ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Saturday, August 8, 2009

KELESUAN KAUM INTELEKTUAL

KELESUAN KAUM INTELEKTUAL

(tulisan ini pada asalnya saya tulis untuk laman marhaen dan tranungkite pada 25.11.2001.SAya menemuinya kembAli dalam laman umno reform, nama penulis di bawah artikel ini tidak dibuangnya, walaupun umno reform mengatakan ini tulisannya. memandangkan isinya masih relevan, penulis mengubahsuai di mana perlu dan menerbitkannya semula. pada tahun 2001 itu blog belum ada, kalau ada pun tidak popular di negara ini).


Sebutan intelektual dalam bahasa kita ditujukan terhadap kaum cerdik pandai yang berjaya mencapai satu tahap pendidikan yang jika dibandingkan dengan masyarakat terbanyak,ia adalah lebih tinggi dari tingkatan yang biasa. Sebenarnya sebutan intelektual suatu waktu dahulu diperluaskan kepada sesiapa sahaja yang menerima pendidikan tinggi di negara ini tanpa mengira apakah mereka prihatin dengan masyarakat dan budayanya di mana dia tinggal dan membesar. Apakah mereka memberikan suatu sumbangan yang berbentuk abstrak seperti pemikiran untuk kemajuan masyarakat dan negaranya tidak pernah pula dipersoalkan.


Kata intelektual dalam bahasa Inggeris merujuk kepada sejenis peribadi yang tersendiri yang telah mengalami kecerdasan dan kehalusan budi lewat pendidikan yang diterima nya. “Seseorang mungkin lebih tinggi kedudukan kesarjanaannya dan tersangat arif di dalam sesuatu bidang, tetapi selama mana seseorang itu tidak mempunyai minat dan peka terhadap rangsangan-rangsangan budayanya dia belum berhak dinobatkan sebagai seorang intelektual. Dalam masyarakat Inggeris, mereka akan tercengang apabila mendengar kata intelektual ditujukan kepada seseorang yang sama sekali tidak menaruh perhatian terhadap perkembangan budaya bangsanya sendiri.”(Subagio Sastrowardojo, Bakat Alam Dan Intelektualisme, Pustaka Jaya,hlm.73). Apa yang dapat dibuat kesimpulan di sini ialah seseorang intelek bukanlah bergantung kepada ijazah BA,MA atau PhDnya yang berjela, tetapi ia bergantung kepada adanya sumbangan pemikiran dan menaruh rasa prihatin terhadap masalah bangsa dan agamanya dari segenap aspek kehidupan. Inilah intelektual sebenar yang kita perlukan terutama dalam mengharungi era globalisasi ini.


Melihat kepada realiti masyarakat kita pada hari ini, kita memang mempunyai ramai cerdik pandai yang berbakat dalam berbagai bidang. Saban tahun universiti-universiti tempatan mengeluarkan para siswazah puluhan ribu banyaknya.Itu belum lagi diambil kira yang pulang dari luar negeri dengan ijazah yang berjela-jela panjangnya. Namun kedudukan kesarjanaan itu kian mengecil ibarat bentuk piramid jika kita mengambil kira tahap pendidikan sehingga ke tahap PhD atau doktor falsafah dalam sesuatu bidang. Tetapi apakah mereka ini semua layak dipanggil kaum intelektual? Di manakah sumbangan mereka terhadap pembangunan masyarakat kita,sumbangan pemikiran mereka terhadap masyarakat yang kian dilanda berbagai masalah sosial? Siapakah yang kembali berjuang untuk membela masyarakat yang tertindas oleh gejala tamak haloba para pemimpin politik yang korup, yang sengaja meninggalkan masalah yang besar kepada negara apabila mereka meletak jawatan,dengan beban hutang yang kian meningkat.



Bagaimanakah kita membantu negara mengembangkan kembali ekonomi ke paras yang lebih normal, ekonomi negara yang kini bukan saja tidak begitu berkembang, sepertimana yang dilaporkan oleh Gabneor Bank Negara.?Inilah di antara sekian banyak persoalan yang menghantui masyarakat Malaysia yang begitu ramai berkelulusan IPTA dan IPTS tetapi tidak menyumbangkan apa-apa dalam menyelesaikan masalah sosial dan politik dalam negara ini.


Suatu waktu dulu kaum cendekiawan kita lebih bertanggungjawab, lebih bersikap neutral dalam menghadapi berbagai masalah khususnya yang berkaitan dengan perkembangan politik negara.Bahkan ada di antaranya sanggup berkorban jiwa dan raga untuk membantu menyelesaikan masalah masyarakat dan negaranya melalui berbagai-bagai saluran seperti penulisan,politik,aktivis masyarakat,pertubuhan,kewartawanan ,menjadi guru dan pensyarah di pusat-pusat pengajian tinggi Di mana sahaja mereka berada,mereka tetap tidak melupakan masyarakat bawahan yang tidak secerdik mereka. Tokoh-tokoh seperti Syed Sheikh AlHadi,Abd.Rahim Kajai,Burhanuddin Helmi, Zulkifli Muhammad ,Ishak Haji Mohamad dan sekian banyak nama yang tidak dapat disebutkan di sini sentiasa berkerja keras dalam membantu membangunkan masyarakat dan negaranya. Tetapi ke manakah perginya kaum cerdik pandai kita sekarang ini?


Pada dekad tujuh puluhan pula kita mendengar ramai para intelektual yang lahir dalam masyarakat kita, tidak kiralah samada mereka itu dari bidang apa yang diceburi.Di antaranya ada yang masih hidup sehingga kini. Pada dekad ini golongan sasterawan adalah palimg ramai bermunculan dan menggelarkan diri mereka sebagai kaum intelektual atau para cendekiawan. Setakat mana sumbangan mereka tidaklah pula dipertikaikan. Di sini lahirlah nama-nama seperti Usman Awang,Kassim Ahmad, Baharudin Zainal,Fidaus Abdullah dan sebagainya yang mewarnai bidang kesusasteraan. Di bidang kewartawanan terdengar nama A.Samad Ismail,Malungun dan sebagainya. Di bidang akademik nama Engku Aziz tidak pernah luput hingga kini. Nama Tun Abd.Razak terserlah dalam bidang politik,di samping Singa Umno,Datuk Harun dan lain-lain.


Tetapi pada dekad-dekad terakhir ini sehinggalah ke abad dua puluh satu kita telah kehilangan kaum intelektual itu. Mereka sudah hilang dari pentas cendekiawan. Namun kekosongan itu diisi pula oleh kaum intelektual dari bidang di mana mereka lebih faham tentang Islam. Sebenarnya inilah kaum cerdik pandai yang tulin yang kita nantikan kelahirannya.Nama-nama seperti Ustaz Fadhil Noor,TG Abd.Hadi Awang,TG Nik Aziz Nik Mat, DS Anwar Ibrahim, Subky Abd.Latif dan ramai lagi di kalangan kaum ulama seperti Ismail Kamus dan Dr.Harun Din . Tokoh-tokoh politik yang lain yang berdasarkan fahaman politik bukan Islam atau berfahaman sekularisme mulai terpinggir termasuk Perdana Menteri sendiri, walaupun beliau banyak memberikan sumbangan pemikiran terhadap masyarakat berdasarkan jumlah buku yang dihasilkannya. Tokoh-tokoh politik sekular ini tidak lagi menjadi pujaan masyarakat,sebaliknya menjadi kejian dan cacian.Hal ini mungkin disebabkan ketiadaan kehalusan budi seperti yang dibayangkan oleh kata intelektual di awal rencana ini tadi. Masyarakat tidak dapat lagi menerima kaum intelektual yang bergelumang dengan kemewahan,tetapi rakyat marhaen tersepit dan terjepit hidupnya akibat dari berbagai tekanan dari soal ekonomi,peribadi, kebebasan bersuara hinggalah kepada kebebasan berpolitik.


Di sinilah kita melihat kaum intelektual terutama yang beraliran sekularisme sudah kehilangan peranannya dalam membentuk arah dan halatuju masyarakat Malaysia. Masyarakat tidak lagi menghormati para cendekiawan yang mementingkan diri sendiri,membina kekayaan pribadi dan sebagainya tanpa mengambil peduli anggota masyarakatnya yang kurang bernasib baik itu.



Sikap masyarakat juga turut memainkan peranan dalam era kelesuan intelektual ini. Masyarakat umum tidak lagi menghormati kaum cendekiawan. Masyarakat terbanyak juga sudah dilanda dengan fahaman materialisme yang mereka peroleh hasil pendidikan sekular yang ditanamkan oleh pemerintah. Apa yang masyarakat kita fikirkan sekarang ialah rumah besar,jawatan tinggi dan kereta besar dan berjenama sebagai lambang status sosial mereka. Mereka yang berkelulusan tinggi juga turut terpesona dengan angin materialisme ini. Kaum cendekiawan yang dahulunya aktif dalam akademik dan pemikiran telah pula menceburkan diri dalam bidang politik pemerintah, dan mereka pula tidak lagi prihatin kepada masalah masyarakat massa.Bahkan sebaliknya mereka sendiri menyokong puak pemerintah yang kian korup dan mementingkan diri sendiri itu. Demkianlah tenggelamnya nama-nama seperti Mahadzir Mohd Khir,Firdaus Abdullah, Ismail Hussein dan lain-lainnya dari pentas kaum cendekiawan tanahair.


Kini kaum intelektual yang masih belum jumud adalah kaum intelektual-ulama yang berjuang untuk memperbaikki masyarakat massa melalui pentas politik pembangkang, atau apa yang lebih kita kenali kini sebagai Barisan Pakatan Rakyat. Kaum cerdik pandai dari Parti PAS,Keadilan,PRM dan DAP terus berjuang bersama masyarakat terbanyak untuk menuntut keadilan hak, kebebasan bersuara dan sebagainya sepertimana halnya yang terdapat dalam hak-hak asasi manusia yang dipersetujui oleh sekelian bangsa. Sementara kaum intelektual dalam barisan parti pemerintah sudah tidak lagi berperanan kerana tidak lagi mengintegrasikan dirinya ke dalam masyarakat terbanyak. Mereka hanya sibuk dengan kuasa dan harta yang ada pada mereka,rakyat marhaen tidak perlukan perhatian bahkan tidak pun pernah diperhatikan.“Perlu dijelaskan, bahawa maksud peranan intelektual bukan bererti pimpinan intelektual. Konsep bahawa intelektuallah yang mengubah masyarakat,bahawa intelektuallah dengan sendirinya menjadi pemimpin, saya kata tidak tepat. Sejarah perubahan sesuatu masyarakat dan negara bukan kerana pimpinan dan perjuangan intelektual,tetapi lahir dan timbul dari masyarakat dan perjuangan rakyat itu sendiri, kaum taninya dan kaum buruhnya. Intelektual-oleh keadaan dan bilangannya-tidak mungkin memulakan suatu revolusi,tetapi rakyatlah memulakannya. Hapusnya perhambaan bukan kerana perjuangan intelektual, tetapi kerana kesedaran hamba abdi itu sendiri,dan daripada merekalah lahir pemimpin yang memutuskan rantai yang membelengu mereka. Idea dan teori biasanya memang daripada kaum intelektual, tetapi mereka bukanlah memegang peranan utama sebagai peneroka dan pencetus tindakan. Dan apabila ada intelektual yang mempelopori perjuangan dan memegang peranan utama, ia pastilah lahir dan timbul di kalangan rakyat,dari tengah-tengah rakyat, kerana intelektual itu telah mengntegrasikan dirinya dengan rakyat (Usman Awang, Peranan Intelektual,Institut Analisa Sosial, hlm.12).


Demikianlah sepatutnya seseorang kaum intelektual itu berperanan. Tetapi peranan itu kini lesu selesu lesunya kerana dihambat oleh pengaruh arus materialisme yang amat mencengkam minda kaum intelektual itu sendiri. Kita masih menantikan mereka memainkan peranan sebagai individu yang tercerdik dalam masyarakatnya, tetapi kita tidak dapat menaruh harapan yang muluk-muluk terhadap mereka,apalagi yang bersongkokol dengan pemerintah,yang mempertahankan kezaliman dan penindasan,korupsi, kronisme dan nepotisme yang sudah mengakar ke dalam tubuh masyarakat kita. Intelektual harus bebas,harus membebaskan dirinya dari sebarang cengkaman yang membantutkan minda, agar peranannya dapat terus dimainkan khususnya dalam mengharungi era globalisasi ini.

AlKundangi,
8.8.2009
http://alkundangi.blogspot.com

Friday, August 7, 2009

PENDOBRAK BERHALA -III

Ia merupakan revolusi menentang keaniyaan, penyelewengan, dan kesewenang-wenangan. Revolusi yang telah melucuti para penguasa dan sultan-sultan dari segala hak istimewa mereka, dari kekuasaan. Sebabnya adalah kerana ia mengembalikan dalam persoalan hukum dan peundangan seluruhnya kepada Allah da mengembalikan seluruh persoalan yang menyangkut dengan pemilihan orang yang akan melaksanakan hukum dan undang-undang itu kepada rakyat

"Kalau kamu berkata , maka berkatalah dengan adil, walau pun mengenai seorang anggota kerabat terdekat (AlAn'am:152).

"janganlah kebencian sesuatu golongan menjadikan kamu bertindak tidak adil.Berlaku adilah kerana ia lebih dekat kepada takwa dan takutlah kepada Allah." AlMaihad:8).

Jadi ia merupakan satu keadilan mutlak yang timbangannya tidak pernah digoncang oleh rasa benci atau kasih. Keadilan itu dapat dinikmati oleh seluruh anggota umat Islam. Tidak ada perbezaan berdasarkan kemuliaan dan keturunan., atau kerana harta dan kewibawaan. Keadilan ini juga dinikmati oleh bangsa-bangsa lain walau pun antara mereka dan kaum muslimin terdapat rasa kebencian. Ini merupakan puncak keadilan yang belum pernah dicapai oleh undang-undang antarabangsa manapun sampai saat ini, dan juga belum sampai dicapai oleh undang-undang dalam negeri manapun.

Jika ada orang meragukan hal ini mereka dapat memerhatikan bagaimana keadilan hanya untuk sikuat dan bukan untuk silemah di antara bangsa-bangsa. Perhatikan yang dicapai oleh pihak-pihak yang berperang. Kemudian cuba pula perhatikan keadilan orang kulit putih dan kulit hitam di Amerika Syarikat, serta keadilan orang kulit putih terhadap kulit berwarna di Afrika Selatan. Kenyataan-kenyataan ini dirasa sudah cukup dan tidak perlu dijelaskan lagi kerana semua orang sekarang ini mengetahuinya.

Yang penting dalam keadilan Islam itu adalah bahawa semuanya itu bukan hanya teori, tetapi telah mendapat kesempatan untuk dipraktikkan di alam kenyataan. Kenyataan sejarah telah dapat memelihara contoh-contoh yang cukup umum diketahui.

Syed Qutb,
disunting dari: Dirasatul Islamiyyah.
http://alkundangi.blogspot.com
7.8.2009.

Thursday, August 6, 2009

ISU ARAK DI SELANGOR: PAS vs DAP

OLEH KADIR JASIN

ADA dua isu pokok dalam desakan Pas Selangor kepada kerajaan campuran Pakatan Rakyat negeri itu agar melucutkan jawatan Exco Kerajaan Tempatan daripada wakil DAP, Ronnie Liu Tian Khiew, dan mengharamkan jualan bir di kawasan majoriti Muslim.Pertama, bukti campur tangan Liu dalam kegiatan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kedua perniagaan arak dalam kawasan majoriti orang Islam.

Cerita campur tangan Liu dalam operasi agensi-agensi penguatkuasaan terhadap kegiatan perjudian, hiburan dan arak bukanlah rahsia.Malah, seperti yang diadukan oleh Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Hassan Ali, Liu mengarahkan unit penguatkuasaan Majlis Bandaraya Shah Alam memulangkan 70 tin bir yang dirampas daripada sebuah kedai runcit di Seksyen 8 dan memohon maaf kepada pekedai terbabit.Sebagai tindak balas, Pas mahu kerajaan negeri memasukkan bir dalam senarai arak yang diharamkan penjualannya di semua kawasan majoriti orang Islam.

Dua isu pokok yang saya maksudkan itu adalah pertama, meminum arak adalah hak orang bukan Islam dan perniagaan arak adalah antara kegiatan ekonomi eksklusif orang bukan Islam.Jadi adalah mustahil bagi Liu dan DAP tidak mempertahan penjualan arak. Inilah punca konflik antara Pas dan DAP. Masing-masing mempunyai ideologi dan alasan yang berbeza.Seperti pernah saya katakan iaitu lama sebelum Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan untuk memberi sedikit bantuan kepada kaum majoriti Bumiputera, orang bukan Islam sudah pun memonopoli ekonomi dan diperuntukkan beberapa sektor eksklusif seperti judi, arak dan ternakan babi. Ini belum diambil kira monopoli gula dan francais tertentu.

Sektor eksklusif ini pastinyalah tidak akan dilesenkan kepada orang Islam atau disertai mereka kerana kegiatan-kegiatan ini adalah haram.Tepati oleh kerana judi, arak dan hiburan berupa kegiatan yang digemari ramai maka daripada lesen yang diberikan itu muncullah syarikat judi raksasa seperti Genting (Mendiang Lim Goh Tong), Sports Toto (Vincent Tan), Tanjung PLC (Ananda Krishnan) dan Empat Nombor Ekor.Syarikat-syarikat ini pula memberi francais kepada puluhan ribu agen di seluruh negara yang semuanya bukan Islam. Begitu jugalah halnya dengan perniagaan arak dan ternakan babi.

Hatta apabila kerajaan memperkenalkan kegiatan ekonomi yang menepati syariah seperti perbankan Islam, takaful dan makanan halal pun, majoriti pelanggannya adalah orang bukan Islam kerana mereka menguasai bidang ekonomi.Jadi, manakala saya bersimpati dengan Dr Hassan, saya kurang yakin Menteri Besar PR Selangor yang mewakili PKR, Abdul Khalid Ibrahim, berani bertindak melucutkan jawatan Liu dan mengehadkan penjualan arak walaupun kerajaan negeri berhak ke atas pelesenan premis arak, judi, hiburan dan riadah.

Harus diakui bahawa Pas adalah rakan terkecil dalam kerajaan PR Selangor dengan hanya lapan kerusi Adun berbanding PKR 15 dan DAP 13.Lagipun bilangan wakil rakyat beragama Islam dalam kerajaan PR Selangor adalah lebih kecil daripada bukan Islam – 17 Islam lwn 19 bukan Islam.Namun Abdul Khalid dan DAP mungkin tidak akan menghampakan Pas memandangkan pada masa lampau Pas begitu komited mempertahankan rakan pakatannya seperti dalam kes gambar bogel Elizabeth Wong Keat Ping (PKR) dan kes kematian Teoh Beng Hock, pembantu khas Adun DAP Een Yong Hian Wah.Dalam pusingan pertama, Pas mengalah apabila ia bertolak-ansur dalam kes rumah sembelihan babi di Kedah atas tekanan wakil tunggal DAP, Lee Guan Aik walaupun majoriti Adun PR Kedah adalah Melayu dan Muslim.

http://kadirjasin.blogspot.com,
6.8.2009

KISTIMEWAAN RISALAH ISLAM - 1

KEISTIMEWAAN RISALAH ISLAM - I

Di antara yang membezakan Islam daripada agama-agama, falsafah-falsafah dan ideologi-ideologi yang dikenal manusia ialah ciri yang menyeluruh (syumul) dengan segala pembawaan maknanya yang merangkumi dan meliputi segala-galanya. Ia merangkumi semua zaman dan meliputi seluruh kejadian dan kehidupan manusia. Seorang ulama menggambarkan kesyumulan itu seperti berikut:

"Islam adalah risalah yang panjangnya meliputi semua zaman, lebarnya mengatur segenap lapis hidup manusia dan dalamnya merangkumi persoalan dunia dan akhirat."

Risalah Semua Zaman

Islam adalah risalah bagi setiap zaman dan generasi, bukanlah risalah terhad pada masa tertentu yang peranannya habis dengan berakhir zaman itu, sebagaimana keadaan risalah nabi-nabi terdahulu dari Muhammad SAW. Bahawa setiap nabi diutus bagi jangka masa tertentu. Bila tempuh itu habis, maka Allah SWT mengutus pula nabi yang lain. Adapun Muhammad SAW adalah penutup para nabi. Oleh itu risalahnya adalah risalan yang abadi yang berkekalan hingga ke hari kiamat dan meliputi seluruh alam. Risalah ini membawa hidayah yang terakhir kepada umat manusia. Jelaslah tidak ada syariat selepas Islam, tidak ada kitab selepas AlQuran dan tidak ada nabi selepas Nabi Muhammad SAW.

Tidak ragu-ragu lagi bahawa Islam adalah risalah masa depan yang abadi dan risalah masalalu yang jauh. Sesungguhnya pokok Iktikad dan Akhlaknya adalah menjadi risalah bagi tiap-tiap nabi yang diutus dan tiap-tipa kitab yang diturunkan. Maka semua nabi datang dengan Islam, menyeru kepada Tauhid dan menjauhi Thaghut.

“Dan tidak kami utus seorang rasul pun sebelum kamu melainkan Kami mewahyukan kepadanya: Bahawasanya tidak ada Tuhan melainkan Allah, maka sembahlah kamu akan Aku (Allah).(AlAnbiya’:25).

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): Sembahlah Allah dan jauhilah Thahghut..(AnNahlu:36).


Dan aku diperintahkan supaya aku termasuk golongan muslimin (AlBaqarah:132).

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihissalam berkata:

Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang Muslim kepadamu dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang muslim kepadaMU (AlBaqarah:128).

Nabi Ibrahim dan Nabi Yaacub berwasiat kepada anak-anaknya:

Hai anak-anakku,sesungguhNya Allah SWT telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.(AlBaqarah:132).


ISLAM RISALAH SELURUH ALAM

Apabila risalah Islam ini tidak terbatas kepada masa dan generasi, maka demikian pulalah ia tidak terbatas kepada suatu tempat, atau segolongan umat atau satu bangsa atau satu kelas masyarakat tertentu. Sesungguhnya ia adalah risalah sejagat yang merangkumi setiap umat, setiap jenis manusia, setiap bangsa dan setiap kelas dalam masyarakat. Ia bukan satu risalah bagi bangsa yang tertentu , yang mendakwa bangsanya pilihan Tuhan dan seluruh manusia mesti tunduk kepadanya. Ia bukan risalah bagi kawasan tertentu sehingga kawasan-kawasan lain terpaksa mengakuinya supaya ia dapat menarik keuntungan kepadanya.

Ia bukan risalah kepada satu kelas tertentu dalam masyarakat supaya ia dapat memerintah kelas-kelas yang lainnya berkhidmat untuk kepentingannya atau mengikut kemahuannya atau pun ia dapat mengeksploitasinya, samada kelas yang berkuasa itu dari kalangan orang-orang kuat atau orang-orang lemah, dari kalangan pemimpin atau hamba, dari kalangan orang-orang kaya atau miskin atau pun dari kalangan rakyat marhaen.

Sesungguhnya Islam adalah risalah untuk seluruhnya, bukan untuk kepentingan satu golongan manusia. Dan tidaklah menjadi hak monopoli satu golongan tertentu untuk memahamkan, mentafsirkan serta mendakwahkan Islam seperti yang difahamkan oleh ssesetengah orang. Sesungguhnya ia adalah hidayah Tuhan manusia kepada setiap manusia dan rahmat Allah bagi setiap hamba Allah.

“Dan tiadalah kami mengutusmu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta Alam.”(AlAnbia:107).

“AlQuran itu tidak lain hanyalah peringatan untuk segala umat.”(AlAn’am:90).


Sesetengah orientalis menyangka Nabi Muhammad tidak mengisytiharkan pada permulaannya bahawa beliau adalah utusan Allah kepada seluruh manusia, tetapi hal itu dilakukannya setelah beliau mendapat kemenangan ke atas kaumnya bangsa Arab. Maka ayat-ayat yang disebutkan di atas itu menolak sangkaan mereka. Ini disebabkan kesalahfahaman mereka berhubung ayat-ayat makkiyyah (yang diturunkan di Mekah). Ayat-ayat sepertinya banyak diturunkan pada masa-masa permulaan turunnya AlQuran.

Sheikh Yusoff AlQardhawy.
Sumber:Islam Dakwah Yang Syumul.
http://alkundangi.blogspot.com
6.8.2009

ISTERI PEMIMPIN TALIBAN TERBUNUH

Isteri pemimpin Taliban terbunuh

ISLAMABAD - Isteri dan bapa mertua kepada pemimpin Taliban Pakistan, Baitullah Mehsud dilaporkan terbunuh semalam dalam serangan udara di wilayah Waziristan Selatan. Serangan peluru berpandu yang dilepaskan tentera Amerika Syarikat (AS) dikatakan mengenai rumah bapa mertua Baitullah, Akramud Din yang juga pemimpin Tehrik-e-Taliban. "Saya mengesahkan perempuan yang terbunuh dalam serangan semalam adalah isteri Baitullah Mehsud," kata seorang saudara Baitullah. Menurut sumber perisikan, dua anggota Taliban turut maut dalam serangan itu. Peluru berpandu itu mengenai kediaman Akramud yang berdinding tinggi di Makeen pada jam 1 pagi waktu tempatan kelmarin. Menurut seorang pegawai wilayah Waziristan Selatan, dua peluru berpandu dilepaskan dalam serangan semalam. Namun ketika serangan lokasi sebenar Baitullah tidak dapat ditentukan.

www.sinarharian.com.my
6.8.2009

KEMATIAN H1N1 MENINGKAT

Kematian akibat H1N1 meningkat kepada 12

KUALA LUMPUR - Bilangan kes kematian akibat Influenza A(H1N1) meningkat kepada 12 orang semalam, dengan empat kematian lagi termasuk tiga kanak-kanak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican berkata, ketiga-tiga kes kematian di Hospital Melaka berlaku dalam tempoh dua hari lepas.

