ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Wednesday, January 20, 2010

ISU PENGGUNAAN NAMA ALLAH

Isu Penggunaan Nama Allah

Isu penggunaan nama Allah masih diperkatakan oleh UMNO dan media-media arus perdana, seolah-olah isu itu belum selesai. Nik Abd Aziz sudah pun menegaskan bahawa nama Allah itu boleh digunakan oleh semua agama samawi tanpa ada unsur penyelewengan.

Namun dalam konteks Malaysia, agama selalu digunakan untuk tujuan politik (tidak termasuk PAS), untuk meraih simpati, atau menambah jumlah bilangan pengikut. Agama juga sering digunakan untuk meraih sokongan dalam pilihanraya.

Oleh yang demikian, adalah wajar jika polemik tentang penggunaan nama Allah ini dihentikan setakat ini sahaja, dan agama-agama lain tidak sepatutnya dibenarkan menggunakannya, kerana memandangkan Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama.

Penggunaan nama Allah dalam masyarakat seperti Malaysia akan menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai yang kurang faham tentang Islam dan agama-agama samawi. Kita juga takut terperangkap dengan sesetengah pihak yang mungkin menggunakannya untuk melebarkan pengaruh agama mereka.

Oleh kerana Islam adalah agama rasmi negara ini seperti yang tercatat dalam perlembagaan, maka sudah sewajarnya hanya Islam sahaja yang patut dibenarkan menggunakan nama itu. Biarlah agama-agama lain menamakan Tuhan mereka seperti dahulu, dan tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat. Kerajaan tidak seharusnya membenarkan mereka menggunakan nama yang menjadi hak mutlak orang Islam sekarang ini. Lagi pun agama-agama samawi telah pun terbatal dengan lahirnya agama Islam, agama yang diredhai oleh Allah dan Rasulnya sebagai agama terakhir dalam siri kenabian.

AlKundangi,
20.1.2010

Tuesday, January 19, 2010

DI HOSPITAL

DI HOSPITAL


Duduk-duduk di sini
kulihat berbagai jenis manusia
datang bertandang; dengan berbagai tujuan pula
serta berbagai gaya
dengan tujuan satu
bertemu sang doktor
serta menunda kematian
jauh ke depan.

Di sini; ada perempuan datang
untuk melahirkan
bayi yang dikandung sembilan bulan
menambahkan penduduk dunia
dan keperluannya
juga; untuk memperpanjangkan zuriat
atau keturunan; samada pewaris kekayaan
atau kemiskinan.

Di sini; ada manusia pertengahan umur
datang mendapatkan rawatan
kerana bertahun sakit
akibat berlebihan makan dan minum
lalu berlebihan gula dalam darah
atau uric asid; atau tekanan darah
meninggi akibat makan
dan tekanan kehidupan
di sini; ada yang saluran jantung tersumbat
akibat makan daging dan lemak
lebih dari yang diperlukan
dan kurang senaman
perjalanan darah pun
kurang teratur dan berkesan.

Di sini; ada orang tua bertandang
kerana kehilangan keupayaan
untuk berjalan, atau kurang penglihatan
kehilangan tenaga kerana telah digunakan
pada usia muda;mungkin mencari wang
dan keperluan kehidupan.

Juga di sini; ada orang bertandang
setelah separuh pengsan; akibat serangan jantung
atau angin ahmar; atau apa saja ujian Tuhan
untuk dimasukkan ke wad kecemasan
atau ke icu dan ccu
sambil menunggu malaikat maut
datang bertandang; untuk kemudiannya
dihantar ke rumah mayat
dan tanah perkuburan.

Duduk-duduk di sini; di hospital ini
terbayang putaran sebuah kehidupan
yang bermula dari kelahiran
hingga ke kematian; sehingga di sini
hampir lengkaplah; gambaran
sebuah kehidupan seorang insan
yang lengkap ; tanpa perlukan pentafsiran.


alKundangi,
15.1.2010.