ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

Friday, June 10, 2011

Pimpinan baru PAS menggerunkan Umno

Oleh:Dr. Rosli Yaakop

Sebagai seorang ahli PAS seumur hidup, saya tidak mahu sesiapa pun memimpin PAS kecuali orang-orang yang bertaqwa. Apabila ulama (“berpendidikan aliran agama”) yang dipilih perwakilan memimpjn PAS, biarlah ulama itu ulama yang bertaqwa. Apabila insan bukan ulama (“bukan dari pendidikan aliran agama”) dipilih perwakilan memimpin PAS, biarlah insan itu insan yang bertaqkwa, Insha Allah.

Takdirnya, pada pemilihan pucuk pimpinan PAS kali ini, para perwakilan telah, buat kesekian kalinya, memilih insan yang bertaqwa untuk memimpin parti dalam tempoh dua tahun yang akan datang. Kali ini, insan yang bukan dari aliran pendidikan agama (tidak semestinya mereka ini bukan ulama) telah dinobatkan sebagai Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden. Mereka memiliki kelebihan – dua orang dari mereka pernah melalui proses pentarbiyyahan Kem Kemunting dan kesemuanya adalah aktivis parti yang paling ketara (visible), terserlah dan berwibawa yang telah menjelajah seluruh pelusuk negara. Lebih dari itu, mereka telah menyertai pilihan raya dan menang dan mereka juga adalah jaguh demonstrasi di jalan raya. Kalau keadaan memaksa rakyat untuk turun ke jalan raya seperti mana yang telah berlaku di Tunisia, Mesir dan beberapa buah lagi Negara Arab, saya rasa inilah orangnya yang akan berada di barisan hadapan.

Mereka adalah ahli PAS yang telah melalui proses pentarbiyyahan yang panjang, lalu mereka itu kenal dengan apa itu Islam dan perjuangan Islam. Dari segi ilmu Islam dan ketaqwaan yang dimiliki, mereka sebenarnya layak dipanggil ulama. Lidah mereka sentiasa basah dengan ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadith-hadith. Mereka kenal akan hukum hakam Islam. Di sana ada Majlis Syura Ulama yang memberi legitimasi kepada seluruh keputusan yang diambil parti. Sistem pembuatan keputusan yang wujud di dalam PAS memberi keanjalan yang luas bagi ahli-ahli memilih pemimpin. Sama ada yang dipilih itu “ulama” atau “bukan ulama,” legitimasi perjuangan PAS dan segala tindak tanduknya tetap bersumber dan berpaksikan Al-Qur’an, Sunnah, Qias dan Ijma Ulama. Harus diperhatikan bahawa kebanyakan gerakan Islam di dunia hari ini – dari Negara-negara Arab, Turki dan lran hinggalah ke Asia (India, Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Malaysia) – dipimpin oleh gabungan ulama dan profesional.

Satu kejayaan besar dari sistem pentarbiyyahan PAS ialah ia telah berjaya “mengulamakan” golongan profesional dan yang bukan dari aliran pendidikan Islam dan ia telah berjaya pula “memprofesionalkan” golongan ulama dan yang dari aliran pendidikan Islam. Sesungguhnya, insan yang ada nilai di sisi Allah hanyalah insan yang bertaqwa. Inilah dia intisari daripada sistem pentarbiyyahan PAS – untuk mewujudkan insan yang bertaqwa, Insha Allah. PAS adalah parti bagi orang bertaqwa yang sentiasa tunduk kepada perintah Allah SWT.

Di luar sana ramai insan yang berstatus ulama. Ada ramai ulama di dalam Biro Agama UMNO. Di Pusat Islam ada ramai ulama. Di Majlis Agama Islam negeri-negeri ada ramai ulama. Tetapi perjuangan mereka (harus ditekankan, tidak semua) itu berbeza dengan perjuangan para ulama yang berada di dalam PAS. Ulama dalam PAS, yang bertaraf pemimpin nasional mahu pun pemimpin negeri, kawasan dan cawangan atau ahli biasa, semuanya insan yang bertaqwa, Insha Allah. Kalau mereka tidak memiliki ketaqwaan yang tinggi, mana mungkin mereka berada di dalam sebuah jemaah Islamiah seperti PAS. Mana-mana jemaah yang perjuangannya bermatlamat menegakkan Al-Qur’an dan Sunnah, Qias dan Ijma Ulama sebagai perlembagaan dan undang-undang bagi ummah, maka itulah dia jemaah Islamiah dan sesiapa sahaja yang berada dan berjuang di dalam jemaah Islamiah, maka mereka adalah orang-orang bertaqwa, Insha Allah. Di dalam bahtera PAS hari ini terhimpun orang-orang bertaqwa dari setiap lapisan dan golongan masyarakat yang pada kalbu mereka sentiasa bersemarak kalimah “Lailaha Ilallah Muhammadur Rasulallah.” Yang lebih menggerunkan musuh ialah sudah wujud pula golongan orang bukan Islam yang merestui perjuangan PAS dan mahu bersama-sama untuk melangsungkan perjuangan.

Umno bukan satu jemaah Islamiah. Ianya jemaah kovensional yang dasarnya “agama suku dan politik suku.” Pemimpin-pemimpinya selalu melaungkan kata-kata ”jangan campur-adukan agama dan politik.” Pemimpin UMNO tidak pernah tahu bahawa berpolitik itu adalah cara hidup para nabi. UMNO, kerana dasarnya konvensional, cukup serasi dengan pendekatan “matalamat menghalalkan cara.” UMNO menggunakan fitnah seks untuk menjatuhkan lawan. Ia memainkan isu perkauman supaya bila tercetus rusuhan kaum seperti “Peristiwa 13 Mei,” maka bolehlah ia terus berkuasa. Dalam tempoh lebih daripada 50 tahun UMNO berkuasa ia telah merosakkan lembaga-lembaga utama di dalam masyarakat dan Negara seperti badan kehakiman, polis, tentera, badan pencegah rasuah, suruhanjaya pilihan raya dan sistem pendidikan Negara. UMNO gagal mengagihkan kekayaan Negara secara adil. Kebokrokan ini berlaku kerana ulama yang ada di dalam UMNO semuanya bisu. Mereka melihat kemungkaran dilakukan oleh pemimpin-pemimpin mereka tetapi mereka tidak berani melarang. Malah, mereka tergamak pula mencipta hujjah dan hukum untuk memberi legitimasi kepada kemungkaran yang dilakukan.

Dengan menobatkan Mohamad Sabu, YB Salahuddin Ayub, YB Husam Musa dan YB Mahfudz Omar ke barisan kedua dan ketiga di dalam hiraki kepimpinan PAS, bermakna para perwakilan terus memperkasakan gabungan kepimpinan ulama dan profesional di dalam parti. Sekali gus, para perwakilan menghantar isyarat-isyarat berikut kepada UMNO-BN:

Revolusi rakyat yang dipimpin oleh gabungan ulama dan profesional telah berjaya menumbangkan dua orang diktator paling liat dan “notorious” dalam zaman moden ini, iaitu,El Zine Abidine Ben Ali (Tunisia) dan Hosni Mubarak (Mesir), maka dengan memperkasakan gabungan pimpinan ulama dan profesional di dalam PAS, adalah diharapkan akan tercetus pula revolusi rakyat Malaysia yang kelak berkemampuan menumbangkan kerajaan zalim UMNO-BN dalam pilihan raya ke 13 ini.

Personaliti yang dipilih memang terkenal sebagai “great mobilizer of people” (penggerak orang ramai yang berwibawa).” Mereka telah membuktikan kemampuan memobilisasikan puluhan malah ratusan ribu manusia untuk turun ke jalan raya memprotes kezaliman. Jika UMNO-BN mahu terus menodai sistem pilihan raya pada pilihan raya ke 13 ini, maka jangan dipersalahkan Mohamad Sabu, YB Salahuddin Ayub, YB Husam Musa dan YB Mahfudz Omar, jika sekiranya rakyat turun ke jalan raya memprotes pilihan raya yang tidak adil.

Dengan menambahkan golongan profesional di dalam hiraki kepimpinan PAS, pengundi bukan Melayu melihat bahawa PAS menjadi sebuah parti yang semakin mesra rakyat bukan Melayu. Pengundi-pungundi bukan Melayu, khasnya orang Cina dan India, telah lama menyuarakan bahawa mereka ingin melihat lebih ramai profesional menjadi pemimpin PAS kerana mereka berkeyakinan kejayaan pengurusan ekonomi Negara menuntut kehadiran golongan profesional yang bersih, berintegriti, bijaksana dan berilmu tinggi. Ulama memandu dan golongan profesional melaksana. Para perwakilan melihat bahawa jalan yang selesa untuk memenangi dan menambat hati orang bukan Melayu supaya bersama dengan PAS ialah dengan melakanakan apa jua perkara baik dan bermanfaat untuk semua yang mereka suarakan.

Pemerkasaan gabungan pimpinan ulama dan profesional di dalam PAS menghantar angin dingin ke dalam sum-sum UMNO. Ia menambahkan lagi kegerunan mereka untuk berdepan dengan Pakatan Rakyat di dalam pilihan raya ke 13 yang akan berlangsung bila-bila masa selepas Muktamar PAS ke 57 ini. Tahniah kepada semua calon yang menang. Kepada yang kalah jangan pula berbalasungkawa kerana ruang perjuangan itu amat luas.

harakahdaily.net