Menurutnya, kematian pertama melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun yang mempunyai sejarah jangkitan saluran pernafasan kronik dan meninggal dunia akibat jangkitan radang paru-paru teruk.

“Selain itu seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun dengan kegagalan buah pinggang kronik dan sedang menjalani rawatan dialisis juga meninggal dunia akibat jangkitan pneumonia teruk,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mangsa ketiga ialah seorang lelaki berumur 20 tahun yang menghidap kronik asma yang meninggal dunia juga kerana radang paru-paru teruk.

Di Johor Bahru, seorang budak lelaki berumur enam tahun meninggal dunia semalam juga selepas mengalami radang paru-paru, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kesihatan Johor, Dr Robia Kosai.

Beliau berkata, budak lelaki itu yang demam sejak beberapa hari lepas dihantar ibu bapanya mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta sebelum dimasukkan ke Hospital Batu Pahat apabila keadaannya semakin teruk.

Sementara itu, jumlah kes Influenza A(H1N1) sehingga 8 pagi semalam adalah 1,476 kes dengan 574 merupakan kes import dan 902 kes jangkitan tempatan.

Dr Ismail berkata 1,413 kes telah sembuh manakala 10 masih dirawat di ICU dan 28 lagi sedang menerima rawatan antiviral di wad isolasi.

Di Labuan, lapan kes baru jangkitan tempatan dilaporkan dan tiga lagi sekolah diarah tutup sejak semalam.

Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Zaini Hussin berkata dua kes itu masing-masing di Sekolah Kebangsaan Pekan, Sekolah Kebangsaan Pantai dan Sekolah Menengah Sains.

Pelajar yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Sains itu dikuarantin dan tidak dibenarkan keluar dari kawasan sekolah.

Pengetuanya, Ali Deros berkata, pelawat termasuk ibu bapa dan saudara mara pelajar dilarang memasuki kawasan sekolah tersebut.


www.sinarharian.com.my
6.8.2009

Sunday, August 2, 2009

PENDOBRAK BERHALA-II

Ia adalah satu revolusi menentang perbedaan kemasyarakatan dan sistem kelas. Bagi para pemimpinQuraisy,semuanya dapat dilakukan selain dari menghanurkan kebanggaan keturunan dan memuja-muja ketinggian keturunan. Dalam pemikiran para pemimpin ini kepercayaan itu tidak masuk akal dan berhala-berhala mereka tertawakan. Mereka tahu apa yang diserukan oleh Muhammad SAW itu jauh lebih baik dibandingkan dengan akidah yang mereka miliki. Walaupun demikian, mereka tetap mempertahankan kepercayaan mereka dengsn segala kekuatan. Kenapa? Kerana apa yang diserukan oleh Muhammad SAW itu akan menghancurkan dominasi mereka, kelainan mereka dan kebanggaan mereka akan nenek moyang serta kekayaan yang mereka warisi yang melambangkan tingkat-tingkat masyarakat dalam pegertiannya yang paling kejam.


Rombongan haji melakukan wukuf di Arafah dan melakukan perjalanan ke Mina dan Mekah dari sana. Sedangkan orang Quraisy melakukan wukuf di Muzdalifah dan dari sana pula mereka memulai perjalanan. Lalu Muhammad SAW, yang juga seorang pemuka Quraisy melakukan wukuf di Arafah. AlQuran memerintahkan orang Quraisy :

"Dan mulailah perjalanan dari Mina dan Mekah itu dari tempat di mana orang lain memulakannya."AlBaqarah:199).

Ini dengan maksud untuk merealisasikan persamaan mutlak antara semua manusia.

Seorang laki-laki yang termasuk pemuka Quraisy merasa terlalu bongkak untuk mengahwinkan anak wanitanya atau saudara wanitanya dengan seorang laki-laki Arab biasa sahaja. Lalu Muhammad juga seorang pemuka Quraisy, mahu mengahwinkan puteri pamannya Zainab bt Jahsy dengan budak yang telah dimerdekakannya, Zaid.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. ada seorang wanita dari kalangan tinggi Bani Makhzum mencuri. Orang-orang Quraisy merasa berkewajiban membantunya. Mereka berkata:

"Siapa di antara kamu yang dapat membicarakan persoalan ini dengan Rasulallah SAW? Mereka menjawab"siapa lagi yang lebih berani dari Usamah bin Zaid yang amat disayangi Rasulallah SAW? lalu Usamah membicarakannya dengan Rasulallah SAW. Lalu beliau menjawab: "apakah engkau minta keringanan dalam persoalan hukum Tuhan yang telah ditentukannya. Lalu beliau berpidato:

"Orang-orang sebelum kamu menjadi hancur kerana bila ada orang mulia yang mencuri mereka biarkan sahaja.Kalau orang lemah mencuri mereka tegakkan hukuman. Demi Allah,jika Fatimah binti Muhammad mencuri, akan saya potong tangannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Empat belas abad setelah Muhammad SAW, umat manusia masih tetap mencari-cari dan mencoba dalam kenaikan yang sukar ini untuk sampai ke ufuk dunia, yang memang telah dicapainya di alam kenyataan dan realiti, tetapi belum di dalam impian dan khayalan.


alKundangi,
2.8.2009,
disunting dari:Syed Qutb,
Dirasatul Islamiyyah.

http://alkundangi.blogspot.com

Demonstrasi Mansukhkan ISA -1.8.2009



Gambar-gambar sekitar demonstrasi
1.8.2008.


Demonstrasi mansukhkan ISA sudah selesai. Ramai para blogger dan laman-laman pro PakatanRakyat mengulas peristiwa berkenaan. Rasanya pengunjung perlu melawat beberapa laman seperti laman MSO(Tinta Merah),Albanjari Online,Marhaen,Tranungkite dan lain-lain yang mengulas isu berkenaan. Khabarnya 589 orang telah ditangkap termasuk para pelajar, wanita.Antara pemimpin yang dicari polis ialah Lim Kit Siang,Muhammad Sabu dan lain-lain berhubung demonstrasi yang dituduh haram itu. Wallahu 'aklam.

PENDOBRAK BERHALA 1

PENDOBRAK BERHALA-1

Muhammad bin Abdullah SAW hidup menghancurkan berhala.Baik yang berada di hati nurani manusia, mau pun yang berada di dunia nyata.Umat manusia dalam sejarahnya yang panjang itu belum pernah mengenal seorang laki-laki lain, selain Muhammad bin Abdullah SAW yang telah menghancurkan berhala sebanyak yang dihancurkan oleh laki-laki ini. Dan dalam jangka yang demikian pendeknya. Kenyataan ini memastikan bahawa terdapat sesuatu kekuatan yang lebih hebat dari tenaga manusia yang membantu laki-laki ini. Ia mengambil kekuatannya dari kekuatan ini. I selalu berhubungan rapat dengannya.

Sewaktu kita meninjau kembali revolusi pembebasan besar yang telah dipimpin Muhammad bin Abdullah SAW, dalam jangka waktu 23 tahun dan kita perhatikan perubahan-perubahan kerohanian,kemasyarakatan, perekonomian, kemiliteran dan kesusasteraan, yang dapat dilakukan dalam jangka waktu yang amat pendek ini, maka kita sampai kepada kesadaran bahawa selama tenaga manusia yang fana dan terbatas ini tidak berhubungan dengan kekuatan azali abadi yang mutlak dan kekal, maka peristiwa-peristiwa yang luar biasa itu tidak mungkin akan terjadi, peristiwa-peristiwa yang lebih hebat dari memindahkan gunung atau mengeringkan air laut, atau mengubah satu zat daripada satu keadaan kepada keadaan yang lain.

Risalah Muhammad SAW itu adalah satu revolusi pembebasan manusia secata total, revolusi yang mencakup segala segi kehidupan manusia, dan menghancurkan berhala-hala, terlepas dari apa pun juga namanya, yang terdapat dalam segi-segi kehidupan manusia itu.

Di alam aqidah kepercayaan, revolusi itu adalah revolusi menentang berhala syirik kepada Allah. Revolusi itu telah menyucikan zat Tuhan dengan kesucian yang mutlak di alam konsep. Ia dibersihkan sehingga tidak mempunyai sekutu-sekutu lagi. Berhala syirik kepada Allah itu, dipandang dari satu segi adalah berhala raksasa, yang mempunyai akar yang dalam pada saluran-saluranperasaan manusia. Setelah sekian banyaknya risalah tauhid yang diturunka dari langit, manusia masih terus menderita kerana berhala raksasa ini. Setelah perjuangan dilakukan oleh para rasul, setelah orang-orang yang mengerti memberikan penjelasan tentangagama itu. Setiap kali massyarakat massa menyeleweng dari pemahaman yang benar, maka mereka akan bertemu dengan berhala syirik itu. Meminta berkat dari pintu para wali dan orang-orang suci dalam bentuk dikerjakan oleh orang-orang biasa, hanyalah merupakan salah satu bentuk berhala itu, ketika ia memakai pakaian agama, sedangkan agama Allah, seluruh agama Allah tidak ada hubungan sama sekali dengannya.

Revolusi itu adalah revolusi menentang berhala kefanatikan, kefanaitikan dalam segala bentuk dan warnanya.. Terutama sekali kefanatikan agama. Ia adalah revolusi menentang kefanatikan ras dan warna kulit. Kerana itu ia mengumumkan satunya asal manusia dan satunya jenis manusia. Ia menghancurkan berahala rasialisme atau perkauman yang amat dibenci, dan menetapkan bahawa yang menentukan kelebihan manusia hanya satu sahaja. Tidak ada hubungannya dengan warna kulit, tidak ada hubungannya dengan tempat kelahiran dan juga tidak ada hubungannya dengan bahasa yang dipakai. Yang membezakan itu hanyalah ketakwaan dan ketaatan kepada Allah dan karya yang baik terhadap hamba-hambanya. Semuanya ini adalah hal-hal yang bersifat peribadi sahaja. Tidak ada hubungannya dengan warnakulit dan ras manusia:

“Hai manusia, Kami telah menjadikan kamu dari seorang laki-laki dan seorang wanita, dan Kami jadikannya kamu bersuku-suku dan berbangsa-bangsa agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu dalam pandangan Allah adalah yang paling bertakwa .”(AlHujarat:23).

“Hai manusia, bertakwalah kamua kepada Tuhanmu yang telah menjadikan kamu dari satu jiwa, dan daripadanya dijadikanNya pasangannya, dan dari keduanya itu disebarluaskan ramai laki-laki dan wanita.” (AnNisa:2).

“Barang siapa yang menyeru kepada kefanatikan (asobiyyah) tidak termasuk dalam golongan kami. Siapa yang berjuang kepada kefanatikan tidak termasuk dalam golongan kami. Siapa yang mati untuk kefanatikan tidak termasuk dalam golongan kami.”(Hadis Riwayat Abu Daud).

Berhala ini, iaitu berhala rasialisme masih tetap merupakan sumber penderitaan bagi masyarakat-masyarakat manusia yang tidak berpedoman kepada risalah Muhammad SAW. Masalah orang Negro, masalah orang Indian Merah, masih selalu terdapat di Amerika. Masalah orang-orang kulit bewarna masih selalu terdapat di Afrika Selatan.Beberapa tahun yang lalu, yang berdasarkan keunggulan bangsa Aria telah menimbulkan malapetaka yang hebat untuk seluruh umat manusia.Dan sekarang ini Israel merupakan duri dalam daging umat Arab, kerana ia berdasarkan mitos bahawa bangsa Israeladalahbangsa pilihan Tuhan.

Ia adalah revolusi menentang kefanatikan agama. Hal itu terjadi semenjak diumumkannya kebebasan beragama dalam bentuknya yang agung:

‘Tidak boleh ada paksaan dalam agama! Yang bujaksana (petunjuk) itu telah nyata bezaya dari kesesatan. Siapa yang ingkar akan berhala dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada tali yang kuat yang tidak akan putus.”(Albaqarah:256).

“Jika Tuhanmu menghendaki, tentulah seluruh manusia yang ada di muka bumi ini akan beriman semuanya.Apakah engkau bermaksud untuk memeksa manusia agar mereka beriman!”(Yunus:99).

Berhala kefanatikan agama itu telah luluh,ia diganti oleh toleransi yang mutlak. Maka menjaga kebebasan beragama dan kebebasan beribadat telah menjadi kewajipan orang Islam untuk kepentingan pemeluk-pemeluk agama lain di dunia Islam. Ketika peperangan diizinkan dalam Islam, dan AlQuran menjelaskan hikmah peperangan itu dengan berkata:

Orang-orang yang diperlakukan dengan tidak adil, diperbolehkan melakukan peperangan. Sesungguhnya Tuhan berkuasa untuk membantu mereka. Orang-orang yang dikeluarkan dari kampung halaman mereka tanpa kebenaran, selain bahawa mereka berkata :Tuhan kami adalah Allah! Kalau tidaklah kerana Tuhan menolak sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah akan diruntuhkan kuil-kuil, gereja-gereja dan mesjid-mesjid, di mana banyak sekali disebut nama Tuhan.” (AlHaj:39-40).


Di dalam ayat itu disebutkan tempat-tempat peribadatan pendeta-pendeta,orang Nasrani, orang Yahudi dan orang Islam. Sedangkan tempat peribadatan oarang Kristian dan Yahudi didahulukan menyebutnya,untuk menegaskan agar jangan dilakukan pelanggaran tempat-tempat peribadatan non Muslim itu agar tempat-tempat itu dijaga sebaik-baiknya.

Lebih dari itu tolenrasi itu juga mencakup pemberian penjagaan dan keamanan untuk orang musyrik, yang tida percaya kepada agama yang diturunkan dari langit, selama ia lemah dan tidak mampu menyakiti kaum muslimin dan menggoda mereka agar mereka keluar dari agama Islam. Hal ini dalakukan kerana mereka mempunyai alasan, iaitu kebodohan:

“Jika salah seorang dari orang musyrikin itu datang kepadamu, terimalah ia dengan baik, sampai ia mendengar kata-kata Allah. Kemudian hantarkan ia sampai ketempat yang aman.Hal itu dilakukan kerana mereka adalah golongan yang tidak mengetahui.” (atTaubah:6).

Ini merupakan puncak toleransi yang masih didambakan umat manusia di banyak bahagian dunia. Cukuplah kalau kita ketahui bahawa di seluruh dunia komunis, tidak ada tempat bagi orang yang tidak percaya komunisme. Padahal komunisme itu hanyalah satu ideologi masyarakat sahaja dan bukan kepercayaan agama. Tempat pembuangan di Siberia, berbagai macam penjara dan pembunuhan massa ,semuanya itu disediakan bagi orang-orang yang tidak percaya akan Karl Mark, Lenin dan Stalin padahal semua mereka ini adalah manusia ciptaan Tuhan.


AlKundangi,
1.8.2009
http://alkundangi.blogspot.com
Disunting dari: Assyahid Syed Qutb,
Dirasatul Islamiyyah.