ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Saturday, September 26, 2009

NOORDIN MAT TOP DISAHKAN TERBUNUH

Noordin Mat Top disahkan terbunuh

JAKARTA - Ketua Polis Indonesia, Bambang Hendarso Danuri mengesahkan pengganas paling dikehendaki di negara ini, Noordin Mat Top mati ditembak dalam operasi polis di Solo, Jawa Tengah, awal pagi semalam.

Beliau berkata, polis mengesahkan lelaki itu ialah Noordin berdasarkan cap jari dan 14 lagi tanda dan ciri-ciri yang dikenali di badan lelaki yang berasal dari Malaysia itu.

“Alhamdulillah, dengan kebesaran Allah SWT dan berkat di akhir bulan Ramadan ini, dia adalah Noordin Mat Top,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan.

Menurutnya, polis terutama pasukan khas antipengganas Densus 88 bekerja keras selama sembilan tahun untuk mengesan dan memburu jejak Noordin.

"Akhirnya pada awal pagi ini dalam operasi di Solo polis berhasil membunuh Noordin dan tiga pengganas lain," katanya.

Bambang berkata, polis turut menjumpai 200 kilogram bahan letupan yang sedia untuk digunakan di dalam rumah yang diserang hendap itu.

Selain itu, polis juga menemui senjata M-16 yang lengkap berisi peluru, selain komputer riba dan pelbagai dokumen, katanya.


sinarharian.com.my
26.9.2009

OBAMA BATALKAN SISTEM PERTAHANAN ERA BUSH

Obama batalkan sistem pertahanan era Bush

WASHINGTON - Pentadbiran Rumah Putih akan menghentikan rancangan untuk memajukan sistem pertahanan peluru berpandu di Poland dan Republik Czech.

Laporan Wall Street Journal menyatakan rancangan kontroversi itu dibatalkan kerana program peluru berpandu jarak jauh Iran kurang bahaya berbanding yang diramalkan oleh pentadbiran bekas Presiden George W Bush.

Presiden Barack Obama mengarahkan supaya sistem pertahanan yang diperkenalkan oleh Bush dikaji semula.

Sistem itu dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2012.

Ia pada asalnya dibangunkan untuk melindungi sekutu AS di Eropah daripada ancaman peluru berpandu Iran atau negara lain.

Rancangan pembinaan sistem pertahanan peluru berpandu itu turut mencetuskan kemarahan Rusia.

sinarharian.com.my
26.09.2009

Thursday, September 24, 2009

ISLAM BUKAN TERORRISME

ISLAM BUKAN TERORRISME


Sejak peristiwa 9/11 yang menimpa WTC di Amerika, sudah acapkali benar Islam dilemparkan dengan tuduhan agama pengganas atau penaja keganasan. Inilah yang ditaja dan dijaja ke sana ke mari oleh Amerika dan sekutunya yang sememangnya memusuhi Islam sejak azali lagi. Membaca tulisan Siti Suriani Othman, penulis tidak terkejut tentang apa yang dipaparkannya dalam Berita Harian, 22.9.2009. Sebagai seorang kolumnis beliau berhak menulis apa sahaja pengalaman yang dilaluinya.

2.Sewaktu beliau menghadiri persidangan kewartawanan di Cardiff, United Kingdom beliau merasa dianaktirikan kerana beliau seorang Islam. Perbuatan BBC yang memburuk-burukkan Islam ketika persidangan berlangsung mempengaruhi minda peserta persidangan. Tetapi untuk mengatakan orang Britain dan lain-lain peserta tidak faham Islam sehingga begitu rupa tentunya agak menghairankan. Apakah orang Islam berpuasa sebulan tanpa makan dan minum? Ini kelihatan satu tanggapan yang amat keterlaluan. Apakah seseorang itu masih hidup jika dia tidak makan dan minum selama sebulan? Tentunya persoalan seperti ini bercanggah dengan logika hidup itu sendiri. Dalam zaman globalisasi ini, segala maklumat berada di hujung jari, maka hampir mustahil pemahaman yang begitu dangkal terhadap Islam berlaku sedemikian rupa.

3. Katanya lagi, hujah seorang ahli panel mengapa tidak ada sarjana Islam bangkit menerangkan ajaran Islam sebenar ketika dunia sedang menyalahkan Islam dan mengaitkannya dengan keganasan. Namun seorang kawannya memuji sahabatnya yang beragama Islam jauh lebih baik dari kawan baiknya yang bukan Islam. Kenyataan ini membuktikan Islam adalah agama yang baik dan adil, yang sesuai untuk semua orang, kerana ia diturunkan untuk seluruh alam ini.

4. Namun mengapa Islam dikaitkan dengan keganasan? Adakah orang-orang Islam sengaja mengganas? Tentunya hal ini bukanlah sesuatu yang luar biasa bila kita melihat di seluruh dunia nasib yang menimpa umat ini. Mengapa Afghanistan dileburkan sedemikian rupa sehingga tiada lagi keamanan dan jaminan untuk hidup? Mengapakah Iraq dihancurkan dan Saddam Hussein dibunuh dan digantikan dengan boneka Amerika? Apakah yang sedang dihadapi oleh MILF di Selatan Filipina? Apa yang sedang berlaku di Somalia dan Selatan Thailand? Dan yang lebih penting, menurut pendapat sebahagian ulama Islam, apa yang berlaku di Pelastin menimbulkan kemarahan yang tidak sedikit di kalangan umat Islam, di mana di situlah kewajiban sembahyang lima waktu diterima, berlakunya Isra' Mikraj, tempat letaknya kiblat umat Islam yang pertama, Masjidil Aqsa yang diberkati dan sebagainya. Selagi isu Pelastin tidak ditangani dengan saksama oleh masyarakat dunia, selagi itulah sebahagian umat Islam yang tidak dapat menahan perasaannya melepaskan geramnya kepada dunia Barat dengan berbagai cara. Pihak Barat tidak harus menyalahkan Islam itu sendiri, sedangkan merekalah yang mencetuskan sebabnya mengapa sebahagian umat melakukan sesuatu yang berada di luar jangkauan rasional.

5. Dengan begitu tidak wajar Islam diletakkan dalam kandang orang salah, sedangkan orang yang bersalah sebenarnya terlepas bebas melakukan keganasan lalu dituduh Islam yang diikat tangan dan kakinya melakukan keganasan? Di manakah logiknya perkara seperti itu. Bahkan oarang yang melihatnya sendiri mengeleng-ngelengkan kepala sambil menepuk dahi dan bertanya siapakah sebenarnya yang bersalah dalam soal ini? Satu kajian mendalam harus dilakukan mengapa berlakunya keganasan khasnya di pihak Barat agar perkara yang sebenarnya terlihat dengan jelas dan tidak hanya menuduh Islam adalah agama pengganas, atau terorrisme. Sejarah telah membuktikan bahawa tiada sistem dan kepercayaan yang lebih adil selain dari Islam sejak zaman Madinah hinggalah ke zaman Khilafah Othmaniah. Siapakah yang bertanggungjawab meruntuhkan Khilafah Othmaniah jika tidak talibarut Barat sendiri? Oleh itu janganlah menuduh melulu sambil menjerit mengatakan bahawa Islam adalah agama terorrisme!


AlKundangi,
22.9.2009.

