ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Tuesday, November 9, 2010

Pemilihan PKR: Zaib Ibrahim Tarik Diri

A Kadir Jasin


[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

RINGKAS sahaja. Hendak maklumkan kepada pembahas dan pembaca blog (kalau belum) bahawa Mohd Zaid Ibrahim, pengerusi perhubungan PKR Wilayah Persekutuan dan bekas Menteri Kabinet Abdullah Ahmad Badawi telah menarik diri daripada pertandingan Timbalan Presiden PKR yang berlangsung sekarang.

Portal berita Malaysian Insider memetik Zaid, sebagai barkata: “Saya ingin mengumumkan keputusan saya menarik diri daripada sebagai salah seorang calon yang bertanding jawatan timbalan presiden PKR dan kesemua jawatan yang dipegang dalam parti.”

Dia berkata demikian dalam posting terbaru blognya awal pagi ini.

Malaysian Insider berkata, Zaid menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden berikutan dakwaan pemilihan kepemimpinan parti itu telah dicemari dan tidak telus.

Zaid dilaporkan berkata, dia mengambil keputusan itu kerana tiada usaha di kalangan pucuk kepimpinan parti untuk menangani pelbagai isu manipulasi dan amalan-amalan pemilihan tidak adil meskipun isu terbabit telah dibangkitkan berulang kali.

Menurut Malaysian Insider lagi, selepas 87 cabang telah menyelesaikan proses pengundian, Azmin (Ali) berada jauh di depan khususnya selepas pemilihan cabang-cabang Sabah kelmarin dan semalam.

Saya tidak mahu tambah apa-apa sebab saya kenal siapa Zaid sejak dia menjadi peguam kepada Renong/UEM pada tahun 1980an dan kemudian cergas dalam Umno hingga menjadi Ahli Parlimen Kota Baru dan kemudian menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden Umno, tetapi gagal mendapat pencalonan yang mencukupi.

Selain itu, saya juga tidak mahu bercakap banyak sebab kes saman Zaid terhadap saya berikutan tulisan saya dalam blog ini berada di mahkamah.

Jadi, saya harap Saudara dan Saudari pun berhati-hatilah. Tolong saya. Bukan mudah dan bukan murah kena saman oleh peguam dan politikus macam Mohd Zaid.

Sekarang ini politikus di negara kita, tak kira di pihak kerajaan atau pembangkang, cepat menggunakan undang-undang dan saman ke atas blogger dan pembahas blog. Jadi, berhati-hatilah.


PRK: BN Menyerlah Tapi PM Masuk Hospital
A Kadir Jasin



Secara ringkas, reaksi saya adalah seperti berikut:

1. Kemenangan besar Barisan Nasional di kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah membayangkan kesepaduan BN negeri, simpati pengundi terhadap calonnya, kerana kematian suaminya yang berupa Ahli Parlimen kawasan itu dan undi pembangkang yang berpecah antara PKR dan SAPP;

2. Kejayaan BN merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri Galas, Kelantan, adalah berpunca daripada:

i. Ketepatan lantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya BN;

ii. Dengan ekonomi rakyat jelata semakin tidak menentu dan kos sara hidup semakin meningkat, janji pembangunan dan bantuan kewangan oleh BN mengatasi pertimbangan ideologi dan emosi;

iii. BN/Umno juga mendapat faedah daripada masalah dalaman Pas. Walaupun Nik Abdul Aziz Nik Mat terus karismatik di kalangan akar umbi Pas, namun peranannya sebagai ketua pentadbir Kelantan dan ketua Pas negeri semakin dipertikaikan;

iv. Ada kebenaran kepada tanggapan bahawa kepemimpinan Pas Kelantan tidak (atau belum) menampakkan barisan pewarisan yang jelas. Terdapat andaian wujudnya persaingan hebat antara golongan konservatif dan progresif dalam kepemimpinan Pas Kelantan;

v. Pas menanggung beban yang berat mempertahankan perkongsian kuasa dengan DAP dan PKR yang memperjuangkan sekularisme dan secara terbuka menolak konsep Negara Islam dan Hukum Hudud Pas;

vi. Dalam jangka masa sederhana – sehingga pilihan raya umum akan datang – BN mempunyai peluang lebih cerah memperkukuhkan kedudukannya jika ia berjaya membawa perubahan positif kepada taraf ekonomi dan sosial rakyat jelata seperti dijanjikannya di bawah pelbagai slogan, model, program dan projek; dan

vii. Tetapi jika BN agal melaksanakan ikrar-ikrar ini, sebaliknya menjadi angkuh, terus memandang remeh korupsi dan tidak membuat pembaharuan kepemimpinan, pengundi akan menghukumnya dengan lebih teruk pada PRU akan datang, apatah lagi dengan bertambahnya bilangan pemilih muda.

[Posting Asal]



HARI ini perayaan Deepavali atau Divali. Zaman saya jadi pengarang di New Straits Times Press dulu, kita terbitkan akbar 365 hari setahun. Tak boleh jual banyak pada cuti umum, kita jual sedikit. Peranan akhbar untuk memberi maklumat tetap dilaksanakan.

Sekarang cuti umum akhbar tutup kedai. Nasib baik ada radio, TV dan pada akhir-akhir ini Internet. Jadi yang ada radio, TV dan Internet tak putus berita. Bayangkan selepas lebih 50 tahun merdeka, pengedaran akhbar masih dimonopoli oleh kaum India. Mereka mahu cuti atau mogok, akhbar tak boleh diedarkan.

Malaysia kita ni dah jadi negara cuti -- negara siasta. Banyak sangat cuti sampai dah mula jejas produktiviti. Kalau nak tahu jadilah majikan. Gaji pekerja jalan, tapi tak dapat penghasilan. Lepas tu kena bayar kerja lebih masa pula untuk kejar deadline.

Antara maklumat yang kita hendak tahu hari ini adalah keputusan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah dan Dewan Undangan Negeri Galas, Kelantan. Barisan Nasional menang kedua-duanya.

Di Batu Sapi, calon Barisan Nasional, Linda Tsen Thau Lin mengekalkan kerusi itu dengan kelebihan suara 6,359 setelah mendapat 9,773 undi. Beliau mengalahkan calon PKR, Ansari Abdullah yang memperoleh 3,414 undi dan calon SAPP, Yong Teck Lee yang mendapat 2,031 undi.

Manakala di Galas, BN merampas semula kerusi itu daripada Pas dengan kelebihan undi 1,190 undi. Calonnya Abdul Aziz Yusof mendapat 5,324 undi manakala calon Pas Dr Zulkefli Mohamed memperoleh 4,134 undi.

Sementara itu, Bernama melaporkan yang Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur malam tadi setelah bersungut sakit perut.

Pemeriksaan mendapati beliau menderita “superficial ulcers” dan gastrik ringan. Respons kepada perubatan adalah baik dan beliau dijangka berada di hospital beberapa hari. Sebelum ini beliau bercuti kerana deman campak (chicken pox).

Kita harap beliau makan ubat betul-betul seperti diarahkan doktor dan jangan tersalah makan. Bila dah berusia ni, kita kena jaga makan. Tanya dulu apa yang orang jamu. Saya dah lama tak makan melulu.

Saya sikit-sikit tahulah sebab saya pun ada “mild gastrics”. Semalam perut meragam. Saya kunyah pucuk jambu batu, Alhamdulillah baik. Pucuk jambu batu baik untuk ceret-beret.

kadirjasin.blogspot.com

No comments: