ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Friday, September 30, 2011

Akta perlu fleksibel


PUTRAJAYA - Undang-undang baru yang akan mengantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu lebih spesifik dan fleksibel di samping menekankan soal keselamatan negara dan hak asasi manusia.

Ketua Kluster Governas, Perundangan, dan Pengurusan Awam (GPPa), Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood (gambar) berkata, keputusan memansuhkan ISA adalah satu yang amat positif serta dianggap sebagai pendekatan baru dalam memastikan prinsip-prinsip kedaulatan undang-undang (rules of law) dan kebebasan asasi sentiasa menjadi landasan bagi setiap keputusan dan tindakan semua pihak, termasuk kerajaan.

“Kami menganggap ia sebagai satu langkah transformasi kerajaan untuk menghapuskan undang-undang yang tidak popular dan tidak selaras dengan prinsip kebebasan sejagat sebagai sebuah negara yang mendukung setiap konvensyen hak asasi digubal Bangsa-Bangsa Bersatu (UN).

“Pada masa sama, kita perlu menerima hakikat kerajaan semasa bertanggungjawab terhadap keselamatan dan ketenteraman negara serta harus memastikan ia tidak berkompromi dengan elemen yang boleh mengganggu gugat kedaulatan negara,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengajian Tinggi semalam.

Menurutnya, undang-undang baru itu nanti perlu lebih fleksibel daripada Akta Patriot Amerika Syarikat dan Akta Anti-Keganasan di United Kingdom.

“Kami ingin lihat undang-undang berkaitan dengan keselamatan dalam negara dan ketenteraman awam yang tidak mengikuti undang-undang Amerika Syarikat atau United Kingdom yang sangat tegas berhubung penahanan seseorang individu.

“Undang-undang (baru itu) juga tidak sepatutnya mencontohi ISA, perlu lebih jelas dan fokus terhadap kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Nik Ahmad Kamal berkata, pihaknya mengambil kira bahawa ISA digubal di bawah kuasa khas Parlimen, Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa untuk membuat undang-undang untuk mengawal serta mencegah segala bentuk ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Walaupun ISA dimansuhkan, Parlimen masih lagi berkuasa menggubal apa jua undang-undang untuk tujuan seperti yang termaktub di bawah Perkara 149.

“Sementara, pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 serta undang-undang yang dibuat bertujuan tersebut tidak harus dikelirukan dengan kuasa parlimen di bawah Perkara 149.

“Dalam kata lain undang-undang seperti ISA boleh digubal walaupun negara tidak berada dalam keadaan darurat keran Perkara 149 tidak terikat dengan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

sinarharian
30.9.2011b

No comments: