ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Saturday, August 22, 2009

SURAT-SURAT MARYAM JAMEELAH DAN SYED ABUL 'ALA ALMAUDUDI

SURAT-SURAT MARYAM JAMEELAH DAN ABUL 'ALA ALMAUDUDI


Untuk mempelbagaikan blog ini, penulis bercadang untuk menyiarkan himpunan surat-surat di antara Al Alimah Puan Maryam Jameelah dan Al-Allamah Syed Abul 'Ala AlMaududi, dua orang tokoh pemikir Islam yang tidak asing lagi di dunia Islam. Surat-surat itu dikumpul oleh Puan Maryam sendiri sebagai kenangan abadinya. Himpunan surat-surat ini mencakup berbagai persoalan dalam dunia Islam termasuk masalah-masalah pokok dan masalah-masalah cabang. Dari surat-surat yang cemerlang itu terpancar garis-garis besar dunia Islam yang realistik dan dinamik. Buku ini diterjemahkan oleh Almahrum Dr. Yusoff Zaki Yaakob, pemilik dan penerbit Pustaka Dian,Kota Bharu, Kelantan yang popular suatu masa dahulu.


Mungkin sebahagian generasi kita sudah membaca tulisan-tulisan ini, dan saya kira generasi muda agak ketinggalan menikmatinya kerana zamannya sudah berlalu, namun isinya masih relevan sehingga kini. Untuk mereka ditujukan tulisan ini.

PRAKATA


Tidak lama selepas saya melakukan pengkajian yang tekun dan panjang masanya terhadap penulisan-penulisan Islamiah yang wujud dalam terjemahan Inggeris dengan tujuan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat-maklumat first-hand tentang apakah ertinya secara pribadi, menjadi seorang Muslim, juga untuk mendapat pandangan-pandangan yang terperinci mengenai peristiwa-peristiwa semasa yang berlaku di negeri-negeri Islam, iaitu penerangan-penerangan yang lebih jauh dari akhbar dan majalah..tidak lama selepas itu saya pun mengadakan hubungan surat dengan belasan anak muda di dunia Arab dan Pakistan. Kebanyakan sahabat pena itu tidak kekal lama, kerana dalam masa yang sebentar sahaja saya merasa amat kecewa dengan cara hidup mereka yang kebarat-baratan, dengan sikap bodoh mereka terhadap Islam dan kadang-kadang dengan sikap perseteruan terhadap kepercayaan dan kebudayaan Islam, juga fikiran mereka yang keanak-anakan.


Pada akhirnya saya memutuskan untuk mengadakan hubungan surat dengan pemimpin-pemimpin Islam yang matang dan berpengaruh terutama di kalangan ulama. Di akhir tahun 1960 saya telah bertukar-tukar surat dengan Dr Fadhil Jamil, bekas Ketua Perwakilan Iraq di PBB, Dr.Mahmud F.Habollah yang kemudian menjadi Pengarah Pusat Islam di Washington, Almahrum Sheikh Mohd Basir Ibrahim, Ketua Ulama Algeria, Dr. Muhammad Al Bahi dari Universiti Al Azhar, Dr. Hamidullah dari Paris, Dr.Maruf Dawalibi, Profesor di Universiti Damsyik, Dr.Said Ramadhan, Ketua Pusat Islam Geneva, dan saya berusaha sekeras-kerasnya untuk menghubungi Sayyid Abul 'Ala AlMaududi yang sedang menjalani hukuman penjara yang lama di Mesir.


Walaupun kegiatan Almahrum Assyahid Syeikh Hassan Albanna dai Ikhwanul-Muslimin telah mendapat publisiti yang meluas di akhbar-akhbar New York (walaupun publisiti negatif), namun kegiatan Maulana Al Maududi dan Jameeat Islam tidak begitu mendapat perhatian para sarjana dan wartawan Amerika. Begitu juga hampir satu dekad saya membaca buku-buku dan terbitan berkala dalam bahasa Inggeris mengenai persoalan-persoalan Islam namun saya tidak pernah mendengar nama Maulana Al Maududi dan tidak tahu suatu apa pun tentang pertubuhan Jamaat Islam sehingga saya membaca sebuah rencana Mazharuddin Siddiqui dalam buku Islam The Straith Path. Apabila saya bersua dengan sebuah artikel cemerlang Al Maududi dalam majalah Muslim Digest keluaran Durban, dengan segera timbullah keinginan untuk mengadakan hubungan surat dengan seorang tokoh yang luar biasa kebolehannya itu. Lantaran itu saya menulis surat kepada pengarang majalah berkenaan untuk mendapatkan alamat penulisnya.
Surat saya yang pertama kepada beliau tidak mengharapkan lebih dari satu jawaban ringkas yang melahirkan perasaan saling simpati terhadap cita-cita perjuangan yang sama. Saya tidak meramal sedikit pun bahawa hubungan surat ini akan menandakan proses penentu dalam seluruh sejarah hidup saya.


Maulana Maududi tidak perlu meyakinkan saya supaya memeluk Islam, kerana di waktu itu saya telah pun berada di ambang Islam, hanya menunggu langkah akhir walaupun tanpa pengetahuan beliau. AlMaududi juga tidak menerapkan kesan penentu terhadap arah kemajuan penulisan kesusasteraan saya, kerana saya telah pun menulis rencana-rencana mempertahankan Islam lebih dari setahun sebelum kami berkenalan. Garis-garis pokok dari gagasan pemikiran saya telah pun terhunjam kukuh sebelum kami berkenalan. Namun demikian sebagai hasil dari hubungan surat itu, juga bertambahnya pengetahuan dan pandangan saya menjadi lebih hemat dan penulisan saya lebih mendalam dan matang.


Surat-surat ini harus dibaca dengan mengenangkan sejarah-sejarah latar belakangnya. John F.Kennedy yang menjadi Presiden Amerika telah pun mencapai kuasa kemuncaknya dan kemakmuran ekonomi yang tiada tandingnya. Apa yang dikatakan perang dingin di antara Russia di bawah Kruschev dengan negara-negara demokrasi Barat telah mula mencair. Sementara itu di Pakistan pula Presiden Ayub Khan telah memerintah tanpa tercabar, dan supaya pemerintahan kediktatorannya aman dan selamat, beliau telah mengenakan undang-undang tentera dan mengharam semua parti politik termasuk Jemaat Islam. Ulama-ulama yang takutkan Allah telah digugat dan diancam, kerana keberanian mereka mengkritik undang-undang keluarga yang sewenang-wenang dan bertentangan dengan Islam dan berlawanan dengan kehendak rakyat terbanyak.


Setelah tiga tahun setengah menjalani pengubatan psychoanalisis dan dua tahun dirawat di hospital, baru-baru ini saya dapat muncul keluar dari zaman remaja yang sekian lama merana dan penuh kesepian dan kekecewaan, barulah saya menemui diri saya dan tempat saya yang sebenar dalam hidup ini. Hanya dengan limpah kurnia Allah sahaja bahawa di tahap ini Maulana Maududi telah memberi peluang kepada saya untuk menjalani suatu kehidupan yang berguna dan kaya dengan kejayaan dengan menyediakan tanah subur, di mana daya dan usaha saya dapat berkembang dan mencapai ekspresi sepenuhnya.


Maryam Jameelah,
28 Ogos, 1969
14 Jamadul Thani, 1389.
http://alkundangi.blogspot.com
22.8.2009.

ISLAM PAS VS ISLAM UMNO

ISLAM PAS VS ISLAM UMNO

Bila TG Nik Aziz menyebut Islam cara UMNO tidak masuk syurga, maka riuhlah akhbar-akhbar media perdana memainkan isu itu. Menurut TG Nik Aziz dia tidak bermaksud sebegitu seperti yang dilaporkan oleh media tempatan. Apa yang dimaksudkannya ialah memisahkan iman dan Islam dalam UMNO yang sedang berlaku sekarang ini. TG Nik Aziz bukanlah orang yang menentukan seseorang itu masuk syurga atau tidak. Hanya Nabi Muhammad SAW yang pernah menjamin sepuluh orang sahabatnya masuk syurga.

2. Apa yang penulis faham dari isu ini ialah perbezaan Islam cara UMNO dan Islam cara PAS. Perlembagaan Persekutuan menyebutkan Islam adalah agama rasmi negara. Inilah yang menjadi pegangan UMNO. Islam sekadar agama rasmi. Ini dapat kita lihat dalam majlis-majlis anjuran UMNO, akan ada doa dibacakan oleh ustaz-uztaz UMNO dan lain-lain upacara yang melibatkan agama Islam seperti upacara pengebumian dan sebagainya. Selain dari itu UMNO juga mengambil Islam dari segi yang menguntungkan umpama zakat, tanah wakaf, masjid yang perlu dikawal, Pusat Islam, Universiti Islam, Mahkamah Syariah yang terletak di bawah perlembagaan negara dan sebagainya yang merupakan unsur-unsur luaran Islam itu sendiri.

3. UMNO tidak akan bercakap soal pemerintahan Islam, hukum Jenayah Islam, Hukum Hudud, syarat-syarat pimpinan dalam Islam, keadilan Islam, agihan ekonomi menurut Islam dan segala aspek hidup ini yang mana semuanya ada sentuhan Islam, atau penyelesaian secara Islam.

4.Ini bebrebza dengan orang PAS. Mereka melihat Islam itu sebagai satu sistem hidup yang mencakup segala aspek kehidupan itu sendiri. Islam sendiri menegaskan bahawa sistem hidup Islam tidak akan dapat dilihat seara sempurna, melainkan dengan mengamalkan Islam itu sepenuhnya, beramal dan beriman dengannya. Atau seperti yang dijelaskan oleh ulama-ulama Islam, Syed Qutb misalnya, AlQuran itu tidak bermakna apa-apa jika dilihat sebagai teks-teks agama. Sebaliknya perlu ada orang yang mengimaninya, mempraktikkannya dan merealisasikannya dalam kehidupan itu sendiri. Sebab itu Nabi tidak memberikan pidato-pidato, atau gagasan falsafah hidup, sebaliknya baginda membentuk manusia-manusia, para sahabat yang mengimani AlQuran dan mempraktikkannya. Orang melihat para sahabat Nabi umpama AlQuran atau Islam itu sendiri. Mereka adalah contoh dari generasi AlQuran yang pernah dicatat dalam sejarah, yang tidak wujud lagi di zaman ini. Namun semangat dan cara hidup Islam masih boleh dipraktikkan di setiap tempat dan di sepanjang zaman. Inilah di antara ciri keistimewaan Islam dan inilah yang cuba dipraktikkan oleh PAS.

5. Sebaliknya UMNO cuba memisahkan Islam itu dari pemerintahan, dari kerajaan. Islam hanyalah upacara-pacara rasmi. Islam tiada kaitan dengan pemerintahan. Din dan Daulah, atau Islam dan kerajaan adalah dua hal yang berbeza. Sebenarnya inilah fahaman yang ditabur oleh penjajah untuk memisahkan Islam dari umatnya, supaya hilang kekuatan mereka, dan tidak lagi memimpin dunia seperti suatu masa dahulu, dari zaman Nabi hinggalah ke Kerajaan Othmaniah di Turki yang ditumbangkan oleh talibarut Barat,Mustafa Kamal Attartuk. Apa yang diamalkan oleh UMNO ini adalah sebahagian dari fahamam sekularisme itu sendiri yang ternyata ditolak oleh Islam. Sebab itu Islam cara begini tidak akan masuk syurga seperti yang diitekankan oleh TG Nik Aziz itu.

6. Meskipun Majlis Fatwa turut campur misalnya, tetapi Majlis Fatwa itu sendiri dikuasai oleh UMNO. Pengerusinya Dr. Abdul Shukor Harun adalah ulama UMNO dan bekas pensyarah UKM. Begitu juga dengan Mufti Perak yang tidak konsisten pendiriannya terhadap sesuatu isu, terutama yang membabitkan parti pemerintah. Dengan begitu tidak hairanlah mengapa TG Nik Aziz mengatakan tidak akan masuk syurga jika beriman dengan cara UMNO. Mengambil sebahagian dari Islam da menolak sebahagian yang lain akan menyebabkan terbatalnya Islam seseorang itu. Hal ini boleh dirujuk dalam kitab-kitab Fiqh atau tulisan para ulama Haraki masa kini seperti Ustaz Said Hawa,Sheikh Yusoff AlQhardawi, AlMaududi, Fathi Yakan dan sebagainya yang mana tulisan-tulisan mereka sudah banyak diterjemahkan dan membanjiri pasaran buku negara.

7. Apa yang dipolemikkan sekarang oleh UMNO mungkin ada kaitannya dengan PRK Permatang Pasir. Namun mempolitikkan perkara-perkara seperti ini boleh membatalkan Islam dan Iman seseorang. Rasanya adalah lebih dibincangkan isu lain yang tidak memudharatkan akidah umat Islam di negara ini. Banyak lagi soal lain yang boleh dijadikan modal untuk berpolitik. Jangan rosakkan susu sebelanga kerana nila setitik.

AlKundangi,
21.8.2009
http://alkundangi.blogspot.com

Friday, August 21, 2009

KEMENANGAN MUHAMMAD BIN ABDULLAH SAW (II)

KEMENANGAN MUHAMMAD BIN ABDULLAH SAW(II)


Muhammad bin Abdullah SAW telah menang ketika ia mengucapkan di telinga mereka dan di telinga zaman perkataannya yang abadi, yang timbul dari sumber keimanan:
“Demi Allah wahai bapa saudaraku, jika mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku dengan maksud saya meninggalkan persoalan ini, saya tidak akan melakukannya sampai Allah menjelaskannya atau saya hancur dalam melaksanakannya.”


Ya Allah, demikian hebatnya sampai menggoncangkan badan. Alangkah hebatnya gambaran semesta yang agung, Jika mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku. Bayangkan seperti ini terambil hati nurani alam semesta itu sendiri, bukan dari khayalan seorang manusia. Gambaran seperti ini adalah gambaran yang ditimbulkan oleh keimanan yang mutlak dari dasar lubuk perasaan.


Semenjak dari saat itu, Muhammad bin Abdullah SAW telah menang. Ia telah menggoncangkan perasaan Quraisy dengan goncangan yang menjadikannya tidak dapat tegak dengan kukuh kembali. Itulah keimanan, kekuatan yang tidak dapat dikalahkan oleh apa sahaja di atas bumi, bila ia telah tertanam di dalam perasaan seorang manusia. Muhammad bin Abdullah SAW telah menang ketika ia berhasil menjadikan para sahabatnya radiallahu ‘anhum gambaran hidup dari keimanannya, yang memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar. Ia telah menang semenjak dari hari di mana ia telah membentuk masing-masing sahabatnya itu sebuah AlQuran hidup yang berjalan di atas permukaan bumi. Ia telah menang mulai dari ia menjadikan setiap peribadi contoh yang melambangkan Islam. Orang melihat kepadanya dan orang nampak Islam itu sendiri.


Teks-teks agama sahaja tidak akan dapat berbuat sesuatu. Kitab AlQuran tidak dapat bertindak untuk membentuk seorang laki-laki. Prinsip-prinsip sahaja tidak akan hidup, sampai ia terbentuk menjadi tingkahlaku. Kerana itu Muhammad SAW telah menjadikan tujuannya yang pertama adalah membentuk laki-laki, bukan memberikan pidato-pidato,membentuk suatu umat, bukan mengadakan suatu falsafah. Gagasan itu sendiri dijamin oleh AlQuran yang mulia. Tugas Muhammad SAW bukanlah untuk mengubah gagasan sahaja, tetapi menjadikannya orang-orang yang dapat diraba dengan tangan dan dilihat dengan mata.


Tatakala orang-orang ini berjalan di dunia di Barat dan di Timur, orang melihat pada mereka budi pekerti baru yang belum pernah dialami umat manusia, kerana mereka itu merupakan terjemahan hidup dari suatu gagasan yang belum pernah dialami oleh manusia sebelumnya. Di waktu itulah manusia mulai percaya kepada gagasan itu , kerana ia percaya kepada laki-laki yang melambangkan gagasan itu. Mereka menuju ke depan untuk merealisasikan gagasan berkenaan dalam diri mereka dan mengikuti contoh yang telah ada dan mereka menempuh jalan yang sama.


Gagasan-gagasan sahaja tidak dapat hidup. Walaupun ia hidup, ia tidak dapat mendorong manusia satu langkahpun ke hadapan. Setiap gagasan gagasan yang hidup akan terlambang dalam diri seseorang manusia yang hidup. Tiap gagasan yang berkarya dapat mengubah menjadi satu gerakan kemanusiaan, iaitu gerakan keislaman.


AlKundangi,
20.8.2009
Disunting dari,Syed Qutb,
Dirasatul Islamiyyah.
http://alkundangi.blogspot.com

Wednesday, August 19, 2009

Satu Sama Satu-Tiada Masalah bagi PAS

Pas tiada halangan hadapi satu lawan satu


BUKIT MERTAJAM - Ketiadaan calon Bebas pada pilihan raya kali ini akan menyaksikan pertembungan hebat antara Pas dan UMNO bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, 25 Ogos ini. Kebanyakan pemimpin tertinggi Pas menyatakan pendirian bahawa parti itu pasti berjaya mengekalkan kerusi ini dan pertembungan satu lawan satu tidak menjadi masalah kepada Pas.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, beliau yakin Pas boleh mengekalkan kemenangan ini kerana DUN Permatang Pasir adalah kawasan Pas sejak tiga penggal berturut-turut. Menurutnya, kawasan Pulau Pinang adalah kubu kuat Pas sejak dulu lagi kerana Pas ditubuhkan di Pulau Pinang pada 1951. “Ini kawasan tradisi Pas, Pulau pinang adalah tempat Pas ditubuhkan, dan kawasan Permatang Pasir, Pas pegang tiga penggal sebelum ini, jadi tiada sebab yang mengatakan Pas tidak boleh menang kerusi ini,” katanya.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pula berkata, pertembungan satu lawan satu antara Pas dengan UMNO akan menjadi satu persaingan yang sihat dan jentera Pas perlu bekerja keras dalam tempoh berkempen untuk memastikan kemenangan milik calon Pas. Menurutnya, ketiadaan calon bebas tidak memberi sebarang implikasi kepada Pas. Ada ke tidak ada (calon bebas) pun sama saja.

Bendahari Pas, Dr Hatta Ramli pula berkata, ketiadaan calon Bebas ada saja, kerana jika apa sekalipun masih tidak berupaya memberi saingan sengit kepada calon lawannya. Kalau ada itu menunjukkan amalan demokrasi masih wujud di negara ini. Menurutnya, pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir - yang diwarnai kebimbangan jangkitan Influenza A (H1N1) dan suasana Ramadan hujung minggu ini - menyaksikan saingan satu lawan satu antara musuh tradisi - UMNO dan Pas. Hanya calon mewakili dua parti itu yang menyerahkan borang penamaan calon apabila sesi serah borang selama sejam ditutup 10 pagi, semalam.


19.8.2009
http://sinarharian.com.my

MB Selangor Persoal Cara Siasatan SPRM

Bukan persoal kuasa, tetapi cara siasatan SPRM: MB Selangor


SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor tidak mempersoalkan kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membuat penyiasatan, tetapi mempersoalkan cara siasatan dibuat. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya tidak menghalang sekiranya pegawai SPRM mahu membuat penyiasatan terhadap ahli-ahli Dewan Negeri (ADUN) atau Exco tetapi perlu dibuat di pejabat mereka.

“Kita akan teruskan prosedur kita dengan membenarkan SPRM menjalankan siasatan tetapi mereka kena faham prosedur kita yang ditetapkan. “Malah, peguam juga telah dilantik dan segala masalah yang timbul mengenai pekeliling itu akan dibincangkan dalam Suruhanjaya Diraja dalam masa terdekat. Kami akan teruskan dengan Pekeliling Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Selangor dan Kempen Kibar Galur Gemilang di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz (SSAAS), semalam. Abdul Khalid mengulas kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang menyatakan bahawa pekeliling Kerajaan Selangor yang melarang pegawai-pegawai kerajaan negeri memberi kenyataan kepada SPRM selepas waktu pejabat adalah tidak sah.

Menurutnya, segala tindakan dan proses yang dilakukan mestilah mempunyai alasan yang munasabah. “Bagaimanapun, mereka melihat cara penyiasatan yang dilakukan di Hong Kong bagaimana mereka mengatur dan prosedur yang perlu diambil dalam penyiasatan,” katanya. Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan melantik seorang peguam bagi membantu Exco atau ADUN sekiranya mereka disiasat SPRM.

19.8.2009
http://sinarharian.com.my

Penjelasan TG Nik Abd Aziz Tentang Ahli UMNO Tak Masuk Syurga

“Ahli UMNO, penyokong dua perkataan berbeza”

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam, menjelaskan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan menyebut ahli UMNO tidak akan dapat masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam seperti yang dibawa oleh Palestin. Menteri Besar Kelantan itu berkata, apa yang beliau maksudkan ialah penyokong UMNO dan tidak kena mengena dengan Palestin seperti yang dilaporkan media arus perdana.

Beliau berkata, UMNO sebuah parti yang mengamalkan dasar sekular yang memisahkan antara agama dan politik oleh itu masyarakat Islam yang mengasingkan iman daripada Islam tidak akan masuk syurga. “Saya nak sebut mula-mula sekali selepas baca akhbar perdana hari ini ada perkataan Palestin, saya nafi sekeras-kerasnya Tidak ada perkataan Palestin Ini hanya nak lagakan saya dengan Palestin. “Yang kedua perkataan ahli UMNO, saya tak biasa guna ahli UMNO. Saya guna penyokong UMNO Ahli lain penyokong lain, dua perkataan berbeza,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Akhbar semalam, melaporkan Menteri Besar Kelantan itu berkata, anggota UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin. Beliau dipetik menyebut terdapat perbezaan antara Islam yang didakwah oleh Pas dan Islam yang diamalkan oleh umat Islam daripada kalangan anggota UMNO kerana Islam bawah UMNO tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga. Nik Abdul Aziz berkata, orang Islam yang mengasingkan iman dengan Islam mustahil masuk syurga dan sebab itu al-Quran menetapkan sebab ikhlas kerana ikhlas dan iman lebih kurang saja. “Saya akan bermesyuarat dengan peguam kerana cerita yang tokok tambah perkataan seperti ini. Saya tak kata Palestin dia kata Palestin. Biar peguam yang tentukan tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau menjelaskan Islam adalah komponen bagi iman kerana Islam mesti sebati dengan iman sebagaimana sebatinya di antara roh dengan jasad. Menurutnya, sejak Abdullah Ubai hingga ke zaman Mustapa Kamal Attartuk dan sehingga pada 1961, golongan ulama keluar menubuhkan Pas kerana puncanya UMNO mahu asingkan Islam dan iman. Menurutnya, berikutan perbezaan dasar jugalah menyebabkan Pas bertengkar dengan UMNO kerana parti itu mengamalkan agama lain dan politik lain. Sementara itu, Nik Abdul Aziz turut menyarankan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bertanyakan beliau terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan dan bukannya hanya menurut apa yang dikeluarkan akhbar. “Itu kerja dia... Seorang Mufti sebelum keluar kenyataan tanya saya dulu. Surat khabar arus perdana, surat khabar UMNO. Kalau dia nak buat kenyataan juga itu dia punya pasal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Harussani yang menyatakan tiada nas dalam al-Quran dan hadis mensyaratkan seorang itu perlu menjadi ahli sesebuah parti sebelum dijanjikan masuk syurga.


19.8.2009,
http://www.sinarharian.com.my

Monday, August 17, 2009

KEMENANGAN MUHAMMAD BIN ABDULLAH SAW (I)

Kemenangan Muhammad bin Abdullah SAW (I)


Berkumandangnya jutaan manusia di belahan bahagian bumi Timur dan Barat, yang selalu diulang-ulang baik di pertengahan malam dan di kala siang hari : Tiada Tuhan melainkan Allah, Dan Muhammad itu Pesuruh Allah. Berkumandangnya suara seperti ini selama lebih empat belas abad dan tidak pernah bungkam atau berhenti. Negara demi negara telah berganti. Keadaan demi keadaan telah bertukar. Tetapi seruan abadi itu tetap tidak pernah berubah, seruan yang telah tertanam di hati nurani zaman.

Berkumandangnya suara-suara ini, adalah suatu bukti yang hidup, bukti yang berbicara tentang kemenangan Muhammad bin Abdullah SAW.

Kemenangan itu diperoleh bukan dalam pertempuran, bukan penakalukan kota Mekah, bukan memerintah seluruh Jazirah Arab. Bukan menundukkan kaum imperialis Kisra dan Kaisar. Tetapi ia adalah kemenangan universal yang telah masuk ke dalam tubuh kehidupan, mengubah jalannya sejarah, menukar nasib alam, dan terpateri dalam hati nurani zaman.

Kemenangan ini adalah suatu kemenangan yang tidak dapat dihilangkan oleh kelemahan seketika umat Islam dalam waktu tertentu. Nilainya tidak akan pernah berkurang kerana lahirnya falsafah-falsafah dan mazhab-mazhab yang baru. Cahayanya tiadk akan pernah redup oleh menangnya suatu kelompok terhadap kelolpok lain di satu bahagian dunia. Kerana akarnya terhunjam pada alam semesta, tertanam dalam hati nurani manusia, mengalir dalam saluran-saluran kehidupan.

Kemenangan yang buktinya terdapat dalam diri sendiri tidak memerlukan bukti dan keterangan lagi. Sekarang marilah kita cuba mengetahui sebab-sebabnya dan cara-caranya, agar kita dapat menggunakan sebab-sebab itu sekarang ini.

Tidak dapat diragukan lagi bahawa Allah mengkehendaki MUhammad bin Abdullah SAW itu memang. Allah mengkehendaki agama yang lurus ini berkuasa. tetapi Allah tidak mau kalau kemenangan itu diperoleh dengan mudah sahaja. Allah tidak ingin menjadikan kemenangan itu suatu mukjizat di mana tidak termasuk usaha manusia dan peralatan. Tetapi Allah mengkehendaki usaha manusia dan peralatan. Allah mengkehendaki kemenangan itu berupa hasil yang wajar dari usaha dan perjuangan Rasulallah SAW merupakan konsekuensi yang logik dari pengorbanan beliau dan pengorbanan para sahabatnya.

Orang yang ingin mengetahui bagaimana kemenangan Rasul, dan bagaimana kemenangan Islam, maka ia hendaklah mempelajarinya dalam diri peribadinya, dalam tingkah lakunya, dalam sejarahnya, dan dalam perjuangannya. Dengan itu ia akan mengetahui bahawa jalan kemenangan itu jelas tanda-tandanya. Cara-caranya tersusun lengkap. Sebab-sebabnya jelas. Siapa yang ingin untuk mencapai kemenangan di mana sahaja dan di tempat mana sahaja, dapat menjadikan suri tauladan pada diri Rasulallah SAW itu snediri.

Muhammad bin Abdullah SAW telah menang. Kemenangannya itu mempunyai tiga unsur, di mana tersimpan seluruh persyaratan-persyaratannya. Muhammad bin Abdullah SAW telah menang menang ketika para pemimpin Quraisyi datang kepada bapa saudaranya Abu Talib untuk bertukar pendapat. Mereka meminta kepadanya untuk menawarkan kepada anak saudaranya itu yang agamanya telah menggelisahkan mereka, menghancurkan adat kebiasaan mereka dan menggoncangkan dasar-dasar kepercayaan mereka. Mereka meminta agar Muhammad SAW diam tentang agama mereka, tentang mereka sendiri. Kalaum mahu wang akan diberi. kalau mahu kekuasaan akan diberi kekuasaan. Ia boleh memperlakukan mereka sekehendak hatinya.


