ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Monday, February 8, 2010

POLITIK MALAYSIA YANG CACAMERBA

Kebelakangan ini pelbagai isu melanda negara bumi jantung pisang ini. Misteri enjin jet pejuang adalah satu misteri yeng belum terjawabkan. Adalah dirasakan kurang kemunasabahannya jika yang terlibat hanyalah berpangkat sarjan sahaja, sedangkan kedua-dua enjin yang hilang bernilai RM 100 juta, dan ianya pula dijual di luar negara. Apabila ia melampaui sempadan negara tentulah ahli politik atau sekurang-kurangnya bertaraf diplomat yang terlibat, kerana urusan luar negara adalah urusan orang-orang politik dan para diplomat, bukannya urusan seorang sarjan! Inilah satu pembohongan besar Barisan Nasional yang diterajui UMNO yang membohongi rakyat dari masa ke masa. Rakyat marhaen yang ada minda yang baik tentu boleh memikirkan di manakah logiknya hal ini.

2. Isu liwat DS Anwar kali ke dua juga satu isu yang tidak dapat dilihat di mana logika digunakan oleh otak-otak yang bergelar peguam, yang mahir undang-undang, ahli-ahli politik yang mahir putar alamnya dan pembuat-pembuat keputusan yang yang bergulung-gulung ijazahnya. Orang yang paling layak mengatakan samada Saiful benar-benar diliwat atau tidak adalah doktor, kerana bidang ini adalah bidang profesional.Namun bila doktor mengesahkan tiada kejadian liwat, ada pula doktor yang sanggup menggadaikan keprofesionalannya dan mengesahkan kejadian liwat itu entah kerana wang atau ugutan. Demikinanlah politik Malaysia kini, yang hitam jadi putih, yang putih jadi hitam. Manusia sudah terbalik dalam menilai sesuatu. Yang betul jadi salah, manakala yang salah jadi betul.

3.Begitu juga kalau kita melihat isu royalti minyak Kelantan. Pengerusi Pertama Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah mengakui wujudnya perjanjian antara Petronas dan kerajaan Kelantan. Namun kerajaan Pusat menafikannya, dan hanya bercadang untuk memberikan Wang Ehsan. Wang Ehsan adalah umpama wang sedekah, sedangkan royalti adalah pemberian berdasarkan perjanjian dan hak. Namun perjanjian dan hak itu dicabul oleh para politikus yang rakus dan tamak serta takut kehilangan kuasa. Orang luar menilai Malaysia diperintah oleh sekumpulan orang yang tidak tahu, atau tidak langsung menghormati undang-undang dan sistem keadilan yang digunapakai di serata dunia. Beggitulah politik Malaysia yang cacamerba yang juga dipimpin oleh ahli-hali politik yang juga cacamerba sifatnya.

4. Dari beberapa isu di atas, kita dapat melihat bahawa situasi politik negara semacam sudah tidak ada pegangan, tidak ada undang-undang, tidak ada garis panduan untuk diikuti. Di manakah pergi Perlembagaan Persekutuan dan segala undang-undang yang berkaitan dengan Kanun Acara Jenayah, Akta Keterangan, Kanun Kesiksaan dan sebagainya yang mengimbangi kuasa orang-orang yang memiliki kuasa agar tidak bertindak di luar batasan undang-undang? Atau apakah negara ini adalah sebuah negara barbarian yang tidak ada undang-undang dan polis serta mahkamah, dan juga diperintah oleh kaum barbarian yang tidak tahu apakah itu undang-undang, mahkamah dan polis? Apa akan terjadi kepada negara ini jika keadaan ini berlangsung dalam jangkawaktu yang lama?

5. Kepada rakyat dan kaum cerdik pandai yang mempunyai pandangan yang bersih, kepada kalianlah harapan rakyat marhaen untuk mendapatkan keadilan dan hak mereka yang telah dicabuli oleh pemerintah khasnya UMNO-BN sejak sekian lama. Bangun dan tegakkanlah kebenaran, walaupun ianya pahit untuk ditelan. Namun pengorbanan kalian akan kekal sepanjang zaman, umpama kata pepatah Melayu, harimau mati meningalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

AlKundangi,
8.2.2010.