ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Friday, January 28, 2011

Kawal internet usaha kerajaan tuntut kuasa mutlak

Harakahdaily

Cadangan Kementerian Dalam Negeri meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk dijadikan lebih meluas meliputi internet mendedahkan pemikiran untk mendominasi yang ada pada kerajaan Barisan Nasional.

Peraturan-peraturan sedia ada sudah pun menyukarkan pengamal media, dengan permit penerbitan perlu diperbaharui setiap tahun, berdepan dengan pelbagai kerenah birokrasi didasari politik dan kemungkinan permit ditarik pada bila-bila masa.

Cadangan yang dikemukakan ini perlu diberikan respons yang sewajarnya daripada PAS dan semua parti Pakatan Rakyat, untuk menunjukkan bahawa kerajaan telah melampai batas apabila berani mengemukakan cadangan seperti itu.

Cadangan dikemukakan itu bertentangan sama sekali dengan pendirian Pakatan yang ditegaskan dalam Buku Jingga, iaitu membebas dan meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan “memastikan kebebasan internet.”

Tidak cukup dengan pelbagai halangan dan pembiayaan gerombolan penulis blog proparti pemerintah, ruang bebas internet pula cuba dikawal.

Konteks politik semasa cadangan ini mendedahkan bahawa kerajaan BN berhasrat mengawal media di internet yang selama ini berada di luar capaian mereka, ketika dunia internet semakin menjadi berkesan sebagai alat melawan kerajaan yang zalim.

Seperti yang disaksikan dalam kebangkitan-kebangkitan rakyat di Tunisia dan seluruh dunia, Twitter dan Facebook semakin menjadi elemen yang membantu respons rakyat, terutama dalam membantu usaha-usaha mobilisasi.

Hal ini sangat jelas sehingga kebangkitan-kebangkitan rakyat kini disebut sebagai “revolusi Twitter” ekoran keberkesanan medium internet tersebut.

Mesir, sebuah rejim di Asia Barat yang berdepan protes rakyat ketika ini telah pun mengambil langkah menyekat akses kepada laman Twitter, sebagai langkah mencegah penyebaran maklumat yang tidak berpihak kepadanya.

Jelas sekali bahawa usaha mengawal dan menyekat ini hanya dilakukan oleh kerajaan-kerajaan yang mahu mengawal rakyat daripada memperolehi maklumat yang berbeza daripada yang disuapkan oleh media propemerintah.

Tambahan pula negara kita sedang menanti Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, yang parti-parti pemerintah telah pun menyatakan tekad untuk mengekalkan penguasaan terhadap Putrajaya “at all costs.”

Ini juga memberi gambaran kerajaan yang semakin lemah berdepan dengan maklumat-maklumat yang mampu disampaikan oleh Pakatan dan penyokong-penyokong dalam kalangan rakyat.

Sekiranya dilaksanakan, rakyat akan kehilangan satu ruang mendapat maklumat dan percambahan idea yang penting dalam melaksanakan proses-proses demokrasi.

Akta mengawal media meliputi internet akan memberikan kerajaan kuasa yang mutlak dalam menangani maklumat dan ini sama sekali tidak boleh dibenarkan.

Kerajaan BN telah beberapa kali cuba mengukur respons rakyat dalam usaha menyekat dan mengawal internet.

Boleh dijangka nada lain akan timbul selepas respons awal terhadap cadangan itu mula kelihatan. Tetapi tidak mustahil sama sekali usaha ini bukan yang terakhir.

Pakatan dan rakyat perlu menunjukkan respons yang cukup kuat bagi menyampaikan pendirian tegas menolak usaha yang didasari ketakutan terhadap suara rakyat itu.

sumber:harakahdaily.
Pemikiran Lee Kuan Yew Telah Luput Tarikh
http://www.eperjuangan.com

1. Saat dunia dan seluruh tokohnya bersidang serata dunia mencari formula penyelesaian terhadap konflik yang mencetus huru hara kepada dunia serta penghuninya, saya sangat kesal dengan sikap Lee Kuan Yew yang telah menyemarakkan lagi semangat dendam kesumat dan permusuhan yang tebal terhadap Islam dan ummatnya dengan prasangka - prasangka negatif tanpa berasaskan maklumat tepat mengenai Islam yang sebenar.

2. Buku terbarunya Hard Truths to Keep Singapore Going menampilkan pemikiran Lee Kuan Yew yang telah luput tarikh dan zaman apabila beliau mengaitkan Islam sebagai halangan kepada untuk mewujudkan integrasi kaum dan pembangunan di negaranya.

3. Saya melihat zaman kegemilangan Lee Kuan Yew telah berakhir apabila beliau selaku tokoh negarawan besar Asia bahkan dunia telah mula berfikir seperti pejuang militan yang rasis dan mengalami penyakit Islamophobia yang parah . Biarpun beliau begitu lama hidup dekat dengan komuniti ummat Islam, ternyata beliau masih gagal melihat secara positif bagaimana Islam dan ummatnya menjalani kehidupan dan menyertai politik mahupun ekonomi.

4. Tokoh sebijak Lee Kuan Yew sepatutnya tidak tergesa - gesa membuat kesimpulan mengenai Islam yang mungkin dilihat melalui kacamata yang salah dan serong tanpa terlebih dahulu merujuk kepada tokoh - tokoh ulama' Islam sebagai pihak yang berauthoriti untuk menjelaskan kedudukan Islam dan ummatnya secara tepat dan benar.

5. Lee Kuan Yew selayaknya menyedari bahawa penghalang sebenar kepada keharmonian kaum sehingga mencetus sentimen perkauman yang melampau malah mendorong berlakunya jenayah adalah hasil dari penolakan agama Islam atau salah faham yang serius terhadap agama Islam.

6. Justeru Islam adalah agama yang sangat toleransi kaum dan menghubungkan silaturrahim. Definisi mudah mengenai ajaran Islam ini boleh difahami dari kenyataan Duta Besar Islam ke Habsyah Saiyyidina Jaafar bin Abi Talib dihadapan Raja Najasyi :

Wahai Raja, kami dahulunya orang - orang Jahiliyyah. Kami menyembah berhala, memakan bangkai, melakukan kekejian [ zina ], memutuskan ikatan kekeluargaan, jahat terhadap jiran dan orang yang kuat dari kalangan kami akan menindas orang yang lemah. kami terus dalam keadaan begitu, sehingga lah Allah membangkitkan kepada kami Rasul dari kalangan kami. Kami kenal titisan keluarganya, sifat benarnya, amanahnya dan bersihnya dari melakukan dosa.

Lalu ia mengajak kami kepada Allah, supaya mengEsakanNya dan menyembahNya, meninggalkan apa yang disembah oleh kami dan nenek moyang kami sebelum ini akan patung - patung dan berhala.

Ia menyuruh kami bercakap benar, menunaikan amanah, menghubungkan tali kekeluargaan, berbaik dengan jiran, meninggalkan perkara yang haram, dan meninggalkan pertumpahan darah. Ia melarang kami dari kekejian [zina], bercakap bohong, memakan harta anak yatim dan menuduh perempuan yang bersih dengan tuduhan zina.

Ia menyuruh kami menyembah Allah Tuhan yang Maha Esa dengan tidak mempersekutukanNya dengan suatu yang lain. Ia menyuruh kami mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan berpuasa .......

7. Kenyataan diatas jelas menunjukkan bagaimana orientasi ajaran Islam. Berpegang teguh atau komited dengan ajaran ini tidak menjadikan masyarakat berpecah belah apalagi terperangkap dalam permusuhan dan perkauman sempit yang mencetus huru hara. Sebaliknya Islam menganjurkan kebaikan dan persaudaraan.

8. Sayugianya Lee Kuan Yew menyeru ummat Islam berpegang teguh dengan ajaran Islam yang dianuti oleh mereka agar lahirnya sebuah masyarakat yang sejahtera, harmonis dan membangun. Cara Lee Kuan Yew melihat Islam sebagai penghalang tidak ubah seperti musuh - musuh Islam melihat Islam dengan api dendam dan permusuhan yang berpanjangan.

9. Lebih ketara apabila Lee Kuan Yew turut menaruh rasa curiga yang mendalam terhadap negara jirannya seperti Malaysia dan Indonesia sebagai sebuah negara Islam yang akan mengugat kedaulatan negaranya. Cara fikir dan sikap yang diambil oleh Lee Kuan Yew adalah suatu yang berisiko tinggi bagi keselamatan serantau ini. Malah ianya adalah fikiran yang aktif ke arah mencetus konfrantasi laksana gunung berapi yang aktif sedang menanti masa untuk memuntahkan lavanya.

10. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa supaya Lee Kuan Yew lebih banyak mengkaji Islam dan mempelajarinya dari tokoh Islam yang mempunyai authoriti untuk membetulkan persepsi beliau terhadap Islam. [ Dewan Pemuda PAS Malaysia bersedia untuk memberi penjelasan mengenai Islam kepada Lee Kuan Yew andai diberi peluang untuk berbuat demikian ] Jika tidak,reputasi Lee Kuan Yew akan terus menjunam dan beliau semakin tidak popular sebaliknya dunia termasuk rantau ini sedang menumpu ke arah gaya, sikap dan pemikiran pemimpin - pemimpin muda yang dilihat oleh rata - rata penganalisis politik dan sosial sebagai lebih rasional dan efektif.



Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan

sumber:harakahdaily

Tuesday, January 25, 2011




Pakatan Rakyat Menyokong Pindaan Mengembalikan Kuasa Sultan, BN Menolak

KENYATAAN AKHBAR
24 JANUARI 2011



Saya ingin menekankan di sini bahawa sidang Dewan Negeri Selangor yang diadakan hari ini bukan sidang tergempar. Mesyuarat ini diadakan di bawah Peraturan 10(3) Peraturan-peraturan Tetap Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk membincangkan perkara-perkara spesifik, mendesak dan berkepentingan awam. Hari ini Dewan membincangkan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang melibatkan kepentingan awam.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Tuan Speaker, Dato Teng Chang Kim dan kakitangan Dewan Negeri kerana berjaya menganjurkan mesyuarat hari ini. Kebijaksanaan dan pendekatan profesional Tuan Speaker telah membimbing satu pembentangan usul yang sihat dan bermanfaat.

Hari ini Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor telah mencipta sejarah apabila semua wakil rakyat Pakatan Rakyat bersatu menyokong cadangan pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor bagi mengembalikan kuasa DYMM Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan tiga pegawai ex-officio yang telah dimansuhkan selepas pindaan Perlembagaan 1993.

Dalam pada itu, semua wakil Kerajaan memberi perbahasan baik dan bernas berkenaan satu isu begitu penting kepada rakyat yang gagal disentuh oleh pentadbiran sebelum ini. Perbahasan Pakatan Rakyat hari telah berjaya memartabatkan kesucian Dewan Negeri Selangor dan Eksekutif.

Ini selari dengan keinginan rakyat Negeri Selangor yang mahukan satu pentadbiran professional bagi dua institusi tertinggi – Dewan dan Eksekutif – yang tidak diamalkan di peringkat Persekutuan.

Dari asas ini, usul hari ini adalah untuk meminda Fasal 52(1) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor supaya satu prosedur dibuat bagi pelantikan tiga pegawai ex-officio demi memastikan dasar-dasar kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan cekap dan sempurna.

Kami kesal dengan keputusan wakil-wakil Umno/Barisan Nasional untuk menolak usul ini. Lebih kesal lagi, Barisan Nasional gagal memberikan hujah-hujah yang konkrit dan berkualiti untuk menolak cadangan pindaan ini. Tiada satu pun soalan atau hujah yang kami kemukakan dijawab dengan baik dan professional.

Jelas, penolakan ini dibuat atas nama politik dan kesetiaan mereka kepada pihak-pihak yang berkuasa di Putrajaya. Sepatutnya sebagai wakil rakyat, keputusan mereka perlulah berdasarkan kepentingan rakyat.

Penolakan usul juga membuktikan bahawa Umno yang sebenarnya tidak menghormati sama sekali institusi Raja-raja Melayu dan tetap menghalang Raja-raja Melayu daripada memainkan peranan yang sepatutnya dalam institusi Raja Berperlembagaan.

Sikap hipokrit pihak Umno kini jelas ternampak dalam rekod mereka yang secara konsisten menafikan kuasa Raja-raja Melayu, terutamanya pada tahun 1983, 1993 dan kini, 2011.

Sidang Dewan hari ini membuktikan pemimpin Umno sebenarnya tidak layak untuk menyentuh soal kedaulatan Raja-Raja kerana belang mereka telah terbongkar. Mereka menuduh Pakatan Rakyat tidak menghormati peranan Raja-raja tetapi sebenarnya Umno yang menghakis kuasa Raja-raja melalui pindaan-pindaan Perlembagaan yang telah dilakukan.

Walaupun kita mungkin tidak berjaya untuk membuat pindaan, majoriti ahli Dewan telah menyokong. Ini tidak akan mematahkan semangat Pakatan Rakyat. Malah, isu ini telah menguatkan lagi tekad Pakatan Rakyat untuk membuktikan kewibawaan kami dan memperolehi majoriti dua pertiga dalam pilihan raya kelak supaya pindaan ini dapat dibangkitkan semula.

Kami masih berpendirian bahawa DYMM Sultan Selangor dan Kerajaan Negeri berhak untuk memainkan peranan dalam pemilihan 3 pegawai ex-officio demi memastikan dasar-dasar kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Walaupun pihak Persekutuan nampaknya terus mengenepikan suara rakyat Selangor dan enggan menghormati semangat federalisme atau bertemu setengah jalan, Kerajaan Negeri akan berusaha untuk memastikan pentadbiran negeri akan terus dijalankan dengan baik dan selancar mungkin demi kebajikan rakyat Selangor.

Bersama menjunjung amanah yang diberi oleh rakyat, Kerajaan Pakatan Rakyat akan terus menggandakan usaha untuk melaksanakan tugas dan meneruskan agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor” yang memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

TAN SRI DATO SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

KEDAHLANIE/INFO

Monday, January 24, 2011

Perdana Menteri Wanita: Kenapa Isteri PM Tak Boleh?

Oleh:A Kadir Jasin



KUALA LUMPUR,(Bernama) -- Pihak yang mengkiritik lawatan rasmi isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor ke luar negara tidak faham dengan peraturan yang telah diperuntukan oleh kerajaan.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata lawatan isteri Perdana Menteri itu ke Arab Saudi, Oman dan Bangladesh baru-baru ini dibenarkan mengikut Peraturan Etika Anggota Pentadbiran 1988/1999 yang diputuskan oleh Kabinet.

Mengikut Perkara 1180A di bawah peraturan itu, seseorang isteri anggota pentabiran dibenarkan untuk mewakili seseorang suami atau membuat lawatan ke luar negara atas urusan rasmi berkaitan sesuatu aspek atau perkara asalkan tidak bercanggah dengan kerja rasmi dan urusan kementerian atau menteri berkenaan.

Rais berkata demikian bagi membidas tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan lawatan anggota Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) yang diketuai oleh isteri Perdana Menteri ke tiga buah negara itu.

"Teguran ini bangkit dari rasa politik jahat yang pada akhir-akhir ini dengan apa yang dibuat oleh kerajaan dibangkang dan pembangkang gemar memperli, memperkecilkan dan memfitnah orang-orang yang berkenaan," katanya pada sidang media di sini.

Rais juga berkata terdapat pihak-pihak, terutama pembangkang, yang tidak mengetahui alur serta peraturan pentadbiran negara dengan menganggapnya sebagai sesuatu di luar keadaan yang dibenarkan.

Menyentuh mengenai lawatan ke Oman atas jemputan kerajaan negara itu, Rais berkata Rosmah hanya menjalankan tugas sebagai seorang wanita yang prihatin terhadap pendidikan anak-anak, orang kurang upaya, aspek pendidikan dan hubungan antara wanita yang sememangnya digalakkan.

"Beliau (Rosmah) harus memainkan peranan untuk membantu negara dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dalam kerja-kerja sampingan yang memberi kepentingan kepada negara," katanya.

Rais berkata adalah tanggungjawab pihaknya untuk menerangkan kepada rakyat mengenai status kepentingan lawatan Rosmah dalam membantu negara.

Beliau berkata secara tidak langsung lawatan sedemikian dapat merapatkan hubungan antara Malaysia dengan negara luar, serta membantu mengharumkan nama di persada antarabangsa yang akan membawa perkembangan yang baik kepada negara.

Rosmah dilaporkan berkata beliau tidak terganggu dengan komen negatif yang dilemparkan terhadapnya berhubung lawatan rasminya ke luar negara kerana semua lawatannya itu diatur selepas menerima jemputan daripada kerajaan atau menteri wanita sesebuah negara yang terlibat.

-- BERNAMA



[MUTAKHIR, 21 Jan.]

MUSCAT, 20 Jan (Bernama) -- Datin Seri Rosmah Mansor berkata beliau tidak terganggu dengan komen negatif yang dilemparkan terhadap beliau berhubung lawatannya ke seberang laut.

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata semua lawatannya diatur selepas beliau menerima jemputan daripada kerajaan atau menteri wanita sesebuah negara yang terlibat.

Bercakap kepada media Malaysia pada akhir kunjungan empat hari ke Oman pada Rabu, Rosmah berkata beliau akan membuat lawatan itu apabila diperlukan bagi menyampaikan ucaptama di majlis-majlis tertentu.

"Jadi, biar mereka kata apa yang mereka nak kata, tapi saya rasa bahawa lawatan ini sangat berfaedah bukan sahaja kepada kita tetapi kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau malah parti apapun yang mereka wakili," katanya menyentuh mengenai lawatannya terutama ke Oman.

"Saya berada di sini bukan untuk mewakili seksyen tertentu masyarakat tetapi kami di sini mewakili rakyat Malaysia," kata Rosmah menjelaskan bahawa beliau dan anggota rombongannya diterima baik di sini dan pemerintah Oman, Sultan Qaboos Bin Said, sendiri mengambil berat lawatan itu.




[POSTING ASAL]

PEMBAHAS “Bawal” dalam perbincangan mengenai tajuk “”Hantu” PRU Ke-13 Bagi BN dan PR.” antara lain, berkata: “komen la sikit pasal lawatan bini PM ke Timur Tengah. Ini lawatan rasmi Dato', siap ada perjumpaan ngan Timbalan Menteri kat sana.

Dah takde ke menteri kat Malaysia ni atau Jawatan sebagai bini PM adalah jawatan kerajaan.”

Terima kasih Sdr Bawal. Sebenarnya beberapa orang pembahas lain juga turut membangkitnya hal ini dan isu-isu lain yang melibatkan kegiatan dan tindak-tanduk isteri Perdana Menteri.

Seperti yang telah tegaskan berulang kali, dalam sistem kita tidak ada satu jawatan yang dipanggil “First Lady” atau Wanita Pertama. Kalaupun ada seorang yang boleh diberikan jolokan “First Lady” atau Wanita Pertama, orang itu adalah Seri Paduka Raja Permaisuri Agung kerana “First Gentleman” atau Lelaki Pertama dalam sistem kita adalah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Hak Guna Duit Negara

Mengenai bolehkah duit negara digunakan membiayai lawatan dan kegiatan isteri Perdana Menteri, saya ingin merujuk Sdr Bawal dan para pembaca sekalian kepada laporan New Straits Times pada 12.11.2010 yang berbunyi:

“NO permanent or contractual staff are provided for Datin Seri Rosmah Mansor, wife of Prime Minister Datuk Seri Najib Razak.


In a written reply to Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera), Najib said officers from his office sometimes helped his wife in carrying out her official duties.


However, the Members of Parliament (Remuneration) Act 1980 states that the prime minister's wife is entitled to claim food, lodging and winter apparel allowances when she accompanies her husband on his official duties overseas.”

(Tidak ada pegawai tetap atau kontrak diperuntukkan kepada Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam jawapan bertulis kepada Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera), Najib berkata pegawai dari pejabatnya kadang kala membantu isterinya menjalankan tugas rasminya.

Bagaimanapun, Akta Ahli Parlimen (Gajian) 1980 mengatakan isteri Perdana Menteri berhak membuat tuntutan elaun makan, penginapan dan pakaian musim sejuk apabila mengiringi suaminya dalam tugas rasmi di luar negara.”)

Terpulanglah kepada pembahas dan pembaca membuat interpretasi dan mencari kesimpulan mengenai lawatan Rosmah ke Asia Barat tanpa diiringi oleh Perdana Menteri.

Cadangan Rosmah Masuk Politik

Dalam bahas blog ini, ada beberapa pembahas mencadangkan agar Rosmah masuk politik dan bertanding pilihan raya umum akan datang. Bagi saya, cadangan sebegini bukan jenaka tetapi boleh dilihat sebagai sesuatu yang serius dan berkemungkinan berlaku.

Malah seorang bekas menteri kanan yang diketahui cucup akrab dengan Mohd Najib dan Rosmah berkata isteri Perdana Menteri itu berpengaruh dan berpotensi memanfaatkan kedudukan istimewanya untuk satu peranan yang lebih besar.

Kita boleh bincang dan bahas hal ini, tatapi saya minta tolong berhati-hati dan bersopan santun. Saya tidak akan menyiarkan ulasan yang berunsur fitnah dan hasutan yang boleh membawa padah.

Soalnya kenapa tidak Rosmah? Buat permulaan, beliau sudah pun mempunyai profil yang cukup tinggi dan mempunyai kedudukan de fakto dalam sistem pemerintahan negara memalui Projek Permata Negara untuk kanak-kanak pintar yang mendapat peruntukan langsung dari Perbendaharaan sebanyak RM111 juta dalam belanjawan 2011 dan RM100 juta pada 2010. Beliau juga memperoleh dan menikmati liputan berita yang cukup rapi dan meluas daripada media massa arus perdana.

Kenapa tidak? Bukankah sudah wujud gandingan suami-isteri dalam landskap politik Malaysia iaitu Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail? Malahan, gandingan bapa-emak dan anak pun sudah ada – Anwar, Wan Azizah dan Nurul Izzah.

Selain itu wujud dinasti politik lain seperti gandingan Lim Kit Siang dengan Lim Guan Eng, Karpal Singh dengan Gobind Singh Deo dan Jagdeep Singh Deo. Malah Mohd Najib, Anwar, Hishammuddin Hussein, Mukhriz Mahathir dan ramai lagi adalah pewaris dinasti politik.

Jadi kenapa tidak Rosmah? Kalau Rosmah tidak ada peranan yang berkesan dan definitif, masakan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, membuat pertemuan khas dengan beliau dalam rangka lawatannya ke Malaysia pada tahun 2009 dan secara terbuka mengiktiraf kesepakatan Rosmah-Mohd Najib?

Jadi apa salahnya atau memeranjatkan sangat jikalau Rosmah bertanding pilihan raya dan akhirnya menjadi pengganti suaminya?

Gandingan Ahli Keluarga Perkara Biasa


Hal ini berlaku bukan sahaja di Singapura di mana Lee Hsien Loong menjejaki bapanya menjadi Pardana Menteri, malah ia juga berlaku di banyak negara di dunia.

Contohnya di India di mana Indira Gandhi menjejaki bapanya Jawaharlal Nehru, menjadi Perdana Menteri. Indira digantikan pula oleh anaknya Rajiv Gandhi. Indira dan Rajiv kedua-duanya mati dibunuh. Kini isteri Gandi, Sonia seorang keturunan Itali menjadi Presiden parti pemerintah, Indian National Congress dan anak mereka, Rahul adalah Ahli Parlimen dan diuar-uarkan sebagai bakal Perdana Menteri.

Di Sri Lanka, Chandrika Bandaranaike Kumaratunga yang menjadi Presiden dari 1994 hingga 2005 adalah anak kepada dua Perdana Menteri -- bapanya S.W.R.D Bandaranaike dan ibunya Sirimavo Bandaranaike.

Di Filipina, apabila calon Presiden Benigno “Ninoy” Aquino dibubuh, isterinya, Corazon Aquino bertanding dan menang. Kini anak mereka, Benigno Aquino III, menyandang jawatan itu. Presiden Gloria Macapagal-Arroyo pula adalah anak Presiden Diosdado Macapagal.

Sheikh Hasina Wazed, Perdana Menteri Bangladesh sekarang adalah anak sulung Sheikh Mujibur Rahman, pengasas dan Presiden pertama negara itu manakala Begum Khaleda Zia, bekas Perdana Menteri, adalah janda Presiden Ziaur Rahman yang dibubuh.

Di Pakistan, Allahyarhamah Benazir Bhutto menduduki kerusi yang pernah diisi bapanya, Zulfikar Ali Bhutto sebagai Perdana. Zulfikar mati di tali gantung, Benazir mati dalam pengeboman bunuh diri.

Di Argentina, Presiden NĂ©stor Carlos Kirchner digantikan oleh isterinya Cristina Fernandez de Kirchner. Eva “Evita” Peron hampir menjadi Naib Presiden Argentina di samping suaminya kalau tidak kerana mati batuk kering.

Kini, isteri Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, Ibu Kristiani Herawati diuar-uarkan akan bertanding jawatan Presiden apabila tempoh perkhidmatan suaminya tamat.

Tidak Mustahil Rosmah Jadi PM

Kesimpulannya, adalah tidak mustahil Rosmah Mansor atau mana-mana wanita selebriti bertanding pilihan raya dan, jika dikehendaki oleh majoriti pembesar parti mereka, dicalonkan sebagai Perdana Menteri.

Saya rasa pembangkang pun akan pening kepala kalau Rosmah bertanding. Hubungan beliau yang akrab dengan bintang-bintang Bollywood, boleh digunakan untuk menarik puluhan ribu hadirin ke ceramah-ceramah pilihan rayanya.

Yang perlu hanya membawa bintang-bintang filem Bollywood dalam kempen beliau. Selain itu, beliau juga seorang penyanyi yang bagus yang tentunya boleh memikat hati pengundi Melayu yang rata-rata gilakan Bollywood dan sukakan hiburan.

Kalau negara Islam yang lebih besar dan konservatif seperti Pakistan dan Bangladesh boleh menerima Perdana Menteri dan Presiden wanita, pastinya Malaysia yang lebih progresif tidak akan menolak kepemimpinan wanita.

Hatta Pas pun sedang hebat mempromosikan penyertaan wanita dalam hierarkinya manakala PKR sudah pun dipimpin oleh wanita. Wallahualam.

kadirjasin.blogspot.com