ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Saturday, June 25, 2011

Polisi dividen: Petanda ‘kantung’ Umno BN makin kosong

(Oleh: Neo Chee Hua)

SYARIKAT Berkaitan Kerajaan (GLC) kini dijadikan sasaran untuk menyelamatkan Umno Barisan Nasional (BN) dari kesempitan wang. Polisi dividen yang diutarakan memperlihatkan petanda-petanda bahawa Umno dan kerajaan Persekutuan BN kini semakin kesempitan wang, sehingga mengintai dividen dari syarikat GLC.

KUB Malaysia Bhd yang mempunyai hubungan rapat dengan Umno dan Kementerian Kewangan memaklumkan pada 14 Jun lalu bahawa syarikatnya merancang untuk melaksanakan polisi dividen mulai tahun 2013 – mengagihkan dividennya kepada pemegang saham. Kebetulan, Petronas Nasional yang merupakan penyalur wang utama kepada kerajaan Persekutuan mengumumkan pada minggu lalu bahawa syarikatnya telah mencapai persetujuan dengan kerajaan Najib, untuk melaksanakan polisi dividen 30 peratus mulai tahun 2013.

Polisi dividen yang dimaksudkan adalah, sesebuah korporat menentukan satu kadar yang tetap untuk agihan dividen, dengan mengeluarkan keuntungan bersih pada kadar tertentu, untuk dijadikan dividen dan diagihkan kepada pemegang saham. Mengambil contoh Petronas Nasional, polisi dividen 30 peratus membawa makna bahawa, syarikatnya telah menetapkan dividennya pada kadar 30 peratus daripada keuntungan bersih – untuk diagihkan kepada pemegang saham saban tahun pada kadar yang tetap ini.

Umno BN paling dimanfaatkan

Menurut laporan Bernama, Pengarah Urusan KUB Malaysia Bhd, Mohd Nazar Samad memaklumkan kepada media pada 14 Jun lalu bahawa syarikatnya merancang untuk melaksanakan satu polisi dividen mulai tahun 2013, dan beliau berharap ia dilaksanakan setelah syarikatnya mencapai paras pertumbuhan yang stabil.

Kini, KUB Malaysia Bhd mengagihkan dividen kepada 75,000 orang pemegang sahamnya berasaskan keuntungan daripada projeknya. Pada tahun kewangan 2010, syarikatnya mengagihkan dividen 2.4 sen per unit saham.

Menurut laporan tahun kewangan 2010, dua pemegang saham terbesar KUB Malaysia Bhd adalah Gaya Edisi Sdn Bhd (29.62 peratus) dan Kementerian Kewangan (22.55 peratus). Menurut maklumat yang diumumkan di Bursa Malaysia, pemegang saham terbesar Gaya Edisi Sdn Bhd adalah Temasek Padu Sdn Bhd, dan Temasek Padu kini adalah pemegang harta parti pemerintah terbesar, Umno.

Najib Razak telah menstruktur semula harta parti Umno setelah mengambil alih tampuk pimpinan. Harta Umno telah dimasukkan ke bawah Temasek Padu, dan syarikat ini dikuasai oleh orang rapatnya, Zulkifly Rafique, pengasas firma guaman Zul Rafique & Partners, dan seorang lagi peguam dari firma guaman ini, Tunku Alizan Raja Muhammad Alia.

Seandainya KUB Malaysia Bhd melaksanakan polisi dividen pada 2013, maka jelas Umno dan Kementerian Kewangan akan mendapat manfaat terbesar. Menurut model polisi dividen, Umno dan Kementerian Kewangan akan mendapat dividen pada kadar yang tetap dari KUB Malaysia Bhd setiap tahun. Kini, Najib Razak adalah Menteri Kewangan, merangkap Presiden Umno.

KUB dapat projek mega


KUB Malaysia dijangka bakal mendapat satu projek hospital kepakaran kanak-kanak yang bernilai RM3 bilion bersama IJM Corporation Bhd. Di bawah kontrak yang sama, KUB Malaysia bersama IJM bakal mendapat kontrak konsesi untuk mengendalikan hospital tersebut selama 30 tahun.

Sejuga berniat untuk mendapatkan projek pembinaan lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur kedua, yang bernilai RM250 juta, termasuk pembinaan landasan kapal terbang ketiga dan landasan teksi.

KUB Malaysia juga pengedar gas asli cecair (LNG) yang utama di Malaysia, membawa jumlah perolehan antara RM280 juta hingga RM320 juta setiap tahun. KUB Malaysia juga sedang membida untuk perusahaan LNG Shell Malaysia. Jikalau pembidaannya berjaya, maka syarikat tersebut akan berpeluang untuk menjadi pengedar LNG kedua terbesar, dijangka menyumbang perolehan RM2 bilion setiap tahun, malah akan meningkatkan nisbahnya dalam pasaran dari 12 peratus kepada 32 peratus.

Apa yang menarik, syarikat joint venture antara KUB Malaysia Bhd dengan Malaysia Steel Works (KL) Bhd juga berjaya mendapat satu projek inter-city commuter trainbernilai RM1.23 bilion di bawah Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia.

Polisi dividen serentak pada tahun 2013?

Sementara itu, Petronas mengumumkan pada minggu lalu, bahawa syarikatnya telah mencapai persetujuan bersama kerajaan Najib bahawa mereka akan menetapkan pengagihan dividen kepada kerajaan pada kadar tetap 30 peratus (daripada keuntungan bersih) mulai tahun 2013. Dua tahun kebelakangan ini, Petronas telah mengagihkan dividen setinggi RM30 bilion setahun kepada kerajaan Najib.

Dari perhitungan yang sedia ada, sekurang-kurangnya dua buah GLC yang berkaitan dengan kerajaan persekutuan dan Umno akan melaksanakan serentak polisi dividen pada tahun 2013. Dengan kata lain, kerajaan persekutuan dan Umno akan mendapat dividen yang tetap daripada GLC ini mulai tahun 2013. Seandainya ini satu polisi yang ditetapkan, maka dijangka lebih banyak GLC yang akan mengikut “kerangka” ini.

Petanda-petanda ini memperlihatkan kerajaan Najib dan Umno kini semakin kesempitan wang, lantas cuba mendapatkan sumber kewangan dari GLC.

Harta semakin berkurangan


Pada hakikatnya ia bukan sesuatu yang berada di luar dugaan. Kerajaan Persekutuan telah melabur sejumlah RM26.49 bilion ke atas 104 buah syarikat GLC melalui Menteri Kewangan Diperbadankan, namun kerajaan hanya boleh bergantung kepada Petronas untuk mendapat pulangan yang nyata melalui dividen Petronas.

Dengan penetapan polisi dividen ini, pendapatan yang boleh diambil dari Petronas dijangka berkurang dari sebelumnya, namun langkah ini sebenarnya menyasarkan GLC yang lain, menyedari bahawa kerajaan tidak boleh bergantung kepada Petronas selama-lamanya.

Laporan Audit Negara menunjukkan, daripada 25 GLC yang mendapat keuntungan pada 2008, hanya 13 GLC yang mengagihkan dividen kepada kerajaan Persekutuan, dan hanya empat buah GLC yang mengagih dividen berturut-turut untuk tiga tahun (2006-2008).

Antara tahun 2006 hingga 2008, Petronas menyumbang RM159.73 bilion dalam bentuk cukai dan dividen kepada kerajaan Persekutuan – lebih 98 peratus daripada sumbangan cukai dan dividen GLC. Selain itu, Petronas telah mengagihkan dividen sejumlah RM84 bilion kepada kerajaan dalam tempoh tiga tahun tersebut – 99.8 peratus daripada dividen yang diperolehi kerajaan daripada GLC.

Apakah polisi dividen yang menetapkan kadar pada 30 peratus ini sebagai persediaan kerajaan Umno BN berdepan dengan kekosongan wang pada tahun selepas 2013? Lebih-lebih lagi PRU-13 dijangka diadakan pada hujung tahun ini atau tahun 2012, yang sudah tentunya menelan kos yang tidak kurang. Apakah keadaan ini mendesak kerajaan Umno BN untuk menggubal polisi dividen, agar memastikan pendapatan yang stabil dari GLC yang untung?

* Penulis merupakan Pembantu Editor MerdekaReview, edisi bahasa Mandarin. Rencana ini dipetik, diterjemah dan disunting dari teks asal.


keadilandaily.com
Sistem ekonomi Negara Kebajikan

Oleh:Hishamuddin Rais

TIBA-TIBA Negara Kebajikan menjadi isu perbincangan. Ini adalah hasil dari keputusan Muktamar PAS tahun 2011 yang baru selesai dua minggu lalu. Hasil dari Muktamar ini umum telah diberitahu bahawa PAS akan membawa Negara Kebajikan sebagai akidah perjuangan.

Bila sahaja PAS mengajukan Negara Kebajikan kepada umum, dengan serta merta United Malays National Organisation bangun mengaku bahawa dasar ini telah mereka jalankan. Justeru mengikut United Malays National Organisation, PAS hanya menjadi Pak Turut.

Saya rasa memang ada warga kurang faham tentang apa sebenarnya Negara Kebajikan. Saya yakin – ramai yang kabur dan kurang faham dan mungkin menjadi sasau apabila United Malays National Organisation mengakui bahawa mereka telah menjalan dasar Negara Kebajikan.

Jika dasar yang sedang dilakukan oleh United Malays National Organisation ini sebagai agenda Negara Kebajikan, ini bermakna warga Palestin di Gaza juga hidup dalam Negara Kebajikan.

Hampeh. Pengakuan United Malays National Organisation ini betul-betul mengelirukan ramai warga. Pengakuan United Malays National Organisation ini sama seperti George Bush mengakui yang dia menyerang Iraq untuk membawa demokrasi dan keamanan. Justeru, ciri pertama Negara Kebajikan ialah apa sahaja dasar yang sedang dilakukan oleh United Malays National Organisation ianya bukan Negara Kebajikan.

Sesudah kita semua menyedari ‘cakap tipu’ United Malays National Organisation ini, biar saya sambung penerangan tentang Negara Kebajikan. Sesebuah Daulah wujud berasaskan ekonomi. Dalam dunia nyata kita pada hari ini, hanya ada dua bentuk sistem ekonomi. Ekonomi kapitalis dan ekonomi sosialis. Ini adalah dua sistem ekonomi induk. Yang lain lain hanyalah pecahan dari sistem ekonomi ini.

Ekonomi kapitalis berpaksikan keuntungan maksima. Keuntunganlah yang mengemudikan arah dan dasar negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Manakala sistem ekonomi sosialis berpaksikan kepada kebajikan ramai. Justeru negara atau daulah yang mengamalkan sistem ekonomi sosialis akan menjadikan kebajikan ramai sebagai pedoman.

Tanah Melayu pada satu ketika dahulu adalah negara bersistemkan ekonomi feudal – sistem ekonomi ini muncul sebelum ekonomi kapitalis. Raja menjadi kepala yang mewakili seluruh kehidupan hidup. Raja berkuasa memungut cukai. Raja berhak memiliki tanah. Maka lahirlah budaya Melayu yang melambang sistem ekonomi feudal ini. Justeru kita melihat orang Melayu tunduk kepada Raja walaupun Raja itu hampeh. Hingga ke hari ini, saki baki budaya yang dilahirkan oleh sistem ekonomi feudal itu masih wujud sebagai bukti.

Di negara-negara tandus berpadang pasir seperti Saudi Arabia telah muncul satu budaya dan tamadun yang berpaksikan ekonomi padang pasir. Di Khutub Utara yang sejuk bersalju telah melahirkan budaya dan tamadun negara bangsa warga Eskimo. Amat jelas bahawa sistem ekonomilah yang melahirkan tamadun negara bangsa.

Saya tidak perlu bersuluh untuk memahami bahawa dari sistem ekonomilah munculnya budaya, moral, nilai, tatasusila dan tamadun. Semua budaya bangsa dalam dunia ini wujud hasil dari sistem ekonomi. Tamadun negara bangsa adalah cermin dari sistem ekonomi yang di sedia pakai.

Mari saya bawa kembali untuk memahami dua sistem ekonomi – kapitalis dan sosialis. Untuk saya amat jelas dua bentuk sistem ekonomi ini memiliki perbezaan yang hakiki. Malah dua sistem ekonomi ini bertentangan antara satu sama lain. Keuntungan maksima tidak boleh wujud jika kebajikan ramai ingin diberi. Dalam masa yang sama kebajikan ramai tidak mungkin wujud jika keuntungan maksima ingin dicapai.

Ini adalah hakikat pertentangan dua sistem ekonomi ini. Memang betul kita sering cuba dikelentong dengan kata-kata ‘sama sama menang’ atau ‘win win situation’. Dalam sistem ekonomi tidak wujud sama sama menang. Jika loji Lynas di Gebeng dibuka yang untung membuat kekayaan ialah syarikat Australia. Yang akan rugi warga Gebeng dan Kuantan. Mustahil syarikat Loji untung dan warga di Gebeng juga untung. Tidak pernah lagi dalam sejarah ekonomi sosialis atau kapitalis akan wujud situasi sama sama untung.

Dalam bahasa orang kampung – tidak mungkin towkay untung dan kuli juga untung. Saya tahu ada juga yang berani berkata sedemikian. Untuk saya, ini adalah kata-kata dari orang yang tidak faham asas ekonomi. Kita selalu mendengar atau membaca kata-kata – win win situation – kata-kata ini datangnya dari mulut politikus United Malays National Organisation yang kerjanya hanya menipu orang ramai.

Dalam sisem ekonomi kapitalis, pelaburan dibuat untuk membawa untung. Justeru balak ditebang untuk menguntungkan tawkey balak. Mustahil penebangan balak ini akan menguntungkan kera dan siamang dalam hutan, jauh sekali Orang Penan. Tanah sawit dibuka dikatakan untuk membawa peluang pekerjaan. Ini kata-kata dari seorang munafiq yang menyorokkan niat asalnya untuk mencari keuntungan dari tenaga buruh pekerja ladang sawit ini.

Saya amat berharap yang para pembaca yang budiman telah faham bahawa politik itu ialah ekonomi. Perebuatan kuasa politik itu ialah perebutan kuasa ekonomi. Kerana itu kempen politik adalah kempen tentang dasar ekonomi. Jika para pembaca telah memahami sudut ini maka dengan senang sekali para pembaca akan memahami apa dia politik terkini didalam negara kita.

Biar saya jelaskan disini bahawa para penyokong sistem ekonomi kapitalis tidak henti-henti merancang untuk merebut kuasa politik agar mereka dapat membolot semua punca ekonomi. Rasa saya, ini fakta yang jelas dapat kita lihat dalam budaya politik United Malays National Organisation. Justeru kaum kapitalis ini akan menyokong United Malays National Organisation parti ini menyebelahi kepentingan mereka.

Bagitu juga pendukung yang mengajukan sistem ekonomi sosialis – mereka juga akan menyusun penyokong. Kalau dalam sistem ekonomi kapitalis yang menyokong ialah kaum pemodal dan pelabur. Dalam sistem ekonomi sosialis yang menyokong ialah kaum buruh, kaum tani dan warga miskin yang hidup tanpa harta kekayaan.

Justeru, sekali lagi saya tunjukkan wujudnya pertembungan antara dua sistem ekonomi. Lalu pertanyaan muncul di mana hendak kita letakkan Negara Kebajikan yang telah diajukan oleh parti PAS?

Biar saya terang dengan sejelas mungkin tentang Negara Kebajikan ini. Negara Kebajikan bukan satu sistem ekonomi. Jangan sesekali silap untuk mentakrifkan bahawa Negara Kebajikan ini adalah satu sistem ekonomi. Bukan.

Negara Kebajikan ini muncul dari satu sistem ekonomi. Negara Kebajikan dilahirkan dari sistem ekonomi sosialis. Hanya sistem sosialis sahaja yang memiliki kudrat dan iradat untuk membawa kemunculan Negara Kebajikan. Lalu timbul persoalan bahawa Pas ini bukan parti sosialis. PAS mengakui diri sebagai parti Islam. PAS sebuah parti Islam adalah kenyatan yang betul dan tepat.

Wajib kita sedari bahawa Islam itu adalah agama kepercayaan dan bukan sistem ekonomi. Dalam kitab suci al-Quran yang dimunculkan adalah ayat-ayat yang membawa naratif-naratif contoh yang menggambarkan Negara Kebajikan. Justeru terpulangkan kepada si penganut untuk menggunakan akal dan fikrah untuk melakar dan mencipta satu sistem ekonomi yang melahirkan Negara Kebajikan.

Ditahap tamadun manusia hari ini, Negara Kebajikan hanya dapat diwujudkan melalui struktur sistem ekonomi sosialis. Lalu timbul satu lagi persoalan – bukankah sosialis ini tidak beragama dan tidak bertuhan?

Saya rasa masa dan ketikanya telah sampai untuk kita semua berani membebaskan diri dari diperangkap oleh propaganda ‘perang dingin’ yang mengatakan bahawa penyokong sistem ekonomi sosialis ini tidak bertuhan. Ini sebenarnya lahir dari kejayaan propaganda licik ketika pertempuran hebat antara dua ideloji sistem ekonomi. Idealogi sistem kapitalis yang dikepalai oleh Amerika dengan sistem sosialis yang dipimpin oleh Rusia. Pertempuran ini berjalan hebat bermula sesudah Perang Dunia Kedua hingga runtuhnya Tembok Berlin pada tahun 1989.

Adalah betul dan tepat apabila kita mengatakan bahawa sistem ekonomi kapitalis atau sosialis tidak memiliki agama dan tidak memiliki tuhan. Sistem ekonomi ini samalah seperti enjin kereta yang wujud. Tugas enjin hanya untuk bergerak dari Kampung Ini ke Kampong Itu. Tidak mungkin enjin kereta ini beragama dan bertuhan.

Biar saya terangkan lagi sejelas mungkin tentang beza agama dengan sistem ekonomi. Ini agar kita semua memiliki padangan yang cerah dan terbuka. Biar saya tunjukkan bagaimana Syed Mukhatar seorang penganut agama Islam yang selalu bersedekah tetapi dia juga ialah seorang kapitalis yang besar.

Begitu juga dengan Bill Gates tuan empunya Microsoft – dia pula seorang atheis. Apa yang ingin saya paparkan ialah bukan agama dan kepercayaan yang penting, tetapi akidah. Bill Gates dan Syed Mokhtar memiliki akidah yang sama sebagai kaum kapitalis. Akidah mereka ialah keuntungan maksima.

keadilandaily.com
Bil:20.