ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Saturday, March 2, 2024

Ulasan Puisi Selebriti Sastetawan 15 (2)

 Selebriti Sasterawan Di Medsos- 15 (2).


Sebelum ini saya telah pun membuat sedikit sorotan terhadap A.Aziz Ali tentang kepenyairannya dan sekelumit riwayat dirinya. Saya tidak dapat meneruskannya untuk sementara kerana menghadapi berbagai masalah. Kali ini saya rasa ingin menyiapkannya. Maaf Aziz kerana keterlambatan itu.


Kita sudah pun  melihat Aziz dari suatu dimensi. Hari ini saya mengajak pembaca melihat sebuah karyanya 'Airmata Palestin.'


AIR MATA PALESTIN


Air mata Palestin tumpah di mana- mana

seluruh negara, menyelami jiwa raga pejuang

darah merah membungkus derita,

menyelimut duka

siapa yang kisah?


Air mata Palestin

tumpah di cawan kopi

dihirup, pahitnya terasa

tiada yang merasa sakitnya


Air mata Palestin

membasuh luka

runtuhan demi runtuhan

siapa yang hiba?


Air mata Palestin

bedilan demi bedilan

mayat syahid bergelimpangan

raungan demi raungan

siapa yang peduli?


Air mata Palestin

murni, tangisan demi tangisan

mengisi hari- hari mendatang

berkurun, siapa yang menyapu pipimu?


Air mata Palestin

hanya doa dari kami

semoga Allah makbulkan demi anak-anakmu tanpa ayah tanpa ibu

mengemis kasih sayang

pada siapa ?


Abdul aziz ali

Ipoh Perak

1.11.2023


Sajak berkenaan menyorot kejadian yang menimpa umat Palestin dan amnya melihat keseluruhan umat lslam itu sendiri.


Pada rangkap pertama beliau melihat tumpahnya air airmata umat Palestin di mana-mana. Dan beliau mengakhirinya dengan pertanyaan ' Ada siapa yang kisah'? 


Pada para selanjutnya Penyair menyebutkan air Mata Palestin itu tumpah ke secawan kopi,dan merasakan pahitnya, tetapi tiada yang merasakan sakitnya. Ini adalah majaz ang diketengahkan oleh Aziz,  pahitnya terasa, tetapi tidak seorang merasa sakitnya. Seolah-olah Aziz melihat bahawa keprihatinan umat lslam kepada saudaranya kian meluntur, Dan sikap tidak peduli itu terlihat di kebanyakan negara umat lslam. Barangkali umat ini Akan terus menderita hingga ke akhir zaman.


Pada rangkap berikutnya Aziz melontarkan pertanyaan ' Ada siapa hiba'?


Palestin terus dibedil,  ribuan menjadi Syuhada, kedengaran raungan demi raungan, namun siapa Yang peduli?


Abdul Aziz, seorang pesara PDRM telah pun menerbitkan dua kumpulan Puisi persendirian berjudul ILHAM Dl MUARA & SUARA HATI, melanjutkan pembicaraannya tentang ketidakpedulian masyarakat lslam tentang isu Palestin, sehinggalah kemunculan lmam Mahdi dan Isa alaihissalam. Saya sendiri pun turut terkejut bila membaca Wang Aman Palestin lesap 29 juta. Di manakah keprihatinan umat lslam kini? Setakat manakah iman umat ini, sedangkan Sheikh Yusof alQardhawi pernah menulis tentang 'Palestin;Masalah Bersama.'


Demikianlah sedikit sebanyak tentang karya Abdul Aziz ini. Beliau aktif menulis. Tema sajak di atas adalah universal,iaitu isu Palestin. Abdul Aziz menerapkann unsur-unsur personafikasi  dalam sajak serta persamaan bunyi seperti asonansi dan aliterasi. Namun begitu sajaknya agak longgar, dengan kata lain tidak cukup untuk memenuhi kriteria ekonomi kata-kata. Keseluruhannya sajak ini berhasil menyampaikan tema yang bersifat universal. Tahniah diucapkan kepada beliau.


zainallazim, 

28.2.2024.

#ibnulazim

#pemuisiberkarya

#pemusinasional

Sunday, February 25, 2024

Ulasan Puisi Wangikah Anggerik

 Ulasan puisi، ulasan ini tidak termasuk dalam siri Selebriti Sasterawan..


Sekuntum kemboja secawan kopi


dihulur secawan kopi

di hiasi sekuntum kemboja

sebuah puisi

atas meja 


siapa pengirimnya


kemboja itu bunga kuburan

putih bersih

wangi


aduh bagaimana ini

mau dihirup kopinya dulu

atau

dicium kembojanya

atau 

dibaca puisinya

atau

serentak itu ketiganya


aku ke pejabat dulu

kopi , puisi dan bunga kemboja 

snap saja photonya

lalu kusimpan di dada

jadi kenangan sepanjang usia


Wangikah Anggerik 

15.06.23


Ulasan Puisi;

Sekuntum Kemboja Secawan Kopi


Saya pun kurang ingat bagaimana boleh terbaca sajak ini di tengah-tengah kesibukan media sosial yang selalu saja

melahirkan pemuisi-pemuisi baru. Namun bila dibaca saya melihat ada bakat yang boleh diketengahkan dari sajak ini.


Tema sajak ini ringan sahaja, iaitu sekuntum bunga kemboja dan secawan kopi. Saya cuba mencari maksud lain dari ke dua-dua imej ini. Saya tidak menemui sebarang maksud lain kecuali ia mungkin lakaran emosi penulisnya, Wangikah Anggerik, atau nama sebenarnya Rahilah Adam. Ada lagi sekumpulan sajak yang ditulisnya, namun saya tidak sempat menelaahnya kerana kesuntukan masa.


Pada bait pertama beliau menulis:


'dihulur secawan kopi

dihiasi sekuntum kemboja

sebuah puisi 

atas meja'.


Apa yang dapat difaham ialah ada seseorang memberinya secawan kopi bersama sekuntum bunga kemboja. Kopi adalah air penghilang dahaga, sementara kemboja adalah sekuntum bunga, di mana bunga sering dikaitkan dengan wanita, atau pemberian bunga boleh juga dilihat sebagai lambang cinta yang disogokkan oleh seseorang kepadanya. Namun kopi dan bunga itu menjadi puisi di atas meja, atau menjadi satu harapan dalam hubungan sesama insan. Dengan kata lain, kopi dan bunga melambangkan harapan yang diberikan seseorang kepadanya.


Pada rangkap ke dua dan ketiga, penulis tidak berkesempatan meminum kopi, atau mencium bau kemboja, mungkin kerana hambatan waktu, dia hanya mempotret imej-imej tersebut, tanpa menyatakan apakah ia menerima atau menolaknya. Ia hanya menyatakan menyimpan imej-imej tersebut di dadanya dan menjadi kenangan dalam hidupnya. Majaz-majaz yang digunakan, adalah majaz yang lazim digunapakai dalam masyarakat kita. Cuma men'snap' imej berkaitan dan menyimpannya sebagai kenangan adalah agak baharu dalam dunia perpuisian kita. Harapan kita, penyair ini terus menulis dan meneroka tema-tema yang lebih bermakna untuk sastera kita dan generasi mendatang.


Ibnulazim,

1.7.2023.

Selebriti Sasterawan Di Medsos- 15

 Selebriti Sasterawan Di Medsos- Siri 15.

Bhgn.1


Saya telah pun meperkatakan sumbangan penulis-penulis muda, atau yang sudah pun matang dalam siri tulisan ini yang kini sudah pun mencapai Siri ke 15. Saya tidak ingin membiarkan mereka, terutama yang menulis di media sosial berlalu begitu sahaja tanpa sebarang ulasan yang bersifat kritikan yang membina atau pun membimbing. Kehadiran mereka akan tenggelam begitu sahaja . Namun tiada pengulas atau pengkritik yang sanggup menjalankan tugas ini, sementara saya pula dihambat oleh pelbagai tugasan dalam keadaan hidup yang kian mencabar ini.


Kali ini kita ingin melihat Abdul Aziz Ali, seorang pesara PDRM yang dilahirkan di Kelantan yang kemudian menetap di Ipoh. Penglibatan beliau sudah lama di bidang ini dan telah menghasilkan sekian banyak puisi di medsos, di akhbar-akhbar termasuk majalah Dewan Sastera. Sehingga kini beliau telah melahirkan lebih 100 buah antologi bersama dengan pelbagai penerbitan.


Kita cuba lihat sebuah puisinya untuk melihat dirinya lebih dekat.


AIR MATA PALESTIN


Air mata Palestin tumpah di mana- mana

seluruh negara, menyelami jiwa raga pejuang

darah merah membungkus derita,

menyelimut duka

siapa yang kisah?


Air mata Palestin

tumpah di cawan kopi

dihirup, pahitnya terasa

tiada yang merasa sakitnya


Air mata Palestin

membasuh luka

runtuhan demi runtuhan

siapa yang hiba?


Air mata Palestin

bedilan demi bedilan

mayat syahid bergelimpangan

raungan demi raungan

siapa yang peduli?


Air mata Palestin

murni, tangisan demi tangisan

mengisi hari- hari mendatang

berkurun, siapa yang menyapu pipimu?


Air mata Palestin

hanya doa dari kami

semoga Allah makbulkan demi anak-anakmu tanpa ayah tanpa ibu

mengemis kasih sayang

pada siapa ?


Abdul aziz ali

Ipoh Perak

1.11.2023


Ibnulazim,

21.12.2023.


Bersambung..

Saturday, February 24, 2024

Ulasan puisi

 Puisi-puisi Hujung Tahun 22 Dan Awal Tahun 23 FB - Ulasan Ringkas - Tema Dan Persoalan- Bhg.3


Langit Januari


Menelusuri waktu di langit Januari

masih ada setia ku di sini

menyapa damainya alam

melarik mimpi pada siang

menapak jejak-jejak yang ditinggalkan


ya, setiaku masih di sini

melakar ingat

di laman yang dulunya indah 

berkongsi rasa cerita hati

tentang yang hadir 

juga yang telah pergi

silih berganti.

 

lalu kukutip kenangan itu

dalam diam  rindu yang ranum

manisnya pasti 

tidakkan terbiar di hujung musim


Su Anggerik

#BisikPadaTuhan

#digarisrindu


Seperti yang telah saya sebutkan berkali-kali puisi adalah melambangkan pergolakan atau permasalahan sewaktu ia ditulis. Begitu juga karya sastera genre lainya. Pengkritik terdahulu sering menyebut sastera adalah hasil pancaran zamannya. Namun sajak yang saya pilih ini tidak mengatakan permasalahan zamannya. Namun saya tertarik dengan puisi Su Anggerik ini kerana ia sebuah puisi yang agak puitis d hian agak baik mewakili rakan-rakan seangkatannya.


Cuba lihat rangkap pertama puisi ini:


menulusuri waktu di Langit Januari, Masih ada setiaku di sini, menyapa damainya alam, melarik pada mimpi siang, menapak jejak-jejak yang ditinggalkan.


Penyair melalui tahun baru bulan Januari dengan menegaskan dia masih setia seperti tahun sebelumnya. Sambil itu penulis menikmati kedamaian alam yang melarik mimpi-mimpi siangnya sambil mengenang kenangan yang ditinggalkan. Pengucapannya sungguh bersahaja dengan nada puitis ketika menyambut Januari, 2023.


Selanjutnya sekali lagi beliau menegaskan dia masih setia seperti sebelumnya, setia pada kerjaya, setia pada keluarga, kekasih dan sebagainya.


"lalu kukutip dalam diam, rindu yang ranum..dan ia tidak akan terbiar hingga hujung musim, atau diterjemahkan hujung hayat, atau hujung tahun, atau hujung yang penyair saja yang tahu maksudnya .


Demikian dengan menggunakan berapa teknik puisi seperti asonansi, alisterasi dan personafikasi, Su Anggerik mengatakan pendapatnya dan perasaannya ketika tibanya tahun baru 2023 dengan nada romantis dan puitis.


Ibnulazim,

24.2.2023.

Friday, February 23, 2024

Hidup

 Hidup


Hidup tidaklah sesusah yang kita fikirkan, jika kita fikir senang ia pun senang, kalau kita fikir susah ia jadi susah.


Seperti mengapa kita harus makan tatkala lapar atau minum ketika dahaga: ikut saja peraturannya seperti siang matahari bersinar, malam gelap tanpa lampu atau bulan, atau mahu jadi jutawan, buatlah apa yang jutawan buat, kalau mahu kahwin, kahwinlah dua tiga empat, jika tidak, satu cukup, memang impian selalu mengatasi kemampuan

buatlah apa saja asal ikut tatakelola kata PM10

hidup tak perlu difikirkan

seperti program realiti, ikut aturan, antara sosial, undang-undang, adat dan peraturan, agama atau politik yang mengatur negara, mengapa perlu kritik perkara betul, kritiklah diri sendiri, hidup akan jadi mudah tanpa perlu berfalsafah.


Ibnulazim

22.12.2022

Wednesday, February 21, 2024

Di Waktu Begini

Di Waktu Begini

(buat Ayah)


Di waktu begini

kadang teringat

ketika kau ajarku mengenal hidup dari kecil, tak kulupa,jasamu, walau tak suka kuikuti juga

kerana kau

waliku di dunia, ladang yang kita usahakan jadi lebuh raya utara selatan, gadis yang kau pingitkan disambar helang.


Telah tiga dekad, masih kuingat lorong yang kita lalui denai yang  kita redah kini jalan berturap di depan rumah, dan aku menjadi apa yang kau inginkan. 


Telah lebih tiga dekad kitab berlainan alam, namun kau tetap di ingatan dan menjadikan aku watak yang percaya diri dan berpendirian.


Ibnulazim، 

21.2.2024.

BTP.

#pemuisiberkarya

#pemuisinasional

#ibnulazim

Tuesday, February 20, 2024

Di Warung Mak Jah

 Di Warung Mak Jah


Di sini kami dihidangkan

mee udang yang enak, namunku teringat zaman kanakku di kampung

susah dan payah, namun aku bersyukur, aku telah dimatangkan oleh kepayahan

didewasakan oleh kesusahan.


Sesungguhnya Rabb،

betapa benar firmanmu selepas kepayahan  ada kesenangan


selepas kepayahan ada kesenangan.


Ibnulazim,

Kuala Sepetang,

28.1.2024.

Saturday, February 17, 2024

Menjadi Sastetawan

 Menjadi Sasterawan


Menjadi Sasterawan

bukan rupawanv

juga bukan wang, kadangkala sekeping roti canai

kena pinjam kawan.


Menjadi Sasterawan

hanya gah nama, kadang tinggal di rumah setinggan

cokkodok

pucuk ubi

ikan masin budu, cencalok,  

pucuk paku

sambal belacan

jadi pilihan.


Nama sering terpampang

di dada akhbar & majalah tempatan.


Seorang Sasterawan

adalah seniman

wajahnya tidak dikenal

kecuali kawan dan teman seperjuangan.


Bersedialah untuk kering wang tiap hujung bulan Dan poket kosong tanpa ada apa boleh digenggam.


Menjadi Sasterawan

bersedialah hidup tanpa wang.


Ibnulazim,

12.1.2024.

Thursday, December 14, 2023

Apakah Kita Bakal Bertemu

 Apakah Kita Bakal Bertemu?


Kulihat wajahmu dalam hujan yang melebat pada penghujung tahun. Kau seolah melambai-lambai daku yang kepenatan melihat tok  Ketua saban hari bersilang kata.


Bebayangmu kian tenggelam dalam hujan berkabut itu membawa bau wangi kasturi yang kau rindui.


Ada angin kencang bertiup perlahan memberi laluan pada kata- kata tok Ketua yang hampir dapat menyelesaikan silang kata serta membuatkan marhaen mulai terdiam dengan kebijaksanaannya melerai perbalahan yang tidak berhujung.


Langit kembali tenang, dan wajahmu kian kabur setelah lelah melihat perbalahan yang tiada sudahnya.


Perlahan-lahan keadaan kembali tenang dan kau pun menghilang di balik kabut menanti hujan berhenti. Apakah kita bakal bertemu setelah sekian lama membawa bagasi rindu?


Ibnulazim,

14.12.2022.

Tuesday, November 28, 2023

Orang Tuagg

 Orang Tua


Umur hanyalah angka, begitu kata setengah dari kita.


Namun orang tua

punya rasa berbeza, 

gigi gugur

rambut putih bertabur

ada ke masjid,

ada di kedai kopi, berbalah isu pentadbiran 

negeri, atau para politisi.


Orang Tua

keinginan tinggi, kemampuan boleh di bilang jari

ada mau kahwin lagi, katanya isteri tua tidak kuasa

melayani lagi, dan telah bersara

lalu ingin yang muda

bisa melayani

kehendak suami.


Orang tua

adalah makhluk perasa, hati-hatilah dengan mereka

kerana mudah terluka.


Orang Tua

satu saat menduga-duga, bilakah berangkat, ke alam baqa.


Ibnulazim ,

7.11.2023.