Syed Qutb,
Disunting dari:
Dirasatul Islamiyyah,
17.8.2009

http://alkundangi.blogspot.com

Sunday, August 16, 2009

PENDOBRAK BERHALA - VI (SIRI AKHIR)

PENDOBRAK BERHALA - VI


Maka dengan mengeringkan sumber perhambaan seluruhnya, selain dari sumber yang berasal dari peperangan ini yang sebetulnya Islam tidak ikut menentukannya, maka dengan demikian jumlah hamba akan berkurangan. Jumlah hamba yang semakin sedikit ini diusahakan Islam untuk dimerdekakannya hanya kalau para hamba itu memeluk Islam dan memutuskan hubungannya dengan orang-orang kafir yang memerangi Islam. Dalam Islam terdapat hak hamba untuk memperoleh bahagian yang jelas dalam upeti perang (jizyah), yang dibayarkan untuk tebusan baginya yang dapat digunakan untuk membeli kemerdekaan dari tuannya. Maka mulai dari saat itu, para hamba itu dapat kembali kebebasan bekerja, kebebasan berusaha dan memiliki harta benda.

Upah yang diperolehnya dari pekerjaannya menjadi hak miliknya sendiri. Ia boleh bekerja selain dari mengerjakan kepentingan tuannya, supaya ia memperoleh wang untuk membeli kemerdekaannya. Ia pun mendapat bahagian dari perbendaharaan negara, iaitu zakat. Di samping semuanya itu kaum Muslimin berkewajiban untuk membantu hamba itu dengan harta agar ia dapat membeli kemerdekaan dirinya. Hal ini disamping beberapa perbuatan dosa yang ditebus dengan memerdekakan hamba seperti yang banyak dibicarakan dalam kitab-kitab fiqh, seperti membunuh orang secara tidak sengaja perbuatan melakukan dzihar terhadap isteri, dan lain-lain lagi. Dengan demikian perhambaan itu dapat hilang secara alami dengan berlalunya waktu kerana ia mempunyai akar yang mendalam dalam struktur kemasyarakatan dan kebiasaan internasional.

Ia adalah revolusi dalam menentang berhala "laki-laki." Berhala laki-laki dan kesewenang-wenangannya terhadap wanita. Revolusi yang menetapkan bahawa kaum wanita pun memiliki hak-hak kemanusiaannya dalam bentuk hukum yang tidak dapat dihapuskan dan dibalikkan. Ketika beberapa rapat dan pertemuan yang diadakan di Rome untuk membicarakan apakah wanita itu mempunyai jiwa atau tidak, maka AlQuran yang mulia menyebut:

" Maka Tuhan mereka memperkenankan doa mereka.Aku tidak akan menyia-nyiakan amal perbuatan seseorang yang berbuat baik di antara kamu, samada laki-laki atau wanita, kerana semua kamu adalah anggota masyarakat(Ali Imran:195)."

"Laki-laki memperoleh sebahagian dari harta benda yang ditinggalkan kedua ibu bapa dan karib kirabat. Wanita memperoleh sebahagian dari harta benda yang ditinggalkan kedua ibu bapa dan karib kirabat (AnNisa:5)."

"Laki-laki memperoleh bahagian dari apa yang mereka usahakan, wanita pula memperoleh bahagian dari apa yang mereka usahakan (AnNisa:33)."

Dengan demikian AlQuran telah menetapkan hak wanita dalam kehidupan rohani dan kehidupan jasmani, dalam bentuk yang sama dengan laki-laki, tanpa perlu berfikir, tanpa ragu dan tanpa perbezaan pendapat.

Rasulallah bersabda:

" Janda tidak boleh dinikahkan sebelum bermesyuarat dengannya. Gadis tidak boleh dinikahkan sebelum mendapat izin darinya. Izinnya adalah diamnya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)."

Dengan demikian Islam telah menetapkan kebebasannya dalam kehidupan pribadinya, kebebasan dalam mencari teman hidupnya.

Muhammad SAW sepanjang hidupnya telah menghancurkan berhala-berhala: segala macam berhala, baik di hati nurani mau pun di dunia alam nyata. Dalam sejarahnya yang panjang itu, umat manusia belum pernah mengenal seorang laki-laki lain, selain dari Muhammad SAW, yang pernah menghancurkan berhala-berhala sebanyak yang dihancurkan oleh laki-laki ini, dan hal ini dilaksanakannya dalam jangka waktu yang amat pendek, pendek sekali.

AlKundangi,
16.8.2009
Disunting dari:
Syed Qutb, Dirasatul Islamiyyah.
http://alkundangi.blogspot.com