Kemungkinan Najib adalah Perdana Menteri terakhir dari UMNO-BN tidak dapat ditolak berdasarkan kepada 7 keputusan PRK itu. Itu adalah putaran sejarah yang harus diterima oleh semua orang. Setiap yang bermula pasti berakhir. Tidak perlulah UMNO-BN berhempas pulas mempertahankan kuasa mereka jika memang tempuh mereka sudah hampir berakhir. Kerajaan Firaun yang mempunyai ramai ahli sihir itu akhirnya lenyap juga dari muka bumi ini. Yang tinggal hanyalah sejarah dan artifak-artifaknya.

5. Kemungkinan PRU13 adalah masa untuk Anwar, sepertimana yang telah disepakati oleh Pakatan Rakyat untuk melantik penasihat PKR itu sebagai PM jika PR mengusai Malaysia. Namun parti yang lebih dominan kelihatan adalah PAS. Dan PASlah yang layak mengambil-alih pimpinan bangsa Malaysia sekiranya UMNO-BN mengalami kepupusan pada PRU13 itu nanti, di samping KeAdiLan dan DAP. Rakyat Malaysia pun ingin berubah rasa, seperti juga rakyat Amerika, Britain dan lain-lain. Mungkin pemerintahan PR lebih baik dari UMNO-BN. Sama-samalah kita tunggu dan lihat nanti. Dan Pakatan Rakyat harus membuktikan mereka lebih baik dari UMNO-BN. Wallahu 'aklam.


AlKundangi,
15.7.2009.
http://alkundangi.blogspot.com

Tuesday, July 14, 2009

Monday, July 13, 2009

TRAGEDI NATRAH

Berikutan berita meninggalnya Natrah beberapa hari lalu di Belanda sewaktu umurnya 72tahun, kisahnya kembali mendapat perhatian masyarakat Malaysia. Natrah adalah seorang wanita Belanda yang diserahkan oleh orang tuanya kepada keluarga Melayu muslim dan hidup secara Islam bersama keluarga angkatnya ketika serangan Jepun ke atas Malaya.

2. Keluarga angkatnya mengahwinkannya dengan seorang yang bernama Mansor pada usianya 13 tahun. Bagaimanapun bapanya kemudian mencarinya semula ketika keadaan agak aman dan menipu keluarga angkatnya dengan meminta dia dibawa ke Singapura. Bapanya kemudian melarikan Natrah ke Belanda semula dan hidup mengikut agama dan budaya asalnya. Namun kemudian akhbar Belanda menyiarkan gambar Natrah melutut di hadapan patung, di mana penyiaran gambar itu menimbulkan kekecohan di sini sehingga memakan korban 18 orang. Tidak dapat dipastikan samada Natrah murtad atau tidak. Di hatinya dia masih menyintai suaminya,Mansor.

3. Ibu angkat Natrah membawa kes itu ke mahkamah Singapura, namun ia gagal untuk mendapatkan kembali Natrah, kerana undang-undang antarabangsa yang tidak memihak kepada Islam.

4.Pengajaran dari peristiwa ini yang dapat disimpulkan ialah Islam memerlukan satu mahkamah yang lain, atau satu pengiktirafan antarabangsa mengenai kedaulatan undang-undang Islam itu sendiri. Di negara ini sendiri pun undang-undang Islam tidak diguna-pakai sepenuhnya. Satu artikel dalam perlembagaan menyebutkan bahawa apa-apa yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan ini adalah terbatal dengan sendirinya, menjadikan undang-undang Islam tidak dapat dijalankan sepenuhnya.Bahkan Perlembagaan Persekutuan itu lebih berkuasa dari undang-undang Islam sendiri.

5.Umat Islam yang cintakan agamanya dan bercita-cita untuk menegakkan sebuah Daulah Islamiyyah, sewajarnya berusaha untuk menguatkuasakan undang-undang Islam sehingga ke peringkat antarabangsa. Sudah lebih 50 tahun UMNO-BN berkuasa, namun undang-undang Islam masih gagal melepasi Perlembagaan Persekutuan. Apakah maknanya Bank Islam,Universiti Islam, Jabatan Kemajuan Islam atau apa saja yang bernama Islam, jika Islam itu sendiri gagal didaulatkan oleh UMNO-BN? Syed Qutb pernah mengingatkan kita dalam AlRisalah Islamiyyah, agar kita ambillah Islam itu seluruhnya, atau tinggalkan semuanya, supaya tidak ada golongan yang bermuka-muka yang mencari-cari kepentingan di sebalik nama atau projek-projek yang berbau Islam. Allah mengingatkan dalam AlQuran bahawa,'apakah kamu beriman dengan sebahagian dari kitab ini, dan meninggalkan yang setengah lagi? Tiadalah balasan dari yang sedemikian itu melainkan kehinaan di dunia dan di akhirat nanti akan di hadapkan dengan azab yang dahsyat...(AlBaqarah).


AlKundangi,
13.7.2009.
http://alkundangi.blogspot.com