ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Tuesday, January 25, 2011




Pakatan Rakyat Menyokong Pindaan Mengembalikan Kuasa Sultan, BN Menolak

KENYATAAN AKHBAR
24 JANUARI 2011



Saya ingin menekankan di sini bahawa sidang Dewan Negeri Selangor yang diadakan hari ini bukan sidang tergempar. Mesyuarat ini diadakan di bawah Peraturan 10(3) Peraturan-peraturan Tetap Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk membincangkan perkara-perkara spesifik, mendesak dan berkepentingan awam. Hari ini Dewan membincangkan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang melibatkan kepentingan awam.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Tuan Speaker, Dato Teng Chang Kim dan kakitangan Dewan Negeri kerana berjaya menganjurkan mesyuarat hari ini. Kebijaksanaan dan pendekatan profesional Tuan Speaker telah membimbing satu pembentangan usul yang sihat dan bermanfaat.

Hari ini Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor telah mencipta sejarah apabila semua wakil rakyat Pakatan Rakyat bersatu menyokong cadangan pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor bagi mengembalikan kuasa DYMM Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan tiga pegawai ex-officio yang telah dimansuhkan selepas pindaan Perlembagaan 1993.

Dalam pada itu, semua wakil Kerajaan memberi perbahasan baik dan bernas berkenaan satu isu begitu penting kepada rakyat yang gagal disentuh oleh pentadbiran sebelum ini. Perbahasan Pakatan Rakyat hari telah berjaya memartabatkan kesucian Dewan Negeri Selangor dan Eksekutif.

Ini selari dengan keinginan rakyat Negeri Selangor yang mahukan satu pentadbiran professional bagi dua institusi tertinggi – Dewan dan Eksekutif – yang tidak diamalkan di peringkat Persekutuan.

Dari asas ini, usul hari ini adalah untuk meminda Fasal 52(1) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor supaya satu prosedur dibuat bagi pelantikan tiga pegawai ex-officio demi memastikan dasar-dasar kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan cekap dan sempurna.

Kami kesal dengan keputusan wakil-wakil Umno/Barisan Nasional untuk menolak usul ini. Lebih kesal lagi, Barisan Nasional gagal memberikan hujah-hujah yang konkrit dan berkualiti untuk menolak cadangan pindaan ini. Tiada satu pun soalan atau hujah yang kami kemukakan dijawab dengan baik dan professional.

Jelas, penolakan ini dibuat atas nama politik dan kesetiaan mereka kepada pihak-pihak yang berkuasa di Putrajaya. Sepatutnya sebagai wakil rakyat, keputusan mereka perlulah berdasarkan kepentingan rakyat.

Penolakan usul juga membuktikan bahawa Umno yang sebenarnya tidak menghormati sama sekali institusi Raja-raja Melayu dan tetap menghalang Raja-raja Melayu daripada memainkan peranan yang sepatutnya dalam institusi Raja Berperlembagaan.

Sikap hipokrit pihak Umno kini jelas ternampak dalam rekod mereka yang secara konsisten menafikan kuasa Raja-raja Melayu, terutamanya pada tahun 1983, 1993 dan kini, 2011.

Sidang Dewan hari ini membuktikan pemimpin Umno sebenarnya tidak layak untuk menyentuh soal kedaulatan Raja-Raja kerana belang mereka telah terbongkar. Mereka menuduh Pakatan Rakyat tidak menghormati peranan Raja-raja tetapi sebenarnya Umno yang menghakis kuasa Raja-raja melalui pindaan-pindaan Perlembagaan yang telah dilakukan.

Walaupun kita mungkin tidak berjaya untuk membuat pindaan, majoriti ahli Dewan telah menyokong. Ini tidak akan mematahkan semangat Pakatan Rakyat. Malah, isu ini telah menguatkan lagi tekad Pakatan Rakyat untuk membuktikan kewibawaan kami dan memperolehi majoriti dua pertiga dalam pilihan raya kelak supaya pindaan ini dapat dibangkitkan semula.

Kami masih berpendirian bahawa DYMM Sultan Selangor dan Kerajaan Negeri berhak untuk memainkan peranan dalam pemilihan 3 pegawai ex-officio demi memastikan dasar-dasar kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Walaupun pihak Persekutuan nampaknya terus mengenepikan suara rakyat Selangor dan enggan menghormati semangat federalisme atau bertemu setengah jalan, Kerajaan Negeri akan berusaha untuk memastikan pentadbiran negeri akan terus dijalankan dengan baik dan selancar mungkin demi kebajikan rakyat Selangor.

Bersama menjunjung amanah yang diberi oleh rakyat, Kerajaan Pakatan Rakyat akan terus menggandakan usaha untuk melaksanakan tugas dan meneruskan agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor” yang memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

TAN SRI DATO SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

KEDAHLANIE/INFO

No comments: