ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Sunday, October 4, 2009

SURAT-SURAT S.A.MAUDUDI-MARYAM JAMEELAH IV (1 DARI 2 BAHAGIAN)

SURAT-SURAT S.A.MAUDUDI-MARYAM JAMEELAH IV(1 dari 2 Bahagian).


New York,
31 Januari,1961.


Yang Mulia Maulana Al Maududi,

Beberapa hari yang lalu saya menerima hadiah anda berupa buku-buku dalam bahasa Inggeris dan risalah-risalah yang boleh membentuk sebuah perpustakaan kecil. Saya rasa tidak cukup dengan hanya mengucapkan terima kasih kepada anda, malah saya ingin tegaskan kepada anda bahawa saya akan tetap menyimpannya sebagai satu perbendaharaan. Baru semalam saya menerima surat anda menyatakan bahawa ketika anda membaca rencana-rencana saya anda merasa seolah-olah anda membaca buah fikiran sendiri Di sini saya ingin menyatakan bahawa ketika membaca buku-buku dan risalah-risalah anda saya juga merasa bahawa seolah-olah saya membaca fikiran-fikiran saya sendiri cuma yang berbeza fikiran-fikiran itu ditulis oleh anda dalam bentuk yang lebih bertenaga dan lebih sempurna dari tulisan saya.

Dua rencana terakhir saya ialah mengenai penyair Al 'Alamah Iqbal, satu-satunya tokoh dalam dunia Islam sekarang yang dapat menggambarkan sifat-sifat seorang Muslim yang sebenar dalam bentuk sajak yang amat seni, tinggi mutunya dan tahan menghadapi zaman. Satu lagi rencana berjudul Sumber-Sumber Falsafah Kebendaan Barat dalam mana saya susuli perkembangan faham kebendaan Barat sejak ia bermula di Greek dalam bentuk ideologi, seperti komunisme. Dalam rencana kedua ini saya ingin membuktikan bahawa kejahatan-kejahatan dan kejelikan-kejelikan yang kita saksikan hari ini merupakan akibat dari satu aliran pemikiran yang berlangsung lebih dari lima ratus tahun. Semua tokoh-tokoh besar pimpinan fikiran Barat adalah terdiri dari orang-orang yang berfaham kebendaan yang kuat, dan sebenarnya keseluruhan tema dari tamadun Barat yang moden itu adalah berkisar pada pemberontakan menentang gereja dan akhirnya menentang seluruh agama dan nilai-nilai rohaniah. kerana itu faham kebendaan merupakan sebahagian dari intisari Barat.

Pemimpin-pemimpin Asia dan Afrika , sebagaimana yang anda sebutkan dalam risalah anda yang berjudul "Nasionalisme dan India" adalah diajar untuk memanang jelek kepada apa yang mereka warisi dari datuk moyang mereka sendiri, dan jiwa mereka dipenuhi dengan falsafah-falsafah kebendaan. Apabila mereka diamuk perasaan dendam dan marah terhadap bekas penjajah-penjajah mereka dari Barat, mereka lantas melontarkan kembali sampah-sarap ke muka mereka, apa yang saya maksudkan di sini ialah peristiwa-peristiwa pemberontakan yang berlaku di Asia dan Afrika terutama di Congo. Apabila saya membaca peristiwa kekacauan yang berlaku di Afrika itu, saya mula merasa bimbang atas keselamatan anda.

Saya berasa amat sedih bagaimana negeri-negeri Islam seperti Republik Arab Bersatu sanggup meniru komunis Russia dan Cina dalam menjalankan polisi-polisi luarnya di Afrika. Saya ingin bersimpati dengan negeri-negeri seperti Republik Arab Bersatu itu, tetapi saya tidak dapat melihat polisi-polisi Islam yang dijalankan oleh kerajaan-kerajaan itu.


Orang Islam yang mudah diabui mata mungkin bergembira melihat usaha-usaha Presiden Jamal Abdul Nasir bertindak mempertinggikan kedudukan Islam di Afrika,tetapi sebenarnya Jamal Abdul Nasir tidak begitu berminat dalam usaha menyebarkan akidah Islam, malah ia lebih berminat menggunakan Islam sebagai slogan yang penting untuk memperluaskan pengaruh peribadinya.

Saya begitu yakin pengertian Islam yang diajukan anda dalam buku-buku karangan anda yang berjudul “Ke Arah Memahami Islam, Undang-Undang Islam dan Perlembagaan, dan lain-lain risalah anda yang dihadiahkan kepada saya merupakan pentafsiran Islam yang benar, dan saya harap saya tidak akan dianggap berfahaman sempit apabila saya membuat penjelasan tersebut. Saya bukan sahaja menghargai diri anda, kerana anda berpegang kepada pengertian Islam yang asli dan murni dan enggan bertolak ansur untuk menurut nafsu-nafsu zaman atau menyadurkan Islam dengan falsafah-falsafah asing.

Saya percaya bahawa gambaran Islam yang dikemukakan oleh anda dalam tulisan-tulisan anda itulah satu-satunya jalan hidup yang paling tinggi dan satu-satunya jalan menuju kebenaran, tetapi malangnya ramai orang-orang Islam sendiri tidak bersetuju dengan gambaran itu.

Ada satu perkara yang terkandung dalam risalah anda berjudul “Nasionalisme dan India” yang wajar disebut secara khusus ialah penentangan anda terhadap sikap orang-orang Islam yang suka berpakaian Barat. Ramai orang menganggap persoalan ini sebagai remeh semata-mata tetapi buat saya itulah persoalan yang amat penting. Bukankah Nabi Muhammad SAW sendiri pernah bersabda “Sesiapa yang meniru kaum yang lain maka ia tergolong dari kalangan mereka.” Pada hemat saya orang-orang Islam harus berbangga dengan pakaian sendiri yang membezakan mereka dari orang lain. Inilah sebabnya apabila saya melihat pemimpin Islam yang lengkap berpakaian Barat dan bercukur licin, saya merasa keimanannya masih kurang, kerana dengan pakaiannya itu ia mengiklankan kepada dunia bahawa dia masih malu-malu untuk memperlihatkan identitinya yang sebenar. Adakah anda pernah membaca “Islam Di Persimpangan Jalan” oleh Muhammad Asad yang membincangkan masalah ini dengan panjang lebar?

Tidakkah satu hal yang memeranjatkan apabila anda merasa takjub bagaimana seorang gadis seperti saya yang dilahirkan di rumah tangga Amerika yang tipikal boleh memeluk Islam? Sekarang biar saya ceritakan bagaimana hal itu terjadi. Ketika saya berumur 10 tahun menduduki Sekolah Hari Ahad Yahudi yang direformasi, saya begitu tertarik hati dengan sejarah tragis orang-orang Yahudi. Terutama yang menarik perhatian saya ialah Nabi Ibrahim dan anak-anaknya Nabi Ismail dan Ishak. Ishak merupakan bapa saudara keturunan orang-orang Yahudi, sedangkan Nabi Ismail bapa keturunan orang-orang Arab. Bukan sahaja orang-orang Yahudi dan orang-orang Arab itu pada asalnya dari satu rumpun keluarga, malah sejarah keluarga bangsa itu juga bertarlian dalam masa-masa yang panjang. Saya mengetahui bahawa di bawah pemerintahan orang Islam terutama di Sepanyol, orang-orang Yahudi dapat menikmati masa keemasan kebudayaan mereka. Oleh kerana kejelikan saya tentang gerakan Zionis, saya begitu jujur berfikir bahawa orang-orang Yahudi di Eropah berpindah ke Pelastin adalah untuk sekali lagi menjadi bangsa Semit yang tulin seperti orang-orang Arab. Saya sangat terharu menaruh harapan agar bangsa Arab dan bangsa Yahudi dapat bekerjasama untuk mewujudkan satu zaman keemasan seperti yang pernag wujud di Sepanyol.

Saya sering bertemu dengan pemuda-pemuda Islam yang menuntut di kolej-kolej dan universiti di New York. Mereka cuba meyakinkan saya bahawa Mustafa Kamal Attartuk itu seorang Muslim yang baik, dan Islam msetilah mengikuti ukuran falsafah zaman sekarang, dan mana-mana dasar dan amalan Islam yang bertentengan debgan kebuyanaan Barat yang moden mestilah disingkirkan. Pemikiran seperti telah disanjung sebagai “Fikiran Liberal”, dan “Pandangan Progresif,” dan “pandangan jauh” sedangkan orang-orang yang berfikir seperti kita dicap sebagai “orang-orang kolot” dan “orang-orang fanatik” yang tidak mahu menghadapi kenyataan-kenyataan zaman sekarang.



Ketika dalam usia remaja saya mengalami semacam pemencilan diri dalam kehidupan sosial di sekolah, kerana saya suka menghabiskan kebanyakan waktu saya dengan membaca buku di perpustakaan dan tidak berminat dalam pergaulan dengan laki-laki,parti-parti, berdansing, menonton wayang, pakaian-pakaian, batu-batu permata dan alat-alat solek. Saya menganggap merokok sebagai satu kebiasaan yang jelik dan membazirkan wang. Walaupun seseorang itu mesti minum di parti-parti supaya ia diterima dalam pergaulan dan walaupun pada hemat ibu bapa saya minum arak secara sederhana itu adat yang tidak boleh dipisahkan dari mencari kenikmatan hidup, namun saya sendiri tidak pernah menyentuh arak.

Oleh kerana tidak bantaknya titik-titik pertemuan di antara saya dengan muda-mudi yang sebaya usia dengan saya, maka saya hampir-hampir tidak mempunyai rakan dan teman sepanjang delapan tahun belajar di sekolah menengah bawah dan atas. Ketika dalam tahun dua di Universiti New York, saya bertemu dengan seorang gadis yang juga dari keturunan Yahudi. Ia telah membuat keputusan untuk memeluk Islam, dan oleh kerana saya terlalu kepingin untuk mempelajari Bahasa Arab, maka gadis itu telah memperkenalkan saya kepada kawan-kawannya yang ramai terdiri dari orag-orang Arab dan lain-lain bangsa di New York. Saya dan dia belajar bersama-sama dalam satu kelas mengikuti kursus pelajaran Agama Yahudi dalam Islam diberikan oleh seorang ulama Yahudi. Berselindung di sebalik Pengajian Perbandingan Agama guru itu cuba membuktikan kepada pelajarnya bahawa segala apa yang baik dalam Islam itu adalah diambil secara langsung Taurat (Old Testement), Talmud dan Midrasy.


Yang benar,
Margaret Marcus.

AlKundangi,
4.10.2009.