ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Thursday, April 7, 2011

BAGAIMANA MAHU MEMASYARAKATKAN HARAKAH?
Ibnu Lazim

Penulis merasa agak tertarik dengan tulisan Sdr. Ahmad Lutfi, Ketua Pengarang Harakah mengenai permasalahan pengedaran akhbar rasmi Parti PAS itu. Seingat penulis, Harakah diterbitkan sejak dekad 80an, dan kini usianya sudah melebihi 30 tahun. Jika ia seorang laki-laki, tentu ia tengah berada dalam keadaan yang cukup kuat tenaga dan susuk tubuhnya yang tegap umpama Semaun, tokoh utama dalam novel SN Shahnon Ahmad, Rentung. Penulis masih ingat watak berkenaan, kerana novel Rentung menjadi teks wajib dalam kesusasteraan Melayu sewaktu penulis mengambil peperiksaan SPM di sebuah Kolej di Kelang. Namun Harakah tidak seperti Semaun, ia bukan seorang pemuda kampung yang gagah dan sering melakukan kerja-kerja berat yang menggunakan tulang empat kerat. Sekurang-kurangnya Harakah tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia, dan berbagai-bagai akta penerbitan, akta rahsia rasmi dan sebagainya yang menghalang ia menunjukkan kekuatan sebenarnya.

Memang Harakah adalah satu-satunya akhbar parti oposisi buat masa ini yang masih kekal dalam pasaran, bahkan dinanti-nantikan terbitnya oleh sesetengah orang yang setia dengan Harakah. Walaupun begitu, Harakah pernah diberhentikan terbitnya buat beberapa ketika kerana masalah permit dari KDN. Akhbar-akhbar lain banyak yang tenggelam timbul, seperti MIngguan Kota yang lebih berat kepada Semangat 46 yang telah dikuburkan oleh pengasasnya sendiri, Tengku Razaleigh. Begitu juga dengan Watan, yang suatu waktu dulu agak bebas berbanding dengan Utusan dan Berita Harian. Watan yang sering memberikan pandangan kedua menurut Sdr.Subky Latiff, juga akhirnya lenyap, tidak mampu bertahan dengan arus deras yang melanda.

Memang ada waktu-waktunya akhbar Harakah sukar didapati, walaupun ada pengedarnya. Tidak diketahui ke mana perginya akhbar yang sering ditunggu-tunggu oleh ramai peminatnya yang dahagakan pandangan yang berbeza dari akhbar rasmi atau akhbar arus perdana (mainstream) yang hanya memberikan pandangan terbaik atau sehala bagi pihak pemerintah. Bila Sdr Ahmad Lutfi menyebutkan ada aktivis PAS yang tidak membaca Harakah dan tidak mempunyai maklumat yang cukup untuk menyampaikan apa yang benar, kita tidak pun terperanjat dengan hal sebegitu, kerana memang ada sesetengah ahli parti tidak membeli Al Harakah.

Selain dari masalah pengedaran, masalah ahli parti yang tidak membeli Harakah turut menyumbang kepada masalah yang ditimbulkan. Permintaan yang kurang mungkin menjadi salah satu sebab pengedar kurang berminat untuk mengedarkannya, selain ugutan dan sitaan dari pihak penguasa, terutamanya bila PRU kian hampir. Bolehkah kita mewajibkan setiap ahli PAS membeli Harakah? Penulis rasa ini adalah sesuatu yang sukar, kerana kadangkala sembahyang yang wajib itu pun tertinggal kerana sibuk dengan urusan duniawi. Kita barangkali boleh mengesyorkan setiap ahli PAS hendaklah melanggan akhbar rasmi parti ini. Jika tidak keahlian anda akan digantung! Tentu para ahli akan bersungut bahawa demokrasi dalam PAS sudah mati.

Salah satu caranya, kita mungkin boleh mewajibkan atau menyarankan pertubuhan-pertubuhan yang pro kepada perjuangan Islam membeli akhbar ini secara pukal dan mengedarkan kepada ahli-ahlinya. Kita juga boleh mencadangkan masjid-masjid dan surau-surau yang mempunyai lebihan peruntukan dari derma mingguan seperti derma hari Jumaat agar membeli akhbar Harakah secara pukal untuk 50 naskhah misalnya, dan diedarkan kepada anak-anak kariah yang ada dalam lingkungannya. Pertubuhan-pertubuhan yang setia kepada Islam juga patut berbuat demikian, supaya Harakah dapat di”khalayakkan”. Dengan begitu, tiada lagi alasan bahawa wang tidak cukup untuk membeli Harakah, atau Harakah tiada di pasaran.
Memasarkan sesebuah akhbar atau majalah adalah tugas di bahagian pemasaran. Namun dalam hal ini, Harakah adalah milik Parti Islam, dan orang Islam turut bertanggungjawab dalam memasarkannya. Betul seperti kata Ahmad Lutfi, kadangkala membeli sejumlah Harakah lalu didermakan kepada masjid-masjid dan surau-surau adalah lebih baik dari mendermakan sejumlah wang ke dalam tabung-tabung masjid dan surau atau lain-lain tabung, kerana Harakah adalah akhbar rasmi milik pembangkang yang satu-satunya masih mendapat permit dari KDN. Ia juga berjaya memberikan pandangan kedua yang berbeza dari media arus perdana. Apa yang dirasakan lebih baik ialah golongan hartawan haruslah mengambil bahagian dalam masalah ini, dengan membeli Harakah secara pukal dan mendermakannya kepada institusi-institusi masyarakat yang lain agar mereka turut sama membaca akhbar ini. Dengan cara begini akhbar Harakah dapat dimasyarakatkan dan disebarluaskan kepada khalayak ramai.

Memang kita ada saluran lain, iaitu blog dan laman-laman web yang pro kepada perjuangan Islam, tetapi berapa ramaikah yang membuka Harahdaily misalnya. Penulis pernah memberitahu rakan-rakan supaya membaca satu-satu artikel, dan artikel itu terdapat dalam Harakahdaily. Mereka terus bertanya apakah alamat laman webnya?. Inilah yang penulis alami sendiri, ahli PAS sendiri tidak tahu apa alamat laman web Harakahdaily. Namun Harakahdaily mempunyai peranan dan audiennya sendiri, dan untuk menatapinya harus ada sebuah komputer yang ada talian internet.

Seperkara lagi, mungkin pemaparan berita, rencana dan sebagainya harus boleh disesuaikan dengan selera anak-anak muda kini yang nampaknya tidak begitu berminat dengan gerakan Islam, bahkan sesetengah darinya menjauhkan diri dari jamaah Islam, tidak seperti tahun-tahun 80an dahulu yang sering mengekori ke mana sahaja TG Abdul Hadi memberikan ceramah atau kuliah. Remaja kini lebih suka melepak di kafesiber dari di masjid-masjid dan surau-surau. Mereka perlu dikembalikan ke masjid dan surau, dan digalakkan membaca Harakah, kerana dengan begitu akhbar ini dapat dimasyarakatkan ke segenap lapisan.

Harakah,Bil.1629,8-10 April,2011.

No comments: