ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Monday, November 16, 2009

KEMANA HALATUJU PKR?

Hari ini (15/11/09) satu rencana dalam Berita Minggu mempersoalkan Halatuju Parti Keadilan Rakyat. Kesimpulan mudah dari tulisan itu adalah PKR memperjuangkan kepentingan individu tertentu yang berhasrat menerajui negara suatu hari nanti. Kita pun dapat membaca apa yang tersirat di sebalik tuduhan itu. Samada betul atau tidak, ia sudah menjadi pandangan sebahagian orang yang terpengaruh dengannya.

2. Apa yang kita tahu PKR memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan untuk rakyat jelata seperti apa yang dilakukan oleh MB Selangor. Tuduhan bahawa PKR dikuasai oleh 3A itu mungkin berasas, mungkin tidak. Namun tawaran atau cadangan Tuan guru Nik Abdul Aziz dijadikan ketua bagi PRM memberikan reaksi yang pelbagai, termasuk dari DS Anwar sendiri.

3.Apa pun, PKR harus lebih jelas tentang arah masa hadapan parti itu. Ketidakjelasan tentang hala tuju memberikan reaksi yang berbeza di kalangan penyokong dan penganalisis politik tanahair. Mungkin ada benarnya dakwaan bahawa PKR memperjuangkan individu tertentu yang kadangkala terlihat pada riak di air, namun hala tuju yang lebih jelas harus dibentangkan di hadapan rakyat marhaen sebelum satu demi satu tokoh-tokohnya berjaya dipujuk oleh UMNO/BN agar keluar meninggalkan parti. Kehilangan kepercayaan terhadap pucuk pimpinan PKR memungkinkan Parti itu semakin terhakis dari persada politik tanah air.

4. Dalam hal ini DS Anwar harus lebih tegas menyatakan ke manakah arah sebenar PKR hendak dibawa. Jika perjuangan PKR hampir sama sahaja dengan perjuangan UMNO, besar kemungkinan PKR akan terhakis sedikit demi sedikit dari pentas sejarah. Dengan demikian garis-garis besar haluan perjuangan mesti dinyatakan dengan jelas agar ia nampak berbeza dari UMNO. Sebagaimana yang kita tahu ramai pemimpin PKR adalah bekas ahli UMNO. Tentunya sikap lama mungkin terbawa-bawa dalam PKR menyebabkan PKR hilang kredibiliti dan mempunyai perbezaan yang jelas dari perjuangan UMNO. Kita takut suatu hari nanti semakin ramai akan meninggalkan PKR jika ia tidak banyak berbeza dari UMNO yang mementingkan kroni, suku sakat dan sahabat handai.

5. Sementara itu PAS kelihatan lebih jelas arah perjuangannya, kerana ia bergantung kepada Majlis Syura yang dianggotai oleh para ulama yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangan mereka. PKR harus menjadi seperti PAS, ada halatuju sendiri dan berjuang ke arah tujuan itu, tidak hanya untuk beberapa kerat pemimpin tertentu sahaja. PRU ke 13 semakin mendekat. PKR harus lebih bersedia bersama Pakatan Rakyat untuk menghadapinya. Janganlah PKR menjadi senasib dengan Semangat 46 yang kini tinggal nama sahaja.

AlKundangi,
16.11.2009.
http://alkundangi.blogspot.com