ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

Saturday, November 19, 2011



Hasan Ali Yang Saya Kenal

Apakah prinsip 5 cinta yang bilangkali dijeritkan oleh Hassan Ali dihadapan penuntut yang membayar ratusan ringgit setiap orang untuk menghadiri "Summer Camp"nya seiring dengan semangat dan perjuangan beliau sendiri? Jawapan saya. Saya kurang yakin!!!



Terus kepada kepada fakta. Tiada bunga bahasa kerana itu lebih sesuai dititipkan buat manusia yang hadirnya tidak menambah, hilangnya tiada yang susut.

Pernah saya titipkan dalam lelaman saya - kerajaanrakyat.com yang telah digodam, Dr Hassan Ali, yang sekarang ini adalah seorang EXCO Kerajaan Negeri Selangor pernah dibayar lebih RM12,000 hanya untuk berceramah kurang daripada 2 jam di Mersing, Johor. Ini berlaku sekitar tahun 1994!!!. Nah, tu dia bayar lebih RM12,000 untuk berceramah tidak sampai 2 jam. Perbelanjaan ini tidak termasuk kos pengangkutan, penginapan dan makan minum yang semuanya dibiayai oleh pihak penganjur. Ceramah apa? Ceramah agama..!!!!

Saya bersama ayahanda saya (Allahyarham) dan beberapa rakan termasuk Abdul Latiff Ahmad (Datuk, Timbalan Menteri) terlibat secara langsung dalam program ini dan melihat bagaimana ilmu agama diperdagangkan!!!! Oleh siapa?. Oleh orang yang mendakwa dirinya seorang tokoh perjuang anak bangsa. Oleh seorang yang mendakwa dirinya telah mendisplinkan ribuan manusia melalui "Summer Camp"nya.

Tidak dinafikan kesinoniman manusia bernama Hassan Ali dengan "Summer Camp"nya di Hulu Langat. Ceramahnya gah dengan selinggan bahasa 'mat saleh'. Malahan bahasa 'mat saleh' lebih kerap tersembur daripada mulutnya jika dibandingkan dengan Nas Al Quran atau hadith Nabi.

Saya sempat berjumpa Dr. Hassan di Hulu Langat sebulan selepas kemenangannya dalam pru-12 lalu. Ceritanya (jika off politik}, tiada kisah lain selain WANG. WANG. WANG..!!! Itulah manusia Hassan Ali yang saya kenal.

Hati kecil ini selalu bermonolog, "Apakah sebenarnya tujuan Hassan Ali sertai PAS? Apakah ini landasan mudah untuk berniaga dakwah? Dakwah pun diperniagakan?"


kerajaanrakyat.blogspot.com

Sekarang ini musuh saya bukan lagi Azmin. Musuh saya ialah Anwar



Mantan Timbalan Presiden KEADILAN Syed Husin Ali menceritakan pengalaman politiknya menerusi bukunya “Memoir Perjuangan Politik” menceritakan babak-babak yang menyaksikan bekas ketua pemuda parti itu, Ezam Mohd Noor berpaling tadah.
Dalam bab yang dinamakannya, ‘Alasan Ezam keluar parti’ – ahli politik veteran itu berkata, Ezam pernah memberitahunya sebulan sebelum meletakkan jawatan bahawa beliau kesempitan wang dan malu kerana terpaksa bergantung kepada pendapatan isterinya.
“Doktor, sekarang ini saya tiada pekerjaan dan tidak ada sumber pendapatan. Pendapatan saya sebanyak US$3,000 sebulan di Indonesia sebagai pengarah sudah terhenti sejak syarikat itu tutup.”

“Sekarang saya terpaksa bergantung hanya kepada pendapatan isteri saja. Malulah, walaupun gajinya besar juga, kira-kira RM8,000. Saya kena cari peluang untuk mendapatkan satu dua jawatan pengarah. Ini boleh hanya jika ada bukti saya sudah meninggalkan parti,” tulisnya dalam buku itu.

Menurut Syed Husin pendedahan itu dibuat oleh Ezam selepas beliau meminta penjelasan berhubung khabar angin bahawa Ketua Angkatan Muda KEADILAN itu telah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada setiausaha KEADILAN Selangor.
“Doktor. Saya berhenti. Sekarang ini musuh saya bukan lagi Azmin. Musuh saya ialah Anwar. Percayalah saya akan melakukan apa saja untuk memusnahkannya,” Ezam didakwa berkata.

Menceritakan reaksinya, Syed Husin berkata beliau tertanya-tanya jika Ezam yang sekarang ini telah dilantik sebagai senator oleh BN sudah berjaya “dibeli oleh pemimpin Umno”.

“Aku teringatkan surat daripada Hishammuddin Rais semasa beliau dalam tahanan dulu.
“Aku terperanjat besar. Aku masih tidak faham mengapa Ezam begitu berterus terang sekali,” tulis Syed Husin lagi.

Bagi pemimpin veteran itu, tindakan Ezam cukup mengecewakannya.
“Aku beranggapan beliau mempunyai potensi untuk memainkan peranan penting dalam parti. Bahkan terlintas juga dalam dalam fikiranku bahawa mungkin beliau boleh dipromosikan untuk menjadi salah seorang calon timbalan presiden pada masa akan datang,” katanya.

kerajaanrakyat.blogspot.com
Kontradiksi Najib dan Muhyiddin

(Oleh: Isham Rais)

LAPAN tuntuan Bersih masih menunggu jawapan. Satu demi satu bahan bukti tentang penyelewengan dipaparkan kepada umum. Satu demi satu penipuan dibuktikan kepada khalayak umum. Semua ini adalah hasil politik jalan raya. Inilah buktinya bahawa politik jalan raya berjaya membawa perubahan. Tunjuk perasaan 9 Julai 2011 dahulu adalah satu dialektika yang telah mengubah lanskap politik negara kita.

Dialektika ialah hukum semula jadi alam ini. Hukum alam ini lahir dari kontradiksi. Kontradiksi ini wujud di sekeliling kita. Semua wujudiah di hadapan mata kita ini wujud dengan kontradiksi. Hanya kita kurang sedar akan kewujudan kontradiksi ini. Ini kerana kontradiksi tidak dapat dipegang atau dilihat tetapi boleh dianalisa untuk difahami. Tidak memahami kontradiksi bermakna tidak memahami bagaimana dunia dan alam ini bergerak.

Apabila dua perkara berkontradiksi/bertentangan maka akan muncul satu pekara yang baru. Pertentangan dua pekara ini pasti akan melahirkan satu yang baru. Apabila air dimasak – api berkontradiksi dengan air – maka wap akan lahir. Wap adalah pekara yang baru yang dimaksudkan itu. Apabila orang ramai turun ke jalan raya maka berlaku pertentangan antara para demonstran di jalan raya dengan elit politik yang berkuasa. Tidak dapat tidak akan lahir sesuatu yang baru.

Hukum ini lahir semenjak alam bermula. Kita sebagai makhluk yang berfikir boleh menggunakan akal dan fikrah untuk memahami hukum-hukum dan kontradiksi ini. Mengenal dialektik dan kontradiksi amat penting untuk memahami politik negara. Tanpa pemahaman kosep dan falsafah kontradiksi ini maka semua pemahaman politik akan salah. Ini sama juga seperti menganalisa politik tanpa memahami kelas.

Apa sangkut paut dialektik dan kontradiski dengan 8 tuntutan Bersih? Jawabnya – tunjuk perasaan Bersih 2.0 telah menajamkan pelbagai kontradisksi-kontradiksi kecil yang sedia wujud .

Sebelum berpanjangan biar saya terangkan di sini tentang peranan tunjuk perasaan. Adalah salah jika kita berpendapat bahawa tunjukan perasaan telah menjatuhkan Sukarno, Raja Iran, atau Mubarak di Mesir. Ini tidak betul. Tidak ada kerajaan jatuh kerana tunjukan perasaan. Ahmad Reza Pahlevi di Tehran jatuh bukan kerana tunjuk perasaan. Mubarak di Kaherah jatuh bukan kerana tunjuk perasaan. First Lady Leila Trebelsi bersama Ben Ali lari dengan 1 tan jongkong emas ke Saudi Arabia bukan kerana tunjuk perasaan.

Kalau bukan kerana tunjuk perasaan kerana apa rejim-rejim ini runtuh? Tunjuk perasaan itu hanyalah alat politik yang paling ampuh untuk melahir satu kontradiksi di kalangan elit pemerintah. Untuk memahami ini mari kita lihat apa yang terjadi sebelum, ketika dan sesudah 9 Julai yang lalu. Dengan melihat dan memahami 9 Julai, diharapkan para pembaca akan dapat memahami apa itu kontradiksi dan apa itu dailektika.

Apabila orang ramai mula turun ke jalan raya, apa yang berlalu ialah kontradiksi bertambah tajam. Ertinya berlaku pertentangan antara dua pihak – rakyat dengan United Malay National Organisation – semakin tajam. Suasana ini adalah dialektika yang baik dalam perjuangan politik.

Pada 9 Julai lalu, Najib Razak yang mewakili United Malay National Organisation kini berhadapan dengan ujian dan dugaan dari rakyat. Umum mengetahui bahawa Najib menjadi Presiden United Malay National Organisation bukan melalui pertandingan. Najib tidak pernah bertempur dalam politik. Najib menyelit-nyelit dan menyeludup ke kerusi Presiden parti. Ini di ketahui umum. Malah Najib juga dianggap seorang yang penakut. Najib takut bertempur dalam politik. Ini ditambah pula dengan riwayat Najib takut kepada bini. Dalam Malaysia ini, hanya orang mati dan bayi yang belum lahir saja yang tidak pernah mendengar Tok Perawi Politik bersurah-surah tentang Najib yang takut dengan bininya.

Justeru, tunjuk perasaan Bersih 9 Julai dahulu telah menterbaraikan kain lampin Najib. Dia bukan saja dilihat penakut malah dilihat tidak memiliki ketrampilan sebagai pemimpin. Najib telah berdolak dalik. Kalau Dolah Badawi dahulu selalu berdolak dalik dalam tidur. Ini boleh juga diampunkan kerana Dolah dianggap mengigau. Najib tidak tidur – matanya buntang berjaga. Tetapi Najib ini lebih manai dari Dolah. Orang Terengganu kata Najib ini klik klok. Orang Putih kata Najib ini flip-flop. Dalam dunia siber Najib ini dikatakan menjadi mangsa Kang Kang.

Najib yang lembik ini telah melahirkan dialektika politik yang baru di dalam United Malay National Organsiation. Kontradiksi-kontradiksi kecil di dalam parti ini menjadi besar dan bertambah tajam. Umum mengetahui tentang Muhyiddin Yassin yang memiliki cita-cita untuk duduk di kerusi Presiden parti. Ini bukan dongeng. Ini politik nyata. Politik jalan raya 9 Julai dahulu telah menajamkan lagi kontradiksi antara Najib dengan Muhyiddin.

Najib yang berdolak dalik telah menjadi bahan ketawa bukan hanya di kalangan warga Pakatan Rakyat malah penyokong Barisan Nasional juga turut sakit kepala kerana ketawa melihat Najib yang berdolak dalik. Kerana itu, sesudah 9 Julai selain dari manusia yang bernama Ambiga dan Mat Sabu – sosok yang paling gembira sekali ialah Muhyiddin Yassin. Ini kerana 9 Julai telah memperlekehkan kepimpinan Najib. Dalam congak politik Muhyiddin semuanya amat enteng. Apabila Najib lekeh maka yang unggul dan memiliki ketrampilan pastilah dirinya.

Kontradiksi di dalam United Malay National Organisation semakin meruncing. Perbalahan antara mereka sesama sendiri semakin dilihat jelas oleh umum. Najib sesudah 9 Julai kelihatan lebih terpinggir. Kontradiksi ini telah menjemput sosok-sosok yang telah diketepikan atau dinafikan projek oleh Najib menjadi berani untuk bersuara. Mereka mula berkumpul di bawah payung Muhyiddin. Semua ini tidak akan berlaku jika tidak ada politik jalan raya 9 Julai dahulu.

Malah Lebai Desas bin Haji Desus telah mula berkata bahawa ketika Najib Razak terbaring di hospital kerana sakit lutut satu delegasi dari kumpulan Yang Berhormat telah datang menemui Najib dan meminta Najib berundur. Ini hanya desas desus. Berita ini tidak ada kesahehan sehingga satu kenyataan dari Aziz Shamsuddin keluar. Sosok ini ialah bekas orang kuat dan kaki pukul Mahathir Muhamad. Aziz telah menafikan berita dari Lebai Desas bin Haji Desus. Di Malaysia ini – penafian ini telah membuktikan kesahehan berita.

Apa yang saya gambarkan di sini ialah politik jalan raya dan tunjuk perasaan telah melahirkan kontradiksi di kalangan elit politik. Lebih lama demonstrasi berlaku lebih tajam kontradiksi yang akan muncul di kalangan elit politik, elit ekonomi dan elit tentera. Apabila orang ramai semakin berani bersuara dan anak anak muda terus keluar ke jalan raya maka semua ini akan menjadi tekanan kepada elit politik. Tekanan ini menjadi kontradiski. Kontradiksi ini akan pecah apabila elit politik akan mula tuduh menuduh sesama sendiri.

Sesudah 9 Julai, kita lihat bagaimana Tengku Razaleigh, Khairy Jamaluddin dan Saifuddin Abdullah memiliki pandangan yang berbeza dari Najib. Kita juga lihat bagaimana Muhyiddin sendiri tidak berkata, apa-apa tentang Bersih. Tuduh menuduh ini semakin kalut apabila Hishamudin Hussein mengeluarkan kenyataan bahawa kuasa telah diberikan kepada pihak polis untuk menangani dengan cara polis. Hishamudin kemudian diikuti pula oleh sepupunya. Satu minggu sebelum 9 Julai kelihatan Malaysia telah menjadi negara anak bini dan sepupu.

Kontradiksi yang dibawa oleh tunjuk perasaan 9 Julai semakin tajam. Anak-anak muda dari semua bangsa telah tidak ambil pot dengan kenyataan Ketua Polis Negara. Anak-anak muda juga tidak ambil pusing dengan kenyataan sepupu Najib, Menteri Dalam Negeri. Kenyataan dari Najib sendiri memang tak ada sesipa yang ambil peduli. Hanya Rosmah Mansor sahaja yang tidak bersuara. Mungkin sang Rosmah sedang sibuk menjual nasi lemak untuk menyimpan duit agar dapat membeli sebentuk lagi cicin berlian.

Kontradiksi/pertentangan antara Najib dengan Muhyiddin ini akan terus menajam. Untuk memperkuatkan diri Najib telah cuba memperbaiki imejnya. Najib telah mencadangkan penubuhan satu Jawatan Kuasa Parlimen untuk memperbaiki sistem pilihan raya. Pada awalnya langkah Najib ini dilihat cukup positif. Tetapi seperti biasa Najib telah klik klok – berdolak dalik. Najib berkata, jawatankuasa ini tidak ada sangkut paut dengan pilihan raya yang boleh diadakan bila-bila masa sahaja. Kelihatan apa sahaja yang dilakukan oleh Najib telah membawa ‘sial’ kepada dirinya sendiri.

Najib mahu mengadakan pilihan raya secepat mungkin. Lebih lama pilihan raya ditangguhkan lebih bogel dirinya untuk dilihat lembik dan tidak berkualiti sebagai pemimpin. Lebih lama pilihan raya ditangguh akan lebih berani dan lebih tersusun pasukan anti-Najib begerak dalam United Malay National Organisation sendiri. Dengan mengadakan pilihan raya yang cepat Najib bercongak dia dapat memilih calon yang akan setia pada dirinya. Dalam masa yang sama, Najib berpeluang mengenepikan calon-calon yang berkemungkinan menyokong Muhyiddin Yassin. Ertinya ‘orang-orang Muhyiddin’ akan dibungkus timbang kati pada pilihan raya ini. Ini politik nyata.

Dalam politik seperti dalam kehidupan harian – kita boleh merancang tetapi Mahkamah di Perancis telah merancang lebih lama lagi. Kes pembelian kapal selam Scorpene akan dibuka di Paris pada bulan September ini. Ini bukan kontradiksi. Inilah Tok Tok Kai yang amat amat ditakuti Najib. Ketakutan Najib ini ialah kegembiraan untuk Muhyiddin. Kontradiksi antara Najib dan Muyiddin ini akan meletup bila-bila masa sahaja. Bila ini terjadi pasti akan lahir sesuatu yang baru.

Apakah benda baru yang akan lahir dari kontradiksi Najib/Muhyiddin ini? Apakah Najib akan diundurkan? Apakah Muhyiddin akan menjadi Presiden baru? Ketika ini saya tidak memiliki jawapan. Apa yang saya pasti ialah 8 tuntutan Bersih 2.0 tidak akan dipedulikan. Tetapi jika Najib tergelincir, saya ada satu kepastian. Yang pasti ialah Rosmah akan menjadi kurus dan slim – merana makan hati berulamkan jantung kerana bukan lagi First Lady.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=19970

Najib Mamat ‘poyo’ ingin dilihat ‘cool’


(Oleh: Isham Rais)

RAMAI politikus tidak tahu apa itu cool. Mak Cik Felda pun tak tahu apa itu cool. Malah ramai juga anak muda yang tidak tahu apa itu cool. Mereka yang tidak tahu apa itu cool tidak juga tahu apa itu skema dan apa itu poyo. Inilah masalah apabila telah menjadi poyo mereka tidak lagi cool.

Cool dan poyo adalah pengistilahan hari ini yang terkini. Cool dan poyo muncul dari lingo terkini – dari lingo anak muda. Tidak ada anak muda yang waras fikrah ingin dilihat poyo dan skema. Sayangnya bukan satu kerja enteng untuk dilihat cool. Kadang kala dalam percubaan untuk dilihat cool, ramai yang dilihat bangang. Mustahil seorang Siti Nurhaliza tahu siapa dia Holden Caulfeild atau apa itu Winnie the Pooh.

Berita terkini telah tersebar bahawa Najib sedang melanggan satu lagi syarikat iklan antarabangsa untuk memperlihatkan dirinya cool. Lawan cool ialah poyo. Ertinya Najib tidak mahu lagi dilihat sebagai Mamat Poyo. Sebenarnya tidak ada sesiapa ingin dilihat poyo. Mereka yang poyo biasanya hidup dengan tekanan jiwa yang amat sangat. Sayangnya ramai yang tidak sedar bahawa mereka itu adalah sosok poyo.

Untuk memahami pengisytilahan ini, saya akan cuba paparkan ciri-ciri cool dan apa itu poyo. Ini dengan harapan para pembaca sekalian akan memahami intipati cool dan poyo. Mungkin ada yang bertanya apakah cool dan poyo ini penting untuk difahami? Ini bukti utama: Sesiapa yang mengeluarkan soalan ini adalah seorang yang poyo.

Intipati cool dan poyo

Cool ini adalah gaya hidup. Cool juga adalah lenggok bahasa badan. Cool juga adalah fesyen pakaian. Cool juga ialah sikap terhadap kehidupan. Cool juga adalah cafe yang dilawati, rokok yang dihisap, muzik yang didengar. Cool juga adalah buku yang dibaca. Cool wajib berupaya mengikuti mazhab falsafah al- Farabi dan Michel Foucault. Cool juga ialah tenang dengan gesekan biola Hamzah Dol Mat dan alunan suara Saloma.

Kenapa agaknya Najib seorang Mamat Poyo bersedia mengeluarkan berjuta-juta ringgit untuk dilihat cool? Adalah difahamkan syarikat yang dilanggani oleh Najib Poyo ini juga bertanggungjawab menjenamakan Tony Blair yang poyo untuk dilihat cool.

Jawabnya: Najib Poyo ingin memenangi hati dan sanubari anak-anak muda. Najib Poyo ini sedar bahawa suara dan tindakan anak-anak muda ini akan mengubah lanskap dan rupa bentuk politik Malaysia baru. Berjuta-juta ringgit ini hanyalah secawan kopi jika dibandingkan dengan harta negara yang boleh dirembat.

Hari terakhir Najib Poyo

Mari kita lihat latar belakang langkah yang diambil oleh Mat Poyo ini. Umum mengetahui bahawa Najib Poyo ini sedang menghadapi hari-hari akhir. Kumpulan-kumpulan yang menentang Najib dalam United Malay National Organisation bukan sahaja telah berkumpul dalam gelap malah mereka telah mula bersuara secara terbuka.

Kumpulan ini merasa tidak senang dengan pimpinan Najib Poyo ini. Mereka ini terdiri dari Pencari Kontrek, Penjual Kontrek, Orang Tengah Yang Makan Komisen, Kontrek Jungkies – mereka merasakan Najib ini banyak berdolak dalik – kluk klek, kata orang Teranganu. Najib bercakap berbilion bilion tapi tak ada satu sen pun yang masuk ke saku mereka. Ada juga yang merasa diri mereka telah dipinggir. Ada pula yang merasa Najib bukan sahaja menutup karier politik mereka – lebih dari ini – Najib ingin membunuh mereka. Contoh terbaik ialah Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin.

Di belakang semua ini ialah Ibrahim Ali..opss maaf. Di belakang gerakan anti Najib ini ialah Mahathir Muhamad. Pasti pembaca akan bertanya – saheh ke maklumat ini? Orang yang bertanya ini adalah contoh terbaik orang yang poyo politik. Si Poyo Politik ini tidak memahami jalur dan pemikiran politik terkini. Mereka selalu meraban tak tentu hala dalam pemahaman politik.

Biar saya terangkan di sini: Mahathir melihat bahawa Najib ini tidak memiliki keterampilan pimpinan. Mengikut pandangan Mahathir ini amat bahaya. Bahaya ini akan membawa keruntuhan United Malay National Organisation – gerombolan politik yang ditubuhkan oleh Mahathir sendiri pada tahun 1988 dahulu. Keruntuhan United Malay National Organsiation ini akan membawa malapetaka yang besar terhadap para kroni dan kaum pemodal yang telah ditelurkan oleh Mahathir.

Buktinya: telah lebih dari tiga kali Mahathir secara terbuka menerangkan kepada umum bahawa ada kekeliruan terhadap dasar 1Malaysia yang dianjurkan oleh Najib Poyo. Kenyataan Mahathir ini kalau kita halusi, jelas satu kenyatan kurang ajar. Ini samalah seperti Najib menolak konsep Wawasan 2020 atau memperlekeh secara terbuka Islam Hadhari.

Yang kita dengar kenyataan Mahathir secara terbuka. Dari Haji Desas bin Lebai Desus kita juga ada mendengar bagaimana dalam perjumpaan tertutup Mahathir telah ‘menibai’ Najib seolah-olah Najib ini panddy kutty.

Jadi, Najib pada ketika ini bukan sahaja nyawa-nyawa ikan, malah sedang dikepung oleh ahli-ahli parti United Malay National Organisation sendiri. Perangkap-perangkap sedang dipasang untuk menjerut leher Najib. Bila-bila masa perangkap ini akan bingkas menjerut Najib.

Raih sokongan pengundi muda

Tok Kipas dan Tok Bodek yang mengelilingi Najib menyedari kebencian orang ramai terhadap si Poyo ini. Najib Poyo melihat anak-anak muda akan dapat menyelamatkan dirinya. Najib Poyo telah diberitahu bahawa ramai pengundi baru – anak-anak muda – kelihatan berkiblat kepada Pakatan Rakyat. Anak-anak muda melihat Pakatan Rakyat sebagai pentabiran yang boleh diyakini. Justeru Najib Poyo memerlukan jenama yang baru. Najib yang poyo mahu dilihat cool oleh pengundi muda.

Maka Najib Poyo atas nasihat Zionis Apco secara berahsia dari Kabinetnya telah merancang untuk mengeluarkan kenyataan bahawa Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) akan dimansuhkan. Sila baca sekali lagi. Akan dimansuhkan. Kunci perkataan di sini ialah AKAN. ISA hanya AKAN dimansuhkan jika Najib dapat terus berkuasa.

Kenapa ISA tidak undang-undang lain? Ini kerana menentang ISA adalah trend anak-anak muda yang cool hari ini. Anak-anak muda yang mula mendampingi aktiviti NGO atau politik tidak dapat tidak akan menentang ISA. Menentang ISA adalah langkah yang paling cool.

Muka cool atau penipu?

Najib Poyo mahu anak-anak muda melihat dirinya demokratik. Najib ke pesta futsal. Najib ke konsert rock. Najib ke stesen radio. Niat untuk dilihat cool ini bukan satu kesalahan jenayah tetapi untuk Najib diterima sebagai warga cool adalah mustahil.

Lihat sahaja muka Najib. Apakah muka ini cool atau muka penipu? Dalam budaya cool, gerak dan bahasa badan cukup penting. Najib tidak memiliki gerak badan yang cool. Ini kerana Najib seperti ramai politikus – berperut gendut. Perut gendut ini dihodohkan lagi dengan kepala yang botak.

Najib yang botak adalah imej yang paling tidak cool. Botak bukan anti-cool kerana ahli falsafah yang terunggul di Paris, Michel Foucault juga botak. Micheal Foucault dilihat cool dengan botaknya. Ini kerana Foucault seorang pemikir, maka rambutnya gugur walhal Najib kaki kelentong dan tidak pernah mengeluarkan idea dan pandangan. Jauh sekali menulis sebuah buku. Cool bukan anti yang botak. Yul Brynner juga botak tapi dilihat cool sebagai pemimpin kaum Gipsi. Najib botak kerana dia poyo.

Najib Poyo bekerja keras untuk dilihat cool. Mamat Poyo ini ada facebook, ada tweeter, ada laman – sayangnya Mamat Poyo ini masih lagi dilihat poyo dan skema. Di sini Zionis Apco dan syarikat iklan yang dilanggan Najib kantoi. Meraka boleh berusaha tetapi mereka akan gagal. Kenapa gagal?

Di Malaysia seperti di Paris, London dan Carlifornia pada tahun 60’an dahulu – untuk dilihat cool wajib berambut panjang. Tidak cukup hanya dengan berambut panjang dan menghisap ganja tetapi wajib ke jalan raya menentang Perang Vietnam. Lihat kota Paris tahun 1968 – ini adalah era yang diangap cool hingga ke hari ini - bukan sahaja di Paris malah di seluruh Eropah. Anak muda dilihat cool jika mereka menentang kerajaan. Anak muda akan dilihat cool jika mereka berdemo di jalan raya.

Najib Poyo sepanjang hidupnya tidak pernah turun ke jalan raya berdemo. Najib Poyo sepanjang hidupnya tidak pernah bertempur dengan FRU. Fakta ini pasti tidak disedari oleh Zionis Apco dan syarikat iklan antarabangsa ini. Mereka berjaya melahirkan imej cool pada Tony Blair kerana Blair memiliki asas untuk dilihat cool - ketika di universiti, Tony Blair berambut panjang, menghisap ganja dan turun berdemo.

Lihat pula Presiden Sarkozy di Peranchis. Sarkozy ini sebenarnya seorang yang poyo tetapi Nicolas Sarkozy ini bijak. Dia merancang masa depan politiknya. Nicolas Sarkozy menceraikan isteri pertamanya untuk memerangkap Carla Bruni – seorang pelakon, penyanyi, model yang berhaluan kiri.

Najib yang poyo juga merancang masa depan politiknya. Najib menceraikan isteri pertamanya dari keluarga bangsawan yang cun, langsing, untuk berkahwin dengan Mak Janda yang gemuk, pendek dan gedebab. Kalau ini bukan Mamat Poyo, maka matahari tidak akan terbit dari sebelah Timur.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=20791
Tamadun Melayu dan PPSMI

(Oleh: Dr Anwar Ridhwan)

TERAS-teras jati diri kebangsaan Malaysia berpaksi kepada bahasa Melayu dan agama Islam (tanpa menafikan hak serta kepentingan bahasa dan kepercayaan lain).

Di dalam Perlembagaan Persekutuan, antara perkara yang disebut ialah Perkara 32(1) yang memaktubkan kedudukan Raja-raja Melayu; Perkara 152(1) tentang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi; dan Perkara 3(10) mengenai Islam sebagai agama Persekutuan.

Berhubung perkara yang menyentuh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, mereka yang berjiwa Melayu dan rakyat Malaysia yang terbuka minda untuk bergerak ke hadapan bersama-sama jati diri kebangsaannya, pastilah ingin melihat bahasa kebangsaan itu diperkasakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, termasuk sebagai bahasa ilmu pengetahuan.

Golongan yang tidak yakin bahawa bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu tinggi, lebih disebabkan kelemahan mereka menguasai bahasa Melayu, bukan kerana kelemahan bahasa Melayu. Dan semua pejuang bahasa kebangsaan bukanlah golongan fanatik, berpandangan jumud atau berusaha mengundurkan bangsanya ke belakang.

Pejuang-pejuang bahasa selalu memetik kebijakan Hang Tuah yang menguasai 12 bahasa, sebagai suatu unjuran profetik ‘pujangga penulis’ karya agung itu bahawa setiap bangsa akan menjadi lebih maju jika dapat menguasai lebih daripada satu bahasa. Akan tetapi walaupun menguasai pelbagai bahasa, setiap bangsa harus meletakkan bahasa kebangsaannya dimercunya yang tinggi, atau seperti sepotong puisi Sasterawan Negara Usman Awang, “manakan sama bahasa bunda.”

Jika menurut tiga kriteria yang dikenalpasti oleh Charles Ferguson, sesungguhnya bahasa Melayu sudah dianggap sebagai ‘bahasa maju.’

Tiga kriteria Charles Ferguson itu ialah (a) bahasa itu sudah mempunyai sistem tulisan. Dalam hubungan ini bahasa Melayu telah mempunyai sistem tulisannya sendiri – sama ada dalam jawi atau pun rumi; (b) Bahasa itu sudah mempunyai suatu ragam atau bentuk yang mengatasi segala dialek bahasa itu. Bahasa Melayu jelas mengatasi segala dialek, kerana di Malaysia dialek tidak mempunyai penerbitan bakunya; dan (c) Bahasa itu sudah mampu digunakan sebagai alat untuk mengungkapkan ilmu dan pemikiran moden.

Ini jelas terbukti dengan penerbitan pelbagai buku dalam bidang dan subbidang ilmu pengetahuan dalam bahasa Melayu, sejak kurun ke-12 Masihi lagi, dan memasuki era ‘moden’nya sejak sebelum merdeka lagi hingga memuncak mutakhir ini.

Tradisi ilmu dalam bahasa Melayu telah berkembang, termasuk di IPTA, umpamanya di UKM sejak awal tahun 1970-an. Tokoh ilmuwan Selangor 2011, Dr Shahril Mohamad Zain (mantan profesor fizik dan matematik di UKM) pernah membentangkan fakta bahawa UKM telah menghasilkan lebih 450 tesis PhD dan lebih 2,000 tesis Sarjana (MA & M.Sc.) dalam bidang sains dan pelbagai bidang lain, yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Ini membuktikan bahawa bahasa Melayu boleh menjadi bahasa pengantar untuk pelbagai bidang ilmu pengetahuan moden di IPT, dan memanfaatkan penguasaan bahasa asing sebagai pelengkap sebagaimana saranan profetik Hang Tuah.

Tamadun Melayu boleh diperkasakan jika terdapat ilmu-ilmu pengetahuan moden (termasuk Sains & Matematik) disampaikan dan ditulis dalam bahasa ini (Melayu).

Sehubungan itu, pelbagai pihak berasa terperanjat apabila baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran membayangkan pendirian kerajaan untuk membenarkan sekolah membuat pilihan sama ada meneruskan dasar PPSMI atau sebaliknya.

Pendirian tersebut amat berbeza semangatnya daripada pengumuman yang beliau lakukan tahun lepas, untuk memansuhkan PPSMI mulai 2012.

Sesuatu dasar kerajaan (termasuk untuk memansuhkan PPSMI mulai 2012, empat bulan dari sekarang) mestilah bersifat merata dan menyeluruh. Tidak boleh mana-mana kumpulan kecil dan serpihan untuk menebuk dasar itu di mana-mana, lalu menghidupkan dasar PPSMI semula.

Jika kumpulan kecil dan serpihan itu mewakili elit di bandar dan kota, yang kaya raya, maka mereka boleh menghantar putera puteri mereka ke sekolah swasta atau sekolah antarabangsa, dan jangan dibiarkan menebuk dasar pemansuhan PPSMI mulai 2012 menurut selera mereka.

Kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran pastilah telah menerima “Kajian Tahap Kompetensi Guru dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Menggunakan Bahasa Inggeris Serta Implikasinya Terhadap Pembangunan Modal Insan Murid” (2008, setebal 186 halaman tidak termasuk tiga lampiran) oleh Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA).

Kajian ini dengan jelas menunjukkan kompetensi guru yang boleh dipersoalkan, yang mengakibatkan kelemahan pembangunan modal insan murid khususnya di luar bandar, Felda dan sebagainya.

Prinsip ketamadunan kerajaan harus berpegang kepada kajian yang berwibawa, menyeluruh dan mendalam seperti dilakukan PEMBINA.

Sebarang polisi yang tidak didasari kajian akan goyah dalam tempoh yang pendek. Bagi pejuang bahasa Melayu dan mereka yang yakin akan kemampuan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu moden, dapatan PEMBINA adalah pendorong utama kepada ‘cadangan’ pemansuhan dasar PPSMI mulai 2012, dan dengan itu mereka tidak perlu lagi turun ke jalan raya untuk mendesak pemansuhan PPSMI.

Akan tetapi jika dasar PPSMI hidup semula selepas ditalqinkan, ia adalah zombie baru. Mamat Khalid pun tahu bagaimana cara untuk menewaskan zombie!

* Datuk Dr Anwar Ridhwan merupakan Sasterawan Negara ke-10. Anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen. Antara karyanya yang terkenal Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Naratif Ogonshoto. Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan dipetik dari laman Malaysiakini.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=20701