Tuesday, September 22, 2009

HUBUNGAN ANTARA PENDIRIAN DAN TINGKAH LAKU

HUBUNGAN ANTARA PENDIRIAN DAN TINGKAHLAKU



Manusia menghadapi berbagai permasalahan dalam kehidupannya, tetapi ia tidak dapat menguasai permasalahan tersebut dengan baik kecuali setelah ia membuat sauatu pendirian terhadap tabiat atau keadaan sebenar permasalahan itu dan hubungan dengannya. Samada benar atau salah, suatu pendirian mesti dibuat terhadap suatu permasalahan. Selagi pendirian ini belum dibuat, tidak ada seorang manusia pun boleh membuat keputusan tentang tindaklaku yang patut ia ambil terhadapnya. Ini adalah satu pengalaman yang telah menjadi sebahagian dari hidup kita. Apabila kita bertemu dengan seseorang kita perlu mengetahui siapakah dia? Apakah status dan kedudukannya dalam kehidupan? Apakah ciri-ciri pribadinya? Apakah bentuk perhubungan dia dengan kita? Kita tidak dapat tentukan bagaimana bentuk perhubungan dengan orang itu tanpa sebarang maklumat berhubung dengan persoalan-persoalan tadi.

Walaubagaimana pun kita perlu membuat satu pendirian berlandaskan apa yang kelihatan, dan apa juga tindakan yang kita ambil terhadapnya dibatasi serta ditentukan oleh pendirian yang telah dibuat. Kita makan benda-benda menurut anggapan atau pengetahuan bahawa ianya mengandungi nilai makanan. Benda-benda yang kita buang atau gunakan, benda-benda yang kita pelihara, suka atau benci, atau benda-benda yang kita takuti atau sayangi, sikap dan pendirian kita terhadap benda-benda tadi ditentukan oleh pendirian yang telah kita buat tentang keadaan semulajadinya, keistimewaannya, dan hubungan kita dengan perkara-perkara tersebut.

Samada sesuai atau tidak, tingkahlaku kita terhadap perkara-perkara tadi, bergantung kepada benar atau salahnya pendirian kita terhadap perkara-perkara tersebut. Betul atau salah, bergantung kepada pendirian yang telah kita buat terhadap perkara-perkara tersebut. Sah atau salahnya bergantung kepada pendirian kita berdasarkan pengetahuan, tekaan, sangkaan atau melalui tinjauan pancaindera kita. Sebagai contoh, seorang anak kecil melihat api dan melalui tinjauan pancainderanya membuat suatu tanggapan bahawa ianya suatu mainan cantik dan berkilauan. Tanggapan ini seterusnya mendorong kepada tindakan menghulurkan tangan untuk menyentuh api itu.

Seorang laki-laki lain melihat api yang sama dan melalui tanggapan atau sangkaannya, ia memiliki sangkaan bahawa api itu memiliki suatu sifat ketuhanan atau sekurang-kurangnya suatu simbol ketuhanan. Berdasarkan kepada kesimpulan ini, ia membuat ketetapan menundukkan kepala menyembah api itu, sebagai tanda perhubungannya dengan api itu. Seorang lelaki lain melalui tanggapan dan sangkaannya mula mengkaji keadaan semulajadi api itu serta sifat-sifatnya. Melalui pengetahuan serta kajian ia sampai kepada kesimpulan bahawa api itu boleh memasak, membakar serta memanaskan benda-benda. Seterusnya ia membuat tanggapan bahawa perhubungannya dengan api itu adalah laksana tuan dan hambanya. Api, menurut tanggapannya bukanlah suatu yang bersifat ketuhanan atau mainan. Malahan ia suatu benda yang boleh digunakan untuk tujuan memasak, membakar dan memanaskan bila-bila masa ia diperlukan.

Kalau dibandingkan ketiga-tiga sikap yang berbeza itu, jelaslah bahawa sikap kanak-kanak dan penyembah api itu adalah berdasarkan kepada kejahilan mereka berdua. Pengalaman menidakkan kanak-kanak itu bahawa api itu bukanlah benda mainan. Tanggapan si penyembah api pula bahawa api itu adalah Tuhan atau simbol ketuhanan adalah berdasarkan kepada sangkaan atau tekaan semata-mata dan bukan atas dasar bukti ilmu pengetahuan sebenar. Sebaliknya sikap laki-laki yang seorang lagi yang menganggap api sebagai satu agen yang berguna untuk manusia yang jauh berbeza dari kedua-dua tanggapan yang lain itu, adalah satu sikap saintifik kerana ia berdasarkan kepada ilmu pengetahuan. Dua tanggapan awal adalah bersifat jahiliah, dan tanggapan yang terakhir adalah berdasarkan kepada ilmu. Inilah perbezaan yang jelas di antara orang yang bersikap jahiliah dan orang yang berasaskan kepada pengetahuan.


Syed Abul 'Ala AlMaududi,
suntingan bebas oleh:
AlKundangi,
dari Kitab: AlIslam Wal Jahiliyyah.
22.9.2009.

Sunday, September 20, 2009

PERUTUSAN HARI RAYA DARI PEMILIK BLOG

AlKundangi dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat di mana sahaja berada istimewa kepada pengunjung-pengunjung laman ini. Ramadhan telah pun pergi dan kita seharusnya berasa hiba dengan pemergiannya. Belum tentu pada Ramadhan akan datang kita akan bertemu semula. Dan begitulah sikap muslim muslimat sejati. Bergembira ketika menyambut kedatangan Ramadhan dan bersedih ketika pemergiannya.

Banyak isu yang sedang berbangkit beberapa hari kebelakangan ini yang tidak sempat saya buat ulasan, seperti kematian Nordin Mat Top, isu PKFZ, isu MIC dan yang bakal kita hadapi PRK Bagan Pinang.Semoga kita sama bekerja untuk memenangkan calon Pakatan Rakyat di Bagan Pinang. Kita sudah jemu dengan pemerintahan satu parti sahaja, iaitu UMNO-BN yang semakin sehari semakin berleluasa menghabiskan wang rakyat untuk kepentingan diri dan kroni. Contoh terbaru adalah pembelian bas oleh sebuah syarikat kroni Datin Rosmah, untuk kegunaan pelatih-pelatih PLKN yang melibatkan jutaan ringgit, 100% lebih mahal dari harga biasa. Semuanya ini perlu ditangani oleh rakyat marhaen dengan menggunakan paltform demokrasi yang ada walau pun agak terbatas.

Itu semua termsuk jihad kita dalam usaha menegakkan keadilan dan kesaksamaan di negara ini, dan rakyat miskin terbela, yang kaya harus membantu yang miskin, tidak mengamalkan hidup individualistik. Di zaman Nabi, jika diminta sumbangan untuk Islam, para sahabat menyerahkan harta dan jiwa raganya untuk memperkembangkan dan menegakkan keadilan Islam di bumi Allah ini. Tetapi di zaman kita ini kejadian sebaliknya berlaku. Semuanya ini meminta perhatian kita supaya diperbetulkan sesuai dengan umat terbaik (ummatan wasathon) yang menjadi saksi bagi sekelian manusia di atas muka bumi ini.

Tugas kita masih jauh, dan tidak pernah selesai. Pembantaian umat Islam di Afghanistan, Iraq, Somalia, Palestin dan sebagainya perlukan pembelaan. Di zaman Saidina Omar ra, seorang kaum muslimat terselak kainnya oleh puak kuffar, Omar ra menghantar satu ketumbukan tentera demi menjaga maruah Islam dari tercabar dan dicabar. Demikian jiwa Islam menyelinap dalam tubuh para sahabat. Kita harus mengambil iktibar dari perkara ini. Islam harus memerintah, dan bukan diperintah. Semoga jihad kita yang tidak seberapa ini diterima Allah dan diampunkan segala dosa kita serta ditempatkan kita di kalangan orang-orang beriman.

Sekian, Selamat Hari Raya bagi tahun 1430H dan maaf di atas segala salah dan silap,terkasar bahasa atau keterlaluan cara. Terima Kasih.

AlKundangi,
1 Syawal 1430,
20 September,2009.