ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Friday, November 2, 2012

SYARI'AH RABBANIYYAH


Syari’ah Rabbaniyyah

-,02 Nov 2012

Bahagian Pertama
Syari’ah Rabbaniyyah adalah ciri asas atau fundamental yang membezakan antara undang-undang Allah dan undang-undang ciptaan manusia (man-made law). Adalah mustahak untuk kita memahami ciri pertama ini. Jika kita diminta untuk menyimpulkan dengan satu perkataan apakah yang ciri asas yang paling penting yang membezakan undang-undang Allah dan undang-undang manusia, jawapan kita adalah “rabbaniyyah”.

Undang-undang Allah adalah bersifat rabbaniyyah. Ia bermaksud pemilik syariat Islam adalah Allah s.w.t. . Dengan lain perkataan undang-undang syariah mempunyai hubungan dengan Ketuhanan.

Mungkin ada yang bertanya apa istimewanya syariat Islam adalah syari’ah rabbaniyyah. Mereka juga mungkin bertanya apa hebatnya jika undang-undang ini adalah milik Allah.

Untuk mengetahui keistimewaan tersebut kita kena mengetahui siapakah Allah tersebut berbanding dengan manusia.

Untuk mengetahui siapakah Allah, kita kena lihat kalamNya di dalam KitabNya iaitu Al-Quran. Al-Quran menerangkan kepada kita siapakah Allah . Antaranya Allah menyatakan bahawa


“Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui”[ Al-Baqarah : 227 ]

Allah juga berfirman :-


“Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Perkataan “Sami’” kita tidak terjemahkan sebagai Mendengar. Sebaliknya kita katakan “Maha Mendengar”. Begitu juga kalimah “’alim” kita tidak terjemahkan sebagai Mengetahui. Sebaliknya kita terjemahkan sebagai Maha Mengetahui. Penambahan perkataan “Maha” kepada sifat Mendengar dan Mengetahui menunjukkan bahawa sifat mendengar dan mengetahui Allah tidak sama dengan sifat mendengar dan mengetahui manusia.

Bila Allah katakan bahawasanya Allah adalah Maha Mengetahui sekaligus kita tahu pengetahuan Allah  adalah tidak terhad. Allah mengetahui apa yang manusia tidak tahu. Pengetahuan manusia adalah “mahdud” (terhad) sedangkan pengetahuan Allah adalah ‘ghayr mahdud” (tidak terhad).

Sebagai contoh apabila Allah katakan di dalam Al-Quran bahawa zina satu benda atau perbuatan keji sudah tentu dengan kesempurnaan ilmu Allah hanya Allah sahaja yang mampu untuk memberitahu kita kekejian zina.Jika kita menerima pengetahuan Allah adalah sempurna dan tiada sebarang ruang kelemahan dan kekurangan adakah masuk akal untuk kita meragui bahawa zina itu suatu yang keji.

Jika kita masih ragui bahawa zina adalah benda yang keji ia menunjukkan dua perkara.

Pertamanya, kita hakikatnya tidak menerima pengetahuan Allah adalah sempurna maka meskipun Allah mengatakan zina itu keji namun kita ragui dan tidak percaya dengan apa yang Allah katakan.

Keduanya kita mungkin percaya dan menerima ilmu Allah adalah sempurna namun kita juga bersifat keras kepala atau sombong dengan tidak mahu menerima realiti bahawa zina itu keji. Dan apabila manusia sombong ia juga menunjukkan bahawa mereka secara tidak sedar merasakan ilmu mereke lebih sempurna daripada Allah. Dengan lain perkataan mereka merasakan mereka lebih hebat daripada Allah.

Apakah yang membezakan manusia dengan syaitan jika ia sombong dan takabbur untuk tidak mahu menerima apa yang Allah telah perintahkan dan memilih undang-undang yang mereka buat sendiri.

Jika kita boleh menerima Allah adalah Maha Mengetahui secara logiknya kita juga sepatutnya boleh menerima apa sahaja yang jadikan atau ciptakan adalah dari ilmuNya yang tidak terhad.

Secara logiknya sesuatu ciptaan yang dicipta oleh Pencipta yang ilmuNya tidak terhad atau sempurna dan tiada apa-apa kecacatan sudah pasti juga adalah sempurna.Atas dasar itu jika Allah menjadikan undang-undang sudah tentu undang-undangNya adalah sempurna dan tiada sebarang kecacatan.

Jika Allah kata bahawa Dia adalah Maha Bijaksana (hakeem) maka sudah tentu undang-undang yang dicipta oleh Allah adalah menggambarkan kebijaksaanNya.Begitu juga apabila Allah adalah Maha adil maka logiknya undang-undang yang Allah ciptakan untuk manusia adalah adil kepada manusia sekaligus tidak menzalimi manusia.

Secara ringkas kita bolehlah simpulkan bahawa Allah adalah Dzat yang memiliki segala sifat kesempurnaan.Maknanya Allah adalah Maha sempurna dalam semua perkara.

Jika di dalam Al-Quran Allah menyatakan bahawa Allah bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, Allah juga dalam masa yang sama memberitahu kita di dalam kitabNya bahawa manusia pula bersifat dengan segala sifat kekurangan.

Oleh itu kita sekarang berhadapan dengan dua ekstrem. Di satu pihak Allah adalah bersifat dengan segal sifat kesempurnaan. Di satu pihak lain pula manusia pula bersifat dengan segala sifat kekurangan.

Mengenai manusia, antaranya Allah menyifatkan sifat-sifat manusia dalam Al_Quran seperti berikut :-

Pertama, mengeluh dan kikir.

"Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir." (QS. Al-Ma'arij: 19).

Kedua, lemah. Dalam Al-Quran, Allah mendeskripsikan dua kelemahan manusia, iaitu lemah secara fizikal dan lemah (dalam melawan) hawa nafsu buruk.

"Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah ..." (QS. Ar-Rum: 54).

"Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat lemah." (QS. An-Nisaa ': 28).

Menurut Syekh Nawawi Al-Bantany, tafsir "lemah" dalam Surah An-Nisaa 'itu adalah lemah dalam melawan hawa nafsu.

Ketiga, zalim dan bodoh.

"... sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh. "(QS. Al-Ahzab: 72).

Keempat, tidak adil.

"Dan Syu'aib berkata, 'Hai kaumku, cukupkanlah takaran dan timbangan dengan adil, dan janganlah kamu merugikan manusia terhadap hak-hak mereka, dan janganlah kamu membuat kejahatan di muka bumi dengan membuat kerosakan. "(QS. Hud: 85).

Kelima, membuat bencana dan menumpahkan darah. Dalam surah Al Baqarah, Allah menceritakan apa yang Malaikat katakana tentang sifat manusia

"Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?"( Al-Baqarah : 30 )

Jika manusia bersifat dengan segala sifat kelemahan dan kekurangan secara logiknya adalah tidak munasabah untuk kita mengharapkan apa sahaja apa yang manusia lakukan atau hasilkan akan mencapai darjah kesempurnaan.

Apabila Allah gambarkan manusia berrsifat jahil adakah masuk akal untuk seorang yang jahil boleh mewujudkan satu yang sempurna.Kesempurnaan perlukan kesempurnaaan.Ini adalah logik. Begitu juga kekurangan juga akan menjelmakan kekurangan. Kita tidak dapat lari dari ketetapan dan logik ini.

Oleh itu dalam keadaan wujudnya  dua keadaan yang ekstrem iaitu di satu pihak Allah bersifat dengan segala sifat kesempurnaan manakala di satu pihak yang lain pula  manusia pula bersifat dengan segala sifat kekurangan dan kelemahan adakah munasabah untuk kita membuat perbandingan hasil ciptaan Allah dan hasil ciptaan manusia.

Al-syahid ‘Abdul Qader ‘Audah menyatakan bahawa adalah tidak munasabah untuk kita membuat analogy (qiyas) antara undang-undang Allah dan undang-undang manusia kerana sesuatu perkara yang kita ingin buat suatu analogi mestilah paling kurang mempunyai kekuatan yang sama.

Bagi memudahkan pemahaman kita, saya ingin bentangkan contoh berikut. Katakan kita ingin mengadakan satu pertandingan menulis karangan/esei yang bertajuk “Sistem Telekomunikasi Dalam Era Globalisasi.”

Adakah munasabah jika pertandingan tersebut menggabungkan perserta terdiri daripada seorang profesor berkelulusan Phd yang mana bidang beliau adalah sistem telekomunikasi dengan seorang pelajar tadika.

Seorang profesor yang terdedah dengan ilmu pengetahuan dan pengkhususan serta  pengalaman sudah tentu akan memenangi pertandingan tersebut hatta sebelum ia dipertandingkan.

Adakah munasabah untuk pelajar pra sekolah yang masih “berjuang” hatta untuk mengenal huruf jauh sekali nak memahami tajuk esei tersebut untuk kita gandingkan dengan seorang profesor yang pengkhususannya adalah bidang sistem telekomunikasi ?

Ciri pertama iaitu syariah Rabbaniyyah inilah yang menunjukkan secara jelas mengapa manusia tidak dapat tidak amat perlukan undang-undang Allah .Ia juga menunjukkan mengapakah undang-undang manusia sehebat mana pun ianya digubal tidak akan berjaya mengatasi kelebihan dan kehebatan undang-undang Allah.

Bersambung...
----------------------------------------------------------------------------------------
* Penulis adalah seorang peguambela dan peguamcara. Beliau berkelulusan Ijazah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa ( LL.B ( Hons ) pada tahun 1992 dan pada tahun  1993 dikurniakan Ijazah Undang-Undang Syari’ah. Berbekalkan dua ijazah undang-undang (sivil dan syariah) beliau menceburi bidang guaman dan mula manjadi peguambela dan peguamcara pada tahun 1994 sehingga hari ini. Beliau juga adalah peguam syar’ie di Mahkamah Syariah di Perlis. 

harakahdaily

No comments: