ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Wednesday, September 16, 2009

PAKATAN RAKYAT MAHU AMBIL ALIH KERAJAAN

Pakatan mahu ambil alih kerajaan

SHAH ALAM - Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) pada 12 Disember ini, adalah untuk mengukuhkan gabungan itu bagi mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden PKR, R Sivarasa berkata, konvensyen itu adalah pertama kali diadakan setelah PR yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

“Konvensyen ini bertujuan memperkukuhkan PR memandangkan di sinilah peluang untuk parti gabungan PR mencapai satu persetujuan dan prinsip perjuangan yang sama.

“Antara isu lain yang akan dibahaskan dalam konvensyen itu meliputi isu pengurusan ekonomi, dasar demokrasi, pentadbiran dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Kelmarin, Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan persetujuan mengadakan satu konvensyen besar-besaran bagi meletakkan hala tuju PR bagi tahun berikutnya.

Dijangkakan setiap parti akan menghantar wakil seramai 500 perwakilan.

Sivarasah turut menyangkal dakwaan bahawa konvensyen itu hanya untuk memperbetulkan kembali hala tuju parti gabungan PR yang dilihat semakin bertentangan di antara satu sama lain.

“Parti dalam PR masih mempunyai hala tuju dan perjuangan yang sama. Kita faham mana-mana parti politik ada perbezaan perjuangan politik. Jika semua fahaman sama, lebih baik berada dalam satu parti saja.

“Cadangan untuk mengadakan konvensyen ini dilakukan dengan lebih awal lagi bertujuan mengukuhkan PR dan menghalusi persefahaman politik antara satu sama lain bukan disebabkan hala tuju yang menyimpang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Strategik PKR, Tian Chua berkata, konvensyen ini adalah satu manifestasi untuk menunjukkan rakyat bahawa PR sentiasa bersatu padu dan mempunyai satu prinsip perjuangan yang sama dan mampu mentadbir kerajaan Malaysia.

“Dalam konvensyen ini, segala isu akan dibincangkan dalam satu pasukan,” katanya.

sinarharian.com.my
16.9.2009

No comments: