ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Thursday, November 4, 2010

Langsung Dari Galas
Pandangan Luar Pas Sudah Atasi UBN Di Galas


PEMERHATIAN umum meletakkan dari segi moral, semangat dan sokongan Pas telah mengatasi BN di Galas. Boleh dikata di semua 12 saluran pengundian, Pas mendominasi dengan kehadiran jumlah penyokong dan perayu undi yang ramai.

Hanya di beberapa pusat pengudian saja kelihatan jumlah penyokong sama ramai. Ketika ini bandar Gua Musang dilaporkan telah sesak teruk. Ini berikutan kenderaan luar dipercayai pengundi luar sudah dibawa masuk ke Gua Musang.

Sementara menurut seorang Adun Pas yang bertanggungjawab mengawal sebuah pusat pengundian ramai anak-anak muda yang balik mengundi mendatangi ke pejabat Pas untuk mengambil wang perbelanjaan. Tawaran yang dibuat oleh Pengarah Pilihan Raya Pas untuk pilihan raya kecil itu, Abdul Halim Abdul Rahman untuk membiayai perbelanjaan menjadi tarikan. Halim menawarkan RM200 untuk penmgundi di Kuala Lumpur dan RM250 untuk pengundi di Johor.

Kira-kira 1,200 pengundi yang dikenal pasti berada diluar dan dipercayai Pas menguasai lebih 50%.

"Ada yang datang berseluar jens dan rambut gendrong dan jika dilihat kepada air muka mereka mengundi Pas," kata Adun berkenaan.

Mereka datang menuntut wang perbelanjaan itu sesudah mereka selesai menunaikan kewajiban.

Tuntutan wang tambang pulang mengundi bukan saja di pihak Pas tetapi UBN juga menyediakan peruntukan sama tetapi tidak diketahui berapa jumlahnya. Mana-mana pengundi yang tergamak mengambil kesempatan dipercayai tuntutan akan diperolehi sehingga RM500 sekiranya mereka menyengat di kedua-dua parti. [**** 12:00 t/hari 04/11/10]

msomelayu.blogspot.com
DAHSYATNYA USTAZ UMNO DI GALAS

GUA MUSANG, 3 Nov: Bekas calon BN Pengkalan Chepa, Mohd Nor Idris membuat pengakuan bahawa dia memang tidak mahu bersalam dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat apabila salam dihulurkan kepadanya kerana menganggap ia tangan syaitan.

"Saya tak mahu jamah tangan syaitan....ana tak akan jabat tangan hari ini selagi anta kawan dengan DAP," kata Mohd Nor dalam video yang dirakamkan oleh jentera kempen Barisan Nasional (BN) di Galas.

Pengakuan Mohd Nor ini dibuat dalam video yang dinamakan jawapan beliau terhadap laporan Harakahdaily baru-baru ini yang bertajuk "Bekas calon BN maki Tok Guru".

Dalam laporan itu, Mohd Nor (gambar) dilaporkan memaki MB Kelantan itu ketika beliau dan rombongannya menziarahi rumah bekas Adun Galas, Haji Omar Muhamad di Sungai Terah baru-baru ini.

Mohd Nor yang kebetulan berada di atas rumah itu telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Nik Aziz kononnya tangan Nik Aziz umpama tangan syaitan kerana bekerjasama dengan DAP.

Mohd Nor, pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya pada awal 1980an adalah ahli PAS dan sering memberikan ceramah atas pentas PAS. Namun pendekatannya sentiasa keras terhadap Umno dan antaranya sering memaki dan mengkafirkan Umno.

Beliau kemudiannya keluar PAS bersama dengan Wan Ismail dan menubuhkan kumpulan Islah kerana tidak bersetuju dengan tindakan PAS bekerjasama dengan parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh.

(Wan Ismail lebih dikenali dengan nama Wan Ismail Jerat kerana sering menggunakan perkata jerat iaitu tanah perkuburan Cina apabila merujuk kepada kubur yang bakal didiami apabila pemimpin Umno mati nanti.)

Selepas itu, Mohd Nor bersama rakannya Mustafa Kadir menyertai Umno pula sehingga kini walaupun Umno adalah sasaran utama mereka ketika berada dalam PAS.

Dalam video 7 minit 35 saat yang dikeluarkan jentera kempen BN itu, Mohd Nor berkata, beliau tidak menghormati Nik Aziz kerana cuba menggulingkan kerajaan Islam pimpinan Umno dan boleh dikira sebagai musuh negara dan musuh umat Islam di Malaysia.

"Mereka ini bertopengkan Islam dan berkubukan demokrasi dan biasanya mereka ini cuba merompak umat Islam di Malaysia. Dengan sebab itu kedatangan mereka ke sini sebagai satu senjata musuh yang diperalatkan oleh syaitan sedunia terutamanya syaitan dan iblis kawan Nik Aziz.

"Nik Aziz itu sendiri seolah-olahnya apabila dia datang tidak dengan rupa dia yang asal...dia datang seolah-olah telah dirasuk hantu di rasuk jin," katanya dalam video itu.

"Apabila dia holor tangan itu, solah-olah saya nampak tangan itu tangan syaitan...dengan kasyaf saya, tangan dia itu macam tangan syaitan yang diholorkan kepada saya. Jadi saya tidak sambut tangan dia, saya tidak mahu jamah (pegang) tangan syaitan," akui Mohd Nor dalam video yang dikeluarkan BN itu.

Sejak itulah, katanya, berlaku kata mengata antara dia dan Nik Aziz dalam insiden itu.

FORUM GERAK REFORMASI,
4.11.2010
Galas Sebelum Tidur

Sedikit Nota Untuk Diulas Esok.

1. Ada dua faktor menolak terhadap BN yang menyebabkan parti itu tenat. Pertama penolakan oleh ahli Umno baru terhadap Tengku Razaleigh Hamzah. Mereka ini tidak berkerja sepenuh hati, datang hanya tunjuk muka saja. Selain itu Tengku Razaleigh juga yang optimis menang tidak suka kepada ahli Umno baru datang membantu calonnya.

2. Pekerja BN yang datang dari luar baik Kelantan atau luar Kelantan tidak diberikan tugas khas. Mereka datang untuk meramikan pos-pos sahaja. Kempen dari rumah ke rumah tidak berjalan seperti biasa. Sementara ada kelihatan Pajero atau van yang membawa kotak yang tertera gambar Najib dan Shahrizat. Sebahagian besar peninjau politik BN sudah pulang.

3. Dalam satu kes kotak yang dibahagikan itu diberikan kepada beberapa orang Pas. Mereka menerima seadanya dan menganggap kotak itu dibeli dengan wang kerajaan. Apabila ditanya apakah mereka akan menyokong BN, mereka menjawab mereka orang Pas asal.

4. Pas masih dengan keadaan merendah diri. Pengarah pilihan raya, Abdul Halim Abdul Rahman mengakui BN mempunyai kekuatan untuk menang. Sekali lagi dengan pengakuan ini menandakan Pas akan kalah, tetapi dari sisi strategi kenyataan atau pengakuan itu untuk menggerakan jentera Pas agar berkerja lebih keras. Ini tektik lama.

5. Sekumpulan penjudi Melayu di sebuah pekan di luar Gua Musang sudah membuat pertaruhan dengan kadar sali - sama, iaini bayaran sama kalau masuk RM100 akan dibayar RM100. Penjudi ini berpihak kepada Pas.

6. Apakah pandangan atau pemerhatian kaki judi ini benar?

7. Di pihak Pas kalau Galas mereka berjaya tawan, mereka berjaya membunuh dua ekor burung dengan sebutir batu. Membunuh Tengku Razaleigh dan Umno Baru sekaligus. Sebaliknya kalau kalah ia tidak menjejaskan apa-apa.

8. Terbaru maklumat dari bilik gerakan BN (Baru) sehingga jam 10:00 malam ini BN memerlukan kira-kira 200 undi lagi untuk menjamin kemenangan. Maklumat itu juga selari dengan maklumat beberapa agensi rasmi dan tidak rasmi kerajaan.

9. Kemenangan kepada Pas bergantung kepada jumlah peratus keluar mengundi. Kalau peratus keluar mengundi tinggi mencecah 85% ke atas Pas akan kalah tipis di bawah 300 undi. Kalau peratus mengundi rendah sekitar 82% ke bawah Pas akan menang. Menurut perkiraan Pas sehingga petang ini mereka sudah mempunyai 4,547 undi tidak termasuk yang atas pagar atau mereka yang tidak dapat dikenal pasti. [gmuasang 12:00 t/malam 04/11/10]

Mohd Sayuti Omar(MSO)
msomelayu@blogspot.com

Wednesday, November 3, 2010

POLITIK KITA MEMERLUKAN ANJAKAN BARU?


Saya merasa tertarik untuk memberikan sedikit pandangan terhadap apa yang diutarakan oleh Dr.Mohd Asri dalam Berita Harian dan Sinar Harian semalam mengenai anjakan baru dalam politik kita. Apa yang paling menarik ialah komennya tentang DS Anwar yang menurut anggapannya sudah tua, masanya kian berlalu dan sudah sampailah masanya untuk berundur dari politik. Berikanlah muka-muka baru untuk menjadi pemimpin mahupun pembangkang. Tulisannya lebih menjurus kepada DS Anwar sebagai akttivis politik, dan beliau menyuarakan pendapat itu tanpa sebarang kepentingan.

2. Namun Dr. Asri tidak pula menyentuh para pemimpin dalam UMNO/BN yang sudah puluhan tahun berada dalam kabinet, memegang jawatan menteri atau wakil rakyat biasa dan ada yang umur melebihi 70 tahun ke atas. Saya rasa dalam politik umur bersara adalah relatif, sama relatifnya dengan politik itu sendiri. Dr. Mahathir sendiri pun memegang jawatan PM sebelum ini dan bersara pada usia akhir 70an. Najib pun sudah lebih 60an. Bekas pemimpin Cina, Mao Zee Dong berhenti dari politik ketika usianya 80an (kalau tidak salah mati dalam jawatan). Lee Kuan Yew juga demikian. Begitu juga Suharto, bekas Presiden Indonesia,bersara apa akhir 70an, itupun setelah menghadapi tuduhan di mahkamah dan mengalami keuzuran yang agak teruk.

3. Dan apabila Dr. Asri menyebut DS Anwar yang baru 60an dikatakan sudak agak tidak seimbang dengan para pemimpin muda yang lain dan perlu berundur dari arena politik, kita pun tertanya-tanya apakah itu satu pandangan yang ikhlas, atau ianya hanyalah satu pandangan untuk menurunkan suhu politik Malaysia yang kian panas ekoran dari pergolakan dalam UMNO/BN dan akan berlansungnya dua PRK pada 4.11.2010 di Galas dan Batu Sapi.

4. Ketika beliau hadir pada Perhimpunan Agung UMNO baru-bari ini dan memberikan pandangan dalam Sinar Harian dan dalam laman webnya Minda Tajdid, saya merasakan beliau ikhlas dalam pandangannya dan kehadirannya pun memenuhi undangan para pemimpin UMNO sendiri.

5. DS Anwar masih di awal 60an. Tentunya pada usia ini pemikiran beliau sudah cukup matang untuk menjadi seorang pemimpin politik, dan tidak ternampak pandangan-pandangannya yang luar biasa yang menyimpang dari realiti politik Malaysia. Malah dalam beberapa hal, pandangannya jauh lebih ke hadapan dari pemimpin UMNO/BN sendiri. DS Anwar juga sanggup menanggung segala risiko dipenjara dan tituduh meliwat untuk kedua kalinya semata-mata kerana pendirian politiknya yang bertentangan dengan pendirian UMNO/BN. Bahkan pasa suatu ketika beliau hampir mempertaruhkan nyawanya apabila di "belasah" oleh Rahim Noor dalam keadaan mata tertutup dan tangan bergari. Keadaan ini menunjukkan DS Anwar adalah seorang pemimpin politik yang teguh pendiriannya dan digeruni oleh pihak lawan. Kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang di Perlimen menguatkan hal ini, di mana adakalanya pendedahan yang dibuatnya agak memeranjatkan pihak berkuasa sendiri apabila beliau mendedahkan rahsia-rahsia kerajaan yang tidak mampu didedahkan oleh orang lain.

6. Dengan demikian saya berpendapat peranan DS Anwar masih diperlukan demi mengimbangi situasi politik Malaysia yang mengarah kepada demokrasi terpimpin dan hampir kepada kukubesi itu. DS Anwar berupaya mewujudkan 'check and balance" dalam politik Malaysia, dan ini adalah baik untuk masa depan negara untuk mengurangkan penguasaan sepenuhnya oleh pemimpin tertentu terhadap negara, di samping membolot kekayaan negara untuk kenentingan diri sendiri di samping membelakangkan kepentingan rakyat terbanyak. Bahkan di dalam beberapa hal, pemimpin politik yang berkuasa sanggup menipu rakyatnya sendiri seperti dalam kes Felda, kes pembelian Scorpion, termasuk kes liwat DS Anwar yang dilihat sebagi satu percubaan untuk memadamkan karier politik DS Anwar sendiri.

7. Dengan demikian, saya tertanya-tanya apakah tujuan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin menyuarakan pendapat beliau itu dalam keadaan negara yang memang memerlukan pembangkang yang kuat untuk mengimbangi eksploitasi politik oleh UMNO/BN terhadap rakyat dan kerajaan Malaysia. Apakah Dr. Mohd Asri mula condong kepada pemerintah, atau apakah beliau mempunyai cita-cita politik yang belum dinyatakan lagi. Seseorang seperti beliau yang boleh dikatakan bertaraf ulama akan kehilangan kredibiliti sekiranya beliau mempunyai pendirian yang menyalahi ilmunya. Kegemilangan sejarah Islam dipenuhi dengan perjuangan ulama-ulama yang menentang pemerintah, bahkan sebahagiannya dipenjara bepuluh-puluh tahun, di mana di situlah terhasilnya karya-karya besar dari ulama-ulama berkaitan. Atau apakah Dr. Mohd Asri telah termakan mata pancing yang dihulurkan oleh pihak tertentu yang menjanjikan pulangan yang lumayan dan kuasa yang luas yang memenuhi citarasa beliau?

AlKundangi,
3.11.2010.

Monday, November 1, 2010

Kerajaan Yang Cerdik dan Rakyat Yang Cerdik, Kerajaan Yang Bodoh Untuk Rakyat yang Bodoh?

Sehari dua ini ada berbagai cerita,istimewa ketika PRK Batu Sapi dan Galas kian hampir.Berbagai janji dan projek menghujani dua kawasan itu. PPR akan diwujudkan di Gua Musang. Nilainya menurut Ahmad Maslan 180 Juta. Muhyiddin pula menabur janji di Batu Sapi,dengan Masjid untuk kemudahan orang Islam sembahyang, bernilai 5 Juta.
Semua ini adalah janji-janji pilihanraya. Jika tiada PRK tiadalah projek itu.
Sebab itu kita kena faham, projek projek segera itu hanyalah untuk memancing undi sewaktu hampir tibanya pilihanraya.

2. Begitulah politik UMNO/BN. Berbagai janji ditabur menjelang pilihanraya. Bila selesai PRK janji pun hilang entah di mana.Raykat yang tidak tahu apa akan termakan dengan janji itu. Tetapi rakyat yang cerdik tahu janji pilihanraya adalah janji kosong. Jarang yang ditunaikan. Yang mereka mahu adalah undi. Lepas itu hilang dan akan muncul semula pada pilihanraya yang lain. Oleh itu kita kena jadi rakyat yang cerdik. Rakyat yang cerdik mesti ada cukup maklumat, tidak hanya bergantung dengan akhbar harian dan media elektronik rasmi. Mereka harus melihat akhbar Harakah, Siasah dan Suara Keadilan (sedang digantung permit) di samping laman-laman web popular yang prihatin dengan nasib rakyat seperti kedahlanie.blogspot,com, cenangau daun kari, tukar tiub, duniacacamarba, tranungkite dan sebagainya.

3. Maklumat yang dipaparkan oleh media kerajaan (rasmi) selalu bias (menyebelahi kerajaan)dan mengatakan hanya kerajaan yang betul. Pembangkang semua salah. Walhal hari ini banyak perkara yang tidak betul dalam kerajaan. Rasuah semakin meningkat sehingga Malaysia jatuh lagi dalam indeks rasuah.Penyalahgunaan kuasa berleluasa, seperti kes sodomi DS Anwar Ibrahim. Dr. kata tidak ada tanda, dubur Saiful kosong, tetapi mereka masih cuba mensabitkan DS Anwar dengan tuduhan sodomi itu. Dulu di zaman Mahathir DS Anwar disabitkan kesalahan sodomi, tetapi akhirnya dibebaskan di zaman Paklah. Khabarnya tiada isu sodomi, tidak wujud. Tiada bukti. Kini zaman Najib sekali lagi isu sodomi digunakan untuk membunuh karier politik DS Anwar Ibrahim. Walaupun bukti diragukan, DS Anwar tetap cuba disabitkan kesalahan meliwat pembantunya , Saiful Bukhari Azlan. Kes Najib pun sudah cukup untuk membuktikan kerajaan tidak telus dalam pendakwaan di mahkamah. Najib dikatakan terlibat dengan berbagai kes, tetapi satu pun tidak dibawa ke mahkamah.

4. Di mana dia slogan kerajaan membela rakyat? rakyat Felda ditipu hidup-hidup oleh Felda sendiri sehingga terpaksa dibawa ke mahkamah. Di mana slogan rakyat didahulukan jika kekayaan negara hanya dibolot oleh golongan tertentu sahaja.Lalu apa pilihan rakyat kini? Pada 4 hb November ini akan berlansung dua pilihanraya kecil, Batu sapi dan Galas. Rakyat yang cerdik akan mengundi kerajaan yang cerdik,bukan kerajaan yang bobrok yang sedang membusuk. Jika rakyat tidak cerdik, mereka kembali akan ditindas dan tertindas, ditipu dan tertipu. Oleh itu gunakanlah kebijaksanaan dalam membuat pilihan pada kedua-dua PRK ini. Pilihlah parti yang cerdik wahai rakyat yang cerdik. Masa depanmu akan ditentukan oleh pilihanmu sendiri. Dan kekalkan pilihan itu sehingga PRU ke 13. Kita tidak perlu takut dengan pilihan kita sendiri. Kita memilih atas tiket demokrasi. tiada siapa yang boleh menyalahkan kita. Jika ada sesiapa yang cuba menyalahkan kita, batalkan sahaja demokrasi, jadilah kerajaan kukubesi, atau autokrasi, atau apa sahaja jenis kerajaan yang tidak dipilih oleh rakyat. Gunakanlah kebijaksanaan tuan/puan pada 4 November ini, sekalipun berdepan dengan berbagai tipu helah @ tipu daya. SELAMAT MENGUNDI.

alKundangi,
1.11.2010.
Krisis Dalaman Pas Menurut Dr Mohd Asri


Walaupun saya mempunyai perbezaan pendapat dengan PAS dalam perkara-perkara tertentu, namun saya akur kewujudan PAS dalam kerangka negara demokrasi adalah satu keperluan politik. Ini bagi mengimbangi monopoli politik yang akhirnya akan mencetuskan pemerintahan yang tidak memperdulikan hasrat dan cita rakyat.



Sekalipun saya mempunyai pandangan yang berbeza dalam beberapa persoalan asas dan pendekatan, namun sebagai rakyat Malaysia saya melihat kejatuhan atau kemusnahan PAS dalam keadaan semasa boleh mengundang impak negatif dalam percaturan politik negara.



PAS jika berpegang dengan prinsip Islamnya, dapatlah melindungi identiti Islam yang sepatutnya sentiasa zahir atau mendominasi keadaan negara dan masyarakat Malaysia. Maka adalah dibimbangi adanya usaha menghancurkan PAS secara langsung atau tidak langsung.




Bisikan Halus

Saya berpendapat, krisis dalaman PAS kini amat berkait dengan ‘bisikan halus’ yang dibisikkan oleh pihak tertentu kepada ‘telinga’ di kalangan pemimpin utama PAS. Bisikan datang dari satu pihak yang mempunyai kepentingan atau agenda tersendiri dan mempengaruhi pihak-pihak tertentu.

‘Pembisik’ hanya menumpukan perhatian kepada agenda politiknya sahaja sekalipun menggadaikan atau menggugat keteguhan parti orang lain. Jika dalam sejarahnya, pihak pembisik ini pernah hampir merebahkan parti lain, maka tidak mustahil ia akan berlaku kepada PAS.

Krisis kali ini agak serius. Ia mungkin boleh didramakan seakan sudah tamat, tetapi bak kata “I can forgive, but I cannot forget”. Luka ini akan terbuka pula di masa hadapan dan akan mempengaruhi secara langsung dan tidak langsung perhubungan, tindakan, kepercayaan dan perasaan antara sesama PAS.

Hikmah

Saya berharap antara hikmah kejadian ini adalah dapat membuang perasaan fanatik sesetengah pihak yang berlebihan atau melebihi patut kepada pemimpin tertentu. Pendapat atau pandangan seseorang pemimpin bukan dinilai dari segi nama, atau gelaran, atau peribadi semata, tetapi yang paling mustahak dilihat alasan dan hujah yang dikemukakan dalam setiap pendapat.

Apabila bertembung antara pemimpin dengan pemimpin, ahli PAS mesti menggunakan kebijaksaan, ketajaman minda, penilaian seimbangan dalam membuat keputusan, bukan hanya dengan emosi semata.

Sudi Menerima Pandangan

Satu perkara yang wajar PAS akui ialah ramai orang dalam PAS yang sangat sensitif jika ada teguran luar. Jika tidak disambut teguran itu dengan maki hamun pun, unsur-unsur mengutuk pemberi pendapat itu akan muncul. Bukan sahaja orang bawahan, bahkan pihak atasan PAS.

Sebagai contoh yang terkini, lihatlah jawapan Ketua Penerangan PAS Pusat terhadap pandangan seorang tokoh akademik yang terkenal cenderung kepada PR, Prof Dr Aziz Bari. Dalam menjawab kritikan kekalahan PAS di Bagan Pinang, Ketua Penerangan PAS itu menulis:

“Sebagai seorang Prof dan ahli akademik janganlah mengambil data di tepi jalan yang tidak ada kesahihan. Biarlah tuduhan ini dibuat oleh mereka yang tidak bergelar Prof. Memanglah menjadi ahli akademik senang membuat hipotesis daripada bilik berhawa dingin.Tetapi menjadi ahli politik pembangkang berat lagi mata memandang maka berat lagi bahu memikul. Kita janganlah menjadi penganalisa politik yang tidak terjun medan, waktu kalah semua hendak menuding jari. Sewaktu menang di tujuh PRK tidak ada pula komen mengatakan pimpinan Pas cerdik, apabila kalah semua buat tuduhan. Prof Aziz tahu atau tidak keadaan demografi Bagan Pinang. Beliau pergi atau tidak ke kawasan pilihanraya tersebut. Berjumpa atau tidak dengan masyarakat pengundi Bagan Pinang. Tahu atau tidak berapa ahli cawangan Pas dan dan ahli umno di kawasan itu. Keadaan di Bagan Pinang kalau Prof Aziz Bari bertanding pun akan kalah..”.

Inilah layanan terhadap kritikan yang saya kira jujur dari Prof Dr. Aziz Bari. Saya tidak menyatakan saya setuju atau tidak dengan pandangan Dr. Aziz Bari, tetapi saya hairan melihat bahasa sindir dan kutuk yang digunakan, padahal Dr Aziz Bari boleh dikatagorikan sebagai rakan mereka. Jika pun kita tidak bersetuju, gunakanlah uslub atau gaya bahasa yang lebih terhormat.

Bagaimanakah keadaan seperti ini jika PAS berjaya membentuk kerajaan, dan orang-orang awam, ahli akademik serta berkecuali ingin menyampaikan pandangan?! Saya bimbang ruang demokrasi atau bersuara akan menjadi semakin sempit. Pun begitu, alhamdulillah dalam suasana krisis ini, sudah ada pihak dalam PAS juga yang cuba menilai pandangan luar.

Akhirnya, PAS hendaklah benar-benar tahu siapakah musuhnya yang sebenar.

Beberapa perkara berikut patut difikirkan oleh PAS;

1. Siapakah yang boleh mengheret PAS melanggar prinsip-prinsip Islam yang holistik yang bukan sekadar isu tahalluf siyasi semata?
2. Siapakah yang ‘sebenarnya’ mencetuskan permusuhan dalaman secara langsung dan tidak langsung dalam PAS selama ini?
3. Jika PAS berfikir ada pemimpinnya yang patut disingkirkan, maka penyingkiran itu adakah atas alasan pelanggar prinsip, atau sekadar pelanggaran pendekatan?
4. Antara mengerat ‘orang dalam’ dan mengerat ‘orang menumpang’ yang menyusahkan; manakah yang patut diutamakan?
5. Adakah PAS yang memerlukan PR atau PR memerlukan PAS?
6. Adakah agenda Islamik itu yang lebih besar dalam PAS atau agenda politik PR?
7. Apa beza dari masa depan Islam antara kerjasama dengan DAP dan PKR dan kerjasama dengan UMNO?

- Dr Mohd Asri Zainul Abidin, USM.

http://drmaza.com/home/
Zulkifli dilabel ‘pelacur’ politik

GEORGETOWN - Ahli Parlimen Bebas Kulim/ Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dilabel sebagai pelacur politik apabila meletakkan harga dirinya begitu rendah dengan mereka reka fitnah terhadap PKR dan DAP.

Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman berkata, Zulkifli meletakkan harga dirinya ke tahap begitu rendah apabila sanggup menjadi askar upahan UMNO semata-mata untuk memburukkan PKR dan DAP di mata masyarakat.

“Beliau telah menurunkan nilai dirinya sendiri sampai ke tahap yang paling rendah sekali apabila sanggup menjadi askar upahan UMNO semata-mata untuk burukkan PKR dan DAP dan buat kacau bilau dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas. Kita tidak memandang serius kenyataan orang yang sudah keluar parti malah kita ‘malas’ nak layan orang yang begini.

“Zulkifli juga sanggup membiarkan dirinya dipergunakan oleh UMNO dengan menyamakan dirinya seperti pelacur politik apabila dijadikan orang upahan menyebarkan fitnah kepada PKR dan jika dikaji semula, setiap kali adanya pilihan raya kecil (PRK), pasti ada orang yang dijadikan askar upahan ini bersuara dan apa yang disuarakannya lebih kurang sama iaitu memfitnah parti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Mansor yang juga Timbalan Ketua Menteri I bersetuju dengan kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng semalam yang mengatakan Zulkifli kurang siuman dan tidak akan melayan kenyataan orang kurang siuman itu.

Sementara itu, Exco Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Agama Islam, Abdul Malik Abul Kassim ketika menghubungi Sinar Harian meminta supaya Zulkifli tidak jadi munafik dengan mengada-adakan perkara yang tiada.

Menurutnya, Zulkifli juga dilihat cuba memecah belahkan orang Islam di Pulau Pinang hanya kerana disogok oleh UMNO dan percaya ia dilakukan bagi meraih undi di PRK yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Jangan jadi munafik dengan mereka-reka cerita yang tiada. Perbuatannya itu adalah cubaan untuk memecah belahkan orang Islam Pulau Pinang yang mana beliau menerima habuan yang besar dari UMNO apabila membuat kenyataan seperti itu. Lagi besar hentaman dia kepada parti, lagi besar habuan yang dia dapat.

“Bertaubatlah, jangan cuba memecah belahkan orang Islam dengan menabur fitnah seperti ini. Yang menghairankan, beliau bukan orang Pulau Pinang, yang tidak tahu hujung pangkal tentang Pulau Pinang, mengapa boleh keluarkan kenyataan seperti itu? Jangan hanya dengan baca di akhbar dan sogokan UMNO, beliau cuba untuk menggugat Pakatan Rakyat (PR) di sini,” katanya.

Abdul Malik turut memberi amaran kepada Zulkifli dan UMNO bahawa jika terus menabur fitnah, Allah akan menurunkan bala berikutan kenyataan yang dikeluarkan itu membuat orang Islam berasa gundah gulana dan ‘tidak senang duduk’.

“Bertaubatlah (UMNO dan Zulkifli) sebelum Allah turunkan bala kerana apa yang dilakukan adalah dosa besar kerana memporak perandakan perasaan orang dan ia tindakan melampaui batas. Ini adalah salah satu contoh perbuatan ‘ejen’ UMNO bagi menjatuhkan PR.

Kelmarin, ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011 (Bajet 2011) di Dewan Rakyat, Zulkifli mendedahkan wujud perjanjian rahsia melibatkan pegangan kuasa politik antara PKR dan DAP.

kedahlanie.blogspot.com
Zaid dahului Azmin, Mustaffa tinggal jauh

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Datuk Zaid Ibrahim masih kekal mendahului pada hari ketiga pemilihan bagi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat walaupun diberi saingan sengit oleh calon pilihan, Azmin Ali.

Sehingga pukul 7 malam ini, Zaid berjaya meraih 1,552 undi tetapi hanya dibezakan 43 undi berbanding Azmin yang mendapat 1,509 undi dan semakin jauh meninggalkan Mustaffa Kamil Ayub yang sekadar mendapat 636 undi.

Menurut laman web rasmi PKR, hari ini 27 cabang parti itu membabitkan lima negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan mengadakan pemilihan.

Pada hari pertama pemilihan kelmarin, Zaid menerima 577 undi meninggalkan Azmin yang merupakan 'anak emas' Datuk Seri Anwar Ibrahim di tempat kedua dengan 374 undi manakala Mustaffa hanya mampu meraih 61 undi.

Namun, menjelang hari kedua semalam, Azmin memperoleh undi terbanyak (1,008 undi) berbanding Zaid (974 undi) walaupun masih gagal memintas kedudukan pendahulu daripada Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu.

Dalam pada itu, bagi kerusi Naib Presiden yang menyaksikan 17 calon bertanding, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah juga masih kekal mendahului calon-calon lain seperti mana senario sebelum ini.

Beliau yang juga anak kepada Anwar dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendapat 449 undi meninggalkan Pengarah Pilihan Pusat PKR, Fauziah Salleh yang memperoleh 467 undi

Mereka diikuti rapat Pengerusi PKR Pulau Pinang, Mansor Othman dengan 462 undi, Pengarah Strategi PKR, Tian Chua (430 undi) dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi, N. Gobalakrishnan (304 undi).

Mesyuarat pemilihan membabitkan 222 cabang PKR akan berakhir pada 21 November ini sebelum diikuti Kongres Nasional Tahunan parti itu yang akan berlangsung selama tiga hari mulai 26 November depan.

utusanonline,
1.11.2010.