ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Friday, December 26, 2008

Perselisihan Uji Daya Tahan Pakatan Rakyat

Perselisihan Uji Daya Tahan Pakatan Rakyat

Oleh:A Kadir Jasin

DUA perkembangan terbaru yang membabitkan Parti Islam SeMalaysia (Pas) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) boleh memberi kesan terhadap daya tahan dan kelangsungan Pakatan Rakyat.Pertama tunjuk perasaan Pemuda Pas terhadap pertandingan tarian I-Dance anjuran kerajaan negeri Pulau Pinang dan kedua kenyataan Naib Presiden Pas, Husam Musa, bahawa parti itu tetap akan melaksanakan Hukum Hudud.

Dalam hal pertama, tindakan Pemuda Pas itu dikesali oleh Ketua Pemuda Sosialis (DAPsy), Loke Siew Foo yang menyifatkannya sebagai mengecewakan.Manakala dalam peristiwa kedua, supremo (orang kuat) DAP, Lim Kit Siang menyelar Husam dan meminta beliau memberi penjelasan.Katanya, kenyataan Husam itu boleh menyebabkan keraguan di kalangan pengundi bukan Islam di Kuala Terengganu yang bakal mengundi dalam pilihan raya kecil Parlimen bulan depan.

Dalam satu kenyataan akhbar, Lim berkata: “Hukum hudud bukan dasar Pakatan Rakyat dan adalah tanggungjawab Husam memperjelaskan apa yang beliau sebenarnya katakan.”Lim bukan sekadar menolak Hukum Hudud, malah mengingatkan Husam bahawa DAP menyertai Pakatan Rakyat dengan Pas dan PKR berlandaskan dasar bahawa “Malaysia kekal sebagai negara sekular berasaskan kontrak sosial yang digubal pada tahun 1957.”Tindakan Lim Kit Siang merujuk kepada Malaysia sebagai negara sekular tidak memeranjatkan. Itu sememangnya pendirian DAP sejak diasaskan pada tahun 1965.

Apa yang menarik adalah tindakannya mengaitkan hujah itu dengan kontrak sosial yang pada ketika ini semakin dipertikaikan kewujudannya oleh orang bukan Bumiputera.Apakah ini bermakna bahawa DAP bersedia mengakui kewujudan kontrak sosial dan menerima peruntukannya seperti yang dijelmakan oleh Perlembagaan Persekutuan?(Antara prinsip utama kontrak sosial adalah keistimewaan hak kepada orang Melayu dan agama Islam dan pemberian kewarganegaraan kepada kaum pendatang pada tahun 1957.)

Apakah perbalahan Pas-DAP ini sekadar tindak tanduk politik menjelang pilihan raya kecil Kuala Terengganu atau petanda kepada keretakan yang lebih serius?Umum maklum bahawa jurang ideologi dan dasar di antara Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah cukup luas.Kalau kita menggunakan acuan politik universal, kita boleh mengkategorikan PKR sebagai parti liberal demokrat, Pas sebagai parti agama dan DAP parti sosialis.Kesediaan dan kejayaan mereka bergabung pada pilihan raya umum 8 Mac lalu adalah kerana keberkesanan Anwar Ibrahim sebagai orang tengah dan kerana ketiga-tiga parti itu menyedari kelemahan Barisan Nasional.

Kemenangan yang tidak mereka duga dalam pilihan raya itu membuatkan mereka menjadi lebih yakin dan mengambil keputusan mengubah kerjasama pilihan raya mereka menjadi parti gabungan Pakatan Rakyat.Soalnya sampai bilakah ahli dan penyokong mereka perlu atau bersedia menunggu sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan sebagai parti gabungan yang sah?Sebelum Pakatan Rakyat boleh diperbadankan sebagai pakatan yang tetap, ia perlu diterima dan disahkan dulu oleh ahli ketiga-tiga buah parti terbabit. Kalau tidak silap saya, proses itu belum lagi dilaksanakan.

Soalnya, dengan kerenggangan yang jelas antara Pas dan DAP di peringkat ideologi dan dasar serta di dalam pentadbiran di negeri-negeri yang mereka kuasai, adakah mampu Anwar dan PKR terus menjadi pemangkin, penyatu dan pendamai?Apatah lagi Anwar dan PKR sendiri mempunyai masalah kewibawaan. Kegagalannya mengotakan janji menumbangkan Kerajaan BN pada 16 September lalu sedikit sebanyak menjejaskan imejnya sebagai Ketua Pembangkang Parlimen dan ketua de fakto Pakatan Rakyat.Kontroversi yang dicetuskan oleh ahli Parlimennya bagi kawasan Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin pada forum mengenai “memeluk Islam” anjuran Majlis Peguam di Kuala Lumpur pada 9 Ogos lalu mencemarkan perhubungan dengan DAP dan di kalangan ahli PKR sendiri.

Pendirian Zulkifli itu dilihat sebagai berlawanan dengan dasar dan pendirian liberal PKR.Baru-baru ini pula, Pakatan Rakyat dilihat sebagai telah termasuk perangkap apabila “terpaksa” menyokong beberapa rang undang-undang reformasi Abdullah Ahmad Badawi.Antaranya rang undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah walaupun mereka tidak puas hati dengan peruntukannya.Pakatan Rakyat terpaksa menyokong kerana rang undang-undang reformasi Abdullah itu menyamai tuntutan pembangkang selama ini.Sedikit sebanyak, kesan persengketaan di kalangan parti komponen Pakatan Rakyat mungkin akan dimanifestasikan dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu di mana Pas akan bertemu Umno.


http://kadirjasin.blogspot.com

(kepada MSO dan Datuk Kadir,harap maaf kerana tak sempat nak minta izin siarkan tulisan kalian dalam blog ini.).

Hudud: Pas Tidak Boleh Gadai Hukum Allah Dengan Kepentingan Politik Kawan

Hudud: Pas Tidak Boleh Gadai Hukum Allah Dengan Kepentingan Politik Kawan
Oleh:Mohd Sayuti Omar (MSO)

SEPERTI yang telah diduga dan sering berlaku hudud telah menjadi isu. Media kroni sudah palu canang, gong dan gendang menjual hudud menjelang pilihan kecil Kuala Terengganu 17 Januari depan. Jaminan Husam Musa di Wancana Tranformasi Politik Malaysia dieksploitasikan sepenuhnya.Melihat cara Umno memainkan isu itu menunjukkan parti itu kekeringan isu untuk ditaburkan di Kuala Terengganu.

Apakah ini menunjukkan tanda-tanda awal kerusi Kuala Terengganu akan melayang ke tangan Pas? Pas sendiri masih belum membuat persiapan untuk berhadapan dengan pilihan raya itu, sehinggakan nama calonnya pun belum diumumkan, tetapi Umno sudah mabuk memikirkannya. Isu hudud yang timbul untuk kali ke seribu ini, bukan salah Husam Musa sebenarnya, tetapi ia salah DAP. DAPlah yang perlu dipertanggungjawab dan dipersalahkan dengan bangkit semula isu hudud ini. Jika DAP tidak gatal mulut isu hudud tidak akan menjadi selantang hari ini.


Semuanya bermula apabila DAP memberi reaksi segera atas jaminan Husam kepada Khairy Jamaluddin pada malam itu. Tanpa merujuk kepada Husam sendiri dan kepada suasana dan semangat Husam bercakap mengenai hudud DAP terus pertikaikan Husam. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan pengerusinya, Karpal Singh terus bangkit mengecam hudud. Apa salah hudud?Guan Eng atau Karpal Singh tidak sepatut melenting bila Husam memberi jaminan itu. Mereka harus faham dalam konteks apa Husam berkata mengenai hukum hudud itu. Husam tidak berkata di luar Kelantan tetapi di dalam negerinya sendiri.

Karpal dan Guan Eng sepatutnya arif dan faham mengenai rencah dan sosio-politik Kelantan yang unik itu.Lainlah kalau Husam memberi jaminan kerana diasak Khairy itu di luar Kelantan, misalnya di Pulau Pinang, Kuala Lumpur atau Ipoh. DAP boleh pertikaikan kerana ia boleh menimbulkan masalah kepada parti itu. Tetapi ini di Kelantan.Seperkara yang DAP perlu tahu perjuangan Pas berbeza dengan perjuangan DAP. Pas berjuang untuk mendapat keredaan Allah yang memikul tanggungjawab kepada rakyat menceritakan soal dosa dan pahala. Menegak kebenaran dan menentang kemungkaran.

Pas tidak boleh mengikut rentak DAP bermainan dengan politik chauvenismenya yang menerima kaedah matlamat menghalalkan cara. Pas yakin bahawa selepas kematian segala perjuangannya akan dihitung dan dihisab oleh Allah. Ini jelas.Apalah salahnya kalau Husam memberi jaminan itu? Hudud bukan perkara baru tetapi ia menjadi agenda dan maksud perjuangan Pas itu sendiri. Bukan saja hudud tetapai apa saja yang diperintah Allah dan Rasulnya itulah yang akan diperjuangkan Pas. Pas tidak akan meninggalkan perintah Allah kerana ingin memenuhi harapan politik DAP.

Bagi peribadi Husam sendiri sebagai seorang 'khalifah' beliau akan berdosa kalau tidak mengatakan jaminan itu.Perlembagaan Pas menjelaskan maksud dan tujuan penubuhnanya. Hudud itu sebahagian daripada juzuk perjuangan Pas. Hudud akan terus diperkatakan selagi ianya tidak ditanggalkan dari perlembagaan Pas yang termaktub di bawah Fasal 5: (i) Mengenai penubuhan Pas yang berbunyi; memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintah terlaksana di dalamnya nilai-nilai Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Pada saya ketakutan Karpal Singh dan Guang Eng atau sesiapa saja kepada hudud tidak berasas. Kalau orang Islam yang menolak hudud, betapa teruknya keimanan seseorang muslim itu. Maaf bukan muslim lagi kalau tolak hudud! Tahulah sendiri apa hukumnya kalau kita menolak hukum Allah.Bukan Islam juga tidak perlu takut kepada hudud? Kenapa kita harus jadi bodoh dan prejudis melulu dengan hudud. Perspektif penjenayah dihukum di bawah hukum hudud akan potong tangan, direjam dengan batu tidak betul sebenarnya. Gambaran yang pernah diberikan oleh pemimpin Umno mengenai hudud tidak benar dan berniat jahat. Gambaran itu terbit dari mereka yang jahil dan bencikan Islam.

Dalam sejarah perundangan Islam hudud tidak pernah bertindak sekejam itu. Dan bagi orang yang percaya kepada keadilan Allah, tidak akan mudah beranggapan demikian kerana hukuman Allah maha adil.Yang menghairankan saya kenapakah orang yang telah mengatakan dia mengambil model pemerintah khalifah Umur Ibnu Aziz tetapi masih tidak faham mengenai hudud dan tetap meragui hudud? Kalau begitu nampak sangat orang yang mengucap dan mengatakan itu hanya untuk tujuan politik semata-mata dan bukan dari bilik hati sebenar.Saya menyarankan kepada Guan Eng jangan membaca kisah Umur Ibnu Aziz dari konteks baginda membuat kebajikan saja, tetapi bagaimana Umu Ibnu Aziz (kerajaanya) menghukum penjenayah di zamannya. Kalau hendak membaca sirah Islam jangan diambil sebahagian tetapi bacalah keseluruhannya.

Apa yang menjadi masalah Pas dengan Umno ialah kerana Umno membaca dan mengamalkan sebahagian dari Kitabullah dan membuang dan tidak yakin kepada sebahagian yang lain.Orang Islam dan Melayu jangan mudah terkapur dengan mereka yang bijak bermadah demikian, yang menerima Umur Ibnu Aziz tetapi tidak menerima kewarakan Umur kepada Tuhannya. Jelas kata-kata itu tidak ikhlas dan ia hanya dijadikan tarikan politik sahaja.Suka saya mencadangkan berhubung hudud dan masalah dengan DAP ini, Pas hendaklah membuat ketetapan khusus mengenai hudud dalam Pakatan Rakyat. Jelaskan yang Pas hanya akan melaksanakan hudud di negeri-negeri yang dimenangi saja dan tidak akan melaksanakan di negeri yang tidak dikuasainya.


Kalau perlu Pas perlu menegaskan hanya Kelantan, Terengganu dan Kedah saja akan melaksanakan hukum hudud. Manakala negeri-negeri lain jangan dimasukkan dalam tujuannya. Walaupun langkah itu tidak bertepatan dengan kehendak Allah s.w.t. yang mengarahkan agar berdakwah dan melaksanakan hukumnya ke atas seluruh muka bumi ini, namun sebagai maslahat politik mungkin ia boleh dilaksanakan atas sifat sementara.Mungkin para ulama, Majlis Syura ulama dan Mursyidul Am Pas boleh memberi pandangan mengenai cadangan ini. [wm. kl

11:20 am 25/12/08]
http://msomelayu.blogspot.com

Thursday, December 11, 2008

IMUNITI RAJA-RAJA MELAYU: WAJARKAH DIKEMBALIKAN

Imuniti Raja-Raja Melayu: Wajarkah Dikembalikan?

Dalam surat khabar kelmarin, Utusan Malaysia & Berita Harian melaporkan Sultan Selangor sedia menyerahkan persoalan imuniti raja-raja Melayu, yang dihapuskan pada zaman Mahathir supaya dikembalikan,namun baginda menyerahkan kepada rakyat dan Parlimen untuk membuat keputusan.

Dalam akhbar yang sama hari ini pula beberapa badan NGO dan ahli akademik memberikan persetujuan yang sama, agar kekebalan raja-raja itu diputuskan oleh rakyat dan Parlimen. Presiden Perkasa,Datuk Ibrahim Ali (MP Pasir Mas) berkata perkara 66 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda semula bagi mengembalikan semula kuasa raja-raja bagi memperkenankan sesuatu rang undang-undang di Parlimen. Ia adalah sebagai langkah untuk meyakinkan orang Melayu serta percaya institusi raja di negara ini masih relevan.

Pengerusi Gabem, Tan Sri Rahim pula menyifatkan mengembalikan kekebalan raja-raja kepada Parlimen dan rakyat adalah tepat. Walaubagaimana pun ia menyifatkan masanya belum begitu sesuai dan keperluan yang tidak mendesak, dengan itu boleh dibuat di waktu lain yang lebih sesuai. Menurut Prof. Zainal Kling, “jika tiada kuasa raja kerajaan mungkin akan menjad terlalu kuat seperti apa yang berlaku di Thailand. Jadi, mengembalikan kekebalan raja-raja Melayu adalah wajar.”

Isu kekebalan raja ini sebenarnya timbul pada tahun-tahun 1992,bilamana mantan PM, Mahathir Mohamed berusaha untuk menarik kekebalan raja-raja Melayu, sekaligus akan menjadikan dia orang yang paling berkuasa di Malaysia ketika itu. Sebenarnya kes ini timbul pada 1992, bila Douglas Gomez dicederakan di Istana Sultan Johor pada 30 Nov.1992. Berikutan dengan itu pada 10 Disember,92 Dewan Rakyat telah meluluskan dengan sebulat suara usul yang dicadangkan oleh En Ghafar Baba,TPM ketika itu, mengenai apa yang dikenali sebagai peristiwa Bukit Serene.

Ghafar Baba menegaskan di Parlimen “Dan bahawa Dewan ini memutuskan kejadian tersebut adalah satu penyalahgunaan kuasa yang bercanggah dengan semangat Perlembagaan Malaysia dan bertentangan dengan cita-cita serta hasrat undang-undang negara yang berteraskan kepada sistem Raja Berpelembagaan dan demokrasi berperlimen.Dan Dewan ini mengambil ketetapan bahawa segala tindakan yang perlu hendaklah diambil bagi menentukan insiden seumpama ini tidak berulang lagi pada masa hadapan.”

Sebenarnya sebelum Bukit Serene, berbagai perkara telah berlaku.Antaranya pada Julai 1992, Tengku Bendahara Johor telah dituduh memukul dan mencederakan seorang bernama Jaafar,penjaga gol hoki pasukan Perak selepas perlawanan hoki di antara Johor dan Perak. Peristiwa Prebet Adam yang mengamok di Chow Kit juga dikaitkan dengan kesultanan Johor yang sehingga kini tiada keputusan yang jelas mengenai perkara itu.

Bahagian Perlembagaan yang disebut-sebut akan dipinda adalah perkara 181(1) yang menyebutkan bahawa “Tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimeweaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja.” Mengikut peruntukan iniadalah sukar bagi kerajaan Barisan Nasional untuk meminda perkara 66 (4) Perlembagaan Malaysia yang berbunyi “ Yang Di-Pertuan Agong hendaklah dalam masa 30 hari selepas sesuatu rang undang-undang dikemukakan kepada baginda diperkenankan dengan menyebabkan rang undang-undag itu dicop dengan Mohor Besar.” Kod Etika yang dikemukakan oleh Barisan Nasional ditolak oleh Majlis Raja-Raja,menjadikan ia sukar untuk dilaksanakan.

Selepas puas bermain tarik tali, akhirnya kerajaan berjaya memasukkan satu artikel tambahan di bawah perkara 66 (4) iaitu 66 (4A) yang berbunyi “jika suatu rang undang-undang tidak diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang ditentukan dalam fasal(4),rang undang-undang itu hendaklah menjadi undang-undang apabila habis masa yang ditentukan dalam Fasal itu mengikut cara yang sama seolah-olah baginda telah memperkenankannya.”

Implikasinya

Sebenarnya penulis bukanlah pakar Perlembagaan Malaysia.Namun penulis merasakan ada sesuatu yang perlu diperkatakan. Orang yang paling layak menulis soal ini adalah Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dari UIA atau Dato Rais Yatim sendiri yang mempunyai Phd. dalam bidang undang-undang. Artikel 66(4) memberikan beberapa implikasi. Antaranya sesuatu rang undang-undang itu akan lulus secara automatik walaupun Yang di-Pertuan Agong tidak menandatanganinya. Ini memungkinkan kezaliman akan tertimpa ke atas rakyat marhaen.Umpamanya soal Akta Pengambilan Tanah yang telah dipinda, rakyat tidak mampu menolak jika tanahnya ingin diambil oleh kerajaan untuk tujuan pembangunan. Apa yang boleh dilakukan hanyalah tuntutan pampasannya boleh dipertikaikan di Mahkamah. Selebihnya seseorang itu akan kehilangan tanahnya jika kerajaan berhasrat untuk mengambilnya.

Sebaliknya orag-orang politik pula kebal dari tindakan mahkamah.Banyak kes-kes politik akhirnya beraakhir begitu sahaja, tanpa tindakan dapat diambil di mahkamah. Kes Razak Baginda dan Altantuya tidak berjaya sepenuhnya dibawa ke muka pengadilan. Begitu juga dengan kes Norita Shamsuddin yang dikatakan membabitkan orang politik. Selain itu, kes Rafidah Aziz senyap begitu sahaja walau berpeti-peti bukti menurut Ezam. Terlalu banyak kes membabitkan orang politik tidak dapat diselesaikan, menjadikan seolah-olah mereka lebih kebal dari raja-raja dan berada di atas undang-undang. Sebab itu reformasi Badan Kehakiman adalah amat perlu buat masa ini di negara ini demi untuk mengembalikan kepercayaan rakyat dan orang ramai terhadap institusi tersebut.

Kesimpulan

Memandangkan iklim politik negara tidak begitu tenang, UMNO yang menjadi tulang belakang BN seolah-olah hanya menunggu masa untuk tumbang, ketuanan Melayu sering dicabar akhir-akhir ini kerana kelemahan itu, begitu juga kerajaan PR belum sampai setahun jagung dan belum mampu menangani pelbagai permasalahan negara yang majmuk ini, adalah dirasakan wajar imuniti raja-raja itu dikembalikan semula ke tempat yang sewajarnya. Ini adalah untuk menjamin kelangsungan survival politik Melayu Islam pada abad-abad mendatang. Janganlah kita menunggu “menang sorak kampung tergadai” baru kita terpinga-pinga untuk mengambil tindakan. Ambillah tindakan sebelum terlewat, sebelum menang jadi arang, kalah jadi abu.


AlKundangi,
9.12.2008.

Friday, November 28, 2008

UNTUNG RUGI PERTEMBUNGAN DUA TOKOH

UNTUNG RUGI PERTEMBUNGAN DUA TOKOH


Pertembungan dua tokoh wanita UMNO pada pemilihan Mac ini memberikan satu kesan politik yang tidak sedikit kepada pergolakan parti itu yang memang pun sedang bergolak ketika ini. Rafidah, tokoh veteran Wanita UMNO tidak berhajat untuk melepaskan jawatannya, sebaliknya bertindak mempertahankannya dari pencabar utamanya, Shahrizat Abd. Jalil, yang nampaknya agak terdesak untuk keluar dari barisan Wanita parti berkenaan. Sekiranya Shahrizat tidak bertanding ia mungkin kehilangan jawatan dalam UMNO, di mana beliau tidak pun bertanding bagi jawatan Naib Ketua, yang kini dimonopoli oleh Datuk Kamalia. Mungkin dia menyangka Datuk Kamalia tidak akan merebut jawatan Naib Ketua, tetapi ternyata dugaan itu meleset, dan Datuk Kamalia pun dapat menduduki kerusi berkenaan tanpa sebarang pertandingan.


Shahrizat adalah orang kepercayaan Perdana Menteri. Itulah yang dapat diduga ketika ini. Meskipun beliau kalah dalam PRU12 kepada Nurul Izah di Lembah Pantai, Namun PM melantik beliau bagi satu jawatan bertaraf Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Manakala Rafidah, yang menang mempertahankan kerusinya di Kuala Kangsar, tidak dilantik ke mana-mana jawatan Menteri. Pada era Mahathir, Rafidah adalah orang kuat Mahathir, dan sanggup melutut bila Mahathir merancang untuk meletakkan jawatan PM.

Namun Rafidah dibelit oleh pelbagai isu. Isu menantunya hingga kini masih dalam persoalan. Sewaktu Ezam masih dalam Keadilan, berpeti-peti bukti dilaporkan oleh Ezam ada pada beliau, namun kini peti-peti itu hilang entah ke mana. Kes Permit Import (AP) juga menghantui Rafidah yang kini dilaporkan semula dalam akhbar-akhbar alternatif. Begitupun, rasanya Rafidah disokong oleh Mahathir dan Najib. Mungkin peralihan kuasa yang dirancang pada bulan Jun itu memberikannnya ruangan untuk menjawat apa-apa jawatan Menteri di bawah bakal PM Najib Tun Razak.

Siapa pun yang bakal menang dalam pertarungan ini, ia meninggalkan kesan kepada pertubuhan UMNO itu sendiri .Satu hal yang pasti,akan wujudnya kem Rafidah dan kem Shahrizat. Keadaan ini menjadikan UMNO terus berpecah kepada beberapa pecahan lagi. Ia menambahkan lagi sakitnya parti itu sendiri. Inilah kerugian yang bakal ditanggung oleh UMNO, perpecahan demi perpecahan.

Sebaliknya di pihak Pakatan Rakyat, siapa pun yang bakal menang, ia tidak rugi apa-apa dan tidak untung apa-apa. Mungkin ada sedikit keuntungan seperti peniaga kedai runcit, akibat perpecahan dalam wanita UMNO itu. Perpecahan itu memudahkan kerja-kerja Pakatan Rakyat yang tidak perlu menggempur begitu teruk pada PRU ke 13 akan datang. Namun kedua-dua tokoh itu ada kewibawaannya masing-masing yang perlu diberi perhatian serius oleh barisan wanita Pakatan Rakyat. Perancangan dan strategi yang betul adalah perlu untuk menghadapi perubahan pimpinan dalam wanita UMNO ini.


AlKundangi,
28.11.2008

Tuesday, November 11, 2008

ULASAN SEMASA: PEMILIHAN UMNO

ULASAN SEMASA: PEMILIHAN UMNO



Sehingga ini, Jawatan Presiden UMNO dimenangi oleh bakal PM, Najib Abd. Razak yang memperoleh 177 pencalonan UMNO.Dato’ Seri Najib dianggap menang tanpa bertanding walaupun saingannya Tengku Razaleigh mendapat satu undi. Ini bererti jawatan Presiden UMNO akan disandang oleh Najib, sebaik seselai pemilihan UMNO secara rasminya pada 8 Mac,2009. Sekaligus DS Najib hampir pasti akan menjadi PM Malaysia yang ke 6,kecuali terjadi sesuatu yang luar biasa yang mengubah keadaan yang ada.

Perubahan boleh berlaku sekiranya Pakatan Rakyat yang diterajui DS Anwar berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan melalui undi tidak percaya, atau melalui calon-calon yang disenaraikan akan melompat parti dari BN ke PR yakni ahli-ahli parlimen yang boleh merubah kedudukan majoriti dalam Parlimen.

Ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan oleh DS Najib. Pertama,masalah politik wang yang sedang membarah dalam UMNO, yang menurut Johan Jaafar dalam kolumnya di Luar Lingkaran, Berita Minggu 2 November, 08 di mana wang yang dibelanjakan untuk membeli undi dalam kempen pemilihan UMNO kali ini melibatkan RM250 juta hingga RM 300 juta! Satu jumlah yang terlalu besar untuk sebuah parti seperti UMNO. Di manakah orang-orang UMNO mendapatkan wang berkenaan? Kita serahkan sahaja kepada BPR menyiasat perkara ini.

Selain politik wang, kemelesetan ekonomi juga adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian yang serius oleh DS Najib. Kemelesetan ini berpunca dari kes subprima di Amerika, di mana kerajaan US membailout USD 700 billion hutang-hutang oleh syarikat-syarikat gergasi seperti Lehman Brothers dan lain-lain. Amerika sendiri dijangka akan mengalami krisis ekonomi dan pengangguran dijangka melonjak ke 8 peratus pada 2009.

Banyak lagi skandal yang perlu diberi perhatian oleh DS Najib,seperti pembelian Eurocuptor yang ditangguhkan oleh DS Abdullah Ahmad Badawi. Najib dikatakan terlibat dalam pembelian itu, di mana komisyennya berlipat kali ganda dari harga asal. Pembelian BII (Bank International Indonesia) oleh Maybank dengan harga empat kali lipat juga merupakan skandal yang menjadi tandatanya hingga kini. Kes Pembunuhan Altantuya yang dikaitkan dengan Najib dan Rosmah perlu diselesaikan, dan ia perlu dijelaskan kepada rakyat yang ingin mengetahui segala puncanya dan orang-orang yang terlibat dengannya.


Manakala jawatan Timbalan Prsiden didahului oleh Tan Sri Muhyiddin dengan 90 pencalonan, diikuti oleh Dato Seri Muhd Ali Rustam, 46 Pencalonan dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib dengan 43 pencalonan. Dato’ Shahril Abd.Samad hanya mendapat satu pencalonan. Kerusi Naib Presiden diungguli oleh Dato’ Seri Hishammuddin Hussein dengan 142 pencalonan, diikuti oleh Dato’ Seri Zahid Hamidi dengan 103 pencalonan,Dato Seri Khalid Nordin 79 pencalonan, Datuk Shafie Apdal 78, Dato’ Seri Syed Hamid Albar 30, Tan Sri Mohd Isa 26, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis 25,Datuk Seri Rais Yatim 25, Tan Sri Rahim 16, datuk Seri Shahidan 6,Datuk Seri Muhammad Hassan 3, Datuk Musa Aman 2, manakala Annuar Musa, Ali Rustam, Affifuddin Omar, dan Datuk Halimah Sadique masing-masing mendapat satu pencalonan.

Namun dalam pemilihan UMNO sebenar pada 8 Mac, seperti yang dijadualkan, keputusan mungkin berubah, di mana ia akan ditentukan oleh undi dari para perwakilan yang hadir dalam persidangan itu nanti. Apapun keadaan, UMNO tetaplah UMNO, ia tidak lari dari politik wang dan berpuak-puak serta unsur-unsur rasisme yang terdapat dalam UMNO itu sendiri. Kebanyakan pertubuhan politik kini sudah mula membelakangkan kaum masing-masing, di mana persoalan kaum bukan lagi di tempat teratas. Kemenangan Obama dalam pemilihan calon Presiden US memperlihatkan gejala ini, di mana Obama adalah bangsa kulit hitam yang dulunya adalah hamba abdi bagi orang-orang kulit putih di Amerika. Kini Obama adalah calon Presiden US yang akan menggantikan Bush sedikit masa lagi. Namun UMNO masih dengan kemelayuannya, MCA dengan kecinaannya dan MIC dengan keindiannya yang bergabung di bawah BN, di mana corak pilitik sedemikian sudah mulai ketinggalan zaman.


AlKundangi,
10.11.2008
.

Tuesday, November 4, 2008

DEBAT MENJELANG PEMILIHAN UMNO

ISU SEMASA

DEBAT MENJELANG PEMILIHAN UMNO


Debat adalah satu aktiviti intelektual di mana para pendebat mengemukakan hujah masing-masing dalam sesuatu isu yang dipilih. Ia bukanlah berasal dari budaya Melayu. Debat atau Jidal sering dilakukan di awal perkembangan Islam, dan ia semacam menjadi budaya bagi kaum Quraisy. Selain debat, orang-orang Arab di zaman Jahiliah dan zaman Islam menjadikan syair sebagai medium untuk menyatakan pendapat.Sebab itu kalau kita mengkaji sejarah perkembangan sastera Arab, kita akan bertemu dengan syair-syair zaman Jahiliah dan syair-syair di zaman Islam.

Berbalik kepada isu asal, dalam proses pemilihan pemimpin-pemimpin UMNO Mac ini, di cadangkan debat terbuka antara calon-calon yang bertanding bagi jawatan-jawatan yang dipertandingkan. Banyak pihak bersetuju dengan cadangan debat ini. Namun ada juga yang menolak cadangan yang bersifat intelektual exercise ini. Mukhrij Tun Mahathir, calon Ketua Pemuda adalah antara yang tidak bersetuju dengan debat ini, walaupun beliau mendapat undi tertinggi dalam proses pencalonan jawatan itu. Manakala pencabar terdekatnya, Khairy Jamaluddin, bersetuju dengan debat tersebut.

Pandangan yang agak menyimpang datangnya dari Pengerusi Jawatankuasa Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Tun Mohd Aminuddin Ishak, di mana beliau berpendapat bahawa debat berkenaan masih belum relevan dan sesuai dianjurkan di negara ini. Bahkan ia berpendapat, debat itu boleh memecah-belahkan parti Umno sendiri. Pemimpin patut menumpukan usaha ke arah memulihkan parti kerana ia tugas utama berbanding perebutan jawatan dalam pemilihan Umno. Agak menhairankan, mengapakah beliau berpendapat demikian, sedangkan debat adalah satu perkara yang baik yang boleh memperlihatkan cara berfikir dan kredibiliti seseorang calon.

Isu debat mula diterima oleh masyarakat Malaysia, bilamana DS Anwar dicadangkan berdebat dengan Ahmad Shabery Chik, Menteri Penerangan berkaitan dengan kenaikan harga minyak yang mendadak pada pertengahan tahun ini. Debat itu mendapat perhatian umum, bahkan dinanti-nantikan oleh sebilangan masyarakat yang suka kepada ide-ide yang baik dan bernas. Debat berupaya mempercambahkan idea pendebat dan audiennya sekali, kerana ia adalah satu pembentangan terbuka pemikiran tentang sesuatu secara langsung, apalagi jika ia disiarkan secara langsung menerusi media elektronik seperti televisyen.

Apa pun pandangan, debat adalah sesuatu yang baik dalam membuat satu-satu kesimpulan, di samping menggalakkan percambahan ide, pertukaran pendapat, dan meningkatkan kematangan berfikir. Dengan demikian, debat adalah sesuatu yang wajar dilaksanakan dalam pemilihan Umno, dan ia dipercayai boleh meningkatkan keupayaan Umno dalam memulihkan prestasinya yang menjunam selepas PRU ke 12, di mana Umno dan Barisan Nasional kehilangan 5 negeri dan satu Wilayah Persekutuan ke tangan pembangkang, Pakatan Rakyat.

AlKundangi,
4.11.2008
.

Wednesday, October 29, 2008

ISU PKNS: DI MANA SILAPNYA TAN SRI KHALID?

ISU PKNS: DI MANA SILAP TAN SRI KHALID?


Pengurus Besar PKNS, Datuk Harun Salim dilaporkan akan bersara hujung bulan Oktober ini.Sehubungan dengan itu, Tan Sri Khalid selaku Menteri Besar Selangor melantik Timbalan Pengurus Korporat dan Akaun,Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar PKNS bagi menggantikan Datuk Harun yang akan bersara akhir bulan ini. Tempoh pemangkuan itu mengambil masa selama setahun sementara mencari calon yang sesuai.


Pelantikan Low Siew Moi itu menimbulkan bantahan dari banyak pihak,mungkin kerana beliau bukan Melayu dan bukan beragama Islam..Tetapi pengalaman Low Siew Moi atau lebih dikenali sebagai Madam Low selama 35 tahun di PKNS dengan 11 tahun di Bahagian Korporat meyakinkan TS Khalid untuk melantik beliau ke jawatan itu meskipun bersifat sementara.


Pelantikan Madam Low ini dikatakan memecahkan tradisi selama 44 tahun kerana selama itulah PKNS diterajui oleh kaum Bumiputera dan dibantah oleh lima persatuan pekerja PKNS iaitu Persatuan Pegawai Kanan, Persatuan Pegawai Eksekutif, Badan Islam, Kelab Sukan dan Rekreasi, Persatuan Kebajikan dan Kesatuan Sekerja PKNS.


Selama 44 tahun PKNS diterajui oleh Bumiputera, namun apa yang lebih mengecewakan kita seperti apa yang disebut oleh Tan Sri Khalid, setelah membuat pemeriksaan selama 44 tahun itu, beliau amat kesal apabila mendapati usaha PKNS dalam memartabatkan orang Melayu dalam bidang perniagaan dan hartanah tidak mencapai sasaran yang diharapkan. Bahkan lebih 75 peratus dari projek yang dilaksanakan oleh PKNS diberi kepada syarikat bukan Melayu samada secara langsung ataupun tidak (Sinar Harian,28 Oktober,08,hal.2).


Bahkan lebih teruk dari itu, beberapa aktiviti dan keputusan perniagaan yang dibuat oleh PKNS bukan berdasarkan keperluan PKNS sendiri, tetapi adalah lebih kepada parti politik yang memerintah. Akaun PKNS juga didapati tidak betul dari segi pengurusannya seperti pada tahun 2007 PKNS dilaporkan mengaut laba RM500 juta, namun setelah disemak ia adalah hasil luar biasa, bahkan RM100,000 darinya dihadiahkan kepada Pengerusi PKNS sebelum ini,iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khir Toyo.


Walaupun ada pihak yang menyatakannya ia adalah mainan politik TS Khalid sepertimana yang dituduh oleh Mohd Isa Abu Kasim.ADUN Batangkali, namun kekecewaan MB Selangor itu terhadap pencapaian PKNS selama 44 tahun dalam memartabatkan orang Melayu ternyata adalah alasan yang kuat mengapa MB Selangor itu melantik Madam Low menjadi Pemangku pengurus Besarnya. Bayangkan kalau selama itu 75% projek PKNS terlepas kepada kaum bukan Melayu, lalu apalah gunanya kalau PKNS berketuakan seorang Melayu? Rasionalnya pengalaman Madam Low adalah penting bagi MB Selangor itu, dan beliau mungkin boleh membantu orang Melayu melalui PKNS pada masa depan.Lagipun pelantikannya cuma setahun, dan jawatan tersebut bukan diperingkat membuat dasar.


Dalam Islam, jawatan-jawatan yang bukan bersifat pembuat dasar dibolehkan kepada orang-orang bukan Islam.Berlainan jika jawatan itu adalah CEO kepada satu-satu syarikat GLC kerajaan yang mana CEO boleh membuat keputusan yang bersifat mendasar, atau melibatkan asas syarikat. Bagi PKNS, ia masih boleh dipantau oleh MB sendiri, dan Pengurus Besar hanyalah menjalankan tugas membantu MB dalam pelaksanaan dasar, bukan pembuat dasar. Pembicaraan Hak-Hak Bukan Muslim dalam negara Islam banyak diperkatakan dalam buku-buku ulama tersohor, antaranya karya Yusoff AlQardhawi sendiri yang diterbitkan Bahagian Hal Ehwal Islam JPM. Inilah yang perlu kita terokai dan hayati,bukan hanya bercakap berdegar-degar tapi praktikalnya nasib bangsa sendiri tidak terbela. Yang terbela hanyalah anak, menantu dan kroni. Selebihnya engkau engkau, aku aku atau seperti Enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.


AlKundangi,
29.10.2008
.

DEKLARASI JANDA BAIK

Berikut adalah deklarasi yang dikeluarkan oleh para blogger dalam satu pertemuan di rumah Pak Habib, Syed Hussain AlAtas di kediaman beliau pada 26.10.2008. Tulisan ini diangkat dari laman Ketua Pengarang Siasah, di http://msomelayu.blogspot.com/ untuk tatapan pembaca sekelian. Terima kasih.

DEKLARASI JANDA BAIK

Memandangkan keadaan politik negara yang gawat, cabaran dan gugatan terhadap kepimpinan Melayu yang lemah oleh pihak-pihak tertentu, dari dalam dan luar negara serta keadaan ekonomi dunia yang kucar kacir dewasa ini, maka KAMI, para penulis, wartawan dan blogger yang prihatin terhadap nasib Bangsa, Agama dan Tanah Air, yang bersidang di Janda Baik, Pahang mengambil sikap dan pendirian seperti berikut:-

1. KAMI mendesak dan menuntut agar para pemimpin Melayu dari berbagai fahaman politik mengembelengkan tenaga, kerjasama dan buah fikiran demi mempertahankan keluhuran dan kekeramatan PERLEMBAGAAN MALAYSIA TANPA KOMPROMI.

2.KAMI memberi amaran kepada para pemimpin politik Melayu dari semua fahaman ideologi agar jangan menjadi pemimpin Pak Pandir yang hanya menang sorak tetapi kampung halaman dan negara terjual kepada pihak asing.

3. KAMI juga memberi amaran keras kepada pihak-pihak tertentu yang memainkan sentimen perkauman dan mempertikaikan HAK ISTIMEWA MELAYU sepertimana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN NEGARA agar jangan mencetuskan permusuhan antara kaum, antara agama dan antara budaya oleh kerana mereka menganggap kepimpinan Melayu lemah dan boleh diperdagangkan untuk memenuhi agenda perkauman mereka.

4. KAMI juga memberi amaran keras kepada para pemimpin Melayu, khasnya UMNO, agar mereka jangan menjadi pengkhianat BANGSA, AGAMA DAN TANAH AIR hanya kerana didorong oleh nafsu kekayaan kebendaan, kuasa yang dipinjamkan Allah, hingga melupai tanggungjawab mereka terhadap generasi Melayu akan datang.

5. KAMI menggesa seluruh umat Melayu yang menjadi para pejuang BANGSA, AGAMA DAN TANAHAIR tanpa mengira aliran politik agar memilih barisan pemimpin mereka yang terbaik dan bersih dari korupsi, berbagai skandal yang memalukan, yang berwibawa, berilmu dan berjiwa dinamik untuk menerajui kerajaan dan badan-badan amanah lainnya.

6. KAMI memberi peringatan dan teguran ikhlas bahawa UMNO mesti melakukan revolusi mental dan perombakan pemikiran yang dekaden, konservatif, materialistik yang melampau, anti ilmu, berpuak-puak, mementingkan diri, kaum keluarga dan para kroni hingga sanggup memperjudikan nasib BANGSA, AGAMA DAN TANAHAIR.

7. KAMI memberi amaran keras dan peringatan yang tulus ikhlas bahawa kepimpinan UMNO yang lemah, korup, rakus dan gila kuasa boleh menggerhanakan masa depan generasi muda Melayu dan rakyat yang telah memberikan sokongan mereka sejak 51 tahun UMNO memimpin kerajaan Malaysia.

8. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa agar jangan terlalu banyak berkompromi dengan golongan-golongan tertentu yang mempunyai agenda tertentu untuk melemahkan kepimpinan Melayu.

9. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa bahawa kelemahan kekuasaan politik Melayu akan membawa kehancuran dan penghapusan kuasa orang Melayu di bumi Malaysia yang bertuah ini.

10. KAMI menyeru dan menggesa rakyat Melayu bertindak proaktif dalam berbagai bidang kehidupan untuk menjamin kekuasaan politik Melayu tidak terhakis dan ketuanan Melayu dan Islam kekal subur selagi ada matahari dan bulan.

11. KAMI merafak sembah memohon agar Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu mempertahankan kedaulatan baginda seperti mana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN MALAYSIA dengan memberi sokongan moral kepada perjuangan umat Melayu dan Islam dalam berbagai lapangan hidup. Perlulah dihayati kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu akan berterusan sekiranya rakyat Melayu dan umat Islam memperjuang dan mempertahankan institusi Raja tersebut.

12. KAMI dengan penuh takzimnya memohon Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan kaum kerabat baginda agar jangan mengkhianati dan melakukan sesuatu tindakan yang boleh menjejaskan institusi Raja dan melukai perasaan umat Melayu yang mempertahankan institusi Raja selama ini.

13. KAMI juga menyeru kepada kerajaan agar melaksanakan KEADILAN dan TANGGUNGJAWAB sebagai pemerintah kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum memandangkan Malaysia negara majmuk.

14. KAMI ingin memberi peringatan kepada bukan Melayu agar berpegang teguh pada kontrak sosial dan PERLEMBAGAAN NEGARA demi menjaga keharmonian hubungan antara kaum serta kesejahteraan dan keamanan yang kita sama-sama mempertahankannya.

15. KAMI yakin dan percaya bahawa Kebebasan suara Rakyat dan amalan Demokrasi mestilah dipertahankan oleh kerana rakyat yang memberi mandat dan amanah kepada parti-parti politik tertentu untuk berkuasa. Oleh hal demikian KAMI akan bekerjasama dengan siapa saja, dan dari golongan mana sekali pun, demi memperjuangkan hak dan kebebasan Rakyat serta amalan Demokrasi di bumi Malaysia yang bertuah ini.Inilah deklarasi yang tulus ikhlas yang KAMI abadikan sebagai cetusan rasa dari buah fikiran KAMI demi memperjuangkan hak dan kepentingan Rakyat, Keamanan dan Kesejahteraan Negara Malaysia.

KAMI rakamkan cetusan hati nurani Rakyat yang bernama DEKLARASI JANDA BAIK, bertempat di kediaman Sdr Syed Hussein Al-Attas, bertarikh 26 Oktober 2008.

Tuesday, October 28, 2008

UMNO: SINGA TUA YANG KEHILANGAN GIGI


Jika seorang manusia itu hidup sudah lebih 50 tahun, maka ia dikatakan sudah menempuh zaman penghujungnya, atau dengan kata lain umur sudah merangkak tua. Sudah layak untuk menyambut Jubli Emas dari segi usia, sepertimana persatuan-persatuan sukan, pertubuhan-pertubuhan sosial dan politik dan sebagainya. Inilah yang dialami oleh parti tertua Melayu itu, Parti Kebangsaan Melayu Bersatu.


Dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia bertarikh 26.10.2008, Dr.Rais Yatim, ahli Parlimen Jelebu yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno mengakui bahawa UMNO sudah menampakkan kehilangan dominasinya dalam Barisan Nasional, istimewa setelah PRU ke 12 yang memperlihatkan UMNO/BN kehilangan 5 negeri dan satu Wilayah Persekutuan. Seperti juga di zaman kini, zaman siber, di mana anak-anak sukar dididik akibat pengaruh luar melalui alam siber dan media elektronik, begitulah UMNO tidak lagi dapat mengawal parti-parti komponen dalam BN yang terdiri dari MCA,MIC, GERAKAN dan lain-lain. Bahkan sebuah parti dari Sabah mengumumkan untuk keluar dari Barisan Nasional.


Lebih dari itu, Dr. Rais menyebut bahawa budaya ugutan kini telah menular dalam BN itu sendiri. MCA misalnya, menuntut supaya Timbalan Pengerusi BN diberikan kepada mereka, walaupun selama ini jawatan itu didominasi oleh UMNO. Manakala Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan tidak pula menyebut tentang keperluan Timbalan Perdana Menteri itu yang biasanya dilantik dari Timbalan Pengerusi BN.Mengapakah parti-parti komponen BN kini berani menuntut hal-hal seperti ini yang dulu tidak mereka lakukan? Apa yang dapat kita katakan ialah UMNO kini berada dalam keadaan kurang upaya, sama seperti OKU yang disebut-sebut sebagai istilah orang kurang upaya. Kekurangan keupayaan ini bukan berpunca dari luar, bahkan dari dalam UMNO sendiri.


Selain dari kemelut politik wang, UMNO juga ketandusan pemimpin berkaliber. DS Najib Tun Razak, yang diwarwarkan akan menggantikan Abdullah sebagai PM, kelihatan mempunyai serangkaian masalah yang menyukarkan laluan beliau ke arah itu. Pelbagai isu perlu dihadapi sebelum beliau menjawat jawatan PM. Bahkan kalau perlu, menurut TGH Abdul Hadi, Najib perlu dibersihkan, kalau perlu dihadapkan ke mahkamah sebelum menjawat jawatan PM.


Manakala generasi muda pula kurang berminat dengan UMNO. Mugkin kerana UMNO berasaskan parti satu kaum, atau pun UMNO sudah terlalu tua dan menanggung masalah yang banyak seperti korupsi,penyalahgunaan kuasa, berlagak yang bukan pada tempatnya, mengkayakan kroni dan anak sendiri dan sebagainya yang tidak tertuliskan di sini menjadikan golongan muda menjauhkan diri dari UMNO. Maka jadilah UMNO Singa Tua yang tidak lagi mempunyai gigi untuk meneruskan kesinambungan kuasanya menjelang pemilihan UMNO Mac ini, dan kalau usianya panjang, mungkin dilanjutkan Tuhan sehingga PRU ke 13 akan datang. Sesudah itu, UMNO mungkin kian nazak dan menemui ajalnya. Pakatan Rakyat yang memerintah 5 buah negeri tampak lebih meyakinkan golongan muda bahkan bangsa lain juga, kerana ia lebih berkebajikan dan bijak mengambil hati rakyat. Jika Pakatan Rakyat mampu mengekalkan dan meningkatkan prestasi mereka, tidak mustahil PR akan menguasai Malaysia pada Pilihanraya akan datang. Sama-samalah kita tunggu dan lihat pada PRU akan datang.


AlKundangi,
27.10.2008.

Monday, October 27, 2008

KONTRAK SOSIAL DAN PERPADUAN ALA BN

KONTRAK SOSIAL DAN PERPADUAN ALA BN


Untuk kesekian kalinya UMNO/BN mengulang-ngulang isu kontrak sosial beberapa kali di media-media cetak maupun elektronik. Isu ini sering disentuh bila parti komponen BN agak kuat dan UMNO kelihatan lemah dan seolah kehilangan halatuju parti terutama ketika menghadapi soal pucuk pimpinan yang akan bertukar dan perebutan kerusi Timbalan Presiden,Naib Presiden,Ketua-ketua Bahagian,Ketua Pemuda dan timbalannya dan pelbagai jawatan yang akan dipertandingkan Mac depan.


Ingatan Majlis raja-raja tentang hak-hak orang Melayu baru-baru ini juga menimbulkan tanda tanya kepada siapakah sebenarnya ingatan itu ditujukan? Kepada parti-parti pembangkangkah yang bergabung dalam Pakatan Rakyat atau kepada UMNO/BN sendiri yang sering memainkan isu perkauman bila mereka merasakan mereka kehilangan sokongan rakyat dan cengkaman kuasa mereka lemah? Apakah dengan menimbulkan isu kontrak sosial sokongan rakyat akan kembali, dan UMNO/BN kembali kuat?


Isu perkauman mula disentuh oleh Ketua Umno Bukit Bendera, En.Ahmad Ismail yang menyebutkan kaum China adalah menumpang di negara ini. Dan tidak ada tindakan tegas ke atas En.Ahmad Ismail, walaupun ia memainkan isu sensitif yang boleh menimbulkan keresahan kaum. Penangkapan anggota Hindraf, khasnya para pemimpin mereka juga boleh menimbulkan keresahan kaum dan menafikan hak-hak mereka sebagai warga negara di bawah jaminan kontrak sosial.


Kontrak sosial sebenarnya merujuk kepada perjanjian oleh bapa kemerdekaan dengan pihak British, dan merupakan penggantian beri memberi atau quid pro pro melalui perkara 14-18 yang berkenaan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada kaum bukan bumiputera.Istilah ini juga digunakan merujuk kepada bahagian-bahagian lain dalam perlembagaan seperti yang menyatakan Malaysia adalah negara sekular.


Dalam isu berkaitan kaum, kontrak sosial berkaitan dengan hubungan ras, dan seringkali dibidas oleh parti-parti komponen BN kerana kerajaan UMNO sering menggunakannya untuk bercakap tentang hutang orang-orang bukan Melayu terhadap kewarganegaraan yang diberikan kepada bukan Melayu yang boleh merenggangkan hubungan ras di negara ini. Dan UMNO/BN sebenarnya seringkali mempergunakan isu kontrak sosial ini untuk mempertahankan prinsip Ketuanan Melayu.


Apakah ketuanan Melayu sedang tercabar sekarang ini? Tuntutan MCA yang meminta Timbalan Pengerusi 2 supaya diperuntukan kepada MCA adalah satu cabaran kepada Barisan Nasional,khasnya UMNO. Soalnya apakah UMNO akan tunduk kepada permintaan ini, sedangkan kedudukan UMNO dilihat agak lemah, dilanda berbagai masalah, serta ketiadaan pemimpin berwibawa, dan hampir tewas dalam PRU ke
12? Mungkin inilah alasannya isu kontrak sosial itu dimainkan semula,seperti memutarkan filem P.Ramlee di kaca TV untuk ditonton oleh sebilangan rakyat yang akan terhibur dengan penayangan semula itu.


Penulis baru saja selesai membaca wawancara Pof.Emeritus Dr Khoo Kay Kim dengan akhbar rasmi PAS, Harakah bil.1384,24-26 Okotober,2008. Apa yang disebut oleh Khoo Kay Kim adalah cerita lama, tentang konsep perpaduan melalui pendidikan. Kita tidaklah menafikan kisah-kisah “perpaduan” yang dialaminya ketika bersekolah di Teluk Anson. Memang itu satu pengalaman yang agak jarang ditemui keitka ini. Pendidikan dan persekolahan kini adalah mengikut suku-bangsa,seperti sekolah kebangsaan dihadiri oleh sebilangan besar Orang Melayu, sekolah jenis kebangsaan China oleh orang China,dan sekolah jenis Kebangsaan Tamil oleh orang India. Di peringkat ini lagi kelihatan soal perpaduan kaum tidak ditekankan,bahkan pembahagian sekolah menurut kaum seperti yang diamalkan oleh kerajaan BN/UMNO menambah-tebalkan lagi tembok perkauman yang sedia ada.


Apa yang dipuji oleh Prof.Dr.Khoo Kay Kim hanyalah konsep yang diamalkan oleh Universiti Islam Antarabangsa, di mana para pelajarnya terdiri dari pelbagai kaum, termasuk kaum dari luar negara. Memang ini adalah satu formula perpaduan yang paling baik yang diamalkan oleh IPTA buat masa ini. IPTA dan IPTS lain tidak memperlihatkan ciri ini, bahkan masing-masing bergaul dan berkumpul mengikut kelompok masing-masing.


Mungkin apa yang kita boleh amalkan sekarang adalah konsep perpaduan yang disarankan oleh Prof.Jayum A.Jawan yang penulis pernah singgung dalam satu tulisan berjudul Bangsa Malaysia: Khayalan Atau Kenyataan? yang boleh dicapai di http://alkundangi.blogspot.com. Apa yang disarankan oleh Prof itu adalah kita harus menerima hakikat bahawa kita hidup dalam masyarakat berbilang bangsa. Dengan demikian kita harus menerima kepelbagaian ini. Kesatuan Dalam Kepelbagaian atau Unity In Diversity, ini sahaja yang kita boleh amalkan ketika ini bergantung kepada situasi politik dan sosial yang sedia ada.


Namun formula yang diketengahkan oleh UIAM adalah lebih baik dan praktikal nampaknya, walaupun ia sukar diterima oleh sesetengah pihak. Perpaduan di bawah naungan Islam, dan ini adalah perpaduan yang bersifat kekal, walaupun mungkin bagi sesetengah orang khasnya golongan liberal menganggap konsep ini agak fanatik. Namun dengan pemahaman yang mendalam, mereka nanti pasti inilah konsep yang paling baik yang dikemukakan oleh Islam itu sendiri. Negara Madinah yang didirikan oleh Nabi Muhammad SAW adalah berasaskan perpaduan ini dan akhirnya berjaya menyatukan semua kaum yang berada dalam negara itu, bahkan bangsanya jauh lebih majmuk dari negara kita Malaysia ini.


AlKundangi,
27.10.2008.

Saturday, October 25, 2008

Sedikit Catatan

Sedikit catatan:

Kebelakangan ini saya tidak berkesempatan menulis. Jadi saya mengambil berita-berita penting dari akhbar tempatan untuk dipostkan ke blog ini. Saya menghadapi masalah kesibukan kerja dan sedikit masalah kesihatan-harap maklum.

AlKundangi,
25.10.2008.

Bajet PR Untuk Rakyat

Bajet PR untuk rakyat

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam membentangkan Bajet Pakatan Rakyat (PR) 2009 yang menjanjikan rakyat pemulihan dan keyakinan semula terhadap ekonomi negara dalam keadaan pasaran kewangan global yang tidak menentu sekarang.

Dalam bajet 20 muka surat itu Anwar turut menyelar kerajaan kerana tidak mengambil langkah berjaga-jaga menghadapi kemelesetan ekonomi yang bakal terjadi. “Semua negara maju bersiap-sedia menghadapi kemelesetan ekonomi tetapi kerajaan tidak langsung meramal perkara ini akan terjadi. Kerajaan tidak sedar, mereka tidak mengeluarkan sebarang kenyataan,” jelasnya selepas membentangkan bajet tersebut di Parlimen semalam.

Beliau juga menegaskan bajet 2009 yang telah dibentangkan oleh Barisan Nasional (BN) sebagai tidak teratur dan tidak mungkin mampu menahan keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang. “Bajet Barisan Nasional adalah haru-biru,” tegasnya. Tambah beliau lagi kerajaan tidak mengendahkan isu-isu yang amat penting terutamanya pengurangan kemasukan pelabur-pelabur luar, inflasi dan pengangguran.

Ditanya samada bajet itu akan diterima kerajaan atau tidak, Anwar menyerahkan kepada kerajaan untuk membuat keputusan.


(Sinar Harian,24.10.2008)

Isu Ekonomi Negara Lebih Penting-Anwar

Isu ekonomi negara lebih penting

KUALA LUMPUR - "Cukuplah mengenai isu ini, kami sedang berusaha ke arah itu. Kami mahu ia menjadi satu kejutan,” itulah yang diluahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila ditanya wartawan mengenai pelan peralihan kuasa kerajaan persekutuan yang diuar-uarkan oleh Pakatan Rakyat (PR) pada awal Disember nanti.

Beliau berkata demikian kerana menyifatkan perkara yang lebih penting sekarang adalah untuk menyelamatkan ekonomi negara daripada terus terjerumus dalam kemelesetan pasaran kewangan global.“Jangan bercakap mengenai isu ini lagi, kerajaan hanya buat jenaka terhadap isu ini,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Bajet Pakatan Rakyat 2009.

Selain itu jelasnya, PR tidak terburu-buru untuk melakukan peralihan kuasa kerana masih banyak isu lain yang lebih penting.“Disebabkan masalah ekonomi semakin teruk, kita mesti bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan negara selamat,” ujarnya.Tambahnya, selain beberapa pilihan peralihan kuasa yang telah gagal, beliau menyifatkan pilihan peralihan kuasa melalui Perlembagaan Negara yang sah untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar juga telah ditolak Perdana Menteri.

Sementara itu, mengulas mengenai peralihan kuasa antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau menyifatkan UMNO tidak akan kukuh di bawah kepimpinan Najib.“Najib tidak akan mengukuhkan UMNO, beliau hanya jadi Presiden UMNO tetapi tidak akan menjadi Perdana Menteri yang disokong rakyat,” kata Anwar.Terdahulu, pada 9 Oktober lepas, Anwar telah membuat kenyataan di Kota Bharu bahawa beliau meletakkan sasaran baru peralihan kuasa pada Hari Raya Korban Disember nanti.


(Sinar Harian,24.10.2008)

PerubahanAkan Berlaku Secara Semulajadi:Najib

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat bahawa perubahan agar generasi muda menerajui parti UMNO seperti yang disarankan oleh mantan Timbalan Presiden parti, Tun Musa Hitam akan berlaku secara semula jadi.

Katanya, mana-mana pemimpin dalam UMNO mempunyai peranan sendiri untuk meneruskan perjuangan parti namun kebanyakan ahli juga menyedari perubahan generasi perlu berlaku di semua peringkat. “Saya anggap perkara ini sebagai satu perkara yang akan berlaku secara semula jadi dalam parti,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Jualan Jimat Malaysia 2008 (MSS 08), di sini, semalam.

Kelmarin, Musa berkata ‘penyakit tua’ UMNO ketika ini tidak lagi boleh dirawat oleh ‘orang-orang tua’ dan menyarankan pemimpin muda memegang jawatan tertinggi dalam parti untuk melahirkan idea-idea baru.

Jelas Najib, telah tiba masanya untuk barisan pemimpin termasuklah pemimpin parti di peringkat cawangan dan bahagian untuk menjalankan tanggungjawab bukan setakat di kalangan ahli UMNO sahaja tetapi kepada semua lapisan rakyat. “Kita menyedari, jika mahu (parti) kekal berkuasa dan terus berkuasa, kita perlu memberi perhatian kepada semua peringkat termasuk mereka yang bukan ahli UMNO dan bukan Islam sekali,” katanya.

(Sinar Harian,Sabtu 24/10/2008)

Saturday, October 18, 2008

Utamakan Usaha Lindungi Ekonomi Negara

Utamakan Usaha Lindungi Ekonomi Negara

Oleh:A Kadir Jasin

DALAM kita terus beraya, bersuka-suka menjamu selera, kita lupa sedih dan duka buat sementara. Kita suka berjumpa sanak saudara, jiran tetangga.Tapi bukan semua orang sedih dan semua duka. Kadang-kadang jadi orang jahil pun ada baiknya.Apa yang kita tak tahu, tak akan membuatkan kita sedih dan pilu. Orang putih kata, ignorant is bliss. Dalam bahasa kita maksudnya, orang yang jahil atau tidak tahu apa-apa sentiasa dalam kedamaian.Tapi oleh kerana orang tahu saya tahu (kalau tak banyak sikit) atau mereka anggap saya tahu, maka ke rumah atau tempat siapa pun saya pergi untuk beraya, ramailah yang hendak berbincang fasal politik dan ekonomi.


Mengenai ekonomi, saya kata jangan sekali-kali pandang ringan dan buat remeh. Krisis ekonomi dunia sekarang adalah lebih global daripada krisis kewangan Asia 1997/98.Ekonomi Amerika sudah pun mula mempamerkan ciri-ciri kemelesetan (recession). Bukan kata saya, tapi kata orang yang tahu macam bekas pengerusi Bank Pusat Amerika, Alan Greenspan.Dalam dunia kewangan global, Greenspan dianggap macam ‘tuhan’ sebab selama dia jadi Pengerusi Bank Pusat, kalau dia kata jadi, maka jadilah.Dalam temu ramah dengan akhbar Jerman Die Zeit baru-baru ini, dia kurang yakin langkah Bank Pusat dan Pentadbiran Bush membelanjakan US$700 bilion boleh menyekat kemelesetan.Kalau Amerika meleset, hukumnya dunia juga akan meleset. Sebab itulah negara-negara di Eropah sudah ikut macam Amerika menyelamatkan bank-bank mereka, macam kita buat pada tahun 1997/98 melalui Danamodal.Dulu mereka kutuk Tun Dr Mahathir Mohamad kerana selamatkan bank-bank dan badan-badan korporat. Mereka kata, bailout tidak akan berjaya kerana bercanggah dengan ekonomi bebas. Anwar Ibrahim setuju dengan mereka.Dr Mahathir buat juga dan berjaya. Sekarang giliran mereka buat bailout beratus bilion dolar.


Kalau ekonomi Amerika dan negara-negara maju lain merosot, kita akan rasa kesannya. Hukumnya kita akan rasa lebih teruk daripada banyak negara membangun fasal ekonomi kita sangat bergantung kepada perdagangan luar.Kita adalah antara 20 atau 30 negara perdagangan terbesar di dunia. Kalau tak salah saya, kita adalah satu-satunya negara Islam dalam kategori itu.Kalau orang Amerika dan Eropah tak beli komputer baru, telefon baru, televisyen baru dan perabot baru kerana ekonomi mereka merosot, kita akan rasa kesannya.Itulah kerja budak-budak kita di Bayan Lepas dan tempat-tempat lain yang mengeluarkan mikrocip, radio, televisyen, perabot dan bermacam-macam barangan eksport lagi.Begitu jugalah dengan petani kita yang mengeluarkan getah dan minyak kelapa sawit – semua ini adalah untuk dieksport. Yang kita guna dalam negeri tak banyak.


Mungkin ramai yang tak tahu bahawa harga getah dan kepala sawit pun dah banyak turun. Macam itu jugalah dengan harga minyak mentah.Jadi bila pemerintah dan Bank Negara kata ekonomi kita kuat dan stabil, saya rasa kita kenalah bandingkan dengan apa yang sedang berlaku kepada ekonomi global sekarang. Kita tak boleh kata kita ok bila rakan niaga kita tak ok.Dalam pada kita beraya dan bersembur-sembur air liur bercakap fasal politik, fasal Anwar nak tubuh Kerajaan, fasal Pak Lah nak bersara, fasal Najib bakal jadi PM dan fasal pemilihan Umno, kita jangan lupa bahawa yang lebih penting dan afdal adalah pengurusan ekonomi.Krisis Pelaburan MaybankSebenarnya, dengan tidak ada krisis ekonomi dunia pun, ekonomi kita ada masalah. Macam-macam cerita kita dengar. Syarikat kita dijual kepada orang asing macam Pantai Holdings. Lepas itu kena kerah Khazanah supaya beli balik.Sekarang ini kita dengar pula cerita Malayan Banking akan rugi besar kerana buat silap beli Bank International Indonesia (BII) dengan harga yang sangat-sangat mahal.


Kalau Malayan Banking rugi, ramailah rakyat Malaysia khasnya orang Melayu yang akan rugi sebab Malayan Banking milik mereka melalui pelaburan PNB.Macam mana benda ini boleh berlaku? Macam mana Maybank boleh beli BII begitu mahal, khabarnya empat kali ganda daripada nilai buku?Kita pun tak tahu siapa dalam Maybank, PNB dan Kementerian Kewangan yang begitu beria-ia hendak beli saham BII sedangkan bank-bank lain, termasuk CIMB sudah lama beli pada waktu saham-saham Bank Indonesia murah. Fasal apa tiba-tiba hendak beli sekarang?Yang sedihnya, saham-saham BII yang Maybank beli itu dimiliki sebelumnya oleh Temasek. Temasek ini adalah syarikat pelaburan negara Singapura.Jadi seolah-olah Maybank masuk perangkap. Temasek untung besar dan selesai masalahnya di Indonesia. Maybank yang teruk. Harga sahamnya di Bursa Malaysia dah banyak jatuh. Dari segi nilai pasaran dah jatuh bawah Public Bank. Malu.BII ini cerita lama.


Sebuah firma perbankan antarabangsa yang berkaitan dengan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin pernah pegang saham syarikat ini, tapi dijual sebab dia dah ada satu lagi bank di Indonesia, iaitu Bank Bumiputera.Khabarnya dia beli saham BII dengan harga R89 sesaham dan empat tahun lepas itu jual dengan harga R280 sesaham kepada Temasek.Jadi sekarang, Daim jual mahal kepada Temasek empat tahun lalu, Maybank pula beli lebih mahal daripada Temasek. Apa cerita?Nampak-nampaknya Maybank sudah masuk perangkap. Kalau tak beli, duit taruhan AS$150 juta (kira-kira RM495 juta) akan hilang.


Tapi ada juga orang kata, Maybank akan rugi sampai RM700 juta.Kalau Maybank nak terus juga beli saham-saham BII, Maybank khabarnya kena pinjam sampai RM11 bilion. Khabarnya sampai waktu ini Maybank sudah pun pinjam RM6 bilion.Jadi saya rasa inilah antara tugas awal Mohd Najib Abdul Razak sebagai Menteri Kewangan. Dia kena siasat skandal ini. Apatah lagi kalau keputusan membenarkan atau memaksa Maybank membeli saham-saham BII itu tidak dibawa kepada Kabinet sebelum ini.Mohd Najib kena berjaga-jaga. Bukan sahaja jual-beli ini akan melemahkan Maybank, PNB dan para pelabur unit saham PNB, tapi boleh menjadi masalah kepada Mohd Najib dan negara kemudian hari.


Kalau dia tak tahu, dia mesti siasat dan pastikan siapa yang membuat keputusan yang nampak-nampaknya merugikan ini.Kita tidak boleh tutup mata dan biarkan orang atau pihak yang bertanggungjawab itu lepas tangan dan lari begitu saja. Apatah lagi mereka yang mewakili Kerajaan, Kementerian Kewangan dan mereka yang menjadi commission agent, kalau ada.Kita tidak mahu skandal camam Bank Negara yang rugi berbilion ringgit akibat spekulasi mata wang terjadi kepada Maybank dan orang yang bersalah tidak dihukum.Kalau Najib tidak pisahkan dirinya daripada fiasco ini, dia juga mungkin akan dituduh dan disalahkan suatu hari nanti.Jadi dalam keghairahan kita semua berpolitik dan makan ketupat raya, kita kenalah berfikir panjang dan mendalam mengenai krisis ekonomi dunia dan macam mana kita hendak melindungi negara dan rakyat jelata daripada kesannya.


Kita tahu, Najib seorang tak boleh buat, tapi kalau dia pandai dan sedia dengar nasihat, saya yakin kita boleh setidak-tidaknya mengurangkan kesan krisis ekonomi dunia terhadap negara kita.Dalam Semangat Raya Mereka Berjumpa Semalam saya pergi dua rumah terbuka. Satu di Putrajaya yang diadakan oleh Menteri Luar, Mohd Rais Yatim dan terserempak dengan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi. Dah jadi hukumlah, bila waktu raya ni kita bermaaf-maafan.


Sebelah malam, ada member ajak pergi ke rumah seorang penggiat Umno di Ampang. Meriah majlis rumah terbuka dia. Datuk K dan Siti Nurhaliza pun ada.Tapi ramai hadirin lebih excited sebab turut duduk semeja adalah Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah, Mohd Najib, MuhyiddinYassin, Syed Hamid Albar, Shafie Apdal, Mustapha Mohamad dan beberapa pembesar Umno yang lain.Itulah raya. Kawan-kawan yang lama tak berjumpa atau takut nak berjumpa, pun berjumpa. Eloklah. Itulah semangat raya. Saya tumpang sekaki saja.

15.10.2008
http://kadirjasin.blospot.com


(Saya angkat tulisan ini ke blog ini, kerana saya rasa ia perlu di baca oleh semua rakyat Malaysia,tak kira keturunan dan bangsa,terlebih lagi orang Melayu).

Tuesday, October 14, 2008

ORANG MELAYU DAN ARTIKEL 153 PERLEMBAGAAN MALAYSIA

ORANG MELAYU DAN ARTIKEL 153 PERLEMBAGAAN MALAYSIA


Apabila seorang Profesor menyebut kita mesti menolak sistem kelas dalam Politik Malaysia, kita pun sebenarnya tidak begitu faham apa yang dimaksudkannya dengan sistem kelas itu. Dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia yang memakan ruang hampir satu halaman, (Mingguan Malaysia, 5 Oktober,08 ) profesor sejarah itu, Dr. Zainal Kling jelas memperlihatkan sikap bahawa orang Melayu tidak boleh bersifat liberal dam mesti bersifat perkauman atau racialist jika negara ini ingin terus diperintah oleh Orang Melayu.


Kita tidaklah ingin mengatakan atau menyerahkan tampuk pemerintahan negara diserahkan kepada kaum lain di Malaysia ini, tetapi pandangan seperti itu sudah ketinggalan zaman di mana manusia sekarang sudah tidak melihat kepada kaum sebagai satu subjek utama, tetapi kita lebih melihat kepada ketelusan dan keadilan di antara kaum berjalan dengan baik tanpa diganggu-gugat oleh pemikiran politik sempit sepertimana yang diamalkan oleh UMNO/BN sekarang ini.


Politik berasaskan kaum sudah tidak sesuai lagi diamalkan di Malaysia. Ini terlihat jelas dalam keputusan PRU12 yang di adakan pada Mac lalu, di mana UMNO/BN tewas di lima negeri yang kini diperintah oleh Pakatan Rakyat. Ini tidaklah bermakna kita menolak artikel 153 Perlembagaan Malaysia yang memperuntukan hak-hak istimewa orang Melayu. Sebagai sebuah negara berbilang kaum tentulah bila kita memperjuangkan hak satu kaum sahaja, kita akan dilihat bersikap racialist atau perkauman. Kita ada tiga kaum terbesar yang menghuni bumi Malaysia ini yang terpaksa kita terima hasil dari kesan penjajahan British itu. Dengan begitu, apa yang harus kita amalkan hari ini mestilah mengambil kira kepentingan ketiga-tiga kaum utama negara ini, di samping kita akan terus mempertahankan kedudukan istimewa orang-orang Melayu, raja-raja Melayu, Agama Islam sebagai agama rasmi, dan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan negara ini atau apa yang dipangggil oleh Tun Salleh Abas sebagai unsur tradisi dalam Perlembagaan Malaysia.


Liberal bukanlah bermakna kita mengorbankan prinsip dan hak kita, tetapi kita haruslah bersikap terbuka dan menerima bahawa ada kaum lain yang menjadi warganegara di Malaysia ini hasil dari rundingan di antara bapa-bapa kemerdekaan dengan bekas Penjajah British sehingga terlahirnya kontrak sosial yang terkenal itu. Walaupun kontrak sosial itu tidak pun disebut dalam Perlembagaan Malaysia, tetapi umumnya kesemua kaum di negara ini menerima kontrak sosial tersebut. Ini bermakna kesemua kaum menerima hak-hak istimewa orang Melayu, dan sebagai ganjarannya mereka pula menerima hak kewarnegaraan di negara ini (http://ms.wikipedia.org/Kontrak_sosial_ (Malaysia)).


Sebab itu KeaDILan dan PAS tidak memperjuangkan kaum masing-masing dalam manifesto politik mereka. Setelah lebih enam bulan Pakatan Rakyat menguasai lima negeri, kita melihat politik berasaskan kaum itu dirungkai satu demi satu oleh PR. Hak semua kaum diberikan perhatian. Umpamanya Ketua Menteri Pulau Pinang membela Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang cuba disisihkan atau dihapuskan secara tidak langsung oleh kerajaan UMNO/BN yang memerintah sebelum ini. Pembelaan ini memperlihatkan sikap yang bukan perkauman, bahkan tidak mengira agama dalam pelaksanaan dasar-dasar pemerintahan. Ini menjadikan PR lebih diterima di negara ini, khasnya oleh golongan muda yang tidak lagi melihat sesuatu permasalahan dari aspek kepentingan kaum.


Begitu juga bila kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim memberikan air percuma bagi 20 meterpadu yang pertama secara percuma kepada semua kaum, dan tidak dikhaskan kepada orang-orang Melayu sahaja, halmana ini memperlihatkan Kerajaan Pakatan Rakyat sudah membelakangkan soal perkauman dalam membuat keputusan-keputusan politik. Begitu juga dengan lain-lain bantuan seperti faedah bersalin, kemasukan ke IPTA dan sebagainya. Kesemuanya tidak mengambil kira soal perkauman. Ini tidaklah bermakna kita bersetuju dengan gagasan Malaysian Malaysia seperti yang diperjuangkan oleh DAP suatu ketika dulu, namun kita harus melihat kepentingan semua kaum dalam membuat sebarang keputusan politik, dengan mengambil kira bahawa negara ini dihuni oleh pelbagai kaum atau bersifat multi-racial.


Kerajaan PAS Kelantan juga tidak mementingkan soal suku-bangsa dalam membuat dasar-dasar kerajaan negerinya. Sikap berbaik-baik yang ditunjukan oleh MB Kelantan kepada semua kaum di Kelantan, menyebabkan PAS terus berjaya mengekalkan kerajaan negeri di Kelantan, sekalipun berbagai cubaan dilakukan oleh UMNO/BN untuk meruntuhkan kerajaan PAS itu termasuk cubaan membeli wakil-wakil rakyat PAS.


Sesuatu yang menarik perhatian yang tidak kita fikirkan sebelum ini ialah ziarah yang dilakukan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang ke rumah TGH Abdul Hadi pada hari raya kedua baru-baru ini. Kunjungan seperti itu tidak pernah kita mimpikan sebelum ini, bahkan apa yang dipaparkan oleh media-media utama adalah percanggahan antara PAS dan DAP yang kelihatan agak mustahil untuk berada dalam satu barisan. Lawatan Lim Kit Siang itu memperlihatkan tiada yang mustahil dalam Pakatan Rakyat.


Dengan demikian orang-orang Melayu tidak perlu bimbang seperti yang diperlihatkan oleh sebahagian besar penyokong-penyokong UMNO/BN termasuk sang profesor itu, jika Pakatan Rakyat mengambilalih teraju pemerintahan negara. Perkara 153 tetap akan mempertahankan kuasa orang Melayu,kedudukan raja-raja, agama dan bahasa Melayu, ditambah dengan undang-undang negeri yang sedia ada. Ini terbukti misalnya dalam soal perlantikan MB Perak selepas PRU ke 12 yang bersejarah itu. Atau paling kurang kita boleh berpegang kepada kata-kata yang sering diucapkan oleh TGH Abdul Hadi Awang,” jika Islam selamat dan terbela di negara ini, semuanya akan selamat, termasuk orang Melayu.”



AlKundangi,
13.10.2008

Monday, October 6, 2008

ANTARA DEB, KEMISKINAN MELAYU & PAKATAN RAKYAT

ANTARA DEB, KEMISKINAN MELAYU DAN PAKATAN RAKYAT


Dasar Ekonomi Baru atau DEB adalah satu isu yang sudah lapuk,demikian kata calon Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat bila isu itu dimainkan oleh lawannya Datuk Chua Jui Meng dalam perebutan jawatan tertinggi MCA itu. Sebelum ini bila Ketua Umum Keadilan merangkap Ketua Pembangkang di Parlimen, menyatakan isu DEB sudah ketinggalan zaman, ramailah para pemimpin UMNO menyatakan DS Anwar dan Parti Keadilan tidak mengambil kira orang Melayu dalam dasar ekonominya. Namun nampaknya Ketua Pembangkang tetap dengan pendiriannya bahawa DEBlah sebenarnya yang memundurkan orang Melayu itu sendiri. Tidak ada siapa pun orang UMNO yang melenting bila Datuk Ong Tee Keat berkata demikian. Semuanya sunyi sepi. Hal ini mudak difahami kerana Ong Tee Keat sendiri adalah sebahagian dari BN itu sendiri yang diterajui UMNO.

DEB sebenarnya adalah satu dasar yang dicipta di zaman Tun Abdul Razak lagi, PM kedua Malaysia dan bapa TPM sekarang. Ia adalah satu program yang mengambil masa untuk tempuh dua dekad hasil dari tercetusnya peristiwa 13 Mei,.1969. Sejak itu kerajaan melihat adanya ketidakseimbangan dalam susun atur masyarakat Malaysia yang sedang membangun itu.Untuk menyelesaikan masalah itu pada awal tahun 1970 DEB dihasilkan sebagai satu program jangka panjang untuk:

a- Membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan
b- Penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi (Negara Kita,1988, terbitan INTAN).

Soalnya benarkah serampang dua mata yang dilaungkan kerajaan UMNO/BN itu telah mencapai matlamatnya, walaupun kini DEB sudah melepasi tempuh matangnya, telah lebih 30 tahun. DEB sebenarnya sudah pun diganti dengan satu dasar baru pada 1990an dengan di kenali sebagi Majlis Perundingan Ekonomi Negara di mana ahli-ahlinya dilantik oleh kerajaan UMNO/BN berdasarkan keredibiliti seseorang itu dan sumbangannya terhadap masyarakat negara ini. Semangat DEB tetap diteruskan dalam Majlis ini, sekalipun namanya dan programnya sudah bertukar rentak.

Sepanjang perlaksanannya, kita sebenarnya tidak dapat melihat kejayaan yang ketara dari segi ekonomi terhadap pencapaian orang Melayu yang disasarkan oleh kerajaan UMNO/BN itu sebanyak 30% dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Memang ada pertambahan bilangan orang Melayu yang menjadi kaya hasil dari program ini, tetapi mereka yang terlibat adalah terdiri dari para kroni dan suku-sakat pihak berkuasa. Sedangkan rakyat Melayu terbanyak masih terkial-kial untuk mencari rentak hidup sendiri, dan sebahagiannya terlibat dalam masalah dadah dan gejala sosial lainnya akibat gagal dalam hidup atau terbiar tanpa mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak berkuasa.

Kata DS Anwar, orang Melayu menjadi merempat dan miskin kerana dipimpin oleh pemimpin Melayu yang rakus,tidak amanah, rasuah, zalim, tidak menghormati hak orang lain sehingga orang lain tidak menghormati orang Melayu lagi (Suara Keadilan, 26 Sept – 8 Oktober,2008,hlm.11). Tanah Simpanan Melayu umpamanya, tergadai kepada orang lain atas nama pembangunan. Akhirnya hilanglah hak Melayu di kawasan bandar.Ini terjadi di Kampung Baru dan Bukit Bintang. Senario yang sama berlaku di Ipoh, Johor Bharu dan Pulau Pinang.

Pada akhir tahun 70an pendapatan rakyat Korea Selatan dan Taiwan jauh lebih miskin dari rakyat Malaysia. Tetapi hari ini pendapatan tahunan rakyat Korea puratanya adalah RM 66,000 setahun manakala rakyat Taiwan pula RM 52,700 .Ia adalah merupakan angka duakali ganda berbanding dengan pendapatan rakyat Malaysia kini (Rahmat Haron,Suara Keadilan, Ibid,hlm.13).Kedua-dua negara berkenaan ketandusan hasil minyak dan gas. Manakala Malaysia pula mencatat keuntungan hasil sumber berkenaan sebanyak RM 70 billion setahun, tetapi tidak mampu bersaing dengan kedua-dua negara berkenaan.Keadaan ini berlaku disebabkan oleh salah guna kuasa dan penyelewengan serta rasuah yang membarah di negara ini. Di zaman Mahathir umpamanya entah berapa kali wang petronas digunakan bagi membail-out syarikat-syarikat kerajaan yang hampir bangkrap termasuk syarikat anaknya sendiri. Inilah sebenarnya keadaan yang berlaku di bawah dasar DEB tersebut. Kita juga pernah mendengar anak bekas Menteri Pengangkutan menjadi jutawan pada usia tiga puluhan, walaupun ia bukan seorang Melayu, tetapi begitulah mudahnya para kroni dan anak beranak dalam keluarga UMNO/BN. Di zaman Paklah pula anaknya Kamaluddin tersenarai sebagai jutawan termuda negara dan kini menerajui syarikat Scomi yang mempunyai empayar yang cukup luas.

Bank Dunia pula mentakrifkan kemiskinan sebagai peminggiran dari kesempurnaan hidup. Apa yang kita lihat hari ini, hidup rakyat marhaen Melayu tidak sesepmurna kaum lain meskipun lebih 30 tahun DEB dilaksanakan. Kalau kita menonton rancangan Bersamamu TV3, yang ramai adalah orang Melayu. Dan kalau kita meneliti ucapan MB Selangor pula, pendapatan di bawah RM 1,500 adalah tergolong sebagai miskin. Usaha Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk menuntut gaji minima sebanyak RM900 masih belum tercapai, dan kalau ianya tercapai sekalipun, gaji minima itu masih di bawah paras kemiskinan jika mengikut kriteria MB selangor itu. Harga minyak yang meningkat baru-baru ini telah menaikan harga barang yang mengurangkan kuasa beli rakyat,khasnya yang berpendapatan rendah. Ini menambahkan lagi kadar kemiskinan yang ada, khasnya di kalangan orang Melayu yang menjadi bumiputra negara ini. Memang kita tidak menggalakan mentaliti subsidi di kalangan orang Melayu, tetapi sekurang-kurang mereka terbela di negara sendiri dan tidak merempat di tengah-tengah kemelesetan ekonomi dunia sekarang ini.

Islam pula memberikan takrif yang tersendiri terhadap kemiskinan, di mana takrif atau definasi yang diberikan sesuai digunakan untuk sepanjang zaman. Menurut Islam, rakyat yang berpendapatan melebihi dari separuh dari keperluannya dalam satu-satu hari tetapi tidak dapat mencapai atau memenuhi seluruh keperluannya pada hari itu, beliau di kira miskin. Ini bermakna jika sekiranya beliau dan tanggungannya memerlukan RM30 sehari, tetapi ia hanya berpendapatan RM 20 sehari, maka itu dikategorikan dalam kelompok miskin. Jika pendapatannya kurang separuh dari keperluannya dalam satu-satu hari, iaitu kurang dari RM15 jika mengambil contoh di atas, maka seseorang itu dikategorikan sebagai golongan fakir. Pentafsiran Islam ini dapat dilihat dalam kitab-kitab tafsir atau kitab-kitab fiqh Islam yang menyentuh bab ini. Pentafsiran Islam ini lebih sesuai untuk dipakai pada bila-bila masa pun, kerana ia tidak menetapkan jumlah pendapatan yang dikira sebagai miskin, tetapi berdasarkan keperluan pada sesuatu zaman itu. Ini juga membuktikan Islam adalah satu agama yang sesuai dipraktikkan sepanjang zaman. Ia bukan agama lapuk seperti tuduhan sesetangah orang UMNO/BN atau kuncu-kuncunya yang datang dari Timur atau Barat.

Namun bila Pakatan Rakyat, khususnya Ketua Pembangkang berhasrat untuk menghapuskan DEB dalam Agenda Malaysia Barunya, maka UMNO/BN pula melemparkan tuduhan sekiranya Kerajaan Pakatan terbentuk, orang Melayu akan hilang keistimewaannya dan juga ketuanannya. Inilah tuduhan yang tidak berasas yang dilemparkan oleh UMNO/BN. DS Anwar pula berkali-kali menekankan bahawa hak istimewa orang Melayu dan Ketuanan Melayu tetap tidak akan terjejas jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan. Menurut DS Anwar,”Agenda Malaysia Baru Pakatan Rakyat akan menjadikan usaha membasmi kemiskinan sebagai agenda yang diberi keutamaan penting apabila berpeluang menerajui negara. Ini sekaligus meletakkan hak keutamaan dan ketuanan Melayu sebagai usaha memartabatkan orang Melayu yang kebanyakannya terdiri dari golongan miskin (Suara Keadilan,Ibid,ms 11).

Jika orang-orang Melayu masih ragu-ragu lagi dengan janji-janji Kerajaan Pakatan, rasanya ada baiknya mereka memberikan peluang kepada kerajaan Pakatan Rakyat untuk satu penggal, dan kita lihatlah apa yang kerajaan pakatan akan lakukan untuk membantu orang Melayu khasnya, dan rakyat Malaysia amnya. Jika sekiranya mereka gagal, kita tidak harus memberi peluang untuk mereka lagi. Namun di sini, orang Melayu dan orang Malaysia seluruhnya mesti berani berubah barulah percubaan itu dapat dilakukan. Jika kita tidak berani, kita tetap akan menjadi seperti sekarang untuk selama-lamanya. Terpulanglah kepada rakyat Malaysia menentukannya. Dan bagi orang Melayu, jaminan dari perlembagaan tetap ada, dan institusi kesultanan tetap akan menjadi benteng orang Melayu jika terjadi sebarang kemungkinan yang tidak diingini.


AlKundangi,
05.10.2008

Monday, September 29, 2008

KERAJAAN BARU PAKATAN RAKYAT DAN PENDIRIAN PAS

KERAJAAN BARU PAKATAN RAKYAT DAN PENDIRIAN PAS


Antara yang menarik dalam lidah rasmi PAS, Harkah bil.1379 adalah ucapan TGH Hadi Awang bahawa PAS tidak akan menyertai kerajaan pakatan yang baru, sekiranya majoritinya adalah terdiri dari bukan Islam.Ini bermakna jika ahli-ahli parlimen yang beragama Islam mestilah lebih dari separuh bilangan ahli Parlimen, barulah PAS menyertai kerajaan baru yang bakal dibentuk itu,sesuai dengan hasrat dan impian DS Anwar Ibrahim dalam waktu terdekat ini. Sasaran DS Anwar supaya kerajaan baru itu dapat dibentuk pada 16 September berkecai apabila ahli-ahli Parlimen BN dibawa melawat ke Taiwan, di samping keengganan PM DS Abdullah Ahmad Badawi menemui Ketua Pembangkang itu serta mengadakan satu sidang khas Parlimen bagi mengusulkan undi tidak percaya kepadanya.


Tentu tiada siapa yang bersetuju terutama pemegang jawatan, mengadakan satu sidang khas untuk memecat dirinya sendiri. Ini adalah kebiasaan para pemimpin Asia. Pergolakan politik di Tahiland dan India misalnya memperlihatkan keadaan yang hampir serupa. Tidak ada orang yang suka dirinya dipecat. Begitulah juga PM. Lalu agenda selanjutnya, Anwar merancang untuk bertemu YDP Agong. Namun setakat ini belum ada berita tentang perkembangan ini sampai ke pengetahuan kita (penulis). Dan DS Anwar mensasarkan tarikh baru, pada bulan Oktober depan untuk membentuk kerajaan baru itu. Agak sukar untuk memperkatakan adakah DS Anwar berjaya atau sebaliknya. Walaupun Prof. Dr. Aziz ada memberikan pandangan bahawa jika DS Anwar telah mempunyai ahli parlimen yang cukup untuk membentuk kerajaan, DS Anwar boleh meminta YDP Agong menitahkan PM memanggil satu mensyuarat khas bagi proses peralihan kuasa itu. Bahkan selanjutnya Dr. Aziz Bari dalam satu temuramah menyatakan YDP Agong boleh memecat PM jika dakwaan DS Anwar itu betul dan melantik DS Anwar sebagai PM. Jika sekiranya ini tidak dapat dilaksanakan, tegas pakar perlembagaan itu lagi, kerajaan yang ada adalah tidak sah, kerana tidak mempunyai majoriti yang cukup untuk bertahan sebagai sebuah kerajaan.

Syarat kedua yang disebut oleh TGH Hadi Awang dalam satu ceramahnya di Surau Haji Zainal Abidin, Dungun baru-baru ini ialah kerajaan yang baru itu mestilah kukuh dan bukan kerajaan yang lemah.Kerajaan kukuh mestilah terdiri dari wakil-wakil rakyat yang konsisten dan bukan yang penakut.Jika wakil rakyat penakut, sebarang perubahan tidak akan dapat dilaksanakan.

Pendirian PAS ini bisa difahami kerana dasar PAS adalah Islam sepertimana yang disebut dalam perlembagaannya. Manakala seruan PAS adalah Allahu Akbar!. Ini bermaksud jika Islam tidak dijadikan asas pemerintahan negara, PAS tidak akan menyertai kerajaan baru itu. Kerajaan Malaysia pula adalah berasaskan sistem demokrasi, di mana suara majoriti menentukan sebarang keputusan. Jika ada keputusan atau cadangan pindaan undang-undang, PAS tidak akan dapat berbuat apa-apa jika majoriti ahli-ahli parlimen tidak menyokong pandangan dan pendapat PAS. Tentulah sukar bagi PAS untuk mendaulatkan Islam dan mencapai hasratnya untuk memenuhi seruan Allah sahaja yang lebih besar, samada secara rububiyah mahupun uluhiah. Dalam erti kata yang lain, tidak ada yang lebih besar dalam jiwa manusia,umpamanya pangkat dan harta, dan manusia tidak bertuhankan materialisme demi memenuhi idealisme PAS itu.

Bagi sikap ahli-ahli parlimen yang berani, tentu saja ini akan menjadi aset bagi PAS dan kerajaan baru itu untuk melaksanakan sebarang perubahan, khasnya yang menyalahi kebiasaan ,adat dan budaya yang diamalkan oleh rakyat Malaysia waktu ini. Dalam soal menutup aurat misalnya, rakyat bukan beragama Islam mestilah berpakaian sopan apabila keluar dari rumah, istimewa bagi kaum perempuan, dan tidaklah terjadi hal-hal yang dianggap kurang sopan, seperti apa yang terjadi terhadap ahli Parlimen Seputih yang memakai pakaian menjolok mata, walaupun majlis yang dihadirinya adalah majlis berbuka puasa dan tempatnya pula di sebuah masjid sebagaimana yang dilaporkan media. Hal-hal sebegini tidak harus berlaku,jika kita inginkan satu suasana dan iklim Islam mendasari gaya hidup dan kebudayaan yang sedang berlangsung. Walaupun ahli Parlimen Seputih itu mewakili kerajaan Pakatan Rakyat yang disertai PAS, dan dia dijangka memahami batas-batas yang digariskan Islam sepertimana yang diperjuangkan oleh PAS. Namun kegagalan mematuhi etika Islam tidak seharusnya berlaku, jika Islam ingin didaulatkan.


TGH Hadi Awang selanjutnya menegaskan bahawa beliau akan meneliti nama-nama ahli yang ingin melompat parti itu, samada majoritinya akan lebih ramai yang Islam dari bukan Islam. Ini penting sebagaimana yang disinggung di atas, bahawa keperluan majoriti akan menentukan sebarang keputusan negara dalam sistem demokrasi yang sedang diamalkan. Memang pernah dalam sejarah, orang-orang Islam yang minoriti memerintah bangsa yang majoritinya bukan Islam, bahkan mereka lebih suka Islam memerintah, melihat kepada keadilan sosial yang dilaksanakan oleh pemerintah Islam.Tidak ada dalam sejarah, bangsa yang majoriti diperintah oleh mereka yang minoriti, kecuali ianya tercatat dalam sejarah Islam. Namun di sini sistem yang digunapakai adalah sitem Islam,bukan sistem demokrasi.

Untuk itu,TGH Hadi Awang menyatakan pendiriannya bahawa kerjasama dari UMNO adalah penting,seperti mana yang dilaporkan oleh lidah rasmi PAS itu, untuk mencapai jumlah majoriti yang lebih,suara yang lebih berkesan untuk menjadikan Islam sebagai dasar kepada satu sistem pemerintahan. Hal ini dapat difahami kerana ahli-ahli UMNO kesemuanya beragama Islam, kecuali sejak kebelakangan ini, dengan adanya penyertaan kaum bumiputra bukan Islam ke dalam UMNO, khasnya dari Sabah dan Sarawak.

Walau apa pun pendapat dan pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli politik Malaysia, kita terpaksa menunggu usaha-usaha selanjutnya dari DS Anwar untuk menubuhkan kerajaan itu, dan yang terpenting, kerjasama YDP Agong dalam usaha untuk mencapai hasrat DS Anwar, hasrat PAS, bahkan hasrat rakyat seluruhnya yang mahukan perubahan politik berlaku di negara ini, setelah lebih 50 tahun di bawah UMNO-BN. Kita juga percaya UMNO-BN suatu hari akan lupus, dan hal ini tidak dapat dihindarkan oleh mana-mana organisasi, kerana itulah keputusan para pengkaji organisasi, bahawa setiap oraganisasi mempunyai jangka-hayat tertentu. Apabila jangka-hayat itu berakhir, organisasi itu akan mati dan berkubur tanpa nisan. Tanda-tanda itu jelas terlihat dalam pergolakan politik UMNO-BN sejak akhir-akhir ini. Jika usaha DS Anwar tidak berjaya, kita akan terus berusaha menjelang PRU yang ke 13 pada tahun 2012 atau 2013 di mana pertukaran kerajaan lebih mudah untuk dilaksanakan jika sekiranya mendapat sokongan padu dari rakyat marhaen terutama golongan muda, kerana jumlah pengundi muda yang berdaftar pada waktu itu akan melebihi satu juta orang, sebagaimana yang disebut oleh Dato’ Mukhriz Mahathir dalam wawancaranya dengan Mingguan Malaysia semalam. Pakatan Rakyat juga harus mengambil tindakan yang serius untuk mendekati golongan ini, yang akan menentukan hala-tuju negara di masa hadapan.


Alkundangi,
29.09.2008.

Saturday, September 27, 2008

Sesudah Selesai Ramadhan

Sesudah Selesai Ramadhan


Bulan yang kita tunggu-tunggu kedatangannya, iaitu bulan Ramadhan telah pun meninggalkan kita, dan kita pun tidak pasti adakah bertemu semula pada Ramadhan yang akan datang. Adakah kita merasa sayu ditinggalkan oleh bulan yang mulia itu? Atau adakah kita gembira menyambut ‘Aidulfitri di samping berbagai program hiburan yang disediakan oleh pelbagai saluran hiiburan khususnya televisyen? Semuanya itu sebenarnya bergantung kepada diri kita sebagai insan muslim yang menghayati agama kita pada dekad-dekad terakhir ini. Dekad yang penuh cabaran dan dugaan. Seorang insan muslim yang sejati akan merasakan sayu hatinya di saat-saat penghujung Ramadhan, dan ternanti-nanti kedatangannya pada tahun-tahun mendatang.


Sebaiknya seusai bulan yang mulia ini, kita harus menyorot ke dalam diri kita sendiri, apakah kesan-kesan yang ditingalkan oleh bulan yang mulia itu kepada diri kita,keluarga kita seterusnya masyarakat kita di mana kita hidup dan menghirup udara di dunia ini. Kalau pada bulan itu, kita sering ke masjid, bersembahyang jemaah, menjaga diri dan akhlak dari perbuatan keji dan mungkar dan pelbagai perkara yang baik-baik yang kita lakukan, apakah perkara-perkara seperti itu kita kekalkan selepas berlalunya bulan Ramadhan? Di inilah kekuatan bulan yang mulia itu,juga kekuatan diri kita yang menjalani latihan sebulan lamanya, apakah latihan penyucian diri itu kita bawa ke bulan-bulan yang lain? Hal-hal seperti itulah yang harus kita renung sewajarnya, agar segala latihan dan amalan itu meninggalkan kesan kepada diri dan kehidupan kita.


Bukanlah kita sebenarnya berhasrat untuk menguruskan badan di waktu bulan mulia itu, juga bukan satu cara untuk diet kerana kita tidak dapat menahan diri dari makanan yang lazat-lazat pada bulan-bulan yang lain, kita berpuasa menahan diri dari lapar dan dahaga dan dari perkara-perkara yang kurang bermanfaat adalah semata-mata kerana menunaikan perintahNya.Kita diperintahkan supaya berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kita, dengan matlamat mudah-mudahan kita bertakwa kepadaNya. Itulah matlamat asal puasa difardukan pada bulan yang mulia itu, “mudah-mudahan supaya kamu bertaqwa.”(AlBaqarah). Mmudah-mudahan kita akan bertemu semula pada Ramadhan yang akan datang, Amien.


AlKundangi,
27.9.2008

Wednesday, September 24, 2008

BANGSA MALAYSIA DAN INTEGRASI NASIONAL: KENYATAAN ATAU KHAYALAN?

BANGSA MALAYSIA DAN INTEGRASI NASIONAL: KENYATAAN ATAU KHAYALAN?


Persoalan mengenai Bangsa Malaysia bukanlah satu perkara baru.Isu ini sebenarnya sudah lama diperkatakan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke empat,Tun Dr.Mahathir Mohamed khususnya dalam satu kertaskerjanya yang terkenal, Malaysia Melangkah Ke Hadapan tatakala membincangkan satu dasar penting negara,iaitu Wawasan 2020.Menurut Abu Hassan Adam (1991),hasrat sebegini mungkin asing bagi rakyat Malaysia yang hidup 20 tahun lampau,namun bagi masyarakat Malaysia kini, ia mungkin merupakan satu hasrat yang mungkin dapat dicapai kewujudannya.Kalau kita melihat satu bahasa boleh menyatukan kaum di negara ini dan telah terbukti Malaysia mampu berbuat demikian, apakah cita-cita untuk membentuk satu Bangsa Malaysia itu hanyalah satu khayalan?

Dalam kertas kerja Tun Dr.Mahathir itu, terdapat satu gagasan tentang konsep Bangsa Malaysia yang sedang diperkatakan ini.Pembentukan bangsa Malaysia adalah merupakan satu cabaran yang besar,namun ia merupakan satu hasrat ke arah keperibadian bangsa yang mantap dari kepelbagaian kaum dan keturunan yang kita warisi dari sejarah kolonial Inggeris yang telah memberikan kesan yang mendalam terhadap polarisasi kaum di negara ini.

Tentunya agak sukar untuk memberikan takrif atau definisi tentang Bangsa Malaysia yang diidamkan oleh bekas Perdana Menteri itu. Namun begitu, berdasarkan realiti sejarah sosial negara ini,kita mungkin dapat membayangkan bahawa ia tentulah terdiri dari tiga bangsa utama yang menjadi warganegara bagi negara ini,tetapi ia mestilah bangsa yang moden dan baru,yang dibentuk dari kepelbagaian unsur sosial dan kebudayaan rakyat negara ini.Dilihat dari sudut nasionalisme Melayu, gagasan yang paling realistik adalah ia merupakan pembentukan satu bangsa yang baru yang berasaskan unsur-unsur kemelayuan yang bakal menjadi terasnya atau penakrifnya (Rustam A.Sani,1993).

Seandainya cita-cita untuk membentuk satu Bangsa Malaysia ini menjadi kenyataan, masalah perpaduan dan integrasi nasional akan selesai setakat itu sahaja.Tidak perlu lagi usaha-usaha lain dibuat. Hal ini bermakna, pembentukan Bangsa Malaysia adalah satu-satunya jalan yang paling berkesan untuk menyelesaikan masalah ini dalam konteks negara kita. Sebenarnya ia bukannya sesuatu yang mudah, kerana negara ini wujud dan terbangun dari pelbagai kaum, dengan pelbagai agama dan kepercayaan, ekonomi dan wilayah, tempat tinggal dan sebagainya. Namun kita boleh melontarkan satu soalan, ‘apakah Bangsa Malaysia itu dapat dibentuk?.”

Untuk membentuk satu bangsa menurut Tan Sri Ghazali Shafei (1997),kita tidak seharusnya meniru bulat-bulat dari Indonesia atau China atau negara yang homogenus dan mudah dengan menyatukan warga serta bangsa tanpa asas pertimbangan.Apa yang ada di Indonesia adalah keturunan suku atau etnik, seperti suku Acheh,suku Bugis,suku Sunda dan sebagainya.Semua suku ini berasal dari wilayah yang digelar Indonesia. Sedangkan keadaan di Malaysia jauh berbeza di mana orang-orang Cina dan India adalah berasal dari luar serta mempunyai negaranya sendiri yang amat berbeza dari segi tamadun dan sejarahnya.

Dalam usaha untuk membentuk Bangsa Malaysia ini,kita tidak akan dapat mengelak dari timbulnya persoalan “definitive race” atau bangsa penentuan yang paling sahih.Soal ini mungkin tidak timbul sekiranya dua atau tiga bangsa dengan bilangan yang hampir sama meneroka satu wilayah yang kosong atau bangsa yang mendatang itu kuat dan mampu menguasai penduduk peribumi sepertimana yang berlaku di Amerika, Australia dan New Zealand.Pembentukan suatu bangsa itu,walau bagaimanapun mungkin boleh dicapai melalui Wawasan 2020, dengan berlandaskan semangat rukunegara, di samping mengadakan dasar yang dapat mengawasi kesan-kesan pembangunan atau perindustrian terhadap nilai teras kebudayaan. Dalam ertikata lain seseorang itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Bangsa Malaysia, mempunyai kerakyatan Malaysia,tanpa mengira asal keturunannya dan dia merasakan ianya mempunyai kebudayaan Malaysia yang tersendiri,orang sebegini mungkin boleh diterima sebagai Bangsa Malaysia yang dimaksudkan itu (Tan Sri Ghazali Shafei,1997).

Kalau kita melihat lebih jauh,sebenarnya ada beberapa faktor yang membantu untuk mewujudkan Bangsa Malaysia itu.Terdapat beberapa unsur yang membolehkan tercapainya perpaduan kaum di negara ini, umpamanya melalui sistem pendidikan yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantarnya.Selain itu aktiviti budaya yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum tentunya dapat menyumbang kepada pembinaan bangsa tersebut.Dengan demikian, aktiviti budaya,perkahwinan campur di antara kaum dan wilayah dapat mempercepatkan proses persefahaman dan pembentukan nilai-nilai keluarga dan negara-bangsa yang positif. Ia juga boleh disokong dengan pembangunan ekonomi yang bersepadu dan adil bagi setiap bangsa dan wilayah (Mohd.Johari Hj.Yaakub,et.al(ed),1997).

Namun di sana faktor penghalangnya juga banyak.Umpamanya pemisahan sosial yang disebabkan oleh perbezaan budaya ,agama,pengaruh media massa, pendidikan, penglibatan dalam organisasi sosial yang bersifat perkauman atau pertubuhan-pertubuhan perniagaan. Perbezaan yang lahir akibat dari sini merupakan halangan dalam pembinaan negara-bangsa itu. Faktor pemisahan oleh wilayah juga boleh dipandang sebagai faktor penghalang.Walaupun negara kita sudah maju,tetapi di sesetengah tempat keadaan masih mundur,khususnya di Kelantan,Terengganu,Sabah dan Sarawak.Sementara itu,kawasan-kawasan mundur kebanyakannya didiami oleh kaum bumiputera,manakala kawasan bandar dan wilayah-wilayah yang lebih maju diduduki oleh kaum Cina.Keadaan ini menyebabkan jurang kemiskinan antara wilayah dan kaum masih wujud walaupun berbagai usaha telah dan sedang diambil.

Faktor lain ialah wujudnya parti-parti politik yang berasaskan etnik dan setiap parti dipersepsikan sebagai menjaga kumpulan etnik masing-masing.Walaupun kebanyakan parti-parti terbesar seperti UMNO,MCA dan MIC serta Gerakan bergabung dalam Barisan Nasional,namun ada ketikanya muncul juga konflik di kalangan parti-parti komponen tersebut yang kadangkala menggugat kestabilan politik dan perpaduan kaum di negara ini.Satu lagi masalahnya adalah sikap parokialisma,prejudis dan curiga di kalangan anggota masyarakat.Sikap prejudis terhadap wilayah yang terdiri dari Semenanjung,Sabah dan Sarawak turut menyukarkan persefahaman dan semangat perpaduan di kalangan pelbagai etnik ini.Permasalahan sosial yang timbul di kalangan masyarakat seperti permasalahan setinggan ,masalah penagihan dadah, bohsia,jenayah yang kian meningkat,penderaan dan masalah pendatang asing pula mengurangkan tumpuan kerajaan terhadap pembinaan bangsa tersebut,di samping permasalahan dan gejala sosial itu menuntut sejumlah peruntukan yang banyak untuk menanganinya (Mohd.Yaakub Hj.Johari et.al(eds),1997).

Sesungguhnya pembinaan Bangsa Malaysia ini amat rapat kaitannya dengan perpaduan kaum dan integrasi nasional di negara ini,di mana ia adalah satu konsep yang penting di antara sekian banyak dasar sosial di negara kita ini.Permasalahan masyarakat majmuk yang terhasil akibat kesan-kesan sejarah tidak mampu kita tangani jika perpaduan dan integrasi tidak wujud. Namun begitu, ia adalah satu proses yang memerlukan sikap toleransi,keterbukaan dan keinginan menerima orang lain tanpa rasa prejudis yang akhirnya akan melahirkan satu masyarakat Malaysia yang kita idamkan itu.Masyarakat yang bersatu bukan hanya mempunyai satu angka rujuk, satu identiti,jatidiri dengan nilai yang sama,tetapi ia juga hendaklah merupakan satu masyarakat yang tidak mudah tergugat apabila ada kuasa lain cuba memecahbelahkannya.Namun sehingga kini apakah usaha-usaha yang telah dan sedang dijalankan itu berhasil untuk mewujudkan satu masyarakat yang bersatu padu? Apakah integrasi nasional kini bukan lagi merupakan masalah negara?Inilah beberapa persoalan yang perlu kita teliti selanjutnya.

Prof.Jayum A.Jawan berpendapat bahawa “memang wujud perpaduan nasional apabila Barisan Nasional memerintah negara ini dengan penglibatan semua kaum atau pemimpin setiap kelompok etnik di negara ini.Jelas,perpaduan seperti contoh itu menunjukkan adanya kerjasama.Orang-orang Melayu,Cina,India,Kadazan dan Dayak bekerjasama,bertolak ansur dan berakomodasi antara satu sama lain.Tetapi perpaduan itu tidak lebih dari itu.Integrasi merangkumi perpaduan seperti ini,namun ia lebih dari itu sebenarnya.Integrasi merujuk kepada proses penyatuan biologikal.Kesediaan berkahwin di antara etnik memcerminkan tahap integrasi kerana melalui perkahwinan secara besar-besaran integrasi dan perpaduan sebenar boleh dicapai.Proses ini melibatkan kesediaan berkahwin dan mencari pasangan di luar kelompok sendiri yang dari konsep sosiologi dikenali sebagai exogami (Asnarulkhadi Abu Samah & Jayum A.Jawan(eds),2001,m.s.237).

Jelaslah apabila kita memerhati keadaan masyarakat Malaysia hari ini,memang wujud unsur-unsur perpaduan itu.Usaha kerajaan mewujudkan berbagai dasar sosial sedikit sebanyak telah mendatangkan hasilnya.Polarisasi kaum kian berkurangan.Namun di sana masih ada berbagai masalah perpaduan dan integrasi nasional itu.Pencapaian orang Melayu dalam bidang ekonomi masih belum begitu berjaya sepertimana yang diharapkan.Begitu juga perbezaan di antara wilayah yang maju dan mundur,di antara bandar dan luar bandar,di antara pantai Barat dan pantai Timur dan di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak. Perbezaan ekonomi masih jelas kelihatan.Tidak hairanlah,dalam perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini,suara-suara ke arah mewujudkan semula Dasar Ekonomi Baru atau meneruskan dasar berkenaan yang telah pun tamat tempuhnya itu jelas kedengaran di sana sini.

Keadaan sesetengah anggota masyarakat yang terpinggir atau tertinggal dari arus pembangunan negara menampakkan bahawa dasar-dasar sosial itu tidak sepenuhnya berjaya menyusun semula masyarakat berbilang kaum di negara ini dari berbagai sudut termasuk keadilan ekonomi dan pembangunan wilayah.Di samping itu masalah perpaduan dan integrasi nasional sesekali masih beriak seperti riak-riak kecil di air tenang. Dalam soal-soal terbaru kebelakangan ini seperti Sekolah Wawasan, penentangan terhadap idea sekolah itu memperlihatkan sukarnya menyatukan masyarakat Malaysia dalam ertikata yang sebenarnya seperti yang dikehendakki oleh pihak kerajaan.Begitu juga dengan permasalahan meritokrasi dalam hal pengambilan pelajar ke insititusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang masih hangat dibincangkan oleh anggota masyarakat yang sekali sekala terlihat di dada-dada akhbar.

Begitulah sebenarnya,memang sukar untuk mewujudkan satu perpaduan yang mantap, apalagi perpaduan itu untuk mencapai tahap integrasi nasional,atau tahap pembinaan Bangsa Malaysia sepertimana yang disarankan melalui Wawasan 2020.Memang harapan kita, harapan pemerintah dan harapan para pembuat dasar adalah untuk melihat wujudnya satu bangsa yang diidam-idamkan itu.Walaupun bentuk Bangsa Malaysia itu sudah terbayang-bayang seperti dari beberapa pendapat yang disebutkan terdahulu,namun penyatuan menjadi semakin sukar bila a melibatkan soal agama dan kebudayaan.Inilah realitinya yang terpaksa dihadapi oleh masyarakat Malaysia. Kenyataannya dalam hal ini, kita sebenarnya hanya dapat dan mampu mewujudkan perpaduan dalam soal-soal bahasa,ekonomi, dan mungkin juga wilayah atau penempatan.Tetapi kepelbagaian tetap akan wujud,istimewa dalam bidang agama dan budaya.Itulah corak perpaduan yang mampu kita capai setakat ini.Kita tidak dapat berkhayal lebih dari itu. Atau seperti kata Prof.Jayum A.Jawan,”kepelbagaian ini andainya dikekalkan,maka proses pembinaan negara-bangsa itu tidak lain tidak bukan samalah ertinya dengan konsep dan proses perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity),yang jelas merupakan bentuk perpaduan dan integrasi yang sangat berjaya diwujudkan setakat ini (Asnarulkhadi Abu Samah & Jayum A.Jawan,2001,m.s.251).”

Sebagai kesimpulannya dapatlah kita katakan bahawa proses pembinaan Bangsa Malaysia dan integrasi nasional itu adalah amat penting terutama bagi sesebuah negara seperti Malaysia ini,di mana wujudnya masyarakat berbilang kaum hasil dari peninggalan sejarah dan dasar kolonialisme yang diamalkan oleh penjajah British.Namun ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk diwujudkan terutama apabila ia melibatkan masalah-masalah seperti agama dan kebudayaan.Memang menjadi harapan kita dan harapan kerajaan agar masyarakat berbilang bangsa ini dapat bersatu dalam membangunkan negara dan menjaga serta mengawasi keamanannya.Namun realitinya manusia tidak semudah itu untuk disatukan apalagi jika kita harapkan penyatuan itu mencapai tahap biologikal dan mewujudkan satu Bangsa Malaysia yang mempunyai identiti yang tersendiri.Namun kita masih boleh bersatu, bersatu dalam kepelbagaian sepertimana yang diamalkan sekarang.Sesungguhnya kita masih ada harapan untuk mencapai apa yang kita inginkan itu, namun usaha-usaha yang gigih dan pengorbanan dari setiap kaum sahaja yang dapat menjamin tercapainya integrasi nasional dan seterusnya terhasilnya satu Bangsa Malaysia yang menjadi harapan kita semua.


AlKundangi,

Dipost pada 24.9.2005

RENCANA UMUM:KESAN DAN IMPLIKASI DARI PENERBITAN ELEKTRONIK

KESAN DAN IMPLIKASI DARI PENERBITAN ELEKTRONIK

Perkembangan teknologi komputer,khususnya yang berhubungan dengan internet telah melahirkan gaya hidup baru yang berbeza di dunia hari ini.Teknologi kini telah mempengaruhi kehidupan manusia dengan sebegitu rupa, sehingga kini manusia di katakan tidak dapat hidup tanpa teknologi.Seluruh corak kehidupan berubah.Internet juga telah melahirkan dunia tanpa sempadan dengan konsep globalisasi yang didominasi oleh kuasa-kuasa besar, khususnya Amerika. Perkataan globalisasi sebenarnya mula popular pada dekad 1990-an ,namun begitu ia amat sukar ditafsirkan sebagai satu konsep tunggal kerana persepktifnya yang luas dan merangkumi banyak perkara. Menurut Waters dan Mittelman sebagaimana dikutip oleh Mohd.Azizuddin Mohamad Sani (2003), globalisasi meliputi pelbagai bidang dan merupakan satu fenomena multidimensi yang melibatkan aspek ekonomi,politik,budaya dan ideologi.

Kesan-kesan dari perubahan itu melibatkan juga dunia penerbitan, yang juga merupakan kegiatan ekonomi dan budaya yang penting dalam kehidupan kini. Teknologi penerbitan konvensional adalah diasaskan kepada teknologi percetakan moveble-type yang dilihamkan oleh Gutenberg,sudah begitu lama menguasai dunia penerbitan dan menjadi perkakasan atau hardware utama bagi media cetak.Ia mencetak karakter dan grafik di atas kertas semenjak 500 tahun dahulu dan telah memberikan sumbangan yang besar dalam proses penyebaran maklumat dan pengetahuan.Kini kehadiran ICT telah menghasilkan penerbitan elektronik yang banyak memberi pilihan kepada pengguna (Shaharom TM Sulaiman dan Salasiah Abd.Wahab,2002).

Sebenarnya,penerbitan elektronik telah bermula sejak wujudnya komputer.Ketika itu bahan-bahan elektronik terdapat dalam bentuk disket dan juga dalam perkakasan.Dan kemudian bila CD-ROM diperkenalkan, banyaklah bahan-bahan terbitan asalnya dalam bentuk konvensional mula diterbitkan dalam bentuk CD-ROM.Dengan terbentuknya internet, bahan-bahan bercetak mula dipindahkan ke lebuhraya maklumat, dan bermulalah era buku elektronik dan jurnal dalam talian.Sehubungan dengan itu,istilah penerbitan elektronik sentiasa berubah pantas sejajar dengan perubahan dan kemajuannya(Shaharom TM Sulaiman dan Salasiah Abd Wahab,Ibid).

Penerbitan elektronik dapatlah ditakrifkan sebagai penerbitan dalam bentuk yang menggunakan komputer dalam penghasilannya.Bahan penerbitan elektronik biasanya dapat diedarkan untuk pengguna secara dalam talian atau dicetak oleh pengguna sendiri.Ia juga diterbitkan dalam bentuk DVD atau VCD atau dalam laman web yang lebih interaktif sifatnya.Ciri-ciri multimedia kini menambahkan keberkesanan penerbitan elektronik. Bahan-bahan seperti disket, CD-ROM,jurnal elektronik,majalah elektronik dan akhbar dalam talian adalah contoh-contoh penerbitan elektronik yang terkini.

Namun dari suatu sudut,kemunculan besar-besaran penerbitan bahan elektronik telah meninggalkan kesan dan implikasi yang tidak sedikit kepada kehidupan manusia kini termasuklah dunia penerbitan itu sendiri.Ia juga meninggalkan implikasi ke atas ekonomi dan budaya yang menjadi sebahagian dari ciri kehidupan manusia.Memang setiap sesuatu yang baru itu meninggalkan kesan,samada positif atau pun negatif. Begitulah juga dengan penerbitan elektronik ini.Ia mengundang kedua-dua implikasi, iaitu positif dan negatif.

Kesan-Kesan Positif

Oleh kerana ia sesuatu yang baru dan masih sedang berjalan, kesan positifnya agak sukar dilihat kecuali apa yang telah berlaku atau sedang berlaku.Umpamanya penerbitan elektronik tidak memerlukan jangkamasa yang lama untuk menerbitkan sesuatu bahan,jika sekiranya ia ingin dicetak secara fizikal.Hanya pengarang asal perlu menaipnya dengan komputer dan setelah menyemaknya,ia terus dikemukakan kepada penerbit jika ia ingin diterbitkan.Sang pengarang boleh juga terus menghubungi mana-mana webmaster,jika ia ingin menerbitkan bahannya ke dalam laman-laman web.Ia juga boleh meminta mana-mana penerbit menerbitkannya dalam bentuk CD-ROM jika ia ingin berbuat demikian.Ia tidak perlukan jangkamasa yang lama,juga tidak perlu ditaip semula oleh mana-mana jurutaip.

Selain itu,penerbitan elektronik memudahkan kerja pencarian maklumat dengan wujudnya jurnal-jurnal yang diterbitkan secara online,khususnya jurnal berbahasa Inggeris.Ada juga laman-laman web berbahasa Melayu yang menerbitkan rencana-rencana ilmiah yang dapat dijadikan rujukan bagi mereka yang memerlukannya umpamanya www.usm.lib.my dan sebagainya.Namun jurnal-jurnal ini agak berkurangan berbanding jurnal berbahasa Inggeris. Menurut Roosfa Hashim(Tanpa Tahun), adalah sukar untuk mencari jurnal ilmiah kita di internet.Gunakanlah enjin pencarian apa sahaja seperti altavista, geogle, hotbot atau exite, kita tidak akan menemuinya selain beberapa jurnal yang boleh dihitung dengan jari sepuluh.Yang akan kita temui adalah Malaysian Journal of Computer Science dan Malaysian Law Journal.

Aspek positif yang lain ialah sejajar dengan perkembangan penerbitan elektronik berimbang dengan usaha kerajaan dalam membangunkan era IT di negara kita, kini hampir semua akhbar arus perdana telah menerbitkan edisi internetnya secara online.Ini termasuklah Berita Harian,New Strait Times ,The Star, Utusan Malaysia dan sebagainya.Tidak ketinggalan juga parti-parti pembangkang turut memanfaatkan perkembangan ini dengan menerbitkan Harakahdaily,Rocket ,Suara Keadilan dan sebagainya secara online.Keadaan ini menyuburkan perkembangan demokrasi dan kebebasan berpendapat di negara ini.


Kesan-Kesan Negatif

Namun apa yang lebih merunsingkan terutama bagi mereka yang terbabit dalam dunia pernerbitan konvensional di negara ini,penerbitan elektronik telah meninggalkan kesan yang tidak sedikit terhadap kegiatan mereka ,termasuk implikasinya terhadap masyarakat serta industri buku itu sendiri.Walaupun dari satu segi ia memudahkan penerbitan buku serta bahan-bahan lainnya,tetapi kos permulaannya agak mahal berbanding peralatan lama yang sedia ada.Selain itu, penerbitan elektronik khususnya secara online akan mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada buku-buku dan jurnal-jurnal,termasuk akhbar-akhbar harian.Walaupun setengah dari kita lebih selesa dengan cara lama, namun di masa-masa mendatang,masa depan penerbit konvensional akan terancam.Masalah royalti,masalah penyalinan dokumen tanpa kebenaran akan menghantui penerbit-penerbit buku dan lainnya walaupun mereka turut terlibat dalam penerbitan elektronik ini.Walaupun wujud kawalan undang-undang, namun ia tidak dapat memastikan jenayah online yang lebih canggih dan sukar ditangani berbanding jika menggunakan kaedah konvensional.

Perkembangan yang canggih dalam dunia buku tidak kurang juga memberikan reaksi yang kurang senang kepada masyarakat.Dalam satu tulisannya Brikets dalam bukunya The Gutenberg Elegies;The Fate of Reading in An Electronic Age (1994), sebagaimana yang dikutip oleh Shaharom TM Sulaiman (2001) memberikan reaksi bahawa kita kini dalam bahaya, kerana terlalu percaya bahawa kecepatan dan keajaiban elektronik telah memerdekakan kita dari kerja-kerja berat, namun baginya ia telah kehilangan nikmat membaca.Baginya,membaca buku adalah tempat berlindung,tempat paling pribadi dan subjektif. Ia adalah sebuah penjelajahan kedalaman dan keintiman seseorang dengan dirinya.Dengan penerbitan elektronik, istilah deep reading sudah pun ternoda dan orang sudah tidak lagi merasakan nikmat dan estetika membaca.Kehidupan yang serba moden yang tergesa-gesa,ekonomi yang mengejar laba dan keuntungan dengan kemajuan teknologi elektronik ternyata merampas waktu hening yang meditatif.

Sebahagian dari ahli masyarakat kita pula mengalami masalah lain dalam menghadapi perkembangan teknologi penerbitan ini. Mereka tidak begitu berani berdepan dengan media baru ini, dan merasakan satu phobia apabila berhadapan dengan komputer yang dihubungkan dengan internet. Mereka juga kurang yakin dengan teknologi ini, dan mungkin akan gugup ketika menggunakannya apabila timbul masalah-masalah teknikal yang berkaitan dengan dunia komputer dan jaringannya. Ada juga di kalangan pengguna berpendapat buku memiliki keistimewaannya tersendiri,seperti ia boleh dipegang,dicatat di mana suka,dan mudah di bawa ke sana ke mari tanpa bergantung kepada elemen elektronik dan teknologi tertentu untuk membacanya.

Teknik hyperteks dalam penerbitan online memungkinkan satu teks terhubung dengan teks lain,hanya dengan menggunakan satu klik tetikus,mengubah cara membaca yang linear dan sekuensial.Dengan hyperteks di internet, pembaca dengan mudah berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.Memang ianya merupakan suatu kemudahan, akan tetapi justeru itu muncul ketergesaan dalam berpindah dari satu teks ke teks lainnya.Ia berlaku tanpa perenungan,kedalaman dan tidak kontemplatif.Akibat lain, ialah terpinggirnya keindahan bahasa.Kompleksiti,kekayaan dan kelembutan bahasa semakin menghilang dan digantikan dengan bahasa robotik, ,teknis, langsung,sederhana dan tergesa-gesa.Tentunya semakin sedikit orang-orang yang mahu membaca karya-karya besar yang memerlukan penumpuan yang lebih dalam suasana konvensional (Shaharom TM Sulaiman,2001).

Ramai juga penerbit yang bimbang dengan pelancaran novel-novel yang menggunakan format e-buku yang mungkin mematikan industri penerbitan.Umpamanya apa yang dilakukan oleh Stephen King yang menerbitkan The Plant tanpa menggunakan penerbit.Seseorang hanya perlu menjalankan proses download untuk mendapatkan bukunya itu.Bayaran boleh dilaksanakan sebelum atau sesudah download. Amalan penulis yang tidak lagi memerlukan penerbit, pengedar dan toko buku dan berhubung terus dengan pembaca dan pembeli tentulah merisaukan para penerbit. Namun hal ini tidak dapat dipastikan kerana Stephen King adalah penulis yang sudah terkenal.Bagaimana kalau ia dilakukan oleh penulis yang belum terkenal? Mungkin ia tidak mendapat sambutan atau tidak seorang pun ingin memuat turun novelnya.Sebenarnya dalam hal ini apapun boleh terjadi.Yang menjadi persoalan,perkara itu boleh berlaku dan ia bakal memberikan sisi negatif yang tidak sedikit kepada dunia penerbitan konvensional (Shaharom TM Sulaiman dan Salasiah Abd Wahab,2002).

Satu lagi sisi negatif khasnya ke atas dunia Islam ialah bahan-bahan yang tidak bertapis yang diterbitkan secara online.Bahan-bahan seperti ini ada yang bersesuaian dan ada juga yang bertentangan dengan konsep dan amalan hidup masyarakat Islam. Ternyata banyak bahan di internet yang tidak selari dengan roh dan akidah Islam, yang berlindung di bawah konsep globalisasi.Umat Islam yang berilmu mungkin dapat menapis bahan-bahan berkenaan dari masuk meresap ke dalam kalbu mereka.Namun bagi masyarakat massa Islam yang kekurangan ilmu ternyata agak sukar melakukannya kerana bahan-bahan yang diedarkan adalah merupakan bahan mentah yang perlu ditapis terlebih dahulu agar ia tidak merosak keharmonian akidah Islam.

Selain itu bagi pihak kerajaan,pengawalan bahan-bahan yang disiarkan secara elektronik agak sukar dilakukan, kerana dunia internet itu sendiri adalah dunia yang bebas tanpa sempadan.Walaupun terdapat akta-akta yang berkaitan dengan multimedia dan undang-undang siber,namun keberkesanannya masih boleh dipertikaikan.Sebagai contoh terdapat laman-laman web yang menerbitkan bahan-bahan yang tidak selari dengan aspirasi kerajaan,bahkan dalam sesetengah hal bertentangan dengan dasar kerajaan dan amalan masyarakat Malaysia yang majmuk sifatnya,namun tindakan yang sewajarnya tidak dapat diambil kerana laman-laman web berkenaan menggunakan tapak web luar negeri.Hal ini menjadikan ia terselamat dari akta-akta berkaitan. Ini menyukarkan kerajaan yang ingin mengawal ketenteraman awam dan perpaduan kaum serta menjadikan negara aman untuk didiami.

Kesimpulan

Penerbitan elektronik,selain dari ianya memudahkan kerja-kerja penerbitan, menyingkatkan waktu,serta mengurangkan tenaga manusia,ia juga membawa kesan-kesan negatif yang tidak sedikit terhadap kehidupan manusia kini.Apalagi bahan-bahan yang diterbitkan secara online itu dimonopoli oleh negara-negara maju seperti Amerika dan sebagainya. Dari satu segi, ia mungkin melanjutkan era kolonialisme dalam bentuknya yang lain,iaitu mendominasi maklumat yang disalurkan ke atas negara-negara dunia ketiga.Mereka yang menguasai maklumat akan menguasai dunia ini.Ini adalah pendapat terkini tentang ledakan maklumat akibat berkembangnya penerbitan elektronik melalui internet atau alam siber.

Namun manfaatnya juga amat banyak jika manusia menghargai kemajuan dan kecanggihan yang telah dicapai setakat ini.Sekiranya manusia lebih bersifat manusiawi, penerbitan elektronik akan memberikan tamadun yang cukup tinggi terhadap kehidupan manusia itu sendiri.Hanya kita perlu menggunakan akal sendiri, dan tahu meletakkan sesuatu itu pada tempatnya.


Dipost pada,
24.9.2008


Bibliografi:

Mohd Azizuddin Mohd.Sani(2003),Globalisasi Hak Asasi Manusia: Debat Aliran Universalisme dan Ralativisme ,dalam Lukman Z.Mohamad dan Azmi Abdul Manaf (2003),Globalisasi Di Malaysia, Kuala Lumpur,Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.,cetakan pertama.

Shaharom TM Sulaiman dan Salasiah Abd Wahab(2002),Keanehan dan Keunggulan Buku ,Kuala Lumpur,Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd,cetakan pertama.

Shaharom TM Sulaiman (2001), Realiti Dan Ilusi Kehidupan Maya Dalam Era Siber,Bt.Caves,Selangor, Mahzum Book Services,cetakan pertama.

Roosfa Hashim (Tanpa Tahun) , Mencari Jurnal Ilmiah Kita Di Internet, available at:
http://www.geocities.com/zek_my/news/ut20.html