ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Friday, September 17, 2010

SOSILAWATI: Ketelusan bukan Perkauman

Oleh Tok Pepijat

Sekonyong-konyong Menteri UMNO/BN memberi amaran supaya rakyat tidak mainkan isu Sosilawati sebagai perkauman. Tiada diketahui apakah mesej sebenar yang ingin disampaikan kepada rakyat atau apakah Menteri BN/UMNO siang malam hanya fikirkan tentang perkauman?

Mengapakah sekonyong-konyong Menteri ingatkan rakyat tentang perkauman dalam isu pembunuhan Sosilawati? Sebenar tiada terlintas langsung dihati rakyat tentang hubungkait kes Sosilawati dengan perkauman. Tiada langsung.
Malangnya oleh kerana fikiran Menteri UMNO terutamanya asyik fikirkan untuk isu perkauman, sampai kes Sosilawati terbawa-bawa oleh mereka.

Inilah taraf minda Menteri UMNO/BN. Perkauman, Perkauman dan Perkauman.

Sebenarnya rakyat melihat isu Sosilawati sebagai isu Ketelusan. Ianya melibatkan PDRM.

Kes ini berlku di zaman Musa Hasan lagi. Beberapa laopran tentang kehilangan individu yang berhubungan dengan peguam yang terlibat sebagai suspek utama.

Isunya, bagaimana PDRM terutama Balai Banting bertindak terhadap laporan yang diberikan.

Perbagai persoalan berlegar di fikiran rakyat. Antaranya, adakah polis mengamalkan "penyiasatan terpilih" iaitu menyiasat dengan drastik dan segera jika melibatkan orang kenamaan tetapi seperti" kura-kura" jika melibatkan rakyat marhein dan tiada pengaruh?

Begitu juga, adakah ada di kalangan polis yang "dibela" oleh peguam tersebut yang menyebabkan kes terdahulu seolah-olah "diabaikan" ?

Melihat kepada kes-kes seperti pusat pelacuran, perjudiaan, disko yang terletak berhampiran dengan Balai Polis yang mempunyai "lesen besar" untuk beroperasi, tidak mustahil ianya berlaku di tempat kes pembunuhan Sosilawati.

Sewajarnya kita mengharapkan IGP Ismail Omar memulihkan kembali harapandan kepercayaan rakyat terhadap PDRM.

Kita juga mengharapkan kes ini tidak berlaku seperti kes gadis Mongolia. Pembunuh "saja-saja" membunuh dengan tiada arahan! Barangkali akan ada orang berlenggang naik kapal terbang menuju London! http://tokpepijat.blogspot.com/\

kedahlanie.blogspot.com
17.9.2010
Perutusan Hari Malaysia 2010 Oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim


16hb September 1963, Perseketuan Tanah Melayu bersama Sabah dan Serawak secara rasminya membentuk Malaysia. Makanya kenegaraan Federalisme yang menjadi salah satu dari tiang seri negara sewajarnya menjadi semakin kukuh dan sepatutnya lagi dihormati. Kemasukan Sabah dan Sarawak ternyata membawa dampak yang bukan sedikit kepada negara. Malangnya semangat pembentukan Negara Malaysia dan faham Federalisme yang mendukungnya, malah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan pula, kian hari semakin terhakis. Pemusatan kuasa kepada kerajaan persekutuan tidak terbendung lagi. Faham Federalisme, Kedaulatan Undang-Undang dan Semangat Keperlembagaan diketepikan demi mengekalkan kekuasaan elit pemerintah semata. Justeru tidak hairan kita lihat bagaimana negeri-negeri seumpama Kelantan, Sarawak dan Sabah dinafikan hak mereka sungguhpun kaya dengan hasil bumi serta semulajadi. Janji-janji manis ditabur di Sabah dan Sarawak misalnya, kerana ianya dianggap sebagai “deposit” kemenangan ketika mahu memenangi pilihanraya.


Ketidakadilan yang dialami oleh rakyat dari negeri-negeri yang ditindas inilah membuatkan mereka bersikap acuh dan pesimis terhadap hasrat memperkukuh sebuah negara Persekutuan ini. Jelasnya kita tidak boleh menyalahkan mereka dan seharusnya berusaha menjana tenaga, fikiran serta terus beriltizam membasmi penindasan tersebut. Makanya Parti Keadilan Rakyat bersama Permuafakatan Pakatan Rakyat tuntas untuk memastikan keadilan dilaksanakan di seluruh negeri-negeri yang bersekutu dengan negara ini dan berusaha sejajar dengan hasrat murni Perlembagaan Persekutuan. Malanglah negara ini jika pemerintahnya bertindak menyisihkan dan menafikan hak rakyat sendiri kerana berbeza fahaman politik, ras dan kebudayaan.


Kini sudah tibalah masanya seluruh rakyat dari Perlis sehingga ke Johor, dari Kelantan sehingga ke Sabah dan Sarawak menyertai gelora menuntut Perubahan, agar sirna penindasan dan tertegaknya Keadilan. Hari Malaysia ini, bersamaan 16hb September 2010, biarlah ianya dimaknai oleh kita, untuk terus beriltizam dan berusaha mengembalikan Semangat Keperlembagaan agar negara ini “…mencapai taraf suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama setimpal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia.”



ANWAR IBRAHIM

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia

zulmamakpng.blogspot.com
17.9.2010
Negara hancur jika federalisme tidak dipatuhi
Wartawan Kita

TANAH MERAH, 16 Sept: Konsep federalisme hendaklah terus dipertahankan bagi memastikan kemerdekaan negara benar-benar menuju ke arah kematangan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, biar pun berlaku perbezaan fahaman dan ideologi politik di kalangan masyarakat semangat federalisme hendaklah diperkukuhkan.

“Konsep federalisme hendaklah dipatuhi biar pun ada perbezaan ideologi dalam kehidupan bermasyarakat.

“Kalau konsep itu tidak mampu kita patuhi, maka lambat laun negara akan menuju ke arah kehancuran,” katanya pada sambutan Hari Malaysia dan Jamuan Raya peringkat negeri di padang Majlis Daerah Tanah Merah di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.

Pelbagai program diadakan sempena sambutan Hari Malaysia peringkat negeri termasuk perarakan motosikal berkuasa besar, perarakan Jalur Gemilang dengan diiringi pancaragam tentera.

Selain itu acara menaikkan Jalur Gemilang, tarian singa, deklamasi sajak dan gerai-gerai menyediakan pelbagai jenis juadah.

Ahmad juga berkata, agenda ummah hendaklah diberi perhatian utama dengan memperkukuhkan jati diri.

“Kita hidup dalam masyarakat pelbagai kaum hendaklah sentiasa memelihara keharmonian dan saling hormat menghormati di antara satu sama lain.

“Usaha yang baik hendak diteruskan bagi memastikan kehidupan ummah terus cemerlang,” katanya.

harakahdaily
17.9.2010
Pakatan yakin menang pilihan raya Sarawak
Hafiz Irwan

KOTA BHARU, 16 Sept: Pakatan Rakyat (PR) yakin mampu menewaskan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya Sarawak jika amalan demokrasi dilaksanakan dengan cara yang betul.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, PR bukan sahaja mampu menguasai Sarawak sahaja, sebaliknya seluruh Semenanjung sekiranya negara benar-benar mengamalkan prinsip demokrasi.

"Saya yakin Pakatan Rakyat ini betul, dan sekiranya negeri-negeri kita berdiri atas demokrasi yang betul, tidak ada rasuah, tidak ugut orang, maka tidak ada sebab rakyat hendak tolak Pakatan.

"Usahkan di Sarawak, di sini pun saya yakin Pakatan boleh menang kalau tiada amalan rasuah ataupun unsur ugutan," katanya ketika ditemui selepas melawat modul bangunan baru kondominium di Kubang Kerian, dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas tahap keyakinan PR dalam menghadapi pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka bakal diadakan pada tahun ini.

Desas-desus pilihan raya Sarawak semakin hampir dan mula menjadi perhatian umum berikutan kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Datuk Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, yang tidak menolak kemungkinan percutian Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ke luar negera adalah untuk mencari ilham bagi pembubaran Dun.

Tempoh penggal Dun Sarawak akan tamat pada Julai tahun depan.

Bangunan kondominium setinggi 20 tingkat yang bakal dibina di tapak seluas kira-kira satu ekar itu akan dikendalikan pemaju, Ghazziz Sdn Bhd.

Kerja-kerja pembinaannya akan dimulakan pada Ahad ini dan dijangka siap pada tahun 2012.

harakahdaily,
17.9.2010
Suspek umpan cek RM1 juta

Oleh NOR SEDEK ISMAIL, Umavathi Ramayah, TAN MING WAI, Wan Noor Hayati Wan Alias, HAMDAN TAWADI, ROZIANAH RISMAN, MOHD. FIRDAUS ISMAIL,
utusanpengarang@utusan.com.my

Anak Sosilawati, Erni Rineelawati (kiri) menyambut kunjungan sanak saudara dan tetamu pada majlis tahlil arwah ibunya di kediamannya di Gombak, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Cek RM1 juta sebagai wang pendahuluan bagi penjualan tanah milik jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dipercayai digunakan sebagai 'umpan' oleh suspek untuk memperdaya mangsa sebelum dibunuh.

Cek berkenaan dipercayai diserahkan kepada Sosilawati pada 2 Ogos lalu ketika pertemuannya dengan suspek utama di firma guaman miliknya dekat Banting, dipercayai untuk meyakinkan mangsa bahawa tanah yang ingin dijualnya sudah ada pembeli.

Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, cek RM1 juta berstatus cek tertunda itu hanya boleh ditunaikan pada tarikh 2 September bersama draf perjanjian yang membolehkan suspek menerima komisen.

"Selepas menyerahkan cek tertunda itu, suspek meminta komisen kerana mendakwa berjaya mendapatkan pembeli tanah serta meyakinkan mangsa bahawa pembeli telah bersedia membayar 10 peratus daripada harga jualan tanah pada tarikh tertentu dalam tempoh terbabit," kata sumber itu.

Sumber tersebut mengetahui hal mengenai cek RM1 juta itu setelah dimaklumkan oleh Sosilawati sebelum ini.

Sebuah akhbar semalam melaporkan, Peguam Syarie, Datuk Zaidi Zain yang mewakili Sosilawati dalam kes tuntutan RM1.38 juta terhadap bekas suaminya, Nasharudin Elias atau Nash mendakwa, jutawan itu ada menceritakan perihal tanahnya di Pulau Pinang pada pertemuan terakhir dengan mangsa pada 26 Ogos lalu.

Beliau dilaporkan berkata, Sosilawati ada menceritakan tanahnya itu yang dibeli pada harga RM20 juta sudah menemui pembeli hasil bantuan suspek.

Menurut Zaidi juga, jutawan kosmetik itu begitu gembira kerana bakal memperoleh keuntungan RM80 juta selepas pembeli bersetuju membeli tanahnya pada harga RM100 juta.

Pada hari Sosilawati dan tiga individu kenalannya dilaporkan hilang, Zaidi mendakwa ada dimaklumkan tujuan pemergian mereka ke Banting adalah bertemu suspek untuk memberinya komisen kerana berjaya mencari pembeli.

Bagaimanapun, Sosilawati tidak membawa wang tunai, sebaliknya mengambil langkah berjaga-jaga dengan membawa peguam dan perunding kewangan peribadinya bagi membolehkan transaksi wang dilakukan.

Sosilawati bersama pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam peribadinya, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32 dan pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohamad, 38, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu.

Kehilangan mereka hampir terungkai apabila polis menahan lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar Datuk baru-baru ini.

Empat daripada mereka mengaku telah membunuh kesemua mangsa, sebelum membakar mangsa dan abu mereka dibuang dalam Sungai Panchau, Tanjung Sepat, Kuala Langat.

utusanonline
17.9.2010
Turut disyaki terlibat kes penipuan RM7.1j juta

KUALA LANGAT 16 Sept. - Suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain mempunyai beberapa kes jenayah termasuk kes orang hilang, pembunuhan dan jenayah komersial di daerah Kuala Langat.

Polis menyatakan suspek yang berusia 41 tahun itu kini disiasat pula pembabitannya dalam satu kes jenayah komersial yang melibatkan penipuan wang sebanyak RM7.1 juta.

Semakan polis mendapati, suspek dipercayai menyalahgunakan kedudukannya untuk menipu urusan jual beli tanah dan melakukan pecah amanah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, setakat hari ini, polis mendapati tujuh kes jenayah komersial yang dilaporkan mempunyai kaitan secara langsung dengan suspek utama kes terbabit.

"Tujuh kes ini membabitkan laporan di Kuala Langat sahaja sejak tahun 2005," katanya kepada pemberita pada majlis Polis Bersama Masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Banting di sini hari ini.

Beliau sebelum itu mengiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar melakukan lawatan kerja pertamanya ke IPD tersebut.

Semalam, Khalid mendedahkan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik itu turut dikaitkan dengan dua lagi kes jenayah yang lain.

Satu kes melibatkan kehilangan seorang ahli perniagaan dari India dan satu lagi kes pembunuhan isteri kepada pemilik bengkel kereta di pekan Banting di sini pada tahun lalu.

Khalid berkata, berhubung kes jenayah komersial itu, pihaknya sedang meneliti dokumen-dokumen dan memanggil saksi bagi merekodkan keterangan bagi membantu siasatan.

Mengulas lanjut mengenai kelewatan polis menyiasat kehilangan lelaki warga India yang dikatakan hilang pada awal tahun ini, beliau berkata, isteri mangsa hanya membuat laporan pada 8 September lalu.

"Kalau laporan tidak dibuat macam mana kita (polis) boleh tahu. Kita perlukan maklumat dan petunjuk untuk bertindak," jelasnya.

Ditanya mengenai dakwaan beberapa pihak kononnya pegawai-pegawai polis di kawasan Kuala Langat bertindak tutup sebelah mata ketika laporan dibuat ke atas suspek utama pembunuhan itu, Khalid berkata;

"Saya harap mereka yang ada maklumat itu datang buat laporan. Kalau takut buat laporan di sini (Selangor), buat laporan di Bukit Aman. Kalau takut juga, datang jumpa saya secara peribadi.

"Saya perlu laporan polis. Kalau tak nak jumpa saya di sini, datang jumpa saya di Shah Alam. Kita tidak akan melindungi pegawai kita yang menyeleweng atau tidak betul," tegas beliau.

utusanonline
17.9.2010
Azmin sah tanding Timbalan Presiden

Oleh HAMDEN RAMLI
utusansabah@utusan.com.my

KOTA KINABALU 16 Sept. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali hari ini menamatkan spekulasi apabila mengumumkan akan bertanding jawatan nombor dua parti itu pada pemilihan November ini.

Keputusan yang sudah dijangkakan itu bagaimanapun menimbulkan sedikit tanda tanya apabila Ahli Parlimen Gombak itu memilih Sabah sebagai lokasi mengumumkan pertandingan bagi menentang seorang lagi calon, Datuk Zaid Ibrahim.

Azmin sebelum ini pernah dilantik sebagai Pengerusi PKR Sabah tetapi ditolak oleh pemimpin tempatan diketuai Naib Presiden PKR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan yang merupakan penyokong kuat Zaid.

"Kenapa, tidak bolehkah?" jawabnya ketika diasak pemberita alasan dia memilih Sabah sebagai lokasi mengumumkan pertandingan jawatan Timbalan Presiden PKR itu pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau diiringi Pengerusi PKR Sabah, Ahmad Thamrin; Ahli Majlis Tertinggi PKR, Ansari Abdullah; Exco negeri Selangor, Dr. Xavier Jayakumar dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mansor Othman.

Katanya, keputusan untuk bertanding itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada pemimpin tertinggi parti itu, termasuk daripada penyandang, Dr. Syed Husin Ali.

Beliau juga menafikan keputusannya itu akan menyebabkan parti itu berpecah dua.

"Saya hanya menawarkan diri. Saya akan menerima dan menghormati keputusan ahli," katanya.

utusanonline.com.my
17.9.2010

Thursday, September 16, 2010






Nasihat Apco Apungkan Ringgit Bakal Ranapkan Ekonomi Malaysia

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM 15 Sept - Ahli Parlimen Indera mahkota, Azan Ismail memberi amaran rancangan kerajaan Umno-Barisan Nasional untuk mengapungkan semula matawang Ringgit di pasaran antarabangsa akan menyebabkan kemasukan semula gerombalan spekulator matawang yang akan meranapkan ekonomi negara.

Malah beliau berpendapat Pendana Menteri, Datuk Seri Najib razak telah diberi salah nasihat sekali lagi oleh firma komunikasi antarabangsa pro Zionis-Israel, Apco Worldwide yang juga menasihati Perbendaharaan Amerika Syarikat (Federal Reserve).

Mengulas mengenai rancangan kerajaan mahu mengapungkan semula matawang Ringgit dengan alasan nilainya telah meningkat berbanding Dollar Amerika Syarikat menunjukkan Ringgit hanya mengukuh dengan dollar AS tetapi bukan dengan matawang yang lain.

Azan berkata nilai Ringgit berbanding matawang yang lain seperti Dollar Singapura, Euro dan Paun Sterling masih tidak berubah.

"Ini akan menyebabkan risiko tinggi apabila Najib membuat pengumuman akan mengapungkan semula Ringgit di peringkat antarabangsa.

"Saya bimbang Perdana Menteri telah diberi salah nasihat oleh syarikat perunding, Apco Worldwide yang bakal mengakibatkan negara kehilangan puluhan bilion ringgit disebabkan kemasukkan semula spekulator matawang," kata beliau kepada Suara Kedilan.

Apco juga dikatakan memberi pendapat kepada Perbendaharaan Amerika Syarikat (Federal Reserve) yang dikuasai golongan Yahudi supaya menurunkan sedikit nilai matawang Dollar bagi mengambil kesempatan mengaut laba yang besar hasil daripada tindakan tersebut.

Beliau berpendapat dalam usaha mengekalkan daya saing negara dan mendapat keuntungan cepat, Umno-Barisan Nasional mengunakan kaedah mudah dengan mengapungkan semula Ringgit.

"Saya risau kita akan mengalami kerugian yang amat besar dengan kenaikkan harga barang serta kejatuhan nilai matawang kita akibat kegiatan spekulator ini nanti.

"Kerajaan Umno-BN tidak habis-habis dengan sikap suka berjudi, selepas tidak berjaya menghalalkan judi sukan, sekarang ini cuba untuk membuka semula jalan bagi spekulator matawang ini masuk bagi memperjudikan ringgit pula," ujar Azan.

Apa yang dikesalkan langkah pengapungan semula Ringgit akan memberikan keuntungan besar kepada segelintir golongan Umnoputra iaitu kroni Umno-BN tetapi yang terpaksa menanggung segala kerugian adalah rakyat terbanyak.

"Saya bimbang negara kita terperangkap dengan nasihat Apco terhadap pemimpin Umno-BN yang akan menyebabkan negara kerugian berpuluh kali ganda.

"Ini adalah satu percaturan ekonomi yang ketinggalan zaman seperti yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyebabkan negara kerugian berpuluh bilion ringgit," tegasnya lagi.

Kata Azan lagi pengumuman Perdana Menteri berhubung dasar liberalisasi 27 subsektor kewangan dan perbankan serta dasar pendidikan sepatutnya telah membantu meningkatkan daya saing negara tetapi sebaliknya berlaku apabila daya kompetitif negara jatuh dua anak tangga ke-26.

Beliau menegaskan adalah amat pelik kerana selepas dasar-dasar tersebut diumumkan Najib, ianya tidak membantu memulihkan ekonomi negara tetapi kedudukan semakin jatuh merudum berbanding dengan negara-negara rantau Asia yang lain.

Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia (WEF) bagi 2009 menyatakan daya saing Malaysia peringkat global jatuh dua anak tangga ke kedudukan ke-26 berbanding 2008 apabila indeks tersebut jatuh tiga anak tangga kepada kedudukan 24.

http://suara-keadilan.com/
15.9.2010


Negara Demokratik Satu Tuntutan Patriotik

SHAH ALAM 16 Sept - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengajak rakyat Malaysia supaya menguatkan tekad dan iltizam untuk bersama-sama berganding bahu mewujudkan sebuah negara yang benar-benar demokratik serta menghormati kedaulatan undang-undang yang berteraskan prinsip kebebasan dan keadilan.

Dalam perutusan sempena sambutan Hari Malaysia yang ke-47 yang juga disambut sebagai cuti umum buat pertama kali dalam sejarah, Abdul Khalid menegaskan tanggungjawab ini adalah tuntutan patriotik yang perlu digalas oleh setiap warganegara yang prihatin.

"Ini bukanlah perkara baru kerana ia terkandung di dalam teks Pemahsyuran Kemerdekaan negara kita. Ia juga diulang semasa pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

"Saya yakin rakyat Malaysia kini kian matang untuk secara demokratiknya menilai serta menyaring banyak wacana yang muncul dalam masyarakat. Dengan kematangan ini, kita harus yakin untuk berbeza pendapat secara aman dengan maksud sama berusaha mencari penyelesaian," kata Menteri Besar.

Namun selepas 47 tahun penubuhan gagasan Malaysia, rakyat berhadapan dengan masalah urus tadbir negara yang lemah disebabkan salah guna kuasa oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional.

"Kita kini berdepan dengan isu urus tadbir kerajaan yang lemah kerana salah guna kuasa di samping sistem pengurusan yang tidak lancar. Ini turut mengheret masalah ekonomi yang ditandai dengan pelbagai isu rasuah dan penyelewengan serta masalah sosial seperti jenayah, kemiskinan serta prejudis kaum dan agama yang tebal. Umumnya, kita kini berdepan dengan persoalan identiti, iaitu ke mana hala tuju negara ini mahu di bawa.

"Kita telah menyaksikan sepanjang sejarah singkat negara ini, wujud jurang ketara dalam aspek pembangunan kemudahan serta pengupayaan sosio-ekonomi rakyat. Komitmen semua diperlukan agar masalah ini dapat diketengahkan sebagai perhatian untuk diselesaikan.

"Kita tidak boleh lagi menyapu sampah ke bawah tikar. Setiap masalah yang muncul perlu dihadapi untuk penyelesaian tuntas. Ini hanya dapat dilakukan dengan penegasan prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban. Bagaimanapun, penegasan dua prinsip ini akan melibatkan sejumlah birokrasi, sekurang-kurangnya di peringkat awal. Suka atau tidak, ia perlu dilakukan agar disiplin pengurusan ekonomi yang mapan dapat mengambil tempat. Dengan tertegaknya bentuk pentadbiran begini, agenda merakyatkan ekonomi akan dapat disusun dengan lebih baik untuk semua," tegas Abdul Khalid lagi.

Menteri Besar menyeru rakyat negara ini agar mengingati, memahami dan menginsafi perjalanan sejarah negara untuk menghargainya serta terus berusaha memberikan yang terbaik untuk membangunkannya serta memelihara kedaulatannya.

"Selepas sekian lama bersatu sebagai sebuah negara Malaysia, kita telah berpeluang mengurus-tadbir negara ini sendiri sebagaimana yang dihajatkan semasa perjuangan untuk Merdeka. Ia adalah satu proses berterusan dan tidak mudah.

"Pada hari ini, dalam kepesatan era teknologi dan inovasi, kita berdepan dengan pelbagai persoalan yang mencabar dan menuntut kita untuk sentiasa bersedia membuat keputusan tepat, cepat dan berintegriti tinggi.

"Sempena sambutan Hari Malaysia ini, saya ingin menyeru kita semua untuk merenung semula makna diri merdeka serta erti hidup bernegara dan hubungannya dengan diri kita, keluarga, masyarakat seluruhnya serta negara. Semoga masa depan Malaysia akan menjadi lebih baik untuk semua," ujar beliau.

http://suara-keadilan-com/
16.9.2010


Pemuda PAS anggap jenayah turun hanya retorik
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyifatkan dakwaan Pengarah Komunikasi GTP di Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) di Jabatan Perdana Menteri, Alex Iskandar Liew bahawa indeks jenayah keseluruhan pada Januari hingga Ogos telah menurun 16.24 peratus sebagai hipokrit dan retorik politik semata-mata.

Hal ini kerana kata ketuanya, Nasrudin Hasan, jenayah yang semakin kerap berlaku akhir-akhir ini tidak menggambarkan penurunan seperti yang didakwa.

"Melihat kepada perkembangan mutaakhir betapa sadisnya jenayah yang berlaku membuatkan semua pihak kembali ragu terhadap dakwaan kononnya indeks jenayah telah menurun.

"Sebaliknya rata-rata melihat Malaysia merupakan sebuah negara yang berdepan dengan ancaman nilai keamanan dan keselamatan," kata Nasrudin dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diperkenalkan April tahun lepas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan kononnya telah mencapai hasil signifikan menerusi pelbagai inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) juga menggambarkan sebaliknya.

"Pencapaian NKRA dilihat sangat tidak meyakinkan. Malah negara masih subur dengan elemen-elemen yang mempunyai potensi besar untuk mendorong berlakunya satu-satu jenayah.

"Sementelah pula langkah pencegahan masih bersifat melepaskan batuk ditangga. ianya tidak dilakukan secara serius," katanya lagi.

Kenyataan itu katanya dapat dibuktikan dengan contoh-contoh kejadian yang telah berlaku, termasuk kes terbaru iaitu pembunuhan kejam ke atas usahawan kosmetik, Datuk Sosilawati dan 3 lagi mangsa yang merupakan pembantu beliau.

Kes jenayah yang lain termasuklah:

a. Ustazah Norliza Ishak 35, (yang dibunuh kejam bersama anaknya Amirul Ayman 10, pada 3 Sept 2010 - Port Dickson)

b. Datuk Sosilawati Lawiya 47, dan 3 mangsa yang lain (juga dibunuh kejam setelah hilang sejak 30 Ogos 2010 - Kuala Lumpur)

c. Mohamad Adam Muzaffar telah disembelih oleh bapanya (Muhaimi Sautar 33, pada 24 Ogos 2010 - Kota Bharu)

d. Noraini Ahmad, 20, dirogol dan dibunuh dengan kejam, ditemui dalam keadaan kepalanya cedera parah dan tangannya diikat dengan dawai pada 12 Ogos 2010 - Sungai Petani) .

e. Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 8, dan Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, cedera parah di bahagian muka dan mata apabila disimbah cuka getah dalam satu kejadian amuk di Kampung Sekayu pada 15 Ogos 2010 - Hulu Terengganu)

f. Ilya Nabilah Rosnata, 19, ditemui mati dirogol dan dibunuh dengan kejam dengan kesan tikaman pada bahagian dadanya , dipercayai telah dibunuh seminggu sebelum dijumpai terapung di Sungai Bagan dan tangannya diikat pada sebatang pokok 21 Julai 2010 - Pulai Chondong, Machang.

g. Pengawal Keselamatan dibunuh dengan kejam dalam satu kejadian di Pekan Batu 9. Mangsa dipercayai telah dilanggar terlebih dahulu dan kemudiannya tangan kirinya dipotong dengan sebilah parang pada 4 Julai 2010 di Kajang.

h. Amir Khan Abdullah @ Balwant Singh, 53, ditemui mati berlumuran darah dengan tujuh tikaman di kepala sehingga terkeluar otaknya dan tiga tikaman di dada kiri di atas tilam dalam sebuah bilik di rumahnya pada 1 Julai 2010 di Selayang.

i. Siya Pandian, Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak mati ditembak di bahagian kepala dan dadanya di hadapan kedai mencuci kereta miliknya pada 15 Mac 2010 di Langkap Teluk Intan, Perak.

j. K. Haresarren 18 bulan mati selepas mengalami keretakan tulang rusuk , hatinya pecah dan lebam di seluruh tubuh kerana didera teruk pada 3 Mac 2010 di Petaling Jaya.

k. Pada 25 Februari 2010 , Syafiah Humairah 3, mati dipukul, disepak dan dipijak di Shah Alam

l. Atan Daud, 90, Sutiah Katas, 80, Ismail Awang, 76, dan Siti Khatijah Ismail, 22, ditemui terbunuh dengan begitu kejam pada 5 Januari 2010 di Gemencheh.

Tambah Nasrudin, DPPP percaya semua pihak bertanggungjawab terhadap usaha membanteras jenayah, namun kerajaan adalah pemegang amanah untuk meletakkan rakyat dan negara dalam keadaan selamat, aman dan sejahtera.

Rakyat, katanya tidak boleh dikaburi dengan kenyataan-kenyataan hipokrit dan bersifat retorika politik semata-mata.

Sehubungan itu tegas Nasrudin, syariat Islam merupakan jalan penyelesaian yang paling tepat untuk menyelamatkan rakyat daripada terus hidup dalam kebimbangan akibat jenayah yang kian meruncing.

"Sekadar mengutuk sekeras-kerasnya segala jenayah yang berlaku tidak boleh merubah apa-apa kecuali satu tindakan berkesan dan bersepadu dengan gandingan semua pihak iaitu kerajaan dan rakyat dilakukan secara bijak demi masa depan negara.

"DPPP sekali lagi melihat Islam dan syariatnya adalah satu solusi tepat untuk menghindarkan negara dari badi jenayah yang semakin menular," tegas beliau.

Dalam pada itu, DPPP turut mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Ismail Omar yang telah dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru menggantikan Tan Sri Musa Hassan.

DPPP, katanya berharap agar beliau dapat berkhidmat dengan adil, telus, benar dan saksama serta cekap dan tegas membasmi rasuah dan jenayah dalam negara ini.

harakahdaily
15.9.2010
Polis diminta beri tumpuan jaga keselamatan rakyat
Harakahdaily

RANTAU PANJANG, 15 Sept: Pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya mengejutkan banyak pihak terutamanya anggota Parlimen Rantau Panjang, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof.

Sehubungan itu, Zailah meminta pasukan polis memberikan lebih tumpuan untuk menjaga keselamatan rakyat berbanding dengan mengawal dan mengekang program Pakatan Rakyat.

Zailah yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat melahirkan rasa terkejut dan kesal beliau dengan apa yang berlaku dan berharap agar keluarga yang ditinggalkan Datuk Sosilawati tabah menerima dugaan ini.

"Sebagai seorang wanita, saya faham benar apa perasaan keluarga Datuk Sosilawati. Ia satu pembunuhan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan," kata Zailah kepada Harakahdaily.

Sosilawati bersama dengan tiga lelaki, pengawal peribadi, peguam dan pegawai bank mati dibunuh dengan cara dipukul, disembelih, dibakar dan abunya dibuang ke sungai.

"Saya bagi pihak Muslimat PAS mengucapkan takziah kepada keluarga beliau dan berharap mereka redha dengan apa yang telah ditentukan ini," kata Zailah.

Dalam pada itu, beliau meminta pasukan polis melakukan sesuatu agar rakyat negara ini merasa lebih selamat berbanding dengan keadaan yang ada sekarang terutamanya ketika pasukan itu menerima ketua dan timbalan ketua yang baharu baru-baru ini.

"Harapan rakyat tinggi untuk melihat negara kita lebih selamat. Kita pohon supaya polis lebih memberikan tumpuan kepada keselamatan rakyat dari menghabiskan masa untuk menyelamatkan kedudukan parti yang memerintah sekarang," katanya.

Beliau dipercayai mengulas tindakan polis yang banyak menghabiskan masa untuk mengawal dan mengekang program pembangkang berbanding dengan menjaga keselamatan rakyat.

harakahdaily
15.9.2010
Hari Malaysia: Apa kelebihannya?
Oleh - Karim Raslan

Saya dilahirkan pada 2 Ogos 1963 di negara yang ketika itu dikenali sebagai Persekutuan Malaya. Enam minggu selepas itu, pada 16 September, Persekutuan Malaya bersama Sabah, Sarawak dan Singapura bersatu untuk membentuk Malaysia.

Seorang rakyat Malaya semasa kelahiran, saya kemudiannya menjadi rakyat Malaysia. Tarikh berkenaan (16 September 1963) menantikan transisi bererti. Sesungguhnya, terdapat beberapa perbezaan yang penting antara - “Malaya” dan “Malaysia”.

Sementara kita sering berbicara mengenai ‘kontrak sosial’, perjanjian tidak bertulis yang ditempa oleh pemimpin era Kemerdekaan, kita seharusnya juga mengingati terma-terma spesifik yang menarik minat Sabah dan Sarawak pada tahun-tahun berkenaan.

Pada asasnya, bapa Kemerdekaan kita berjaya memenangi hati kedua-dua negeri itu dengan menjanjikan untuk memperuntukkan hak dan kewajipan spesifik kepada mereka.

Kuasa-kuasa ini disemadikan dalam 20 Perjanjian Di Sabah dan 18 Di Sarawak yang dimeterai dengan Malaya.

Oleh itu, rakyat Sarawak dan Sabah menjurus untuk mempercayai bahawa “Malaysia” akan membenarkan mereka hak-hak yang lebih berbanding negeri-negeri anggota Malaya seperti Pahang atau Kedah dalam hubungan dengan Kerajaan Persekutuan.

“Fakta-fakta” ini bukan remeh-temeh: antaranya tiada agama rasmi negeri sama ada di Sabah mahupun Sarawak. Bahasa Inggeris menjadi bahasa rasmi di Sabah untuk satu tempoh yang tidak pasti.

Sejajar dengan peredaran masa yang pantas ke tahun 2010, walau bagaimanapun, dan fakta serta hakikat ini nampaknya dilupakan. Tidak kira, sama ada perjanjian-20 atau perjanjian-18 dipenuhi semuanya.

Kewujudan mereka diketepikan dan terpinggir dalam bentuk nota kaki ringkas dalam buku sejarah.

Untuk memburukkan lagi keadaan, kita sering kali dikhabarkan bahawa “Malaysia” dilahirkan pada 31 Ogos 1957. Singapura keluar dari Malaysia banyak tahun yang lampau dan kelukaan dari “perpisahan” masih berdarah.

Rakyat Malaysia Timur di Semenanjung sering kali ditanya: “Dan bila kali pertama anda datang ke Malaysia?” 16 September, sebagai Hari Malaysia, secara bersahaja, hanya diisytiharkan sebagai cuti kebangsaan pada tahun lalu.

Kebenaran yang menyedihkan ialah negara-negara anggota jauh dari kesempurnaannya. Dasar pembangunan kita dan idea kenegaraan lebih berat sebelah kepada Semenanjung.

Dalam pada itu, aspirasi rakan-rakan warganegara dari Malaysia Timur- sama ada mereka bukan orang Islam atau orang Islam Bumiputera, atau orang Cina – telah dipinggir dan diabaikan secara berterusan.

Bagaimana ini berlaku?

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia Timur, pengeluaran Singapura membawa makna keseimbangan demografi Malaysia telah beralih dalam kelebihan untuk majoriti orang Islam-Melayu di Semenanjung.

Sikap lebih mengutamakan penanda 16 September sebagai “Hari Kebangsaan” menunjukkan hal ini. Lagipun, pertikaian mengenai hak-hak ke atas sumber-sumber asli dan tanah asal penduduk asal, di samping pertikaian keagamaan serta dasar imigresen dipersoalkan memacu lonjakan ketegangan.

Kekurangan dalam kemajuan yang dicapai dalam isu-isu teras dan pengiktirafan kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak terus menjadi punca kekecewaan dan kesedihan di kalangan rakyat Malaysia Timur.

Meskipun begitu, kita boleh mengesan dan berasa betapa angin perubahan sedang bertiup.

Sehingga Pilihan raya Umum 2008, pentadbiran Barisan Nasional memerintah seolah-olah Sabah dan Sarawak hanya lebih sedikit dari sampingan buat Putrajaya.

sinarharian.com.my
14.9.2010
MB Kedah akui manifesto belum tercapai

ALOR SETAR, 15 Sept. — Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini mengakui bahawa kerajaan negeri masih belum berjaya mencapai manifesto Pilihan Raya Umum 2008 dalam bidang ekonomi.

Bagaimanapun, Azizan berkata, kerajaan pimpinannya berjaya meningkatkan hasil negeri sebanyak 205 peratus.

"Jika dipandang dari sudut ekonomi, memang kita masih belum menampakkan hasil, tetapi dari sudut lain, kita dapat meningkatkan hasil negeri sebanyak 205 peratus.

"Kita tingkatkan hasil negeri, itu kejayaan kita yang tak dibuat oleh Barisan Nasional dulu," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentalon di sini.

Beliau berkata, pencapaian 80 peratus pelaksanaan manifesto Pas di Kedah bukan hanya tertumpu kepada bidang ekonomi semata-mata, tetapi merangkumi semua aspek.

Katanya, kenyataan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa pencapaian 80 peratus itu merupakan retorik semata-mata, adalah tidak benar kerana peratusan itu merupakan pencapaian keseluruhan manifesto yang dibuat kepada rakyat semasa pilihan raya umum lepas dan bukan hanya dalam bidang ekonomi.

"Apa yang dikatakan Mahdzir tentang sambungan projek itu memang betul.

"Kita menyambung semua projek yang dirancang kerajaan terdahulu, seperti meneruskan pentadbiran Kolej Universiti Insaniah (KUIN), itu kita akui," katanya.

Azizan berkata, walaupun KUIN ditubuhkan semasa pentadbiran kerajaan negeri terdahulu, namun kerajaan yang ada sekarang merancang dan membina kampus induk di Kuala Ketil, selain menambah program baru di kolej itu.

"Jadi, bila kita bercakap tentang konsep 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua', kita sudah buat, tetapi ia tidak boleh dilihat dari segi sudut ekonomi sahaja, tetapi kita bercakap untuk kesenangan dan kesejahteraan rakyat, rakyat melihat kita adil untuk semua," katanya. - BERNAMA

Beliau berkata, jika mahu melihat hasil ekonomi, tempoh antara tiga dan empat tahun diperlukan kerana ia tidak boleh diperoleh dengan segera. - BERNAMA

15.9.2010
Najib tentang keras pelampau

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

Najib Tun Razak disambut oleh para peserta setibanya pada pelancaran Festival Muzik, Seni dan Gaya Antarabangsa (MASiF 2010) di Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menentang sekeras-kerasnya perlakuan puak-puak pelampau yang terdiri daripada kumpulan atau individu yang mempercayai pada pandangan dan tindakan radikal terhadap pihak lain.

"Saya berasa sungguh sedih apabila di sebalik tinggal dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan merdeka lebih dari 50 tahun, masih ada di kalangan kita ini yang tidak boleh bertoleransi.

"Apatah lagi menerima kebaikan masyarakat yang berbeza-beza ini," katanya di dalam entri terbaru bertajuk Perjuangan Kita Terhadap Faham Pelampau dalam blognya www.1malaysia.com.my di sini.

Najib berkata, kesedihan yang beliau rasakan itu adalah disebabkan golongan tersebut menolak cara hidup masyarakat di negara ini yang berbeza-beza serta menolak gagasan 1Malaysia.

Menurutnya, ketika negara menyambut satu peristiwa penting dalam sejarah Malaysia esok (pembentukan Malaysia pada 16 September 1963), terlalu banyak yang perlu dibanggakan kerana Malaysia kini sebuah negara yang sedang membangun dan cemerlang dalam banyak bidang seperti pelancongan, perbankan dan kewangan, hab halal dan perubatan.

Beliau berkata, Malaysia bertuah kerana berupaya melalui pengalaman dalam pelbagai budaya, beraneka makanan dan kepercayaan agama yang berbeza tanpa perlu pergi lebih jauh ke luar negara.

"Sungguhpun kita telah mencapai sekian banyak kejayaan, namun ianya menggusarkan hati saya apabila melihat kemunculan isu-isu yang berpunca daripada faham pelampau di negara kita.

"Ia bukan terhad kepada fahaman bersifat perkauman sahaja. Mereka menganggap pihak yang bertentangan fahaman dengan mereka sebagai musuh dan berusaha menakut-nakutkan pihak yang tidak menerima pemikiran atau ideologi mereka dan dalam keadaan tertentu pada orang-orang yang hanya kelihatan berbeza daripada mereka," katanya.

Najib berkata, oleh sebab itu, faham pelampau di negara ini terangkum kepada segala macam faktor, termasuk pertentangan kaum, seni, budaya, cara hidup dan sebagainya.

Beliau berkata, sungguhpun bilangan kumpulan ini agak kecil, namun kehadiran mereka diperbesar-besarkan melalui sentimen dan tindakan melampau mereka, bagaimanapun kerajaan akan terus mengawasi kumpulan-kumpulan seperti ini.

"Kita telah menangani beberapa kejadian ekstrem dengan berkesannya di Malaysia, umpamanya kumpulan militan yang cuba membangkitkan konflik dan ternyata benar-benar merupakan ancaman kepada keselamatan negara.

"Kami akan terus melindungi rakyat dan negara daripada ancaman dari dalam ataupun luar, melalui darat, laut, udara mahupun ruang siber," katanya.

Najib berkata, beliau juga bersyukur kerana rakyat Malaysia telah menahan diri daripada bertindak balas terhadap contoh perbuatan pelampau di rantau ini juga di seluruh dunia, malah sebaliknya mempamerkan kematangan sebagai satu bangsa dan sebagai 1Malaysia.

"Saya menyeru semua rakyat Malaysia supaya terus tenang dan berfikiran rasional dalam menghadapi kenyataan sedemikian. Dengan memberikan respons sepertimana yang mereka lakukan hanya akan menyemarakkan lagi ketegangan antara dua negara dan akan menjadi halangan kepada kemajuan kita sendiri," katanya.

Beliau berkata, keadaan ekonomi telah terjejas oleh tindakan-tindakan ekstrem itu dan selalunya jalan ke arah pemulihan itu sering kali panjang dan menyulitkan.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita mampu berperanan mengekang faham pelampau di tanah air kita dengan mendidik diri kita sendiri dan menyertai dialog yang sempurna dari segi pemikiran dan rasional.

"Maka kefahaman yang lebih mendalam mampu dicapai antara dua pihak yang berpandangan berbeza. Kita mesti memupuk kebijaksanaan kita untuk lebih terbuka kepada pandangan dan idea yang berbeza," katanya.

Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia mesti melatih diri untuk mengaplikasikan diplomasi dalam interaksi harian dengan orang lain dan perlu menerima 1Malaysia sebagai falsafah dalam menyelesaikan konflik kerana ia tentu akan memanfaatkan rakyat sebagai satu bangsa.

utusanonline,
15.9.2010
LAGI TULANG MANGSA DITEMUI

Oleh NOR SEDEK ISMAIL, Umavathi Ramayah, Mohd. Asron Mustapha, Wan Noor Hayati Wan Alias, ROZIANAH RISMAN, MOHD. FIRDAUS ISMAIL, MOHD. ISWAN SHAFIQ MAT ISA dan MOHD. ZAAIN MD. ZAIN
utusanpengarang@utusan.com.my


KUALA LANGAT 15 Sept. - Unit forensik polis hari ini menemui lagi sejumlah serpihan tulang diper.cayai milik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain yang dilaporkan hilang lebih dua minggu lalu dalam operasi mencari bahan bukti di Sungai Panchau, Tanjung Sepat dekat sini hari ini.

Dalam operasi yang bermula pukul 3.30 petang dan berakhir dua jam kemudian, pasukan tersebut dilihat membawa keluar beberapa bungkusan dan salah satu daripadanya dipercayai mengandungi tulang-tulang mangsa.

Namun, para petugas media tidak dibenarkan menghampiri kawasan tersebut kecuali hanya boleh berada 100 meter dari situ.

Malah bagi mengelak kerja-kerja operasi dirakamkan, kawasan yang menjadi tempat bahan bukti dicari turut ditutup dengan kanvas.

Pengarah Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Abdul Malek Harun turut dilihat berada di lokasi tersebut bagi memantau sendiri operasi mencari bahan bukti untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, unit forensik mengumpul sejumlah tulang dan barangan mangsa yang juga ditemui di sungai yang sama pada 12 September lalu.

Sosilawati dan tiga yang lain dikatakan telah mengadakan pertemuan dengan suspek bagi urusan pembelian ladang seluas 1.6 hektar milik suspek seorang peguam bergelar Datuk sebelum berita kehilangannya dilaporkan hilang.

utusan online,
15.9.2010

Tuesday, September 14, 2010

Jenayah bunuh yang tidak boleh dimaafkan

PEMBUNUHAN jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain berlaku dalam bulan Ramadan, bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan. Ia merupakan kejadian jenayah yang cukup kejam, tragis dan menyayat hati serta satu penghinaan yang seharusnya tidak boleh dimaafkan ketika umat Islam masih lagi merasai keberkatan bulan tersebut dan meraikan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri.

Sayugia diingatkan bahawa jenayah seperti ini tidak boleh dimaafkan dan diterima oleh seluruh masyarakat Malaysia. Individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung seharusnya menerima hukuman setimpal dengan perbuatan mereka dan dilucutkan taraf kewarganegaraan kerana tidak menyumbang kepada pembangunan dan produktiviti negara. Mereka juga tidak menjadi warganegara contoh seperti mana saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berusaha meniupkan serta menerapkan roh 1Malaysia sebagai acuan dan landasan hidup dalam masyarakat berbilang bangsa.

Ketika pemimpin-pemimpin terdahulu dan pahlawan-pahlawan tanah air berjuang dan berkorban nyawa untuk mempertahankan dan memperjuangkan kemerdekaan negara, masih terdapat individu yang tidak menghargai peluang dan keharmonian yang ada di negara ini, mengambil jalan mudah untuk menjadi kaya raya dengan menjadi samseng dan penjenayah. Mereka ini sememangnya layak digelar pengganas selepas tamatnya era komunis di negara kita.

Dewasa ini, trend pembunuhan dan kejadian jenayah yang berlaku di negara ini bukan sahaja semakin meningkat setiap hari, malah seakan telah mengalami pola perubahan yang begitu ketara dari segi aplikasi dan tindakan di mana penjenayah semakin bijak dan lebih berani melaksanakan tindakan tanpa memikirkan hukuman yang bakal diterima.

Modus operandi bunuh dan bakar dilihat menjadi satu kaedah baru yang digunakan untuk menghapuskan bukti bagi menghalang pihak polis mencari dan mendapatkan maklumat bagi membantu penyiasatan. Jika anda selalu menonton saluran Astro Awani 202 yang banyak menyiarkan cerita-cerita Tamil yang berunsurkan jenayah, anda pasti akan dapat melihat bagaimana teknik dan penceritaan yang diolah adalah sama seperti apa yang berlaku ke atas Datuk Sosilawati Lawiya.

Saya percaya pengarah filem terbabit menggarap penceritaan berdasarkan situasi dan kejadian jenayah sebenar yang sering berlaku di negara India yang menjadi latar penceritaan. Memandangkan pertambahan kejadian jenayah khususnya kes bunuh semakin berleluasa, maka masyarakat seharusnya lebih peka dan prihatin serta menjadi mata dan telinga bagi membantu pihak polis mencegah dan menghalang perkara tersebut daripada terus berlaku.

Kecekapan pihak polis sememangnya tidak boleh dinafikan dalam menyelesaikan kes-kes berkaitan dengan pembunuhan, namun demikian mereka harus lebih cekap dan bersedia dengan peralatan yang lebih canggih setanding dengan negara-negara luar agar dalam kes jenayah yang rumit, mereka mampu bertindak sebelum kejadian buruk berlaku. Malah sehingga kini masih ada kes-kes jenayah yang tidak mampu diselesaikan walaupun sudah melepasi tempoh yang sepatutnya.

Persoalannya, walaupun pelbagai bentuk hukuman dikenakan kepada penjenayah sama ada kecil atau besar perbuatan mereka, masyarakat masih dihidangkan dengan berita-berita kejadian jenayah oleh media massa dari semasa ke semasa. Adakah bentuk hukuman yang sedia ada sekarang tidak memberi sebarang impak dan pengajaran kepada generasi yang ada sehingga mereka semakin berani melakukan perbuatan yang melampaui naluri kemanusiaan.

Mungkinkah kita harus kembali kepada hukuman berasaskan syariah Islam dengan menghukum pancung mereka yang melakukan jenayah bunuh tanpa mengira kaum di hadapan khalayak ramai seperti mana yang dilaksanakan di negara-negara Arab sebagai satu bentuk pengajaran yang harus diingati oleh mereka yang melihatnya. Jika ini mampu mencegah jenayah yang semakin berleluasa berlaku, maka kita tidak perlu takut untuk melaksanakannya.

Apa yang jelas, perbuatan jenayah yang berlaku ke atas Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan. Kes ini pasti menjadi satu sejarah hitam dalam masyarakat dan negara khususnya. Kepada anak-anak mangsa dan ahli keluarga, seluruh warga Malaysia mendoakan mereka agar tabah dan cekal menghadapi cabaran dan dugaan Ilahi.

MOHD. BAKRI CHE AMIN

Taman Desa Duyong, Melaka.

Utusanonline,
14.9.2010.
Akan Saman Utusan, Ujar Zakaria

Khatib Zakaria Ahmad, yang dijadikan bahan kontroversi oleh media arus perdana akan mengambil tindakan saman terhadap mana-mana pihak yang terus mensensasikan isu bacaan doa khutbah Jumaat.

Zakaria mempersoalkan mengapa tindakannya mendoakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng supaya mendapat hidayat dan memeluk agama Islam dalam bacaan-bacaan doanya menjadi pertikaikan sekarang ini, walhal ia telah diamalkan beliau sejak dua tahun lalu.

Zakaria berkata demikian selepas beliau tampil mempertahankannya dirinya dihadapan panel Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang berhubung isu bacaan doa khutbah Jumaat.

Zakaria, yang dijemput sebagai khatib di Masjid Padang Menora menjadi bahan isu oleh media arus perdana selepas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa masjid-masjid tertentu di Pulau Pinang menggantikan nama Yang Dipertuan Agong kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dalam bacaan doa mereka.

Pengurusan Masjid Padang Menora mengesahkan kejadian itu, dan Zakaria telah diberitahu akan kesilapannya. Di hadapan panel semalam, Zakaria akur untuk tidak lagi menggunakan nama Lim Guan Eng dalam doa khutbahnya.

Zakaria bagaimanapun melahirkan rasa tidak puas hati kerana telah menjadi mangsa percaturan politik Umno yang memperbesarkan isu itu, walhal ia bukan kesalahan di sisi agama Islam.

Zakaria berkata beliau akan menyaman sesiapa yang cuba menjatuhkan maruah beliau dengan pelbagai tuduhan paslu dan sehubungan dengan itu beliau telah menghubungi peguam untuk tindakan seterusnya.

Zakaria mengesahkan beliau sudah dipanggil memberi keterangan ke Ibu Pejabat Polis Butterworth. Beliau setakat ini belum menerima sebarang teguran dari pihak Istana Negara.

“Saya fikir perkara tersebut adalah perkara kecil tapi diperbesar-besarkan” ujar Zakaria.

Menurut beliau lagi, perkara tersebut sengaja diperbesarkan oleh pemimpin Umno-Bn

Sementara itu, Yang Dipertua MAIPP, Ellias Zakaria berkata, hasil perbincangan tersebut pihaknya berpuas hati dengan keterangan Zakaria dan menyifatkan perkara ini perlu diselesaikan secara baik.

Mengambil pendekatan untuk menyelesaikan masalah, Ellias berkata ianya adalah untuk mengelak kekeruhan berpanjangan.


amagadon,
Forum Gerak Reformasi,
13.9.2010




PERGINYA SEORANG JUTAWAN

Sepanjang bulan Ramadhan yang baru berlalu membuatkan kita tertanya-tanya kerana beberapa peristiwa yang sebelum ini tidak berlaku telah berlaku. Hal-hal seperti sembelih isteri sendiri, letupan mercun yang menyeabkan seorang budak mati tersadai di atas pokok dan sebagainya menyebabkan kita tertanya-tanya sejauh manakah tahap kesiumanan masyarakat kita yang dikatakan semakin maju ini.

2. Kes terbaru yang lebih memeranjatkan ialah pembunuhan dahsyat ke atas jutawan kosmetik,Sosilawati Lawiya bersama-sama pemandunya, pegawai CIMB dan peguam pribadinya. Meskipun sumbangannya ke atas masyarakat Islam masih belum dapat diselidiki, namun sebagai satu bangsa, kita merasa kejadian ini tidak sepatutnya berlaku ke atas seorang usahawanita yang berjaya dalam bidang kosmetik.

3. Sosilawati bersama tiga yang lain itu dipukul hingga mati, mayat mereka dibakar dan dihanyutkan di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjung Sepat, dikatakan tjuan perbuatan itu adalah untuk menghapuskan bukti seperti kes Altantuya Sharibu yang diletupkan mayatnya dengan bom dan bersepai di sana sini seingga sukar untuk mencari buktinya.

4. Kejadian tersebut merupakan suatu yang luarbiasa, dan memperlihatkan rakyat Malaysia semakin hilang rasa kemanusiaannya semata-mata kerana wang dan harta. Tambahan pula kes ini diduga dilakukan oleh seorang peguam tersohor berpangkat Datuk serta adiknya yang juga seorang peguam. Apakah yang dipelajarinya di universiti sehingga sanggup melakukan sedemikian rupa ke atas mangsa-mangsanya. Apakah sebahagian kita sudah mulai hilang kewarasan hanya kerana penduduk Malaysia telah bertambah dua kali ganda sejak sepuluh tahun yang lalu?.

5.Kejadian yang berlaku pada bulan Ramadhan itu memperlihatkan rakyat Malaysia tidak menghormati bulan yang mulia sehingga sanggup melakukan perbuatan yang bersifat kebinatangan tanpa perikemanusiaan sedikit pun.

6.Satu hal lagi yang patut diperhatikan ialah kecekapan PDRM dalam menendalikan kes kehilangan Sosilawati. Lebih 10 hari barulah PDRM dapat mengesan dan menjejaki punca kes ini. Ini mengingatkan kita kepada kes adik Nurin Jazmin Jazilin yang juga mati dubunuh dengan kejam dan PDRM mengambil masa yang agak lama untuk menyelesaikan misteri itu. Dan akhirnya kes itu tidak dapat diselesaikan. Kenapakah PDRM mengambil masa yang begitu lama untuk menyiasat kes-kes jenayah berat seperti ini, sedangkan jika PDRM cekap, mungkin mangsa-mangsa masih hidup dan dapat diselamatkan. Apakah PDRM sudah cukup cekap dan profesional dan mengendalikan kes-kes berprofile tinggi seperti kes Sosilawati ini? Mampukah PDRM bertindak seperti FBI atau agen CIA dalam menyelesaikan kes-kes jenayah berat sedemikian rupa?

7.Mungkin kita perlu menilai semula tahap kecekapan polis kita, dan menambahbaikkan di mana perlu, supaya gejala jenayah berat dapat di atasi segera dan tentunya banyak nyawa yang boleh diselamatkan. Yang anehnya PDRM cukup cekap dalam menghidu dan menyelesaikan masalah demonstrasi dan perhimpunan haram yang dirancang dan dilaksanakan oleh parti pembangkang khasnya parti gabungan PR yang semakin digeruni oleh UMNO-BN ini. Di manakah dan bagaimanakah tahap kecekapan PDRM kita sebenarnya?


AlKundangi,
14.9.2010.
http://alkundangi@blogspot.com
http://alrembauwi.blogspot.com

Monday, September 13, 2010

Pembunuhan Sosilawati ke-2 dahsyat selepas kes Altantuya-PAS

Oleh:Dzulfikar Mashoor

JOHOR BAHRU, 12 Sept: PAS menganggap kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga rakannya sebagai kedua paling dasyat di Malaysia selepas kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Sharibuu.

Menurut Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar, kes pembunuhan mendiang Altantuyaa Sharibuu sebelum ini menggemparkan negara apabila dibom dengan C4 di Bukit Raja, Shah Alam pada 19 Oktober empat tahun lalu.

"Kematian al-Marhumah Sosilawati dan tiga yang lain adalah kes kedua paling dahsyat selepas kematian mendiang Altantuya," ujarnya petang tadi ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengesahan pihak polis bahawa Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, telah dibunuh.

Mayat mereka juga dibakar, manakala abunya dibuang ke dalam sebuah sungai dekat Ladang Gadong, di Tanjung Sepat, Banting.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, sepatutnya Polis sudah boleh mengesan suspek pembunuh lebih awal memandangkan saspek yang juga seorang peguam bergelar 'Datuk' turut dikaitkan dengan kehilangan empat individu setahun yang lalu.

"Selepas empat individu yang menjadi perhatian rakyat dilaporkan mati menjadi abu, baru Polis boleh mengaitkan saspek dengan kes empat orang yang hilang tahun lepas," ujarnya sambil menasihatkan bakal Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar supaya memperbaiki sistem siasatan kepolisan tanah air.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahawa kes tersebut turut membabitkan pemimpin negara yang berprofil tinggi sebagaimana kes pembunuhan Altantuya.

"Kalau Polis masih enggan mendedahkan siapakah peguam bergelar 'Datuk' yang dimaksudkan, mungkin rakyat selepas ini akan anggap pembunuh Sosilawati ini mungkin ahli politik yang berprofil tinggi, seperti kes Altantuya," ujarnya sambil mendesak Polis menjelaskan motif di sebalik kenyataan media tanpa laporan forensik yang dibuat Mohd Bakri petang tadi.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang dihubungi kemudian mengecam pihak yang terbabit yang sanggup membunuh lalu membangkar keempat-empat mangsa sebelum dihanyutkan dalam sungai berdekatan Ladang Gadong di Tanjong Sepat, Banting.

"Sekiranya benar apa yang diumumkan oleh Datuk Mohd Bakri dalam sidang media tadi, PAS mengecam pembunuhan dahsyat itu," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau turut menasihatkan pasukan Mohd Bakri membuat pengesahan lanjut beserta laporan rasmi dari Jabatan Forensik.

Ini kerana, katanya laporan itu boleh mengurangkan rasa gelisah rakyat terhadap tahap keselamatan mereka masing-masing.

Beliau, mewakili PAS turut merakamkan takziah kepada keluarga mangsa sambil mengajar rakyat membantu Polis supaya kes dasyat seperti itu tidak berulang lagi di tanah air kelak.

"Mewakili PAS, takziah...saya harap keluarga mangsa bersabar."

"Saya seru seluruh rakyat Malaysia sama-sama membantu Polis agar kes sebegini tidak berulang," ujarnya.

harakahdaily,
12.9.2010

PAS ucap takziah, gesa pendakwaan segera

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Sept: PAS mengucapkan takziah kepada keluarga jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang lagi yang telah dibunuh secara kejam.

"Bagi pihak PAS, kita merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan harap mereka tabah menerima ketentuan ini.

"Kes pembunuhan ini menggemparkan negara," kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengesahan pihak polis bahawa Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, telah dibunuh.

Mayat mereka juga dibakar, manakala abunya dibuang ke dalam sebuah sungai dekat Ladang Gadong, di Tanjung Sepat, Banting.

"Kita mahu pendakwaan segera dibuat terhadap mereka yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan ini," katanya lagi.

Menurutnyan kes tersebut juga menggemparkan negara dan menunjukkan peningkatan kadar jenayah dalam negara.

"Kita harap pihak polis berusaha mengekang jenayah, jangan hanya kepong ceramah pembangkang sahaja," katanya.

Kes ini juga jelasnya merupakan cabaran buat Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Ismail Omar untuk menyelesaikan kes tersebut.

Kesemua mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Seminggu selepas itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya.

Polis sekurang-kurangnya telah menahan empat lelaki membantu siasatan.

Terdapat sumber menyatakan mereka termasuk dua orang peguam.

Mengulas dakwaan wujud campurtangan pihak ketiga dalam PDRM, beliau menggesa satu suruhanjaya diraja perlu ditubuhkan.

"Kita tidak mahu dalam kes pembunuhan ini juga ada campurtangan pihak ketiga.

"Kita juga bimbang beberapa laporan polis yang dibuat terhadap pemimpin Umno BN sampai ke hari ini tidak diambil tindakan. Adakah ini juga wujud campurtangan pihak ketiga," soalnya.

12.9.200




Sosilawati dibunuh, tujuh ditahan

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 11 Sept. – Misteri kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lagi lelaki sejak 30 Ogos lalu, hampir terungkai dengan tertangkapnya tujuh suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Difahamkan, seorang daripada suspek yang ditahan merupakan peguam bergelar Datuk berusia 40-an yang dinamakan polis sebagai suspek paling dikehendaki dalam kes kehilangan usahawan wanita terbabit bersama tiga yang lain.

Hasil soal siasat ke atas suspek, polis mendapat maklumat bahawa kesemua mangsa sudah dibunuh dan dibakar manakala abu mayat mereka dibuang ke dalam laut di Pantai Morib, Selangor.

12.9.2010

UMNO perlukan Perkasa untuk raih sokongan Melayu

KUALA LUMPUR 12 Sept. - Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini berkata, UMNO tidak mampu berbalah dan memisahkan diri daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) jika tidak mahu menanggung risiko kehilangan lebih banyak sokongan.

Bekas perdana menteri itu berkata, sebaliknya UMNO memerlukan seberapa banyak sokongan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) jika parti induk Barisan Nasional (BN) itu tidak mahu kehilangan sokongan akar umbi.

"Saya berpendapat bahawa UMNO khususnya tidak begitu kuat, kita tidak boleh tolak sebarang orang kerana kalau kita hilang 100, 200 orang pun, mungkin kita akan kalah.

"Jadi kita nak sokongan seberapa banyak, tak payahlah kita bermusuh dengan orang. Saya fikir, kita perlu dekatkan diri dengan seberapa kumpulan yang boleh,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Seri Kembangan, dekat sini, hari ini.

Pada Khamis lepas, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, UMNO menjauhi daripada Perkasa yang lantang membuat kenyataan ekstrem mengenai isu-isu perkauman.

Dr. Mahathir berkata, ahli UMNO ketika ini berpecah antara menyokong atau menjauhkan diri daripada Perkasa, sambil menjelaskan keadaan seperti itu boleh menyebabkan jurang yang lebih parah di kalangan mereka.

"Ia telah menyebabkan rasa serba salah di kalangan ahli UMNO sendiri. Ada yang akan kekal dan ada yang menjauhkan diri...ini akan lebih memisahkan mereka.

"Selain itu, pada pilihan raya umum lepas, margin adalah amat tipis sekali.

Katakan jika kita kalah sedikit...kita mungkin kalah pada pilihan raya,” katanya.

Ditanya sama ada UMNO akan kerugian jika menjauhkan diri dari Perkasa, Dr Mahathir berkata: “Kita tidak mampu berbalah dengan ramai orang. Jika anda mahu bertengkar, bertengkarlah dengan seorang, bukan semua.” - Bernama

Penyelam polis cari bahan bukti pembunuhan Sosilawati


BANTING 12 Sept. – Pasukan penyelam Polis Marin hari ini menjalankan kerja menyelam di Sungai Panchau, Kampung Kanchong Laut, di sini, untuk mencari bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga orang lain.

Tinjauan berhampiran sungai itu yang terletak di jalan utama menuju Banting-Tanjung Sepat mendapati pasukan polis memeriksa bahan yang kelihatan seperti tulang berwarna kelabu kehitam-hitaman.

Daripada pemerhatian, terdapat beberapa penandaan (marking) diletakkan pada bahan-bahan itu.

Memandangkan para wartawan tidak dibenarkan menghampiri kawasan operasi itu, mereka terpaksa berpusing di sekitar kawasan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas.

Polis hari ini mengesahkan bahawa Sosilawati dan tiga orang lain mati dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat.

Operasi polis itu menarik perhatian orang ramai yang cuba memperlahankan kenderaan masing-masing untuk melihat apa yang sedang berlaku. – Bernama

utusanonline,com.my
12.9.2010

Peguam bergelar Datuk, adik dan enam pekerja ditahan ekoran kematian Sosilawati

BANTING - Polis menahan seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya serta enam pekerja kebun kelapa sawit milik mereka di mana jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dipercayai dibunuh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, kesemua suspek dipercayai terlibat membunuh mangsa sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebuah anak sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Kuala Langat di sini, Mohd Bakri berkata, polis membuat tangkapan pertama pada 10 Sept melibatkan lima orang.

Semalam, Datuk itu dan adiknya yang juga seorang peguam dan berpusat di sini, ditahan manakala seorang lagi suspek ditahan hari ini.

Beliau berkata, hasil penyiasatan polis, mereka mengaku bertanggungjawab dalam membawa kesemua mangsa ke kebun kelapa sawit itu seluas 1.6 hektar, sebelum memukul sehingga mati dan membakar mayat kesemua mangsa.

Selain Sosilawati, turut dibunuh pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Bagaimanapun, Mohd Bakri berkata, beliau tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar kesemua mereka dibunuh, tetapi ia mungkin di antara tarikh mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos sehinggalah semalam.

Mengenai motif kejadian, beliau berkata, ia lebih ke arah saingan perniagaan dan urusniaga kewangan di antara suspek utama (kedua-dua peguam) dan Sosilawati.-Bernama

12.9.2010

Zaid bukan Tun Ghafar kedua

SHAH ALAM - Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim dinasihatkan tidak cepat melatah dan risau berhubung ancaman diterima daripada pihak tertentu yang mendakwa beliau bakal menerima nasib serupa Tun Ghafar Baba jika bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.

Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye berkata, Zaid masih berupaya untuk menyumbang kepada parti dan keputusan sama ada kalah atau menang terletak di dalam genggaman anggota parti.

“Menang atau kalah itu soal kedua. Yang kalah, belum tentu kalah dan yang menang belum tentu menang. Beliau tidak perlu risau kerana beliau tidak akan jadi Tun Ghafar ‘kedua’.

“Kita tidak tahu latar belakang ancaman yang diterimanya. Apa yang jelas di sini, nasib diterima Tun Ghafar seperti dikuburkan dari politik kerana ketika itu beliau berada dalam UMNO, sebaliknya, Zaid sekarang berada dalam PKR,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menyokong pendapat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, ancaman diterima Zaid sinonim dengan senario dunia politik.

“Konsep PKR adalah menyuburkan demokrasi. Jadi, sesiapa merasakan dia berkeyakinan untuk memimpin, kita sentiasa terbuka untuk menerimanya. Realitinya, dalam dunia politik ini, kita tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

“Bagi Zaid sendiri, beliau perlu memiliki ketahanan luar biasa untuk berhadapan dengan ancaman sebegini kerana saya percaya serangan kali ini bukan berpunca daripada anggota dalaman, tetapi individu yang ‘tumpang sekaki’ dan bergabung membuat kacau,” katanya.

Sementara itu, ADUN Kota Anggerik, Yaakob Sapari memberitahu dalam pemilihan PKR ini, sesiapapun berhak mencadangkan atau menerima cadangan dilantik sebagai calon untuk bertanding.

“Ini adalah kali pertama PKR membuka pemilihan terus daripada rakyat dan mereka memiliki kuasa untuk memilih mana-mana ahli akar umbi untuk dijadikan sebagai anggota pimpinan parti.

“Setiap jawatan yang disandang adalah natijah daripada sokongan ahli. Yang penting sekarang ialah, setiap calon perlu meyakinkan ahli bahawa mereka berupaya untuk memimpin,” katanya.

Ditanya mengenai ancaman diterima Zaid dan sokongan daripada ADUN Selangor terhadap Naib Presiden Parti, Mohamed Azmin Ali, beliau memberitahu, ADUN Selangor melihat Azmin berpotensi untuk menyandang jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR.

“Sebahagian besar ADUN menganggap dialah calon yang layak untuk memimpin. Jadi, kita mencadangkan nama beliau sebagai calon bagi jawatan itu,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Zaid mengeluarkan kenyataan memberitahu beliau menerima ancaman mengalami nasib sama seperti bekas Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba selepas mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan kali ini.

sinarhrian,
12.9.2010