ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Tuesday, September 22, 2009

HUBUNGAN ANTARA PENDIRIAN DAN TINGKAH LAKU

HUBUNGAN ANTARA PENDIRIAN DAN TINGKAHLAKU



Manusia menghadapi berbagai permasalahan dalam kehidupannya, tetapi ia tidak dapat menguasai permasalahan tersebut dengan baik kecuali setelah ia membuat sauatu pendirian terhadap tabiat atau keadaan sebenar permasalahan itu dan hubungan dengannya. Samada benar atau salah, suatu pendirian mesti dibuat terhadap suatu permasalahan. Selagi pendirian ini belum dibuat, tidak ada seorang manusia pun boleh membuat keputusan tentang tindaklaku yang patut ia ambil terhadapnya. Ini adalah satu pengalaman yang telah menjadi sebahagian dari hidup kita. Apabila kita bertemu dengan seseorang kita perlu mengetahui siapakah dia? Apakah status dan kedudukannya dalam kehidupan? Apakah ciri-ciri pribadinya? Apakah bentuk perhubungan dia dengan kita? Kita tidak dapat tentukan bagaimana bentuk perhubungan dengan orang itu tanpa sebarang maklumat berhubung dengan persoalan-persoalan tadi.

Walaubagaimana pun kita perlu membuat satu pendirian berlandaskan apa yang kelihatan, dan apa juga tindakan yang kita ambil terhadapnya dibatasi serta ditentukan oleh pendirian yang telah dibuat. Kita makan benda-benda menurut anggapan atau pengetahuan bahawa ianya mengandungi nilai makanan. Benda-benda yang kita buang atau gunakan, benda-benda yang kita pelihara, suka atau benci, atau benda-benda yang kita takuti atau sayangi, sikap dan pendirian kita terhadap benda-benda tadi ditentukan oleh pendirian yang telah kita buat tentang keadaan semulajadinya, keistimewaannya, dan hubungan kita dengan perkara-perkara tersebut.

Samada sesuai atau tidak, tingkahlaku kita terhadap perkara-perkara tadi, bergantung kepada benar atau salahnya pendirian kita terhadap perkara-perkara tersebut. Betul atau salah, bergantung kepada pendirian yang telah kita buat terhadap perkara-perkara tersebut. Sah atau salahnya bergantung kepada pendirian kita berdasarkan pengetahuan, tekaan, sangkaan atau melalui tinjauan pancaindera kita. Sebagai contoh, seorang anak kecil melihat api dan melalui tinjauan pancainderanya membuat suatu tanggapan bahawa ianya suatu mainan cantik dan berkilauan. Tanggapan ini seterusnya mendorong kepada tindakan menghulurkan tangan untuk menyentuh api itu.

Seorang laki-laki lain melihat api yang sama dan melalui tanggapan atau sangkaannya, ia memiliki sangkaan bahawa api itu memiliki suatu sifat ketuhanan atau sekurang-kurangnya suatu simbol ketuhanan. Berdasarkan kepada kesimpulan ini, ia membuat ketetapan menundukkan kepala menyembah api itu, sebagai tanda perhubungannya dengan api itu. Seorang lelaki lain melalui tanggapan dan sangkaannya mula mengkaji keadaan semulajadi api itu serta sifat-sifatnya. Melalui pengetahuan serta kajian ia sampai kepada kesimpulan bahawa api itu boleh memasak, membakar serta memanaskan benda-benda. Seterusnya ia membuat tanggapan bahawa perhubungannya dengan api itu adalah laksana tuan dan hambanya. Api, menurut tanggapannya bukanlah suatu yang bersifat ketuhanan atau mainan. Malahan ia suatu benda yang boleh digunakan untuk tujuan memasak, membakar dan memanaskan bila-bila masa ia diperlukan.

Kalau dibandingkan ketiga-tiga sikap yang berbeza itu, jelaslah bahawa sikap kanak-kanak dan penyembah api itu adalah berdasarkan kepada kejahilan mereka berdua. Pengalaman menidakkan kanak-kanak itu bahawa api itu bukanlah benda mainan. Tanggapan si penyembah api pula bahawa api itu adalah Tuhan atau simbol ketuhanan adalah berdasarkan kepada sangkaan atau tekaan semata-mata dan bukan atas dasar bukti ilmu pengetahuan sebenar. Sebaliknya sikap laki-laki yang seorang lagi yang menganggap api sebagai satu agen yang berguna untuk manusia yang jauh berbeza dari kedua-dua tanggapan yang lain itu, adalah satu sikap saintifik kerana ia berdasarkan kepada ilmu pengetahuan. Dua tanggapan awal adalah bersifat jahiliah, dan tanggapan yang terakhir adalah berdasarkan kepada ilmu. Inilah perbezaan yang jelas di antara orang yang bersikap jahiliah dan orang yang berasaskan kepada pengetahuan.


Syed Abul 'Ala AlMaududi,
suntingan bebas oleh:
AlKundangi,
dari Kitab: AlIslam Wal Jahiliyyah.
22.9.2009.

No comments: