ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Saturday, June 4, 2011

Tuan Ibrahim: Tidak timbul soal ulama, bukan ulama

Oleh:Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 4 Jun: Tidak timbul soal ulama bukan ulama yang sedang dimainkan media pro Umno terhadap saf kepimpinan baru PAS, kata bekas calon Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bercakap kepada Harakahdaily beliau berkata, keputusan pemilihan PAS yang diumum hari ini membuktikan perwakilan faham struktur dalam PAS yang sememangnya diterajui Majlis Syura Ulama.

"Kita ada panduan dari Majlis Syura, ini akan memandu parti kita.

"Saya fikir ia tidak mencerminkan penolakan terhadap ulamak, tetapi mereka faham ulama tetap tertinggi dalam PAS melalui Majlis Syura dan Dewan Ulama PAS Pusat," katanya yang juga dilihat dari kelompok ulama, dalam pertandingan tiga penjuru jawatan Timbalan Presiden PAS.

Dalam keputusan hari ini, beliau dan penyandang sebelum ini Nasharudin Mat Isa, bagaimanapun tewas kepada Mohamad Sabu yang dilihat bukan dari kelompok ulama.

Mohamad mendapat 420 undi berbanding Tuan Ibrahim 399 dan Nasha 224.

Bagi tiga jawatan Naib Presiden pula, perwakilan telah memilih Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Ketiga-tiga mereka mendapat undi paling tinggi menewaskan tiga lagi calon iaitu Ust Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin.

Salahudin mendapat 753 undi, Husam (660), Mahfuz (616), Idris (491), Nik Amar (321) dan Nizar (217).

Media Umno bagaimanapun menganggap 'line up' baru kepimpinan parti itu sebagai wujud penolakan kepada kelompok ulama di kalangan perwakilan.

Mengulas perkara sama, Timbalan Presiden PAS yang baru, Mohamad Sabu turut merasa hairan dengan sikap Utusan.

"Hanya media Umno main isu ulama-profesional ini. Kenapa tiba-tiba Utusan menjadi sayang kepada ulama menjelang muktamar.

"Sedangkan kita yang menang ini semuanya mendokong kepimpinan ulama,"katanya.

Naib Presiden PAS yang baru, Datuk Husam Musa pula berkata, ia hanya propaganda media Umno untuk memecahbelahkan parpaduan dalam PAS.

"Struktur ulama sememangnya kukuh dalam PAS. Paling tinggi Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am dan Majlis Syura.

"Saya, Mahfuz, Mat Sabu dan Salahudin daripada kecil dalam PAS, membesar dan dididik oleh Ulama PAS, jadi tidak ada apa-apa perubahan pun" tegasnya.

Mengulas peranan yang mahu dimainkannya sebagai salah seorang naib presiden PAS yang baru, beliau berkata mahu menumpukan kepada kemenangan PAS pada PRU-13 akan datang.

"Kemenangan ini untuk kita merangka pelan kejayaan PAS dalam PRU-13 dan meletakkan PAS pada posisi yang betul agar diterima rakyat pelbagai kaum," katanya.

Tuan Ibrahim ketika diminta mengulas kekalahannya pula, redha dengan keputusan pengundian oleh perwakilan tersebut.

"Alhamdulillah, Allah mengurangkan beban saya di akhirat. Saya tak rasa kecewa kerana kita tahu ruang berjuang dalam parti sangat luas," katanya.

harakahdaily.net

No comments: